Tuesday, February 17, 2009

Pergilah Air Mata 41


Ikmal membelek surat khabar tanpa perasaan. Tumpuannya lebih pada Maria. Sejak daripada menjejak kaki ke rumahnya hampir setengah jam yang lalu, gadis itu terus termenung. Sapaannya cuma dibalas dengan sekuntum senyuman yang nampak terlalu hambar. Satu keadaan yang cukup aneh. Apa sebenarnya yang sedang Maria fikirkan?
“Mar, mari minum sekali,”ibunya menyapa sambil membawa dulang. Meletakkan perlahan dulang di atas meja. Sekilas wanita separuh umur itu bermain mata dengan Ikmal. Ikmal menjungkit bahu. Faham isyarat ibunya. Ibunya bertanya tentang kelainan sikap Maria.
“Kamu bergaduh?,”bisik ibunya perlahan. Ikmal menggeleng.
“Dah tu, kenapa macam tu jadinya?,”
“Saya pun tak tahulah, mak,”
“Kalau tak tahu, tanyalah. Takkan itu pun nak kena ajar?,”
Ikmal tersenyum kecil. Ibunya sekali lagi bermain isyarat mata sebelum beelalu masuk semula. Meninggalkan dia bersama Maria.
“Mar…,”
Maria berpaling.
“Kenapa ni? Ada masalah ke? Diam saja dari tadi,”
Maria mengeluh perlahan. Memandang wajah Ikmal. Sungguh di luar dugaannya, cerita yang Badrul sampaikan beberapa hari lalu. Seperti mana pertemuannya dengan Badrul yang juga di luar dugaannya. Tidak pernah menyangka satu hari suami Sabrina akan mencarinya. Tanpa pengatahuan Sabrina. Dia yakin tentang itu.
“Maria?,”
Maria tersenyum kecil. Perasaannya terhiris. Itu hakikat yang perlu ditelan. Sangkanya dia telah berjaya membuang jauh-jauh bayang Sabrina dari hati Ikmal. Ternyata sangkaannya salah. Sabrina masih lagi beraja di hati lelaki itu. Sukarnya memisahkan Ikmal dengan Sabrina. Sukarnya untuk dia memiliki cinta lelaki ini. Sekali lagi dia mengukir senyum buat Ikmal. Melangkah lemah mendekati lelaki itu.
“Kenapa ni? Kau ada masalah?,”
Maria menjungkit bahu.
“Entahlah. Kalau boleh cakap sebagai masalah, masalahlah kot,”
“Lain macam je bunyinya,”
Maria tersenyum tawar. Merenung wajah Ikmal.
“Apa kau rasa sekarang?,”soalnya lambat-lambat. Membuat Ikmal menutup perlahan akhbar di tangannya. Tidak faham maksud soalan itu. Namun, tidak tahu kenapa, soalan Maria sedikit menyentap tangkai jantungnya. Terasa seperti ada sesuatu yang bermain di fikiran gadis itu. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan Maria.
“Maksud kau? Aku tak faham. Rasa macam mana?,”
“Yalah. Apa kau rasa sekarang? Hidup kau. Perasaan kau. Semuanyalah,”
“Biasa saja. Kenapa?,”
“Pertunangan kita ni? Apa kau rasa bila kau ingat kita kini dah bertunang?,”
Ikmal diam. Soalan Maria memang sukar untuk dijawab. Jawapan ikhlas pasti membuat gadis itu tersinggung. Dan, berbohong pada Maria, rasanya dia tidak suka berbohong.
Maria tersenyum pahit.
“Aku tahu apa yang ada dalam kepala kau tu. Kau risaukan aku kan? kau takut aku sedih dengan jawapan kau kan? tapi, aku rasa aku akan lebih sedih kalau kau cuba selindungkan sesuatu dari aku,”
“Maksud kau?,”
Maria mengeluh perlahan.
“Mal… mulut kau mungkin boleh mereka seribu cerita untuk sedapkan hati aku. Tapi, mata kau? Mata kau tak mampu berbohong. Aku sedar, bukan aku yang kau mahu. Aku sedar, kau terpaksa pilih aku sebab mak. Hati aku lebih tenang kalau kau boleh berterus-terang dengan aku. Kau dah tak perlukan aku kan?,”
“Maria…,”
“Sekarang ni, dah tak ada apa yang hendak dirisaukan. Kita boleh putuskan ikatan ini, kalau itu boleh membahagiakan kau. Kau tak perlu risau. Aku boleh hadapi semua ni. Nanti aku akan cari alasan untuk aku beritahu mak, dan keluarga aku,”
“Maria. Kau jangan cakap macam tu. Aku tak suka dengar,”
“Ini kenyataan Mal. Aku tak mahu kau terima semua ni sebab terpaksa. Banyak kali aku cakap dengan kau kan?,”
“Tak. Aku tak terima semua ni sebab aku terpaksa. Aku terima semua ni, sebab aku memang nak semua ni,”
“Kau bohong, Mal. And, you know something? Kau bukan pembohong yang baik…,”
“Well. Mungkin aku bohong. Tapi, aku memang mahu kita teruskan semua ni. apa yang aku perlukan mungkin Cuma masa,”
“Tapi, kau tak pernah cintakan aku kan? Dalam hati kau Cuma ada Ina. Berapa banyak masa pun yang aku ambil, Ina tetap tak akan hilang dari hati kau. Aku faham. Sebvab tu, kalau kau nak putuskan ikatan pertunangan ni, dan cari Ina, aku rela. Aku rela kau cari Ina. Hidup dengan Ina. Aku Cuma nak tengok kau bahagia. Cuma itu,”
“Tak mungkin,”
“Mungkin kau nak berjuang demi cinta kau?,”
Ikmal mengeluh perlahan. Teringat sapaannya pada Sabrina yang berakhir dengan pertelingkahan dengan suami Sabrina. Sabrina langsung tidak membalas sapaanya. Mungkin Sabrina sudah mula melupakannya. Atau mungkin Sabrina tidak mahu mengeruhkan hubungan dia dan suami. Dia tidak tahu. Yang dia tahu, dia menyesal dengan tindakannya itu. Tidak sepatutnya dia mengganggu isteri orang. Meskipun, satu masa dahulu, wajah Sabrina pernah menghiasi segenap sudut kamar hatinya. Dia mengangkat muka. Memandang wajah Maria yang mendung. Membuat dia jatuh simpati.
“Kenapa kau sanggup lakukan apa saja untuk lihat aku bahagia?,”soalnya sambil terus merenung wajah itu.
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Sejak dulu, aku memang tak sanggup tengok kau bersedih, Mal. Bila kau betul-betul sukakan Ina, aku cuba rapatkan kau dengan Ina. Bila Ina bersedih, aku cuba hilangkan sedihnya. Sebab aku tahu, kau tak suka Ina bersedih. Aku sanggup buat apa saja untuk tengok kau gembira Mal. Kalau kau Tanya kenapa aku buat semua tu, Aku minta maaf. Aku tak ada jawapannya. Mungkin sebab kau kawan aku,”
“Atau mungkin sebab kau cintakan aku?,”
Maria tergelak kecil. Melarikan mata dari terus bertembung dengan renungan lembut Ikmal. Renungan yang membuat dadanya seakan mahu pecah. Itulah yang selalu Sabrina katakan padanya. Dan, dia Cuma tersenyum mendengar omelan temannya itu. Berangan agar satu hari nanti, renungan itu bakal menjadi miliknya. Hari ini, dia mendapat renungan itu. Renungan yang dia dambakan sekian lama.
“Maria…,”
Maria tersenyum sambil tunduk. Seketika dia begitu sebelum dia mengangkat muka. Bertembung semula dengan renungan Ikmal.
“Aku sanggup lakukan apa saja untuk lihat kau terus tersenyum Mal,”
“Dan, kau yakin, dengan apa yang kau dah buat pada aku, aku sanggup lepaskan kau macam tu saja? Berapa kali aku cakap, aku tak sekejam tu,”
“Tapi, tak guna kalau kau terpaksa. Aku tahu kau terlalu cintakan Sabrina. Aku hormat perasaan kau tu. Sebab tu, aku rasa, aku perlu buat sesuatu,”
“Apa lagi yang kau nak buat Mar?,”
“Putuskan pertunangan kita. Dan, biarkan kau bersama Sabrina,”
“Dan kau? Apa kata orang kalau tiba-tiba pertunangan kita putus macam tu saja? Kau tu perempuan,”
Maria tergelak kecil.
“Orang bercakap. Orang mengata. Kemudian orang lupa. Tak payah risau. Yang penting, kau dan Sabrina boleh bersatu. Aku yakin, Ina pun masih mengharapkan kau,”
“Mungkin tak,”
Maria diam. Barangkali Ikmal ingin bercerita tentang cerita yang dia dapat dari Badrul.
“Kenapa kau cakap macam tu?,”
“Ini bukan filem cinta Mar. Nak perjuangkan cinta. Dia dah jadi isteri orang Mar,”
“Tapi, kau tetap teringatkan dia kan? Kalau dia pun sama, mungkin kau masih ada jodoh dengan dia,”
“Entahlah Mar. baru-baru ni aku ada YM dia. Dia tak reply pun. Aku tahu dia berhak buat macam tu. Sebab dia isteri orang. Dia bukan lagi kekasih aku. Itu silap aku,”
“Silap kau?,”
Ikmal mengangguk perlahan. Memang menyakitkan mengingati kenyataan itu. Tetapi, walau sepahit mana, dia tetap kena terima. Sudah berkali mindanya disogokkan dengan kata semangat sebegitu. Namun, akhirnya dia tetap kalah.
“Silap aku. Aku tak patut cari dia, kan?,”
“Cinta kau yang cari Ina, Mal. Bukan silap kau,”
“Sabrina dah jadi isteri orang. Kenapalah sampai sekarang aku tak boleh terima terima hakikat tu?,”
Maria diam. Kali ini, Ikmal pula yang berubah muram. Melihat kelibat ibu Ikmal di ruang tamu, Maria mengeluh perlahan. Memandang wajah Ikmal.
‘Maafkan aku, Mal’ hatinya berbisik perlahan. Dia terpaksa. Terpaksa berusaha untuk terus memiliki Ikmal. Yakin mata ibu Ikmal terpaku padanya, perlahan dia menanggalkan cincin pertunangan di jari manisnya. Tindakan yang membuat Ikmal terkejut. Memang dia mahu Ikmal terkejut. Lebih dari itu dia mahu ibu Ikmal yang terkejut.
“Mungkin aku tak layak untuk cincin ni, Mal,”ujarnya perlahan sambil menarik tangan Ikmal. Meletakkan cincin di telapak tangan lelaki itu.
“Maria! Apa ni?,”soal Ikmal binggung. Tindakan Maria diluar jangkaan.
“Aku tak layak, Mal. Cincin ini hanya untuk Sabrina. Aku mengaku, aku dah mula sayang pada hubungan ni. Dah mula berangan yang indah-indah. Tapi, tak mungkin aku boleh capai semua tu, kalau kau masih tak dapat lupakan Sabrina. Aku doakan yang terbaik untuk kau dan Sabrina. Mungkin jodoh kau dengan dia masih ada,”
“Mengarut!,”
Ikmal tersentak. Nafisah menjerit marah. Tidak boleh terima apa yang baru singgah di telinganya. Maria menelan liur.
“Apa semua ni? Ikmal! Jelaskan pada mak,”
“Tak ada apa-apa, mak. Mar, kenapa ni? Apa semua ni? ,”Ikmal menjawab bersama satu soalan untuk Maria. Tindakan Maria benar-benar membuat dia terkejut.
Maria terdiam.
“Kamu masih juga cari Si Ina tu ya? Kenapa ni Mal? Tak cukup ke apa yang Maria buat pada kau? Macam-macam dia buat semata-mata nak lihat kau gembira semula. Mak tak suka kau sia-siakan Maria macam ni,”
“Mana ada mak? Ini semua salah faham. Saya tahu dah banyak Maria berkorban demi saya. Saya tak akan sia-siakan Maria. Percayalah,”
“Kalau macam tu, kenapa sampai Maria bagi balik cincin tu? Kamu minta putus?,”
“Bukan mak. Bukan salah Ikmal. Saya yang cadangkan pada Ikmal. Soal perasaan kita tak boleh paksa mak,”Maria segera menyampuk. Nafisah merengus marah. Merenung tajam wajah Ikmal yang kelihatan serba-salah.
“Kamu tak akan jumpa perempuan lain macam Maria ni, Mal. Dia sanggup ketepikan perasaan dia kerana kamu. Kamu pula sibuk kejar isteri orang!,”
“Ini semua Cuma salah faham, mak. Saya tak akan putuskan ikatan pertunangan ni. saya akan kahwin dengan Maria. Saya akan jadikan dia isteri saya. Itu janji saya,”
Nafisah diam. Mendengar pengakuan itu, hatinya sedikit sejuk. Memandang wajah Maria yang mendung, perlahan dia melabuhkan punggung di sebelah gadis itu. Merangkul bahu Maria mesra.
“Mak hanya nak Maria saja jadi menantu mak,”
Maria tersenyum kecil.
“Terima kasih mak,”
“Dan, aku hanya akan kahwin dengan kau. Itu janji aku,”tambah Ikmal bersama senyum yang dia sendiri tidak tahu maksudnya.
Maria tersenyum lagi. Bahagia mendengar pengakuan Ikmal. Ikmal membalas senyuman itu. mencapai jemari Maria. Cincin di tangannya, disarungkan semula ke jari manis Maria. Nafisah tersenyum lega. Hampir tercabut jantungnya saat dia melihat Maria menanggalkan cincin di jari tadi.
“Mak tak nak dengar apa-apa lagi lepas ni,”
“Maafkan saya, mak,”Maria bersuara perlahan.
“Bukan salah kamu. Ikmal ni, kena sedar sikit. Jangan asyik hanyut dengan cerita lama Jangan sibuk kejar isteri orang ,”
Ikmal diam. Sindiran ibunya dibalas dengan senyuman yang tidak begitu manis. Nafisah mengangkat punggung. Ingin meninggalkan Ikmal dan Maria menyambung bicara.
“Sorry Mal. Aku tak tahu mak kat dalam tadi. Tak pasal-pasal kau kena marah,”Maria bersuara. Cuba mewujudkan riak bersalah di wajahnya. Ikmal tersenyum.
“Tak apa. Bukan tak biasa kena marah,”
Maria tergelak kecil.
“Jangan buat macam ni lagi. Bukan mak saja yang terkejut. Aku pun terkejut,”
“Kau terkejut?,”
Ikmal diam. Memandang wajah Maria agak lama. Berharap satu hari akan timbul satu perasaan istimewa buat gadis sebaik Maria.
“Sejujurnya memang aku terkejut. Tak sangka kau nak akhiri semua ini. Mungkin cinta tu belum ada antara kita. Tapi, ikatan ini terlalu istimewa untuk kita putuskan begitu saja,”
“Sabrina?,”
“Aku janji. Mulai hari ini, Sabrina hanya akan jadi sejarah pada aku. Aku mahu kita mulakan hidup baru. Kau dan aku. Dan pertunangan kita,”
Maria tersenyum manis.
“Itu kata-kata paling indah pernah keluar dari bibir kau. Kata-kata indah untuk aku,”
Ikmal tergelak Cuma. Mencapai jemari Maria lalu di bawa ke dalam genggamannya.
“Aku minta maaf. Aku tahu, dalam pada kau tak kisah, hati kau menangis kan?,”
“Honestly, yes. Kenapa? Kau jangan Tanya. Sebab aku sendiri tak ada jawapannya. Mungkin macam kau cakap tadi. Ikatan ini…walau tanpa cinta, ianya terlalu istimewa,”
Ikmal diam. Terus menggenggam jemari lembut Maria bersama seribu persoalan yang gagal dia temui jawapannya. Doanya Cuma satu. Agar dia tidak menyakiti hati Maria lagi. Agar dia mampu membuang wajah Sabrina. Agar dia mampu menerima Maria…Mampu menyayangi Maria sebagaimana dia menyayangi Sabrina. Malah kalau boleh, biarlah lebih dari itu.

***
[11:35:50 PM] hos.getah: