“Abang tak keluar malam ni, kan?,”
“Kenapa?,”
“Abang tengokkan Trisya, ya? Saya nak keluar
sekejap,”
“Nak jumpa jantan tu kan?,”
Farisha menoleh. Tersentap mendengar
soalan itu. Tinggi suara Haziq membuat dia geram. Lelaki ini sering membuat
keadaan menjadi sukar. Sering membuat andaian yang buruk untuk apa sahaja
tindakannya. Sering juga berburuk sangka padanya tetapi tidak pernah mahu
berubah.
“Bahagian mana yang abang kurang
faham ya? Abang ingat saya suka-suka nak jumpa dia ke?,”
“Jangan nak bagi alasanlah. Bincang
pasal cari duit tu alasan saja. Yang betulnya, nak keluar mengadap muka dia,
kan?,”
“Kalau saya tak cari duit, siapa
yang nak selesaikan semua hutang abang tu? Ingat cukup ke dengan gaji saya
aje?,”dia mula menyindir apabila tuduhan Haziq mula mencabar sabarnya. Membuat
wajah Haziq memerah menahan marah.
“Susah cakap dengan Isha ni!”
“Bercakap dengan abang tu, yang
susah. Abang tak percayakan saya langsung. Tak pernah juga nak berubah
langsung. Kalau saya betul-betul nakkan lelaki lain, saya dah tak tinggal
dengan abang. Dah lama saya lari, tahu tak? Cubalah jangan ikut perasaan sangat
bila bercakap. Kita kahwin dah dekat lima tahun, bang. Sepatutnya abang
betul-betul kenal isteri abang ni. Susahlah kalau abang langsung tak percayakan
isteri sendiri,”
“Memang abang tak percaya,”
“Kalau tak percaya, ikutlah sekali.
Boleh juga ikut sama cari duit sikit-sikit,”
“Malas! Bukan boleh kaya pun,”
“Kaya tu memang tak lah. Tapi,
sekurang-kurangnya ada juga usaha nak cari duit lebih. Dah cemburu sangat, ikut
saya. Kita pergi sama-sama. Saya tak kisah langsunglah bang. Saya bukannya
perempuan gatal yang tak cukup suami!,”sarannya bersama jelingan tajam. Haziq
tidak bersuara. Cuma terus mencapai kunci kereta sambil bergerak menuju ke
pintu.
“Nak ke mana tu?,”
“Rumah mak. Nak jumpa Zul,”
“Abang, saya nak keluar ni.
Tolonglah. Kalau tak boleh nak tolong cari duit untuk saya, takkan tak boleh
tolong mudahkan kerja saya?,”
“Abang tak pernah suruh Isya buat
kerja tu kan?,”
“Tapi abang tak pernah pula tolak
bila saya hulur duit dari kerja tu untuk selesaikan semua masalah hutang abang,
kan?,”
Soalannya hanya berbalas rengusan
keras.
“Abang bawalah Trisya sekali,”
“Isya bawalah sekali,”
“Abang! Saya bukan pergi
bersuka-ria. Saya pergi nak cari rezeki. Untuk kita,”
“Kalau rasa susah sangat, tak payah
nak cari duit lebih sangat. Nak sangat jumpa jantan tu, bawa Trisya sekali!,”keras
suara Haziq sekeras bunyi pintu yang berdentum ditarik kasar.
Farisha bagai tersentak. Perlahan
dia meraup wajah. Entah kenapa tiba-tiba bayang Haziq menjengah ke dalam
ingatannya. Teringatkan Haziq yang tidak pernah mengerti tentang tanggungjawab.
Teringatkan Haziq yang cemburu buta. Teringatkan Haziq yang tidak pernah mahu
memahaminya. Teringatkan hatinya yang ditoreh perlahan-lahan dek perbuatan
lelaki itu. Sudah lama dia berhenti mengingati lelaki itu. Sejak hatinya
benar-benar hancur dek tindakan Haziq. Sejak Haziq terus membuat hatinya
terhiris. Tiba-tiba ada kisah pahit yang lama dia tinggalkan, bertaut di
ingatan. Dia mengeluh panjang.
“Jauh termenung? Siap mengeluh
panjang lagi,”
Perlahan pandangannya teralih.
Tersapa dek senyum lebar Rayyan yang selamba menarik kerusi. Melabuhkan
punggung di hadapannya. Dia tersenyum kecil. Langsung tidak sedar akan
kemunculan pemuda itu.
“Fikir apa sampai macam tu sekali
menungnya?,” Rayyan membuka perbualan. Teruja mengamati wajah di hadapannya
itu. Beberapa kali memasuki ruang restoran ini, beberapa kali juga kebetulan
Farisha tiada di situ. Kali ini dia memang langkah kanan.
“Tak ada apalah,”
Rayyan mengangkat kening sambil
tersenyum. Sudah menjangka sebenarnya soalannya tidak akan mendapat jawapan
yang telus.
“I ada pesan pada Humaira minta you
call I last week,”
Farisha mengangguk perlahan.
Rayyan mengangkat kening.
“So? I rasa phone I tak rosak. Sebab
semua orang boleh call I. Cuma call you tak masuk ke phone I,”
Farisha tersenyum kecil.
“Ada. Memang ada Humaira beritahu. Tapi
I lupa. Lagipun I ke Melaka last week,”
Rayyan sekadar menjongket bahu
mempamerkan sedikit rasa kecewa.
“Bercuti?,”tebaknya sambil terus
meneliti wajah Farisha. Jawapannya yang diterima cuma segaris senyum. Ringkas
dan jauh seperti selalu. Farisha memang tidak pernah menunjukkan minat untuk
dekat dengannya. Untuk mesra dengannya.
“Dah order?,”
Rayyan tergelak kecil sambil menggeleng
tidak percaya.
“Serius... selain sebagai customer
tetap, tak boleh ke bagi layanan yang lebih special sikit untuk I?,”soalnya
dengan nada mengusik.
Farisha tersenyum cuma. Senyum yang
tidak begitu sampai ke hati.
“Kalau semua customer buat request
macam you ni, I kena buat buku log,”
Rayyan ketawa lepas.
“Kita keluar malam ni?,”di hujung
tawa, Rayyan bersuara serius.
Kali ini Farisha tergelak kecil. Kemudian
dia menggeleng. Spontan membuat Rayyan mengeluh perlahan. Agak hampa apabila
ajakannya ditolak lagi. Namun, dia tidak bersuara apabila pesanannya sudah
sampai ke meja.
“Asyik gelak then geleng. Bila dapat
tengok you angguk pula?,”sebaik sahaja pelayan berlalu, dia ajukan soalan itu
pada Farisha. Selama hampir setahun berusaha mendekati Farisha, rasanya memang
wajar dia mula merungut apabila Farisha masih kelihatan tidak berminat padanya.
Farisha mengeluh perlahan.
“Makanlah ya. I tak nak ganggu you
lunch,”dia bersuara sambil mengangkat punggung.
“Duduklah. Temankan I makan,”
“Dan... kalau semua customer macam
you, tak bergeraklah semua kerja I,”Farisha merungut perlahan. Rayyan
tersenyum.
“Please?,”
Melihat wajah Rayyan yang berharap,
Farisha tersenyum kecil sambil melabuhkan semula punggung ke kerusi. Memerhati
Rayyan yang mula menyuap nasi goreng paprik ke mulut. Menu kegemarannya
barangkali kerana itulah pilihan Rayyan setiap kali masuk ke sini.
“Kenapa ya?,”
Farisha mengangkat kening. Soalan
Rayyan tiada mukadimah.
“Kenapa langsung tak nak beri I
peluang? Mustahil you tak faham apa yang bermain di hati I,”Rayyan bersuara
tenang. Tidak perlu lagi rasanya dia terus berteka-teki. Tidak perlu juga untuk
dia kawal perasaan sendiri. Dan
soalannya membuat Farisha terus mengunci mulut.
“I serius,”
Farisha menunduk sambil mengerutkan
kening. Selama ini dia sedar. Cuma dia berpura-pura tidak menyedari akan
perasaan lelaki itu padanya. Tetapi, hari ini jelas lelaki ini berani
berterus-terang.
“I tak cukup bagus untuk you?,”
Farisha mengangkat muka.
“I senang hidup macam ni. I tak perlukan
teman,”
“I tak kisah kalau kita mulakan
sebagai kawan. Be my friend?,”
Farisha tersenyum kelat sambil
menggeleng.
“Sebaiknya terus begini
saja,”balasnya sambil mengangkat punggung.
“Makanlah. I ada kerja sikit,”tanpa
menunggu jawapan daripada Rayyan, dia terus berlalu.
“Farisha...,”Rayyan memanggil dengan
suara yang tidak begitu tinggi. Tidak mahu mengganggu pelanggan lain yang
sedang menjamu selera. Farisha terus berlalu dan dia mengeluh panjang. Gagal
lagi. Sudu dan garfu dilepaskan ke dalam pinggan. Hilang sudah selera makan.
“Jangan cepat putus –asa kalau
betul-betul mahu,”
Dia mengangkat muka mencari suara yang menyentuh
gegendang telinganya. Humaira tersenyum lebar di hadapannya. Senyum itu dibalas
lemah.
“Tak tahu lagi macam mana nak usaha...jual
mahal sangat,”ujarnya separuh mengalah.
Humaira tertawa kecil.
“Qayyum pergi dekat ibu. Mama nak
cakap dengan uncle Rayyan kejap,”Humaira bersuara sambil mengusap perlahan
rambut anak tunggalnya itu. Sambil mengangguk, laju Qayyum berlari mencari
Farisha. Humaira melabuhkan punggung ke kerusi.
“Isha tak jual mahal. Dia takut. Dia
serik...,”Humaira membuka bicara. Melihat sikap tertutup Farisha, dia juga
berasa risau. Farisha sepatutnya memberi peluang untuk kembali mencapai
bahagia.
“Takut apa? Serik apa?,”
“Bila perkahwinan gagal, kita boleh
trauma. Takut nak mulakan semuanya sekali lagi. Takut akan gagal lagi,”
Rayyan diam.
“So, kalau you betul-betul serius
dengan Isha, you jangan putus-asa,”
“Kenapa dia bercerai?,”
Humaira tersenyum.
“Cari jawapannya dari Isha sendiri.
I tak dapat ceritakan semuanya,”jawabnya ringkas.
Rayyan tersenyum tawar. Humaira
sudah berlalu. Meninggalkan dia sendirian berdepan dengan hidangan makan tengah
hari yang sudah tidak nampak menyelerakan di matanya.
******