Wednesday, September 18, 2013

Mungkinkah? 3

                “Hai aunty…,”bersama senyum lebar, suara itu menyapa ceria.
            Puan Zahra tersenyum panjang sambil matanya mengiringi gadis yang laju mendekatinya itu.
            “Bella… kenapa lambat?,”
            Nabila mengerutkan kening. Tangan diangkat sambil mata memandang jam di pergelangan tangan. Dia tersengih.
            “Sepuluh minit aje,”dia beralasan sambil memeluk mesra tubuh yang santai bersandar di kerusi itu. Pelukannya berbalas.
            “Sepuluh minit pun, lewat juga tu…,”
            Nabila tergelak halus.
            “Yalah..yalah… Bella minta maaf ya. Sembang dengan mama sebelum datang tadi. Tak sedar terlambat temujanji kita,”usik Nabila bersama senyum lebar. Puan Zahra menggeleng perlahan.
            “Dah makan ke belum? Jom…temankan aunty makan dulu. Piah… ambilkan pinggan untuk Bella,”Puan Zahra bersuara sedikit meninggi. Mahu suaranya sampai ke telinga pembantu rumahnya itu.
            “No, thanks. Bella diet…,”
            “Diet apa lagi? Bukan gemuk pun. Dah, temankan aunty makan ya?,”
            Nabila tersenyum. Tidak berhasrat untuk terus menolak. Matanya liar memerhati sekeliling.
            “Zariff mana?,”
            Puan Zahra mencemik. Membuat Nabila tergelak kecil. Pasti ada tingkah Zariff yang tidak kena di hati wanita ini.
            “Anak bertuah tu bukan tahu bangun awal-awal. Dekat nak subuh balik. Matahari terpacak atas kepala tak reti-reti nak bangun. Kalau letak bom dalam bilik pun belum tentu boleh sedar,”
            Nabila tersengih.
            “Malam minggulah katakan. Takkan aunty tak faham…,”ujarnya bersama senyum meleret. Aktiviti malam minggu Zariff memang sudah dia maklum.
            “Apa malam minggu? Ni… lain tak ada. Mengumpatlah ni. Kan?,”satu suara menyapa dari belakang bersama tangan yang menarik perlahan rambutnya. Membuat Nabila sedikit terdongak. Pantas tangan itu ditepis. Mulutnya memuncung sambil menjeling lelaki yang kini tercegat di sebelahnya.
            “Sakitlah,”rungut Nabila sambil membetulkan rambut ikalnya.
            “Riff…apa ni? Tak baik buat Bella macam tu,”
            “Entah. Tak baik tau berkasar dengan perempuan. Nak-nak dengan gadis cantik macam I ni, tau?,”
            Zariff tergelak besar.
            “Perasan…,”
            Nabila menjeling sambil mencemik.
“Ni… apa you buat kat rumah orang pagi-pagi macam ni?,”
You tinggal kat mana? Kat Malaysia sekarang ni dah pukul dua belas lebih. Dah tengah hari. Tahu tak?,”Nabila membalas soalan berbaur sindiran daripada Zariff dengan nada menyindir juga.
“Betul. Dah tengahari…,”sampuk Puan Zahra bersama jelingan tajam.
Zariff tersenyum lebar. Melabuhkan punggung ke kerusi.
“Encik Zariff pun nak makan ke? Kak Piah ambilkan pinggan lagi satu,”Piah yang muncul bersama pinggan kosong, melontarkan soalan sambil meletakkan pinggan di hadapan Nabila.
Zariff menggeleng.
No. Tak payah. Saya nak keluar,”
Piah mengangguk sambil terus berlalu.
Puan Zahra mengalihkan perhatian pada wajah Zariff yang kelihatan cukup bersahaja. Ke mana lagi anak tunggalnya itu mahu pergi?
“Nak keluar ke mana?,”
“Jumpa girlfriend lah aunty. Apa lagi. Kan hari minggu ni,”sampuk Nabila sambil mencapai senduk nasi.
“Mulut tu boleh diam tak? Menyibuk saja. I nak jumpa siapa pun, I punya sukalah. Kenapa? Jelous?,”
I? Jeleous? Tunggu cuma tinggal you seorang saja lelaki dalam dunia ni…I cuba fikirkan jawapan untuk soalan you tu… Perasan…,”balas Nabila bersama satu cebikan. Zariff tersenyum sambil mengangkat sebelah kening. Senyumnya semakin lebar melihat gelagat Nabila yang berpura-pura mahu muntah.
Puan Zahra tergelak kecil. Pertengkaran kecil sebegitu sudah terlalu biasa menjamah telinganya. Sejak kecil, dua wajah itu memang pantang bertemu.
“Boleh tak jangan bertengkar depan rezeki ni? Nanti mama kahwinkan kamu berdua ni, baru tahu,”
“Dengan buaya ni, aunty? Tolonglah…. Jangan hancurkan masa depan Bella, aunty. Aunty dah tak sayangkan Bella ke?,”
Zariff mengerling.
“Cakap main sedap mulut aje kan? Siapa yang buaya?,”
“Eleh. Ingat I tak nampak? Siang you lunch dengan orang lain. Malam you heret perempuan lain pulak. I nampaklah you dengan siapa malam tadi. Nak pergi kelab ya?,”
“Oh… ye ke? Siang you nampak I? Malam pun you nampak I?,”
Nabila mengangkat kening. Senang apabila Zariff  terperangkap dengan sikap buayanya sendiri.
“Hmm…. You ikut I ya? Kalau suka kat I mengaku aje lah. Jangan main ikut senyap-senyap macam tu…,”balas Zariff bersama senyum penuh sindiran. Sambil mengangkat kening, dia berlalu meninggalkan ruang makan.
“Hey! Perasanlah. Mana ada! I ternampaklah. Bukan I ikut you…tak kuasalah nak spy you,”
Puan Zahra tergelak kecil. Lucu melihat wajah Nabila yang tidak berpuas-hati.
“Sekejap ya. Bella makan dulu. Aunty nak cakap dengan Zariff kejap,”perlahan Puan Zahra mengangkat punggung sambil sudu dan garfu diletakkan di pinggan. Langkahnya maju menuju ke arah Zariff yang sudah siap menyarung sandal kulitnya.
“Nak ke mana ni Riff? Malam keluar…siang keluar… Ini lain tak adalah ni. Nak angkut anak dara oranglah ni. Kan?,”
“Mama ni. Tak baiklah wasangka kat anak sendiri. Percayalah sangat cakap Bella tu,”
“Memang mama percaya cakap Bella. Bukan mama tak kenal siapa anak mama,”
Zariff tersenyum nipis.
“Saya nak pergi kondo lah. Nak tengok renovation dah siap ke belum,”
Renovate buat apa pula? Siapa nak tinggal kat sana?,”
“Sayalah. Siapa lagi?,”
“Nak pindah pula? Kenapa? Panas sangat ke tinggal dengan mama? Sampai hati ya, nak tinggalkan mama sorang-sorang kat rumah besar macam ni,”Puan Zahra meluahkan rasa tidak puas hati. Zariff tersenyum sambil mengeluh pendek.
“Alaa… mama ni. Bukan jauh pun. Kan dah lama saya cakap nak tinggal sendiri. Mama ni, tiba-tiba jadi sentimental pula,”
Puan Zahra mengeluh panjang.
“Kalau dah tinggal sendiri tu, lagilah panjang langkahnya kan? Mama risau tengok kamu ni, Riff. Tak sedap hati nak lepas kamu tinggal sorang-sorang. Mama tahu banyak yang tak elok daripada yang elok. Tinggal dengan mama pun, langkah kamu panjang bukan main. Kalau tinggal sendiri, tak tahulah nak cakap apa,”
Zariff meraup wajah. Mendongak melihat matahari yang terik memancar. Panas matahari yang menjamah wajahnya sudah sepanas telinga yang mendengar celoteh ibunya itu.
“Dah lambat ni. Saya pergi dulu, ya. Budak-budak tu dah cakap, dia orang tak lama hari ni. Nanti tak sempat nak jumpa diaorang,”
“Mama belum habis cakap lagi dengan kamu ni,”
“Nanti kita sambung. Okay? Sekarang, saya kena pergi dulu,”bersama senyum lebar, Zariff meminta diri sambil mencium pipi ibunya.
Puan Zahra merengus perlahan. Berpeluk tubuh sambil memandang Zariff yang tergesa-gesa melangkah menuju ke kereta. Sukarnya mengawal anaknya yang cuma seorang ini.
Aunty.. kata kejap. Bella dah siap makan dah. Aunty kat sini lagi,”
Puan Zahra berpaling. .
“Kenapa ni, aunty? Sedih pula mukanya. Tak mahu sedih-sedih macam ni. Nanti nampak tua. Senyum sikit,”
Usikan itu menjemput senyum di bibirnya. Memang Nabila pandai mengambil hatinya.
Aunty susah hati dengan Zariff tu. Bilalah nak berubah perangainya. Aunty ni, bukan memilih sangat, Bella. Mana yang dia suka, InsyaALLAH aunty akan suka juga. Mana yang boleh jaga dia, itu dah cukup untuk senangkan hati aunty ni. Tapi, tengoklah apa yang dia pilih. Berkawan keliling pinggang. Tapi, satu pun tak ada yang dia ambil serius,”
Nabila tersenyum. Perlahan memaut bahu Puan Zahra.
“Bagilah masa untuk dia cari teman yang betul-betul dia suka. Bukan senang nak cari orang yang boleh jadi teman hidup ni. Teman berhibur tu, memang senang nak jumpa. Bella percaya, satu hari, Zariff mesti berubah,”
“Hmmm… cakap memang senang Bella. Aunty risau, terpesong jauh dia nanti. Tak tahu mana yang tak kena dengan asuhan aunty sampai dia boleh jadi macam tu,”
“Sabarlah, aunty. Aunty doa yang baik-baik. Doa aunty pasti dimakbulkan nanti,”
Puan Zahra membuang pandang. Melabuhkan punggung ke kerusi kayu jati.
“Kalau ikutkan hati aunty ni, nak saja aunty kahwinkan dia tu. Tapi, aunty tak nak nanti, hilang masalah sebelum kahwin, timbul masalah lepas kahwin pula. Aunty tak nak paksa-paksa,”
Nabila menongkat dagu.
“Hmm… susah juga. Apa kata aunty kurung aje Zariff tu dalam bilik,”ujar Nabila sambil tersengih. Puan Zahra tergelak kecil.
“Kalau anak kucing, dah lama aunty kurung, Bella…,”
Nabila tergelak besar.
“Anak kucing, aunty? ,”
“Ha ah,”balas Puan Zahra yang turut tergelak.
“Kalau Zariff tu anak kucing, mesti cute. Kan?,”
“Nak jaga pun, mesti senang…,’tokok Puan Zahra bersama gelak yang panjang.
‘Macam-macamlah aunty ni. Yang penting, aunty jangan fikir sangatlah pasal Zariff. Nanti stress. Risau Bella kalau aunty stress. Nanti kurang jelita,”
Puan Zahra tersenyum kecil. Memandang wajah Nabila yang tersenyum nakal. Bijak membuang segala rawan di hatinya.
“Pukul berapa nak keluar ni, aunty? Dah tak sabar nak shopping ni,”
“Yalah. Tunggu. Aunty bersiap sekejap,”
Nabila mengangguk sambil bersandar ke kerusi. Memandang Puan Zahra berlalu masuk. Lebar senyumnya sambil menghela nafas panjang.



*****


Wednesday, September 11, 2013

Mungkinkah? 2

                Arisa memerhati di balik pantulan cermin. Melihat Radhi yang sedang bersiap. Bersiul riang bagaikan seorang manusia yang paling bahagia di dunia. Bibirnya berat untuk bersuara. Malas mahu bertanya. Paling tidak, jawapan yang bakal menjamah telinganya pasti akan menyakitkan hatinya. Biarlah Radhi dengan caranya. Dia sudah bosan bertengkar. Juga sudah tidak kuat lagi untuk terus mempertahankan hubungan yang terjalin.
            “Tak nak tanya aku nak ke mana?,”
            Arisa menggetap bibir. Berpaling mencari wajah Radhi. Soalan itu seakan sengaja mahu memercikkan api kemarahan. Mencetuskan pertelingkahan seperti biasa. Kalau ikutkan hati yang tidak pernah reda dengan rasa kecewa, undangan pertengkaran itu mahu saja disambut dengan senang hati. Namun, memikirkan pertengkaran demi pertengkaran tidak dapat mengubah apa-apa, dia memilih untuk diam. Merenung wajah selamba itu seketika.
            “Rissa tak nak tanya. Rissa cuma nak bincang. Kita perlu berbincang,”ucapnya dingin. Radhi menoleh.
            “Bincang apa? Dah ada duit? Kalau tak ada, tak ada apa yang hendak dibincangkan,”selamba Radhi membalas kata-katanya dengan sebaris ayat yang amat menyakitkan hati.
            Arisa mengerutkan kening. Sakit di hati, dipinggirkan seketika. Setelah sedikit tenang, wajah Radhi ditatap lama.
            “Abang… kenapa abang berubah sampai macam ni sekali? Kenapa abang sanggup lukakan perasaan Rissa macam ni? Apa salah Rissa pada abang?,”
            Reaksi Radhi yang sekadar menjongket bahu, membuat hatinya membara. Mengundang geram yang tidak berpenghujung. Senyum sinis Radhi hampir membuat air matanya menitis. Tidak pernah ada ruang untuk dia berbincang dari hati ke hati dengan Radhi. Radhi tidak mahu berbincang tentang masalah mereka.
            “Arisa? Are you okay?,”
            Imej Radhi hilang perlahan-lahan. Dia mengangkat muka. Bertemu dengan senyum nipis majikannya.
            “Encik Karim… sorry. Encik Karim perlukan apa-apa?,”sedikit kalut dia bersuara. Membuang perasaan sedih yang mula menyelubungi hati. Tanpa sedar, masalah dirumah sudah diheret sama ke tempat kerja.
            “Awak ada masalah?,”
            Arisa menggeleng. Dan gelengannya bersambut dengan senyum lebar Encik Karim. Lembut renungan lelaki itu menjamah wajahnya sambil berpeluk tubuh.
            “Awak bukan sehari dua bekerja dengan saya. Kalau ada masalah, selesaikan segera. Kalau perlukan bantuan saya, cerita pada saya,”
            Arisa tersenyum tawar. Sekali lagi dia menggeleng sambil menggaru kepala.
            “Encik Karim perlukan apa-apa ke?,”Arisa mengulangi soalan yang sama.
            “Sure okay ni?,”
            Soalannya berbalas soalan. Dia tersenyum.
            “Saya okay,”
            “Kalau okay, baguslah. And, saya tak mahu apa-apa. Cuma nak bertanya…dah lunch hour. Awak tak makan ke?,”
            Arisa termangu seketika. Mata dilarikan pada jam di dinding. Pukul satu tengahari. Rupa-rupanya dia terlalu leka melayan lamunan. Melayan masalah yang membelenggu diri.
            “Oh…,”
            “Oh?...,”Encik Karim bersuara sambil tersenyum. Arisa mengukir senyum terpaksa.
            “Tak perasan…,”ujarnya perlahan sambil mengangkat punggung. Encik Karim tergelak kecil.
            “Itu sebabnya saya cakap awak ada masalah. Awak hilang fokus,”
            “Pandailah Encik Karim ni…,”Arisa cuba berdalih bersama tawa kecil.
            “Memang saya pandai. Dah. Jom…join lunch dengan saya,”
            Arisa menggeleng perlahan.
            “No, thanks. Saya makan sendiri,”
            “Jangan risau. Join me dengan my wife. Kami ada lunch date hari ni,”
            Arisa tergelak kecil.
            “Lagilah… no, thanks. Bertiga nanti crowded,”usik Arisa bersama senyum hambar.
            “Ya ke? Saya berlima dengan anak-anak, kenapa tak rasa crowded pun?,”
            Arisa tergelak lagi. Pandai majikannya ini membuat dia lupa seketika pada masalah yang ditanggung.
            “Okaylah Encik Karim. Saya keluar lunch dulu. Enjoy your lunch ya. Kirim salam pada Puan Salma,”
            Sambil mengeluh perlahan Encik Karim mengangguk. Mengukir senyum manis buatnya.
            “Silakan…,”lelaki itu bersuara separuh berbisik.
            Arisa tersenyum sambil terus mengatur langkah meninggalkan lelaki itu. Melihat kebanyakan meja yang sudah kosong. Masing-masing hilang mencari hidangan makan tengahari. Nampaknya dia makan sendirian hari ini.
            “Rissa. Baru nak keluar makan ke?,’
            Sekilas dia menoleh. Tersenyum lebar melihat langkah laju Tasnim. Dia menjawab dengan anggukan perlahan.
            “Good. Ada teman aku nak makan,”
            “Jomlah. Aku pun seorang ni,”
            Tasnim tersengih sambil melangkah bersaing. Arisa pula tersenyum nipis. Sekurang-kurangnya ada teman untuk dia makan tengahari bersama.


****

            “Macam tak ada selera aje?,”
            Arisa mengangkat muka. Sudu yang dikuis-kuis perlahan di pinggan, terhenti dengan sendiri. Diletakkan perlahan di tepi pinggan.
            “Tak laparlah,”
            Tasnim tersenyum panjang. Menongkat dagu sambil merenung wajah Arisa.
            “Cuba kau cerita apa masalah kau sebenarnya? Sejak akhir-akhir ni, makin murung aku tengok kau ni,”
            Arisa diam. Memandang wajah Tasnim buat seketika. Kemudian melepaskan satu keluhan yang cukup panjang.
            “Entahlah Nim. Susah aku nak cakap,”
            Tasnim perlahankan suapan. Memandang wajah Arisa yang jelas seperti sedang bermasalah.
            “Pasal apa? Pasal kerja? Or…peribadi?,”
            Tanpa menjawab, Arisa terus memandang wajah Tasnim. Seorang rakan sekerja yang agak rapat dengannya sejak akhir-akhir ini.
            “Betul nak tahu?,”
            “Kalau kau nak share…,”
            Arisa mengangguk perlahan.
            “Radhi…,”sepatah nama itu mengiringi anggukannya.
            “Kenapa dengan Radhi? Apa yang dia dah buat?,”
            “Dia nak kahwin lain,”
Kunyahan Tasnim terhenti. Bulat matanya memandang wajah Arisa. Dia kenal Arisa. Dia juga tahu sedikit sebanyak tentang Radhi, walau Arisa jarang bercerita soal rumahtangganya. Radhi mahu berkahwin lagi? Sukar untuk dia percaya.
            “Kau ni. Cakap biar serius,”
            Arisa diam. Cuma matanya memandang wajah Tasnim yang jelas terkejut besar.
            “Dah dapat isteri macam ni punya cantik pun, still nak kahwin lain?,”tokok Tasnim sambil menggeleng. Memang di matanya Arisa tiada cela langsung. Arisa tersenyum sumbing.
            “Dia nak kahwin dengan janda muda. Baru kematian suami,”
            Tasnim diam seketika. Meneguk jus tembikai sambil menolak pinggan nasi. Dia mahu mendengar keseluruhan cerita temannya itu. Sungguh dia tidak percaya.
            “Sorry… bukan aku nak persendakan suami kau. Tapi, setahu aku, Radhi tu kan tak kerja. Nak kahwin lain pulak? Macam mana dia nak tanggung dua isteri sekaligus?,”
            Arisa diam. Satu lagi kenyataan yang membias rasa malu diwajahnya. Tidak terjawab soalan yang satu itu. Walau bukan dia yang membuka cerita, namun, dia sedar cerita tentang Radhi memang berlegar di kalangan teman-teman sekerja. Bukan kerja senang untuk menutup perilaku laku buruk lelaki itu.
            “Kau setuju?,”
            Pandangannya dibawa ke wajah Tasnim sebaik soalan itu meniti di bibir Tasnim. Tersenyum kelat sambil melurut rambutnya yang jatuh ke bahu.
            “Isteri mana yang setuju suami dia kahwin lain? Tapi… kalau aku cakap, aku tak setuju pun, dia bukan peduli”
            Tasnim mengeluh perlahan. Simpati pula melihat keadaan teman sekerjanya itu. Barangkali ini salah satu sebab kenapa Arisa kelihatan sering bersendiri. Walau Arisa bukanlah teman rapatnya, dalam diam, dia sedar perubahan itu. Tetapi, apabila Arisa begitu berhati-hati tiap kali bercakap soal perkahwinannya, dia akur. Menghormati pendirian Arisa  yang tidak mahu bercerita soal peribadinya itu. Lagipun sebelum ini, dia memang tidak rapat dengan Arisa. Cuma sejak akhir-akhir ini, dia terpanggil untuk mendekati Arisa dan Arisa juga seperti sedang mencari-cari teman untuk dia berkongsi rasa.
            “Masalah kau sebenarnya lebih besar dari ini, kan?,”Tasnim menebak.
            Soalan Tasnim dijawab dengan anggukan kecil. Dia perlukan pendapat seseorang untuk keputusan yang telah dia ambil. Mungkin Tasnim calon paling layak untuk tujuan itu.
            “Takkan kau nak tanggung seorang semua beban dalam hati tu?,”
            “Aku nak tarik diri. Aku tak nak teruskan lagi perkahwinan aku dengan Radhi. Masa depan aku makin gelap kalau aku teruskan. Kalau aku ada anak…macam mana? Apa akan jadi pada anak aku? Dengan perangai suka berfoya-foya dia yang tak pernah dia nak buang tu. Aku serik, Nim. Aku nak mulakan hidup yang lebih tenang,”
            “Kalau kau dapat anak tiri, macam-mana? Mesti bertambah masalah kan?,”
            Arisa tersenyum kelat.
            “Hey! Aku seriuslah. Dia tak kerja. Siapa nak tanggung semua anak-anak dia? Kalau janda tu kaya, tak apa. Kalau kayap? Kau nak kena tanggung semua?,”
            “Janda kaya. Sebab tu dia sanggup nak kahwin lain…,”
            “I see….,”gumam Tasnim bersama anggukan kecil.
            “So? Sekarang ni, apa masalahnya?,”
            “Dia bagi kata dua pada aku, bila aku minta dia lepaskan aku,”
            “Kata dua?,”
            Arisa tersenyum tawar. Tunduk seketika sebelum mengangkat muka, menebarkan pandangan ke ruangan restoran yang luas.
            “Rissa?,”Tasnim bersuara dengan nada kurang sabar.
            “Aku bagi dua puluh ribu pada dia, baru dia akan lepaskan aku…,”
            “What?! Dua puluh ribu? Masa kahwin dulu berapa hantaran yang dia bagi kat kau?,”
            “Lima ribu. Tu pun duit aku,”balas Arisa bersahaja.
            Tasnim ternganga.
            “Jantan macam tu pun ada kat dunia ni? Tak sedar diri betul! Geramlah aku dengar,”
            “Aku tak nak fikir semua benda yang dah berlalu. Sekarang ni, aku tengah buntu nak cukupkan dua puluh ribu. Kemudian bagi kat dia…Aku pun bukan orang senang. Bukan mudah nak cari duit sebanyak tu,”
            Tasnim menelan liur.
            “Banyak tu Rissa. Kau tak rasa sia-sia ke senangkan lelaki macam tu? Senang-senang dia dapat duit dua puluh ribu. Apa kata kau cuba minta fasakh. Dengan rekod buruk dia, mungkin ada pembelaan untuk kau,”
            Arisa mengeluh lemah. Kurang bersetuju dengan usul Tasnim.
            “Panjang ceritanya nanti. Aku kenal Radhi. Dia suka menyusahkan aku. Kalau tak dapat apa yang dia nak, mesti dia akan terus susahkan aku. Aku tak kisah kalau aku yang kena hadapi semua tu. Tapi, aku tak sanggup tengok ayah aku tertekan dengan kerenah Radhi nanti. Ayah aku tak sihat, Nim. Perangai Radhi sekarang ni pun, dah cukup buat dia susah hati. Aku kasihankan ayah aku. Kalau boleh aku nak semua ni cepat-cepat berakhir. Aku nak Radhi berhenti ganggu aku dan ayah aku. Kesian ayah aku…,”
            Tasnim termenung.
            “Kau dah cuba bincang elok-elok?,”
            "Tak ada apa yang nak dibincangkan. Dia dah tak macam dulu. Tak tahu ke mana hilang cinta dia dulu. Lagipun, tiap kali aku ajak dia berbincang, dia tak nak,”
            “Kau pula? Kau masih sayangkan dia? Masih cintakan dia?,”
            Arisa menjongket bahu perlahan.
            “Aku kecewa. Aku tawar hati,”
            “Aku tak tahu nak cakap macam-mana. Aku simpati dengan kau. Tapi, kau fikirlah masak-masak. Banyak jumlah duit yang dia minta tu,”
            “Daripada aku terus makan hati…sakit hati…mungkin aku perlu korbankan duit aku,”
            “Apa kata kau minta nasihat dulu? Dengar apa kata pejabat agama. Refer ke sana dulu ke?,”Tasnim cuba memberi cadangan.
            Arisa mengeluh perlahan. Cadangan Tasnim dibiarkan menyapu perlahan gegendang telinganya. Was-was untuk mengheret Radhi ke pejabat agama dan membiarkan kes perceraian menjadi meleret dan tergantung andai permintaan lelaki itu tidak dipenuhi. Tidak mungkin Radhi akan lepaskan dia semudah itu.
            “Pelik aku. Kau kahwin atas dasar cinta. Kenapa dia boleh berubah macam tu?,”
            Arisa menggeleng lemah. Dia sendiri tidak pernah menyangka Radhi akan berubah sebegitu sekali. Atau mungkin dari dulu lagi, Radhi tidak pernah serius mencintainya? Mungkin benar tekaan bapanya. Radhi cuma mahu mendapatkan kesenangan dengan kelebihan yang ada padanya. Walau apa pun punca yang menyebabkan Radhi berubah, itu bukan lagi persoalan utama yang perlu dia fikirkan saat ini. Ada perkara lain yang jauh lebih penting. Dia perlu memikirkan soal masa depannya. Dia perlu fikirkan cara untuk menyenangkan hati bapanya yang sudah begitu lama turut terseret dengan onar Radhi. Dia mahu hidup bersama dengan bapa dan adik-adiknya tanpa ada gangguan yang menyakitkan hati.
            “Rissa…,”
            Lamunan Arisa terputus. Matanya melekat pada wajah Tasnim. Gadis itu seakan mahu memberitahu sesuatu padanya.
            “Apa kata kau pinjam dengan Encik Karim?,”
            Arisa jegilkan mata.
            “Kau gila ke? Kau ingat Encik Karim tu gila nak bagi aku pinjam duit sebanyak tu? Jangan cakap yang bukan-bukanlah,”
            Tasnim mengeluh perlahan.
            “Insyaa ALLAH boleh. Encik Karim tu baik. Mungkin dia boleh tolong. Kau cubalah,”
            Arisa menggeleng laju. Langsung tidak bersetuju dengan cadangan itu. Tidak mungkin dia akan menadah muka meminta bantuan majikannya itu hanya semata-mata mahu selesaikan  masalah peribadinya. Lagipun, andai diceritakan semua masalah pada Encik Karim, itu hanya akan membuka pekung di dada sendiri. Tidak wajar rasanya.



******

Wednesday, September 4, 2013

Mungkinkah? 1

“Gila ke laki kau ni, Rissa?,”
Arisa menyapu air mata yang membanjiri pipi. Wajah bapanya yang kelihatan marah dipandang dengan rasa hiba. Bapanya wajar marah dan dia wajar menerima balasan ini barangkali. Berat untuk dia bercerita tetapi, terasa beban yang ditanggung sudah tidak mampu digalas. Sudah terlalu penat dia melayan kerenah Radhi. Semakin hari semakin sulit untuk dia berdepan dengan perangai Radhi. Semakin hari Radhi semakin sengaja mahu menyakitkan hatinya. Semakin mencabar sabarnya. Dia berharap Radhi akan berubah. Dia berdoa agar Radhi menjadi lelaki yang pernah dicintai sepenuh hati sebelum mereka bergelar suami isteri. Tetapi semua itu mungkin cuma akan menjadi mimpi. Jauh sekali untuk digapai sebagai realiti.
“Itulah. Dari dulu lagi ayah tak berkenan kamu berkahwin dengan Radhi tu. Cinta konon. Tengoklah apa jadi dengan kamu sekarang ni? Kurus kering makan hati. Inilah yang kamu dapat sebab nak pertahankan sangat cinta kamu tu. Kan?,”
Arisa tunduk. Hujah bapanya tidak mampu dia patahkan. Saat ini, dia akui kebenaran kata-kata bapanya. Cinta bagai tidak membawa erti lagi padanya. Separuh mati dia pertahankan Radhi. Bermatian dia cuba yakinkan ibu dan bapanya, Radhi adalah jodoh yang terbaik untuknya.  Tetapi hari ini sudah terbukti dia silap. Dia silap dan bapanya benar.
“Silap  Rissa. Rissa mengaku semuanya salah Rissa. Tapi, sebelum kahwin dia tak macam ni, ayah. Dia baik,”perlahan dia bersuara.
Haji Salleh mengeluh perlahan. Ikutkan geramnya, memang mahu dia hamburkan segala rasa marah yang terpaksa dipendam kerana sayangkan anak. Walau berat hatinya, dia akur dengan permintaan Arisa. Dengan separuh hati, akhirnya Radhi terpaksa diterima sebagai menantu. Tetapi, melihat kesedihan Arisa saat ini, dia tidak sampai hati. Segalanya telah berlaku. Walau diluahkan segunung marah sekalipun, mustahil kemarahan itu dapat memulihkan keadaan.
“Sudahlah. Tak guna nak cakap benda yang dah berlaku,”sudahnya, dia bersuara dengan nada sedikit kendur.
Arissa terus menunduk.
“Dia dah jauh berubah, ayah… dia bukan Radhi yang Rissa kenal dulu,”lemah luahan yang meniti di bibir.
“Lelaki ni, kalau dah dapat isteri gaji besar sikit, naik kepalalah dia. Nak pula, jenis yang malas kerja macam suami kamu tu. Tengoklah macam-mana dia buat pada  kamu? Nasib baik tak ada anak lagi. Kalau ada anak, macam-mana? Bertambah-tambah beban kamu. Yang seronok… dialah. Siang malam tahunya berjoli… berjudi,”
Arisa mengeluh panjang. Buntu memikirkan masalah yang semakin menyesakkan kepala. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan bapanya. Tetapi, apabila semuanya sudah tidak mampu untuk dia harungi sendirian, cuma bapanya yang dia ada untuk mengadu. Dan, kata-kata bapanya itu ada benarnya. Jelas Radhi hanya mengambil kesempatan padanya. Dia menjadi tabung duit bagi Radhi. Dia menjadi tempat melampiaskan nafsu bagi Radhi. Dia menjadi tempat Radhi melepaskan amarah setiap kali pulang ke rumah dengan muka kelat disebabkan kalah judi. Semenjak berkahwin, dia seakan tidak  bermakna langsung pada lelaki itu. Kasih Radhi hilang dari matanya. Cinta Radhi juga ghaib entah ke mana. Yang tinggal cuma satu kenyataan yang membuat hatinya tersayat pilu. Dia bagai boneka untuk kesenangan Radhi.
“Sakit dada ayah ni tengok gelagat laki kamu tu. Bekerja malas. Orang kiri kanan duk sibuk bercerita. Angkut anak dara orang sana. Angkut anak dara orang sini. Sekarang dah gatal nak kahwin lagi pulak? Siapa yang nak tanggung bini dia nanti? Kamu?,”kali ini, sedikit keras suara yang meniti di bibir Haji Salleh. Berbaur geram nada yang sampai ke telinga Arisa.
Arisa tersentap. Mengangkat muka merenung wajah bapanya. Air mata yang ditahan dari tadi, kini menitis jatuh ke pipi. Perlahan dia menggeleng. Tingkah Radhi sudah cukup menghancurkan perasaannya. Selama dua tahun dia ‘menikmati’ cinta suci Radhi. Cinta yang penuh dengan caci-maki dan air mata. Silap besar dia agungkan cinta sehingga sanggup ingkar pada teguran bapanya. Pada nasihat arwah ibunya. Rupa-rupanya cinta suci itu cuma omong kosong. Hakikatnya cinta langsung tidak bernilai.
“Ayah tak fahamlah. Apa yang kamu tengok pada si Radhi tu? Langsung tak ada masa depan. Tak cukup ke dia buat kamu selama ni? Dua tahun kahwin, paling lama ayah tengok dia kerja dua bulan saja. Lepas tu, jadi kutu rayau. Duduk rumah bapak mertua dah buat macam rumah sendiri. Nak keluar minta duit bini. Balik marah-marah bini,”kali ini, terlampias juga rasa geram yang terbuku di hati. Memang setiap kali nama itu melintas di kepala, hatinya terasa sakit.
Arisa menunduk. Kata-kata itu sedikit sebanyak membias rasa malu di hatinya. Malu dengan sikap suami sendiri. Mahu nafikan, itulah kenyataannya. Cuma Radhi seakan tidak pernah ada rasa malu pada bapanya.
“Malu Rissa dengan sikap dia tu, ayah,”
“Kenapa pula kamu yang nak malu? Yang buruk perangai suami kamu…,”
Arisa mengeluh lagi. Perlahan menolak ke belakang rambut ikalnya yang disapa angin petang.
“Apa rancangan kamu sekarang? Nak ikutkan juga kehendak suami kamu tu? Nak bermadu? Sah-sah beban kamu yang bertambah nanti. Sekarang tanggung laki. Nanti dengan madu kamu pun kamu tanggung. Kalau beranak-pinak nanti, macam mana? Ayah ni, bukan apa. Ayah tak nak tengok kamu hidup macam ni. Tak ada guna kamu hidup dengan lelaki macam tu. Bukan ayah nak minta kamu runtuhkan rumahtangga kamu. Tapi, ayah tak sampai hati nak tengok kamu hidup makan hati macam ni. Keputusan macam ni, kamu kena fikir masak-masak. Jangan fikir untuk tempoh esok atau lusa. Kamu kena fikir macam –mana hidup kamu sepuluh tahun nanti kalau kamu setuju nak bermadu?,”
“Rissa dah ambil keputusan, ayah,”
“Keputusan apa?,”
“Rissa nak bercerai. Rissa tak nak hidup dengan Radhi lagi. Rissa tak nak bermadu. Rissa tak nak tambah beban dalam hati Rissa. Tak nak terus hidup makan hati macam ni,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Memandang wajah anak sulungnya itu dengan renungan simpati. Susah untuk dia memberi pendapat. Mahu Arisa teruskan perkahwinan itu, dia yakin Radhi tidak akan berubah. Dia yakin Radhi tidak akan berhenti menyusahkan Arisa. Mahu menyokong Arisa memutuskan hubungan itu, dia juga serba-salah. Bukan elok bercerai-berai. Dia juga tidak mahu anaknya itu menempah gelaran janda pada usia semuda itu.
“Ayah tak tahu nak cakap apa. Serba-salah ayah jadinya. Rissa buatlah keputusan yang paling baik untuk Rissa. Ini hidup Rissa. Apa saja keputusan Rissa, ayah tetap akan sokong,”
Arisa diam. Sepi waktu petang sebegini memberi dia peluang untuk bercakap panjang lebar. Ketiadaan adik-adiknya membuat dia tergerak untuk berkongsi rasa dengan bapanya. Dia perlu berbincang dengan bapanya. Hal ini bukan hal kecil untuk dia simpan sendiri di hatinya. Keputusan yang ingin dia ambil juga satu keputusan yang akan mengubah jalan hidupnya seratus peratus.
“Tapi…,”
“Tapi apa pula?,”
Arisa menghela nafas sedalam mungkin. Memandang wajah bapanya yang kelihatan setia menunggu. Dia menjadi sedikit serba-salah. Perlukah dia berkongsi cerita ini dengan bapanya? Atau dia perlu tanggung semua ini sendirian? Perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan yang telah dia buat?
“Rissa? Ada apa ni? Cuba cerita dengan ayah,”
“Radhi tak nak ceraikan Rissa. Dia nak madukan Rissa. Dia cakap, kalau Rissa bagi dia duit, baru dia akan lepaskan Rissa. Kalau tidak, dia tak mahu lepaskan Rissa,”
Haji Salleh merengus marah. Turun naik mengawal nafas yang tidak terkawal. Perlahan dadanya diurut. Sungguh sakit hatinya memikirkan perangai menantu sulungnya itu. Arisa bergerak menghampiri bapanya.
“Memang hantu budak tu! Kalau bukan Rissa berdegil nak juga kahwin dengan dia, sebelah mata pun ayah tak ingin tengok muka tu. Ayah tahu dia memang jenis tak tahu tanggungjawab,”Haji Salleh bersuara geram dengan nada tertahan. Dadanya yang mula terasa sempit, diusap lagi.
“Ayah tak apa-apa?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Arisa mengusap perlahan dada bapanya. Sudah mula risau andai jantung bapanya bermasalah lagi. Silap dia, membuka cerita sebegitu pada bapanya. Timbul rasa menyesal di hati. Mungkinkah dia perlu menyimpan masalah ini sendiri?
“Dahlah. Kita tak payah cakap pasal ni lagi, ya?,”
Haji Salleh menggeleng. Dia dan Arisa memang perlu berbincang.
“Ayah tak apa-apa. Berapa yang hantu tu nak?,”
Arisa diam. Cuma memandang wajah bapanya yang jelas tegang melayan marah.
“Kita bincang lain kali ya, ayah. Ayah tak okay ni. Rissa tak nak nanti ayah jatuh sakit,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Mengurut perlahan dadanya. Matanya lari ke wajah anak sulungnya itu. Wajah itu sudah hilang seri. Barangkali terlalu banyak derita yang dipendam sendiri.
“Ceritalah pada ayah. Ayah nak tahu. Ayah nak dengar. Sudah-sudahlah makan hati sebab nak lindung kesalahan Radhi tu…,”
Arisa diam seketika. Tunduk mencari kekuatan untuk bersuara. Berdoa agar apa yang meluncur di bibirnya itu, tidak memberi kejutan berat pada bapanya.
“Radhi nak duit…,”lambat-lambat patah perkataan disusun. Melantun dalam nada seperlahan yang boleh. Berharap agar suaranya tidak sampai ke telinga Haji Salleh.
“Berapa yang Radhi minta?,”
Arisa mengangkat muka. Bapanya mendengar.
“Dua puluh ribu, ayah,”
Haji Salleh diam. Mengurut dada yang kembali terasa sesak. Arisa menggelabah.
“Ayah… ayah tak apa-apa?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Mengurut dada sambil cuba bernafas setenang mungkin.
“Gila suami kau ni, Rissa…,”
Air mata Arisa menitis. Memeluk tubuh tua itu sambil mengurut dada Haji Salleh. Mungkin benar suaminya itu sudah gila. Gila pada duit. Gila pada perempuan.
“Rissa minta maaf, ayah. Sepatutnya, Rissa dah tak jadi beban pada ayah….,”
“Ayah tak akan biarkan Radhi buat Rissa macam ni. Dia ingat dia siapa? Rissa ni anak ayah. Ayah tak akan biarkan Rissa tanggung semua ni sendiri,”
“Ayah… Rissa tak nak panjangkan hal ni. Rissa tak nak gaduh. Rissa tak nak dia cari pasal dengan ayah. Rissa tak nak ayah sakit sebab Rissa. Ayah sakit sebab melayan perangai Radhi tu. Rissa akan berikan apa yang dia nak…,”
“Banyak tu, nak,”
“Rissa akan usahakan. Yang penting, lepas ni biarlah dia lenyap terus dari hidup Rissa. Rissa tak nak tengok muka dia lagi,”
“Bagi duit macam tu aje pada jantan tak guna tu? Tak cukup selama kahwin dengan kamu, dia peras duit kamu, sampai nak ceraikan kamu pun dia nak peras kamu juga?,”
Arisa tersenyum pahit. Memandang seketika wajah bapanya. Mahu melihat keadaan bapanya itu. Haji Salleh kelihatan sudah sedikit tenang. Perlahan dia tunduk sambil bermain dengan jemari sendiri.
“Rissa dah serik, ayah. Rissa dah tak sanggup nak hidup dengan dia lagi. Radhi yang jadi suami Rissa, terlalu jauh bezanya dengan Radhi yang mencintai Rissa dulu,”Arisa mengadu perlahan. Tidak pernah diluahkan kesengsaraan yang dilaluinya saban hari. Hari ini, dia mahu mengadu pada bapanya. Dia mahu kosongkan hatinya yang tepu dengan kecewa. Kecewa pada sebuah ikatan perkahwinan. Angannya, perkahwinan dia dan Radhi akan menjadi satu perkahwinan yang paling indah. Angannya juga, dia mahu menjadi isteri Radhi yang paling bahagia rentetan hidupnya. Dia cuba menjadi isteri yang sempurna dan Radhi akan cuba menjadi suami yang sempurna juga. Namun, angan-angan itu cuma tinggal satu impian kosong. Terlalu jauh untuk dicapai menjadi kenyataan.
“Dulu dia sayang sangat kat Rissa, ayah…,”gumamnya perlahan bersama air mata yang bertandang lagi.
“Dia buat Rissa rasa Rissa manusia paling bertuah dalam dunia ni…,”
Haji Salleh diam seribu bahasa. Hatinya tersentuh melihat air mata itu. Jiwanya menangis mendengar rintihan itu. Dia faham keperitan yang ditanggung oleh Arisa. Selama berkahwin, sepatah pun tiada rungutan daripada bibir itu. Semuanya didiamkan sendiri. Hari ini, apabila anaknya itu bersuara, dia mahu mendengar semua luahan hati Arisa.
“Luahkan semua yang Rissa pendam selama ni. Biar ayah dengar semuanya,”
Arisa menggeleng perlahan. Menyeka perlahan air mata yang membasahi pipi.
“Rissa dah tak tahu macam –mana nak luahkan apa yang Rissa rasa ni, ayah. Rissa rasa macam orang bodoh. Cuba berusaha untuk pulihkan hubungan ini, sedangkan Radhi langsung tak mahu lihat perkahwinan kami jadi lebih baik. Dia cuma leka dengan hidup dia sendiri… dengan dunianya sendiri,”
“Ayah nak yang terbaik untuk anak ayah. Fikirlah apa yang terbaik untuk Rissa. Dulu, Rissa rasa, Radhi yang terbaik untuk Rissa, ayah mengalah. Sekarang pun, ayah tak mahu buat keputusan untuk Rissa. Ayah yakin, Rissa lebih tahu apa yang hati Rissa inginkan,”
Arisa mengangguk perlahan. Merenung wajah tua di hadapannya itu.
“Mungkin ini balasan sebab Risa ingkar pada cakap ayah dulu. Kan?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan.
“Jangan sesekali cakap macam tu. Memang ayah tak setuju bila Rissa pilih Radhi. Tapi, kalau cuma itu yang boleh buat Rissa bahagia, ayah restu. Ayah tak akan sampai hati nak buat anak ayah hidup susah. Ayah tetap sokong anak ayah,”
“Rissa minta maaf, ayah. Rissa tak pernah jadi anak yang menyenangkan. Tak habis-habis Rissa bagi masalah pada ayah,”
“Sekarang ni, Rissa fikirkan masa depan Rissa. Bukan pandang ke belakang. Yang dah berlaku, kita tak mampu nak ubah. Tapi, kita mampu mengubah masa depan kita. Fikir dalam-dalam. Doa banyak-banyak. Apa pun keputusan Rissa, ayah akan tetap sokong anak ayah,”
“Terima kasih, ayah…,”perlahan Arisa berbisik sambil memeluk tubuh itu. Tenang hatinya apabila bapanya menepuk perlahan belakangnya. Juraian air mata jatuh ke pipi. Membasuh semua kesedihannya. Lega hatinya apabila semua yang tersimpan kini terluah sudah.




*****



[11:35:50 PM] hos.getah: