Tuesday, October 18, 2011

Mungkinkah? 13


            Hampa. Dia gagal lagi. Usahanya seakan sia-sia. Dia tetap gagal menemui sepasang mata yang mampu membuat dia lupa segalanya. Gagal menemui renungan yang membuat masanya seakan terhenti. Bersama langkah malas, dia melangkah ke ruang pejabat. Terus menghampiri kaunter menyambut tetamu. Belum pun sempat dia bersuara, senyum manis sudah terukir buatnya.
            “Selamat petang, Encik Zariff,”
            Sapaan itu cuma dijawab dengan seulas senyum nipis dan anggukan kecil.
            “Ada apa-apa pesanan untuk saya, Jasmine?,”
            Gadis penyambut tamu itu menggeleng perlahan dan dia pula tidak menunggu lama. Terus mula melangkah menuju ke arah tangga.
            “Err…Encik Zariff..ada…ada.. Saya lupa. Puan Zahra nak jumpa Encik,”
            Langkah Zariff terhenti. Kembali berpaling memandang wajah Jasmine.
            “Sekarang?,”
            “Lepas lunch tadi, Puan dah cari Encik. Tapi, Encik tak ada,”
            Zariff diam sejenak, sebelum langkahnya bertukar arah. Terus menuju ke arah bilik ibunya. Perlahan pintu diketuk, dan sebaik sahutan suara ibunya singgah di telinga, daun pintu ditolak perlahan. Berdiri seketika di situ, memberi peluang ibunya menghabiskan perbincangan dengan Saera, seorang pengurus daripada bahagian sumber manusia. Sebaik wanita yang berusia awal empat puluhan itu, bangkit dari kerusi, dia melangkah masuk perlahan-lahan.
            “Selamat petang, Encik Zariff,”
            Zariff tergelak kecil.
            “Apa pula tiba-tiba berencik ni, Kak Saera?,”
            Saera tersenyum.
            “Yalah. Dah nak jadi bos, kan?,”
            “Macam tu pulak?,”
            Giliran Saera tergelak kecil.
            “Oklah. Akak keluar dulu. Sambung kerja,”Saera meminta diri sambil terus menyambung langkah. Pintu bilik ditutup perlahan, dan Zariff terus mengambil tempat di hadapan ibunya. Memandang wajah itu bersama senyum yang lebar di bibir.
            “Mama dah makan?,”
            Puan Zahra mengerling tajam. Senyum tidak bersalah Zariff dipandang sepi. Bersandar di kerusi sambil renungannya terus menikam wajah Zariff.
            “Orang lunch sampai pukul dua. Kamu lunch sampai pukul empat?,”
            Zariff tersenyum. Perlahan menggaru kepala yang tidak gatal. Bukan salah dia kalau nalurinya kuat menyuruh dia menjadi penunggu setia di restoran di mana tempat terakhir dia berjumpa dengan gadis yang bernama Arisa. Menunggu di situ untuk hari yang kelima berturut-turut, dengan harapan dia menemui wajah itu sekali lagi. Benar-benar gila tindakannya itu. Tidak tahu apa relevan tindakannya itu, tetapi, itulah yang telah dia lakukan. Satu perlakuan yang gagal dihalang oleh akal warasnya.
            “Zariff… mama tak cakap dengan jasad kamu kan?,”tajam kata-kata sedikit sinis itu menikam gegendang telinganya.
            “Mama ni. Saya dengarlah. Ada hal kat luar tadi. Itu yang masuk lambat sikit,”
            “Hal kerja ke hal peribadi?,”
            Zariff menggaru kepala.
            “Mama bincang apa tadi?,”dia cuba lencongkan soalan.
            Puan Zahra tersenyum kecil. Bijak Zariff larikan topik.
            “Mama suruh Saera adakan iklan jawatan kosong. Personal Assistant untuk kamu nanti,”
            “Dah masukkan dalam syarat tak? Mesti bujang. Tak mahu married and, saya nak perempuan. Kalau boleh tambah berpewatakan menarik, lagi bagus,”usik Zariff sambil tersenyum. Bertambah lebar senyumnya sebaik sepasang mata ibunya menjegil marah.
            “Kamu nak cari assistant ke, nak cari model?,”
            Zariff tergelak lepas. Senang melihat wajah ibunya yang sedikit mencuka.
            “Takkan gurau sikit pun, tak boleh, mama…,”
            Puan Zahra menjeling tajam.
            “Mama dah nak rehat kat rumah. Dah penat rasanya bekerja dan bekerja. Terasa nak berehat pula. Dah sampai masanya mama serahkan semuanya pada kamu. Harap kamu tak akan kecewakan mama. Kamu akan uruskan syarikat kita ni, sebaik mungkin. Tapi, bila tengok kamu ni, mama jadi risau,”serius sahaja ibunya menanggapi usikannya.
            Zariff menghela nafas panjang. Memang sedikit berat tanggungjawab yang diberikan. Namun, dia sudah bersedia untuk mengambil-alih segala urusan kerja ibunya. Memang dia mahu ibunya melepaskan segala penat lelah. Segala beban kerja. Sudah sampai masanya untuk dia memberi ruang rehat secukupnya pada ibunya itu. Tidak mungkin dia akan kecewakan satu-satunya harapan itu.
            “Dengan segala tunjuk-ajar mama selama ini, saya rasa saya sudah bersedia. Saya tak akan kecewakan mama. Percayalah…,”
            Lebar senyum Puan Zahra. Kesungguhan di wajah anak tunggalnya itu, membuat dia sedikit lega.
            “So…hal apa yang tadi? Lama benar keluar?,”
            Zariff mengangkat muka. Tidak sangka hal itu dibangkitkan semula. Agak lama dia memandang wajah ibunya yang ditemani sekuntum senyum.
            “Kenapa mama tanya? Tak pernah mama tanya macam ni pada saya?,”
            Puan Zahra tergelak kecil. Perlahan mengangkat punggung dari kerusi. Bergerak mendekati anaknya itu.
            “Sebab jarang anak mama lunch sorang-sorang…Selalunya mesti berteman. Kalau bukan dengan rakan kerja mesti dengan perempuan cantik…,”
            Zariff bersandar ke kerusi. Terus merenung wajah ibunya. Wanita ini seolah-olah mengetahui sesuatu.
            “Mama ni, kenapa ya?,”
            “Apa Zariff buat kat restoran tu? Ada orang nampak dua hari berturut-turut Zariff duduk kat situ. Lama pula tu,”
            Zariff tergelak kecil. Lima hari, mama. Bukan dua hari…hatinya bersuara membetulkan fakta.
            “Sejak bila pula mama pasang spy ni?,”
            “Nabila ada shooting kat area situ. Dia lunch kat restoran tu and nampak kamu. Apa kamu buat kat situ sorang-sorang?,”
            Zariff tunduk. Bukan sesuatu yang pelik kalau Nabila si mulut becok itu yang membaca cerita. Dan, kenapalah Nabila perlu muncul di situ untuk menjadi mata kepada ibunya?
            “Makanlah mama. Nak buat apa lagi kat restoran?,”dia berdalih dengan nada selamba. Terbayang kini wajah Nabila yang sentiasa manis dengan senyuman itu. Alangkah bagusnya andai saat ini, mulut itu dapat dia cubit.
            “Makan sampai berjam-jam? Pelik perangai kamu kebelakangan ni, tau…,”
            Zariff mengeluh pendek. Mengangkat punggung perlahan-lahan. Tidak lagi berminat untuk meneruskan perbualan.
            “Mama beritahu spy mama tu, janganlah busy body sangat…,”
            Puan Zahra tersenyum kecil. Dapat menangkap ada riak geram tersimbah di wajah Zariff. Perlahan dia menggeleng.
            “Agaknya anak mama ni, tunggu bakal menantu mama kat situ ya?,”
            “Saya keluar dulu. Nak sambung kerja. Dah tak boleh main-main, kan?,”Zariff bersuara sambil berlalu.
            “Jangan tambah kerja pelik-pelik belakang mama, dah lah….,”
            Pesanan separuh amaran itu mematikan langkahnya di pintu. Perlahan dia berpaling. Berbalas renungan buat seketika.
            “Saya tahu bezakan perkara yang baik dan tidak baik…Mama janganlah nak risaukan saya,”
            “Alhamdulillah,”
            Jawapan itu sekali lagi bagai satu sindiran halus. Tidak menunggu lama, dia terus berlalu. Tidak mahu melanjutkan bicara lagi.


*****


“Saya tak tahu apa masalah encik. Tapi, saya minta maaf. Saya tak ada masa untuk semua ni,”
Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga. Dan, kad perniagaannya yang melayang jatuh ke tepi longkang juga masih begitu jelas di matanya. Salam perkenalan yang dihulurkan ternyata ditolak mentah-mentah. Barangkali pertemuan itu tidak kena pada masanya. Barangkali emosi gadis itu yang membuat dirinya ditolak mentah-mentah. Kalau gadis itu berada di dalam situasi yang lebih tenang, mustahil salam perkenalan itu akan diabaikan begitu sahaja.
Zariff menggosok dahi. Tidak tahu kenapa fikirannya sering melayang mencari wajah gadis pemilik rantai ini. Gara-gara gadis ini, seluruh agenda hariannya seakan berubah. Dia sanggup berkurung di rumah bersama rantai emas yang melingkari jemarinya, daripada menghabiskan masa bersama teman-teman. Dia sanggup berulang-alik ke restoran semata-mata mahu mencari kebetulan yang mungkin akan muncul.
Dia mengeluh keras. Cuba membuang jauh-jauh imej menarik itu. Namun, satu per satu pula peristiwa yang berlaku di restoran tempoh hati, bermain di fikirannya. Wajah Arisa, wajah lelaki bersama Arisa dan juga wajah berang seorang wanita cukup jelas menganggu mindanya saat ini. Ingin sekali dia tahu apa sebenarnya kisah di sebalik kekalutan itu. Ingin tahu sejauh mana hubungan gadis itu dengan lelaki yang menjadi teman makan malamnya itu. Teringat pada satu tamparan yang singgah di pipi mulus gadis itu. Juga teringat pada pipi gadis itu yang basah dengan air mata. Sungguh dia benci melihat air mata itu.
“There’s something wrong with you, Zariff…,”dia berbisik perlahan sambil memukul perlahan kepala sendiri. Merenung ke arah langit yang kelam dari balkoni kondo. Kemudian memandang pula pada rantai di tangan.
“Satu hari, kita akan jumpa lagi…Arisa…harap kita akan jumpa lagi…,”
Perlahan dia mengeluh. Melangkah masuk ke ruang tamu sambil rantai dicampak perlahan ke meja. Tubuhnya dijatuhkan ke sofa empuk. Mencapai telefon bimbit di atas meja. Dia perlu buang seketika wajah yang sering mengganggu ini. Pantas jemarinya dilarik ke screen telefon bimbit. Mahu menghubungi seseorang. Mahu menghabiskan masa dengan seseorang. Telefon dilekapkan ke telinga.
“Man..kau kat mana?,”
“Kau tunggu. Aku nak join…,”bicara ringkas ditamatkan begitu sahaja. Talian dimatikan dan telefon diletakkan kembali ke meja. Mungkin dia patut menghabiskan masa bersama Najman dan teman-teman perempuan yang barangkali boleh menyingkir wajah Arisa. Mahu atau tidak, dia tidak boleh larut dalam perasaan resah yang tidak dia tahu puncanya ini.
Bersama semangat baru, dia bangkit. Menuju ke bilik untuk bersiap. Dia perlu menjadi Zariff yang lama. Zariff bukan seorang yang suka melayan emosi. Jauh sekali melayan perasaan. Zariff seorang yang cukup praktikal. Yang sering melihat sesuatu dari sudut paling mudah. Dia seolah-olah mengingatkan diri sendiri tentang siapa dirinya yang sebenar.


******
[11:35:50 PM] hos.getah: