Monday, September 1, 2014

Mencari Hilang 1



      
      Memerhati tingkah Trisya, bibirnya melebar dengan senyuman. Keletah anak itu membawa ingatannya kepasa seseorang. Dan, tanpa perlu dipaksa, ingatannya mudah kembali ke satu detik yang barangkali tidak mampu dia padam selamanya. Membawa satu wajah berlegar di ruang ingatannya. Wajah yang pernah membawa makna yang mendalam di dalam hidupnya. Yang perlahan-lahan memaksa dia bangkit mendepani satu kenyataan. Kenyataan yang tersasar jauh dari keinginannya. Kenyataan yang memaksa dia membuat satu keputusan penting. Sangkanya keputusan yang diambil bakal memadam wajah itu dengan mudah. Namun, ternyata semuanya tidak semudah perancangan. Buktinya, yang kuat berceloteh di hadapannya kini, menjadi Trisya. Trisya yang pernah mencatat kenangan indah di dalam hidupnya.
            “Kenapa Trisya?,”
            “Kenapa? Tak suka?,”
            “Bukanlah tak suka. Tapi, cara abang bagi cadangan tu,macam Trisya tu, seseorang pada abang. Bekas girlfriend abang ya?,”
            Senyum tergaris halus. Teringat soalan Zurina apabila lancar lidahnya mencadangkan nama itu untuk puteri sulung mereka. Entah kenapa, menatap wajah anaknya, spontan wajah Trisya menjelma. Membuat rindu pada anak itu, membuak tiba-tiba. Lalu nama itu terpatri kekal menjadi milik darah dagingnya sendiri.
            “Papa! Dengar tak?,”
            Zaheem tersentak. Wajah-wajah kenangan lari bertebaran. Yang ada di hadapannya kini, cuma wajah kelat Trisya yang garang bercekak pinggang. Membuat Zaheem tersenyum lucu.
            “Papa dengar tak?,”
            “Ya, sayang. Ada apa?,”
            “Papa kan sakit perut. Kenapa bagi tangan kat Trisya?,”
            Zaheem memandang. Tanpa sedar, tangannya terhulur.
Spontan gelak kecil pecah di bibir. Dia leka melayan perasaan.
            “Garanglah doctor ni,”
            Trisya masih memuncung bersama stetoskop mainan yang tergantung di leher.
            “Tak naklah main lagi,”rajuk si kecil sambil berpeluk tubuh. Zaheem tersenyum lebar. Tubuh kecil itu, ditarik ke pelukan.
            “Okay. Papa minta maaf. Lepas ni papa sakit perut ya. Janji,”
Wajah kelat itu sedikit tersenyum.
            “Lepas ni kalau papa menung lagi, siaplaa,”
            Zaheem tergelak besar. Lucu apabila ayat Zurina tiap kali menahan geram, kini lancar di bibir Trisya.
            Zurina, gadis yang diangkat menjadi suri hidupnya tatkala cintanya mekar pada perempuan lain. Zurina yang dia yakin tepat di saat jiwanya parah terpaut pada hati yang salah. Zurina yang menjadi ibu kepada Trisya nya, saat dia rindukan Trisya yang lain.  Atau barangkali saat dia rindukan wajah yang lain? Tanpa sedar, satu keluhan meniti di bibir. Rasa bersalah timbul tiba-tiba. Diam-diam dia sering salahkan diri sendiri. Perasaan ini seharusnya tiada di antara dia dan Zurina. Saat dia ada Trisya dan Zurina, entah kenapa bayangan lalu tidak pernah mahu pergi. Sukarnya membuang satu rasa yang dalam tersimpan jauh di dalam lipatan hatinya. Tidak pernah terluah walaupun pada si pencuri hati.
            Perlahan dia meraup wajah. Andai semalam dia berasa dia kuat, hari ini, dia harus akui, kekuatan itu masih belum cukup. Dia masih belum mampu keluar dari belenggu rasa yang kadang kala terasa amat mendera. Berdosa dengan libang-libu jiwanya yang sering berperang sesama sendiri.
            “Ok pakcik... pakcik sakit sikit aje ni. Ini ubat untuk pakcik,”
            Lamunannya pecah sekali lagi. Tumpuan teralih pada doktor kecil yang sibuk menyusun ‘ubat’ di atas meja.
            “Yang ni pakcik makan lepas makan. Yang ni pakcik makan bila perut pakcik sakit ya,”
            Zaheem senyum.
            “Baik doktor. Berapa semua ni?,”
            “Erm... semuanya seratus,”
            “Wahhh mahalnya doktor!,”
            Trisya tergelak-gelak. Makin nyaring gelaknya apabila perutnya digeletek halus. Zaheem ikut ketawa senang. Gelak halus yang sekali lagi tidak mampu membuang cerita silam. Lama dia merenung anak kecil di dalam pelukannya itu. Kebetulan atau tidak, Trisya membesar bersama karekter yang sangat-sangat sinonim dengan kenangannya.
            “Kenapa papa?,”
            Zaheem mengukir senyum. Wajah itu diusap lembut.
            “Papa sayang doktor Trisya ni,”
            Trisya mengekek lagi.
            “Oklah. Simpan dulu mainan. Rehat dulu ya, doktor. Dah lambat ni. Nanti mama tunggu lama pula,”
            Trisya mengangguk. Segera jemari kecilnya memasukkan semua mainan ke dalam kotak berwarna-warni.
            “Jom, papa,”
            Zaheem mengangguk. Janjinya, mahu terus ke restoran untuk makan malam bersama Zurina. Perlahan dia mengangkat punggung. Memimpin Trisya sambil membuang jauh-jauh usikan perasaan yang sesekali muncul mengganggu. Hidupnya sudah lengkap. Berkali-kali dia meyakinkan hati yang kadang-kala resah tiba-tiba.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: