Friday, February 11, 2011

Kuseru Rindu Itu... 35 (last di blog)

            “Mama…,”
            Idayu berpaling. Menghadiahkan sekuntum senyum buat anak tunggal kesayangannya.
            “Ya, sayang,”
            “Nanti kalau mama nak pergi jauh, Afiq nak ikutlah. Tak nak duduk dengan nenek lagi,”
            Idayu tergelak kecil. Merenung wajah Syafiq sepuas hati. Perlahan dia membelai lembut pipi mulus itu. Barangkali ini percutian tanpa Syafiq yang terakhir. Barangkali juga ini percutian terakhir untuk dia dan Hisyam. Pahit, namun akhirnya dia terpaksa akur. Terpaksa akur pada kenyataan dia gagal mengubah hati dan perasaan Hisyam. Dia perlu mengalah. Dia tidak berdaya untuk terus bersaing.
            “Lepas ni, mama tak akan tinggalkan Afiq lagi. Cuma Afiq yang mama ada. Afiq kena selalu ada dengan mama…,”
            Syafiq tersengih girang. Pantas merangkul tengkuk Idayu sambil menghadiahkan kucupan yang bertalu di pipi ibunya itu.
            “I love you, mama,”
            Idayu tergelak. Berbunga hatinya mendengar suara sedikit pelat itu meluahkan rasa sayang.
            “Love you too, sayang….,”
            “I love you too…,”satu suara yang amat dia kenali, menyampuk dari belakang.
            Kucupan Syafiq terhenti dan pelukannya juga terungkai. Idayu pula menoleh perlahan sambil melurut anak-anak rambut yang jatuh ke dahi Syafiq. Matanya jatuh pada wajah Hisyam. Kata-kata Hisyam sempat membuat jiwanya bergetar. Namun, dia sedar kata-kata itu sebenarnya tertuju pada anak tunggal kesayangan mereka. Kata-kata itu bukan miliknya. Syafiq tersengih. Hisyam yang tercegat di pintu turut tersenyum lebar.
            “Love papa jugak…,”
            Hisyam tergelak. Melangkah mendekati katil. Matanya teralih pada Idayu. Wajah itu kelihatan membeku. Tidakkah Idayu tersentuh dengan ucapannya seketika tadi? Tidakkah Idayu mahu tahu kata-kata itu tertuju pada siapa?
            “Tidur ya. Dah malam ni. Mama pun penat ni. Mama nak tidur,”
            “Ok, mama..,”tingkah Syafiq sambil menarik teddy bear ke pelukannya. Dengan malas dia berbaring ke katil. Perlahan-lahan pejamkan mata. Namun cuma seketika. Mata bulat itu kembali membutang merenung wajah Idayu dan Hisyam.
            “Lupa pulak,”ujar anak kecil itu dengan nada merungut sambil menepuk dahi.
            “Lupa apa, sayang?,”soal Idayu sedikit berkerut.
            “Good night mama… good night papa,”Syafiq bersuara sambil melambai tangan. Idayu tergelak.
            “Good night sayang,”satu kucupan singgah di pipi Syafiq. Dan, mata itu kembali tertutup. Untuk seketika, Idayu terus kaku di birai katil. Terus mengamati wajah mulus Syafiq. Hisyam yang tercegat di sisinya tidak diacuhkan.
            “Ayu…,”
            Perlahan dia berpaling mencari wajah Hisyam.
            “We need to talk,”
            “Yes. Ayu tahu,”
            “Abang nak Ayu tahu…,”
            “Kita bincang kat luar. Ayu tak nak kejutkan Syafiq,”Idayu bersuara sambil mengangkat punggung. Berlalu keluar dari bilik Syafiq sambil diekori Hisyam. Pantas lelaki itu memaut lengan Idayu. Ingin menjelaskan kedudukan sebenar. Isterinya itu kembali hilang seri. Dan, dia tahu, punca kemurungan itu datang daripada kesilapannya. Cuma, tidak dia sangka Idayu akan bertindak senekad itu. Terasa kebahagiaan dan keasyikan yang baru dikecapinya, disentap kejam dari jiwa.
            “Ayu, jangan buat abang macam ni,”
            Idayu mengangkat muka. Memandang wajah Hisyam dengan perasaan yang lelah. Lelah dalam mengejar sekelumit cinta untuknya. Sudahnya, perlahan dia melabuhkan punggung di kerusi rotan. Menghadap balkoni dalam kepekatan warna malam. Dia tewas dan dia perlu memberi keputusan. Walau seberat mana sekalipun, hatinya harus merelakan. Perasaan ingin memiliki juga perasaan tidak mahu berkongsi harus dia singkirkan sama sekali. Mampukah dia? Idayu mengeluh perlahan. Mula menyedari yang dirinya tidaklah setabah mana. Hatinya tidaklah sekuat mana untuk menerima tamparan sehebat ini. Namun, demi kebahagiaan yang Hisyam cari, barangkali perngorbanan ini perlu.
            “Abang minta maaf. Okay?,”
            “Jangan minta maaf, bang. Tak ada apa yang perlu dimaafkan…,”
            Hisyam menghela nafas panjang. Kemelut sudah kembali melanda. Hatinya yang mula berbunga bahagia juga sudah kembali dibakar dek hangat keresahan. Renungan Idayu dibalas dengan seribu sesalan. Gelisah menghadapi wajah tenang itu. Rajuk Idayu kali ini pasti berpanjangan.
            “Abang boleh explain,”
            Idayu menggeleng perlahan. Rasanya dia tidak perlukan apa-apa penjelasan. Dia tidak perlu sepasrah itu untuk terus mendera perasaan sendiri. Biarlah apa sekalipun perihal yang berlaku antara Hisyam dan Maisara, dia tidak perlu tahu. Dia tidak mahu ambil tahu. Dia bukanlah wanita yang dianugerahkan ketabahan menggunung untuk terus mendengar Hisyam berbicara tentang Maisara. Apa yang dia mahu saat ini, biarlah dia akhiri semuanya. Kalau memang Hisyam terlalu ingin bersama dengan Maisara, sudah sampai masanya untuk dia mengangguk setuju. Dia telah mencuba dan mencuba.
            Renungannya dilemparkan lagi ke wajah Hisyam. Namun, cuma untuk seketika. Dia kemudian tunduk mencari kekuatan.
            “Ayu dah buat keputusan. Ayu izinkan abang kahwin dengan dia,”lambat-lambat kata-kata keramat itu meniti di bibir Idayu. Membuat Hisyam terpempam. Tanpa sedar dia terduduk di kerusi. Membuntang matanya merenung wajah Idayu yang menunduk. Bukan ini yang mahu dia dengar. Mendengar persetujuan Idayu membuat hatinya berkocak hebat. Tidak percaya Idayu sepasrah itu.
            “Apa Ayu cakap ni?,”
            Idayu mengangkat muka. Melawan renungan Hisyam yang seakan ada riak marah. Marahkah lelaki itu padanya? Selama bertahun-tahun selepas dia menyulam bahagia bersama Hisyam, lelaki itu tidak pernah menikam wajahnya dengan renungan setajam itu. Kenapa kali ini renungan lelaki itu berubah? Mungkinkah kerana Maisara, Hisyam tidak mahu lagi menjadi Hisyam yang dulu padanya? Tidak mahu lagi menjadi Hisyam yang lembut? Menjadi Hisyam yang cuma tahu menghadiahkan senyum manis untuknya? Hatinya disapa hiba tiba-tiba.
            “Abang tak percaya Ayu akan cakap macam tu,”Hisyam menyambung bicara.
            Idayu kelu. Dalam keliru dia mencari sedikit penjelasan di wajah Hisyam. Tidakkah lelaki itu gembira dengan keputusannya?
            “Tak selesai kisah ni, kalau Ayu tak buat keputusan macam ni. Mungkin ini yang terbaik untuk kita,”
            “Ayu tak sayangkan abang?,”soal Hisyam dengan nada sedikit dingin. Hatinya benar-benar tidak gembira dengan keputusan itu. Idayu sepatutnya mempertahan hubungan ini. Dia mahu Idayu nekad untuk terus memilikinya.
            “Kalau Ayu tak sayangkan abang, mungkin Ayu dah pilih untuk undur diri. Tapi, Ayu tak mampu nak buat macam tu. Ayu nak terus menjadi isteri abang,”
            “Kalau Ayu sayangkan abang, kenapa Ayu izinkan? Kalau Ayu nak terus jadi isteri abang, kenapa perlu benarkan abang kahwin lain?,”
            Idayu tergamam seketika. Benar-benar tidak faham dengan Hisyam. Apa sebenarnya yang Hisyam mahukan? Apa sebenarnya permainan yang sedang Hisyam aturkan untuknya ini? Dia sabar. Dan, terus cuba untuk sabar. Tetapi, kenapa  Hisyam begini?
            “Abang nak permainkan perasaan Ayu macam mana lagi? Abang nak apa sebenarnya? Abang bercinta dengan dia. Berjanji nak kahwin dengan dia? Then, now abang marah Ayu sebab Ayu bagi keizinan untuk abang kahwin dengan dia? Apa abang nak sebenarnya?,”
            Hisyam terdiam. Soalan Idayu membuat dia tersedar. Membuat dia  mula terfikir. Apa sebenarnya yang dia inginkan? Bukankah keizinan Idayu sepatutnya menjadi berita baik untuknya? Namun, kenapa hatinya sakit apabila Idayu bersetuju. Keizinan Idayu membuat dia terasa seperti dirinya dicampak jauh dari hati wanita itu. Dia tidak mahu berada jauh dari hati Idayu. Dan, saat ini dia benar-benar keliru. Beberapa bulan yang lalu, dia terlalu mengharapkan Idayu memberi persetujuan untuk hasratnya yang satu itu. Hari ini, dia kecewa apabila Idayu membuat keputusan sebegitu.
            “Ayu dah penat dengan semua ni, bang. Jangan tambah penat Ayu lagi. Ayu cuma mahukan yang terbaik untuk abang. Yang terbaik untuk rumahtangga kita,”
            Hisyam diam seketika. Merenung wajah Idayu yang jelas kelihatan binggung. Dia sendiri lebih binggung daripada Idayu, apabila memikirkan pelbagai rasa yang menyesak dada. Perlahan-lahan kepalanya kembali berfungsi. Rasanya dia sudah tidak perlukan Maisara. Idayu memang sudah menjadi pelengkap hidupnya. Dia gagal mencari jawapan kenapa selama bertahun-tahun dia tidak pernah menemui cinta Idayu yang dia yakin sudah cukup lama tersimpan di hati. Namun, satu kenyataan yang teramat pasti, sememangnya dia sudah cintakan Idayu saat dia tidak sanggup melihat air mata menemani pipi Idayu. Sememangnya dia sudah cintakan Idayu saat senyum Idayu membuat dunianya diwarnai sejuta warna pelangi. Cintanya hanya untuk Idayu. Bukan untuk Maisara.
            “Abang tahu apa yang abang nak. Abang kena perbetulkan semua kesilapan yang dah abang buat,”
            Idayu sekadar mendengar. Tidak mahu terus melanjutkan kata-kata Hisyam. Apa yang mahu diluahkan, sudah pun terucap. Dia jelas dengan kemahuan Hisyam, dan Hisyam juga jelas dengan keputusannya. Tidak ada apa lagi yang perlu dibincangkan.  Doanya cuma satu. Berharap agar Hisyam terus menjadi Hisyam kesayangannya walaupun hati lelaki itu sudah menjadi milik orang lain. Berharap Hisyam sanggup untuk terus menyayanginya. Untuk terus membahagiakannya.
            “Abang khilaf selama ini…,”
            Idayu tersenyum nipis.
            “Semua benda dah berlaku. Tak perlu abang rasa begitu. Ayu kuat. Abang tak perlu risaukan Ayu,”
            Sebaris kata-kata Idayu membuat hati Hisyam merintih pilu. Betapa tanpa dia sedari, dia calarkan perasaan Idayu. Betapa sedalam mana pun luka yang tertoreh, wajah itu tetap tenang menghadapinya. Tenang yang mengundang rajuk di hati pula. Aneh. Dia mahu Idayu memberontak menghalang hubungannya dengan Maisara. Hatinya sakit apabila dengan emosi yang amat terkawal, Idayu membuat keputusan melepaskannya kepada Maisara. Idayu seharusnya cemburu. Idayu seharusnya marah. Idayu seharusnya mempertahan dirinya. Egokah dia?
            “Ayu rasa discussion kita tamat di sini. Kalau boleh lepas ni, kita jangan cakap lagi pasal ni. Apa pun rancangan abang dengan dia, Ayu tak kisah. Cuma, abang jangan kongsi dengan Ayu. Ayu tak nak tahu. Ayu masih manusia biasa yang sarat dengan cemburu dan sakit hati,”
            Hisyam diam. Ingin sahaja dia ungkapkan janji-janji bahagia pada Idayu. Namun, dia perlu selesaikan segala-galanya dengan Maisara terlebih dahulu. Dia perlu perbetulkan keadaan. Hanya selepas semuanya kembali seperti sedia kala, dia akan luahkan segalanya pada Idayu. Dia akan hujani Idayu dengan bisikan cintanya. Dia akan membuat Idayu menjadi wanita yang paling bahagia di dunia ini.
            “Ayu masuk bilik dulu. Nak kemas barang-barang,”tanpa menunggu jawapan daripada Hisyam, dia terus mengangkat punggung. Berlalu meninggalkan Hisyam yang terus memerhatinya.
            “Abang memang cintakan Ayu…Tak ada lagi orang lain ,”bisiknya sambil terus memaku pandangan pada langkah Idayu. Selepas lebih tujuh tahun, kini baru dia sedar cintanya melaut untuk Idayu.
            “Isteri konon. Tanggungjawab konon. Syam… wake up please. Apa yang kau lakukan pada Idayu tempoh hari, jelas. Tersangat jelas. Kau memang cintakan dia. Aku tak nampak alasan lain untuk menyokong tindakan kau tu. Yang aku nampak, cuma satu saja. Kau dengan Idayu memang sedang dilamun cinta. Atau lebih tepat… sentiasa dilamun cinta. Kau tak akan buat itu semua kalau apa yang kau rasa pada Idayu cumalah rasa tanggungjawab…,”
            Hujah panjang lebar Shahrul tiba-tiba menjengah di fikiran. Dia tersenyum kecil. Alangkah bodoh dirinya. Shahrul mampu menyedari semua itu, sedang dia? Dia tetap dengan hujah tidak bertunjang yang dia pegang. Barangkali Shahrul benar. Maisara hanya gangguan sementara untuk menguji rumahtangganya.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: