Wednesday, February 25, 2009

Pergilah Air Mata 42

“Jangan mengada-ngada nak angkat pasu tu,”
Gerakan tangan Sabrina terhenti. Mendongak memandang wajah Datin Hamidah yang leka memotong pokok bunga kertas di hadapannya. Peluh yang mulai membasahi dahinya, disapu perlahan.
“Nanti jatuh lagi…,”sambung Datin Hamidah sambil terus dengan kerjanya. Langsung tidak memandang wajah Sabrina. Sabrina tersenyum kecil.
“Yalah,”akhirnya dia menjawab sepatah. Barangkali Datin Hamidah risau bunganya hancur lagi.
“Hai, aunty. Senang hati Nampak,”
Datin Hamidah menoleh. Sabrina pula, sekali lagi mengangkat mukanya. Bertemu dengan senyum lebar Darius.
“Darius. Buat apa kat sini?,”
“Nak jumpa Bad. Dah penat menunggu. Tak timbul-timbul,”
“Hari minggu. Biasalah. Berkurunglah tu. Ada janji dengan dia ke?,”
“Ha ah. Biasalah aunty. Kalau bukan hari minggu, bila lagi nak bersama-sama dengan isteri? Betul tak?,”balas Darius sambil bibirnya membalas senyum yang dihulur Sabrina.
“Bersama-sama isteri apa? Pagi-pagi lagi isteri kesayangannya tu dah keluar. Sejak akhir-akhir ni, macam tulah dia. Kalau tak ada Dayana, suka sangat berkurung dalam bilik,”
Darius tergelak.
“Dia lari dari seseorang kot?,”tekanya sambil matanya meratah wajah Sabrina yang sudah menunduk menyambung kerjanya. Sengaja mahu mengesan perubahan wajah gadis itu sebenarnya. Namun, wajah itu Nampak cukup bersahaja. Dia gagal menebak apa yang bersarang di hati Sabrina.
“Hai Sabrina. Lama tak jumpa…,”akhirnya dia menyapa.
Sabrina mengangkat muka sambil tersenyum kecil. Sapaan itu sekadar dijawab dengan senyuman.
“Kamu kenal Sabrina ke?,”Datin Hamidah bertanya hairan. Memandang wajah Sabrina dan Darius bergilir-gilir.
“Bad pernah kenalkan kami dulu,”
Datin Hamidah Cuma mengangguk. Sarung tangannya ditanggalkan perlahan lalu diletakkan ke dalam kotak perkakasan berkebunnya.
“Aunty nak masuk sekejap. Kamu tak nak masuk ke? Atau, nak tunggu di sini?,”
“Saya tunggu di sini,”
“ Hmm… yalah. Sabrina, ingat. Jangan angkat pasu-pasu tu. Biar Rahman yang buat nanti,”
Sabrina tersenyum sambil mengangguk. Datin Hamidah berlalu.
“Bukan main sayang lagi kat menantu dia ya? Tak bagi angkat benda berat-berat,”
Sabrina tergelak.
“Dia sayang kat pasu dan bunga dia sebenarnya,”balas Sabrina bersama sisa gelak. Darius tersenyum. Wajah putih Sabrina yang sedikit kemerahan terkena bahang matahari menarik matanya untuk terus menikmati wajah itu. Keindahan anugerah Tuhan tidak sepatutnya disia-siakan. Dia tersenyum kecil. Tidak hairan mengapa Badrul sibuk hendak jauhkan diri dari gadis itu. Juga tidak hairan apabila Badrul lebih rela mengurung diri di bilik daripada terus berdepan dengan Sabrina. Lucu.
“Awak apa khabar sekarang?,”soalnya sambil memeluk tubuh. Memandang jemari Sabrina yang lincah mencabut rumput-rumput kecil di dalam pasu.
“Sihat,”
“Hati?,”
Sabrina mengangkat muka. Darius tersengih.
“Hampir sihat,”jawab Sabrina selamba.
“Baguslah. Harap-harap cepat sihat sepenuhnya ya?,”
Sabrina tersenyum kecil. Faham kiasan Darius. Dia memandang Darius sambil mengangkat punggung dari kerusi kecil yang didudukinya. Darius ditinggalkan. Dia bergerak ke pili. Membasuh tangannya yang sedikit kotor. Berpaling dari pili, dia sedar, pandangan Darius masih ke wajahnya.
“Ada cerita baru awak nak kongsi dengan saya?,”Darius bertanya lagi. Membuat Sabrina sedikit hairan. Kalau pun ada, tidak mungkin dia akan bercerita pada Darius. Berkongsi beban perasaan dengan lelaki bukan satu jalan yang baik untuk seorang perempuan yang sudah bergelar isteri orang. Itu yang sering dia dengar. Dan dia pegang pada kata-kata itu.
“Kenapa ya? Seorang di halaman. Seorang di bilik?,”
“Mana saya tahu. Itu Encik Darius kena Tanya Badrul,”
Darius tersenyum.
“Nanti saya Tanya. Tapi, sebelum tu, ada soalan lain untuk Sabrina,”
“Soalan? Untuk saya?,”
Darius mengangguk.
“Soalan apa?,”Sabrina bertanya hairan. Bergerak perlahan dari rimbunan bunga-bunga di sudut pagar. Ingin mencari tempat yang lebih redup. Pipinya sudah terasa hangat benar terkena panahan matahari. Darius mengekorinya dari belakang.
“Soalan apa, Encik Darius?,”sekali lagi Sabrina bertanya sambil memberi isyarat kepada Darius agar duduk di kerusi besi. Darius akur. Melabuhkan punggung ke kerusi serentak dengan Sabrina.
“Awak kenal Amira?,”
“Amira?,”
Darius mengangguk. Sabrina termenung seketika. Wajah Amira menjelma. Tetapi dia yakin, tidak mungkin Darius bercakap tentang Amira yang sama.
“Maria?,”
Mendengar nama Maria, membuat dia sedikit terkejut. Hatinya mula yakin. Pasti Darius sedang bercakap tentang Amira yang dia kenal.
“Macam mana Encik Darius kenal mereka?,”
“Amira. Kebetulan. Maria… of course dari suami awak,”
“Badrul kenal Maria?,”
Darius tersenyum. Ternyata Sabrina tidak tahu apa-apa.
“Dia jumpa Maria. Awak tahu?,”
Sabrina tersentak. Terkejut. Badrul berjumpa dengan Maria? Untuk apa lelaki itu berjumpa dengan Maria? Bulat matanya memandang wajah Darius.
“Badrul kenal Maria ke? Meraka kawan ke? Kenapa saya tak pernah tahu? Kenapa Badrul tak pernah cakap apa-apa pun kat saya? Kenapa…,”
“Wait…wait…satu –satu ya. Jangan Tanya sekaligus. Saya pun dah tahu nak jawab yang mana satu,”
Sabrina diam. Cuma kepalanya ligat berfikir. Tidak mungkin Badrul dan Maria saling mengenali.
“Badrul cakap dia pernah tengok gambar Maria dari awak,”
Sabrina terus diam. Fikirannya yang sedikit bercelaru, memaksa dia mengunci mulut seketika.
“Dia tak kenal Maria. Cuma pernah tengok gambar Maria dan pernah terserempak dengan Maria,”
“Macam mana dia boleh jumpa Maria?,”Sabrina menyusun soalan semula.
“Dari Amira. Kami pernah terserempak. Kebetulan saya kenal Amira. Dan Amira keluar lunch dengan Maria masa tu,”
“Kenapa dia nak jumpa Maria?,”laju Sabrina bertanya. Saat ini dia sudah tidak peduli bagaimana mereka boleh saling mengenali. Yang penting sekarang, dia perlu tahu kenapa Badrul mencari Maria. Apa yang Badrul ceritakan pada Maria?
“Dia mahu tahu sesuatu tentang awak, Sabrina,”
“Sesuatu tentang saya? Tapi, kenapa Maria?,”
“Sebab dia rasa, Maria tu, kawan awak. So, may be dia boleh dapat sesuatu dari Maria,”
Sabrina diam. Sungguh dia tidak menduga sejauh itu tindakan Badrul.
“Apa yang dia cerita pada Maria?,”
Darius menggeleng.
Sabrina mengeluh perlahan. Janganlah Badrul ceritakan tentang sapaan Ikmal di Yahoo! Mesenger nya. Dia tidak mahu Maria terluka mendengar cerita itu. Dia tidak mahu Maria mengesyaki Ikmal cuba menipunya.
“Awak nak tahu apa yang dia ceritakan pada Maria? Saya boleh minta Amira…,”
“Jangan. Jangan…saya tak mahu tahu apa-apa,”laju Sabrina menyampuk. Membuat Darius mengeluh lemah.
“Kenapa?,”
“Saya tak mahu ganggu dia lagi,”
“Kenapa?,”
Sabrina diam. Sebenarnya dia tidak mahu Maria tahu apa yang sedang dia alami. Dia tidak mahu Maria dan Ikmal tahu perjalanan hidupnya yang semakin hari semakin suram ini. Dia tidak mahu sampai Ikmal dan Maria tahu dia tidak bahagia. Tidak mahu Ikmal datang mencarinya dan meninggalkan Maria yang sudah banyak berkorban. Biarlah Ikmal dan Maria mengecap bahagia.
“Tapi, kenapa?,”sekali lagi Darius bertanya.
“Saya tak mahu dia tahu keadaan saya. Tolong ya. Jangan Tanya apa-apa pada Maria atau pada Amira. Jangan beritahu apa-apa pada mereka,”
Darius mengeluh perlahan. Memang itulah tujuannya. Dan, dia ke sini, memang mahu berjumpa dengan Sabrina. Ingin mendapat persetujuan daripada Sabrina untuk mengetahui apa yang Badrul dan Maria bualkan. Dia tidak berpuas hati dengan Badrul. Prasangka Badrul terasa sudah melebih-lebih pula. Sangkanya pasti Sabrina berminat untuk mengetahui apa yang menjadi topic perbualan antara Badrul dan Maria itu. Ternyata dia silap. Sabrina tidak berminat.
“Saya Cuma nak membantu,”
“Saya hargai. Tapi, please. Jangan ya. Saya betul-betul tak nak Maria dan yang lain tahu keadaan sebenar saya,”
“Hmmm… Kalau awak dah tak setuju, saya tak boleh buat apa-apa. Sangka saya, awak mahu tahu apa yang Badrul cakap dengan Maria,”
Sabrina Cuma memandang kosong wajah Darius yang sedikit kecewa.
“Peliklah awak ni, Sabrina,”akhirnya Darius merungut perlahan. Membangkitkan rasa hairan di hati Sabrina. Dia tergelak kecil.
“Pelik?,”
Darius mengangguk sambil tersenyum. Menongkat dagu bersama renungan yang tidak putus ke wajah Sabrina. Sabrina mengukir senyum. Senyum yang tidak begitu manis. Tidak senang dengan renungan Darius sebenarnya. Darius tergelak.
“Saya tahu apa ada dalam hati awak…,”
Sekali lagi rasa hairan menghambat jiwa. Darius menyambung gelaknya.
“Awak tak suka dengan renungan saya. Itu bezanya awak. Kalau perempuan lain, dia akan tersenyum malu. Tapi, awak, senyum sumbang. Nampak sangat awak tak suka,”
Sabrina diam. Darius menduganya. Untuk apa?
“Apa maksud awak? Awak ingat saya ni, perempuan macam mana?,”
Darius mengeluh panjang. Bersandar ke kerusi. Sedikit senang apabila Sabrina tidak lagi berencik dengannya.
“Saya tahu awak perempuan macam mana. Malah saya yakin awak perempuan macam mana. Yang saya tak faham, kenapa Badrul terus buta? Awak mesti lakukan sesuatu Sabrina. Jangan biarkan suami awak tu berterusan blur macam tu,”
“Blur? Siapa? Badrul?,”
“Dah tu, siapa lagi suami awak, kalau bukan Badrul?,”
Sabrina tersenyum.
“Awak mesti lakukan sesuatu untuk buktikan siapa awak sebenarnya. Saya yakin awak tak salah. Tapi, awak kena buktikan awak tak salah. Buktikan pada Badrul,”
Sabrina diam.
“Dan…yang peliknya tentang awak ni. Awak langsung tak nak tahu ke, apa yang suami awak bualkan dengan kawan baik awak, tentang diri awak?,”
Sabrina menggeleng.
“Malu saya. Rasanya saya yang lebih-lebih nak tahu,”
Sabrina tergelak. Lucu mendengar penjelasan yang terlalu jujur dari Darius.
“Kenapa?,”soalnya sepatah.
“Kenapa? Kenapa apa?,”
“Kenapa awak beria-ia nak tahu tu semua?,”
Darius tersenyum kecil mendengar soalan Sabrina. Perlahan dia menjungkit bahu sambil bersandar ke kerusi.
“Nak tahu?,”soalnya sedikit berteka-teki. Sabrina mengangguk.
“Pertama, sejak saya jumpa awak, ada sesuatu tentang awak yang menarik perhatian saya. Sesuatu yang terlindung. Saya tak tahu apa. Tapi, saya nak tahu, apa yang saya tak tahu tu. Kedua, saya tahu Bad salah menilai awak. Saya mahu bantu awak ubah pandangan Bad. Saya tak mahu dia kehilangan permata dalam genggaman. Itu sajalah sebabnya buat masa ni,”
Sabrina tersenyum panjang. Jawapan berbelit yang penuh pujian itu, sedikit menggeletek hatinya. Wajah ceria Darius dipandang lagi.
“Awak ke sini, sebenarnya…nak jumpa Badrul atau nak jumpa saya?,”
Darius tersengih.
“Nak tahu?,”Darius mengulangi soalan teka-tekinya.
Sabrina Cuma tersenyum.
“Okay. Nak jumpa Badrul, cuma alasan. Sebab sebenar, saya nak jumpa awak. Nak cakap pasal ni. Tapi, saya terkejut. Terkejut bila awak menolak cadangan saya untuk risik apa yang Badrul dan Maria cakap tentang awak..tentang dia…,”
“Apa yang Badrul nak tahu. Nak Tanya. Nak siasat. Itu bukan urusan saya. Saya tak perlu tahu,”
Darius mengeluh lagi.
“Okay. Yang tu, awak tak nak ambil tahu. Tapi, pandangan Badrul macam mana? Awak tak rasa nak ubah? Takkan awak nak Badrul anggap awak macam ni, selama-lamanya?,”
“Yang tu pun, saya dah cuba. Kalau dia berkeras tak nak percaya, tak mungkin saya boleh buat dia percaya. Sekarang, biarlah saya serahkan semuanya pada Tuhan. Kalau betul saya tak salah, pasti akan terbukti juga nanti. InsyaALLAH,”
Darius mengangguk perlahan. Betul juga. Bukan senang untuk meyakinkan lelaki sedegil Badrul.
“Awak nak jumpa Badrul. Dia dah tahu ke awak dah sampai ni?,”
“Entah,”
Sabrina kerutkan kening. Darius tersengih. Memang dia tidak pasti. Sampai sahaja tadi, dia terus berjumpa Sabrina.
“Saya panggil dia ya?,”
“Tak payah,”
Sabrina menoleh. Jawapan dingin itu, dia tahu dari mulut Badrul. Badrul tercegat di belakangnya dengan wajah yang langsung tidak manis.
“Dah siap ke?,”
“Kau tengok?,”soal Badrul dingin.
Darius tersenyum mendengar jawapan itu. Memandang Badrul sudah siap berpakaian sukan.
“Jomlah. Sabrina, jomlah temankan Badrul main tennis,”
Sabrina menggeleng sambil tersenyum.
“Betul kau tak nak ikut?,”Badrul turut bertanya. Memandang wajah Sabrina yang kelihatan sedikit terkejut dengan soalannya barangkali. Dia sendiri terkejut dengan soalan sendiri. Bagaimana soalan itu boleh terpacul dari bibirnya?
“Tak naklah. Awak pergi berdua dahlah,”
“Kalau kau nak ikut, aku boleh tunggu kau bersiap,”sekali lagi kata-kata yang terluah bukan dari akalnya yang waras.
“No. thanks,”
Mendengar Sabrina sekali lagi menolak, Badrul Cuma menjungkit bahu. Darius tersenyum kecil.
“Kalau macam tu, kita pergi sekarang, Bad?,”Darius bersuara sambil mengangkat punggung.
Badrul mengangguk. Beberapa langkah meninggalkan Sabrina, sekali lagi dia menoleh ke arah Sabrina yang masih di kerusi. Percaya atau tidak, dia mahu terus menatap wajah itu. Dia mahu terus berada di depan mata Sabrina. Dia mengeluh keras. Binggung dengan perasaan yang sudah mula merajai akalnya. Atas sebab itu jugakah, mulutnya begitu ringan mengajak Sabrina
Menyertainya. Semenjak pertemuan di bukit untuk ke sekian kalinya, tiba-tiba dia berasa begitu hampir dengan Sabrina.

***

Sunday, February 22, 2009

Kuseru Rindu Itu... 19

“Borhan serius ingin kembali pada kau, Ayu,”
“Aku juga tak pernah main-main untuk buang nama tu dari hidup aku,”
Dia mendengar Hasmieza mengeluh perlahan.
“Kau tak tahu apa yang telah terjadi pada Borhan. Apa yang dia alami selama tujuh tahun dia terputus hubungan dengan kita,”
“Memang aku tak tahu. Aku pun sebenarnya tak nak ambil tahu. Please Mieza. Aku betul-betul tak nak ambil tahu pasal Borhan,”
“Dalam dendam kau pada Borhan,”
“Bukan dendam. Cuma, bagi aku semuanya dah jadi sejarah. Aku tak perlu nak ingat semua tu,”
“Kau akan buat benda yang sama ke pada Hisyam nanti?,”
Dia terkedu mendengar soalan itu.
“Maksud kau?,”
“Yalah. Dengan kecurangan Hisyam. Kau akan benci Hisyam seperti kau benci Borhan ke?,”
“Mieza. Borhan lain. Hisyam lain. Hisyam tak pernah bohong pada aku. Mungkin dia kecewakan aku dengan kecurangan tu. Tapi, aku tahu dia berhak. Dia berhak rasa apa yang dia cari selama ini. Sudah banyak sangat usaha dia untuk senangkan hati aku. Dia tak pernah bohong tentang perasaannya pada aku. Cuma dia diamkan saja. Aku tahu. Dia diam sebab dia tak nak aku kecewa. Dia tahu aku cintakan dia. Dan dia pula langsung tak ada perasaan itu pada aku. Dengan Hisyam, akulah sebenarnya yang kejam. Aku berusaha nafikan kebahagiaan dia dengan gadis tu, sebab aku mahu terus hidup dengan dia,”
“Kau tak kejam. Kau Cuma lindungi hak kau. Dan, sedikit pengecut untuk berdepan dengan kenyataan,”
“Aku tak nafikan itu kenyataan tu. Memang aku takut. Aku takut aku akan kehilangan Hisyam,”
“Tapi, aku masih tak nampak apa bezanya Hisyam dengan Borhan? Mereka sama-sama curang pada kau,”
“Borhan mengaku cuma aku yang ada di hatinya. Mengaku cintakan aku. Tapi, apa dia buat? Dia hilang dan cari perempuan lain. Dia curang. Tapi dia terus nafikan. Paling aku tak boleh terima, cara dia nak buang aku dari hidup dia. Dia gunakan abah aku. Dia ambil kesempatan atas apa yang berlaku. Aku tak boleh terima bila dia buat aku macam tu,”
Perbualan melalui telefon dengan Hasmieza dua hari lalu, kembali mengocak ketenangan fikirannya. Kadang-kadang hatinya tertanya-tanya mengapa Hasmieza begitu bersungguh-sungguh menyuarakan hasrat Borhan padanya. Sudah lupakah Hasmieza betapa hancur perasaannya tujuh tahun dulu. Betapa hebat Borhan memainkan peranan demi menutup kesalahan sendiri. Kenapa tiba-tiba Hasmieza seperti membela Borhan? Persoalan demi persoalan tentang Borhan, menjelmakan kembali bayang lelaki di ruang ingatannya.
“Ayu tak boleh terima semua ni. Ayu tak nak kahwin dengan dia. Ayu tak mahu kehilangan Han. Ayu cintakan Han. Ayu nak kahwin dengan Han, bukan dengan lelaki tu,”
“Tapi, dia kan tunang Ayu,”
“Ayu tak peduli. Ayu tak nak kahwin dengan dia. Ayu cuma nak kahwin dengan Han. Ayu nak jadi isteri Han. Kita mesti lakukan sesuatu, Han,”
“Apa lagi yang mampu kita buat Ayu? Ini keputusan abah Ayu. Lelaki tu pilihan abah Ayu. Mana mungkin kita boleh ubah semua tu,”
Idayu terkedu. Merenung wajah Borhan dengan pandangan tidak percaya. Tidak mungkin Borhan boleh sepasrah ini. Reaksi Borhan seakan mengiyakan cerita Juita. Dia tidak mahu percayakan cerita-cerita itu. Yang dia tahu, dia cuma mahu bersama Borhan. Tetapi, kini, Borhan menolaknya dalam lembut.
“Han sanggup tengok Ayu kahwin dengan lelaki lain? Han sanggup lepaskan Ayu pada orang lain?,”
Borhan membisu seribu bahasa. Bisu Borhan bagai pisau yang menghiris hati. Terasa saat itu, hatinya tersayat pedih. Tanpa sedar pipinya mula basah dengan air mata. Hampir dua minggu dia tidak bercakap dengan bapanya, tanda protes keputusan yang tidak langsung dapat diterima akalnya itu. Hampir dua minggu jugalah dia mengharapkan Borhan muncul dan sama-sama berjuang demi cinta mereka. Tetapi, ternyata Borhan cuma muncul untuk menyuruh dia pasrah pada takdir. Perlahan dia menyeka air mata. Merenung wajah Borhan yang kelihatan murung.
“Kita jumpa abah? Kita pujuk abah sama-sama…,”dia terus berusaha. Berusaha untuk mengajak Borhan sama-sama berdepan dengan bapanya. Sama-sama memohon restu bapanya. Namun, hanya satu keluhan yang panjang keluar dari bibir Borhan.
“Han… please. Kita pujuk abah sama-sama. Ayu yakin, mungkin abah akan ubah keputusannya kalau kita bersungguh-sungguh…,”
“Ayu, berhenti mengharap pada benda yang mustahil, Ayu. Abah Ayu tak akan setuju. Lagipun, tentu Ayu tak nak tengok abah kena heart attack lagi. Kan?,”
“Kita cakap elok-elok dengan abah. Kita pujuk abah. Mungkin abah boleh faham,”
“Mungkin? Kalau dia tak faham?,”
Soalan Borhan membuat dia terdiam. Cuma merenung tajam wajah lelaki itu. Borhan cuma beralasan. Dia sedar tentang itu. Borhan langsung tidak mahu berusaha untuk mempertahankan hubungan mereka.
“Jadi, Han nak mengalah macam tu saja? Langsung tak nak cuba pertahankan hubungan kita ni? Kalau Han tak nak usaha langsung, kenapa Han balik ke sini? Kenapa Han datang?,”
“Han datang sebab Ayu nak Han datang,”
“Cuma sebab tu? Cuma sebab Ayu nak Han jumpa Ayu? Bukan sebab Han nak sama-sama berusaha supaya kita dapat bersama? Kalau itulah sebabnya, lebih baik Han tak payah datang,”
“Sayang… jangan macam ni. Jangan menangis…,”
“Dua minggu Ayu tak bercakap dengan abah. Kenapa? Sebab Ayu tak suka dengan keputusan abah. Sebab ayu cintakan Han. Sebab Ayu yakin, Han pun cintakan Ayu,”
“Memang Han cintakan Ayu…,”
“Tak. Han tak cintakan Ayu. Kalau Han betul-betul cintakan Ayu, Han sanggup berdepan dengan abah. Sanggup pertahankan hubungan kita ini. Tapi, sekarang… Cuma ini yang Han mampu katakan…,”
“Sebab Han tak suka semua ni. Han tak nak Ayu bermasam muka dengan abah. Han tak mahu Ayu jadi anak derhaka. Dalam situasi begini, ada baiknya kalau Han saja yang mengalah. Ayu ikutlah kehendak abah,”
Idayu menelan liur. Degup jantungnya seakan terhenti. Semudah itu Borhan melafazkan kata-kata. Semudah itu Borhan meminta perpisahan darinya.
“Ayu cintakan Han. Please…. Jangan cakap macam tu. Ayu tak sanggup kehilangan Han,”
“Ayu, mungkin kita tak ada jodoh. Terimalah tunang Ayu tu. Mungkin itu pilihan yang terbaik untuk Ayu,”
“Han..please,”
“Jangan degil sayang. Mungkin kita tak dapat bersama, tapi, percayalah. Cinta Han tak pernah berubah,”
Dalam sedu, Idayu menyeka air mata di pipi. Manisnya kata-kata Borhan. Entah kenapa, kata-kata itu, mampu menyingkirkan rasa sedihnya buat seketika. Kata-kata itu hanya membuat rasa geram beraja di hati. Hebat sungguh sandiwara Borhan. Dia sanggup lupakan kecurangan Borhan, hanya kerana mahu terus bersama dengan lelaki itu. Dia sanggup memaafkan segala perbuatan Borhan asalkan Borhan sanggup sama-sama berdepan dengan bapanya. Sama-sama memujuk dan meminta restu dari bapanya. Namun, ternyata agenda Borhan lebih halus. Dengan hanya menggunakan alasan kehendak bapanya, Borhan berjaya memutuskan hubungan ini tanpa perlu menceritakan kebenarannya.
“Han mahu Ayu terima lelaki yang Ayu tak cinta tu? Han sanggup serahkan Ayu pada dia? Kalau Han selemah ini, tak ada gunanya kita bercinta bertahun-tahun,”
“Ayu.. Ayu kena ingat. Ayu tak boleh abaikan perasaan abah Ayu macam tu saja. Han tak nak Ayu jadi anak yang ingkar,”
Idayu tergelak sinis. Sabarnya sudah sampai ke penghujung. Mungkin dia tidak perlu lagi merayu untuk cinta Borhan.
“Han memang pengecut,”
“Ayu tak boleh cakap macam tu. Apa yang Han lakukan ni, untuk kebaikan Ayu…,”
“Tak. Han bohong. Ini semua bukan untuk kebaikan Ayu. Ini semua untuk kepentingan diri Han sendiri. Han ambil kesempatan untuk melepaskan diri kan? Dengan alasan tu, Han boleh berpisah dengan Ayu tanpa perlu beritahu Ayu yang Han dah curang pada Ayu. Han dah ada pengganti Ayu. Han dah ada perempuan lain!,”
“Apa Ayu cakap ni?,”
“Ayu dah tahu segalanya. Juita dah cerita semuanya pada Ayu. Han ada perempuan lain, kan?,”
“Ayu…,”
“Kenapa? Kenapa mesti bohong? Kenapa mesti tipu Ayu macam ni? Kenapa Han tak berterus saja? Kenapa mesti beri semua alasan tu? Cakap sajalah, Han sudah ada pengganti Ayu. Han dah tak perlukan Ayu. Kenapa perlu bohong pada Ayu? Han tahu Ayu tak suka orang bohong pada Ayu! Tapi, Han buat juga!,”bertubi-tubi soalan Idayu bersama esakan yang tersekat-sekat.
“Ayu, Han tak bermaksud nak tipu Ayu. Jauh sekali nak lukakan hati Ayu. Tapi, Han tak sampai hati nak tambah cerita sedih pada Ayu…,”
“Han bohong. Han Cuma nak pergi tanpa rasa bersalah pada Ayu. Han cuba jadi lelaki mulia yang sanggup berkorban. Ayu tak boleh terima sikap Han macam tu. Han tahu tak? Ayu tahu segalanya. Ayu sanggup lupakan semua tu. Ayu maafkan perbuatan Han sebab Ayu cintakan Han. Ayu Cuma nak kita sama-sama jumpa abah. Sebab.. seban Ayu tak sanggup kehilangan Han. Tapi, tengoklah apa yang Ayu dapat? Han hancurkan segala-galanya. Berkali-kali Han tipu Ayu. Berkali-kali Han lukakan hati Ayu,”
‘Ayu. Jangan cakap macam tu. Jangan menangis lagi sayang. Han tak sanggup tengok Ayu menangis. I’m sorry okay. So sorry. Han tak sengaja…,”
Perlahan Idayu menyeka air mata. Merenung wajah serba salah Borhan.
“Han nak Ayu terima lelaki tu kan? Okay. Ayu akan kahwin dengan dia. Dan, untuk Han…terima kasih banyak-banyak sebabkan lukakan hati Ayu sampai macam ni sekali,”
“Ayu, please jangan cakap macam tu. Han tak bermaksud macam tu. Han boleh jelaskan pada Ayu,”
“Cukup Han. Jangan diajar lidah tu, untuk terus berbohong. Cukuplah setakat ini. Ayu dah tak larat nak dengar bohong Han lagi,”
“Ayu, dengar dulu penjelasan Han,”Borhan mencapai jemarinya, dan dengan kuat dia menarik tangannya. Berlalu meninggalkan Borhan. Berkali-kali dia nekad tidak mahu menangis namun, air mata bagai hujan yang terus membasahi pipinya. Bertahun dia menyulam cinta dengan lelaki itu. Tetapi, saat itu, segalanya bagai direntap kuat darinya. Dia benar-benar terluka.
Dia tersentak tatkala pen di tangannya terjatuh ke meja.
“Astaghrafilullahal’Azim…,”gumamnya perlahan. Menyedari terlalu jauh dia melayan kenangan. Perlahan dia menggeleng sambil mencapai semula pen yang terjatuh. Ketukan perlahan dari pintu biliknya, membuat dia menoleh. Hisyam bersandar di pintu sambil memeluk tubuh. Dia mengukir senyum. Senyumnya berbalas dan Hisyam melangkah perlahan sambil menutup pintu bilik.
“Jauh termenung. Apa yang Ayu fikirkan?,”
Idayu tergelak malu. Rupa-rupanya Hisyam menyedari menungannya yang panjang.
“Mana ada?,”
Hisyam tersenyum panjang.
“Abang intercom tak dapat. Call handphone tak jawab. Kemudian abang ke sini. Berdiri kat pintu tu, hampir lima belas minit,”ujar Hisyam sambil mengambil tempat di kerusi di hadapan Idayu. Merenung wajah Idayu tanpa berkelip. Menunggu kalau-kalau Idayu ada sebarang penjelasan untuknya. Namun, yang dia dapat cuma senyum manis yang sentiasa menghiasi seulas bibir itu. Mulut Idayu seakan terkunci. Perlahan Hisyam mengangkat punggung. Bergerak menghampiri Idayu. Bertenggek di meja, hampir dengan Idayu.
“Kenapa ni? Ayu tak sihat ke?,”soalnya lembut sambil menyentuh wajah Idayu. Idayu tersenyum sambil memegang jemari Hisyam yang mengusap lembut pipinya.
“Ayu tak apa-apalah,”jawab Idayu pendek sambil matanya memandang wajah Hisyam yang kelihatan sedikit risau. Hisyan tersenyum.
“Kalau tak apa-apa, kenapa panjang benar lamunannya tu? Ayu ada masalah? Cakap dengan abang,”
“Betul. Ayu okay. Cuma mengelamun. Teringat kenangan lama,”Idayu cuba meyakinkan Hisyam bersama senyum yang cukup lebar.
“Oh… ingat kenangan manis ke, kenangan pahit?,”
“Semuanya lah,”
Hisyam berpeluk tubuh sambil mengamati wajah Idayu.
“Semuanya?
“Ha ah. Semuanya,”
“Kenapa tiba-tiba?,”bibir Hisyam mencipta satu lagi soalan. Soalan yang cuma dijawab dengan senyum lebar Idayu seperti sebelumnya juga.
“Apa hal abang cari Ayu?,”soal Idayu mengubah tajuk perbualan. Hisyam mengeluh sambil menggeleng perlahan.
“Cuba tengok jam tu,”
Idayu menurut. Memandang jam di dinding. Hampir pukul tujuh petang.
“Ya ALLAH. Dah dekat pukul tujuh rupanya…,”
“Ya ALLAH. Dah dekat pukul tujuh rupanya…,”Hisyam mengejek sambil mengulang kata-kata Idayu. Membuat idayu tergelak kecil. Lengan Hisyam dipukul perlahan. Hisyam tersenyum senang.
“Sorrylah bang. Ayu tak sedar langsung. Abang dah nak balik ya? Ayu kemas meja kejap,”ujar Idayu sambil tangannya lincah mengemas mejanya yang sedikit berselerak. Tangan Hisyam cepat mencapai jemarinya. Membuat kerja mengemasnya terhenti tiba-tiba.
“Kenapa tiba-tiba saja teringat kisah lama?,”
Idayu tergelak kecil. Rupa-rupanya Hisyam mengharapkan jawapan untuk soalan itu.
“Entahlah. Cuma, bila sesekali teringat kisah lama, rasanya terlalu banyak perkara yang berlaku selama ini. Kan, bang?,”
Hisyam diam. Perlahan dia menarik tangan Idayu. Idayu menurut. Bangkit dari kerusinya dan berdiri di hadapan Hisyam yang masih bertenggek di mejanya. Hisyam menepuk meja. Memberi isyarat agar Idayu melabuhkan punggung di sebelahnya. Idayu akur.
“Terlalu banyak…,”akhirnya dia memberi jawapan yang cukup ringkas sambil membawa jemari Idayu ke bibirnya. Mengucup perlahan jemari itu sebelum membiarkan jemari Idayu terus erat di dalam genggamannya. Idayu tersenyum senang. Sesungguhnya layanan inilah yang membuat hatinya sering berbunga bahagia. Kemesraan Hisyam sedikit pun tidak berubah walaupun usia perkahwinan mereka sudah masuk tahun ketujuh.
“Ayu ingat lagi kata-kata keramat abang pada malam perkahwinan kita,”ujar Idayu sambil menatap wajah Hisyam. Hisyam mengerutkan kening.
“Kata-kata keramat?,”
“Kalau awak keberatan untuk berpisah, terpaksalah kita jadi pelakon di hadapan parents masing-masing. Dan, awak tak boleh salahkan saya. Ini pilihan awak. Awak yang mahu teruskan perkahwinan ini, kan? So, selamat datang ke dunia pura-pura kita. Harap awak gembira dengan pilihan awak ni..,”Idayu bersuara sambil meniru gaya percakapan Hisyam. Membuat Hisyam tergelak. Spontan tangannya menarik perlahan hidung Idayu.
“Oh please… don’t remind me that words..,”
Idayu turut tergelak.
“Waktu tu, abang memang pelakon hebat. Paling hebat pernah Ayu jumpa. Rosyam Nor pun boleh kalah dengan lakonan abang, tahu?,”sambung Idayu setelah tawa mereka sedikit reda.
“Itu semua dah terlalu lama berlalu. Tak sangka Ayu masih ingat kata-kata tu,”
“Mana mungkin Ayu lupa, bang? Mana ada orang yang bincang pasal cerai di malam pertama perkahwinan mereka? Cuma abang saja orangnya..,”
“Please Ayu. Jangan ingatkan lagi. Abang tak mahu ingat semua tu,”
Idayu tersenyum.
“Kenapa Ayu ungkit semua tu?,”Hisyam bersuara lagi sambil mengusap lembut jemari Idayu. Idayu tersenyum sambil menggeleng perlahan .
“Ada apa-apa yang Ayu nak cakap pada abang ke?,”soalnya lagi. Rasa hairan membuat dia resah. Resah dengan topik yang ditimbulkan Idayu saat ini.
Idayu menggeleng lagi.
“Tak ada apa-apa. Ayu Cuma teringatkan kisah lama. Itu saja. Ayu teringat berulang kali abang cakap, tak mungkin abang boleh bahagiakan Ayu. Tapi, kenyataannya, Ayu adalah perempuan yang paling bahagia di dunia ini. Abang cakap, tak mungkin kita boleh bertahan sebagai suami isteri. Tapi, hakikatnya, sudah lebih tujuh tahun, abang tetap suami Ayu. Dan Ayu masih isteri abang. Ayu miliki semuanya bang. Bahagia… Abang… Mak… Ayah… Syafiq… Ayu cukup bahagia bang. Mungkin yang Ayu tak dapat, Cuma cinta abang…,”
Hisyam Cuma menjadi pendengar. Bicara Idayu turut mengheretnya ke alam kenangan. Benar kata Idayu. Masa terus berlalu dan dia masih kekal menjadi suami Idayu. Walau sekuat mana dia cuba membuang Idayu satu ketika dulu, sekuat itu jugalah jodoh ini mengikat mereka.
“Kadang-kadang Ayu tertanya sendiri. Apakah sebenarnya yang telah mengikat kita selama tujuh tahun ini?,”
Hisyam menarik nafas panjang. Soalan Idayu dibiarkan sepi. Bukan tidak mahu menjawab, tetapi dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu.
“Abang rasa, dalam masa tujuh tahun lagi, kita akan tetap bahagia seperti sekarang tak? Atau.. akan ada perubahan lain lagi dalam hidup kita?,”soal Idayu sambil matanya merenung dalam ke mata Hisyam. Kebimbangan yang menghantui dirinya, memaksa dia merisik kedudukannya di dalam hidup lelaki itu. Pentingkah lagi dia di dalam hidup Hisyam? Atau… sudah sampai masanya untuk Hisyam menyingkirnya demi cinta lelaki itu?
“Ayu… kita tak boleh duga apa yang akan berlaku. Tapi, pada abang…abang nak kita selamanya begini,”Hisyam menjawab dengan nada perlahan. Soalan demi soalan dari Idayu Cuma membuat jantungnya berdegup kencang. Soalan tulus Idayu segera membuat dia teringat pada kecurangannya. Takut, Idayu tahu tentang itu. Saat ini dia sedar, dia tidak sanggup melihat Idayu terluka andai kisah antara dia dengan Maisara sampai ke pengetahuan Idayu. Walau segunung cintanya pada Maisara, dia tetap tidak sanggup untuk melukakan hati Idayu. Mengapa? Mengapa begitu perasaannya? Mungkinkah kebaikan dan ketulusan hati wanita itu telah menyemai benih simpati yang tidak bertepi di hatinya?
“Abang… sepanjang perkahwinan kita, abang pernah rasa menyesal tak?,”Idayu bertanya lagi. Soalan yang membuat Hisyam termangu lagi.
“Kenapa ni Ayu? Kenapa Tanya soalan yang bukan-bukan ni?,”soal Hisyam lembut. Dia sudah mula berasa kurang senang dengan topic perbualan ini.
“Pernah?,”Idayu mengulangi soalannya. Hisyam mengeluh perlahan. Perlahan juga dia berdiri di hadapan Idayu. Memegang kedua-dua tangan isterinya itu.
“Tak. Abang tak pernah menyesal. Semua yang berlaku tu, sudah tersurat. Tak ada apa yang hendak dikesalkan. Tapi, tak tahulah kalau-kalau Ayu menyesal…,”
Idayu tergelak kecil.
“Ayu?,”
“Ha ah. Ayu menyesal ke?,”
“Jawapan Ayu masih sama seperti jawapan Ayu tujuh tahun dulu. Cuma, barangkali hari ini ada penambahan sikit,”
“Penambahan? Penambahan apa?,”
“Ayu bersyukur kerana takdir menemukan kita. Bersyukur kerana takdir menjadikan abang sebagai suami Ayu. Dan, Ayu berdoa semoga kebahagiaan ini kekal sehingga ke akhir hayat Ayu…,”
“Sshhhh….abang tak suka Ayu cakap macam tu. Of course kita akan begini sampai bila-bila…,”
Idayu tersenyum. Hisyam menahan nafas. Tersentuh dengan bicara isterinya itu. Perlahan dia menarik Idayu ke dalam pelukannya. Mengusap lembut kepala Idayu yang tertutup dek tudung merah jambu. Berasa pelukannya berbalas, perlahan dia mengucup kepala Idayu. Tanpa sedar, bibir matanya panas dengan air mata.
“Ayu jangan cakap macam ni lagi. Abang tak sanggup nak dengar…,”bisiknya perlahan.
Idayu tersenyum. Pelukannya dieratkan. Sungguh. Dia terlalu mencintai lelaki ini. Melebihi cintanya pada Borhan.
‘Ayu cintakan abang…..selama-lamanya…,’hatinya berbisik lagi. Dia dia hanyut dalam rangkulan mesra Hisyam. Damai berada di dalam pelukan Hisyam.
“Hurm…. Cukuplah tu. Jom kita pulang. Dah lewat ni,”Hisyam bersuara sedikit garau. Cuba bersuara tenang dan cuba membuang rasa tersentuh yang mengundang air mata di tubir mata. Pelukannya dileraikan perlahan.
Idayu memandang jam di dinding. Rupa-rupanya sudah lebih setengah jam mereka berbual.
“Kita solat Maghrib dululah. Nanti takut tak sempat…,”saran Idayu sambil berpaling menyambung kerja mengemasnya yang terhenti.
“Okay,”balas Hisyam sambil terus menatap seraut wajah itu. Kenapalah tiada cinta yang hadir untuk wanita ini?

***

Tuesday, February 17, 2009

Pergilah Air Mata 41


Ikmal membelek surat khabar tanpa perasaan. Tumpuannya lebih pada Maria. Sejak daripada menjejak kaki ke rumahnya hampir setengah jam yang lalu, gadis itu terus termenung. Sapaannya cuma dibalas dengan sekuntum senyuman yang nampak terlalu hambar. Satu keadaan yang cukup aneh. Apa sebenarnya yang sedang Maria fikirkan?
“Mar, mari minum sekali,”ibunya menyapa sambil membawa dulang. Meletakkan perlahan dulang di atas meja. Sekilas wanita separuh umur itu bermain mata dengan Ikmal. Ikmal menjungkit bahu. Faham isyarat ibunya. Ibunya bertanya tentang kelainan sikap Maria.
“Kamu bergaduh?,”bisik ibunya perlahan. Ikmal menggeleng.
“Dah tu, kenapa macam tu jadinya?,”
“Saya pun tak tahulah, mak,”
“Kalau tak tahu, tanyalah. Takkan itu pun nak kena ajar?,”
Ikmal tersenyum kecil. Ibunya sekali lagi bermain isyarat mata sebelum beelalu masuk semula. Meninggalkan dia bersama Maria.
“Mar…,”
Maria berpaling.
“Kenapa ni? Ada masalah ke? Diam saja dari tadi,”
Maria mengeluh perlahan. Memandang wajah Ikmal. Sungguh di luar dugaannya, cerita yang Badrul sampaikan beberapa hari lalu. Seperti mana pertemuannya dengan Badrul yang juga di luar dugaannya. Tidak pernah menyangka satu hari suami Sabrina akan mencarinya. Tanpa pengatahuan Sabrina. Dia yakin tentang itu.
“Maria?,”
Maria tersenyum kecil. Perasaannya terhiris. Itu hakikat yang perlu ditelan. Sangkanya dia telah berjaya membuang jauh-jauh bayang Sabrina dari hati Ikmal. Ternyata sangkaannya salah. Sabrina masih lagi beraja di hati lelaki itu. Sukarnya memisahkan Ikmal dengan Sabrina. Sukarnya untuk dia memiliki cinta lelaki ini. Sekali lagi dia mengukir senyum buat Ikmal. Melangkah lemah mendekati lelaki itu.
“Kenapa ni? Kau ada masalah?,”
Maria menjungkit bahu.
“Entahlah. Kalau boleh cakap sebagai masalah, masalahlah kot,”
“Lain macam je bunyinya,”
Maria tersenyum tawar. Merenung wajah Ikmal.
“Apa kau rasa sekarang?,”soalnya lambat-lambat. Membuat Ikmal menutup perlahan akhbar di tangannya. Tidak faham maksud soalan itu. Namun, tidak tahu kenapa, soalan Maria sedikit menyentap tangkai jantungnya. Terasa seperti ada sesuatu yang bermain di fikiran gadis itu. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan Maria.
“Maksud kau? Aku tak faham. Rasa macam mana?,”
“Yalah. Apa kau rasa sekarang? Hidup kau. Perasaan kau. Semuanyalah,”
“Biasa saja. Kenapa?,”
“Pertunangan kita ni? Apa kau rasa bila kau ingat kita kini dah bertunang?,”
Ikmal diam. Soalan Maria memang sukar untuk dijawab. Jawapan ikhlas pasti membuat gadis itu tersinggung. Dan, berbohong pada Maria, rasanya dia tidak suka berbohong.
Maria tersenyum pahit.
“Aku tahu apa yang ada dalam kepala kau tu. Kau risaukan aku kan? kau takut aku sedih dengan jawapan kau kan? tapi, aku rasa aku akan lebih sedih kalau kau cuba selindungkan sesuatu dari aku,”
“Maksud kau?,”
Maria mengeluh perlahan.
“Mal… mulut kau mungkin boleh mereka seribu cerita untuk sedapkan hati aku. Tapi, mata kau? Mata kau tak mampu berbohong. Aku sedar, bukan aku yang kau mahu. Aku sedar, kau terpaksa pilih aku sebab mak. Hati aku lebih tenang kalau kau boleh berterus-terang dengan aku. Kau dah tak perlukan aku kan?,”
“Maria…,”
“Sekarang ni, dah tak ada apa yang hendak dirisaukan. Kita boleh putuskan ikatan ini, kalau itu boleh membahagiakan kau. Kau tak perlu risau. Aku boleh hadapi semua ni. Nanti aku akan cari alasan untuk aku beritahu mak, dan keluarga aku,”
“Maria. Kau jangan cakap macam tu. Aku tak suka dengar,”
“Ini kenyataan Mal. Aku tak mahu kau terima semua ni sebab terpaksa. Banyak kali aku cakap dengan kau kan?,”
“Tak. Aku tak terima semua ni sebab aku terpaksa. Aku terima semua ni, sebab aku memang nak semua ni,”
“Kau bohong, Mal. And, you know something? Kau bukan pembohong yang baik…,”
“Well. Mungkin aku bohong. Tapi, aku memang mahu kita teruskan semua ni. apa yang aku perlukan mungkin Cuma masa,”
“Tapi, kau tak pernah cintakan aku kan? Dalam hati kau Cuma ada Ina. Berapa banyak masa pun yang aku ambil, Ina tetap tak akan hilang dari hati kau. Aku faham. Sebvab tu, kalau kau nak putuskan ikatan pertunangan ni, dan cari Ina, aku rela. Aku rela kau cari Ina. Hidup dengan Ina. Aku Cuma nak tengok kau bahagia. Cuma itu,”
“Tak mungkin,”
“Mungkin kau nak berjuang demi cinta kau?,”
Ikmal mengeluh perlahan. Teringat sapaannya pada Sabrina yang berakhir dengan pertelingkahan dengan suami Sabrina. Sabrina langsung tidak membalas sapaanya. Mungkin Sabrina sudah mula melupakannya. Atau mungkin Sabrina tidak mahu mengeruhkan hubungan dia dan suami. Dia tidak tahu. Yang dia tahu, dia menyesal dengan tindakannya itu. Tidak sepatutnya dia mengganggu isteri orang. Meskipun, satu masa dahulu, wajah Sabrina pernah menghiasi segenap sudut kamar hatinya. Dia mengangkat muka. Memandang wajah Maria yang mendung. Membuat dia jatuh simpati.
“Kenapa kau sanggup lakukan apa saja untuk lihat aku bahagia?,”soalnya sambil terus merenung wajah itu.
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Sejak dulu, aku memang tak sanggup tengok kau bersedih, Mal. Bila kau betul-betul sukakan Ina, aku cuba rapatkan kau dengan Ina. Bila Ina bersedih, aku cuba hilangkan sedihnya. Sebab aku tahu, kau tak suka Ina bersedih. Aku sanggup buat apa saja untuk tengok kau gembira Mal. Kalau kau Tanya kenapa aku buat semua tu, Aku minta maaf. Aku tak ada jawapannya. Mungkin sebab kau kawan aku,”
“Atau mungkin sebab kau cintakan aku?,”
Maria tergelak kecil. Melarikan mata dari terus bertembung dengan renungan lembut Ikmal. Renungan yang membuat dadanya seakan mahu pecah. Itulah yang selalu Sabrina katakan padanya. Dan, dia Cuma tersenyum mendengar omelan temannya itu. Berangan agar satu hari nanti, renungan itu bakal menjadi miliknya. Hari ini, dia mendapat renungan itu. Renungan yang dia dambakan sekian lama.
“Maria…,”
Maria tersenyum sambil tunduk. Seketika dia begitu sebelum dia mengangkat muka. Bertembung semula dengan renungan Ikmal.
“Aku sanggup lakukan apa saja untuk lihat kau terus tersenyum Mal,”
“Dan, kau yakin, dengan apa yang kau dah buat pada aku, aku sanggup lepaskan kau macam tu saja? Berapa kali aku cakap, aku tak sekejam tu,”
“Tapi, tak guna kalau kau terpaksa. Aku tahu kau terlalu cintakan Sabrina. Aku hormat perasaan kau tu. Sebab tu, aku rasa, aku perlu buat sesuatu,”
“Apa lagi yang kau nak buat Mar?,”
“Putuskan pertunangan kita. Dan, biarkan kau bersama Sabrina,”
“Dan kau? Apa kata orang kalau tiba-tiba pertunangan kita putus macam tu saja? Kau tu perempuan,”
Maria tergelak kecil.
“Orang bercakap. Orang mengata. Kemudian orang lupa. Tak payah risau. Yang penting, kau dan Sabrina boleh bersatu. Aku yakin, Ina pun masih mengharapkan kau,”
“Mungkin tak,”
Maria diam. Barangkali Ikmal ingin bercerita tentang cerita yang dia dapat dari Badrul.
“Kenapa kau cakap macam tu?,”
“Ini bukan filem cinta Mar. Nak perjuangkan cinta. Dia dah jadi isteri orang Mar,”
“Tapi, kau tetap teringatkan dia kan? Kalau dia pun sama, mungkin kau masih ada jodoh dengan dia,”
“Entahlah Mar. baru-baru ni aku ada YM dia. Dia tak reply pun. Aku tahu dia berhak buat macam tu. Sebab dia isteri orang. Dia bukan lagi kekasih aku. Itu silap aku,”
“Silap kau?,”
Ikmal mengangguk perlahan. Memang menyakitkan mengingati kenyataan itu. Tetapi, walau sepahit mana, dia tetap kena terima. Sudah berkali mindanya disogokkan dengan kata semangat sebegitu. Namun, akhirnya dia tetap kalah.
“Silap aku. Aku tak patut cari dia, kan?,”
“Cinta kau yang cari Ina, Mal. Bukan silap kau,”
“Sabrina dah jadi isteri orang. Kenapalah sampai sekarang aku tak boleh terima terima hakikat tu?,”
Maria diam. Kali ini, Ikmal pula yang berubah muram. Melihat kelibat ibu Ikmal di ruang tamu, Maria mengeluh perlahan. Memandang wajah Ikmal.
‘Maafkan aku, Mal’ hatinya berbisik perlahan. Dia terpaksa. Terpaksa berusaha untuk terus memiliki Ikmal. Yakin mata ibu Ikmal terpaku padanya, perlahan dia menanggalkan cincin pertunangan di jari manisnya. Tindakan yang membuat Ikmal terkejut. Memang dia mahu Ikmal terkejut. Lebih dari itu dia mahu ibu Ikmal yang terkejut.
“Mungkin aku tak layak untuk cincin ni, Mal,”ujarnya perlahan sambil menarik tangan Ikmal. Meletakkan cincin di telapak tangan lelaki itu.
“Maria! Apa ni?,”soal Ikmal binggung. Tindakan Maria diluar jangkaan.
“Aku tak layak, Mal. Cincin ini hanya untuk Sabrina. Aku mengaku, aku dah mula sayang pada hubungan ni. Dah mula berangan yang indah-indah. Tapi, tak mungkin aku boleh capai semua tu, kalau kau masih tak dapat lupakan Sabrina. Aku doakan yang terbaik untuk kau dan Sabrina. Mungkin jodoh kau dengan dia masih ada,”
“Mengarut!,”
Ikmal tersentak. Nafisah menjerit marah. Tidak boleh terima apa yang baru singgah di telinganya. Maria menelan liur.
“Apa semua ni? Ikmal! Jelaskan pada mak,”
“Tak ada apa-apa, mak. Mar, kenapa ni? Apa semua ni? ,”Ikmal menjawab bersama satu soalan untuk Maria. Tindakan Maria benar-benar membuat dia terkejut.
Maria terdiam.
“Kamu masih juga cari Si Ina tu ya? Kenapa ni Mal? Tak cukup ke apa yang Maria buat pada kau? Macam-macam dia buat semata-mata nak lihat kau gembira semula. Mak tak suka kau sia-siakan Maria macam ni,”
“Mana ada mak? Ini semua salah faham. Saya tahu dah banyak Maria berkorban demi saya. Saya tak akan sia-siakan Maria. Percayalah,”
“Kalau macam tu, kenapa sampai Maria bagi balik cincin tu? Kamu minta putus?,”
“Bukan mak. Bukan salah Ikmal. Saya yang cadangkan pada Ikmal. Soal perasaan kita tak boleh paksa mak,”Maria segera menyampuk. Nafisah merengus marah. Merenung tajam wajah Ikmal yang kelihatan serba-salah.
“Kamu tak akan jumpa perempuan lain macam Maria ni, Mal. Dia sanggup ketepikan perasaan dia kerana kamu. Kamu pula sibuk kejar isteri orang!,”
“Ini semua Cuma salah faham, mak. Saya tak akan putuskan ikatan pertunangan ni. saya akan kahwin dengan Maria. Saya akan jadikan dia isteri saya. Itu janji saya,”
Nafisah diam. Mendengar pengakuan itu, hatinya sedikit sejuk. Memandang wajah Maria yang mendung, perlahan dia melabuhkan punggung di sebelah gadis itu. Merangkul bahu Maria mesra.
“Mak hanya nak Maria saja jadi menantu mak,”
Maria tersenyum kecil.
“Terima kasih mak,”
“Dan, aku hanya akan kahwin dengan kau. Itu janji aku,”tambah Ikmal bersama senyum yang dia sendiri tidak tahu maksudnya.
Maria tersenyum lagi. Bahagia mendengar pengakuan Ikmal. Ikmal membalas senyuman itu. mencapai jemari Maria. Cincin di tangannya, disarungkan semula ke jari manis Maria. Nafisah tersenyum lega. Hampir tercabut jantungnya saat dia melihat Maria menanggalkan cincin di jari tadi.
“Mak tak nak dengar apa-apa lagi lepas ni,”
“Maafkan saya, mak,”Maria bersuara perlahan.
“Bukan salah kamu. Ikmal ni, kena sedar sikit. Jangan asyik hanyut dengan cerita lama Jangan sibuk kejar isteri orang ,”
Ikmal diam. Sindiran ibunya dibalas dengan senyuman yang tidak begitu manis. Nafisah mengangkat punggung. Ingin meninggalkan Ikmal dan Maria menyambung bicara.
“Sorry Mal. Aku tak tahu mak kat dalam tadi. Tak pasal-pasal kau kena marah,”Maria bersuara. Cuba mewujudkan riak bersalah di wajahnya. Ikmal tersenyum.
“Tak apa. Bukan tak biasa kena marah,”
Maria tergelak kecil.
“Jangan buat macam ni lagi. Bukan mak saja yang terkejut. Aku pun terkejut,”
“Kau terkejut?,”
Ikmal diam. Memandang wajah Maria agak lama. Berharap satu hari akan timbul satu perasaan istimewa buat gadis sebaik Maria.
“Sejujurnya memang aku terkejut. Tak sangka kau nak akhiri semua ini. Mungkin cinta tu belum ada antara kita. Tapi, ikatan ini terlalu istimewa untuk kita putuskan begitu saja,”
“Sabrina?,”
“Aku janji. Mulai hari ini, Sabrina hanya akan jadi sejarah pada aku. Aku mahu kita mulakan hidup baru. Kau dan aku. Dan pertunangan kita,”
Maria tersenyum manis.
“Itu kata-kata paling indah pernah keluar dari bibir kau. Kata-kata indah untuk aku,”
Ikmal tergelak Cuma. Mencapai jemari Maria lalu di bawa ke dalam genggamannya.
“Aku minta maaf. Aku tahu, dalam pada kau tak kisah, hati kau menangis kan?,”
“Honestly, yes. Kenapa? Kau jangan Tanya. Sebab aku sendiri tak ada jawapannya. Mungkin macam kau cakap tadi. Ikatan ini…walau tanpa cinta, ianya terlalu istimewa,”
Ikmal diam. Terus menggenggam jemari lembut Maria bersama seribu persoalan yang gagal dia temui jawapannya. Doanya Cuma satu. Agar dia tidak menyakiti hati Maria lagi. Agar dia mampu membuang wajah Sabrina. Agar dia mampu menerima Maria…Mampu menyayangi Maria sebagaimana dia menyayangi Sabrina. Malah kalau boleh, biarlah lebih dari itu.

***

Sunday, February 15, 2009

Minda Tak Berfungsi...1

Ibu… berapa?,”
Dia termangu.
“Cakaplah ibu. Adik tahu. Adik kira ada tiga. Ibu pulak berapa?,”
Dia melopong. Memandang wajah anaknya yang berusia lima tahun itu.
“Ibu ni,tak pandai kira ya?,”
“Pandailah,”
“Dah tu, jawablah,”
Dia menjeling ke arah suami di sebelah. Lelaki itu tersenyum lega. Pasti lega kerana soalan itu tidak tertuju padanya.
“Ibu. Cepatlah. Berapa?,”
“Kejaplah. Ibu nak ingat balik,”
“Apalah ibu ni, hari-hari pergi pun… tak ingat. Adik ingat jeeee,”
Dia mengerling sambil kepalanya berputar ligat. Mindanya dibawa pulang ke rumah semula. Dia berjalan dah berhenti. Berjalan lagi dan berhenti. Berjalan lagi dan berhenti. Anaknya betul. Ada tiga. Berjalan lagi, dan dia sampai ke rumah Alang Uji pengasuh anaknya. Dia pula? Dia perlu sambung perjalanan. Berjalan dan berhenti. Berjalan dan berhenti. Berjalan lagi. Berhenti lagi. Berjalan untuk kali terakhir sebelum berhenti di hadapan pejabatnya.
“Ibu punya ada enam,”
“Enam je? Lamanya kira, ingat banyak,”selamba suara kecil itu mengkritik.
Dia mencebik. Suaminya tertawa.
“Ayah pula?,”mulut kecil itu bertanya lagi. Soalan yang menukar tawa. Kini, suaminya yang terdiam dia pula yang ketawa. Rasakan.
“Err… ayah banyak sangat lah sayang. Tak terkira,”
“Kira je la. Bukan susah pun. Lampu merah, berhenti, maknanya satu. Jalan lagi, lampu merah lagi, berhenti lagi, maknanya dua. Jalan lagi, lampu merah lagi, kena berhenti lagi, maknanya tiga. Kemudian sampai rumah Alang Uji. Macam tulah adik kira. Ayah pun kiralah macam tu. Senang je,”
Suaminya tersengih.
“Ayah boleh. Cuba.. cuba. Adik tahu ayah boleh,”
Dia tergelak besar mendengar kata semangat yang sering diguna suami untuk membakar semangat anak, kini bertukar mulut. Dan terus tergelak melihat wajah suaminya yang terkulat-kulat mengira lampu isyarat yang perlu dia lepasi untuk sampai ke tempat kerja….
Demi menjawab soalan am anak tunggalnya itu.

Thursday, February 12, 2009

Jiran Baru

“Lang…,”
“Hmmm…,”
“Bosanlah…,”
“Hmmm…,”
“Lang….
“Hmm….,”
“Achong mana?,”
“Entah. Katanya nak jalan-jalan. Ambil angin,”
“Macamlah kat sini tak boleh ambil angin…,”
Lang menoleh. Memandang wajah comel Toy.
“Kau ni Toy. Macam tak kenal dengan Achong pulak. Achong tu bukan macam kita. Mana boleh nak ambil angin macam kita ni…,”
Toy tersengih.
“Ya juga. Aku lupa….,”
“Oit! Korang berdua!,”
Lang tersentak. Toy hampir tergolek. Nasib baik tangan kecilnya sempat mencapai sesuatu untuk dipegang. kalau tidak… dia menelan liur melihat tingginya tempat dia berada saat ini. Mahu berkecai kalau dia jatuh.
“Kau ni Achong! Terkejut aku! Kalau aku jatuh, macam mana? Kau bukannya boleh sambut!,”nyaring suara Toy menjerit. Lang mengangguk tanda setuju.
“Sorrylah,”
“Sorry…sorry…sorry. Itu sajalah yang kau tahu,”sampuk Lang sambil menyelak rambutnya yang mengurai panjang.
“Aku ada berita nak beritahu ni,”
“Apa dia?,”
“Turunlah. Sakit leher aku duk mendongak ni,”
“Kau tak payah dongak pun tak apa Achong. Muka kau bukan mengadap kami pun . Kau mengadap pokok petai tu buat apa?,"
“Ye ke?,”
Toy menggeleng sambil tersengih.
“Aku cakap ajelah. Tak payah dongaklah ya,”
“Cakap jelah Achong,”
“Kita ada jiran barulah,”
“Ya ke? Mana kau tahu?,”
“Aku jalan-jalan tadi. Nampak pula ada orang angkut barang kat rumah kosong sebelah rumah kita ni,”
“Rumah besar tu?,”
“Ha ah,”
“Hmm… entah berapa lamalah tu,”
“Kenapa? Kenapa kau cakap macam tu?,”Toy bersuara mendengar kata-kata Lang. sedikit pelik.
“Kau tak perasan ke? Sejak dari kita mula duduk kat sini, dah berapa ramai orang pindah masuk rumah tu? Paling lama bertahan pun, empat lima hari je. Lepas tu, terus pindah tempat lain,”
“Ha ahlah. Baru aku perasan. Kenapa ya?,”
Achong bersandar pada pokok petai. Turut memikirkan punca jirannya terlalu sering bertukar ganti.
“Agaknya rumah tu keras tak?,”Toy mula menduga.
“Memanglah keras badigol. Kan semua buat dari batu bata tu. Bersimen lagi,”sampuk Achong sedikit beremosi. Bodoh betul tekaan Toy.
“Kau sepuluh kali badigol! Maksud aku, agaknya, rumah tu berhantu tak?,”
“Ish kau ni! Seratus kali badigol lah. Janganlah sebut benda-benda macam tu, malam-malam macam ni. Meremang bulu roma aku,”Lang menjerit marah. Segera mengengsot rapat ke tubuh Toy.
“Kau ni, tak padan dengan besar. Panakut sangat,”
“Kau tu yang cabul sangat,”
“Janganlah rapat-rapat dengan aku. Rambut kau busuklah. Dah berapa lama kau tak cuci rambut ni? Belajar-belajarlah cuci rambut. Buat treatment sekali-sekala. Rambut dah macam bulu penyapu lama, aku tengok,”
“Mulut jaga sikit ya. Pasal rambut aku, kau jangan nak mengata,”
“Oit! Dah lah tu. Janganlah gaduh. Aku belum habis cakap pasal jiran kita ni,”
“Apa lagi yang kau nak cakap?,”
“Yalah. Dah nama pun jiran kita. Kita ni pula kan, duduk kat kampung. Takkan tak nak pergi ziarah. Berkenalan. Macam tak manis pula kalau kita tak pergi. Sebelah je dengan rumah kita ni,”
Lang mengeluh perlahan. kata-kata Achong dia Nampak ada kebenarannya.
“Betul juga cakap kau tu,”
“Kalau betul, bila kita nak pergi?,”
“Aku rasalah. baik kita tunggu dulu dalam seminggu ke. Tengok jiran baru kita ni, serasi ke tak duduk kat rumah tu. Biar mereka sesuaikan diri dulu. Lepas tu, baru kita pergi ziarah mereka,”
Toy memandang wajah Lang yang seperti sedang berpidato lagaknya.
“Aku ikut je,”balas Toy pendek.
“Aku pun…,”suara Achong pula mula mencelah.

****

“Macam mana? Okay?,”
Badri tersenyum.
“Okay,”
“Tak ada apa-apa masalah?,”
“Dah dekat seminggu. Tak ada apa-apa pun. Agaknya penyewa dulu tu, tak suka dengan kawasan ni kot. Yalah. Sunyi. Banyak pokok besar pula tu,”
“Agaknya lah. Kalau kamu suka, baguslah. Risau juga pakcik, takut-takut tak sampai seminggu kamu nak pindah ke tempat lain,”
Badri tergelak kecil.
“Tak adalah. Setakat ni, tak ada pula gangguan pelik-pelik. Lena je kami anak beranak tidur. Tak ada masalahlah pakcik,”
Ku Seman tersenyum kecil. Harap-harap kata-kata Badri, boleh dia pegang. Bukan satu dua keluarga yang masuk ke rumah ini. Sudah terlalu banyak. Semuanya Cuma bertahan dua tiga hari sahaja. Tidak tahu di mana silapnya. Kata mereka ada gangguan. Bila dia cuba bermalam di bangle itu, tiada pula apa-apa gangguan.
“Kalau boleh saya tahu, gangguan apa yang orang-orang sebelum ni cakap?,”
“Macam-macam. Tak payahlah pakcik cerita. Kan buat kamu sekeluarga takut pula,”
“Tak apa pakcik. Pakcik cerita sajalah. Tak ada apa yang nak ditakutkan,”isteri Badri menyampuk tiba-tiba.
“Gangguan sayitan agaknya. Mereka cakap mereka Nampak hantu,”
Badri tergelak kecil.
“Macam-macamlah,”dia bersuara tenang.
Ku Seman diam seketika.
“Kamu tak percaya ke pada benda tu semua?,”
“Entahlah pakcik. Bagi saya, kita beriman hanya pada ALLAH. Kita Cuma takut hanya pada DIA. benda-benda macam ni, sekadar iblis yang nak lemahkan kita saja,”
“Baguslah kalau kamu fikir macam tu,”
“Cuma…,”Badri bersuara perlahan. Membuat jantung Ku Seman berdegup sedikit kencang. Mahu pindah lagi ke?,”
“Cuma apa?,”soalnya dalam gundah.
“Tu… pokok besar depan pokok petai tu. Kawasan tu, kawasan pakcik ke?,”
“Ya. Kenapa?,”
“Kenapa tak ditebang saja?,”
“Tebang? Kenapa?,”
“Menghalang jalan. Simpang kat pokok tu tajam. Silap-silap boleh accident kat situ,”
“Memang selalu accident kat situ. Kawasan keras juga tu,”
Badri tersenyum panjang.
“Keras ke lembut ke, itu kita tak tahu. Tapi, pokok tu memang menghalang pandangan. Sebab tu senang accident. Kalau boleh tebang, lebih lapang rasanya,”
“Yalah. Nanti pakcik suruh orang tebang,”
“Terima kasih pakcik,”
Ku Seman Cuma tersenyum nipis. Matanya memandang pohon besar yang merendang. Tidak jauh dari banglonya itu. Melihat pokok itu, seperti biasa, bulu romanya meremang. Bagai ada mata yang sedang memerhatinya dari situ.
“Dah nak maghrib ni. pakcik balik dululah. Saja je datang menjenguk. Takut-takut ada apa-apa masalah ke,”
“Tak ada, pakcik. Cuma, lusa,jemputlah datang ke sini. Saya nak buat kenduri sikit,”
“Yalah,”
Badrul tersenyum senang. Mengiringi Ku Seman sehingga ke pintu pagar. Kereta Ku Seman bergerak perlahan. Dia Cuma memandang. Kemudian matanya dihalakan kea rah pokok besar yang merendang. Betul-betul berhadapan dengan rumahnya. Memang agak menyeramkan lokasi bangle yang disewanya ini.

***

“Betul ke?,”
“Betullah. Aku nak tipu, buat apa? Aku ada di rumah sepanjang hari, hari ni. Aku Nampak dia tunjuk ke arah rumah kita. Naik segan pula aku. Tak manis betul kita buat macam ni kat jiran kita. Bukan kali ni saja dia tunjuk-tunjuk arah rumah kita ni, dah banyak kali sangat”panjang lebar Lang membebel.
“Hari tu, kau juga yang cakap, kita tunggu dia serasi dengan rumah barunya dulu. lepas tu, baru kita pergi melwat. Hari ni, kau cakap lain pula,”
“Yalah. Tapi, bila fikir-fikir balik, masa dia baru pindahlah , kita patut jengukkan muka. Ini, dah lama baru nak terhegeh-hegeh pergi. Seganlah pula rasanya,”
“Dah tu, nak pergi ke tak nak ni?,”Achong mencelah.
“Pendapat kau macam mana, Toy?,”
“Aku ikut saja. Lagipun, aku memang suka masuk rumah orang. Macam-macam aku boleh tengok,”
“Tengok je….,”
“Yalah…yalah…. Aku tahu. Dah lamalah aku resign dari kerja lama aku tu,”
Lang tersenyum melihat wajah kelat Toy.
“Bila kita nak pergi?,”
“Malam ni?,”
“Malam ni?,”soal Achong was –was.
“Yalah,”
“Tapi, Lang. ramai sangat orang tu,”
“Alaa… kita tunggulah semua orang balik,”
Toy diam mendengar jawapan itu. Sama-sama merenung kea rah banglo di hadapan mereka. Menunggu sehingga tetamu pulang.
“Betul ke kau nak pergi ni?,”Achong bersuara tiba-tiba.
“Kenapa, Achong?,”
“Instinct aku cakap, better kalau kita tak pergilah,”
Toy mencebik.
“Aku…kalau mamat ni dah mula cakap omputih, memang aku menyampah tau!,”Lang bersuara geram. Tiap kali Achong bercakap begitu, rasa takut yang luar biasa mula menyelubunginya. Rasa takut yang cetuskan pula rasa geram.
“Betul ni,”
“Sudah. Kalau kau tak mahu ikut, aku pergi dengan Toy saja. Kau duduk rumah diam-diam,”
“Kau pergi… aku nak ikutlah,”
“Pulak…,”
Achong tersengih dalam diam.
“So, kita pergi sekaranglah ya? Tetamu pun dah tak ada tu,”Toy memberi cadangan. Disambut dengan anggukan dari Lang dan Achong.

***
Marsitah menyusun pinggan yang baru dilap, ke dalam bakul.
“Bang…,”
Tiada jawapan. Mersitah menoleh ke belakang. Mencari bayang suaminya. Tiba-tiba berada sendirian di ruang dapur, membuat dia berasa tidak sedap hati.
“Bang…,”
“Apa dia?,”
“Temankan Mar kejap,”
Badri tergelak. Tidak pernah isterinya minta berteman. Tiba-tiba malam ini lain pula gayanya.
“Kenapa?,”
“Entahlah. Mar rasa lain macam. Berdebar-debar pun ada,”
“Tak ada apa-apalah,”
Marsitah diam. Badri berlalu semula ke ruang hadapan. Mahu atau tidak, Marsitah terpaksa menyambung kerjanya sendirian. Angin malam tiba-tiba terasa terlalu sejuk. Dia melihat tangannya. Bulu romanya mula meremang. Lebih membuat dia berdebar apabila terasa ada sepasang mata sedang memerhatinya.
“AstraghfirllahHalA’zim…,”dia terjerit kecil apabila selintas bayang putih melepasi tingkap nako di hadapannya. Serta merta membuat jantungnya terasa mahu pecah.
“Abang! Temankan Mar kejap,”
“Abang nak kemas kat depan ni,”
Hampir menangis dia mendengar jawapan suaminya. Dia cuba fokuskan perhatian pada pinggan di tangannya. Tidak mahu membenarkan fikirannya mereka ilusi yang bukan-bukan. Turun naik dadanya apabila satu ketukan lembut terdengar di pintu dapur. Bermula dari ketukan perlahan dan semakin kuat dan kuat.
“Siapa tu?,”
Diam.
Marsitah mengeluh panjang. Barangkali ada kucing yang berkeliaran di luar. Dia cuba meyakinkan mindanya yang sudah mula memproses rasa takut.
Ketukan berbunyi lagi. Kali ini, hadirkan sekali rasa ingin tahu. Perlahan dia bergerak ke arah pintu. Daun pintu dikuak perlahan-lahan. Kepala dijengulkan sedikit keluar. Tiada sesiapa. Perlahan dia menelan liur.
“Hai… takkan kecil benar bukanya. Macam mana saya nak masuk?,”
Sebaik dia mahu menutup semula pintu dapur, satu suara aneh melekat di cuping telinga. Dia menolak pintu. Mahu mencari suara itu.
“Abang! Pocong!!!,”Marsitah menjerit hysteria. Berlari ke ruang tamu. Hampur pengsan melihat satu objek kuning kusam yang berikat atas dan bawah tegak berdiri di hadapannya.
“Abah! Budak hijau belek tabung adik!!!,”
Badri tergamam seketika. Melihat isterinya yang berlari dari dapur. Dan anaknya yang berlari laju turun dari anak tangga.
“Kenapa ni?,”
“Ada pocong kat dapur bang…. Betullah orang cakap. Rumah ni berhantu,”
“Budah hijau tu pegang tabung adik!,”
“Cuba bertenang dulu. Cerita satu-satu,”
Marsitah terduduk di sofa. Ngeri teringatkan bayangan yang bermain di matanya sebentar tadi.
Baru dia hendak membuka cerita, pintu utama pula, dikeruk seseorang. Marsitah sudah menggigil. Menarik anaknya ke dalam pelukannya.
“Mar takut, bang,”
“Tak ada apa yang nak di takutkanlah,”
Ketukan berulang lagi.
“Janganlah buka bang,”
“Mar duduk sini. Biar abang tengok…,”Badri bersuara sambil bergerak ke pintu utama. Bibirnya laju membaca sesuatu..
“Bismillahirrahmanirrahim…,”
Pintu dibuka perlahan.
“AstraghfirllahHalA’zim…,”Badri bersuara dengan nada sedikit terkejut. Terkejut dengan kehadiran makhluk berambut panjang yang bergentayang di hadapannya itu. Bersama senyuman yang mengerikan….

***

“Aku tak kira. Aku nak pindah,”
“Kita nak ke mana lagi?,”Toy bertanya. Sedikit penasaran dengan apa yang menimpa mereka.
“Sampai hati dia buat kita macam ni,”hiba Achong bersuara sambil bersandar pada pohon petai.
“Habis rambut aku,”luah Lang sambil membelek rambutnya yang hangus. Toy pula membelek tubuhnya yang sedikit kehitaman. Kemudian merenung ke arah Achong.
“Habis baju kau Achong,”ujar Toy perlahan. baju berwarna kuning kusam yang sekian lama membalut keseluruhan tubuh itu, turut hangus di sana sini.
“Aku nak pindah. Aku nak packing barang-barang aku,”
“Kita mana ada barang-barang Lang. apalah kau ni,”
“Tak kisahlah. Yang penting aku nak pindah. Aku senyum kat dia. Sebab nak beramah mesra. Dia hanguskan rambut aku,”
“Aku pula, bukannya aku main masuk je. Aku sipa minta izin lagi. Ketuk pinti dulu. elok dengar suara aku, terus dia hysteria. Pelik betullah aku,”
“Aku pun sama. Aku Cuma nak tengok tabung dia. Comel tabungnya. Laju je dia pergi mengadu kat bapak dia. Bapak dia tu, kejamlah,”
“Memanglah kejam. Tapi, dia bukan lawan kita. Kita tak boleh tinggal kat sini lagi. Rumah kita dah taka man. Kita kena pindah,”
“Kita nak ke mana?,”
“Kuala Lumpur?,”
“Uishh.. jauhnya. Kuala Lumpur tu besar. Kalau kita sesat, macam mana?,”Achong bersuara risau.
“Tak adanya sesat. Aku dengar, kawan-kawan aku cakap, kat sana banyak port yang sesuai untuk kita bina rumah baru,”
“Aku ikut aje,”seperti biasa Toy menjawab. Cuma, kali ini, nadanya sedikit lemah.

****
“Nasib baik aku dah SMS kawan aku kat KL. Dia pun dah booking satu tempat untuk kita. Kalau tak, merempatlah kita jawabnya…,”
Achong mengangguk setuju. Toy pula Cuma memandang sayu dari celah dahan petai. Melihat rumahnya ditebang dengan rakus. Dia melihat pula ke arah jiran barunya yang sibuk memberi arahan.
“Selalu, bila kita dapat jiran baru, jiran kita yang pergi. Tapi, dengan dia ni… kita pula yang kena mengalah. Dahlah buat kita macam ni. rumah kita pun ditebangnya. Apalah salah kita pada dia,”Toy bersuara hiba.
“Entahlah…,”Achong menjawab sedih. Sekian lama tinggal di situ, akhirnya dia terpaksa mencari rumah baru.
“Bila kita nak berangkat, Lang?,”Toy bersuara lagi.
“Malam ni. Tengah malam ni…,”


****

Tuesday, February 10, 2009

Pergilah Air Mata 40

Sabrina diam tidak bersuara. Terus tunduk bermain dengan jemarinya. Rasa hairan menyesak di dada. Tetapi, dia diamkan sahaja apabila melihat wajah Badrul begitu serius mengemudi keretanya. Tidak mahu mengganggu tumpuan Badrul. Tiba-tiba sahaja Badrul datang semula padanya selepas peristiwa di biliknya tempoh hari.
“Ina. Encik Badrul telefon tadi. Suruh Ina bersiap. Dia cakap, lagi setengah jam dia datang jemput,”
Kelu lidahnya saat Jamilah menyampaikan pesanan itu. Dia cuba abaikan. Anggap kata-kata Jamilah tidak pernah sampai ke telinganya. Namun, lain pula jadinya. Rupanya Badrul betul-betul pulang. Dan, panjang muncung lelaki itu melihat dia masih santai melayani Jamilah di dapur. Sudahnya, dia terpaksa mengikut lelaki itu tanpa berganti pakaian. Dia mengerling. Melihat Badrul segak berkemeja, terasa janggal pula dia berseluar jeans dan Cuma memakai T-shirt.
“Awak nak ke mana ni?,”
Badrul berpaling. Seketika Cuma, sebelum menyambung konsentrasinya di jalan raya. Soalan Sabrina tidak dijawab. Melihat Badrul lebih suka membisu, Sabrina tidak lagi membuka mulut. Namun, agak lama di dalam kereta, dia sudah mula boleh mengagak ke mana haluan Badrul. Badrul tenang memandu kereta ke bukit itu. Sekali lagi Badrul membawanya ke sini. Kali ketiga dia dan Badrul ke sini. Kali pertama dia ke sini untuk bertengkar. Dan, dia pulang membawa luka dan sakit. Kali kedua dia dan Badrul sama-sama hampir hanyut dengan perasaan sendiri. Dia pulang bersama getar aneh yang mula menyeksa perasaannya. Kali ketiga? Dia sedikit resah. Terfikir apa pula tujuan pertemuan mereka kali ini. Wajah Badrul dipandang sekali lagi. Tiada riak marah di wajah itu. Bermakna tidak mungkin mereka ke sini untuk mengulangi peristiwa pertama. Peristiwa kedua? Tidak mungkin. Wajah lelaki itu terlalu serius. Bagai sedang menghadapi satu masalah yang cukup besar.
Kereta sudah berhenti di puncak bukit. Badrul pula masih membisu seribu bahasa. Sabrina yang tersandar di kerusi, mula diulit resah. Semakin tertanya-tanya apa tujuan pertemuan ini?
“Kenapa bawa saya ke sini?,”
Badrul berpaling. Menatap wajah Sabrina yang kelihatan sedikit resah. Juga kelihatan sedikit hairan. Namun, rasanya saat ini, wajahnya juga seresah wajah gadis itu.
“Aku tak akan jadi macam kau. Sebab aku ni, jenis manusia yang redha. Aku akan pasrah pada takdir. Tak macam kau. Dah di takdirkan Sabrina tu isteri kau. Masih juga nak nafikan. Berdosa tahu!,”
“Berdosa tau!,”
Kata-kata Darius beberapa hari lalu terus menghantuinya. Tiba-tiba kata-kata itu mampu menambah rasa resah yang sudah menebal di hati. Membuat dia mula diburu rasa bersalah. Memang selama ini dia nafikan hak Sabrina. Memang dia salah. Memang dia berdosa. Kata-kata Darius seakan membuka matanya. Dia perlu berterus-terang. Dia perlukan penjelasan dari Sabrina. Dia perlu tahu apa perasaan Sabrina apabila diperlakukan begitu. Tetapi, untuk membuka soalan, bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak semudah seperti dia menarik tangan Sabrina masuk ke dalam kereta sebentar tadi. Dia kini kelu di hadapan Sabrina.
“Awak ada masalah ke?,”Sabrina mula merisik melihat reaksi Badrul pada soalan-soalannya. Sikap Badrul memang aneh hari ini. Badrul tidak seyakin sebelum ini. Kali pertama dia melihat Badrul kelihatan tercari-cari arah. Tidak mendominasi situasi seperti selalu.
“Awak nak share something dengan saya ke? Saya bukanlah pendengar yang baik. Penyelesai masalah pun bukan. Tapi, kalau awak ada masalah, awak boleh cerita pada saya. Saya boleh dengar,”
Badrul mengeluh perlahan. Suara lembut itu ternyata membuat dia bertambah kelu. Membuat dia menjadi lebih serba-salah.
“Bad…,”
“Sabrina. Tolong diam sekejap, boleh?,”
Sabrina terkedu. Sedikit tersentap.
“Okay,”jawabnya sepatah. Walau lembut sahaja suara yang meniti di bibir Badrul, tetapi, permintaan Badrul perlahan-lahan menghiris perasaannya. Sungguh dia tidak faham dengan lelaki ini. Salahkah dia sedikit prihatin? Salahkah dia bertanya apabila melihat wajah lelaki itu hilang sinar? Apabila melihat ada garis ketegangan yang mencacatkan rupa? Sumpah! Dia tidak akan buka mulut lagi. Kalau Badrul ke situ semata-mata ingin membisu seribu bahasa, dia akan sama-sama menjadi bisu.
“Sorry…,”Badrul mula bersuara. Menyedari wajah Sabrina yang sudah berubah. Mungkin gadis itu berkecil hati dengan kata-katanya. Bukan maksudnya untuk meminta Sabrina diam. Cuma, lebih banyak gadis itu berbicara,semakin hilang keyakinannya untuk membuka topic yang berlegar di kepala. Bicara Sabrina membuat fokusnya menjadi sedikit bercelaru.
“Sabrina. I’m sorry…,”ulangnya sekali lagi. Sabrina terus membeku. Tidak memberi sebarang reaksi. Hati kecilnya benar-benar tersentuh. Dari tadi, dia benar-benar resah melihat keadaan Badrul. Barangkali lelaki ini sedang berhadapan dengan masalah besar. Tetapi, apabila dia cuba bertanya. Cuba untuk berkongsi beban, sesinis itu Badrul padanya.
“Aku minta maaf,”
Diam.
“Sabrina!,”
Sabrina tersentak kecil. Segera berpaling. Terkejut dengan sergahan itu.
“Tak apa. Saya tak kisah,”laju Sabrina bersuara. Wajah Badrul yang sedikit tegang kembali mengendur. Geram apabila kata-kata maafnya dipandang sepi oleh Sabrina.
“Suka sangat nak suruh aku menengking…,”rungut Badrul sambil melontarkan pandangan ke luar. Sabrina sekadar membuang pandang.
“Kenapa kita ke sini?,”akhirnya nekadnya terbatal lagi. Dia perlu juga bersuara dan bertanya.
“Kau tak suka ke? Kata suka tengok bola merah. Bolehlah tunggu. Sekarang pun dah pukul lima,”
Sabrina berpaling. Memandang wajah selamba Badrul. Ternyata marah lelaki itu Cuma seketika.
“Baiknya awak. Ingat lagi ya, saya suka tengok bola merah. Lepas tu, bawa pula ke sini. Terima kasih ya…,”
Badrul tersenyum kecil. Kata-kata tidak berperasaan dari Sabrina jelas menunjukkan gadis itu sedang menyindirnya.
“Cakap sajalah apa yang awak nak cakap,”tambah Sabrina lagi. Tahu kata-kata Badrul itu Cuma satu basa-basi sahaja.
Badrul mengeluh perlahan. Merenung wajah Sabrina seketika.
“Aku rasa kau pun tahu kot…,”
“Saya tak tahu,”
“Pasal kita,”
“Pasal kita? Kenapa dengan kita? Ada yang tak kena ke?,”
“Pasal aku. Pasal kau. Pasal ikatan kita,”
Sabrina menahan nafas. Terasa jantungnya berhenti berfungsi seketika. Bunga-bunga bicara itu bagai dapat dia hidu ke mana halanya. Kalau sebelum ini, dia yang sibuk bertanya, tetapi, saat ini dia seperti mahu menutup mulut Badrul. Dia tidak mahu Badrul bercakap tentang itu. Dia tidak mahu Badrul melepaskannya, walau hatinya meronta tidak mahu berada dekat dengan lelaki itu. Aneh.
“Oh… pasal kita,”dia bersuara perlahan.
“Tapi, kenapa sampai ke sini? Kenapa tak cakap saja kat rumah?,”sambungnya lagi.
“Di rumah tak sesuai,”
Sabrina tersenyum.
“Kenapa? Awak takut abah bising ke?,”
“Bukan. Cuma, aku nak bercakap dengan kau. Cuma dengan kau. Tak mahu ada gangguan,”
Sabrina mengangguk perlahan sambil menarik nafas panjang.
So, sekarang masanya ya?,” dia cuba bersuara setenang mungkin.
“Masa? Masa apa?,”
Sabrina tersenyum hambar.
“Hari tu, saya Tanya… awak cakap belum masanya. So, sekarang masanya ya?,”
“Masa untuk apa?,”
“Lepaskan saya…,”
Badrul terkedu. Seperti biasa, soalan dan kata-kata itu hanya akan membuat jantungnya berhenti berdegup. Dia tidak suka soalan itu.
“Ada aku cakap macam tu ke?,”
Giliran Sabrina pula yang terkedu. Bulat matanya memandang wajah Badrul. Kalau bukan tentang perceraian, apa lagi topik penting yang melibatkan ikatan dia dengan Badrul? Rasanya Cuma itu sahaja.
“Dah tu, kalau bukan pasal tu, pasal apa?,”akhirnya dia bertanya dengan wajah kehairanan.
“Aku nak Tanya kau sesuatu. Kau jawab dengan ikhlas,”
“Tanyalah,”
Badrul diam seketika. Mencari kekuatan untuk memulakan kata-kata. Wajah tenang Sabrina direnung agak lama.
“I’m waiting. Tanyalah,”
“Well… aku nak tahu. Selama kita nikah, aku tak pernah jalankan tanggungjawab aku pada kau… seperti yang sepatutnya. Kau marah ke?,”
“Marah? Kenapa saya nak marah?,”
“Kau patut dapat hak kau sebagai isteri. Aku tahu. Sekarang aku Tanya kau… kau mahu hak itu?,”
Sabrina kelu. Terkebil-kebil menatap wajah Badrul. Aneh soalan lelaki ini. Soalan yang mampu membuat dia putus nyawa. Soalan yang membuat jantungnya berdegup kencang.
“Apa awak cakap ni? Are you alright? ,”
“Aku serius. Aku mahu tahu. Kau marahkan aku ke, bila aku tak jalankan tanggungjawab aku sebagai suami?,”
Sabrina mula resah. Jawapan bagaimana yang harus dia beri?
“Tiba-tiba Tanya macam ni. Kenapa ni?,”
“Entah. Tiba-tiba aku sedar, aku buat kau macam ni, berdosa,”
Sabrina tersenyum kecil. Rupa-rupanya itu sebabnya. Dia merenung wajah Badrul. Kadang-kadang hairan dengan sikap Badrul. Dalam satu masa Badrul seorang yang terlalu keras hati. Dan, dalam situasi yang lain pula, lelaki ini boleh berubah menjadi terlalu rapuh. Seperti saat ini.
“So, sekarang awak Tanya, sebab awak takut dosa?,”dia pula yang mengajukan pertanyaan.
Badrul diam. Saat ini dia menjadi malu melihat wajah Sabrina yang terlalu tenang. Kenapa dia tidak boleh menghadapi situasi ini setenang Sabrina?
“Kau marah?,”soalnya tanpa mengendahkan soalan Sabrina. Sabrina tersenyum.
“Bad… apa yang awak buat, bukan salah awak. Memang betul awak suami saya. Tapi, kenapa awak jadi suami saya? Bagaimana awak jadi suami saya? Itu semua perlu juga diambil kira. Saya faham perasaan awak. Saya tak pernah salahkan awak. Saya tak kisah semua tu. Awak jangan bimbanglah. Jangan fikir benda ni, sampai menjejaskan hidup awak. Saya ingat awak ada masalah besar tadi,”
Badrul bungkam. Merenung terus wajah tenang itu. Betapa damainya hati bila mendengar kata-kata itu.
“Boleh saya tambah lagi?,”sambung Sabrina masih bersama dengan senyuman.
Badrul tergelak halus.
“Apa lagi?,”soalnya pendek.
Sabrina menarik nafas perlahan. Dia perlu bersuara sekali lagi. Meski dia keberatan, dia tahu Cuma satu penyelesaian untuk segala masalah ini. Badrul harus lepaskannya.
“Sebab tu, saya rasa ada baiknya kalau kita tamatkan hubungan kita ni. Dah lama kan? Sampai bila awak nak terus macam ni? Nanti semua ni jadi beban untuk awak. Makin lama awak biarkan diri awak berasa bersalah, makin tak tenang hidup awak nanti,”
“Sabrina…,”
“Saya faham kalau marah awak pada saya belum hilang lagi. Terserahlah pada awak. Saya cuma beri cadangan. Setakat ini, itulah cadangan yang paling baik yang boleh saya fikir. Ambillah selama mana masa pun. Saya tak kisah. Saya akan tunggu. Saya tak akan ungkit perkara ni banyak kali depan awak. Sebab, topic cerai ni, bukan elok selalu diulang-ulang. Bila dah sampai masa, awak cakap sajalah. Saya akan pergi,”
Badrul bungkam. Tenangnya wajah itu. Lebih tenang nada suaranya. Setenang aturan kata-kata yang sedikit menyentuh hatinya. Ketenangan Sabrina yang menghempas badai resah di jiwanya.
“Sabrina. Who are you?,”akhirnya soalan itu dihamburkan dengan perasaan yang pelbagai. Buntu untuk terus menghadapi sikap tenang gadis itu. kalaulah dia mampu menggugat sedikit perasaan gadis itu. Kalaulah dia mampu membuat Sabrina resah sepertinya. Membuat Sabrina buntu sepertinya.
Sabrina tersenyum.
“Saya? Sabrina Shahzan,”jawab Sabrina sambil tergelak kecil. Gelak yang membuat Badrul tersenyum kecil. Hari ini, ternyata Sabrina lebih dominan berbanding dirinya. Kata-kata Sabrina walau lembut, satu pun tidak mampu dia patahkan. Cukup bersahaja Sabrina membalas patah demi patah bicaranya.
“Kenapa ya kita ditemukan dengan cara macam ni ya?,”
Sabrina tersenyum kecil. Perlahan dia menggeleng. Soalan itu, siapa yang ada jawapannya? Dia sendiri masih tercari-cari jawapannya.
“Kenapa kau mesti jadi isteri aku? Padahal kita tak kenal antara satu sama lain pun,”
“Saya pun tak ada jawapannya. Mungkin dah tersurat macam tu,”
Badrul mengeluh panjang. Sabrina Cuma memerhati. Hairan dengan pendirian Badrul. Kalau hubungan mereka meresahkan Badrul, kenapa tidak Badrul lepaskan saja dirinya?
“Tak nak balik ke?,”akhirnya dia bertanya pendek. Duduk di sini sambil menatap wajah keliru Badrul rasanya tidak mendatangkan apa-apa faedah. Cuma membuat dia semakin keliru dengan perasaannya sendiri.
“Kenapa nak balik cepat sangat? Tak sukaduduk dengan aku?,”
Sabrina diam. Malas menjawab. Sukakah lelaki itu duduk dengannya?
“Aku suka,”Badrul bersuara selamba.
“Suka? Suka apa?,”
“Suka duduk dengan kau,”
Sabrina tergelak. Ternyata soalan yang berlegar di hatinya sudah Badrul jawab.
“Serius. Dan, aku pelik. Sebab aku tak tahu kenapa aku suka…Dan… kenapa aku cakap semua ni pada kau, ya?,”
Sabrina menggeleng perlahan sambil membuka pintu kereta. Memang Badrul cukup pelik hari ini.
“Kau guna-gunakan aku ya?,”
“Hah?!,”dia terjerit kecil. Terkejut mendengar soalan Badrul.
Sebelah kaki sudah menyentuh tanah. Tetapi pergerakannya terhenti. Pantas dia berpaling sebaik mendengar soalan itu. Badrul memandangnya bersama senyuman. Sekurang-kurang wajah tenang itu sudah disapu sedikit riak terkejut.
Sabrina mengamati senyum yang mekar di bibir Badrul. Melihat senyuman itu, dia sedikit yakin soalan Badrul tadi pasti Cuma satu gurauan. Sangkanya Badrul serius dengan tuduhannya.
“Tak sangka awak percaya benda-benda karut macam tu,”
“Just kidding,”
“Tak kelakar,”sampuk Sabrina pendek.
Badrul tersenyum lagi. Bersandar pada kerusi.
“One more question. Kau tak kisah kalau kita berkawan?,”Badrul bertanya tanpa memandang wajah Sabrina.
“Mungkin itu lebih baik daripada bergaduh,”
Badrul tergelak. Suka mendengar jawapan Sabrina.
“Awak nak balik ke?,”
“Kejap lagi,”
“Tak risau kalau Dayana tanya awak? Saya tak nak nanti Dayana salah faham,’
Badrul menggeleng.
“Kalau macam tu, saya nak duduk kat luar,”
“Pergilah tunggu bola merah kau,”
Sabrina tersenyum. Melangkah keluar dari kereta. Pintu kereta ditutup perlahan. Badrul Cuma memerhati sambil tangannya dibawa ke belakang kepala. Bersandar malas. Memandang Sabrina dari dalam kereta. Tekun gadis itu bersandar pada batu yang agak besar sambil memandang langit yang mula redup. Dan dia pula asyik memandang Sabrina dalam diam.

****


Thursday, February 5, 2009

Pergilah Air Mata 39

Laporan beberapa projek yang perlu dia teliti, masih tidak berusik di atas meja. Dia cuma mampu merenung kosong pada longgokan file di mejanya itu. Mindanya seakan tidak mampu berfungsi saat ini. Benar-benar buntu. Benar-benar keliru.
“Maria?,”sapanya pada gadis yang tersenyum manis padanya. Sekadar berbahasa, walau dia sudah tahu gadis itu memang Maria.
“Ya, saya. Encik Badrul kan?,”
Badrul mengangguk.
“Duduklah,”
Gadis itu akur. Melabuhkan punggung di hadapannya bersama senyum yang mekar di bibir.
“Kawan saya cakap, kawan Encik Badrul beritahu dia, Encik Badrul nak jumpa saya,”
“Darius…,”
“Yeah. Darius…,”
Badrul tersenyum kecil. Memang dia sampaikan pesanan pada Darius. Pesanan dia ingin berjumpa empat mata dengan Maria.
“Kenapa Encik Badrul nak jumpa saya? Ada apa-apa yang boleh saya bantu ke?,”
“Mungkin,”
Maria tersenyum di hadapannya. Kelihatan sabar menunggu patah bicaranya.
“Pasal apa?,”
“Sabrina…,”
Wajah itu disapu sedikit riak terkejut. Dia sedar akan perubahan itu.
“Encik Badrul kenal Sabrina?,”
“Saya suaminya,”
Sekali lagi wajah itu disapa riak terkejut.
“Suami dia? Hmm…Apa yang boleh saya tolong?,”
Badrul diam sejenak. Memandang wajah Maria yang sabar menanti.
“Saya nak tahu sesuatu tentang dia,”akhirnya dia bersuara. Maria tersenyum kecil.
“Kalau saya boleh tolong, saya akan tolong. InsyaALLAH. Apa dia?,”
“Awak tahu apa-apa pasal kes tangkap basahnya tu?,”
“Kalau pasal tu, I’m sorry Encik Badrul. Saya tak tahu apa-apa. Yang saya tahu, dia kena tangkap basah dengan anak Datuk,”
“Sayalah orangnya,”
Riak wajah Maria berubah sekali lagi.
“Sorry. Saya tak tahu Encik Badrul ni…,”
“It’s okay,”cepat-cepat dia menyampuk. Maria diam seketika.
“Takkan Encik Badrul tak tahu apa-apa. Dia bukan kenalan Encik Badrul ke?,”
“Saya tak kenal langsung dengan dia,”
“Dah tu, macam mana dia boleh ada dalam bilik Encik Badrul?,”
Badrul diam. Dari nada jawapan Maria, nampaknya dia tidak akan mendapat apa-apa maklumat daripada gadis itu. Maria seperti tidak tahu apa-apa.
“Sabrina tu, macam mana orangnya? Dia kawan awak, mesti awak tahu sikapnya,”Badrul bersuara tanpa mempedulikan soalan Maria.
“Dah lama juga kes tu kan? Maknanya, mesti dah lama juga Encik Badrul kahwin dengan Ina. Takkan Encik Badrul tak boleh nilai macam mana sikapnya?,”
Badrul mengeluh perlahan. Sejujurnya dia tidak mengharapkan Maria bermain tarik tali dengannya. Dia mahu cerita tentang Sabrina. Bukan dolak-dalik sebegitu.
“Sorry. Mungkin kata-kata saya menyinggung perasaan Encik Badrul. Sabrina dulu memang kawan baik saya. Tapi, sejak peristiwa tu, Sabrina macam kabus bagi saya. Jadi kelam bila tiba-tiba saya dapat tahu pasal kejadian tu. Tak sangka. Tak pernah terfikir,”
“Maksud awak?,”
“Saya dah macam tak kenal dia lagi. Tapi, sejujurnya, saya tak tahu apa-apa tentang apa yang berlaku antara Sabrina dan Encik Badrul. Kalau Encik Badrul nak tahu pasal tu, memang saya tak boleh nak tolong,”
“Sampai sekarang saya macam tak percaya, Sabrina yang saya kenal ditangkap basah dengan lelaki yang langsung saya tak kenal. Selalunya, saya tahu kawan-kawan Ina. Tapi, saya langsung tak kenal Encik Badrul ,”
Badrul tersenyum nipis. Bagaimana mungkin gadis ini boleh mengenalinya sedang dia sendiri langsung tidak tahu kewujudan gadis bernama Sabrina sehinggalah gadis itu muncul di biliknya secara tiba-tiba.
“Ikmal?,”dia melarikan soalan.
Dan, sekali lagi dia dihadapkan dengan wajah terkejut Maria.
“Encik Badrul kenal Ikmal?,”
“Kekasih Sabrina kan?,”
“Ha ah,”
“Saya tahu mereka saling berhubung tanpa pengetahuan saya. Itu yang buat saya tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang Sabrina nak dari saya. Apa sebenarnya rancangan dia dan kekasih dia tu,”
“Kenapa Encik Badrul tak Tanya sendiri pada Sabrina?,”
“Saya tak yakin pada ceritanya,”
“Saya tak tahu pula mereka masih saling berhubung,”
Dan, perbualan seterusnya ternyata tidak dapat membantunya. Dia tetap juga kabur tentang Sabrina. Kata-kata Maria hanya menambahkan rasa sangsi di hatinya. Dia mengeluh perlahan. Cuba membuang asakan perasaan yang membuat fikirannya senak.
“Assalamualaikum…,”
Badrul mengangkat muka. Darius tersenyum lebar. Dan, salam Darius Cuma dijawab di dalam hati. Juga Cuma memandang kosong Darius melangkah masuk.
“Ada problem ke?,”
Badrul menjungkit bahu sambil bersandar ke kerusi.
“Dah pukul berapa ni? Tak balik lagi ke?,”Darius bersuara lagi. Dia mula sedar akan perubahan sikap Badrul yang sedikit ketara. Dari pagi sehingga ke tengahari di tapak projek Taman Permai, jelas Badrul tidak begitu memberi tumpuan pada penerangan yang diberi. Lelaki itu lebih banyak melayan perasaan sendiri. Sesuatu yang sedikit lari dari kebiasaannya. Selalunya Badrul tidak pernah leka kalau ia berkaitan dengan kerja.
“Kenapa ni? Dari site lagi aku tengok kau semacam saja. Kau buat muka macam, buat aku gerun nak kahwin,”
Badrul menjeling. Dalam pada prihatin, Darius masih sempat melawak.
“Kalau gerun, jangan kahwin,”
Darius tersengih.
“Tak kahwin kan, rugi pula rasanya,”
“Dah tu… kahwin,”
Darius tergelak kecil. Nampak sangat Badrul sedang bermasalah. Lelaki itu membalas kata-katanya tanpa berfikir.
“Kenapa? Ceritalah. Aku dengar. For sure, aku yakin ini tak ada kena mengena langsung dengan kerja ni,”
“Entahlah. Aku macam lost,”
Darius mencebik.
“Teruk tu. Ada kena mengena dengan perempuan bernama Maria tu ke? Kenapa kau nak sangat jumpa dia?,”
“Maria tu, kawan Sabrina,”pendek sahaja penjelasan dari Badrul. Penjelasan yang membuat Darius terdiam seketika. Tidak terlintas langsung di kepalanya tentang fakta itu. Kalau Maria kawan Sabrina, kenapa Badrul mesti berjumpa dengan gadis itu?
“Mana kau tahu?,”
“Aku ternampak gambar dia dalam purse Sabrina. Di computer Sabrina. Kau ingat kan, hari tu, aku cakap, aku macam pernah jumpa dengan Maria tu..,”
Darius mengangguk.
“Kenapa kau jumpa dia? Apa yang kau nak tahu dari dia? Or apa yang kau beritahu dia? Or..dia beritahu kau?,”
Badrul mengeluh panjang. Melurut rambutnya yang hitam berkilat.
“Aku peninglah,”
“Apa masalahnya? Cuba kau jelaskan,”
“Aku Cuma nak tahu pasal Sabrina,”
“Apa kau dapat?,”
Badrul menggeleng.
“Takkan Maria tak cakap apa-apa?,”
“Tak banyak yang boleh membantu. Dia juga tak tahu apa-apa pasal kes aku dengan Sabrina,”
“Apa kau cerita pada dia?,”
Badrul menggeleng.
“Aku jumpa dia untuk bertanya. Bukan untuk bercerita,”
“So, apa yang boleh kau simpulkan?,”
“Aku blur!,”
Darius tergelak kecil.
“Tapi, yang menghairankan aku, kenapa tiba-tiba kau concern pasal masa lalu Sabrina ni? Dah mula jatuh sayang ke?,”
“I don’t know,”
Jawapan itu membuat Darius ternganga.
“Oh…my…god…,”
“Please Dar. Jangan fikir sampai ke situ,”Badrul bersuara apabila melihat senyum Darius yang lebar semacam. Dan, dia tidak suka langsung melihat senyuman itu.
“Kau suka dia?,”
Badrul diam.
“Yes. Aku betul. Kau memang suka dia,”
Badrul menjeling tajam. Mengarut. Tetapi, kalau bukan suka, apa yang sedang dialaminya ini?
“Ceritalah. Aku nak dengar,”Darius bersuara nakal. Memaksa Badrul mengeluh panjang.
“Aku tak tahu. Bila dengan dia, aku macam kena pukau. Dengar suara dia. Cara dia bercakap. Tak tahu kenapa. Aku macam terbuai. Aku suka. Maksud aku, aku suka rasa terbuai tu,”
Darius tergelak besar.
“Habislah Dayana,”
“May be sebab Dayana,”sampuk Badrul tiba-tiba.
“Apa kaitannya Dayana dengan kau dah terbuai dengan Sabrina…?,”
“Aku hilang focus pada Dayana. May be dengan kerja dia yang macam tak pernah habis tu. Bila dia tak ada, tumpuan aku teralih pada Sabrina. Mungkin itu sebabnya,”
“Okay. Aku faham. Tapi, sekarang, Dayana dah ada kat rumah kan? Kau dah boleh focus pada Dayana semula. So, apa masalahnya?,”
“Masalahnya, bila Dayana dah ada depan aku pun, kepala aku tetap terfikir pasal Sabrina,”
Jawapan itu ternyata meledakkan tawa yang lebih kuat dari bibir Darius.
“Kau dah suka pada Sabrina. Dan, kau nak siasat latar belakang Sabrina?,”
Badrul diam. Betul ke? Betul ke dia sukakan Sabrina? Rasanya perasaan itu tidak pernah muncul di hatinya. Dia suka? Atau dia tertarik? Atau dia terdesak? Sungguh dia buntu. Dia sendiri tidak tahu. Akhirnya dia Cuma mampu menjungkit bahu.
Darius mengeluh panjang. Memandang wajah Badrul yang tidak berperasaan.
“Bad. Kalau aku jadi kau, aku tak akan ungkit pasal masa silam dia. Aku akan terima dia sebagaimana aku menyukai dia. Simple. Tak payah peningkan kepala. Kau rasa dia baik. Dan, kau yakin dia baik. Itu dah cukup,”
“Mungkin aku rasa dia baik. Tapi, yakin? Aku tak yakin. Banyak sangat perkara yang boleh aku pertikaikan. Paling baru, aku tangkap dia YM dengan kekasih dia dulu. Bukan main lagi kata-kata pujuk rayu lelaki tu. Susahlah Dar. Bila aku mula nak percaya dia, dia buat kepercayaan aku hilang,”
“Dan kau cari Maria?,”
Badrul diam. Soalan itu tidak perlu dia jawab.
“Dah tu, sekarang macam mana?,”Darius bertanya lagi.
“Entahlah. Mungkin aku patut jauhkan diri aku dari dia. Aku rasa dia pun sedang lakukan benda yang sama,”
“Apa? Larikan diri juga?,”
Badrul menjungkit bahu.
“Parah betullah kau orang berdua. So, sekarang ni, dua-dua saling mengelaklah ni?,”
Kali ini, Badrul lebih suka berdiam diri.
“Bad…Bad.. Sabrina tu isteri kau. Halal pada kau. Buat apa kau nak lari?,”
“Aku tak akan terima dia macam tu saja. Pada aku, dalam perkahwinan kita perlu cinta. Bukan setakat kau perlukan aku dan aku perlukan kau. Get what I mean?,”
“Belajar bercinta. Apa susah?,”
“Cinta aku hanya pada Dayana,”
“Aku rasa kini dah terpecah juga untuk Sabrina,”
“Mengarutlah kau,”
Darius tersenyum sambil menarik kerusi rapat ke meja.
“Kalau boleh aku tahu, apa dah jadi sampai kau nak jauhkan diri dari dia? Dia pula nak mengelak dari kau?,”soalnya bersama sekuntum senyuman nakal. Badrul tidak menjawab. Cuma mencapai sebatang pen, lalu dilontar ke arah Darius. Darius tergelak sambil mengelak.
“Aku tak hairan. Orang buta pun boleh terpikat pada Sabrina tu. Cuma kau je. Pelik aku. Agaknya kau ni kategori buta dan pekak kot…,”
“Aku tak ada perasaan sayang pun pada dia,”
“Kalau tak sayang, kenapa teringat-ingat, kawan?,”
“Aku yakin, itu semua Cuma sebab aku sunyi. Aku yakin…,”
“Cara cakap macam tak yakin je…,”
Badrul menggeleng perlahan. Malas melayan cakap-cakap Darius.
“Kita tengoklah nanti. And, lagi satu, kalau kau tak sayang, kenapa kau tak nak lepaskan dia? Padahal kau kahwin dah lebih setengah tahun,”
“Aku nak siasat dulu apa yang berlaku sebenarnya,”
Darius memandang wajah Badrul yang nampak sedikit keliru.
“Ada kau siasat ke?,”
Badrul membisu. Tiada sebenarnya. Cuma, baru-baru ini dia mencari Maria.
“Kau tahu kenapa kau tak lepaskan dia?,”
“Aku baru cakap sebabnya,”
“Itu bukan sebab. Itu alasan. Sebabnya, cuma satu,”
“Apa dia?,”
“Kau tak mahu kehilangan dia,”
Badrul tergelak kecil. Jauhnya tekaan Darius.
“Tinggi betul imaginasi kau,”dia bersuara bersama gelaknya.
“Hari ni kau gelak depan aku bila aku cakap pasal perasaan kau pada Sabrina. Satu hari nanti, aku yakin, kau tak akan mampu tersenyum pun, bila kau terfikir, kau mungkin akan kehilangan Sabrina,”
“Enough..enough…dah tak larat telinga aku nak tadah apa kau cakap tu. Kepala aku pun dah berat nak proses semua tu. Aku nak balik. Dah lewat ni,”
Darius tersenyum sinis.
“Kau balik ni, Dayana ada ke?,”
“Entah,”
“Entah?,”
“Malas nak fikirlah. Itu lagi satu. Lagi aku fikir, lagi tension,”
Darius tergelak halus.
“Jangan tension-tension. Nanti timbul kedut sebelum masa. Jatuh saham,”
Badrul Cuma memandang kosong.
“Kau gelaklah sekarang Dar. Sekali kau terkena penyakit macam aku ni, baru padan muka kau,”
“Aku tak akan jadi macam kau. Sebab aku ni, jenis manusia yang redha. Aku akan pasrah pada takdir. Tak macam kau. Dah di takdirkan Sabrina tu isteri kau. Masih juga nak nafikan. Berdosa tahu!,”
“Perasan!,”
“Berdosa tau!,”ulang Darius sekali lagi. Badrul terdiam.
Darius tersenyum sambil mengangkat kening. Membuat Badrul semakin sebal.

****




BAHASA KITA BAHASA MALAYSIA

Murid : Selamat pagi, cikgu.

Cikgu : (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja?
Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?

Murid : Selamat pagi, petang dan malam cikgu!

Cikgu : Panjang sangat! Tak pernah dibuat oleh orang! Kata selamat
sejahtera! Senang dan penuh bermakna.Lagipun ucapan ini meliputi semua
masa dan keadaan.

Murid : Selamat sejahtera cikgu!

Cikgu : Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik.Hari ini cikgu nak uji
kamu semua entang perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya,
kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan
itu, faham?

Murid : Faham, cikgu!

Cikgu : Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.
Murid : (senyap)

Cikgu : Pandai!
Murid : Bodoh!

Cikgu : Tinggi!
Murid : Rendah!

Cikgu : Jauh!
Murid : Dekat!

Cikgu : Keadilan!
Murid : UMNO!

Cikgu : Salah!
Murid : Betul!

Cikgu : Bodoh!
Murid : Pandai!

Cikgu : Bukan!
Murid : Ya!

Cikgu : Oh Tuhan!
Murid : Oh Hamba!

Cikgu : Dengar ini!
Murid : Dengar itu!

Cikgu : Diam!
Murid : Bising!

Cikgu : Itu bukan pertanyaan, bodoh!
Murid : Ini ialah jawapan, pandai!

Cikgu : Mati aku!
Murid : Hidup kami!

Cikgu : Rotan baru tau!
Murid : Akar lama tak tau!

Cikgu : Malas aku ajar kamu!
Murid : Rajin kami belajar cikgu!

Cikgu : Kamu gila!
Murid : Kami siuman!

Cikgu : Cukup! Cukup!
Murid : Kurang! Kurang!

Cikgu : Sudah! Sudah!
Murid : Belum! Belum!

Cikgu : Mengapa kamu semua bodoh sangat?
Murid : Sebab saya seorang pandai!

Cikgu : Oh! Melawan!
Murid : Oh! Mengalah!

Cikgu : Kurang ajar!
Murid : Cukup ajar!

Cikgu : Habis aku!
Murid : Kekal kami!

Cikgu : O.K. Pelajaran sudah habis!
Murid : K.O. Pelajaran belum bermula!

Cikgu : Sudah, bodoh!
Murid : Belum, pandai!

Cikgu : Berdiri!
Murid : Duduk!

Cikgu : Saya kata UMNO salah!
Murid : Kami dengar KeADILan betul!

Cikgu : Bangang kamu ni!
Murid : Cerdik kami tu!

Cikgu : Rosak!
Murid : Baik!

Cikgu : Kamu semua ditahan tengah hari ini!
Murid : Dilepaskan tengah malam itu!

Cikgu : (Senyap dan mengambil buku-bukunya keluar.)

SUMBER: TIDAK DIKETAHUI
[11:35:50 PM] hos.getah: