Monday, February 21, 2011

Kunoktahkan Takdir Ini 1


SEKADAR SELINGAN MEMANDANGKAN BLOG KIAN SEPI. SATU CERITA YANG TERLALU BIASA PADA USIA  18 TAHUN.


Terik matahari cukup untuk membuat pipinya terasa cukup perit. Wajahnya pun sudah mula dijentik titik peluh. Mata sedikit berpinar menahan bahang matahari petang yang belum begitu redup. Dengan sedikit lesu, perlahan dia menanggalkan kasut sekolah. Duduk seketika di tangga batu rumahnya sebelum langkah diatur ke beranda. Matanya menjenguk mencari wajah adik-adik dan ibunya. Suasana sedikit sunyi.
‘Kak Farah balik! Kak Farah balik!,”jeritan halus itu membuat dia tersenyum lebar. Adik bongsunya berlari laju ke arahnya. Mendarat ke pelukannya.
“Mak mana?,”
“Kat dapur,”laju adiknya yang berusia enam tahun itu menjawab. Dia tersenyum sambil mengusap perlahan rambut yang ditocang dua itu.
“Lily main apa ni?,”tegurnya sambil melihat ruang tamu yang dipenuhi dengan pinggan dan mangkuk mainan.
“Lily main masak-masak. Lily masak kuih,”
Farah mengangkat kening. Menunjukkan reaksi yang cukup berminat dengan cerita Lily. Lily tergelak halus.
“Sedap tak?,”
“Mestilah sedappp,”panjang Lily memberi jawapan membuat Farah tergelak lagi.
“Okaylah. Lily masak sedap-sedap. Kak Farah nak tukar baju,”Farah bersuara sambil melangkah menuju ke biliknya. Sebaik menukar pakaian, dia bergegas menuju ke ruang dapur. Ibunya sedang leka membasuh pinggan.
“Suzi dah balik, mak?,”dia bersuara sambil mendekati ibunya. Sekilas ibunya menoleh.
“Belum,”sepatah jawapan yang meniti di bibir Normah.
Farah diam. Matanya terus terpaku pada wajah ibunya yang kelat. Sungguh dia mati akal dengan kebisuan ibunya itu. Tidak tahu lagi bagaimana untuk dia teruskan perbualan. Entah sampai bila suasana dingin ini akan berlarutan, dia sendiri tidak tahu. Melihat ibunya terus membelakanginya, perlahan-lahan dia melangkah untuk meninggalkan ruang dapur.
“Farah,”
Langkah Farah terhenti. Segera dia menoleh.
“Ya, mak,”
“Kau ke mana hari ni?,”
Farah kerutkan kening. Soalan ibunya kedengaran sedikit pelik.
“Ke sekolah lah,”
Tajam renungan ibunya membuat Farah sedikit gerun.
“Lepas tu, kau ke mana? Dah dekat pukul empat baru nampak batang hidung,”
“Farah pergi perpustakaan. Buat ulangkaji dengan kawan,”perlahan dia memberi penjelasan. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati dengan soalan ibunya itu.
“Kau jangan nak tipu aku, Farah! Dah banyak benar aku dengar cerita pasal kau sekarang ni. Kalau cerita elok, tak apa. Ini, semua cerita yang pedihkan telinga aku! Tahu tak?,”tengking Zaimah kuat.
Farah tersentak. Lain benar tingkah ibunya hari ini. Apa silapnya sehingga ibunya melenting sampai begitu sekali?
“Kenapa ni, mak?,”
“Tak usahlah nak berlakon, Farah. Kau ingat mak tak tahu tentang kau selama ni? Kau ingat mak tak tahu apa kau buat kat luar tu?,”
“Tahu apa mak?,”
Zaimah merenung geram wajah di hadapannya itu. Reaksi Farah seolah-olah gadis itu tidak tahu apa yang sedang dia katakan.
“Macam-macam orang cakap pasal kau, Farah. Mak malu...,”
Farah tercengang. Wajah penuh amarah Zaimah kini sudah sedikit muram.
“Pasal apa, mak? Farah tak buat salah pun. Cerita apa yang mak dengar pasal Farah? Siapa yang bercakap, mak?,”
Zaimah merengus marah.
“Kalau tak ada angin, pokok tak akan bergoyang, Farah,”
“Jadi mak percaya? Sumpah mak, Farah tak tahu apa-apa pun,”
“Sudah. Cukup. Tak payah nak bersumpah-sumpah. Lepas ni, mak tak mahu dengar apa-apa lagi pasal kau. Faham?!,”
“Farah langsung tak faham apa yang mak cakap ni...,”
“Kalau tak faham... fahamkan...,”ujar Zaimah sambil terus berlalu. Menghadap muka Farah membuat hatinya bertambah sakit.
Farah menghempaskan punggung ke kerusi sambil menggigit bibir menahan deraian air matanya. Bibir matanya terasa semakin memberat. Hatinya benar-benar tersentuh dengan kata-kata ibunya itu. Sungguh dia tidak tahu apa yang membuat ibunya begitu marah. Apa silapnya? Apa yang telah dia lakukan?
Hatinya cukup kecewa dengan ibunya. Ibunya lebih mempercayai kata-kata dari mulut orang yang entah dari mana datangnya. Sedikit pun ibunya tidak memberi ruang untuk dia mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Bukan sekali. Bukan dua kali. Malah sudah berkali-kali ibunya  menunding kemarahan pada kesalahan yang dia sendiri tidah pernah tahu. Tiap kali dia cuba mencari punca yang membuat ibunya begitu marah, ibunya terus berlalu membawa marah.
Ikutkan hatinya yang marah, mahu sahaja dia mencari siapakah pembawa mulut yang mereka cerita-cerita yang telah berjaya menyakitkan hati ibunya itu. Ingin sekali dia bertanya apa salahnya sehingga dia diburukkan dengan pelbagai cerita tidak baik. Tanpa sedar, perlahan air mata menitis membasahi pipi. Segala perasaan yang terbuku di hatinya, bagai turut mengalir keluar bersama titis air matanya yang semakin melaju. Perlahan dia menyeka air mata yang terus degil mengalir ke pipi. Dalam melayan kesedihan, sekali lagi kepalanya berdenyut. Sakit. Segera dia melangkah menuju ke bilik. Laci meja belajar diselongkar. Sebotol ubat dikeluarkan dan segera ubat itu ditelan. Dia menarik nafas sedalam mungkin, mencari kelegaan dalam menahan sakit kepalanya. Perlahan dia berbaring. Cuba melelapkan matanya, mencari penawar mengubat kesakitan yang menyerang. Lega sedikit rasanya apabila sakit kepalanya seakan-akan semakin menjauh.
Sayup-sayup tawa manja menyentuh gegendang telinganya. Barangkali Suzi sudah pulang. Terdengar suara ibunya diselang-seli dengan dengan gelak Suzi. Membuat hatinya luluh perlahan-lahan.  Kadang-kadang dia berasa cemburu dengan adiknya itu. Dalam segala hal, adiknya lebih beruntung. Adiknya lebih bertuah. Suzi memang cantik, disayangi pula oleh ibu dan ayahnya. Tetapi dirinya? Dirinya seolah-olah disisih keluarga sendiri. Memikirkan hal itu, air mata mengalir lagi.
Masih terlalu jelas di ingatannya, saat ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir, hanya Suzi sahaja yang berada di kepala ayahnya. Dirinya seolah-olah tidak wujud di dalam rumah itu. Saat itu hatinya benar-benar hancur. Namun, itu peristiwa empat tahun lalu. Peristiwa yang membuat dia berjauh hati dengan keluarga sendiri. Dan, dari hari ke hari dapat dia rasakan hubungannya dengan ibu dan adiknya semakin renggang. Kini, keadaan semakin parah. Setiap apa yang dia buat semakin serba tidak kena di mata ibunya.
“Farah!,”
“Ya, mak,”laju dia menjawab sambil menyeka air mata yang membasahi pipi.
“Apa kau buat tu? Balik-balik berkurung dalam bilik. Tak boleh ke sekali – sekala tolong mak ni?,”pekik Zaimah lantang.
Farah menghela nafas perlahan. Denyutan di kepalanya kini semakin berkurangan. Perlahan dia bangkit dari baringnya. Melangkah perlahan menuju ke pintu bilik. Sebaik melangkah keluar dari bilik, dia terpandang pada Irman, kawan sekelas Suzi.
“Man. Dah lama sampai?,”tegur Farah sekadar berbasa-basi.
“Baru sampai. Tunggu Suzi. Kak Farah tak sihat ke? Muka tu pucat aje,”
Farah tersenyum. Tersentuh dengan soalan Irman.
“Taklah. Cuaca panas sangat sekarang ni. Cepat aje dapat sakit kepala,”
“Betul tu...,”sokong Irman bersama senyum panjang.
“Haa Farah. Kalau tak dipanggil, memang susah nak nampak muka,”Zaimah bersuara sambil meletakkan segelas minuman di atas meja. Farah diam. Terus dia melangkah ke dapur.
“Minum dulu, Man. Kejap lagi siaplah si Suzi tu,”
“Tak payah susah-susah, makcik. Kejap aje ni,”
“Tak ada susahnya,”tingkah Zaimah bersama senyum.
“Haa.. tu dah siap pun,”sambungnya lagi sebaik Suzi melangkah keluar dari bilik.
“Mak. Suzi pergi dulu,”
“Betul tak nak makan dulu ni? Mak masak lauk kegemaran Suzi tu,”
Suzi tersengih.
“Dah lambat ni, mak. Nanti kawan-kawan lain menunggu pulak. Mak simpankan aje untuk Suzi ya. Malam nanti Suzi makan. Okay?,”
Zaimah tersenyum.
“Yalah,”
Irman mengangkat punggung.
“Saya pergi dulu, makcik,”
“Yalah. Hati-hati memandu tu,”pesan Zaimah sambil mengiringi anaknya sehingga ke pintu. Kereta Kancil milik Irman bergerak perlahan meninggalkan halaman rumahnya.
“Farah, tolong bawa gelas ni ke dapur,”melihat kelibat Farah, segera Zaimah bersuara. Farah akur.
“Suzi nak ke mana tu, mak?,”
“Belajar. Belajar dengan kawan-kawan dia, katanya,”
Farah diam. Dia berlalu semula ke dapur bersama gelas di tangan. Hatinya tiba-tiba digayut sayu. Dia pulang lewat kerana mentelaah pelajaran, ibunya memandang serong. Tetapi Suzi...
“Kalau kamu nak makan. Lauk tu jangan nak habiskan pulak. Tinggalkan untuk Suzi sikit,”laungan ibunya dari ruang tamu, membuat air  mata terus menitis ke pipi. Selera makannya hilang tiba-tiba. Selesai membasuh gelas, dia terus melangkah meninggalkan ruang dapur.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: