Thursday, November 13, 2014

Mencari Hilang 9



“Kamu tak payah balik pun tak apa. Jangan balik jenguk aku lagi. Aku tak ada anak. Anak aku dah lama mati,”
            “Mak..,”
            “Dah. Pergilah. Jangan datang jumpa aku lagi. Aku tak ada anak yang tak ada hati perut macam kamu,”
            “Mak... jangan cakap Isha macam tu. Isha anak mak tapi mak cakap, macam mak tak kenal anak mak ni,”
            “Memang mak tak kenal kamu Isha. Kamu lain sangat. Berubah sungguh perangai kamu. Takkan sebab mak yang suruh kamu kahwin dengan Haziq, sampai kamu jadi macam ni? Kalau betul kamu tak boleh terima dia, kenapa tak tolak dari awal? Kenapa bila Haziq jadi macam tu baru kamu nak lepas tangan? Mak tak pernah ajar kamu jadi manusia pentingkan diri macam ni. Tak pernah...,”
            “Mak, sikit pun mak tak nak dengar cerita Isha? Sikit pun mak tak nak simpan simpati untuk anak mak sendiri?,”
            “Simpati apa yang aku nak bagi pada kamu, kalau saat suami separuh gila sebab sedih hilang anak, kamu boleh minta cerai? Masa senang kamu tak ada rungutan. Bila datang dugaan sikit, terus kamu lepas tangan. Isteri jenis apa kamu ni?,”
            Mendengar kata-kata itu, air matanya menitis perlahan-lahan. Sudah bertahun berlalu. Bermakna bertahun juga dia gagahkan langkah mencari si ibu. Bertekad untuk kuatkan hati berdepan dengan apa juga kata-kata keras yang bakal meniti di bibir tua itu. Namun, dia tetap gagal. Gagal menerima kemarahan ibu yang bagai tidak pernah surut. Perlukah dia membuka seluruh kisah hanya untuk mendapatkan kepercayaan ibunya? Hanya untuk mendapatkan kembali kasih sayang yang bertahun hilang? Dan, mahukah ibunya mempercayai segala ceritanya?
            Wajah ibunya ditatap lama. Hiba bersarang di jiwa.
            “Kak Kamsah telefon Isha. Katanya mak tak sihat,”melupakan kata-kata ibunya, Farisha membuka topic baru. Memang dia pulang kerana panggilan daripada jirannya. Ibunya demam-demam. Itulah yang diberitahu oleh jirannya, Kamsah.
            “Betul mak tak sihat?,”
            Puan Rahmah berpaling. Perlahan mengangkat punggung dari pangkin di bawah pohon rambutan di halaman rumah.
            “Aku sihat ke... aku sakit ke... tak perlulah kamu risau,”
            “Mak, janganlah buat Isha macam ni. Isha cuma ada mak saja. Ya, mak risau sangat menantu mak kehilangan anak. Tapi, mak pernah fikir tak macam-mana anak mak ni lalui semua tu? Trisya tu satu-satunya anak Isha, mak. Isha sayangkan Trisya lebih daripada nyawa Isha sendiri. Sepuluh kali Isha harap Isha yang mati dalam kemalangan tu! Isha harap Isha yang mati, bukan Trisya,”tiba-tiba meluncur kata-kata itu. Sedikit keras bersama deraian air mata.
            “Semua orang kisahkan dia. Semua orang risaukan dia. Sampaikan tak ada seorang pun yang nak tanya apa yang Isha rasa. Memang dia juara sejak dulu lagi. Juara menagih simpati semua orang,”sebak dia menghamburkan rasa yang tersimpan. Sudah lama dia cuba lupakan semua perbuatan Haziq. Tetapi, menerima layanan sebegini daripada ibu sendiri, dia jadi tidak kuat. Dia kembali diasak dendam.
            Puan Rahmah berpaling. Menggeleng perlahan mendengar kata-kata itu. Lama dia merenung wajah Farisha. Walau cuba dibuang, tetapi rasa kecewa dengan sikap Farisha payah untuk dikikis. Dia melihat. Dia mendengar. Dari situ, dia boleh menilai. Kalaulah Farisha rendahkan diri memohon maaf di atas semua kesilapan yang telah dibuat, rasanya hatinya tidak akan menjadi sekeras ini.
            “Ini bukan sikap yang mak dan arwah ayah kamu ajar pada kamu selama ni. Mak tak pernah ajar kamu burukkan orang lain demi diri sendiri,”
            Farisha menadah muka. Melihat riak yang begitu kecewa tergambar di wajah itu.
            “Kamu tahu tak? Sampai sekarang, sikit pun dia tak jentik  salah kamu. Sikit pun dia tak ada burukkan kamu Isha. Tiga hari lepas dia datang ke sini. Sikit pun dia tak cari silap kamu. Sikit pun dia tak marahkan kamu. Dia sibuk mengaku mungkin dia yang buat salah pada kamu! Tapi, kamu? Datang-datang ke sini, apa kamu buat? Kamu terus burukkan dia. Lain sungguh perangai kamu sekarang ni Isha. Sebab tu, mak cakap, kamu bukan lagi anak mak yang dulu. Anak mak yang dulu, tak macam ni perangainya,”
            Farisha tertunduk di pangkin. Membiarkan ibunya melangkah meninggalkannya. Diam-diam dia menangis lagi.
            “Itulah yang Isha buat selama ini mak. Isha simpan semua keburukan dia... tapi, inilah yang Isha dapat. Isha hilang semua yang Isha sayang. Memang dia yang salah, mak...,”rintihnya sambil menyeka air mata. Pulang ke sini hanya mampu menjemput air matanya berguguran. Tiada yang dapat mengubati hatinya di sini. Ibu sendiri pun, begitu sekali membuang dirinya.
            “Kalaulah mak ada untuk pujuk hati Isha sekarang. Kalaulah mak tahu macam-mana susahnya Isha nak teruskan hidup ni tanpa Trisya...tanpa mak... kalaulah mak nak cuba faham hati Isha,”bibirnya berbisik pilu. Betapa bertahun lamanya dia memendam sebuah kehilangan. Dia menyekat segunung kesedihan. Dia bangkit mempamerkan satu kepura-puraan. Mencanang hakikat tentang kuatnya jiwa seorang Farisha, padahal tersembunyi satu makam sepi di dasar hatinya.
            Bersama pandangan yang kabur dek air mata, Farisha memandang sekeliling. Halaman rumah yang begitu banyak meninggalkan kenangan buatnya. Kenangan semasa kecilnya juga kenangan bersama si kecil kesayangannya. Bagai terpandang-pandang tubuh kecil Trisya berlari-lari mengejar ayam. Bagai terdengar-dengar riuh tawanya apabila diusik. Kenangan yang semakin membuat kuat esakannya. Tertunduk dia sendirian di atas pangkin yang sepi. Pulangnya bagai sia-sia.
            Sentuhan lembut di bahunya memaksa dia mengangkat muka. Berlaga pandang dengan Kak Kamsah. Pipi yang basah diseka segera. Senyum cuba diukir seadanya.
            “Kak...,”
            Jirannya itu melebarkan senyum.
            “Baru sampai?,”
            Dia mengangguk perlahan.
            “Tapi, mak tak suka saya balik, kak,”
            Kamsah melabuhkan punggung di sisinya.
            “Cuba kamu ikutkan saja apa yang mak kamu nak,”
            “Apa kak? Saya pun tak tahu apa yang mak nak dari saya,”
            “Pergi minta maaf pada bekas suami kamu. Pada keluarga bekas suami kamu. Yalah... mesti mak kamu kecewa dengan tindakan kamu ni. Dia harapkan kamu faham sendiri kesilapan yang kamu dah buat. Dia harap kamu sedar dan minta maaf. Cuba kamu faham apa yang mak kamu rasa,”
            Farisha diam. Tidak pernah ibunya bercerita tentang ini.
            “Mak ada cakap dengan Kak Kam ke?,”
            Kamsah mengangguk perlahan.
            “Ada juga kadang-kadang, dia luahkan perasaan dia pada akak. Akak ni orang luar. Apa sangatlah yang boleh akak bantu pun. Apa masalan  ‘h kamu pun akak tak tahu. Tapi, nampaknya mak kamu kecewa benar dengan keputusan kamu nak bercerai dulu. Mungkin sebab dia sayang sangat dengan bekas suami kamu tu agaknya,”
            Farisha tersenyum pilu.
            “Fikirlah elok-elok ya. Kalau kita buat salah, tak jatuh air muka kita kalau kita minta maaf,”
            Hatinya pedih tiba-tiba. Salah diakah? Di mata semua orang, memang diakah yang bersalah? Mahu saja dia hamburkan segala yang tersimpan di hati pada Kamsah. Namun, apa relevan dia bercerita dengan Kamsah sedang ibunya sendiri pun menolak mentah-mentah kata-katanya.
            “Terima kasih, kak. Sebab sudi tengok-tengokkan mak saya,”
            Kamsah tersenyum.
            “Dah kamu amanahkan pada akak, memang wajiblah akak jalankan tanggungjawab tu. Nanti, tak halal pula duit yang kamu beri pada akak tiap-tiap bulan tu. Itu pun, kalau diikutkan, banyak yang kamu bagi. Tengok-tengokkan mak kamu ni, bukannya susah macam jaga budak,”
            “Tak apa kak. Kalau mak terus macam ni, memang saya harapkan akak sajalah. Pandang muka saya pun, macam macam tak nak,”
            “Jangan lawan keras mak kamu, dengan keras juga. Tabahkan hati,”
            “Macam - mana saya nak tabah, kak? Tiap kali balik ke sini, mak buat macam saya tak ada,”
            “Fikirkan apa yang akak cakap tadi ya. Lagi satu, beberapa hari lepas bekas suami kamu ada datang jumpa makcik Rahmah. Sejak bekas suami kamu balik, asyik termenung saja dia. Semalam dia demam. Itu yang akak telefon kamu,”
            Farisha mengangguk perlahan.
            “Terima kasih, kak,”
            “Perkara kecil saja. Okaylah, akak balik dululah. Akak datang menegur aje ni. Tengok kamu sorang-sorang kat sini. Malam ni, bermalam kat sini atau terus balik?,”
            “Kalau mak demam, saya tak baliklah. Tak sedap hati nak tinggalkan mak sendirian,”
            “Eloklah macam tu. Akak balik dululah. Jangan sedih-sedih sangat,”
            Farisha tersenyum hambar. Kamsah bergerak pergi. Tinggal lagi dia termangu sendirian.


*****

            Dia bersandar seketika di pintu bilik. Memandang kosong ke arah ibunya yang diam terbaring di katil. Kalau dulu, waktu-waktu begini riuh ibu melayan cerita dia dan Trisya di ruang tamu. Rajin juga melayan bual dengan menantunya. Kini, awal-awal lagi ibunya sudah masuk ke bilik. Untung dia melihat ibunya ada memakan ubat sebelum masuk ke bilik. Pergerakan ibunya yang kembali lincah, cukup memberitahunya yang ibunya semakin sihat. Teringatkan kata-kata Kamsah petang tadi, dia bergerak perlahan-lahan mendekati katil.
            “Mak,”
            Sepi. Melihat kepada tubuh ibunya yang bergerak sedikit, dia tahu ibunya masih belum lena.
            “Mak?,”
            “Kamu pergilah tidur. Esok pagi-pagi kamu boleh balik. Aku dah sihat. Tak perlu risaukan aku,”
Bicara itu menyentuh gegendang telinganya. Pedih. Terhiris.
“Kalau Isha jumpa Haziq dan keluarga dia untuk minta maaf, boleh ke Isha dapat semula mak Isha?,”
Hening. Farisha terus tercegat di situ menanti reaksi ibunya.
“Tak payah buat kalau kamu tak ikhlas,”
Agak lama berdiam, ibunya menjawab tanpa berpaling. Sedikit kecewa dengan jawapan itu namun, langkah diatur juga mendekati ibunya. Perlahan-lahan melabuhkan punggung di hujung katil. Tubuh tua yang membelakanginya itu dipandang lama. Rindu benar dia pada pelukan hangat tubuh itu tiap kali dia sedang bersedih.
“Isha rindu sangat dengan mak,”
Diam.
“Tak boleh ke mak lupakan semua yang dah berlaku? Tak boleh ke mak ampunkan Isha? Isha perlukan mak,”
Masih juga sepi. Farisha menunduk. Ibunya tidak sudi bercakap dengannya lagi. Perlahan dia menunduk. Melepaskan satu ciuman di kaki ibunya.
“Isha sayang mak,”bisiknya hiba. Lemah dia mengangkat punggung bergerak meninggalkan ibunya. Membawa air mata yang berjuraian jatuh ke pipi tanpa dia sedari bukan hanya pipinya sahaja yang basah dengan air mata.
Dia terjelepok lemah di luar bilik ibunya setelah daun pintu ditutup perlahan. Lemah memikirkan kian rapuh hatinya dek ujian demi ujian. Dia bukan seorang yang sangat emosional. Segalanya ditanggapi seadaanya. Apabila ibunya menyatakan ada calon suami yang sesuai untuknya, dia tidak banyak kerenah. Diberi ruang seluas-luasnya untuk cuba menerima pilihan ibu biarpun hati sempat dijentik suka pada yang lain. Berdepan dengan suami yang jauh berbeza dengan cerita yang dicanang ibu, juga dia tidak banyak berfikir. Sedaya-upaya dia cuba tempuh semuanya. Seadanya tanpa mahu menyakiti hati sesiapa. Sampai satu ketika apabila dia tahu dia tidak lagi mampu meneruskan langkah bersama Haziq, dia cuba membuat keputusan demi hatinya. Demi perasaannya. Dan rupa-rupanya cukup besar kesan tindakan itu padanya. Adakah keputusannya memang salah? Perlahan dia pejamkan mata. Entah kenapa, keputusan meminta perpisahan daripada Haziq tidak pernah dirasakan salah. Itulah satu-satunya keputusan yang amat tepat buatnya. Dia yakin tentang itu. Sangat-sangat yakin.
“Betul ke ni? Kau serius? Kau dah fikir masak-masak?,”
            Dia mengangguk.
            “Kau tak takut?,”
            “Takut ada yang mengata? Takut ada yang mengutuk? Aku lebih takut kalau-kalau aku pun sama-sama jadi macam dia. Aku belum bersedia nak jadi macam tu,”
            “Family dia cakap apa?,”
            “Kau rasa?,”
            “Entahlah,”
            “Kau rasa aku kejam?,”
             Marliana tersenyum kecil padanya.
            “Aku yakin kau ada alasan tersendiri. Tapi, dalam keadaan Haziq yang macam tu, kau sanggup tinggalkan dia terkontang-kanting macam tu? Kau tak kasihankan dia?,”
            “Dia kasihankan aku? Pernah sekali dia fikirkan pasal aku?,”
            “Kau tak nak tunggu keadaan dia pulih sikit?,”
            “Dia tak akan pulih selagi dia tahu hati aku hancur lebur sebab dia. Tapi, aku yakin dia akan terus pulih kalau aku cakap aku terima semua perbuatan dia. Aku redha. Aku tetap maafkan dia tak kira macam-mana teruk perbuatan dia pada aku,”
            “Kau yakin?,”
            Dia menghela nafas panjang. Diam di sudut dinding sambil menarik kedua kaki rapat ke dada. Teringatkan soalan sahabatnya lama ketika dia membuat satu keputusan yang nekad. Dia masih ingat, soalan Marlian itu dijawab dengan anggukan yang meyakinkan. Saat itu memang dia yakin itulah keputusan terbaik buatnya. Haziq hanya bersandiwara untuk menagih simpati. Hanya itu modal yang Haziq ada sejak dari awal perkahwinan mereka. Bezanya, saat ini Haziq berjaya meraih simpati dari semua orang. Haziq berjaya membuat dia menjadi kejam andai  tiada simpati di hatinya buat Haziq.
            Melihat akibat daripada keputusannya empat tahun lepas, hatinya bagai goyah. Mungkinkah benar dia membuat keputusan pada ketika yang tidak tepat? Dan, kalau menunggu saat yang tepat, bilakah detik itu akan muncul?
            Dalam melayan perasaan yang rawan, telinganya tersentuh dek esakan halus. Tersandar ke dinding dia mendengar sayup-sayup tangis sang ibu. Bagaimana mahu dipujuk hati itu? Ibunya bersedih kerana diakah? Begitu besarkah dosanya hanya untuk mencari sedikit ketenangan buat dirinya sendiri? Tidak mampu untuk meredakan kesedihan seorang ibu, akhirnya pipinya sendiri kembali basah dengan air mata. Lama sehingga dia terlena dalam sendunya yang panjang.

******

Wednesday, November 5, 2014

Mencari Hilang 8



“Kau nak sangat berpisah dengan aku kan? Kau nak sangat tinggalkan aku kan?! Kalau dah nak sangat, mari kita mati sama-sama!,”
“Abang cakap apa ni? Abang yang suka tuduh saya yang bukan-bukan. Abang yang tak habis-habis buat saya hilang sabar, sekarang abang nak ugut-ugut macam ni pula? Cubalah jadi matang sikit,”
“Oh... jadi jantan tu terlebih matanglah ya? Sebab tu semua yang aku buat, nampak tak betul aje kat mata kau?!,”
“Apa yang abang buat dan benda tu betul? Cuba beritahu saya. Tak perlu banyak. Cukup satu saja. Cuba abang beritahu saya,”
“Sudahlah tu! Tak habis-habis aku yang jahat! Aku yang salah! Hari ni, kita tengok macam-mana jahat aku!,”keras suara yang meniti di bibir sambil pedal minyak ditekan. Mendorong kereta laju meluncur.
            “Abang! Jangan jadi gila macam ni! Istighfar abang! Abang tak suka saya, abang ingat Trisya bang!,”
            “Kau dah tak ingin tengok muka aku kan? Dah tak nak hidup dengan aku kan? Kalau macam tu, kita sama-sama pergi mati!,”
            “Abang!! Allahuakbar!,”
            “Allahuakbar!,”dia menjerit kuat. Bangkit dari baringnya dengan peluh membasahi wajah. Sedikit menggigil saat dia terduduk kaku. Degupan jantung kencang menggoncang dada. Sangat jelas igauan yang mengganggu lenanya. Membuat dia beku seketika. Diam. Diam dan diam sebelum perlahan-lahan dia tunduk. Berteleku sambil melurut perlahan rambutnya.
            “Abang? Kenapa ni? Mimpi buruk lagi?,”terpisat-pisat Amalia sambil menenyeh mata. Terganggu lenanya dek jeritan nyaring Haziq. Perlahan dia menyentuh bahu Haziq yang bergerak perlahan.
            “Abang?,”
            Haziq teresak-esak di dalam diam. Bukan perkara pelik tidur Haziq sering diganggu mimpi-mimpi buruk. Lembut dia mengusap bahu Haziq.
            “Itu cuma mimpi,”pujuknya perlahan.
            Haziq pejamkan mata. Semakin jelas igauan itu dan semakin menjadi kuat tangisnya bergetar. Sebolehnya dia mahu membuang jauh-jauh segala bayangan itu. Namun, mampukah dia?
            “Trisya...,”gumamnya berselang esakan. Amalia mengeluh lemah. Tangan Haziq dielus perlahan.
            “Sebab tu Lia tak suka abang asyik fikirkan arwah anak abang. Mesti abang terbawa-bawa sampai ke mimpi. Dah lama abang tak mimpi buruk macam ni, kan? Betul cakap mak. Abang tak sepatutnya pergi ke sana. Abang... relakanlah semua yang dah berlalu tu,”
            Haziq membisu.
            “Abang trauma...,”tokoknya sambil memaut rapat tubuh Haziq. Cuba menenangkan emosi Haziq yang jelas terganggu. Berkali-kali dimarahi, akhirnya Haziq nekad juga ingkar pada larangan ibunya. Haziq tetap mencari ibu Farisha. Dia tidak mampu memujuk dan akhirnya dia akur. Walau kelat wajah ibu mertuanya, dia terpaksa membenarkan Haziq pergi. Apa lagi yang mampu dia lakukan andai degil Haziq langsung tidak dapat dia lembutkan. Dan, sudahnya, Haziq akan jadi begini. Lemah dia menghela nafas sambil menggosok lembut belakang Haziq.
            Haziq menggeleng perlahan. Itu bukan kenyataan yang dia terpaksa telan untuk setiap detik hidupnya. Ada kenyataan yang lebih pahit yang sedang menghukumnya. Tanpa mempedulikan pujukan Amalia, dia mengongoi hiba meratapi satu penyesalan yang tidak berkesudahan.
            “Abang... janganlah macam ni. Abang kena lupakan semua kenangan yang sedih tu. Abang ada Lia. Tak lama lagi, kita akan ada anak, bang. Kalau abang terus dengan kisah-kisah sedih abang ni, macam-mana dengan Lia dan anak kita nanti?,”
            Sentuhan Amalia di bahunya ditolak perlahan. Pelukan yang erat turut ditolak perlahan. Perlahan-lahan juga dia bergerak menjauh. Diam seketika di birai katil.
            “Abang okay ke ni? Nak Lia panggilkan mak?,”
            Haziq menggeleng. Emosinya tidak mengizinkan untuk dia mendengar bebelan ibunya nanti.
            Amalia mengeluh lemah. Memandang geram ke arah suaminya yang diam menunduk. Mahu bersuara tetapi ditahan. Tidak mahu timbul pertengkaran di tengan malam buta.
            “Lia tidurlah,”saling berdiam diri buat seketika, akhirnya Haziq bersuara rendah.
            “Abang?,”
            Haziq berpaling. Memandang wajah Amalia di balik samar lampu tidur. Ada reaksi geram pada wajah itu. Tetapi, saat hatinya tiba-tiba rawan, tidak mampu untuk dia senangkan hati Amalia. Perlahan dia bangkit.
            “Tidurlah,”ucapnya sepatah.
“Abang nak ke mana?,”laju Amalia bertanya, melihat Haziq mengengsot turun dari katil.
Tanpa menjawab, dia terus berlalu meninggalkan Amalia. Rengusan Amalia dibuat tidak peduli. Cuma  kakinya lemah mengatur langkah  keluar dari bilik tidur. Tidak mungkin dia mampu lena setelah tidurnya terganggu dek igauan itu. Benar kata Amalia. Sudah lama tidurnya tidak disapa mimpi buruk. Benar juga kata Amalia, emosinya kembali berbolak-balik setelah dia pulang dari Melaka.  Cuma satu yang Amalia tidak tahu. Punca hatinya berlibang-libu seperti saat ini. Amalia tidak tahu puncanya. Malah tiada siapa yang tahu puncanya.
            Tanpa sedar langkah kaki membawanya ke ruang tamu. Tanpa cahaya, dia diam di sofa. Merenung masa silam yang banyak dilakar dengan kepincangan. Berat beban yang terpikul di jiwanya. Sesak dada dengan seribu kecelaruan. Lebih-lebih lagi apabila dia teringat seraut wajah yang teramat sugul. Sungguh berbeza wajah yang dipandang semalam. Tiada lagi senyum. Hilang juga usikan mesra. Bukan sedikit rasa berdosa yang mendera perasaannya.
            “Kamu sihat Ziq?,”
            Diam seketika dia menerima soalan daripada wanita yang telah melahirkan Farisha itu. Dalam renungan wajah wanita separuh usia di hadapannya bagai memberitahu betapa dalamnya rasa bersalah yang tertanggung di bahu. Rasa bersalah yang tidak sepatutnya ada di dalam rasa Puan Rahmah.
            “Mak sihat?,”soalnya kembali tanpa menjawab soalan yang terdahulu diajukan padanya.
            Soalannya tidak berjawab. Cuma wajah Puan Rahmah redup seraya mengalihkan pandangan ke luar jendela.
            “Isha ada, mak?,”dia bertanya lagi. Soalannya kali ini membuat renungan Puan Rahmah kembali padanya. Seketika, bibir mata wanita itu kelihatan bergenang air mata.
            “Mak minta maaf...,”serak suara yang meniti perlahan di bibir ibu mertuanya itu. Tunduk sambil menyeka perlahan tubir mata. Sungguh tersentuh hatinya.
            “Mak tak tahu apa lagi yang kurang pada kamu, sampai Isha sanggup buat kamu macam ni. Mak malu. Mak sedih... mak malu pada kamu. Pada keluarga kamu,”
            “Mak... jangan cakap macam tu. Jangan salahkan Isha,”
            “Kamu terlalu manjakan dia. Terlalu melindungi dia. Tapi, ini balasan dia pada kamu. Sungguh... mak minta maaf sangat-sangat Ziq. Mak sayangkan kamu. Mak tahu kamu memang yang terbaik untuk Isha. Mak tak faham. Tak faham kenapa Isha sanggup...,”
            “Mak... mak jangan cakap macam tu,”laju kata-kata Puan Rahmah dipotong. Tidak sanggup mendengar butir bicara selanjutnya. Sungguh saat ini, dia mahu sujud memohon ampun untuk segala kesalahan yang diciptakan untuk Farisha. Tetapi, sudahnya dia hanya mampu kaku. Kaku dan terus kaku. Pengecutkah dia? Sungguh dia tidak bersedia berdepan dengan Puan Rahmah andai kebenaran terungkai. Dia tidak bersedia berdepan dengan penerimaan Puan Rahmah.
            “Kamu macam-mana sekarang, Ziq? Mak berharap sangat hidup kamu jauh lebih baik dari dulu. Mak kamu apa khabar?,”
            “Mak sihat. Saya pun sihat,”lambat-lambat dia bersuara.
            Lebur hatinya melihat anggukan kecil Puan Rahmah. Dapat dirasakan ada keperitan yang ditanggung Puan Rahmah.
            “Mak kamu, kawan baik mak. Tapi sekarang...,”
            Bicara ibu mertuanya terputus. Cuma pipi wanita itu perlahan-lahan basah lagi.
            “Maafkan mak saya, mak. Mak saya tak patut marah mak macam ni. Apa yang berlaku bukan salah sesiapa,”
            Panas bibir matanya apabila pujukannya hanya disambut dengan gelengan laju.
            “Memang ada yang salah. Yang salah adalah anak mak. Isha pentingkan diri dia sendiri... Isha buat keputusan, langsung tak fikir perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Isha...,”
            “Mak, sudahlah tu. Jangan cakap macam tu,”
            “Selagi dia tak minta maaf pada kamu... pada mak kamu. Keluarga kamu... macam-mana mak nak tenang? Tiap-tiap malam mak asyik teringatkan perbuatan dia pada kamu dan keluarga kamu. Mak tak tenang...,”
            Dia kelu. Ibu mertuanya menitiskan air mata lagi. Apa yang patut dia rasa sekarang? Simpati pada ibu mertuanya ini atau pada Farisha? Atau pada dirinya yang seakan tidak mampu bangkit meneruskan hidup.
            “Mak, kalau tak keberatan, saya nak jumpa Isha. Boleh mak?,”
            “Buat apa kamu nak jumpa dengan dia?,”
            “Saya perlu jumpa Isha, mak,”
            “Kalau sebab sayang, tak payahlah Ziq. Ramai lagi perempuan yang jauh lebih baik dari Isha. Cukuplah sekali hidup kamu jadi macam ni sebab anak mak. Mak tak sanggup lagi,”
            “Mak, saya tak pernah salahkan Isha. Bagi saya, Isha tak pernah salah,”
            “Memang. Memang kamu tak pernah salahkan Isha sebab sejak dari mula kahwin, kamu terima semua kekurangan Isha. Mak nampak kamu betul-betul sayangkan Isha. Tapi, Isha tak nampak semua tu. Sekarang, mak berharap sangat kamu jangan cari Isha. Dia tak mampu nak bahagiakan kamu, Ziq. Ya... dia anak mak. Tapi, bila dia buat silap... bila dia aniaya suami dia yang langsung tak bersalah... tak mungkin mak akan menangkan dia,”
            “Mak, saya memang perlu jumpa Isha. Mungkin dalam tak sedar saya pun ada buat silap mak,”kelat kata-kata penuh sandiwara itu meniti di bibir. Bukan dia mahu begitu tetapi, hatinya tidak mampu membuka kebenaran.
            Perlahan dia meraup wajah. Hingga ke langkah yang diatur meninggalkan rumah ibu Farisha, dia terus menyimpan sandiwara terbesar yang ternyata sangat-sangat memberi beban rasa pada Farisha. Selama dia leka dengan dunianya, tidak pernah dia tahu rupa-rupanya sudah bertahun Farisha dibuang keluarga. Saat dia didampingi insan-insan yang menyayanginya, rupa-rupanya Farisha sudah lama hilang kasih satu-satunya ibu yang dia ada. Farisha menjadi anak terbuang. Farisha dilabel sebagai isteri derhaka. Semuanya kerana sandiwara yang dia cipta. Mungkinkah kerana dosa-dosa itu, bahagia bagai tidak mahu singgah di jiwanya?
            “Isha...,”berat dia berbisik sendiri di dalam kepekatan malam.


*****
[11:35:50 PM] hos.getah: