Monday, May 17, 2010

Sekadar Di hati...10


“Najwa!!!,”
Kuat beberapa suara itu yang bergabung menjamah gegendang telinganya. Dia berpaling. Sedikit hairan melihat seorang gadis laju meluru ke arahnya serentak dengan bunyi hon yang panjang. Sekali lagi dia menoleh. Kali ini ke arah bunyi yang nyaring itu. Dia terkesima. Belum sempat berfikir apa-apa , satu tubuh keras menolaknya. Membuat dia tercampak. Terjatuh ke jalan tar. Sungguh dia tergamam. Leka meneliti tayar keretanya yang pancit membuat dia tidak menyedari langkahnya sudah menjamah jalan raya. Sebuah kereta berhenti mengejut tidak jauh dari tempat dia tergolek bersama seorang gadis.
“Aja!!! Kau dah gila ke?,”
Dia terkebil-kebil. Gadis yang jatuh terduduk di sisinya diam sambil menyapu tangan. Wajah itu berkerut. Beberapa teman yang menjerit ketakutan sebentar tadi, sudah mula mengelilinginya. Mencapai tangan kecil gadis itu. Dan, dia masih menjadi pemerhati. Masih terkejut sebenarnya.
“Tangan kau dah luka,”
“Sikit je,”
Akhirnya satu suara muncul dari bibir itu. Juga sepasang mata bening itu kini memanah wajahnya.
“Encik tak apa-apa?,”
“Hah?,”
Gadis itu cuma tersenyum. Dibantu teman-temannya, gadis itu bangun perlahan-lahan.
“Kalau tak apa-apa, Alhamdulillah. Lain kali hati-hati ya Encik,”
“Betul tu. Nasib baik ada adik ni. Kalau tak, tak tahu apa jadi,”satu suara dari belakang kumpulan gadis-gadis beruniform biru itu, perlahan-lahan menghantar sedar padanya. Gadis ini baru sahaja menyelamatkan nyawanya. Dan lelaki yang bersuara itu, pemilik kereta yang menekan hon panjang seketika tadi. Pemilik kereta yang hampir melanggarnya.
“Sorry. My mistake,”perlahan dia bersuara sambil bangkit dari jatuhnya. Ada rasa pedih. Matanya jatuh pada lengannya. Ada kesan calar di situ. Pasti disebabkan geselan pada jalan tar yang keras. Lebih dari itu, sungguh dia bersyukur nyawanya masih dipanjangkan.
“Kamu tak apa-apa?,”
“No. I okay. Sikit saja,”balasnya sambil matanya memandang wajah gadis yang menjadi penyelamatnya. Renungannya membuat gadis itu tersenyum kecil. Kemudian mengangguk perlahan isyarat menyapa.
“Terima kasih. Kalau awak tak ada tadi, tak tahulah apa jadi,”ucapnya bersungguh-sungguh.
“Tak apa. Perkara kecil saja,”
“Perkara kecil kau cakap? Kau baru saja bahayakan nyawa kau. Tahu tak? Terkejut kita orang. Kalau apa-apa jadi tadi, macam mana?,”
Satu suara temannya riuh membebel.
Gadis itu tersenyum. Tidak menjawab. Cuma meneliti tangannya yang sudah mula memerah dengan darah.
“Nampaknya luka tu?,”tegurnya dan sekali lagi cuma dibalas senyum.
“Sikit aje,”
“Betul ke sikit tu?,”dia bersuara lagi sambil melangkah mendekat. Mahu melihat kondisi gadis itu.
“Betul. Sikit je. Balik rumah boleh sapu ubat,”
“Jomlah,”sekali lagi gadis itu bersuara. Mengajak teman-temannya beredar.
“Tak nak ke klinik ke?,”
Soalan yang mahu dia hamburkan, terlebih dahulu dilunasi lelaki berpangkat abang yang hampir melanggarnya sebentar tadi.
“Tak apa. Sikit saja bang. Tak perlu risau,”
“Baik awak ke klinik,”sampuknya laju. Tidak kena rasanya membiarkan gadis yang telah menggadai nyawa sendiri demi menyelamatkan seorang yang tidak dikenalinya, berlalu begitu sahaja. Dia yang bertanggungjawab di atas kecederaan gadis itu.
“Abang hantarkan. Kamu pun luka tu. Abang hantar ke klinik sekali,”
Dia tersenyum mendengar pelawaan itu.
“Semua ni silap saya. Sepatutnya saya yang hantar adik ni ke klinik. Tapi, my car…,”
“It’s ok. Abang tolong hantarkan. Kamu juga,”
“No. Tak payah. Sikit saja ni. Lagipun saya tengah tunggu orang datang tukar tayar ni,”
“Kalau macam tu, abang hantar adik ni aje,”
Dalam anggukan, perlahan dia menyeluk poket seluar. Mengeluarkan wallet. Dua keping not seratus dihulurkan pada lelaki di hadapannya.
“Klinik cost…for that girl,”
“Please… salah saya bang. Bukan salah abang,”dia sedikit mendesak melihat lelaki itu keberatan menerima. Not dua ratus terletak di hujung jarinya untuk seketika sebelum lelaki itu menerima. Kemudian pandangan dialihkan pula pada sekumpulan gadis yang tercegat menjadi pemerhati.
“Ini kad saya. I’m so sorry. Kalau boleh saya nak hantar. Tapi, saya kena selesaikan my car ni dulu. Make sure, call me. Ok? Call me today,”sekeping kad dihulur. Lambat-lambat kad itu disambut.
“Anyway, saya Zarith,”
“Saya…,”
“Najwa…,”pintasnya bersama senyum. Seluruh alam sudah bergema dengan nama itu sebentar tadi. Gadis itu tersenyum. Teman-temannya tergelak kecil.
“Sekali lagi, thanks bang. And, thanks for saving my life, Najwa. You memang nekad. Lepas pergi klinik call me. Ok?,”
Ucapan terima kasihnya cuma dibalas anggukan kecil. Najwa berlalu. Dan, itulah titik permulaan dia mengenali Najwa. Juga bukan mudah untuk dia dekati gadis itu. Kad yang dititipkan tidak diacuhkan Najwa. Selepas kejadian itu, Najwa terus menyepi. Kalau bukan usahanya terus mencuba nasib mencari Najwa di kilang tempat gadis itu bekerja, Najwa tidak mungkin akan melekat di dalam rentetan perjalanan hidupnya.
Zarith meraup perlahan wajahnya. Dia relakan sekali lagi mindanya larut dalam kenangan. Tidak tahu mengapa, kini wajah itu terlalu sering mengganggunya. Rindunya pada Najwa bukan sedikit. Mungkinkah disebabkan rasa bersalah yang bersarang di hatinya? Mungkin juga disebabkan sikap kejamnya terhadap Najwa. Atau barangkali disebabkan rasa sayang yang tidak pernah diuji dengan perpisahan sebelum ini, telah menghukumnya? Najwa tidak pernah melangkah pergi darinya. Namun, disebabkan sikapnya, gadis itu terus menyepi. Kehilangan yang perlahan-lahan meresap jauh ke dalam sanubarinya. Perasaannya pada Najwa tidak perlu dia nafikan. Gadis itu memang istimewa padanya.
“Betul ke anak I?,”
“Awak tahu saya. Awak kenal saya. Tak perlu saya jelaskan. Dan tak perlu hina saya macam tu kalau awak tak mahu bertanggungjawab,”
Perlahan dia pejamkan mata. Malu dengan soalan berbaur tuduhan yang meniti dari bibirnya sendiri. Kejam penerimaannya pada kemelut yang melanda Najwa. Dan, semua sengsara itu memang datang darinya. Bukan dia curiga paad status kandungan Najwa. Cuma, dia mencari alasan untuk membuang jauh-jauh tanggungjawab yang sebegitu besar. Yang harus dia terima andai dia mengaku kandungan Najwa adalah miliknya.
“Ambil ni,”
“Bayaran untuk saya tidur dengan awak, atau bayaran untuk saya kandung anak awak?,”
Zarith merengus kasar. Bodohnya dia. Baru dia sedar betapa kejamnya jalan penyelesaiannya dalam menghadapi masalah dia dan Najwa. Betapa jeliknya cara dia cuba menyelesaikan masalah. Betapa singkatnya dia menilai sikap Najwa.
“Aku tak akan salahkan lelaki pengecut macam kau. Aku akan buktikan satu hari, kau akan datang melutut pada aku!,”
Itulah bicara paling kasar dari Najwa yang pernah jatuh ke telinganya. Memang wajar Najwa sekasar itu. Memang benar juga kata-kata Najwa. Dia lelaki pengecut. Dia berani membuat tindakan namun, keberanian hilang sebaik berdepan dengan akibat dari tindakannya itu. Memang semua kesalahan terletak di bahunya. Dia yang merancang semuanya.
Sedikit pun kesalahan tidak patut dia letakkan pada Najwa. Dia tahu Najwa. Dia kenal Najwa. Berkali-kali ditolak Najwa, dia jadi senekad itu. Juga tercabar dengan ejekan teman-teman. Dengan Najwa dia gagal. Gagal tundukkan Najwa sebagaimana dia tundukkan deretan gadis yang mengejar wajahnya. Yang mengejar duitnya. Yang mengejar dirinya. Tetapi, Najwa membuat dia tersekat. Tersekat untuk melakukan apa sahaja. Cuma pil khayal yang mampu membuat dia berjaya menakluki Najwa. Juga berjaya membuktikan pada teman-teman, dia masih Zarith yang sama. Zarith yang mampu menundukkan setiap gadis yang didampingi.
Silap cumalah Najwa mengandung. Andai gadis itu tidak mengandung, pasti dia masih bahagia menatap bicara Najwa. Mendengar tawa Najwa. Dia tidak kisah pada nekad kata-kata Najwa yang tidak membenarkan dirinya disentuh lagi. Dia hormat pada permintaan gadis itu. Dia sayangkan Najwa. Sayang pada Najwa tidak sama dengan sayangnya pada gadis-gadis lain yang pernah hadir dalam hidupnya. Najwa ada ruang istimewa di hati. Dia sedar itu.
Namun, panik dengan berita yang meluncur dari bibir gadis itu, dia nekad menyingkir Najwa. Memikirkan berat beban yang bakal tergalas, beban itu dibiaskan semuanya ke bahu Najwa. Membiarkan Najwa menangis merayu. Membiarkan Najwa terkial-kial sendirian.
“Kau bodoh, Zarith…,”tanpa sedar bibirnya sendiri melontar amarah. Kemas jemarinya mengelus rambut yang tersikat rapi. Sungguh penyesalan kini menggunung di jiwa. Teringat pada apa yang pernah Najwa lakukan padanya, dia lemah dalam rasa bersalah yang terlalu dalam.
Najwa penyelamat nyawanya dan dia tega memusnahkan hidup Najwa. Menghancurkan perasaan gadis itu. Membunuh cinta gadis itu yang menggunung padanya. Hakikat itu membuat dadanya sesak. Sukar menghela nafas apabila beban itu memberat di jiwa. Dia mahu meminta maaf. Dia mahu pulang menggalas tanggungjawab. Dia tersilap. Dan, dia perlu betulkan semua kesilapan itu. Wajah riang Najwa pernah membuat dia bahagia. Dan, tatkala wajah untuk dirundung muram, dia bertindak melangkah pergi. Kejam? Memang itu hakikatnya.
Dia mengeluh panjang. Perlahan mencapai telefon bimbitnya. Mahu menghubungi Najwa. Mahu mendengar khabar tentang gadis itu. Mahu meminta maaf di atas kesilapannya yang bukan kecil. Dia mahu kembali pada Najwa. Dia mahu menggalas tanggungjawab bersama Najwa. Pengecut? Dia tidak mahu lagi menjadi pengecut. Sesuatu yang dia mulai, seharusnya dia juga yang akhiri.
Dalam teragak-agak, dia mencari-cari nama itu. Menekan button membuat panggilan. Berkali-kali dia cuba menghubungi Najwa namun tiada jawapan. Kegagalan yang membawa satu lagi keluhan meniti di bibir.
“Maafkan aku Aja. Aku akan tebus silap aku…,”dalam kecewa dia berbisik sendiri. Sekali lagi menghela nafas yang panjang. Kembali termenung mencari wajah Najwa di dalam mindanya. Mahu terus mengingati gadis itu.


****

[11:35:50 PM] hos.getah: