Sunday, December 26, 2010

Kuseru Rindu Itu... 28

            Lebar senyumnya melihat gelagat Syafiq bersama hadiah-hadiahnya. Tekun membuka pembalut hadiah perlahan-lahan. Awal-awal lagi anak kecil itu sudah memberi amaran. ‘Jangan kacau Afiq nak buka hadiah’. Itulah yang diucapkan apabila dia mengambil tempat di sisi anaknya itu. Mendengar arahan itu, dia bergerak ke sofa. Sekadar memerhati dari jauh.
Hisyam tersenyum lagi. Menggeleng perlahan. Daripada memerhati ketekunan anak tunggalnya, kini matanya teralih pada Idayu yang muncul dari ruang dapur bersama mug kopi. Pasti untuknya. Itu sudah menjadi rutinnya setiap malam.
            “Afiq, sambung esok ya sayang. Pergi tidurlah,”
            “Mama ni… tidur..tidur… itu ajela yang mama tahu,”
            Idayu jegilkan mata dalam senyum mendengar rungutan sedikit pelat itu. Hisyam tergelak kecil. Lucu mendengar rungutan anak tunggalnya itu.
            “Ha ah kan? Mama ni. Sikit-sikit tidur. Sikit –sikit tidur. Tak tahu ke banyak lagi hadiah Afiq nak kena buka tu? Betul tak Afiq?,”tokoknya sengaja mahu mengapi-apikan anak kecilnya itu.
            “Ha ah, papa. Betul… betul,”
            Pecah gelak Idayu mendengar jawapan dari mulut kecil itu. Mug kopi dihulurkan pada Hisyam. Hisyam tersenyum sambil menyambut huluran itu. Mug diletakkan ke meja. Merenung wajah Idayu yang kelihatan sedikit letih.
            “Penat?,”
            Idayu tersenyum kecil.
            “Sikit…,”balasnya sambil tersenyum kecil. Perlahan melabuhkan punggung di sisi Hisyam. Hisyam pula, tanpa disuruh, mengelus perlahan bahu Idayu. Menghadiahkan satu urutan perlahan buat Idayu.
            “Degil. Abang suruh tempah catering tak nak,”
            “Tak apalah. Bukan selalu. Lagipun bukan banyak sangat pun,”
            Hisyam merengus perlahan. Meneruskan urutan lembutnya yang melegakan Idayu. Memang sedikit penat, apabila sudah lama tidak lincah membuat kerja dapur. Apa lagi kerja menyediakan hidangan untuk lebih kurang seratus orang tetamu. Jiran-jiran dan teman-teman terdekat.
            “Hmmm… kalau ada tukang urut bagus macam ni, hari-hari penat pun, Ayu sanggup,”lembut usikan Idayu menyapu telinganya. Dia tersenyum. Urutannya terhenti. Tangannya jatuh ke pinggang. Memeluk Idayu dari belakang. Idayu diam sambil menyandarkan badan ke dada Hisyam.
            “Urutlah lagi,”dia bersuara lagi. Namun, permintaannya lebih kepada mengusik. Hisyam tergelak. Pelukan dieratkan sambil dagunya diletakkan ke bahu Idayu. Sedang dua pasang mata itu, sama-sama terarah pada keletah Syafiq.
            “Sekejap saja masa berlalu,”Idayu bersuara tanpa memandang wajah suaminya.
            “Hmmm…,”
            “Dah besar anak kita. Kan, bang?,”
            “Betul. Dah besar dah. Rasanya baru semalam abang kena tunggu Ayu minum susu. Kena tunggu Ayu ambil vitamin. Kena ingatkan Ayu appointment dengan doktor,”
            Idayu tersenyum. Perlahan jemarinya bergerak ke lengan Hisyam. Mencubit perlahan lengan lelaki itu.
            “Itu juga yang dia ingat,”omelnya perlahan membuat Hisyam tergelak senang.
            “Agak-agak lepas ni, kalau pregnant lagi, masih malas minum susu? Masih malas makan ubat?,”
            “Abang kan ada. Abang boleh tunggu Ayu macam dulu. Kan?,”ujarnya sambil sedikit mendongak mencari wajah Hisyam. Hisyam menjeling bersama senyum.
            “Kali ni, abang ada assistant,”
            Idayu tergelak kecil.
            “Mana tahu hero kecil abang boleh jadi assistant? Nanti Ayu boleh rasuah dia,”
            “Abang kasi upah cukup. Mesti dia setia dengan abang nanti,”
            Idayu terus tersenyum.
            “Abang…,”
            “Hmmm…,”
            “Ayu tanya satu soalan, boleh?,”
            “Apa dia?,”
            “Macam mana ciri-ciri perempuan idaman abang ya?,”
            Hisyam diam. Sekali lagi Idayu mendongak. Memandang wajah Hisyam. Renungan mereka bersatu. Dia mahu mendengar jawapan Hisyam.
            “Soalan jenis apa tu?,”
            “Jenis biasa je bang…,”balas Idayu tersenyum lebar. Hisyam turut tersenyum sambil menggaru dagu. Pura-pura berfikir.
            “Jawablah,”
            Hisyam terus terdiam. Perempuan idaman? Rasanya bersama dengan Idayu, terasa dia sudah memiliki semua ciri-ciri yang dia dambakan. Tetapi, tetap dia mahu Maisara yang berada lebih hampir di hatinya.
            “Agak-agak ada chance tak, Ayu jadi perempuan idaman abang tu?,”lembut soalan Idayu menyapu telinganya. Membuat hatinya berdetak halus. Dia tidak faham tujuan Idayu mengajukan soalan itu. Tetapi, dia bagai dapat merasai ada kepiluan dalam alunan lembut suara itu.
            “Ayu… kenapa ni?,”
            Idayu bergerak membetulkan duduknya. Tidak lagi bersandar pada dada bidang suaminya. Kini dia duduk  menghadap wajah Hisyam.
            “Ayu nak tackle abang. Boleh?,”
            Hisyam tergelak halus. Lelucon apa yang sedang Idayu mainkan ini?
            “Abang rela, Ayu. Setiap detik abang rela Ayu nak tackle abang…,”balasnya perlahan dengan nada bergurau.
            “Ayu nak jadi kekasih abang,”
            Hisyam mengeluh perlahan. Mulai dapat rasakan soalan-soalan Idayu adalah risik tentang letak duduk diri di hatinya. Soalan Idayu bukan untuk bersenda – gurau.
            “Ayu istimewa di hati abang. Abang nak Ayu tahu itu,”
            Idayu diam. Merenung wajah suaminya dalam-dalam. Tetap Hisyam menolak dirinya di sebalik kemesraan yang melaut terhimpun untuknya itu. Sukarnya untuk dia meraih hati dan cinta Hisyam. Dia sekadar penghuni hati Hisyam di kala lelaki itu sedang tercari-cari cinta. Perlahan dia mengeluh. Memang Hisyam tidak pernah mendambakan perasaan seistimewa itu daripadanya.
            “Ayu naik dulu ya. Jangan biarkan Afiq berjaga lewat sangat ya bang,”
            “Nak ke mana? Duduklah dengan abang dulu,”
            “Nak baring. Hilangkan penat. Good night abang,”ucap Idayu lembut sambil melayangkan satu kucupan di pipi Hisyam. Satu kebiasaan Idayu setiap kali mahu melelapkan mata.
            Hisyam diam. Ada rasa bersalah mula menjalar di hati. Ceria Idayu perlahan-lahan pergi. Dia sedar itu.
            “Ayu…,”jemari Idayu dicapai. Mematikan langkah Idayu.
            “Ya, bang,”
            “Abang sayang Ayu,”
            Idayu tersenyum. Sudah lama dia tahu sayang Hisyam padanya. Dan, dia juga mula sedar sayang Hisyam akan kekal sayang selama-lamanya. Tidak akan bertukar menjadi cinta yang dia dambakan.
            “Ayu tahu. Ayu bersyukur dengan sayang tu. Cuma, kadang-kadang Ayu jadi tamak,”balasnya bersama senyum yang sukar untuk Hisyam mengertikan.
            “Ayu naik dulu ya,” sambungnya seraya menarik perlahan jemarinya yang bertaut di tangan Hisyam. Hisyam mengangguk perlahan. Dia tahu Idayu berjauh hati. Dia tahu Idayu merajuk. Tetapi, bagaimana harus dia pujuk? Haruskah dia mandikan Idayu dengan janji-janji manis yang dia sendiri tidak pasti mampu untuk ditunaikan atau tidak.
            “Syam… Kenapa Ayu tu?,”
            Hisyam mengangkat muka. Memandang kosong pada Shahrul yang sudah tercegat di hadapannya. Entah bila lelaki itu muncul di situ, langsung tidak dia sedari.
            “Ayu kenapa?,”soalan itu diajukan pula pada Shahrul.
            “Macam tak ceria saja mukanya,”Shahrul bersuara sambil melabuhkan punggung ke sofa.
            “Entahlah, dia berjauh hati agaknya,”
            “Kenapa ni? Kau bergaduh ke?,”
            Hisyam mengeluh panjang.
            “Entahlah, Shah. Aku kelirulah,”
            “Keliru?,”
            “Aku rasa aku faham perasaan Ayu sekarang. Dia tahu pasal aku dengan Maisara,”
            Shahrul terpaku seketika.
            “Kau terus –terang dengan Ayu?,”
            Hisyam menggeleng.
            “Dia ternampak aku dengan Maisara. Tapi, dia diamkan Shah. Dia buat tak tahu. Aku tak faham kenapa. Kenapa dia tak berdepan dengan aku. Kalau orang lain…,”
            “Kalau orang lain, silap-silap kau dah terbaring kat hospital. Kena pinggan periuk yang terbang melayang,”sampuk Shahrul selamba.
            Hisyam bersandar malas.
            “Aku tak faham kenapa dia terus diamkan. Tapi, aku rasa aku faham perasaan Ayu sekarang. Ayu takut aku sia-siakan dia,”
            “Baguslah kalau kau faham. Jadi, tunggu apa lagi? Hentikanlah semua tu,”
            Hisyam mengeluh perlahan. Mudahnya berkata-kata.
            “Pergilah  tengok dia. Sampai hati ke kau tengok dia sedih-sedih?,”
            “Aku tak tahu macam mana nak berdepan dengan Ayu, kalau masalahnya tentang perasaan aku ni. Aku serba – salah. Aku nak pujuk, tapi macam mana? Nak biarkan saja, aku tak sampai hati,”
            “Jangan buat Ayu rasa dia dah tak penting dalam hidup kau,”
            Hisyam melurut perlahan rambutnya. Idayu tidak pernah menjadi tidak penting padanya.
            “Syam… aku ada satu pepatah untuk kau,”
            “Apa dia?,”
            Shahrul tersenyum. Bersandar ke sofa sambil duduk bersilang kaki.
            “Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga….,”ujarnya lancar sambil memandang wajah Hisyam yang kelihatan sedikit terganggu.
            “Ikhlas aku cakap, kau tak layak nak main kayu tiga ni. Nak kahwin dua, lagi tak layak.Cukuplah dengan Ayu seorang saja,” tambah Shahrul dengan nada suara yang sedikit merendah. Matanya terarah pada Syafiq. Tidak mahu anak kecik itu mendengar perbualan antara dia dan Hisyam.
            “Aku pun tak suka dengan semua ni. Tiba-tiba aku rasa macam terperangkap,”
            “Kau sendiri yang cari perangkap tu...,”
            Hisyam merenung wajah Shahrul dengan renungan yang sedikit tajam.
            “Kau jumpa gadis yang kau cinta. Kau kahwin denan gadis yang kau cinta. Senanglah kau nak hukum aku macam tu. Aku tak rasa apa yang aku rasa,”
            “Kau menyesal dengan perkahwinan kau ni?,”
            “Ini bukan soal menyesal atau tak. Ini soal peluang untuk aku rasa apa yang aku cari selama ini. Perasaan mencintai dan dicintai,”
            “Perasaan tu lebih penting daripada perkahwinan ni?,”
            “Dua-dua penting pada aku. Aku tak  mungkin dapat hidup tanpa Ayu. Aku juga tak mahu perasaan aku pada Maisara berlalu macam tu saja. Perasaan itu bukan mainan.
            Shahrul mengeluh perlahan.
            “Aku tak tahu lagi macam mana caranya nak tolong kau. Cuma, aku rasa, sekarang ada baiknya kau pergi pujuk Ayu. Mesti dia tengah bersedih tu,”
            Hisyam diam seketika. Memang itu niatnya. Mahu melihat keadaan Idayu.
            “Kau tengokkan Syafiq. Dah lewat juga ni. Kau suruhlah dia tidur kejap lagi,”
            “No problem. Malam ni Afiq tidur dengan Paksu ya….,”Shahrul bersuara girang. Pantas bangkit mendekati  Syafiq. Disambut dengan senyum lebar Syafiq.
            “Nak…nak…,”
            Hisyam tersenyum kecil mendengar jawapan yang cukup ceria itu. Memang Syafiq rapat dengan Shahrul dan Juita.
            “Kau tengok ni Syam. Comelnya anak kecil ni, untuk dia menderita nanti,”Shahrul bersuara lagi sambil menarik Syafiq ke pelukannya. Membuat Hisyam terdiam seketika. Matanya menyapu wajah polos Syafiq. Shahrul mengangkat kening.
            “Papa nak tidur ni. Afiq nak duduk dengan paksu ke?,”Hisyam bersuara sambil mengosok tengkuk. Syafiq pula cuma mengangguk sambil terus leka dengan bungkusan-bungkusan hadiahnya.
            Hisyam tersenyum kecil. Dia pun tidak mahu insan kecil kesayangannya ini menderita. Dia faham maksud kata-kata Shahrul.
            “Aku naik dulu, Shah,”
            Bersama anggukan Shahrul, dia bergerak meninggalkan ruang tamu. Meniti perlahan anak tangga menuju ke bilik. Sebaik pintu bilik terkuak, ruangan bilik itu sudah suram. Cuma lampu tidur yang memberi cahaya malap. Pintu bilik ditutup perlahan. Dia mendekati katil. Melabuhkan punggung di sisi Idayu yang kelihatan sudah lena. Berangkali isterinya itu terlalu penat setelah seharian bertungkus-lumus untuk majlis hari jadi Syafiq. Jemarinya perlahan mengusap wajah itu. Sungguh tenang dalam lenanya. Tangan Idayu memegang bingkai gambar yang terlekap erat di dadanya. Dengan hati-hati dia melonggarkan genggaman itu. Bingkai gambar ditarik perlahan. Tersentuh hati lelakinya tatkala matanya menyapu foto dia, Idayu dan Syafiq yang terpeluk erat di dada Idayu. Nafasnya tertahan. Sebak. Sungguh sebak rasanya. Wajah Idayu direnung lagi. Dia bergerak duduk dilantai sambil terus merenung Idayu. Mengelus lembut rambut Idayu.
            “Abang jahat pada Ayu kan?,”bisiknya perlahan.
            Sambil terus mengelus rambut dan wajah Idayu, sebelah lagi tangannya mencapai jemari isterinya itu.
            “Abang tahu Ayu takut abang tinggalkan Ayu, kan?,”bisiknya lagi bersama benteng air mata yang kian memberat. Satu kucupan hangat singgah di tangan Idayu yang tergenggam di genggamannya.
            “Abang minta maaf , sayang. Abang tak tahu apa yang sebenarnya abang mahu. Tapi, yang pasti, abang tak mahu kehilangan Ayu. Abang tak mahu melihat Ayu sedih begini,”monolog itu berlagu perlahan di telinga Idayu seperti air matanya yang perlahan menitis ke pipi. Hatinya sakit memikirkan betapa dalam tidak dia sedar, bukan sedikit hati Idayu telah dia lukai. Dia terus terduduk di sisi katil sambil memandang wajah Idayu puas-puas. Ingin terus menemani lena Idayu.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: