Monday, November 10, 2008

Pergilah Air Mata 14


Perlahan Badrul menolak daun pintu biliknya. Sunyi sepi. Dengan santai dia melangkah masuk. Hatinya berbunga riang. Lebih seminggu dia di sini, dan usaha memujuk Dayana juga seakan berjalan dengan lancar. Perlahan-lahan Dayana dapat menerima situasinya. Perlahan-lahan Dayana seakan memaafkannya. Mungkin sedikit hari lagi, dia berjaya memujuk Dayana agar mengahwininya. Ruang bilik yang luas itu begitu sepi. Tiada bunyi televisyen seperti selalu. Dia menutup pintu sambil matanya melilau mencari bayang Sabrina. Tiada di balkoni. Juga tiada di sofa. Terdetik rasa hairan di hatinya. Keluarkah gadis itu? Baru sahaja rasa marahnya mahu meledak, dia terpandang susuk tubuh yang lena di atas katil. Ada rupanya. Kakinya terus dihayun ke tepi katil. Memandang sekeliling tubuh gadis itu. Perlahan dia menggeleng. Mahu marah, tetapi, tiba-tiba rasa tidak sampai hati. Kasihan melihat wajah itu begitu lena. Matanya dilemparkan ke lantai. Hampir dengan kakinya, beberapa kotak origami daripada kertas yang sederhana besar, berderet di kaki katil. Di dalam kotak-kotak tersebut penuh dengan lipatan origami kecil berbentuk burung dan bunga tulip. Semuanya daripada kertas majalah dan novel Cina yang dia beli tempoh hari.
Perlahan dia melabuhkan punggung ke katil. Menjenguk wajah Sabrina yang lena. Pasti tertidur kebosanan. Di kiri dan kanan tubuh gadis itu penuh dengan origami burung dan bunga tulip pelbagai saiz. Bersepah di atas katil. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyum. Pasti gadis ini terlalu bosan. Kasihan. Matanya kembali ke wajah gadis itu. Mengambil kesempatan pada lena Sabrina. Wajah itu diamatinya. Nampak begitu mulus di matanya. Wajah itu begitu bersih tanpa solekan. Cuma sebiji jerawat sedikit mengganggu di dahi. Tidak sampai mencacatkan. Kerana wajah Sabrina Nampak lebih manis dengan jerawat yang baru mula memerah itu. Kali pertama dia mengambil sedikit masa menatap wajah gadis yang dinikahinya lebih sebulan yang lalu. Kenapalah wajah semulus ini, sanggup melakukan hal seburuk itu? Dia mengeluh perlahan sambil membetulkan duduknya agar wajah Sabrina lebih senang untuk terus diamati. Tiba-tiba hatinya tertanya-tanya. Berapakah umur isterinya ini? Sekuntum senyuman sumbing muncul di sudut bibir. Rupa-rupanya selain daripada nama, dia tidak tahu apa-apa tentang Sabrina. Pantas tangannya mencapai beg tangan milik Sabrina. Menyelongkar mencari purse milik Sabrina. Dia tersenyum sambil mengeluarkan purse dari beg tangan gadis itu. Perlahan membuka purse sambil matanya mengawasi Sabrina. Bimbang kalau-kalau gadis itu tiba-tiba terjaga. Dia menatap kad pengenalan milik Sabrina.
“Sabrina Shahzan…,”bisiknya perlahan.
“14 September 1981. Hmm… 27 tahun…,”dia mencongak sendiri. Enam tahun lebih muda daripadanya.
Matanya beralih pula pada sekeping gambar kecil di sebelah ruang kad pengenalan. Dia tersenyum sumbing. Gambar Sabrina bersama seorang lelaki dan seorang gadis. Bergambar bertiga sambil tersenyum riang. Lelaki itu dia kenal. Lelaki yang hampir bertumbuk dengannya tempoh hari. Gadis di sebelah Sabrina itu, tidak pula dia kenal. Manis senyum yang menghiasi bibir Sabrina cukup menunjukkan gadis itu begitu gembira saat itu. Matanya berbalik ke wajah Sabrina yang masih lena. Seminggu lebih gadis ini terkurung di dalam bilik. Sangkanya Sabrina akan ingkar pada perintahnya. Nampaknya telahannya meleset. Sabrina Cuma akur pada arahannya itu. Gadis itu tidak lagi memberontak seperti tempoh hari. Purse Sabrina diletakkan semula di dalam beg tangan. Matanya terpandang pula telefon bimbit milik gadis itu. Laju tangannya ingin mencapai. Namun, gerakannya terhenti. Terasa dia sedang mencabuli hak peribadi gadis itu pula. Sudahnya, dia batalkan niatnya itu. Beg tangan milik Sabrina diletakkan semula di atas meja di tepi katil.
Dia kembali memandang Sabrina sambil menongkat dagu. Boleh tahan cantiknya gadis ini. Matanya mula nakal meneliti sekujur tubuh Sabrina. Nampak comel di dalam track suit besarnya dan body shirt berwarna ungu gelap. Menyerlahkan warna kulitnya yang kuning langsat. Sabrina berkalih tidur. Membuat dia sedikit menggelabah. Dan apabila tangan Sabrina bergerak ke arah pehanya, spontan dia berundur. Tidak mahu gadis itu sedar yang dia sedang diperhatikan. Membawa dia ke birai katil. Gagal seimbangkan badan, dia jatuh terduduk ke atas karpet. Dan lebih malang, pandangannya seakan berpinar-pinar apabila kepalanya terhantuk pada hujung meja kecil di sebelah katil.
“Shit!,”jerit Badrul agak kuat sambil memengang kepalanya yang sudah berdenyut. Sakit! Jeritan dan bunyi tubuh Badrul yang jatuh terduduk, membuat Sabrina terjaga tiba-tiba. Terkejut. Pantas dia bangkit dari baring. Terpisat-pisat memandang sekeliling. Terkejut besar dengan bunyi dan jeritan yang dia dengar. Kepala pula berdenyut tiba-tiba. Barangkali disebabkan dia bangkit dari tidur secara mengejut. Sambil menenyeh mata, dia terpandang ke arah Badrul yang tersandar di meja sambil menekan kepala. Dia turut menekan seketika kepalanya yang berpinar-pinar. Pejamkan mata buat seketika, sebelum perlahan dia membuka semula matanya. Terasa sedikit lega.
“Kenapa awak?,”soalnya hairan.
Badrul merenung tajam wajah yang terpinga-pinga itu.
“Bodoh!,”
Sabrina kerutkan kening. Bodoh? Siapa pula yang bodoh ni? Hati Sabrina berdetik sendiri.
“Kenapa letak benda-benda bersepah kat lantai? Tak ada kerja lain ke? Sengaja nak bagi aku tersungkur kat sini?,”laju Badrul bersuara garang sambil menunjukkan kotak-kotak kertas yang berderet di tepi katil. Cuba menutup rasa malu yang bersarang di hatinya. Nasib baik Sabrina tidak menyedari tindakannya. Sabrina bergerak ke birai katil. Memandang kotak-kotak yang dia atur di situ. Elok sahaja. Tidak ada pun yang berselerak. Dia pandang wajah Badrul. Lelaki ini kenapa sebenarnya? Kalau Badrul terlanggar kotak-kotak itu, pasti sudah berterabur semuanya. Dan, setakat terlanggar kotak kertas itu, budak kecil pun tidak akan tersungkur. Inikan pula lelaki segagah Badrul. Dia tersenyum kecil.
“Awak jatuh ke?,”soalnya meminta kepastian. Menyinga Badrul merenungnya.
“Tak! Aku tengah tidur. Tak Nampak ke?,”balas Badrul geram.
“Oh… tidur….,”selamba Sabrina menjawab sambil tersenyum kecil. Sengaja ingin membuat darah Badrul menyirap. Sengaja ingin melepaskan rasa geramnya dikurung selama lebih seminggu. Hampir habis semua kertas di bilik itu dilipat menjadi origami dek kerana kebosanan. Ternyata cubaannya berjaya. Dia dapat melihat wajah lelaki itu merah menyala menahan marah. Namun, kemudian, dia kerutkan kening. Badrul sedang menahan marah atau sedang menahan sakit?
“Sakit ke?,”soalnya meminta kepastian. Sungguh dia ingin tahu. Ini bukan soalan untuk menyakitkan hati. Ini soalan mengambil berat sebenarnya.
“Shut up!,”jerit Badrul sambil bangkit bergerak ke birai katil. Tangannya menekan kuat belakang kepalanya yang terasa sengal. Juga terasa sedikit pedih. Sabrina menggaru kepala. Rambutnya yang panjang mengurai, diikat ringkas dengan getah pengikat rambut. Melihat wajah Badrul yang masih menahan sakit dia bergerak hampir dengan lelaki itu.
“Macam mana awak boleh jatuh?,”
Badrul diam.
“Kepala awak kena apa?,”
“Meja,”
“Meja? Nak saya tengok ke?,”soal Sabrina lambat-lambat. Badrul diam seketika. Matanya menatap wajah Sabrina yang Nampak betul-betul tidak bersalah. Memang bukan salah Sabrina pun, dia terjatuh dari katil. Alasan kotak-kotak kertas, hanyalah sekadar menutup kesilapan sendiri. Tanpa menjawab, perlahan dia tundukkan kepala. Memberi keizinan untuk Sabrina melihat keadaan kepalanya. Memang terlalu sengal dan pedih. Sabrina terpaku seketika. Teragak-agak untuk menyentuh rambut Badrul yang hitam pekat. Sudahnya, dia Cuma menjengah. Melihat tempat yang Badrul pegang sebentar tadi. Tidak Nampak apa-apa.
“Kau tengok ke tak?,”
“Tengoklah ni. tapi, tak Nampak. Awak selaklah rambut tu,”
Badrul mengangkat muka. Berang dengan kata-kata itu.
“Kau ni, nak tolong ke tak?,”
“Nak lah. Tapi, macam mana nak tengok kalau awak tak selak rambut tu?,”
“Selaklah sendiri,”arah Badrul garang. Memang perempuan ini mencabar kesabarannya. Nampak sangat tidak ikhlas menawarkan pertolongan.
“Boleh ke? Awak tak marah ke?,”
“Arrghhh!,”tanpa sedar Badrul menjerit geram.
Sabrina tergamam. Orang bertanya pun marah ke?
“Ok…Ok… saya buat,”laju Sabrina menjawab sambil cepat-cepat jemarinya menyentuh rambut Badrul. Menyelak perlahan tempat yang Badrul tunjuk padanya. Risau kalau-kalau tertekan kuat, lelaki itu akan menyinga sekali lagi. Kepala Badrul sudah lebam dan bengkak. Juga sedikit luka. Pasti terhantuk ke bucu meja.
“Lukalah,”
Badrul menyentuh kepalanya. Tersentuh jemari Sabrina, membuat gadis itu cepat-cepat menarik tangannya.
“Banyak ke lukanya?,”soal Badrul tanpa memandang wajah Sabrina.
“Sikit je. Tapi dah bengkak. Nak saya tuam?,”
“Suka hatilah,”balas Badrul sambil lewa. Sabrina bergerak turun dari katil. Menuju ke arah seterika yang tersedia di sudut kabinet. Suis seterika diaktifkan.
“Kau gila ke? Takkan kau nak seterika kepala aku?,”laju mulut Badrul bertanya membuat Sabrina melopong seketika.
“Mana ada?,”
“Tu? Apa kau buat tu?,”
Sabrina memandang wajah Badrul seketika. Kemudian memandang ke arah seterika yang sudah panas. Dia tersenyum lucu. Faham maksud soalan Badrul. Dalam pandai, bodoh juga lelaki ini. Sabrina menggeleng perlahan sambil mencapai tuala kecil di atas meja solek.
“Awak duduklah kat sini,”arah Sabrina sambil jarinya lurus dihalakan ke arah kerusi meja solek.
Dalam hairan, Badrul melangkah menghampiri Sabrina. Duduk di kerusi meja solek. Di sebelah Sabrina. Tertanya-tanya apalah yang cuba Sabrina lakukan. Jangan balas dendam, sudahlah. Tak pasal-pasal habis rentung rambutnya yang dijaga rapi itu. Dia Cuma memandang Sabrina meletakkan seterika di atas tuala. Seketika kemudian, dialihkan. Tuala itu dilipat, kemudian, dengan hati-hati gadis itu menyelak rambutnya. Perlahan kepalanya dituam dengan tuala hangat itu. Berulang-kali Sabrina mengulangi langkah yang sama. Berulang kali bergerak ke arah seterika dan kembali kepada Badrul. Badrul Cuma memerhati. Rupa-rupanya itu yang cuba Sabrina lakukan. Sangkanya Sabrina ingin tuam kepalanya dengan seterika.
“Mana kau belajar semua ni?,”soal Badrul dengan suara yang sudah sedikit kendur.
“Belajar apa?,”
“Tuam pakai seteika ni,”
“Oh… kenapa? Awak tak tahu ke?,”
Badrul diam. Malas menjawab soalan itu.
“Macam mana awak boleh jatuh ni?,”setelah agak lama berdiam diri, sekali lagi Sabrina bertanyakan soalan itu.
“Boleh tolong diam, tak?,”marah Badrul tiba-tiba. Takkan dia hendak beritahu Sabrina dia terjatuh sebab terlalu asyik menetap wajah gadis itu.
“Ok. Saya tak Tanya lagi,”balas Sabrina perlahan. Tidak mahu mencetuskan suasana yang kurang senang. Sudahnya dia Cuma terus menyambung kerjanya. Dia sedikit tersentak apabila tiba-tiba Badrul memegang tangannya.
“Cukuplah tu,”ujar Badrul pendek.
“Tapi…,”
Badrul menahan nafas.
“Aku kata cukup. Cukuplah…,”dia bersuara lagi. Kali ini lebih tegas. Sabrina Cuma menjungkit bahu. Sebaik Sabrina bergerak menyimpan tuala, cepat-cepat Badrul mengangkat punggung. Bergerak ke balkoni. Ingin berada jauh dari Sabrina. Ingin membuang jauh-jauh debar yang tiba-tiba bergayut di jiwa. Berulangkali Sabrina mendekat padanya, tiba-tiba pula perasaannya berperang sendiri. Lebih-lebih lagi apabila haruman lembut perfume yang dipakai gadis itu berkali-kali menerpa hidungnya. Membuat hati lelakinya berkocak hebat.
“Awak tak apa-apa ke?,”
Badrul tersentak. Dia berpaling. Memandang wajah hairan Sabrina.
“Aku okay. Kenapa?,”soalnya dengan suara sedikit bergetar. Saat ini, hanya satu doanya. Janganlah gadis itu melangkah rapat padanya.
“Muka awak macam ada masalah,”
Badrul membuang pandang. Memang aku sedang bermasalah! Hati Badrul menjerit bagai mahu memberontak.
“Err… kau pergi bersiap,”tiba-tiba terpacul kata-kata itu dari bibirnya sebaik dia melihat Sabrina ingin melangkah menghampirinya. Membuat langkah Sabrina mati tiba-tiba. Itulah yang dia mahu. Saat ini dia tidak mahu Sabrina berada hampir dengannya.
“Bersiap?,”soal Sabrina hairan.
“Ya! Kau tak faham Bahasa Melayu ke?,”
“Bersiap nak ke mana?,”
Badrul mengeluh keras. Wajah Sabrina direnung. Tapi, Cuma untuk seketika. Dia tidak boleh pandang wajah itu lama-lama. Dia harus keluar dari bilik ini secepat mungkin.
“Kita pergi dinner,”akhirnya Badrul bersuara.
“Dinner? Awak pun nak dinner kat dalam bilik ke? Awak beli apa untuk dinner? Saya tak Nampak apa-apa pun?,”
“Kalau setakat nak dinner kat dalam bilik, buat apa aku suruh kau bersiap. Cepatlah!,”Badrul sudah menjerit geram. Banyak pula soalan gadis ini.
“Tapi, kan awak…,”
“Kau nak kena cium ke?,”
“Ok. Saya bersiap sekarang…,”laju Sabrina bergerak ke bilik air. Seketika kemudian dia keluar semula.
“Apa lagi tu?!,”Badrul sudah mula menengking.
“Lupa ambil baju and towel,”jawab Sabrina sambil tangannya pantas mencapai tuala dan laju juga bergerak ke arah almari mencapai pakaiannya. Kecut mendengar tengkingan Badrul. Pelik betul. Tiba-tiba sahaja lelaki itu naik angin. selepas tuala dan pakaiannya berada di tangan, cepat-cepat dia melangkah semula ke bilik air.
Badrul mengeluh panjang. Menarik nafas sedalam mungkin. Kenapalah tiba-tiba perlu muncul perasaan sebegini? Laju dia menghayun langkah. Menuju ke arah bilik air. Pintu bilik air diketuk bertalu.
“Apa dia?,”
Terdengar suara Sabrina yang sedikit meninggi diselangi bunyi air dari pancuran. Membuat jiwanya semakin tersiksa.
“Aku bagi kau sepuluh minit. Aku tunggu kat bawah. Cepat!,”dia bersuara sambil terus berlalu keluar dari bilik. Tidak betah untuk terus berlama-lama dengan Sabrina. Bimbang ada sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Sesuatu yang akan membuat dia menyesal. Dia tidak mahu kecewakan Dayana.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: