Friday, April 23, 2010

Kau, Aku Dan Nenek...1

Dalam debar, dia memilih untuk melayan menungnya di sepanjang perjalanan. Sudah hampir setahun berlalu. Bermakna hampir setahun juga segalanya berlalu. Dia harus pulang. Itulah SMS yang dia terima dari Amar setelah sekian lama tidak mendengar khabar berita daripada lelaki itu. Buat kali pertama juga dia perlu menghadap wajah lelaki itu setelah segalanya berlalu. Bukan salah lelaki itu. Juga bukan salahnya.Dia dan Amar sama-sama senang dengan keadaan itu. Itulah pilihannya juga pilihan Amar.

Telefon bimbit di dalam beg menjerit perlahan. Menghalau menungnya. Beg tangan segera diselongkar. Telefon bimbit segera dicapai.

[Kau kat mana. Aku dah sampai ni. Cepat sikit]

SMS itu dicerlung seketika. Sedikit geram dengan tulisan di dada screen telefon bimbitnya. Lelaki ini memang tidak pernah pandai bercakap lembut.

[Dalam teksi. Tunggulah jelah. Kjp lagi sampailah]

Dia tersenyum. Tidak kurang keras jawapan yang diberi. Padan muka. Sepi. Tiada lagi balasan SMS dari Amar. Membuat dia tenang semula bersandar sambil menikmati panorama alam. Sambil mengimbau peristiwa yang tiba-tiba hadir di dalam hidupnya.

“Hah? Harta? Banyak ke harta nenek tu?,”bulat matanya bertanya. Segera melabuhkan punggung ke sofa. Tidak pernah ibunya bercakap tentang harta nenek. Dan, topik itu begitu menarik untuk terus diselidiki.

“Materialistik betul kau ni ya? Kalau banyak pun, bukan kau yang dapat. Kau tu kira cucu angkat aje. Tak ada pertalian darah. Aku ni, cucu tunggal nenek,”

Dia mengerling.menjeling pada si penilik lidah tajam itu. Tidak berminat untuk melayan kata-kata pedas lelaki itu, segera berpaling memandang wajah ibunya. Mahu mendengar lagi tentang harta nenek.

“Kenapa tiba-tiba mak cakap pasal harta nenek ni?,”dia bertanya sambil menarik kerusi rotan. Mehu hampir dengan ibunya.

“Yang kau sibuk, kenapa? Ini hal keluarga. Anak angkat duduk tepi,”

Dia menjeling lagi. Kata-kata Amar walaupun menyakitkan hati, namun sudah tidak membekas di hatinya. walau segunung ungkitan Amar tentang pertaliannya dengan keluarga ini, dia tidak kisah. Dia tahu kasih sayang ibunya tidak pernah membezakan itu semua.

“Eleh…Belum pasti pun dapat. Nenek tu kan kedekut? Takkkan senang-senang dia nak bagi kat awak,”tingkahnya sambil menjeling.

“Kedekut pun… harta tu akan jatuh ke tangan aku juga,”

“Dua-dua tak dapat,”

“Kenapa pula? Amar kan cucu nenek,”

Dia tergelak jahat. Padan muka. kata-kata ibunya membuat hatinya berbunga riang.

“Memang kamu cucu dia. Tapi, nenek bagi syarat kat mak, malam tadi. Nenek nak kamu berdua berbaik. Tak nak kamu bertengkar macam anjing dengan kucing tiap-tiap hari,”

“Alah…kacangnya syaratnya. Boleh aje. Sekarang juga kami boleh berbaik,”dia bersuara selamba. Disambut anggukan Amar. Satu perubahan yang positif.

“Nenek nak kamu berdua kahwin. Barulah harta tu jadi milik kamu. Kalau tidak, nenek nak serahkan semua hartanya ke amanah raya,”

“Hah?!,”

“Hmm.. mak dah agak. Dua-dua dah terkejut. Lupakan ajelah saranan nenek tu,”

“Ish.. mana boleh. Kita orang tak kisah. Kita orang boleh ikut kehendak nenek,”laju Amar bersuara. Membuat dia tergamam seketika. Berbaik dia tidak ada masalah. Berkahwin?

“Ara… kau tak kisah kan?,”

Dia termangu. Berkahwin? Kehilangan harta nenek? Yang mana harus dipilih?

“Ara!,”

“Tak..tak… kami boleh ikut syarat nenek,”spontan dia bersetuju

“Cik! Dah sampai,”

Tiara tersentak. Segera peristiwa setahun lalu berlalu begitu sahaja. Pantas dia mengeluarkan duit tambang. Bergerak keluar dari teksi. Hari sudah petang. Melilau matanya mencari bayang Amar.

“Kata dah sampai. Penipu betul!,”dia mula merungut. Geram memikirkan dia perlu menunggu lagi.

“Siapa penipu? Dah sejam aku tunggu. Kan dah cakap pukul 4.30. sekarang dah 5.30,”

Tiara tersentak. Segera menoleh. Amar bersandar santai di kerusi.

“Dah. Jomlah. Tadi nak cepat sangat,”

“Tak salam suami kau dulu? Cium tangan dulu,”

Tiara mencemik.

“Jomlah. Buang masa kat sini, kenapa? Saya penat ni. nak balik rehat,”

Amar jongket bahu. Angkat punggung sambil berlalu.

“Hey! Tolonglah bawa ni,”

Amar menoleh.

“Nenek pesan kat kau kan? Kaulah yang bawa,”

Tiara tercegat menahan geram. Memandang plastik besar berisi ikan pekasam. Juga beg pakaiannya yang sedikit besar.

“Cepatlah wey! Aku tinggal karang..,”

Tiara merengus perlahan. Pantas tangan mencapai beg pakaiannya. Plastik berisi ikan pekasam ditinggalkan begitu sahaja. Laju melangkah menyaingi Amar.

“Oit! Ikan nenek mana?,”

“Tu…,”panjang muncungnya ke arah plastik yang terletak di tepi pangkin.

“Lah…kau tinggal kenapa? Nanti nenek bisinglah,”

“Tak nak nenek bising, awak pergilah ambil,”

“Kau!,”

Tiara tersengih. Padan muka! Sambil merengus marah, Amar bergerak semula menuju ka arah beg plastik yang ditinggalkan. Dia pula, melangkah perlahan ke dalam kereta.



****



“Dah lama tak balik jenguk nenek ya…,”

Tiara mengukir senyum.

“Sibuk nek,”

“Dua-dua pun sibuk saja. Dah tak ingat dekat orang tua ni, ya?,”

“Mana ada lupa nek. Tengok tu. Satu plastik saya order ikan pekasam untuk nenek,”Amar mencelah.

“Dah nenek minta…baru sibuk nak cari. Lagi satu, Ara yang duduk kat Kedah, macam mana kamu yang order? Bukan kamu kat Johor ke?,”

Tiara tergelak.

“Nak menumpang nama lah tu, nek,”tempelaknya sambil mengerling. Amar tersengih. Bergerak perlahan mendekati Tiara.

“Apa pula menumpang nama? Dari Johor abang ke Kedah kan?,”ujarnya sambil memaut bahu Tiara.

“Nek… mak panggil tu,”spontan Tiara bersuara sambil menunding jari. Spontan juga neneknya berpaling. Memberi kesempatan untuk dia menyiku rusuk Amar. Rasakan. Nak ambil kesempatan pula dia.

“Aduh!,”Amar mengaduh perlahan.

Dia tersengih. Nenek berpaling.

“Tak ada pun mak kamu. Yang kamu ni, kenapa, Amar?,”

“Sakit badan nek. Penat memandu. Naik ke Kedah jemput Ara. Pastu, drive lagi sampai kampung. Sakit pinggang ni…,”

“Hmmm.. pergilah berehat. Nanti malam kita sembang lagi. Ara, temankan suami kamu masuk. Kesian dia penat. Kamu pun, berhentilah kerja. Tinggal dengan Amar kat Johor.Tak ada susah nak ke sana sini bila nak balik kampung,”

“Orang lain kahwin elok saja duduk sekali. Yang kamu. Seorang ke timur seorang ke barat,”

“Salah nek. Seorang ke utara. Seorang ke selatan. Baru betul,”celah Amar tersengih. Tiara tersenyum. Nenek menjeling geram.

“Menjawan bukan main…,”

Amar tersenyum lagi mendengar nenek menggumam.

“Jom, Ara,”

“Baik, bang…,”panjang senyumnya sambil mengangkat punggung. Membiarkan sahaja Amar memaut pinggangnya.

“Sudahlah tu. Nenek dah ke dapur,”

Tangan Amar ditepis perlahan. Pintu bilik ditolak. Langkahnya seiring dengan Amar.

“Naik sampai ke Kedah konon! Yalah Encik Amar oiii… setakat tunggu kat bus stand kat pekan aje.. letih jemput Ara konon. Letih awak, tak ada kena – mengena dengan saya. Ok?,”

Amar tergelak.

“Urut sikit. Penatlah,”

“Uwek!! Jangan harap. Dahlah. Saya nak keluar. Awak nak rehat. Rehatlah…,”

Amar diam. Badannya segera dilayangkan ke katil. Lega. Asyik dapat berbaring bebas. Memang dia penat memandu pun. Walaupun tidak sampai ke Kedah.



****

“Hey! Kenapa ni? Muka pucat semacam?,”

Tiara tersentak. Pantas menarik muncung sambil berpaling muka. Geram dikejutkan Amar tiba-tiba.

“Kenapa ni? Nenek cakap apa tadi?,”sekali lagi Amar bersuara sambil melabuhkan punggung ke kerusi. Membenarkan angin malam membelai wajahnya.

“Ara!,”

Sekali lagi Tiara tersentak. Merenung wajah selamba Amar. Tiba-tiba dia tidak berdaya menatap wajah itu. Mengingatkan kata-kata neneknya sebentar tadi, hatinya semakin gelisah untuk terus menatap wajah Amar.

“Sejak bila kau hilang suara ni?,”

“Nenek…,”

“Ha ah. Aku tahulah nenek yang sembang dengan kau tadi. Aku kenal lagi nenek aku,”

Tiara membuang pandang. Amar tergelak jahat.

“Nenek. Dia minta cucu..,”

Gelak Amar semakin lantang.

“Apa nak risau? Aku kan ada. Berapa orang nenek nak? Kita boleh usahakan,”Amar bersuara sambil mengangkat kening. Sekejap saja kusyen kecil di tangan Tiara mendarat ke wajah Amar.

“Apa ni?,”Amar bersuara geram. Kusyen disambut dan dilontar semula ke arah Tiara. Selamat mendarat ke riba Tiara.

“Padan muka. Awak tengok muka saya ni, ada mood nak bergurau ke?,”

“Kau kan mata duitan. Takkan dugaan macam ni, dah tergugat? Kalau aku, aku tak kisah, aku sanggup,”

“Oh… saya yang mata duitan? Bukan orang yang bagi cadangan kita kahwin ke yang lebih-lebih mata duitan?,”

Amar mencemik.

“Kalau tak mata duitan, kenapa orang tu setuju?,”

Tiara menjeling. Putus fakta untuk patahkan kata-kata Amar. Amar tersenyum. Bergerak menghampiri Tiara.

“Kahwin.. kita dah setuju. Apa salahnya hadiahkan nenek cucu pula. Mana tahu, dia nak bagi apa-apa lagi kat bakal cicit dia? Hmm…cicit macam tak banyak. Cicit-cicit..mungkin banyak sikit bahagiannya nanti,”

“Awak! Kepala tu memang penuh dengan duit ya?,”

“Bukan kepala aku aje. Kepala kau pun…kan?,”

Tiara menjeling. Kurang sikit tahap materealistik berbanding kau! Jerit hatinya geram. Dan, saranan nenek? Saranan itu membuat dia kembali diserang rasa seram sejuk. Ngeri. Melihat wajah Amar, dia menggeleng perlahan.

“Haaaa… apa geleng-geleng? Kau bayangkan apa tu?,”

“Tak ada apa-apa,”laju dia menjawab. Amar tersenyum panjang.

“Nak try ke?,”usik Amar tersenyum menggoda.

“Gila!,”

Amar tergelak besar.

“So, kerja macam mana?,”topic bicara dialih Amar sambil matanya merenung wajah meterialistik adik angkatnya yang kini sudah menjadi isterinya. Kesian melihat wajah itu sudah seperti udang kena bakar menanggapi usikannya.

“Biasa-biasa saja,”

“Hmm… kau rasa- rasa serius ke cadangan nenek?,”

Tiara mengangguk.

“Aku tak kisah,”

“Pasal duit, mana awak nak kisah,”

Amar tersenyum.

“Amar, awak tak rasa ke, tak baik kita tipu nenek macam ni? Saya rasa macam bersalah pula,”

“Kita tipu apa?,”

“Yalah. Perkahwinan ni. Lakonan ni. Depan nenek kita tunjuk bahagia,”

“Lah.. bukan depan nenek aje. Belakang nenek pun kita bahagia kan? Kau bahagia di Kedah, aku bahagia di Johor. Kan?,”

“Tapi, sampai bila?,”

Amar menjongket bahu.

“Kenapa tiba-tiba kau fikir pasal semua ni?,”

“Entahlah. Bila tengok nenek. Bila nenek tanya pasal kita. Rasa macam nenek harap sangat kita ni macam suami isteri betul-betul,”

“Memang kita suami isteri betul-betul pun. Kan? Berpeluh tangan aku bersalam dengan tok kadi tahun lepas. Tahu?,”

Tiara diam tidak terkata. Amar pura-pura tidak faham maksudnya. Atau, lebih tepat lagi, Amar sengaja memancing rasa geramnya. Kes nak cari gaduh. Sudahnya dia mengangkat punggung, serentak dengan deringan telefon Amar. Dia menoleh. Memandang Amar yang laju menjawab panggilan itu.

“Ya…ya sayang. Tengah buat apa tu?,”

Sayang?! Bulat mata Tiara merenung wajah Amar yang sudah tidak mengacuhkannya. Sayang? Amar ada kekasih ke? Dan, kalau pun Amar ada kekasih, kenapa dia harus kisah. Mestilah! Aku isterinya! Dia terkebil-kebil. Terkejut dengan jeritan hati sendiri. Senyum Amar tiba-tiba membuat dia meluat. Segera dia melangkah sambil menolak daun pintu kuat. Berdentum.

“Hoi!,”

Jeritan Amar tidak dia hiraukan. Terus melangkah membawa perasaan yang tidak menentu.



****

Tangannya laju membawa tetikus menelusuri facebook di screen computer riba. Membaca info terkini yang tertera di dinding facebook. Dia tersenyum. Kemudian membuka kotak sembang. Dua hari di kampung, dia sibuk dengan neneknya. Tiada masa untuk mengikuti perkembangan rakan online nya itu.

Teratak Iltizam: Nampaknya awak ada program baru…

Agak lama dia menunggu sambil membuka album. Melihat kegiatan gotong-royong yang dijalankan temannya itu.

Rumah Harapan: Yup. Dah a week ago saya rasa.

Teratak Iltizam: Macam mana cadangan saya tu?

Rumah Harapan: Not bad. Saya rasa cadangan awak tu bagus. Dalam proses sediakan

maklumat. Awak dah lama mulakan projek tu?

Teratak Iltizam: Dah dekat setahun. Alhamdulillah. Banyak membantu. Sekurang2 nya

kami dapat maintain income bulanan kami. kalau nak bergantung dengan

derma dan sumbangan semata-mata, susah juga. Kat sini, ada lebih

kurang 50 anak yatim yang bersekolah. Besar perbelanjaannya.

Rumah Harapan: Tak dinafikan. Kadang-kadang pening nak cari sources. Tiap2 bulan

perbelanjaan boleh tahan banyaknya. Ubat lagi. Rawatan pun. Kalau

kat sinilah. Tapi, idea awak memang bagus. Jadi usahawan tani ya. Nanti

saya akan panjangkan kepada boss saya.

Tiara tersenyum. Memang usahanya mendatangkan hasil. Dengan bantuan penduduk kampung yang sudi sewakan tanah yang terbiar, dia usahakan aktiviti pertanian menggunakan duit pemberian neneknya. Aktiviti yang kini berjaya menjadi satu punca pendapatan utama untuk rumah anak yatim yang dibukanya bersama beberapa orang penduduk kampung. Bukan materialistik. Cuma, rasanya banyak perkara yang boleh dia lakukan dengan duit yang dijanjikan neneknya itu. jadi, saranan Amar diterima dan dia selamat dinikahkan dengan lelaki itu. Kini, masalah kekurangan sumber kewangan sudah berjaya dia atasi. Cuma, masalah perasaan pula yang melanda sejak dia mendengar perbualan mesra Amar tempoh hari.

“Apa ni?,”

Tiara berpaling. Mengurut dada perlahan. Siapa lagi yang sanggup membuat dia terkejut sebegitu rupa?

“Awak! Kalau jangan buat saya terkejut, boleh tak?,”

Amar tersenyum.

“Facebook kau?,”

Tiara menjeling sambil menghalang pandangan Amar ke screen laptopnya. Tidak mahu lelaki itu melihat facebook nya.

“Jangan menyibuk hal orang, boleh tak, Encik Amar?,”

“Aku menyibuk hal wife aku. Bukan hal orang,”

Malas mahu melayan jarinya pantas mencari icon pangkah. Mahu menutup wondow Facebook. Sepantas jarinya ditepis tangan Amar.

“Kejap. Aku nak tengok,”

“Nak tengok apa?,”soalnya geram.

“Tengok kau ada boyfriend ke tak…,”

Tiara jegilkan mata. Melampau betul tuduhan lelaki ini.

“Heloo… saya ni, tahu status diri. Ok!. Bukan macam awak tu. Jangan risaulah ya. Saya tak ada boyfriend. Dah, tepi. Pergi main jauh-jauh,”

“Dah tu, kenapa takut sangat aku tengok FB kau tu?,”

“Ini kan ruang private saya. Mana boleh awak ceroboh sesuka hati,”

“Tepi sikit. Aku nak tengok,”

Tiara jatuh terduduk di tepi katil sebaik tangan Amar selamba menolak tubuhnya. Dengan selamba lelaki itu mengambil tempatnya. Menarik computer ribanya. Tekun memandang screen.

“Awak! Sakit tahu tak?,”

Amar menoleh. Tersengih melihat Tiara terduduk di lantai.

“Kau duduk kat lantai kenapa? Duduklah kat sofa kalau sakit punggung,”ujarnya selamba.

“Awak ni, kan!,”

Amar terus tersenyum. Tidak berminat mahu terus mengusik gadis itu. Dia tertarik dengan paparan yang berada di depannya kini.

“Teratak Iltizam ni, kau punya?,”

Tiara menarik muncung. Bingkas bangun sambil menggosok punggung.

“Kalau saya punya, kenapa? Ada masalah?,”

Amar mengangkat muka. Tersenyum melihat wajah mencuka Tiara. Sedikit terkejut sebeanrnya dengan apa yang dilihatnya.

“So, kau nak duit nenek tu, sebab ni lah?,”

“Saya punya pasal lah. Duit saya. tak ada kena mengena dengan duit awak kan?,”

“Kenapa kau tak cakap?,”

Tiara bergerak bersandar ke katil sambil kaki berjuntai ke lantai. Soalan Amar tidak perlu dijawab. Rahsianya juga sudah sampai ke pengetahuan Amar. Begitu selamba lelaki itu menjelajah laman sosialnya itu.

“Tak sangka isteri aku ni, mulia hatinya,”

Tiara mencemik. Kata-kata itu membuat dia teringat panggilan mesra Amar di talian telefon tempoh hari. Entah gadis mana yang menghubungi lelaki itu. Entah sudah berapa lama Amar menjalin hubungan cinta. Sebelum pernikahan mereka atau selepas pernikahan mereka? Kenapa sebelum ini dia tidak pernah kisah? Dan kenapa saat ini, dia terlalu marah bila teringatkan suara Amar yang sebegitu mesra. Amar tidak pernah bercakap semesra itu dengan itu dengannya.

“Hai..aku puji pun, pandang macam nak telan?,”

Tiara sedikit tersentak. Tersedar yang renungannya tajam menikam wajah Amar. Amar tersenyum sambil kenyitkan mata. Membuat jantungnya berkocak tiba-tiba. Pantas dia mengangkat punggung. Tidak mahu berlama dengan lelaki itu. Terasa perasaannya semakin parah. Dia harus siasat punca anehnya perasaan ini. Dia harus lari dari lelaki ini.

“Nak ke mana tu?,”

“Suka hati saya lah. Jangan lama-lama tengok FB saya. Jangan mengada nak menyamar. Jangan gatal nak tackle kawan-kawan saya,”

“Baik sayang… tak lama sayang. Kejap lagi abang off ye sayang,”

Tiara menggigit bibir. Senyum Amar yang meleret menambah geram di hati. Namun, untuk membalas kata-kata lelaki itu, jantungnya sudah tidak mampu berdegup.

“Gatal!,”gumamnya geram. Terus berlalu keluar dari bilik. Meninggalkan Amar bersama sisa gelaknya.





****

ALAMAK! BERSAMBUNGLAH PULAK. TP, TAK APA. SEBAB INI CERPEN, JADI KEJAP AJE KENA TUNGGU 

NANTIKAN SAMBUNGANNYA YA….
[11:35:50 PM] hos.getah: