Wednesday, July 14, 2010

Sekadar Di hati...12

Luqman mematikan langkah perlahan-lahan. Pandangan terus melekat pada satu wajah murung di sisi ibunya. Untuk seketika hatinya disapa rasa bersalah. Dengan hati sedikit berbelah - bagi, langkah terus dihayun. Semakin mendekat dan semakin serba-salah. Dia tidak mengandaikan kebetulan ini. Dia tidak bersedia rupa-rupanya untuk berdepan dengan situasi itu.



“Assalamualaikum,”akhirnya, perlahan sapaan diberi. Dua wajah yang sedikit membelakanginya tiba-tiba serentak menoleh. Merenung wajahnya dengan riak seribu kecewa. Dia maklum itu. Maklum akan kecewa ibunya. Juga maklum akan kecewa gadis bersama ibunya itu. Salamnya berjawab lemah.


“Kamu dari mana ni?,”


“Dari kelas. Saja singgah kejap. Nak jenguk mama…,”


Ibunya berpaling muka. Saat tangan dihulur, ibunya mencapai tanpa menatap wajahnya.


“Tak payah. Mama sihat. Tak payah jenguk pun tak apa…,”


Luqman mengukir senyum. Cuba membiasakan diri dengan rajuk ibunya itu. Harapannya cuma satu. Moga rajuk itu tidak lama. Seketika memandang wajah ibunya yang mencuka, matanya terarah pula pada wajah sayu yang merenungnya. Wajah yang telah dia kecewakan hatinya.


“Aween sihat?,”


“Tubuh sihat. Hati tak sihat…,”


Nada rajuk juga ditemui di situ. Membuat dia semakin disapa rasa bersalah. Wajah membeku itu cuma mampu dipandang. Tiada alasan menggunung untuk dia ubatkan hati Darween saat ini. Tindakannya memang salah. Dia tidak pernah nafikan itu. Dan, dia tidak kejam untuk menagih sekelumit faham dari Darween. Dia tahu hati Darween sakit. Kalaupun ada marah, Darween berhak untuk memiliki rasa itu.


“Memang elok pun kamu datang. Jelaskan sendiri pada Aween ni. Mama nak masuk,” dingin suara ibunya dengan nada separuh mengarah. Laju sahaja wanita itu mengangkat punggung. Sebelum sempat dia bersuara, ibunya telah melangkah meninggalkannya bersama Darween. Membuat dia kaget seketika. Buntu mencari kata-kata buat memecah suasana yang tiba-tiba membeku.


“Selamat pengantin baru…,”


Hatinya tersapu hiba mendengar ucapan Darween yang jelas penuh kesedihan. Perlahan dia menarik nafas. Perlahan juga menarik kerusi. Mengambil tempat di hadapan wajah mendung itu. Hati itu perlu dipujuk. Bagaimana? Dia sendiri tidak pasti.


“Bila Aween balik Malaysia?,”dia mula membuka bicara.


“Dah seminggu,”


“Aween ok?,”


Darween mengangkat muka. Menatap wajah Luqman dalam-dalam. Soalan yang sedikit membangkitkan amarahnya. Tega lelaki itu mengeluarkan soalan sebegitu.


“Abang nak Aween cakap, Aween ok? Ya, bang, Aween ok. Tersangat ok. Tersangat ok, bila semua barang persiapan pertunangan Aween yang Aween dah beli kat sana, terpaksa Aween campak dalam tong sampah. Tersangat ok bila senarai panjang jemputan tamu ke majlis pertunangan Aween, terpaksa Aween koyak. Tersangat ok, bila hari abang bernikah di sini, Aween menangis sendirian di sana. Aween tersangat ok, bang,”


Luqman tenang menatap wajah marah Darween. Itu luahan rasa yang terpendam di hati gadis itu.


“Abang tahu keputusan yang abang buat ni, tak adil bagi Aween. Abang tak akan bagi apa-apa alasan pada Aween. Abang tak layak untuk minta maaf pun, pada Aween. Cuma satu yang abang nak Aween tahu. Abang kesal sebab terpaksa lukakan perasaan Aween. Abang yakin, walau segunung pun ucapan maaf abang, luka di hati Aween tak akan hilang. Tapi, abang bersyukur kalau Aween boleh cuba untuk faham dan terima keputusan abang ni,”


Darween menunduk. Kata-kata Luqman dibiarkan cerna di gegendang telinga tanpa sebarang reaksi. Diam sambil membenarkan akalnya terus berserabut dengan pelbagai perasaan. Dia malas bersuara. Dia tidak mahu bersuara. Rasa marah dan geram dikecewakan masih kuat melekat. Rasa sedih ditinggalkan juga seakan tidak mahu pergi dari hatinya.


“Tak sangka. Abang sanggup tunggu sampai empat tahun. Dan, bila kita sudah boleh bersama, abang tinggalkan Aween macam tu saja,”


“Kita cuma merancang…,”


“Sudahlah bang. Penat Aween dengar ayat tu. Dari dulu pun, itu juga yang abang ulang. Mungkin sejak dari dulu, komitmen abang pada hubungan kita memang tak pernah ada. Dulu, sebelum Aween ke sana pun, abang cakap benda yang sama. Kita cuma merancang, yang tentukan segalanya Tuhan. Itu cuma satu alasan paling kuat untuk keluar dari masalah macam ni, kan?,”


Luqman mengeluh perlahan. Darween mula mengungkit. Juga mula membuat andaian sendiri. Andaian yang tidak pernah terlintas di fikirannya.


“Aween pun tahu abang tak suka nak menabur janji. Abang tak suka beri harapan menggunung pada perkara yang masih jauh,”


Darween berpaling muka.


“Supaya abang bebas buat keputusan mengejut macam ni?,”sinis soalan yang meniti di bibir Darween.


“Aween…,”Luqman bersuara lembut. Membuat Darween menoleh padanya perlahan-lahan. Sedikit sukar untuk dia mencipta sebabak pertengkaran dengan lelaki setenang Luqman. Marahnya cuma disambut dengan panggilan selembut itu. Wajah Luqman direnung lama. Ada rindu terdetik di hati pada wajah itu. Ada marah mencela jiwa bila terpandang tenang wajah itu. Ada rasa tidak terluah yang membuat dia terseksa setiap kali teringatkan lelaki di hadapannya ini, kini bukan lagi miliknya. Lelaki ini sudah menjadi milik gadis lain.


“Maksu dah cakap tadi…,”akhirnya bicaranya melemah.


Luqman sedikit terperangah. Menentang renungan Darween. Hatinya tiba-tiba sedikit kacau. Tiba-tiba digaru resah. Apa yang telah diceritakan ibunya?


“Apa mama cakap?,”


“Aween tahu kenapa abang nikah…,”


“Maksud Aween?,”


“That girl! Budak perempuan tu mengandung kan?,”


Luqman terdiam. Kalau boleh dia tidak mahu semua kisah ini sampai ke telinga sesiapa lagi. Tetapi, ibunya tega menjaja aib yang dicipta oleh anak sendiri.


“Tapi, yang Aween tak faham, kenapa abang yang perlu tanggung semua tu? Kenapa abang nak jadi pak sanggup sampai menikah dengan budak tu? Berapa ramai budak perempuan yang mengandung tak ada ayah, abang nak ambil jadi isteri?,”


“Aween…,”


“Abang tak cintakan budak tu, kan?,”


“Aween tak boleh tanya abang macam tu,”


“Kenapa? Aween faham kalau abang cuma nak tolong budak tu. Lepas semuanya selesai. Lepas budak tu bersalin, abang kembali pada Aween. Aween tunggu abang…,”


“Apa lagi mama cakap dengan Aween?,”Luqman bersuara dengan nada sedikit mendatar. Dia mahu tahu apa lagi yang diceritakan ibunya tentang Najwa.


“Itu saja,”


“Mama tak cakap, siapa bapa kepada anak tu?,”


Renungan Darween kini menikam tajam wajahnya.


“Kenapa? Abang tahu ke siapa bapa budak tu? Kalau abang tahu, kenapa abang masih nak ambil tanggungjawab tu? Kenapa abang bodoh sangat?,”sedikit tinggi suara Darween melepaskan amarah. Dan, kemarahan itu memberitahunya yang tidak sepenuhnya cerita tentang Najwa keluar dari bibir ibunya. Darween tidak tahu penyebab kepada masalah itu adalah adiknyanya sendiri.


“Aween tak fahamlah. Kenapalah abang ni bodoh sangat? Agaknya betul maksu cakap, budak tu dah guna-gunakan abang,”


Luqman tersenyum kecil.


“Takkan doktor macam Aween, pun percaya benda-benda macam tu?,”


Darween menjeling. Lebih tajam dari sebelumnya.


“Aween cakap pasal abang. Bukan pasal Aween. Kenapa abang terima budak perempuan tu? Kenapa abang sanggup ketepikan Aween semata-mata budak yang mengandung tanpa nikah tu?,”


“Aween, kalau soalan itu, abang sendiri dah banyak kali bertanya pada diri abang sendiri. Cuma satu jawapan yang abang ada. Ini yang ditetapkan untuk abang. Jadi abang terima,”


“Jadi, Aween pula dah ditetapkan untuk dikecewakan? Begitu?,”


“Aween, pasti ada hikmah di sebalik semuanya ni,”


Darween mencemik.


“Aween tak akan maafkan budak tu. Dia dah rampas abang dari Aween,”


“Jangan cakap macam tu, Aween,”


“Abang cuma milik Aween. Abang tak boleh jadi milik dia. Aween tahu abang tak cintakan dia. Aween akan tunggu sampai budak tu bersalin. Dan, abang akan tinggalkan dia. Kan? Abang akan tinggalkan dia untuk bersama Aween…,”


“Darween. Abang tak suka Aween cakap macam tu,”Luqman bersuara sedikit tegas.


Darween membisu. Cuma menatap wajahnya bersama pipi yang tiba-tiba lencun dengan air mata.


“Bagi abang, ikatan perkahwinan bukan perkara yang main-main,”sambung sambil terus memandang wajah Darween. Darween perlu faham bahawa pernikahan dia dan Najwa bukan pernikahan sebabak. Sebaik dia lafazkan akad, perkataan cerai sudah dia padam dari patri ikatan akadnya. Tiada langsung niatnya ke arah itu.


“Aween akan tunggu, bang,”


Luqman menarik nafas perlahan-lahan. Ingin bersuara tetapi, sedikit terganggu dek deringan telefon bimbitnya. Pantas telefon di dalam poket seluar, dikeluarkan.


“Sekejap, Aween,”dia bersuara sambil mengangkat punggung. Tidak mahu berbicara di hadapan Darween. Tidak mahu membuat Darween lebih marah andai gadis itu tahu yang sedang menghubunginya saat ini adalah Najwa.


“Assalamualaikum. Aja?,”dia menjawab panggilan itu dengan jarak sedikit jauh.


“Abang. Maaf kalau Aja ganggu kerja abang. Aja takutlah bang. Ada darah…,”


Suara cemas Najwa turut membawa rasa itu kini membalut dirinya pula.


“Darah apa?,”


“Macam bleeding…,”


“What?!,”


“Apa Aja nak buat ni bang?,”


“Aja tunggu. Abang balik sekarang. Aja jangan banyak bergerak,”


“Okay. Cepat ya bang. Aja takut,”


“Ya. Abang balik sekarang,”panggilan segera dimatikan. Tiba-tiba dia diamuk bimbang. Terukkah pendarahan itu? Bagaimana pula keadaan gadis itu?


“Aween, abang balik dulu ya. Cakap dengan mama abang, nanti abang call dia,”


“Cepatnya. Aween belum habis…,”kata-katanya putus di situ. Luqman sudah menjauh. Langsung tidak menoleh padanya. Membuat dia merengus marah.


“You are too much, Luqman…,”tanpa sedar dia berbisik perlahan. Merenung kereta Luqman yang sudah mula bergerak meninggalkan perkarangan banglo dua tingkat itu. Dia tidak pulang ke Malaysia untuk satu lagi kekecewaan yang lebih mengguris hatinya.






*****
[11:35:50 PM] hos.getah: