Thursday, June 14, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 13

Sudah tiga hari berlalu sejak Puan Sri Ainul datang makan malam di rumah mertuaku. Juga datang untuk isytiharkan perang denganku. Tiga hari juga aku memendam rasa tidak puas di hati. Mahu meluahkan perasaan kepada suamiku, bimbang nanti aku akan dianggap suka  berfikir yang bukan-bukan. Ketenangan petang terisi dengan menunganku yang panjang. Sesekali aku mengerling ke arah Encik Firdaus yang sibuk di meja kerjanya. Sengaja datang menyibuk di ruangan kerja suamiku ini. Setelah mengeluh perlahan, aku melangkah mendekatinya. Mahu mengambil komputer ribaku yang aku letakkan di atas meja kerjanya.
            “Ada apa, sayang?,”dia bertanya lembut tanpa memandang wajahku. Sibuk benar dengan laporan di dada komputernya.
            “Nak ambil ni…,”balasku sambil mengambil segala khazanah untuk aku berhubung dengan Sharifah. Lama tidak saling menghantar mesej di Yahoo! Mesenger dengan temanku ini.
            “Nak buat apa?,”
            “Chatting…,”
            Encik Firdaus berpaling. Memandang wajahku.
            “Nak chat dengan siapa pula ni?,”soalnya tersenyum nipis.
            “Dengan Sherrylah bang. Lama tak tanya khabar dia,”
            “Call ajelah,”
            “Feel tak sama…,”
            Encik Firdaus tergelak kecil.
            “Macam-macamlah…,”
            Aku tersenyum kecil. Berlalu ke sofa panjang di ruangan kerja itu. Bersedia mengadap komputer riba untuk mencari temanku yang seorang itu.
            “Ada masa ke Sherry nak chat sekarang ni? Entah-entah sibuk dengan Qalisha,”tiba-tiba suara Encik Firdaus menyapa telinganya. Aku pandang seketika ke arah empunya suara. Masih tekun dengan kerjanya. Laju jemariku menaip mesej untuk Sharifah di telefon bimbit. Memaklumkan keinginanku untuk bertukar mesej di Yahoo! Mesenger. Kemudian aku tersenyum panjang. Mula aktifkan tetingkap YM. Tunggu seketika sambil termenung. Sesekali mengerling ke arah Encik Firdaus yang aku perasan sudah mula mengintaiku di balik komputernya.

            Charming : Hi sayang. Sayang abang tgh buat apa tu?

            Satu sapaan menyapa mataku. Membuat aku tersenyum lucu. Mengada-ngada. Aku berpaling sekali lagi. Memandang wajah Encik Firdaus yang sudah terhias dengan senyum manis.

            Ugly Betty : Tgh mkn nasi
            Charming :  Suapkan abang sikit, boleh?

Aku tergelak. Segera berpaling. Encik Firdaus mengangkat kening. Turut mempamerkan senyum nakalnya.
            “Mengada-ngada abang ni. Jangan kacaulah. Buat kerja abang tu,”aku bersuara sambil tersenyum. 

Sherry_sweet: BUZZ
Sherry_sweet:Apahal tetiba suruh aku online ni?

Teguran Sharifah yang tiba-tiba, menghapus senyumku. Terus tumpuan aku alihkan pada temanku itu.

Ugly Betty: Bagi salam dululah…
Sherry_sweet: Oh ya. Lupa. Sorry. Assalamualaikum.
Ugly Betty :Waalaikumussalam.
Sherry_sweet: Ok. Straight to d point. Apa hal?
Ugly Betty: Oit. Kalau nak cepat2, outlah. Malas aku nak cakaplah macam ni.
Sherry_sweet: Hahaha. Merajuk pulak. Oklah…. Apa dia sayang? Cerita  
pelan2.
Ugly Betty : Qalisha aku, apa khabar?
Sherry_sweet: Baik. Tengah makan dengan papa dia. Qalisha tanya tadi, bila
                        dia nak dapat adik angkat?

Aku tergelak kecil. Yalah tu. Qalisha yang bercakap pun belum pandai, boleh bertanya soalan macam tu? Nampak sangat menipu.

Ugly Betty : Ya sangatlah tu. Sejak bila Qalisha pandai bercakap?
Sherry_sweet: Tadi. Dia ngigau masa tidur. Hahaha…

Aku tergelak sama membaca jawapan itu. Loyar buruk!

Ugly Betty: Aku rasa tak sedap hatilah, Sherry…
Sherry_sweet: Dah. Kenapa pulak? Apa masalah pulak ni?
Ugly Betty : Aku rasa ada orang tak suka akulah.
Sherry_sweet: Siapa? Kau jangan start perangai lama. Asyik fikir yang bukan-                                 bukan. Lpas tu buat keputusan yang bukan2…
Ugly Betty : Aku yakin. Aku tahu dia memang tak sukakan aku.
Sherry_sweet: Siapa?
Ugly Betty : Puan Sri ngok ngek tu…
Sherry_sweet: Siapa weh? Aku kenal ke?
Ugly Betty: Mak Mia lah!
Sherry_sweet: Hmmm… apa masalahnya kalau dia tak suka kau pun. Bukan
                                    Jadi masalah. Janji keluarga Encik Firdaus semua suka kau, kan?                               Itu yang kau kena fikir. Yang kau sibuk fikir pasal org yg x ada
                                    kena mengena dengan kau tu, kenapa?

            Aku mengeluh perlahan. Nampaknya Sharifah belum begitu jelas dengan situasi yang sedang aku hadapi kini.
           

Ugly Betty: Masalahnya dia seolah-olah nak cari pasal dengan aku. Aku rasa dia
                               Tak  puas hati sebab Encik Firdaus tak dapat jadi menantu dialah….

Sebaik sahaja aku tekan ‘enter’ sapaan Encik Firdaus muncul tiba-tiba dan teks yang aku taip, selamat masuk ke tetingkap Yahoo! Mesenger Encik Firdaus. Aku ternganga seketika. Cepat-cepat menutup mulut. Kantoi!            Kaku tiba-tiba sambil mata terus terpaku pada screen komputer riba.          

            Charming : Apa ni?
            Charming : Sayang? R u hiding something from me?

           
            Aku sudah cuak. Untuk berpaling memandang wajahnya pun aku sudah tidak berani. Dari ekor mata, aku tahu Encik Firdaus sudah bangkit dari kerusi. Meninggalkan kerjanya dan melangkah menghala ke arahku. Kalaulah tiba-tiba saat ini aku masuk ke dalam komputer riba ini, memang aku akan terus melompat mencari tempat persembunyian. Teguran Sharifah yang bertalu-talu, sudah tidak mampu aku jawab. Dadaku berdebar kencang saat Encik Firdaus melabuhkan punggung di sisiku.
            “Apa cerita ni?,”soalnya lembut.
            Aku terus kelu. Cuma mampu membalas renungannya lambat-lambat. Silapku barangkali. Mengumpat suami secara terang-terangan. Tetapi, aku tidak mengumpat Encik Firdaus. Aku hanya meluahkan perasaan aku yang terbuku kepada sahabat baikku. Tidak salah rasanya. Encik Firdaus merapatkan badannya ke arahku. Menatap screen komputer ribaku.        

            Ugly Betty: Sherry, I pinjam kawan u sekejap. Ada hal nak bincang. Nanti u                                   Sambung balik ya..

            Terkebil-kebil aku melihat Encik Firdaus mengganti tempatku.

Sherry_sweet: Encik Firdaus ke? Ok ok…. She’s yours…
Ugly Betty    : Thanks…

Tamat sudah interaksi antara dia dan Sharifah. Kini, pandangannya teralih ke wajahku. Aku tahu wajah itu menanti penjelasan daripadaku.
“Tiya bukan mengumpat abang,”laju aku bersuara. Cuba melindungi diri sendiri.
“Abang tahu Tiya bukan mengumpat abang. Tapi, ada sesuatu yang mengganggu Tiya, kan? Apa dia? Cerita pada abang. Tiya tahu, Tiya boleh ceritakan apa saja pada abang, kan? Kenapa nak berahsia dengan abang?,”
Aku mengeluh perlahan. Memandang wajah Encik Firdaus dengan perasaan berbelah-bagi.
“Tiya minta maaf. Tiya cuma tak nak abang tengok Tiya ni macam suka sangat buruk sangka pada orang…,”akhirnya aku luahkan juga keresahan di hati.
“Tapi, Tiya dah letak satu rasa kurang senang dalam hati Tiya, kan? Dah letak satu rasa was-was juga kat situ,”
Aku diam. Betul kata Encik Firdaus.
“Sekarang cerita pada abang. Kenapa Tiya cakap macam tu? Tiya cakap pasal mak Mia ke?,”
Perlahan aku mengangguk. Membuat Encik Firdaus kelihatan sedikit hairan.
“Apa yang buat Tiya sampai berfikir macam tu?,”
“Abang tak tengok macam –mana dia layan Tiya malam tu? Dia sengaja puji-puji Mia. Sengaja sindir Tiya dengan abang,”
Encik Firdaus tersenyum nipis. Mengusap perlahan jemariku.
“Belum habis lagi rupanya cemburu isteri abang ni pada Mia ya?,”
Aku merenung wajah Encik Firdaus. Tajam. Ini bukan lagi soal cemburu. Ini melibatkan perasaan aku apabila ibu Mia melayan aku dengan begitu sinis. Seperti yang aku jangka, bercerita dengan Encik Firdaus tidak akan mendatangkan apa-apa makna. Barangkali aku tidak boleh menyalahkan Encik Firdaus sepenuhnya. Hubungannya dengan keluarga Mia terlalu rapat. Mustahil akan timbul prasangka di hatinya.
“Abang tak faham. Tiya tahu mak Mia memang tak sukakan Tiya,”aku berusaha mempertahankan pendapatku. Aku benar-benar yakin dengan perasaan aku kali ini.
“Hari tu kan, dia cuma gurau. Tiya jangan fikir yang bukan-bukan. Jangan buat kesimpulan terburu-buru. Ingat tak apa jadi pada kita dulu, bila Tiya ikut perasaan… buat kesimpulan terburu-buru? Abang hampir-hampir kehilangan Tiya, tau. So, jangan ulang kesilapan yang sama. Apa yang penting, Tiya mesti yakin pada suami Tiya sendiri. Faham?,”
Aku diam. Tiada guna terus bersuara rasanya.
“Atau… Tiya masih belum yakin pada abang? Belum yakin pada cinta abang?,”
Aku mengeluh lemah. Sudahnya aku hanya mampu bersandar pada dadanya yang bidang. Aku tidak pernah ragu pada kasih-sayangnya. Aku yakin aku benar-benar percaya akan ketulusan cinta Encik Firdaus. Tetapi, kata-kata Puan Sri Ainul tetap menganggu perasaanku. Perlahan aku memeluk tubuhnya.
“Tiya yakin pada abang. Cuma, Tiya selalu tak yakin pada diri sendiri. Tiya jadi takut. Takut kalau-kalau kelemahan yang ada pada Tiya akan buat abang jauh dari Tiya nanti. Akan buat abang pergi dari Tiya…,”aku bersuara separuh berbisik. Memang itulah satu-satunya masalah yang aku hadapi. Berasa cukup kerdil di sisi insan yang sewajarnya menjadi pendamping Encik Firdaus. Aku dengan Mia, bagai langit dengan bumi. Dan, bukan mudah untuk aku rasa selesa dengan kedudukan itu.
Di balik degup jantung Encik Firdaus yang cukup hampir di telingaku, aku mendengar Encik Firdaus mengeluh perlahan. Mengeratkan pelukannya sambil aku berasakan ada kucupan di kepalaku.
“Abang kenal Tiya dengan kelemahan Tiya. Abang sayangkan Tiya dengan kelemahan Tiya. Abang terima Tiya juga dengan kelemahan Tiya. Mana mungkin abang akan jauh dari Tiya? Kelemahan itu nanti akan buat kita semakin rapat. Ingat tu,”
Aku mendongak. Memandang renungan Encik Firdaus yang cukup redup.
“Betul?,”soalku perlahan. Encik Firdaus tersenyum. Kemudian mengangguk perlahan.
“Kalau sampai bila-bila pun, Tiya tak dapat jadi sehebat Mia… abang tetap tak akan tinggalkan Tiya?,”
“Abang mahu Tiya. Bukan Mia atau sesiapa saja,”
“Kalau setiap kali birthday abang, Tiya tak dapat buatkan kek coklat macam Mia, abang tak kisah?,”
Encik Firdaus tertawa.
“Mana tahu ni, setiap kali birthday abang, Mia buatkan abang chocolate cake?,”
“Hari tu, Mia tercakap. Masa birthday Abang Kamal,”
Lebar senyum Encik Firdaus.
“Ya. Memang betul Mia selalu buatkan birthday cake untuk abang. Tapi, itu bukan satu kemestian kan? Abang tak kisah, sayang. Yang penting, Tiya ada untuk sambut hari-hari istimewa kita,”
Aku diam. Terus bermain dengan perasaan sendiri.
“Tiya… merendah diri tu normal. Tapi, jangan rendahkan diri sendiri. Tak elok. Jangan selalu pandang kelebihan orang lain, untuk menggugat keyakinan diri sendiri. Jangan. Nanti macam-macam syak wasangka boleh timbul,”
Aku mengangguk perlahan.
“Tiya pegang cakap abang. Tiya yakin pada cinta abang…Tiya tak akan fikir yang bukan-bukan selagi Tiya yakin pada cinta abang,”ujarku sambil memandang sepasang mata Encik Firdaus yang terus merenungku.
“Tiya mesti selalu yakin…,”bisik Encik Firdaus lembut. Aku tersenyum di dalam gundah.


*****

Biarkan YM Terus Bicara 12

Jemari teman baik mertuaku, aku cium lembut. Sedaya upaya mengukir senyum yang aku rasakan paling manis untuk tetamu istimewa ini. Namun, wajahnya sedikit membeku. Pandangan aku alihkan pula ke arah Mia yang anggun bergaun paras lutut berwarna ungu gelap. Senyum mekar di bibirnya sambil menarik aku ke pelukannya. Mesra seperti selalu.
            “Apa khabar, Diya?,”
            Aku senyum. Perlahan aku mengangguk. Berbeza sungguh perwatakan ibu dan anak ini. Senyum aku ukir buat bapa Mia sambil bergerak ke belakang. Berdiri di sisi Encik Firdaus.
            “Takkan biarkan tetamu tercegat di luar? Tak nak jemput masuk ke? Atau, kedatangan kami ni kurang menyenangkan ke?,”
            Aku terkedu seketika. Lain macam nadanya. Mia tergelak lepas sambil memaut bahu ibunya. Encik Firdaus turut tergelak. Aku termangu-mangu. Kelakarkah kata-kata yang meniti di bibir wanita berwajah keras ini? Aku langsung tidak merasai aura lucunya.
            “Masuklah Tan Sri… Puan Sri…,”aku bersuara sopan. Memberi laluan kepada tiga insan itu melangkah masuk. Senyum manis terukir di bibir Mia dan bapanya namun tidak pada ibunya. Sebaik langkah mereka mendahuluiku, aku kerutkan kening. Pertama kali bersua dengan Puan Sri Ainul secara peribadi, aku rasakan perangainya sungguh pelik. Hatiku pula tiba-tiba berasa kurang senang. Berat hati untuk menyertai acara makan malam ini. Riuh suara ibu mertuaku menyapa tamunya, menjamah telingaku. Suara Puan Ainul pun sudah berubah nada. Dia tak sukakan aku! Tiba-tiba hatiku bulat membuat keputusan.
            “Tiya… kenapa ni?,”
            Aku menoleh. Encik Firdaus masih di sisiku rupa-rupanya. Aku tersenyum kecil sambil menggeleng. Kepala masih mencari sebab kenapa begitu reaksi Puan Sri Ainul padaku.
            “Dah… jom. Kita join diaorang,”
            “Kalau Tiya tak join sekali, boleh tak bang?,”aku bersuara perlahan di telinga Encik Firdaus. Membuat Encik Firdaus merenungku sedikit lama.
            “Why?,”
            “Seganlah…,”
            Encik Firdaus tersenyum lebar. Jemariku dipaut mesra.
            “Ini kan rumah kita. Mereka tetamu kita. Apa yang nak disegankan?,”ujarnya sambil menyentuh lembut hidungku. Aku tersenyum kelat sambil mengangguk perlahan. Melangkah lemah mengikut langkah Encik Firdaus.
            “Romantik betul ya pengantin dah tak berapa nak baru ni. Nak makan pun berpegang tangan  ya…,”bersama senyum lebar Puan Sri menegur.
            Spontan aku menarik tanganku dari genggaman Encik Firdaus. Manusia di hadapanku cuma ketawa senyum, sedang hatiku sudah tersentap hebat. Ini bukan gurauan. Ini sindiran. Dan, aku yakin sindiran itu untukku. Apa kena dengan orang tua ni? Hatiku sudah mula membuat andaian jahat.
            Encik Firdaus menarik kerusi, memberi isyarat agar aku duduk. Aku serba –salah. Sungguh serba salah untuk bergerak di hadapan wanita ini. Sindirannya di muka pintu tadi cukup untuk membuat aku lemas. Aku tidak suka ibu Mia! Demi tidak mahu melengah-lengahkan acara makan malam, aku segera melabuhkan punggung.
            “Hmmm…. Macam puteri raja…. Bertuah ya jadi isteri Fir ni,”
            Sekali lagi! Aku mengangkat muka. Menentang wajah Puan Sri Ainul. Ada senyum terhias di bibirnya. Namun, senyum itu membuat hatiku bagai dipanggang bara. Aku mengukir senyum terpaksa.
            “Sama-sama bertuah aunty. Saya bertuah jadi suami Tiya,”Encik Firdaus menyampuk ceria. Jawapan yang membuat ruang makan itu sedikit hingar dengan tawa bapa mertuaku juga Tan Sri Halim. Encik Firdaus tersenyum memandangku. Sempat kenyitkan matanya padaku sebelum mengambil tempat di sisiku.
            “Mestilah bertuah. Bukan senang nak dapat, kan?,”Mia pula mengusik. Tersenyum pada Encik Firdaus sambil mengangkat kening.
            “Kamu juga yang tolak tuah, Mia,”selamba Puan Sri Ainul bersuara sambil tersenyum lagi.
            Ibu mertuaku tergelak kecil. Mia menjeling ibunya. Aku sudah panas punggung. Samar-samar rasanya aku tahu kini punca Puan Sri buat perangai denganku. Aku terus tersenyum pada manusia-manusia yang memenuhi ruang makan. Sejukkan hati sendiri. Takkan aku mahu buat perangai di rumah mertua pula. Lebih-lebih lagi dengan kawan baik mertua. Aku kan anak yang baik. Aku ingat akan pesan ibuku. Hati memujuk lembut. Bersedia untuk menikmati hidangan makan malam apabila bapa mertuaku dan Tan Sri Halim sudah mula menjamah nasi di pinggan. Aku sendukkan nasi untuk Encik Firdaus. Kemudian meletakkan seketul ayam masak merah ke pinggan suamiku itu.
            “Thanks, sayang,”
            Aku senyum kecil sambil sendukkan nasi ke pinggan sendiri. Sebaik Encik Firdaus meletakkan sayur campur ke pingganku, aku sedar ada kerlingan kurang senang daripada Puan Sri Ainul yang kebetulan duduk di sisiku. Mahu membantah, risau Puan Sri mulut lepas ini mengomel lagi. Sudahnya aku mengerling Encik Firdaus dengan rasa tidak puas hati. Aku tak suka sayur! Takkan suamiku ini tidak faham. Senyum lebar Encik Firdaus bagai menyuruh aku habiskan sayur di pinggan.
            “Semua ni, Adiya yang masak ke?,”
            Sungguh! Nasib baik nasi belum aku suap ke mulut. Kalau tidak, pasti aku akan menjadi menantu yang sungguh kurang sopan malam ini. Pantas aku menggeleng. Aku masak semua hidangan istimewa ini? Dalam mimpi pun belum pasti aku dapat hasilkan hidangan sebegini.
            “Bukan saya, Puan Sri,”perlahan aku nafikannya. Dan, saat ini aku berasa teramat malu. Berasa terlalu kerdil.
            “La….. ingatkan Adiya yang masak. Kalau Mia, asal aje ada tetamu nak datang dinner, dialah yang paling sibuk sediakan hidangan. Semua dia nak masak. Kalau ada special occasion, memang orang gaji riba tangan. Bab masak semua dia buat,”laju Puan Sri Ainul bercerita.
            Aku tunduk. Entah kenapa ruangan ini, tiba-tiba menjadi sepi. Tekakku pula tiba-tiba terasa kering. Air mata pun sibuk mahu menitis. Sekali lagi wanita ini cuba mempermainkan emosiku. Mahu sahaja aku mengangkat punggung berlalu.
            “Mama ni, ada pula cakap macam tu,”Mia bersuara.
            “Salah ke apa mama cakap? Maaflah Jun. Tak ada niat pun saya nak menyinggung perasaan sesiapa pun. Adiya terasa ke?,”
            Seketika menunduk, perlahan aku mengangkat muka. Memandang wajah Puan Sri Ainul yang cuba mempamerkan riak serba-salah. Plastik! Hatiku menjerit kuat.
            “Taklah, Puan Sri,”bersama senyum aku yang juga plastik, aku bersuara lembut. Puan Sri Ainul, sah hari ini kau musuh aku!
            “Saya tak macam Mia. Saya kurang mahir memasak,”aku cuba berterus-terang.
            “Hah? Tak pandai masak ke? Rugilah perempuan tak pandai masak. Lagi rugi kalau suami dapat isteri tak pandai masak. Kena belajar tu…,”ramah wanita itu bersuara sambil menepuk lenganku. Aku tersenyum. Perlahan mengangguk bersetuju dengan cadangannya.
            “Kalau nak belajar, Mia boleh ajar. Fir suka masakan Mia. Kan Fir?,”sambungnya sambil sedikit menjengah mencari wajah Encik Firdaus.
            Aku genggam sudu dan garfu di tangan. Bunga kubis dan kacang buncis yang tidak pernah aku suka, aku suap ke mulut. Terus mengunyah sayur dengan perasaan terbuku. Kalaulah di sebelahku ini cuma seekor lipas, sudah hancur aku ketuk dengan sudu, aku cucuk dengan garfu.
            “Saya tak memilih kalau bab makan ni, aunty,’Encik Firdaus memberi jawapan selamat. Aku pula, menghantar suapan kedua ke mulut. Kali pertama aku makan sayur tanpa di paksa oleh sesiapa.
            “Ain… kalau ya pun nak bersembang dengan menantu baru Rashid ni, tunggulah habis makan dulu. Kesian diaorang nak makan tu,”Tan Sri mula bersuara. Menegur keramahan isterinya.  Puan Sri Ainul tergelak lepas.
            “Lupa pula. Maaf ya, Adiya,”
            Aku berpaling dan sekali lagi memberi senyuman palsu. Bahasa tubuh antara aku dan dia, aku rasa sudah berjaya isytiharkan perang antara kami. Barangkali tidak ada yang sedar akan perang dingin ini, dek wajah manis yang dipamerkan oleh ibu Mia ini. Juga senyum ikhlas yang terus terukir di bibirku. Namun, ada kelegaan di hati apabila teguran suaminya mampu mengunci mulut wanita ini. Kalau terus diam sehingga dia pulang, lagi aku lega.
            “Makanlah Adiya. Mesti sedap tu Tini masak ni…,”
            Aku keraskan wajah. Jangan sampai aku mencemik di sini. Akalku giat memujuk.  Padahal di dalam hati, sudah tersusun seranah yang mahu aku hamburkan. Keluar lagi suaranya. Dia berpaling ke arahku. Memaksa aku berpaling sama. Tersenyum sekali lagi.
            “Sila, Puan Sri,”aku cuba bersopan. Kemudian tersenyum pula pada Mia yang memandangku. Mengangguk perlahan sambil menyambung suapan nasi ke mulut. Terus dia tidak bersuara. Dan seterusnya, perbualan basa-basi yang tercetus cuma aku balas dengan senyum sahaja. Hati mula tertanya-tanya apa tujuan Puan Sri seorang ini, asyik menonjolkan kelebihan anak tunggalnya? Perlahan aku berpaling mencari wajah Encik Firdaus. Adakah suamiku ini yang menjadi puncanya? Mungkinkah ibu Mia masih mempunyai hasrat untuk menjodohkan Mia dengan Encik Firdaus. Pandangan kubawa pula ke wajah Mia yang sopan menyuap nasi ke mulut. Hati menjadi resah tiba-tiba.
           

*****
[11:35:50 PM] hos.getah: