Wednesday, October 12, 2011

Mungkinkah? 12


            Sekali lagi air mata diseka perlahan. Bukan niatnya untuk terus meratap, namun, hatinya tetap pilu tiap kali dia berada di bilik ini. Semuanya berlaku di dalam sekelip mata. Dia kehilangan insan yang amat dia sayangi itu juga dalam sekelip mata. Dan, hatinya terus berkata, semua ini berpunca darinya. Dia yang membawa segala musibah ini. Dia yang telah membuat bapanya pergi buat selama-lamanya. Air mata terus berjuraian membasahi pipi. Tidak larat lagi untuk terus dihapuskan titisan itu.
            “Dah lebih seminggu Kak Long asyik menangis sorang dalam bilik ayah. Ati dah tak tahu macam-mana nak pujuk Kak Long, kak…,”
            Tasnim mengeluh perlahan. Perlahan mengusap bahu adik Arisa. Wajah gadis itu juga masih diselubung riak sedih.
            “Akak nak bercakap dengan Kak Long kejap, ya?,”
            Rianti mengangguk. Kemudian berlalu meninggalkan dia dan Arisa di dalam bilik sederhana besar itu. Satu demi satu langkah diatur. Mendekati temannya yang tertunduk sambil memeluk sehelai baju. Barangkali milik bapanya.
            “Rissa…,”
            Arisa mengangkat muka. Cuma seketika sebelum kembali tertunduk lesu sambil menyeka perlahan pipi yang membasah. Tasnim mengeluh pendek. Kerusi di hujung katil, ditarik mendekati Arisa. Kemudian perlahan dia melabuhkan punggung di situ. Simpati melihat keadaan Arisa yang betul-betul seperti sudah putus harapan.
            “Sabar ya, Rissa…,”perlahan dia bersuara sambil tangannya menyentuh perlahan bahu Arisa.
            “Semua ni salah aku. Semuanya salah aku…,”
            “Tak baik cakap macam tu. Ini semua dah takdir. Kau kena terima ini semua. Kau tak boleh macam ni terus,”
            “Macam –mana aku nak terima, Nim? Macam –mana aku nak terima, ayah aku mati disebabkan aku?,”
            “Kalau kau tetap nak salahkan seseorang, orang yang patut kau salahkan ialah Radhi. Bukan kau…,”
            “Tapi, aku yang bawa Radhi masuk ke dalam keluarga aku. Aku puncanya…,”
            Tasnim menghela nafas panjang. Menarik Arisa ke dalam pelukannya. Berat masalah yang menimpa temannya itu. Dan, rasanya masalah Arisa yang telah membuat hubungan mereka semakin erat. Dia tidak begitu rapat dengan Arisa. Namun, sejak secara tidak langsung Arisa menjadikan dirinya sebagai tempat untuk mengadu, hubungan mereka semakin erat.
            “Kau sedang bercelaru. Kau sekarang sedang bersedih. Kau boleh bersedih. Tapi, kau tak boleh terus ikut perasaan macam ni. Kasihan adik-adik kau. Mereka perlukan jagaan. Perlukan perlindungan. Hanya kau yang mereka ada. Kalau kau macam ni, mereka macam-mana nanti?,”lembut Tasnim meniup kata semangat. Benar-benar berharap agar semangat Arisa tidak terus merudum. Kasihan melihat adik-adik Arisa yang terpaksa kuatkan semangat demi kakaknya itu. Ternyata kematian bapanya benar-benar membunuh semangat juang Arisa.
            “Kau kena kuat Rissa… fikirkan adik-adik kau. Syikin tu terlalu kecil untuk hadapi semua ni sendirian,”
            Arisa mengangkat muka. Kata-kata itu perlahan-lahan membuat dia sedar. Sedar masih ada tanggungjawab yang tergalas di bahunya. Dia terlalu larut melayan rasa sedihnya, sehingga lupa pada tiga orang adiknya yang jelas perlukan dia untuk berpaut. Bola matanya mati di wajah Tasnim. Hiba. Cuma hiba yang mengasak dadanya.
            “Aku tak tahu aku boleh jadi kuat atau tak…,”
            “Aku yakin kau kuat. Kau mesti kuat,”
            “Aku tak sangka semuanya mesti berakhir macam ni,”
            Tasnim diam seketika. Cuma pandangannya dalam menikam wajah Arisa. Mencari sedikit kekuatan di balik bening mata yang bengkak dek tangisan itu.
            “Ini sudah ketentuan. Kau kena terima tu. Kau tak boleh jadi lemah,”
            “Kenapalah aku mesti kenal dengan manusia tak guna tu?,”
            “Jangan salahkan perjalanan takdir. Apa yang berlaku pasti ada sebabnya. Dia lebih mengetahui. Apa yang penting sekarang ni, kau perlu bangkit. Bangkit untuk adik-adik kau. Kasihan mereka risaukan kau. Ati cakap dah dua hari kau tak makan,”
            Arisa mengeluh lemah. Kata-kata itu membuat dia berfikir. Namun, untuk bangkit, terasa cukup payah.
            “Bila nak masuk kerja ni?,”Tasnim bersuara lagi. Tidak mahu lagi bercakap tentang kesedihan.
            Mendengar soalan itu, keluhan Arisa kedengaran semakin memberat. Musibah yang mendatang, membuat dia lupa pada satu lagi masalah yang menunggu. Masalah yang membuat hidupnya mula kacau. Encik Karim!
            “Kenapa ni? Tanya pasal kerja, macam tanya pasal masalah,”
            Arisa menggeleng perlahan. Tidak cukup kuat untuk memikirkan segala masalah yang sedang dihadapinya. Tunggulah sehingga jiwanya cukup kuat untuk bercerita.
            “Encik Karim tanyakan keadaan kau,”
            Arisa menyepi lagi. Tidak tersentuh dengan perhatian daripada majikannya itu. Perkhabaran itu cuma membuat dia semakin dihimpit kecewa. Semakin mendera perasaannya. Wajah yang membeku itu, membuat Tasnim berasa tidak sedap hati.
            “Kenapa Rissa? Kau macam tak suka aku sebut pasal Encik Karim,”
            Sekali lagi Arisa menggeleng. Memandang wajah Tasnim yang jelas mahukan penjelasan.
            “InsyaALLAH minggu depan aku masuk office,”dengan berat hati, dia bersuara. Mahu memberi sedikit ketenangan pada Tasnim. Tidak mahu minda Tasnim terus dibelenggu tanda-tanya.
            Tasnim mengangguk perlahan. Mahu terus berbicara namun jeritan Rianti menarik perhatian. Juga turut membuat Arisa tegak berdiri. Suara Rianti yang marah-marah menimbulkan rasa hairan.
            “Ati…,”dia bersuara perlahan.
            Tasnim turut bangkit dari kerusi.
            “Kenapa tu?,”
            Arisa tidak menjawab. Cuma langkahnya laju dihayun keluar daripada bilik arwah bapanya. Tasnim pantas mengekori.
            “Kak Long…,”Dafi berhenti melangkah sebaik bertembung dengannya.
            “Kenapa Dafi?,”
            “Kak Ati marah-marah abang Radhi kat luar tu. Abang Radhi datang,”
            Arisa menahan rasa. Perlahan jemarinya digenggam erat. Mendengar nama itu, sebukit kebencian menghempap hatinya. Tanpa mempedulikan Dafi dan Tasnim, laju dia melangkah keluar menuju ke halaman. Memandang Rianti yang sedang bercekak pinggang memarahi lelaki yang sedang memusnahkan hidupnya itu.
            “Ati! Masuk!,”
            Rianti menoleh. Sedikit terkejut melihat kakaknya tegak berdiri di belakangnya.
            “Dia ni, Kak Long. Kurang ajar! Ati tak nak tengok  muka dia kat sini lagi!,”
            “Ati masuk dalam. Biar Kak Long yang berdepan dengan syaitan ni,”
            Rianti merengus geram. Dengan langkah geram juga dia menapak menuju ke pintu rumah. Bercekak pinggang dari situ, memerhati Arisa dan bekas suami kakaknya itu. Bersedia untuk sebarang kemungkinan. Dia tahu, dengan segala yang berlaku, kakaknya tidak begitu kuat untuk berdepan dengan manusia sekejam Radhi.
            “Apa kau nak lagi?,”
            Radhi tersenyum kecil.
            “Ayah dah sihat?,”soal lelaki itu dengan nada yang cukup lembut, sedang matanya merenung sepasang mata Arisa yang sedikit membengkak.
            Arisa menahan nafas. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dia lenyapkan lelaki ini daripada muka bumi.
            “Tolong berambus dari sini, dan jangan muncul lagi depan aku! Aku tak nak tengok muka setan kau!,”
            “Uish…. Kenapa bekas isteri abang garang sangat ni? Salah ke kalau abang datang nak jenguk bapa mertua abang yang tak sihat? Minggu lepas ayah jatuh pengsan kan? Mesti masuk hospital. Ayah macam-mana? Dah sihat sikit?,”
            Berombak dada Arisa menanggapi soalan Radhi yang jelas penuh dengan kepalsuan. Dalam menahan marah, tanpa dapat ditahan air matanya menitis lagi. Kerana lelaki ini, bapanya jatuh pengsan di hadapan pagar ini. Saat bapanya terkulai tidak sedarkan diri di ribanya, Radhi berlalu bersama tawa yang cukup menghiris hati.
            “Rasanya dah tak ada apa-apa urusan untuk kau terus menempel muka kat sini. Lebih baik berambus saja,”
            “No. Tak semudah itu, sayang. Abang tak akan pergi selagi abang tak dapat jumpa dengan ayah,”
            Arisa menjeling penuh kebencian.
            “Kau… dah tak payah nak jumpa dia. Dan, kau juga dah tak payah nak ugut dia! Nak sakitkan hati dia! Sebab dia dah tak ada! Kau dah bunuh ayah aku! Kau dah bunuh ayah aku!,”bentak Arisa bersama air mata yang merembes laju.
            Radhi terdiam. Gelaknya mati, senyumnya juga perlahan menghilang.
            “Rissa tipu?,”dia meneka dalam kesamaran. Namun, hatinya yakin dengan kata-kata Arisa apabila pipi wanita itu terus dibasahi air mata.
            “Terima kasih sebab beri kesengsaraan pada ayah sampai ke akhir hayat dia. Aku tak akan maafkan perbuatan kau. Kau ingat tu!,”
            Radhi kelu. Memang saat dia tinggalkan rumah ini minggu lepas, lelaki tua itu terkulai pengsan di riba Arisa. Namun, langsung tidak dia duga, itulah juga pertemuan terakhir dia dengan bekas bapa mertuanya itu.
            “Bukan salah abang. Rissa yang salah. Kalau Rissa ikut kehendak abang, benda ni tak akan jadi  sukar macam ni…,” 
            “Diam! Berambus!,”
            “Bukan salah abang, okay…,”
            Arisa menunduk. Sudah tidak berdaya untuk menatap wajah di hadapannya ini.
            “Tolong pergi sebelum aku hilang sabar….,”bergetar dia bersuara dan kini, genggamannya kian erat. Kesabarannya terasa semakin menipis.
            “Assalamualaikum,”
            Suara seseorang memberi salam, perlahan-lahan membuat dia mendongak. Salam itu cuma mampu dijawab di dalam hati. Lega melihat kelibat Haji Basri di situ.
            “Kenapa ni, macam ada masalah saja?,”
            “Tak ada apa-apa, Haji,”selamba Radhi menjawab.
            “Arisa?,”Haji Basri bersuara lagi. Kali ini, pandangan jatuh pada wajah Arisa yang kelihatan cukup sedih.
            “Saya tak nak lelaki ni, ada kat depan rumah saya, Haji….,”
            “Kamu dengar tu? Tak elok buat begini. Apa kata orang sekeliling kalau tengok kamu macam ni? Bapa mertua kamu baru meninggal. Kan tak elok kalau kamu datang buat kecoh kat sini,”
            “Saya tak datang buat kecoh. Saya datang nak jenguk mereka. Tak salah kan?,”
            “Masa yang tak kena rasanya. Baik kamu ke surau. Dah nak Maghrib ni. Mana ada orang datang menjenguk orang waktu-waktu macam ni?,”
            “Kalau boleh, Haji uruskan hal Haji ajelah, ya? Jangan sibuk jaga tepi kain orang,”
            “Kawasan kejiranan ni, bawah tanggungjawab saya juga. Baik kamu beredar. Kalau nak jenguk, datanglah masa kenduri tahlil. Antara kamu berdua pun, dah tak ada ikatan apa-apa, kan? Tak elok dipandang orang,”
            Radhi merengus. Terus berlalu tanpa sepatah kata. Juga tanpa menoleh.
            “Terima kasih, Haji…,”
            “Selalu ke bekas suami kamu tu, ganggu kamu?,”
            Arisa mengangguk perlahan.
            “Kenapa biarkan saja?,”
            “Dulu, kalau saya berkeras… kalau saya cuba bertindak, makin dia ganggu arwah ayah. Sakitkan hati arwah ayah…,”
            Haji Basri menggeleng perlahan.
            “Jangan dibiarkan. Nanti makin berani dia,”
            Arisa mengangguk perlahan.
            “Sudahlah tu. Banyakkan bersabar ya,”
            Sebaris senyum tidak bernyawa terukir di bibirnya dan sekali lagi dia mengangguk lemah.
            “Haji ke surau dulu. Assalamualaikum,”
            “Waalaikumussalam…,”jawabnya cuma dengan gerakan bibir. Memandang Haji Basri yang mula mengatur langkah meninggalkan pagar rumahnya. Kemudian matanya ditebarkan pada deretan rumah di kiri kanan rumahnya. Juga deretan di hadapan rumahnya. Memang ada beberapa pasang mata yang memandang. Perlahan dia mengeluh.
            “Betul cakap orang tu. Siapa tu?,”
            Arisa berpaling. Tasnim sudah berdiri di sisinya.
            “Haji Basri. Imam kawasan perumahan ni…,”
            “Betul kata Haji Basri tu. Kau tak boleh berdiam diri. Nanti Radhi semakin menjadi-jadi. Kenapa kau tak buat report polis aje?,”           
            “Report polis?,”
            Tasnim mengangguk.
            “Tapi, untuk apa?,”
            “Dia menganggu kau. Kau boleh buat laporan, dia mengganggu kau,”
            Arisa diam. Nasihat Tasnim, disimpan kemas di hati. Perlukah dia bertindak sejauh itu? Radhi tidak cuba mengasarinya, jauh sekali mencederakannya. Terasa terlalu kecil hal itu untuk dibawa ke balai polis.
            “Jangan nak tunggu dia pukul kau, baru kau nak report. Sekarang ni pun, kau berhak pertahankan ruang privacy kau. Lebih-lebih lagi dia tak ada apa-apa kaitan dengan kau,”
            Arisa terus mendengar. Tersenyum lemah sambil memandang wajah Tasnim.
            “Masuklah dulu. Dah nak Maghrib ni,”dia bersuara perlahan dan Tasnim mengangguk perlahan.


******
[11:35:50 PM] hos.getah: