Saturday, April 23, 2011

Mungkinkah? 10


            Rianti tersenyum lebar sambil menggigit perlahan ayam goreng KFC. Zariff memandang senang. Sesekali pandangan di bawa ke tengah padang permainan. Melihat Dafi melayan adiknya bermain.
            “Sekolah macam-mana? Ada masalah tak?,”
            Rianti mengangkat muka. Tersengih sambil mengangkat ibu jari.
            “No prolem….,”
            Zariff tersenyum. Melihat gelagat adik-adik Arisa, jiwanya terasa terisi. Selama ini dia tidak pernah tahu bagaimana rasanya memiliki ahli keluarga yang ramai. Dia cuma ada seorang ayah dan seorang ibu.
            “Pelajaran macam-mana?,”
            “Alaaa…. Ati baru form four. Tengah honeymoon. Pelajaran letak tepi dulu. Sekarang time enjoy…,”
            Zariff tergelak.
            “Berani cakap macam tu, depan Kak Long?,”soalnya mengusik.
            Rianti tersengih.
            “Jawabnya, free lah kena cubit,”mengekek Rianti menjawab membuat tawa Zariff semakin panjang.
            “Tak boleh macam tu. Belajar mana ada honeymoon. Kena belajar betul-betul. Jangan leka. Ati kena jadi contoh yang baik untuk Dafi dan Ikin,”
            Rianti menggaru kepala. Zariff tersenyum melihat renungan Rianti yang tajam menikam wajahnya.
            “Kenapa pandang abang macam tu?,”
            “Orang hensem macam abang ni, janganlah kuat membebel ya. Nanti jejaskan penampilan,”
            Zariff tergelak besar. Rianti mengerling.
            “Abang ni, dah sama perangai dengan kak long. Membebel aje,”rungut Rianti sambil menyambung makannya. Zariff tersenyum sambil menggeleng.
            “Okaylah. Abang tak membebel lagi. Kita pergi pada tujuan kita jumpa hari ni. Boleh?,”
            “Kalau yang itu, Ati setuju. Kenapa abang nak jumpa Ati?,”
            Zariff berdehem perlahan sambil membetulkan duduk. Memandang wajah Rianti yang leka menikmati makanan di hadapannya.
            “Abang nak tanya pasal Kak Long. Apa kata Ati cerita sikit pasal Kak Long pada abang. Apa dia suka? Apa dia tak suka? Apa kisahnya sebelum ni?,”
            Rianti kerutkan kening.
            “Abang tanyalah sendiri…,”
            “Kenapa Radhi asyik kacau Kak Long? Kenapa doa orang boleh berpisah?,”
            “Kak Long tak pernah cerita kat abang ke?,”
            Zariff tersenyum.
            “Cerita lama. Dia tak nak ungkit. Katanya. Tapi, abang perlu tahu. Lebih-lebih lagi, bila bekas suami Kak Long selalu ganggu dia. Dah jadi tanggungjawab abang untuk ambil tahu semu tu. Kan?,”bohong Zariff dengan tenang. Tidak mahu Rianti mendapat tahu cerita sebenar.
            Rianti mencemik.
            “Abang Radhi tu, tak guna. Selalu sakitkan hati Kak Long. Mereka bercinta dari sekolah lagi tau. Lepas Kak Long habis belajar dekat universiti, dia orang terus kahwin. Kak Long cinta sangat dekat abang Radhi tu. Arwah mak memang tak berapa suka dengan Abang Radhi tu. Arwah ayah pun tak suka. Tapi, sebab Kak Long suka, mereka terpaksa setuju. Abang Radhi tu, malas kerja. Dah tu ada hati nak menggatal. Kak Longlah yang tanggung dia. Dayus betul!,”
            Zariff tekun mendengar.
            “Ati rasa, mula-mula kahwin aje Ati tengok muka Kak Long tu happy. Beberapa bulan kahwin, Abang Radhi tu dah buat perangai. Keluar dengan perempuan sana – sini. Masa arwah mak ada, Ati rasa Kak Long ada mak untuk mengadu. Tapi, lepas mak meninggal, Kak Long betul-betul berubah. Dia jadi pendiam. Elok menyewa kat luar, Kak Long kena balik rumah ayah. Tak boleh nak bayar sewa sebab Abang Radhi tak kerja. Dah tu, suka minta duit Kak Long. Minta duit Kak Long pergi belanja perempuan lain. Bila Kak Long marah, dia pukul Kak Long. Kalau ayah marah, dengan ayah sekali dia marah balik. Kurang ajar betul,”
            “Kak Long terima aje ke apa yang ex-husband dia buat?,”
            Rianti menjongket bahu.
            “Bila Abang Radhi pujuk, cepat saja dia sejuk. Tak faham betul Ati,”
            “Kalau macam tu, kenapa sampai boleh bercerai?,”
            “Dekat tiga tahun Abang Radhi buat perangai macam tu… lama-lama Kak Long bosan kot. Tapi, Ati tengok Kak Long paling sedih bila Abang Radhi tu cakap dia nak kahwin lagi. Dengan janda kaya. Masa tu, Ati dengar Kak Long minta nak berpisah. Abnag Radhi pun asyik hina Kak Long masa tu. Yang paling buat Ati menyampah abang tahu apa?,”
            “Apa?,”
            “Lelaki tak guna tu boleh peras ugut Kak Long lagi. Dia cakap, kalau Kak Long bagi dia duit, baru dia akan ceraikan Kak Long,”
            Zariff terdiam. Cerita-cerita dari mulut Rianti membuat wajah Radhi bermain semula di kepalanya.
            “Kenapa dia datang balik sekarang? Ati tahu sebabnya?,”
            Rianti menkongket bahu.
            “Kak Long bagi duit kat dia. Kemudian dorang bercerai. Kak Long pinjam duit ayah. Ati tahu. Kesian Kak Long. Lepas bercerai, Kak Long terus tak ada bercakap pasal Abang Radhi. Sebut pasal lelaki pun, tak ada. Masa ayah sakit, ayah suruk Kak Long kahwin lagi, tapi, Kak Long tak nak. Lepas ayah meninggal Kak Long terus sibuk menjaga kami,”
            Zariff mengunci mulut. Cuba menilai sedalam mana luka di hati Arisa sehingga wanita itu menjadi begitu dingin. Dengan apa yang telah Arisa lalui, rasanya mustahil dia dapat memenangi hati Arisa dengan mudah. Perlahan dia mengeluh lemah.
            “Abang tahu tak?,”
            Zariff berpaling. Memandang wajah Rianti yang bercahaya.
            “Tahu apa?,”
            “Ati macam tak percaya bila enam bulan lepas, Kak Long cakap dia nak kahwin. Tiba-tiba saja dia cakap dia nak kahwin. Tapi, bila Kak Long bawa kita orang jumpa abang, barulah kami faham kenapa…,”
            Zariff kerutkan kening.
            “Faham apa?,”soalnya lambat-lambat. Mungkinkah Arisa sudah bercerita tujuan perkahwinan mereka?
            “Yalah. Orang kacak macam abang…siapa yang sanggup nak tolak…,”
            Zariff tersenyum. Kakak kamu yang sanggup tolak….hatinya menjawab dalam senyum.
            “Sejak bila abang bercinta dengan Kak Long ya? Tapi, Ati pelik sikitlah. Abang bos Kak Long. Tapi, kenapa kahwin setakat akad nikah aje? Bukan tak ada duit nak buat besar-besaran. Kenapa macam kahwin senyap-senyap?,”
            Zariff tersenyum panjang. Soalan Rianti petang tadi dibiarkan tergantung. Cuma sekuntum senyum lebar dihadiahkan pada adik iparnya itu. Dan, ternyata pertemuan itu telah membuka sedikit demi sedikit cerita kecewa yang ditanggung Arisa. Dengan kekangan kewangan yang ada, dia faham kenapa akhirnya Arisa mengalah. Barangkali Arisa juga mahu melepaskan diri dari gangguan Radhi. Cuma, tanpa bantuannya bagaimana mungkin Radhi akan menyingkir. Arisa pulan terlalu tunggi egonya untuk meminta pertolongan daripadanya.
            Ketukan lembut di pintu menghalau lamunannya. Pintu terbuka dan wajah Arisa terjengol di situ.
            “Haji Basri datang…,”Arisa bersuara perlahan.
            Zariff termangu seketika. Mencari siapakah pemilik nama Haji Basri itu.
            “Haji Basri mana ni?,”
            Arisa sudah membuat muka. Zariff tersengih.
            “Keluar ajelah,”
            Zariff tersenyum sambil menjongket bahu. Sememangnya mood Arisa belum begitu baik dengannya. Perlahan dia mengangkat punggung melangkah keluar dari bilik yang kecil itu. Sebaik sampai di pintu bilik, tetamu yang sedang duduk di sofa sudah pun terpapar di hadapan mata. Senyum melebar di bibir. Melihat wajah itu, barulah ingatannya jelas.
            “Haji…apa khabar?,”
            “Baik, Alhamdulillah…,”
            Zariff tersenyum lagi setelah berjabat tangan. Kemudian mempelawa lelaki itu kembali melabuhkan punggung ke sofa.
            “Maaflah kalau mengganggu malam-malam begini…,”
            Arisa tersenyum.
            “Tak adalah. Ada apa yang kami boleh bantu, Haji?,”
            Haji Basri diam seketika. Memandang wajah-wajah di hadapanya dengan teliti.
            “Haji nak tanya satu soalan,”
            “Apa dia, Haji?,”Zariff bertanya pantas.
            Arisa mengangkat punggung.
            “Nak ke mana tu Arisa?,”
            “Buatkan air kejap,”
            “Tak payah. Haji tak lama. Sekejap saja ni,”Haji Basri bersuara menolak. Membuat Arisa kembali melabuhkan punggung ke sofa.
            “Ni…haji nak tanya, Radhi tahu ke tidak pasal kamu berdua ni?,”
            “Maksud Haji?,”
            “Dari petang tadi dia duk suruh kami AJK masjid datang rumah kamu. Katanya ada perbuatan tak senonoh kat rumah ni…,”
            Arisa tunduk. Zariff sembunyi senyum.
            “Rasanya dia tak ada hak pun nak ambil tahu pasal saya, Haji…,”
            “Itu yang tak betulnya. Boleh mendatangkan fitnah. Beritahu dia hal sebenar…,”
            “Haji tak beritahu?,”Zariff pula bersuara.
            Haji Basri mengalihkan pandangan ke arah Zariff.
            “Memberitahu status perkahwinan pada orang tu, perkara yang mudah sangat. Tapi, bila empunya badan sendiri tak buat macam tu, pasti orang luar akan rasa ada sesuatu yang tak kena. Seeloknya kamu berdua yang beritahu dia. Jangan pula nanti dia tuduh AJK masjid bersubahat dengan maksiat. Haji minta ya…kamu perjelaskan semua ni, pada dia,”
            Arisa membeku. Sedang Zariff tajam merenung wajah Arisa yang tertunduk.
            “Boleh ke? Arisa? Zariff?,”
            “InsyaALLAH Haji. Saya akan jelaskan semuanya nanti,”Zariff memberi kesanggupan. Haji Basri tersenyum nipis.
            “Eloklah macam tu. Berahsia dengan benda macam ni, boleh mengundang fitnah. Lagipun, perkahwinan ni, perkara yang dituntut. Buat apa nak sorokkan?,”
            Zariff mengangguk perlahan. Haji Basri pula perlahan mengangkat punggung.
            “Haji beransur dululah. Ingat tu. Tolong jelaskan pada Radhi tu. Nanti dia tuduh kami bersubahat pula,’Haji Basri bersuara lagi. Kali ini bersama sekuntum senyum nipis. Zariff tergelak kecil. Mengiringi Haji Basri sehingga ke pintu.
            “Haji balik dulu. Assalamualaikum…,”
            “Waalaikumussalam…,”serentak Arisa dan Zariff menjawab. Zariff menoleh. Arisa sudah tercegat di sisinya. Sebaik langkah Haji Basri sampai ke luar pagar, Arisa berpaling. Mahu bergerak meninggalkan Zariff. Zariff tersenyum. Pantas tangannya memaut pinggang Arisa. Menarik Arisa ke pelukannya.
            “Apa ni awak? Orang tengok nanti,”
            “Memang nak bagi orang tengok pun…,”
            Arisa menentang renungan Zariff. Kurang faham dengan kata-kata itu.
            “Cuba tengok kat depan tu,”bisik Zariff hampir di telinga Arisa. Arisa akur. Melihat satu kelibat manusia di belakang pokok di hadapan rumahnya.
            “Radhi?,”dia bersuara perlahan. Namun, suara itu sampai ke telinga Zariff. Zariff tersenyum panjang. Dia sedar akan kehadiran lelaki itu. Dan, dia pasti lelaki itu juga sudah sedar yang persembunyiannya sudah diketahui.
            “Apa kata kalau kita tambahkan lagi sakit hati bekas suami you tu?,”
            “Awak nak buat apa?,”
            Zariff tersenyum memikat. Menarik Arisa semakin rapat padanya. Sempat dia mengerling dan di sebalik kegelapan malam, dia dapat melihat Radhi berlalu dengan langkah laju. Satu senyum puas hati terukir di bibir.
            “Hello! Apa ni? Buat drama romantik depan pintu pulak…,”
            Arisa berpaling. Rianti tercegat sambil mencekak pinggang. Spontan dia menolak badan Zariff sambil bergerak menarik pintu gelongsor. Langsir labuh turut ditarik menutupi pintu gelongsor. Zariff pula bergerak semula ke sofa. Melabuhkan punggung di situ.
            “Tadi Ati dengar macam ada suara tamu,”
            “Haji Basri datang,”jelas Arisa sambil mengambil tempat di hadapan Zariff.
            “Dia nak apa?,”
            “Bekas abang ipar Ati tu, suruh Haji basri tangkap basah Kak Long ni…,”Zariff bersuara selamba. Rianti tergelak.
            “Apa-apa ajelah budak gila talak tu…,”omelnya bersama gelak.
            “Ati…abang tak nak Ati keras sangat dengan Radhi tu,”
            Arisa memandang wajah Zariff. Rianti tercegat bersama wajah pelik.
            “Kenapa pula?,”
            “Abang risau kalau dia marah pada Ati nanti. Ati tu perempuan. Jangan cakap benda yang bukan-bukan dengan dia,”
            Rianti jongket bahu.
            “Sambunglah adegan romantik abang tu. Ati nak masuk sambung study,”Rianti bersuara sambil bergerak meninggalkan ruang tamu. Tersengih sambil kenyitkan mata sebelum menutup pintu biliknya.
            Zariff tersenyum. Mengalih perhatiannya kepada Arisa yang masih membeku. Sebenarnya dia sendiri kurang pasti marah Arisa masih tentang soal pindah rumah atau sudah bertambah pula dengan tindakan dia membawa Rianti keluar.
            “Masih marah lagi ke?,”
            Arisa menggeleng.
            “Kalau tak marah, kenapa duduk jauh sangat?,”
            Arisa mengukir senyum. Hilang marahnya melihat perhatian Zariff pada adik-adiknya. Dan nasihat Zariff pada Rianti sebentar tadi, benar-benar membuat dia tersentuh.
            “Terima kasih awak. Awak layan adik-adik saya dengan baik,”
            Zariff tidak menjawab. Silang kakinya ditukar sambil kedua-dua tangan di letakkan di belakang sofa. Merenung wajah Arisa yang masih diam di hadapannya.
            “You tahu kenapa I suruh you pindah?,”
            Arisa diam. Cuma pandangannya menanti jawapan Zariff.
            “I tak nak Radhi datang mengganggu lagi. I tak rasa dia akan berhenti ganggu you…adik-adik you,”
            Arisa mengeluh perlahan.
            “Awak masih nak kami pindah ke?,”
            “Yes,”
            Arisa tunduk sambil bermain dengan jemari sendiri.
            “And…kenapa you nak rahsiakan pasal kita daripada dia? You terima I, bukan sebab you nak lari dari dia ke?,”
            “Saya kenal dia. Saya tak nak dia susahkan awak nanti…,”
            “Susahkan macam-mana?,”
            “Kalau dia tahu kita dah nikah. And, dia tahu pula kita nikah diam-diam. mesti dia akan ambil kesempatan,”
            “Minta duit dari I? Itu maksud you?,”
            Arisa mengangkat muka. Menatap wajah Zariff. Tepat pula tekaan lelaki ini. Zariff tersenyum.
            “Betul tekaan I?,”
            Arisa menjeling sekilas. Malas melayan tingkah Zariff yang kelihatan cukup senang menanggapi riak terkejutnya tadi.
            “Dah dekat pukul sepuluh ni. Esok kerja. Awak tak nak balik ke?,”
            “Menghalau lagi. Apa kata you and adik-adik you pindah aje ke kondo  I?,”
            “Mengarut,”
            “Apa pula yang mengarut?,”
            “Kalau mak awak datang, siapa yang nak bertanggungjawab. Takkan awak nak cakap rumah awak dah jadi rumah anak yatim?,”
            Zariff tergelak halus.
            “Apa salahnya. Tak salah kan?,”
            Arisa menggeleng perlahan sambil mengangkat punggung. Bergerak ke arah kotak menyimpan kunci. Zariff turut mengangkat punggung. Mengekori Arisa dari belakang.
            “Saya nak kunci pagar ni. Kalau awak nak balik, baik balik sekarang,”Arisa bersuara selamba. Mahu menutup topik perbualan mereka yang tidak ke mana.
            Pantas Zariff mencapai kunci di tangannya.
            “You tunggu dalam bilik. I keluar kunci pagar…,”
            Arisa diam. Lebih membeku apabila satu kucupan hinggap di dahinya sebelum lelaki itu menarik semula pintu gelongsor yang sudah tertutup. Dia cuma memerhati. Memerhati Zariff yang semakin aneh. Lelaki kaya yang pentingkan diri sendiri tiba-tiba menjadi seorang lelaki yang begitu mengambil berat. Perlahan-lahan muncul menjadi lelaki yang cukup melindungi. Dia mengeluh perlahan. Perlahan juga melangkah menuju ke bilik.


*****
[11:35:50 PM] hos.getah: