Saturday, November 1, 2008

Kuseru Rindu Itu... 2

Hisyam meneguk minuman yang terhidang di hadapannya. Fikirannya ligat mengingati kelainan sikap Idayu kebelakangan ini. Biarpun Idayu cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, dia dapat rasakan yang isterinya itu agak dingin dengannya. Berbicara cuma apabila ditanya. Cuma senyum hambar yang menghiasi bibirnya apabila diajak bergurau. Dalam masa yang sama, wajah Maisara turut muncul mengganggu fikirannya. Dia tersepit di tengah-tengah. Tiba-tiba terasa cukup susah untuk dia membuat pilihan. Rasa serba salah bagai menghimpit dirinya. Perlahan dia menghela nafas panjang. Tidak pernah dia duga, satu hari dia akan dihimpit situasi sebegini.
“Hai Syam. Mengeluh panjang nampak,”
Hisyam berpaling. Merenung kosong wajah ibunya. Puan Mariam mengambil tempat di hadapan Hisyam. Wajah anak lelaki tunggalnya itu, ditatap lama. Melihat menungan Hisyam yang panjang, bagai memberitahunya yang anaknya itu sedang menghadapi masalah. Membuat nalurinya digayuti rasa resah.
“Mana Ayu? Kenapa dia tak datang sekali?,”
“Ayu tak tahu saya ke sini. Balik kerja saya terus singgah ke sini,”
“Hai.. Pelik. Kerja satu tempat.. tapi tak tahu hal masing-masing?,”Puan Mariam bersuara dengan nada hairan.
“Ayu tak masuk office hari ni. Cuti,”
“Cuti kenapa?,”
“Syafiq demam. Tahu sajalah Syafiq tu.. kalau demam. Merengek nakkan mamanya,”
Puan Mariam mengangguk perlahan.
“Macam papanya masa kecillah,”ujar Puan Mariam membuat Hisyam tersenyum.
“Kenapa tak balik ambil Ayu dulu? Boleh mak jumpa Syafiq. Dah lama tak tengok cucu mak tu,”
“Saya singgah sekejap saja mak. Tengoklah. Esok kami datang. Okay?,”
“Hmm.. Yelah. Suka hati kamulah, Syam,”
Hisyam tersenyum kecil sebelum menyambung semula menungnya yang terganggu.
“Kamu ni, mak tengok macam ada masalah saja. Bergaduh dengan Ayu ke?,”
“Hish.. mak ni. Mana ada? Saya dengan Ayu baik-baik je. Tapi, tak tahulah kalau-kalau Idayu ada mengadu apa-apa kat mak,”
“Kenapa? Kamu ada sorok sesuatu ke daripada mak?,”soal Puan Mariam membuat dia terdiam. Niatnya hendak mengorek rahsia daripada ibunya, dibatalkan. Bimbang kalau-kalau rahsianya pula yang terbongkar.
“Ayah mana?,”soalnya mengubah tajuk perbualan.
“Entahlah. Mak tak sempat nak tanya mana dia pergi, semasa dia keluar tadi. Kamu ni, ada masalah ke Syam? Lain macam mak tengok..,”
“Tak adalah mak. Mak ni.. Ini yang buat saya malas nak singgah ni. Ada saja yang tak kena kat mata mak,”
Puan Mariam senyum. Hatinya sedikit lega.
“Tak adalah. Mak cuma tanya saja. Mak risau juga tengok anak mak termenung sana. Termenung sini. Mengeluh sana. Mengeluh sini,”
“Mak ni, cepat sangat fikir yang bukan-bukan. Termenung tak semestinya ada masalah. Saya termenung.. sebab nak relakskan otak saya yang penat ni. Think nothing. Baru ringan sikit otak yang penat bekerja seharian ni, mak,”
“Yalah tu, Syam. Kalau bab mereka alasan, kamu memang tak pernah kalah,”
Hisyam tergelak kecil mendengar kata-kata ibunya. Sekurang-kurangnya ibunya tidak terus mengesyaki sesuatu.
“Accalamelekum!,”
Puan Mariam tidak jadi menyambung bicaranya. Suara kecil yang amat dia rindui itu lebih menarik perhatiannya. Dia memandang ke arah pintu. Syafiq berlari meninggalkan ibunya yang baru menutup pintu kereta.
“Nenek!,”laungnya girang. Puan Mariam bergegas ke pintu.
“Eh, cucu nenek dah sampai. Panjang umur. Baru disebut dah ada depan mata. Rindunya nenek,”Puan Mariam bersuara girang sambil memeluk tubuh kecil Syafiq. Syafiq tersengih sambil mencium pipinya bertalu.
Idayu melangkah perlahan sambil memandang ke arah Perdana V6 milik suaminya. Rupa-rupanya lelaki itu berada di sini.
“Ayu.. Apa dipandangnya tu?,”
Teguran ibu mertuanya, membuat dia sedikit tersentak. Dia tersenyum sambil melangkah mendapatkan Puan Mariam.
“Apa khabar mak?,”soalnya sambil mengucup jemari Puan Mariam.
“Baik. Panjang umur kamu. Baru mak sebut, dah sampai,”
Idayu tergelak kecil.
“Afiq ni. katanya nak jumpa nenek dengan atuk. Nak beritahu dia demam. Lagipun tak ada apa nak buat kat rumah. Abang Syam ada kat sini, ya mak?,”
“Ada kat dalam tu. Baru sampai. Mak tanya dia, kenapa tak bawa kamu dengan Syafiq sekali. Katanya nak singgah sekejap saja,”
Idayu tersenyum sambil melangkah masuk. Dari jauh dia melihat Hisyam sedang berbual sesuatu dengan Syafiq.
“Abang..,”sapa Idayu lembut, sambil mencapai tangan Hisyam. Mengucup lembut tangan lelaki itu. Hisyam memandang senang.
“Kenapa datang sini tak beritahu abang dulu?,”soal Hisyam sebaik Idayu melabuhkan punggung di sebelahnya. Idayu memandang sekeliling. Ibu mertuanya sudah hilang ke dapur bersama Syafiq.
“Abang pun datang tak beritahu Ayu,”balas Idayu tidak mahu mengalah. Hisyam tersenyum.
“Oh.. Pulang paku buah keras ya?,”ujar Hisyam sambil menyentuh hidung isterinya. Idayu tersenyum sambil cuba mengelak. Melihat senyuman Idayu, Hisyam sedikit tenang. Senyumam itu tidak lagi sehambar seperti sebelumnya. Ada sedikit ceria di wajah Idayu.
“Afiq bersungut nak jumpa atuk dengan nenek dia. Itu sebab Ayu datang ni. Abang marah ke?,”
Hisyam tersenyum sambil mencapai jemari Idayu. Mengusap lembut jemari isterinya itu.
“Tak. Nak marah buat apa? Ayu bukan ke tempat lain pun,”
“Ayu cuba call abang. Tapi, tak dapat. Abang off phone ke?,”
“Ya ke? Tak adalah,”jawab Hisyam sedikit hairan. Tangannya cepat meraba ke poket seluar. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Memang benar telefon bimbitnya terpadam. Dia cuba aktifkan kembali, tetapi gagal.
“Patutlah. Battery weak,”ujarnya tersengih. Idayu memandang lama wajah Hisyam.
“Businessman boleh biarkan phonenya weak? Macam mana boleh lupa nak charge tu? Ini.. mesti asyik teringatkan benda lain ni..,”
“Salah siapa? Salah Ayulah,”Hisyam bersuara selamba. Idayu mengerutkan kening. Hisyam tergelak. Cukup suka dia melihat Idayu kerutkan kening. Comel.
“Kenapa salah Ayu pula?,”soal Idayu sedikit hairan dengan tuduhan suaminya.
“Selama ni.. siapa yang selalu charge handphone abang?,”
“Ayu..,”balas Idayu agak perlahan. Rupa-rupanya Hisyam ada hujah untuk kenakan dia.
“Dah berapa hari Ayu tak charge handphone abang?,”
“Tiga. Tapi, kan abang boleh charge sendiri..,”
“Ya. Betul. Tapi, abang lupa. Lupa sebab fikiran ni.. asyik tertanya-tanya, kenapalah sejak dua menjak ni.. isteri abang ni, macam lain sangat dengan abang. Merajuk ke isteri abang ni ya?,”Hisyam bersuara sambil merenung wajah Idayu bersama sekuntum senyuman nakal.
“Lain? Lain macam mana?,”soal Idayu pura-pura tidak mengerti akan bicara Hisyam. Hisyam mengangkat bahu.
“I don’t know. Abang tak tahu nak explain macam mana. But, I can feel it. There’s something wrong wirh you,”
“Perasaan abang saja kot. Ayu ok je. Tak ada apa-apa yang lain pun,”
“Harap-harap betullah perasaan abang je,”
Idayu tersenyum.
“Syafiq macam mana? Dah ok? Dah lincah semacam abang tengok tu,”
“Dah.. Itupun puas memujuk, baru nak makan ubat,”
“Ikut perangai siapa? Perangai mama dia juga kan? Mama dia lagi bagus. Nak pergi klinik kena dukung. Dah pergi klinik, ubatnya tong sampah pulak yang makan. Kan?,”gurau Hisyam tersenyum panjang. Idayu diam sambil menarik muka masam. Lagi-lagi dia yang terkena. Dan, Hisyam masih ingat peristiwa itu? Sudah terlalu lama peristiwa itu berlalu. Dia sendiri sudah hampir lupa mulut Hisyam yang membebel marah dan tangan Hisyam yang cepat mencempung dirinya lalu disumbat ke dalam kereta apabila dia membantah untuk dibawa ke klinik. Marah betul Hisyam apabila dia tidak mahu ke klinik. Dan, marah Hisyam bertambah apabila keesokan paginya, dia menemui plastik berisi ubat yang tidak berusik di dalam tong sampah. Itu cerita tujuh tahun lalu. Kisah sewaktu hubungannya dengan Hisyam dibaluti kedinginan perasaan.
“Dah dua-dua ada kat sini, makan di sinilah ya. Mak dah suruh Yati masakkan makan malam lebih sikit. Malam ni, tidur di sini. Esok kan cuti,”
Suara itu melontar kenangan lalu yang baru bertenggek di birai ingatan, Puan Mariam sudah tercegat di hadapan mereka. Hisyam memandang wajah Idayu sambil mengangkat kening. Idayu tersenyum. Faham benar dengan perangai ibu mertuanya itu.
“Macam mana?,”
“Ayu tak kisah..,”
Mendengar jawapan itu, Puan Mariam tersenyum senang.
“Kalau macam tu, abang nak mandi dululah,”Hisyam bersuara sambil mengangkat punggung. Puan Mariam pula berlalu bersama cucunya menuju ke halaman.
“Nak Ayu sediakan air panas?,”soal Idayu sambil mencapai telefon bimbit suaminya yang diletakkan di atas meja. Telefon itu perlu dicaj semula. Hisyam tersenyum panjang. Senang melihat Idayu sudah kembali seperti biasa.
“Boleh juga. Lepas tu, kita mandi sama-sama ya?,”bisiknya sambil memeluk pinggang Idayu. Bersama-sama melangkah meniti anak tangga, menuju ke bilik yang memang disediakan khas untuk mereka.
“Tak payah nak mengada,”balas Idayu bersama satu jelingan tajam, Membuat Hisyam tertawa senang. Betapa selama beberapa hari ini, dia merindui saat-saat sebegini. Dia rindu untuk melihat senyum manis Idayu. Dia rindu untuk mendengar tawa bahagia Idayu. Dia juga rindu untuk menikmati jelingan manja isterinya itu. Semua itu cukup membahagiakannya. Namun, entah kenapa, di tengah-tengah kebahagiaan ini, dia masih terasa ada ruang yang kosong. Dan, saat ini, kekosongan itu terisi dengan kehadiran Maisara. Sukar untuk ditepis, kerana dia berasa kekosongan itu perlu diisi.
Idayu mencuri pandang wajah ceria Hisyam. Memang wajah itu sedikit murung kebelakangan ini. Rupa-rupanya lelaki ini terkesan dengan rajuk dalam diamnya. Entah kenapa, dia berasa kehilangan di dalam kemesraan layanan Hisyam. Hatinya menjadi tidak tenteram. Perasaannya bercampur baur. Dan, perkara yang paling dia takut saat ini ialah, kehilangan Hisyam. Dia tidak sanggup kehilangan Hisyam.

****

1 comment:

Anonymous said...

salam k.hani,,,,citer ni best jgk lah sama je dgn citer pergilah air mata tue kan??? ekekekek... suka saya baca nya x sedar boring saya ni hilang jauh.......

[11:35:50 PM] hos.getah: