Wednesday, September 4, 2013

Mungkinkah? 1

“Gila ke laki kau ni, Rissa?,”
Arisa menyapu air mata yang membanjiri pipi. Wajah bapanya yang kelihatan marah dipandang dengan rasa hiba. Bapanya wajar marah dan dia wajar menerima balasan ini barangkali. Berat untuk dia bercerita tetapi, terasa beban yang ditanggung sudah tidak mampu digalas. Sudah terlalu penat dia melayan kerenah Radhi. Semakin hari semakin sulit untuk dia berdepan dengan perangai Radhi. Semakin hari Radhi semakin sengaja mahu menyakitkan hatinya. Semakin mencabar sabarnya. Dia berharap Radhi akan berubah. Dia berdoa agar Radhi menjadi lelaki yang pernah dicintai sepenuh hati sebelum mereka bergelar suami isteri. Tetapi semua itu mungkin cuma akan menjadi mimpi. Jauh sekali untuk digapai sebagai realiti.
“Itulah. Dari dulu lagi ayah tak berkenan kamu berkahwin dengan Radhi tu. Cinta konon. Tengoklah apa jadi dengan kamu sekarang ni? Kurus kering makan hati. Inilah yang kamu dapat sebab nak pertahankan sangat cinta kamu tu. Kan?,”
Arisa tunduk. Hujah bapanya tidak mampu dia patahkan. Saat ini, dia akui kebenaran kata-kata bapanya. Cinta bagai tidak membawa erti lagi padanya. Separuh mati dia pertahankan Radhi. Bermatian dia cuba yakinkan ibu dan bapanya, Radhi adalah jodoh yang terbaik untuknya.  Tetapi hari ini sudah terbukti dia silap. Dia silap dan bapanya benar.
“Silap  Rissa. Rissa mengaku semuanya salah Rissa. Tapi, sebelum kahwin dia tak macam ni, ayah. Dia baik,”perlahan dia bersuara.
Haji Salleh mengeluh perlahan. Ikutkan geramnya, memang mahu dia hamburkan segala rasa marah yang terpaksa dipendam kerana sayangkan anak. Walau berat hatinya, dia akur dengan permintaan Arisa. Dengan separuh hati, akhirnya Radhi terpaksa diterima sebagai menantu. Tetapi, melihat kesedihan Arisa saat ini, dia tidak sampai hati. Segalanya telah berlaku. Walau diluahkan segunung marah sekalipun, mustahil kemarahan itu dapat memulihkan keadaan.
“Sudahlah. Tak guna nak cakap benda yang dah berlaku,”sudahnya, dia bersuara dengan nada sedikit kendur.
Arissa terus menunduk.
“Dia dah jauh berubah, ayah… dia bukan Radhi yang Rissa kenal dulu,”lemah luahan yang meniti di bibir.
“Lelaki ni, kalau dah dapat isteri gaji besar sikit, naik kepalalah dia. Nak pula, jenis yang malas kerja macam suami kamu tu. Tengoklah macam-mana dia buat pada  kamu? Nasib baik tak ada anak lagi. Kalau ada anak, macam-mana? Bertambah-tambah beban kamu. Yang seronok… dialah. Siang malam tahunya berjoli… berjudi,”
Arisa mengeluh panjang. Buntu memikirkan masalah yang semakin menyesakkan kepala. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan bapanya. Tetapi, apabila semuanya sudah tidak mampu untuk dia harungi sendirian, cuma bapanya yang dia ada untuk mengadu. Dan, kata-kata bapanya itu ada benarnya. Jelas Radhi hanya mengambil kesempatan padanya. Dia menjadi tabung duit bagi Radhi. Dia menjadi tempat melampiaskan nafsu bagi Radhi. Dia menjadi tempat Radhi melepaskan amarah setiap kali pulang ke rumah dengan muka kelat disebabkan kalah judi. Semenjak berkahwin, dia seakan tidak  bermakna langsung pada lelaki itu. Kasih Radhi hilang dari matanya. Cinta Radhi juga ghaib entah ke mana. Yang tinggal cuma satu kenyataan yang membuat hatinya tersayat pilu. Dia bagai boneka untuk kesenangan Radhi.
“Sakit dada ayah ni tengok gelagat laki kamu tu. Bekerja malas. Orang kiri kanan duk sibuk bercerita. Angkut anak dara orang sana. Angkut anak dara orang sini. Sekarang dah gatal nak kahwin lagi pulak? Siapa yang nak tanggung bini dia nanti? Kamu?,”kali ini, sedikit keras suara yang meniti di bibir Haji Salleh. Berbaur geram nada yang sampai ke telinga Arisa.
Arisa tersentap. Mengangkat muka merenung wajah bapanya. Air mata yang ditahan dari tadi, kini menitis jatuh ke pipi. Perlahan dia menggeleng. Tingkah Radhi sudah cukup menghancurkan perasaannya. Selama dua tahun dia ‘menikmati’ cinta suci Radhi. Cinta yang penuh dengan caci-maki dan air mata. Silap besar dia agungkan cinta sehingga sanggup ingkar pada teguran bapanya. Pada nasihat arwah ibunya. Rupa-rupanya cinta suci itu cuma omong kosong. Hakikatnya cinta langsung tidak bernilai.
“Ayah tak fahamlah. Apa yang kamu tengok pada si Radhi tu? Langsung tak ada masa depan. Tak cukup ke dia buat kamu selama ni? Dua tahun kahwin, paling lama ayah tengok dia kerja dua bulan saja. Lepas tu, jadi kutu rayau. Duduk rumah bapak mertua dah buat macam rumah sendiri. Nak keluar minta duit bini. Balik marah-marah bini,”kali ini, terlampias juga rasa geram yang terbuku di hati. Memang setiap kali nama itu melintas di kepala, hatinya terasa sakit.
Arisa menunduk. Kata-kata itu sedikit sebanyak membias rasa malu di hatinya. Malu dengan sikap suami sendiri. Mahu nafikan, itulah kenyataannya. Cuma Radhi seakan tidak pernah ada rasa malu pada bapanya.
“Malu Rissa dengan sikap dia tu, ayah,”
“Kenapa pula kamu yang nak malu? Yang buruk perangai suami kamu…,”
Arisa mengeluh lagi. Perlahan menolak ke belakang rambut ikalnya yang disapa angin petang.
“Apa rancangan kamu sekarang? Nak ikutkan juga kehendak suami kamu tu? Nak bermadu? Sah-sah beban kamu yang bertambah nanti. Sekarang tanggung laki. Nanti dengan madu kamu pun kamu tanggung. Kalau beranak-pinak nanti, macam mana? Ayah ni, bukan apa. Ayah tak nak tengok kamu hidup macam ni. Tak ada guna kamu hidup dengan lelaki macam tu. Bukan ayah nak minta kamu runtuhkan rumahtangga kamu. Tapi, ayah tak sampai hati nak tengok kamu hidup makan hati macam ni. Keputusan macam ni, kamu kena fikir masak-masak. Jangan fikir untuk tempoh esok atau lusa. Kamu kena fikir macam –mana hidup kamu sepuluh tahun nanti kalau kamu setuju nak bermadu?,”
“Rissa dah ambil keputusan, ayah,”
“Keputusan apa?,”
“Rissa nak bercerai. Rissa tak nak hidup dengan Radhi lagi. Rissa tak nak bermadu. Rissa tak nak tambah beban dalam hati Rissa. Tak nak terus hidup makan hati macam ni,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Memandang wajah anak sulungnya itu dengan renungan simpati. Susah untuk dia memberi pendapat. Mahu Arisa teruskan perkahwinan itu, dia yakin Radhi tidak akan berubah. Dia yakin Radhi tidak akan berhenti menyusahkan Arisa. Mahu menyokong Arisa memutuskan hubungan itu, dia juga serba-salah. Bukan elok bercerai-berai. Dia juga tidak mahu anaknya itu menempah gelaran janda pada usia semuda itu.
“Ayah tak tahu nak cakap apa. Serba-salah ayah jadinya. Rissa buatlah keputusan yang paling baik untuk Rissa. Ini hidup Rissa. Apa saja keputusan Rissa, ayah tetap akan sokong,”
Arisa diam. Sepi waktu petang sebegini memberi dia peluang untuk bercakap panjang lebar. Ketiadaan adik-adiknya membuat dia tergerak untuk berkongsi rasa dengan bapanya. Dia perlu berbincang dengan bapanya. Hal ini bukan hal kecil untuk dia simpan sendiri di hatinya. Keputusan yang ingin dia ambil juga satu keputusan yang akan mengubah jalan hidupnya seratus peratus.
“Tapi…,”
“Tapi apa pula?,”
Arisa menghela nafas sedalam mungkin. Memandang wajah bapanya yang kelihatan setia menunggu. Dia menjadi sedikit serba-salah. Perlukah dia berkongsi cerita ini dengan bapanya? Atau dia perlu tanggung semua ini sendirian? Perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan yang telah dia buat?
“Rissa? Ada apa ni? Cuba cerita dengan ayah,”
“Radhi tak nak ceraikan Rissa. Dia nak madukan Rissa. Dia cakap, kalau Rissa bagi dia duit, baru dia akan lepaskan Rissa. Kalau tidak, dia tak mahu lepaskan Rissa,”
Haji Salleh merengus marah. Turun naik mengawal nafas yang tidak terkawal. Perlahan dadanya diurut. Sungguh sakit hatinya memikirkan perangai menantu sulungnya itu. Arisa bergerak menghampiri bapanya.
“Memang hantu budak tu! Kalau bukan Rissa berdegil nak juga kahwin dengan dia, sebelah mata pun ayah tak ingin tengok muka tu. Ayah tahu dia memang jenis tak tahu tanggungjawab,”Haji Salleh bersuara geram dengan nada tertahan. Dadanya yang mula terasa sempit, diusap lagi.
“Ayah tak apa-apa?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Arisa mengusap perlahan dada bapanya. Sudah mula risau andai jantung bapanya bermasalah lagi. Silap dia, membuka cerita sebegitu pada bapanya. Timbul rasa menyesal di hati. Mungkinkah dia perlu menyimpan masalah ini sendiri?
“Dahlah. Kita tak payah cakap pasal ni lagi, ya?,”
Haji Salleh menggeleng. Dia dan Arisa memang perlu berbincang.
“Ayah tak apa-apa. Berapa yang hantu tu nak?,”
Arisa diam. Cuma memandang wajah bapanya yang jelas tegang melayan marah.
“Kita bincang lain kali ya, ayah. Ayah tak okay ni. Rissa tak nak nanti ayah jatuh sakit,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Mengurut perlahan dadanya. Matanya lari ke wajah anak sulungnya itu. Wajah itu sudah hilang seri. Barangkali terlalu banyak derita yang dipendam sendiri.
“Ceritalah pada ayah. Ayah nak tahu. Ayah nak dengar. Sudah-sudahlah makan hati sebab nak lindung kesalahan Radhi tu…,”
Arisa diam seketika. Tunduk mencari kekuatan untuk bersuara. Berdoa agar apa yang meluncur di bibirnya itu, tidak memberi kejutan berat pada bapanya.
“Radhi nak duit…,”lambat-lambat patah perkataan disusun. Melantun dalam nada seperlahan yang boleh. Berharap agar suaranya tidak sampai ke telinga Haji Salleh.
“Berapa yang Radhi minta?,”
Arisa mengangkat muka. Bapanya mendengar.
“Dua puluh ribu, ayah,”
Haji Salleh diam. Mengurut dada yang kembali terasa sesak. Arisa menggelabah.
“Ayah… ayah tak apa-apa?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Mengurut dada sambil cuba bernafas setenang mungkin.
“Gila suami kau ni, Rissa…,”
Air mata Arisa menitis. Memeluk tubuh tua itu sambil mengurut dada Haji Salleh. Mungkin benar suaminya itu sudah gila. Gila pada duit. Gila pada perempuan.
“Rissa minta maaf, ayah. Sepatutnya, Rissa dah tak jadi beban pada ayah….,”
“Ayah tak akan biarkan Radhi buat Rissa macam ni. Dia ingat dia siapa? Rissa ni anak ayah. Ayah tak akan biarkan Rissa tanggung semua ni sendiri,”
“Ayah… Rissa tak nak panjangkan hal ni. Rissa tak nak gaduh. Rissa tak nak dia cari pasal dengan ayah. Rissa tak nak ayah sakit sebab Rissa. Ayah sakit sebab melayan perangai Radhi tu. Rissa akan berikan apa yang dia nak…,”
“Banyak tu, nak,”
“Rissa akan usahakan. Yang penting, lepas ni biarlah dia lenyap terus dari hidup Rissa. Rissa tak nak tengok muka dia lagi,”
“Bagi duit macam tu aje pada jantan tak guna tu? Tak cukup selama kahwin dengan kamu, dia peras duit kamu, sampai nak ceraikan kamu pun dia nak peras kamu juga?,”
Arisa tersenyum pahit. Memandang seketika wajah bapanya. Mahu melihat keadaan bapanya itu. Haji Salleh kelihatan sudah sedikit tenang. Perlahan dia tunduk sambil bermain dengan jemari sendiri.
“Rissa dah serik, ayah. Rissa dah tak sanggup nak hidup dengan dia lagi. Radhi yang jadi suami Rissa, terlalu jauh bezanya dengan Radhi yang mencintai Rissa dulu,”Arisa mengadu perlahan. Tidak pernah diluahkan kesengsaraan yang dilaluinya saban hari. Hari ini, dia mahu mengadu pada bapanya. Dia mahu kosongkan hatinya yang tepu dengan kecewa. Kecewa pada sebuah ikatan perkahwinan. Angannya, perkahwinan dia dan Radhi akan menjadi satu perkahwinan yang paling indah. Angannya juga, dia mahu menjadi isteri Radhi yang paling bahagia rentetan hidupnya. Dia cuba menjadi isteri yang sempurna dan Radhi akan cuba menjadi suami yang sempurna juga. Namun, angan-angan itu cuma tinggal satu impian kosong. Terlalu jauh untuk dicapai menjadi kenyataan.
“Dulu dia sayang sangat kat Rissa, ayah…,”gumamnya perlahan bersama air mata yang bertandang lagi.
“Dia buat Rissa rasa Rissa manusia paling bertuah dalam dunia ni…,”
Haji Salleh diam seribu bahasa. Hatinya tersentuh melihat air mata itu. Jiwanya menangis mendengar rintihan itu. Dia faham keperitan yang ditanggung oleh Arisa. Selama berkahwin, sepatah pun tiada rungutan daripada bibir itu. Semuanya didiamkan sendiri. Hari ini, apabila anaknya itu bersuara, dia mahu mendengar semua luahan hati Arisa.
“Luahkan semua yang Rissa pendam selama ni. Biar ayah dengar semuanya,”
Arisa menggeleng perlahan. Menyeka perlahan air mata yang membasahi pipi.
“Rissa dah tak tahu macam –mana nak luahkan apa yang Rissa rasa ni, ayah. Rissa rasa macam orang bodoh. Cuba berusaha untuk pulihkan hubungan ini, sedangkan Radhi langsung tak mahu lihat perkahwinan kami jadi lebih baik. Dia cuma leka dengan hidup dia sendiri… dengan dunianya sendiri,”
“Ayah nak yang terbaik untuk anak ayah. Fikirlah apa yang terbaik untuk Rissa. Dulu, Rissa rasa, Radhi yang terbaik untuk Rissa, ayah mengalah. Sekarang pun, ayah tak mahu buat keputusan untuk Rissa. Ayah yakin, Rissa lebih tahu apa yang hati Rissa inginkan,”
Arisa mengangguk perlahan. Merenung wajah tua di hadapannya itu.
“Mungkin ini balasan sebab Risa ingkar pada cakap ayah dulu. Kan?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan.
“Jangan sesekali cakap macam tu. Memang ayah tak setuju bila Rissa pilih Radhi. Tapi, kalau cuma itu yang boleh buat Rissa bahagia, ayah restu. Ayah tak akan sampai hati nak buat anak ayah hidup susah. Ayah tetap sokong anak ayah,”
“Rissa minta maaf, ayah. Rissa tak pernah jadi anak yang menyenangkan. Tak habis-habis Rissa bagi masalah pada ayah,”
“Sekarang ni, Rissa fikirkan masa depan Rissa. Bukan pandang ke belakang. Yang dah berlaku, kita tak mampu nak ubah. Tapi, kita mampu mengubah masa depan kita. Fikir dalam-dalam. Doa banyak-banyak. Apa pun keputusan Rissa, ayah akan tetap sokong anak ayah,”
“Terima kasih, ayah…,”perlahan Arisa berbisik sambil memeluk tubuh itu. Tenang hatinya apabila bapanya menepuk perlahan belakangnya. Juraian air mata jatuh ke pipi. Membasuh semua kesedihannya. Lega hatinya apabila semua yang tersimpan kini terluah sudah.




*****



[11:35:50 PM] hos.getah: