Saturday, June 13, 2009

Kuseru Rindu Itu... 21

“Apa yang awak menungkan ni, Yam?,”
Puan Mariam tersentak. Spontan dia berpaling. Suaminya tersenyum di belakang.
“Abang ni. Buat terperanjat saya aje,”Puan Mariam bersuara sambil mengurut dada.
“Tak adalah. Pelik. Dari tadi saya tengok awak tercegat kat sini. Saya berdiri kat belakang pun, awak tak sedar. Apa yang awak fikirkan?,”
Puan Mariam diam seketika.
“Tu…,” dia bersuara perlahan sambil mulutnya dimuncungkan ke arah Idayu yang sedang termenung panjang di halaman belakang. Tuan Harun memandang ke arah yang sama. Seketika Cuma sebelum mencari semula wajah isterinya.
“Kenapa dengan Ayu?,” soalnya hairan.
“Abang tak rasa apa-apa ke?,”
“Rasa apa?,”
Puan Mariam mengeluh perlahan.
“Rasa macam ada yang tak kena. Abang tak pelik ke tengok Idayu tu. Dari tadi saya perhatikan. Dah lama dia termenung kat situ,”
“Dia ambil angin petang agaknya,”
“Saya tak rasa macam tu lah bang,”
“Maksud awak?,”
“Agaknya dia ada masalah dengan Hisyam tak?,”
“Ish. Takkanlah. Awak yang fikir bukan-bukan agaknya,”
“Yalah. Sorang kat dalam. Sorang kat luar. Risau pula saya tengok mereka berdua ni,”
“Masa makan tadi elok saja saya tengok. Tu.. Hisyam kat dalam, elok saja bermain dengan Syafiq. Tak nampak macam ada masalah pun. Sudahlah tu. Awak yang risau tak bertempat ni,”
“Kalau tidak ada apa-apa, baguslah. Saya bukannya apa. Risau,”
“Kalau awak nak kepastian, pergilah tanya Idayu,” saran Tuan Harun sambil membuka peti sejuk.
“Abang nak apa?,” Puan Mariam bertanya, kalau-kalau suaminya itu mahu dia sediakan sesuatu.
“Tak ada apa,” jawab Tuan Harun sambil menutup semula peti sejuk.
“Kalau macam tu, saya nak ke sana kejap. Abang pun cuba-cubalah risik dengan Hisyam. Manalah tahu, budak-budak ni ada masalah tapi tak nak cakap dengan kita,”
“Hmm…Yalah,”
Puan Mariam tersenyum nipis. Mengatur langkah menuju ke arah Idayu. Agak lama dia memandang Idayu yang termenung sambil menongkat dagu pada buaian. Jauh benar lamunannya itu.
“Assalamualaikum..,”sapanya lembut.
“Waalaikumussalam,”Idayu menjawab dengan nada yang sedikit terperanjat. Dia mendongak. Mengukir senyum buat ibu mertuanya.
“Mak. Maaf. Tak perasan mak datang tadi. Duduk mak,” Idayu bersuara kalut sambil membetulkan duduk. Memberi ruang untuk Puan Mariam duduk di sebelahnya. Puan Mariam melabuhkan punggung di sebelah Idayu, membuat buaian besi dua tempat duduk itu bergerak sebaik dia duduk di situ.
“Jauh termenung. Boleh mak tahu apa yang Ayu menungkan?,”Puan Mariam membuka bicara bersama senyum yang mekar di bibir. Idayu tersenyum. Rupa-rupanya Puan Mariam memerhati dalam diam.
“Tak ada apa- apalah mak,”
“Mak macam tak percaya saja dengan jawapan tu,”
Idayu tergelak. Memandang wajah ibu mertuanya yang seperti menanti satu jawapan yang lain darinya.
“Betul mak. Tak ada apa-apa. Kenapa mak tanya macam tu?,”
“Ayu ada selisih faham dengan Hisyam ke? Atau.. ada masalah dengan Hisyam?,”
Idayu tergelak lagi.
“Tak ada mak,”jawab Idayu pendek. Jemari ibu mertuanya segera dicapai. Menggenggam erat jemari itu bersama senyum yang terus terukir di bibir. Nampaknya Puan Mariam sudah mula mengesyaki sesuatu. Silapnya. Dia terlanjur melayan perasaan di hadapan mertuanya.
“Dah tu… kenapa termenung macam orang ada masalah?,”
“Seronok duduk sini, mak. Berangin. Nyaman rasanya. Itu yang jadi asyik melayan perasaan tu,”
“Betul ni?,”
Idayu tersenyum sambil mengangguk perlahan. Angin petang yang bertiup nyaman, memberi dia ilham untuk dia mencipta alasan. Bukan mahu berbohong, Cuma rasanya apa yang sedang alami, belum sesuai untuk dikongsi dengan ibu mertuanya itu. Puan Mariam turut tersenyum mendengar jawapan Idayu. Sedikit lega.
“Kalau macam tu, baguslah. Lega mak mendengarnya,”
Idayu tergelak kecil. Namun, rasa bersalah tetap menyelinap masuk ke jiwa, mengganggu perasaannya. Sungguh dia tidak bermaksud untuk membohongi ibu mertuanya itu. Tapi, apakan daya. Dia tidak mempunyai kekuatan untuk berterus-terang. Biarlah segalanya terbongkar apabila Hisyam yang membuka cerita. Selagi Hisyam tidak berterus –terang, selagi itulah dia akan membisu.
“Berbincang apa ni? Bergosip ya?,”suara yang datang secara tiba-tiba, cukup dekat di telinganya. Membuat Idayu tersentak. Idayu menoleh. Hisyam tersengih di belakangnya. Puan Mariam yang turut terperanjat, mengurut perlahan dadanya.
“Anak dengan bapak sama saja. Tak reti nak bagi salam. Terkejut mak, tahu tak?,”
Hisyam tergelak. Perlahan dia menolak buaian yang diduduki isteri dan ibunya. Sambil sebelah lagi tangannya membelai rambut Idayu yang ditiup angin. Melihat kemesraan itu, hati Puan Mariam menjadi lega. Barangkali, dia terlalu berfikir yang bukan-bukan.
“Kamu ni… tiba-tiba terpacak kat sini, apa hal?,”
“Hai.. takkan tak boleh join kot? Ini mesti tengah bergosip ni. Mengumpat saya, ya mak?”
Puan Mariam mencebik.
“Tak ada maknanya nak mengumpat kamu, Syam…,”
Hisyam tersenyum panjang.
“Ayah kamu ada kat dalam? Ke dah keluar?,”
“Ada. Tengah baca magazine kat depan,”
Puan Mariam mengangkat punggung.
“Kalau macam tu.. mak masuk dalamlah. Buatkan minum petang untuk ayah kamu.
Kamu berdua nak minum kat sini ke? Nanti, mak suruh Yati hantar ke sini,”
“Boleh juga,” ujar Hisyam sambil bergerak mengambil tempat ibunya. Puan Mariam tersenyum sambil berlalu.
Hisyam berpaling memandang wajah Idayu.
“Syafiq buat apa kat dalam?,”Idayu mengajukan soalan sambil mengikat rambutnya yang ditiup angin.
“Dah pengsan depan tv,”jawab Hisyam sambil menarik getah yang mengikat rambut yang terikat elok di kepala isterinya. Membiarkan rambut Idayu lepas bebas ditiup angin. Idayu cuma tersenyum.
“Tak payah ikat rambut tu. Abang suka tengok rambut Ayu ditiup angin,”
“Abang ni, ada-ada saja,”ujar Idayu lembut. Kalau dulu, dia senang mendengar pujian-pujian itu. Kata-kata manis Hisyam membuat hatinya berbunga indah. Membuat dia benar-benar bahagia. Tetapi, kenapa kini, hatinya pedih mendengar kata-kata itu? tiba-tiba dia menjadi sangsi. Ikhlaskah pujian Hisyam? Atau, hanya sekadar menyedapkan hatinya? Rasa sangsi bersulam dengan rasa cemburu terlau sering berdetik di hatinya kini. Begini jugakah Hisyam memuji gadis cantik itu? beginikah juga Hisyam melayan gadis manis itu? Memikirkan hal itu, hatinya terasa pedih. Bagai ada jarum yang dicucuk di situ. Ngilu. Dia memandang wajah Hisyam yang kelihatan cukup ceria. Melihat keceriaan itu, hati perempuannya berbisik lagi. Hisyam kelihatan begitu gembira. Hisyam gembira kerana gadis itu atau Hisyam gembira kerananya? Di dalam sekelip mata, tiba-tiba segalanya tepecah dua. Segala-galanya bagai boleh dipertikaikan. Tiba-tiba dia menjadi prejudis. Perjudis pada suami sendiri.
“Kenapa pandang abang macam tu?,”soal Hisyam hairan. Lama Idayu merenungnya tanpa bicara.
“Tak ada apa-apa,”jawab Idayu sambil tersenyum kelat. Hisyam menggeleng kepala sambil membetulkan duduknya.
“Ayah cakap, dia nampak Ayu macam ada masalah saja. Betul ke? Apa masalahnya?,” Hisyam mengajukan soalan tanpa melihat wajah isterinya. Idayu tergelak kecil.
“Ayah pun?,”soalnya lucu.
“Yalah. Kenapa ayu gelak?”
“Mak pun tanya Ayu macam tu,”
Hisyam berpaling . Menghadap wajah Idayu. Memang sedang berdepan masalahkah wanita di hadapannya ini?
“Kenapa pula tiba-tiba mak dan ayah tanya macam tu?,”soal Hisyam hairan. Kenapa ibu dan bapanya mengesyaki ada sesuatu yang menggangguHarun fgsgfgddffffvbvv menantu kesayangan mereka ini? Hatinya menjadi resah tiba-tiba.
“Entah. Mungkin instinct dia orang kot,”ujar Idayu sambil mengamati wajah Hisyam yang sedikit berubah.
“Instinct? Betul ke tidak instinct dia orang tu?,” Hisyam diburu rasa ingin tahu. Hatinya resah setiap kali memikirkan kalau-kalau Idayu ada masalah. Bimbang dia yang menjadi punca masalah itu. Bimbang kalau-kalau Idayu sudah dapat mencium kecurangannya. Bimbang kalau-kalau Idayu sedih kerananya.
“Mak nampak Ayu termenung kat sini. Itu yang dia tanya macam tu,”cerita Idayu bersahaja.
“Ada apa-apa yang mengganggu perasaan Ayu ke?,”
“Abang rasa?,”Idayu menjawab soalan Hisyam dengan satu dengan satu soalan yang cukup pendek. Namun, makna soalan itu cukup dalam padanya. Sedalam keinginannya untuk menyelami perasaan suaminya saat itu. Ingin sahaja dia berterus-terang dan meminta penjelasan daripada Hisyam. Tetapi dia takut. Takut dia tidak kuat untuk berhadapan dengan jawapan Hisyam. Bimbang dia akan kehilangan segunung kebahagiaan, ehsan dari Hisyam ini. Bodohkah dia? Dia merenung wajah Hisyam untuk ke sekian kali. Rasa kasihnya melimpah melihat wajah itu. Biarlah dia bodoh. Dia sanggup menjadi bodoh kerana lelaki ini. Dia tidak sanggup kehilangan lelaki ini.
“Mungkin ada kot. Ayu nak kongsi dengan abang?,”Hisyam bersuara sambil tersenyum kecil.
Idayu turut tersenyum.
“Kenapa abang cakap macam tu?,”
Soalan itu membuat Hisyam terdiam. Jelas Idayu sedang berteka-teki dengannya. Soalan Idayu seolah-olah periuk api yang boleh asang membuat dia terperangkap. Bicara Idayu terasa begitu meresap ke jiwa. Membuat jantung kembali tidak normal. Adakah Idayu sudah tahu mengenai hubungannya dengan Maisara? Mustahil. Kalau Idayu tahu, sudah pasti wanita itu akan bercakap mengenainya. Pasti Idayu tidak akan berdiam diri. Pasti Idayu menagih penjelasannya.
“Well… Ayu Nampak resah…,”lambat-lambat Hisyam menjawab soalan teka-teki Idayu. Berharap agar jawapannya tidak kedengaran sumbang. Idayu tersenyum lagi.
“Well…Abang pun nampak resah. So, abang nak kongsi dengan Ayu?,”
Hisyam tergelak. Idayu pintar memutar kata. Pantas tangannya memaut bahu Idayu. Menarik Idayu ke dadanya.
“Ok. Stop it. Kalau kita terus bercakap macam ni, sampai bila pun perbualan kita tak akan ada penamat. Betul tak?,”
Idayu mengukir senyum. Merenung mata Hisyam lama. Dia nampak keresahan di mata itu.
“Depends,”balas Idayu sepatah. Ketara Hisyam cuba mengalih hala tuju perbualan mereka. Hisyam memandang wajah Idayu yang sedikit serius. Wajah serius itu, benar-benar membuat dia kelu. Sungguh dia buntu. Buntu memikirkan apa yang bersarang di hati isterinya. Memikirkan apa yang mungkin sedang berlegar di fikiran Idayu.
“Kenapa ni? Tiba-tiba saja jadi macam ni? Serius macam ni?,”soal Hisyam lembut. Cuba menghilangkan rawang di hati Idayu. Cuba mencari jernih di wajah Idayu. Memujuk perasaan Idayu yang dirasakan terganggu, meski dia sendiri buntu memikirkan punca yang mengganggu.
“Entahlah bang. Mungkin Ayu takut…,”
“Apa yang Ayu takutkan? Abang tak faham,”
Idayu mengeluh perlahan. Dia memandang kosong jemarinya yang berada di dalam genggaman Hisyam. Juga pautan mesra di bahunya. Sekali lagi hatinya dilanda badai cemburu. Cemburu apabila membayangkan Hisyam melakukan perkara yang sama pada kekasih hatinya. Sungguh. Amat sakit rasanya tiap kali dia teringat akan hakikat dia kini sedang diduakan oleh suaminya. Tidak sanggup memikirkan dia kini sedang berkongsi Hisyam dengan perempuan lain.
Perlahan dia pejamkan matanya. Mencari sedikit kekuatan untuk terus berhadapan dengan Hisyam. Dia mesti kuat. Dia tidak boleh lemah. Melihat tingkah Idayu, Hisyam menjadi semakin tidak keruan. Wajah itu tiba-tiba berubah muram. Sungguh dia tidak sanggup melihat Idayu sedih.
"Kenapa ni? Apa yang tak kena?,"soal Hisyam sambil mengusap perlahan pipi Idayu. Idayu menatap wajah Hisyam. Memegang jemari lelaki itu, membuat belaian Hisyam terhenti. Tangan Hisyam dibawa kembali ke ribanya. Hisyam membalas renungan Idayu. Memang benar kata bapanya. Idayu memang sedang menghadapi masalah. Harap-harap bukan dia yang menjadi punca masalah itu.
"Abang risau tengok Ayu macam ni. Kongsilah dengan abang. Mana tahu abang boleh bantu? Ayu nak berahsia dengan abang ke?,"
Mendengar soalan Hisyam, sekadar membuat Idayu menjadi semakin hiba. Mana mungkin dia boleh berkongsi masalah itu dengan Hisyam. Mustahil. Kerana Hisyam yang menjadi punca beban di hatinya itu. Hisyam membuat dia sedih. Hisyam juga yang membuat dia takut. Hubungannya dengan Hisyam memang tidak pernah ada jaminan kebahagian yang berkekalan. Melalui saat-saat getir begini, membuat dia teringat setiap kata-kata Hisyam lebih tujuh tahun dahulu. Teringat janji-janji Hisyam yang pernah menghiris perasaan perempuannya. Dan, dalam janji-janji itu, tidak ada satu pun yang boleh membuat dia berasa selamat. Semuanya membuat dia sering dihambat rasa risau dan takut. Dia bakal kehilangan Hisyam pada bila-bila masa sahaja. Sekelip mata dia bakal kehilangan segalanya.
"Ayu takut, bang," bisiknya perlahan. Cukup perlahan.
"Takut apa?,"
"Ayu takut akan kehilangan semua ini,"
"Kehilangan apa?," soal Hisyam hairan.
"Abang," jawab Idayu sambil tunduk. Tanpa dipinta, air mata mengalir di pipinya.
Hisyam tergelak kecil.
"Ayu.. pandang abang..," pinta Hisyam sambil menyentuh dagu Idayu. Mengangkat muka isterinya supaya memandang wajahnya. Dia terpaku seketika melihat air mata yang membasahi pipi Idayu. Idayu menagis! Sekian lama dia tidak melihat air mata di pipi itu. Sekian lama Idayu tidak menangis di depannya. Ternyata air mata Idayu benar-benar membuat dia penasaran. Pantas jemarinya menyapu pipi Idayu yang basah.
“Ayu… kenapa ni?,”
Mendengar soalan itu, hanya membuat esakan Idayu semakin kuat. Dia kalah. Hari ini dia gagal selindungkan pedih hatinya. Esakan yang membuat hati Hisyam bagai dicalar.
"Ayu, jangan menangis. Jangan menangis, sayang. Abang tak sanggup tengok Ayu menangis," pujuknya perlahan sambil menarik Idayu ke pelukannya.
Pujukan yang membuat Idayu terkejut. Bagai mimpi. Hisyam memanggilnya sayang?
Betulkah apa yang dia dengar? Selama tujuh tahun, Hisyam tidak pernah menggunakan perkataan keramat itu. Selama tujuh tahun dia menunggu Hisyam memanggilnya dengan panggilan itu. Hari ini, impiannya menjadi kenyataan. Hari ini, terluah perkataan sayang dari bibir lelaki itu. Tetapi, kenapa dia tidak gembira? Kenapa hatinya menjadi bertambah sedih mendengar panggilan itu? Kenapa?
"Ayu.. jangan macam ni. Abang tak suka tengok Ayu menangis. Stop crying," suara lembut pujukan Hisyam begitu hampir di telinganya. Jemari Hisyam sekali lagi mengesat air mata yang jatuh ke pipinya.
"Ayu takkan kehilangan abang. Tak akan. Tak ada apa yang Ayu nak risaukan. Percayalah cakap abang. Ayu tak akan pernah kehilangan abang,"Hisyam berbisik lembut sambil mengusap perlahan rambut isterinya yang mengurai.
Idayu diam di dalam pelukan Hisyam. Berusaha memujuk dirinya sendiri agar tidak menagis lagi. Dia tidak sepatutnya menangis di hadapan Hisyam. Tapi, dia gagal mengawal perasaannya. Dia gagal menutup kesedihan yang bertenggek di hati.
Hisyam pula semakin dilanda tanda tanya. Dia membiarkan Idayu tenang di dalam pelukannya. Perlahan dia mengucup kepala Idayu sambil terus membelai perlahan rambut isterinya itu. Begitu banyak persoalan yang bermain di kepalanya. Tapi, dia takut untuk bertanya. Takut untuk mencari tahu punca Idayu menjadi segundah itu. Sudahnya, dia cuma membisu. Membiarkan suasana sepi itu mengendurkan ketegangan yang tercipta. Ketegangan yang dia sendiri sangsi akan puncanya.
"Encik...,"
Hisyam berpaling. Yati, pembantu rumah ibunya tercegat bersama dulang berisi hidangan minum petang. Gadis itu kelihatan tersenyum malu. Hisyam tersenyum kecil. Idayu pula, segera mengangkat kepalanya yang terlentok di dada Hisyam. Sedikit malu apabila Yati melihatnya sambil tersenyum lebar.
"Minum petang, encik,"
"Letak atas meja tu. Terima kasih, Yati,"
Yati mengangguk dan akur pada arahan itu, sambil terus berlalu. Tidak mahu terus mengganggu kemesraan pasangan suami isteri itu. Hisyam memandang wajah Idayu. Dia tersenyum kecil. Masih ada sisa-sisa air mata yang membekas di pipinya yang mulus. Segera dia menghapuskan air mata itu sekali lagi.
"Tengok tu.. pipi dah merah," tegurnya separuh bergurau sambil menarik semula Idayu ke pelukannya.
Idayu tersenyum sambil mencubit perlahan lengan Hisyam. Hisyam tesenyum lega. Senang melihat senyum yang mekar semula di bibir Idayu.
"Dengan Yati pun nak malu. Biarlah dia tengok. Kita bukannya buat apa-apa pun. Kan?,"
Idayu cuma diam. Membiarkan dia berteka-teki dengan perasaannya sendiri. Aneh. Satu ketika dia resah berada di dalam pelukan Hisyam. Resah memikirkan kecurangan Hisyam. Tapi, pada ketika yang lain, pelukan Hisyam memberi ketenangan padanya. Satu ketenangan yang boleh membuat dia lupa pada semua kesedihannya. Ketenangan yang sedang dia rasai saat ini. Dan, dia ingin menikmati ketenangan itu sepuas hatinya.
“Ayu sayang abang…,”dia berbisik perlahan sambil membalas pelukan Hisyam. Hisyam tersenyum.
“Please… jangan menangis lagi. Abang tak sanggup tengok air mata Ayu…,”
Idayu mengangkat muka.
“Abang jangan tinggalkan Ayu?,”
“Sayang. Abang tak akan tinggalkan sayang. Kenapa ni?,”
“Ayu risau. Kalau-kalau abang dah jumpa cinta abang… dan tinggalkan Ayu…,”Idayu bersuara sambil bersandar di dada Hisyam. Hisyam menahan nafas. Jantungnya bagai berhenti berdegup. Kata-kata Idayu membawa satu mesej. Dia tahu itu. Idayu mengetahui sesuatu atau Idayu mengesyaki sesuatu? Tanpa sedar, dia mengeratkan pelukannya.
****
[11:35:50 PM] hos.getah: