Sunday, April 4, 2010

Sekadar Di hati...6

“Mak marah ke?”



Hashimah diam. Memang sedikit terkejut dia melihat kepulangan anak gadisnya itu bersama seorang lelaki asing. Dia tidak kenal lelaki itu. Najwa pula, tidak pernah berbuat begitu sebelum ini.


“Mak…Aja minta maaf ya. Aja tahu mak marah,”


“Mak bukan apa. Nanti jiran-jiran tengok, timbul cerita lain pula. Mak tak nak jadi buah mulut nanti. Belum ada apa-apa ikatan dah bawa balik ke rumah,”


Najwa tunduk. Bersimpuh sambil tangan diletak di riba ibunya. Mahu berterus-terang, tidak ubah seperti dia menghunus pisau ke jantung ibunya. Mahu berdalih, alasan apalah yang mampu dia cari? Bukannya sebelum ini dia tidak boleh balik sendiri. Wajah ibunya dipandang lagi. Segunung rasa bersalah bersarang di hati tatkala matanya berlaga denganr renungan lembut ibunya.


“Aja minta maaf, mak,”air mata menitik perlahan-lahan. Laju mengalir ke pipi.


“Aja… kenapa ni?,”


“Lepas ni, Aja tak buat lagi, ya mak,”


Hashimah diam. Tersenyum melihat air mata di pipi anak sulungnya itu.


“Kenapa sampai menangis ni…,”lembut soalan meniti dibibir sambil jemarinya mengusap wajah Najwa.


“Makcik… bukan salah Najwa. Saya yang berkeras nak ikut. Dia dah melarang. Saya yang nak juga ikut Najwa balik kampung. Nak tengok suasana kampung. Maklumlah, saya tak ada kampung, makcik,”


Najwa mengangkat muka. Hashimah sedikit terkejut. Tidak menyangka rungutannya sampai ke telinga tetamu. Senyum kelat terukir di bibirnya. Bersalah pula membuat tetamu disapa serba-salah dek omelannya.


“Najwa pun dah sampai. Kalau makcik keberatan, saya boleh balik…,”


“Ish…jangan..jangan… takkan baru sampai nak balik semula ke KL. Jauh tu. Bukannya dekat,”


Luqman tersenyum.


“Tak apa. saya boleh tidur kat hotel. Kat pekan,”


“Jangan..jangan… Dah susah-susah hantar anak dara makcik ni, nak terus balik pula. Makcik minta maaf. Tak patut layan tetamu macam tu. Kan? Luqman bermalam saja di sini. Makcik minta maaf, ya,”


“Tak apa, makcik. Saya faham,”


“Luqman ni, kawan Aja ya?,”


Luqman mengangguk.


“Aja, pergilah sediakan minuman. Penat Luqman memandu ni,”


Najwa mengangguk sambil mengangkat punggung. Berlalu ke dapur. Luqman yang bertenggek di tangga, kemudiannya begerak mengambil tempat di kerusi. Berdepan dengan Hashimah.


“Aja cakap baliknya sekejap saja. Ingat boleh berlama dengan dia. Sejak kerja kat KL, balik pun jarang. Harapkan cakap di telefon aje. Sejak akhir-akhir ni, sepi pula. Risau makcik dibuatnya. Baru nak cuba-cuba telefon, tengok-tengok dah ada kat laman rumah. Budak Aja ni, suka sangat buat makcik terkejut,”


Luqman tersenyum. Riang wajah Hashimah bercerita tentang anak perempuannya itu.


“Aja ada berapa orang adik? Katanya dia yang sulung. Tapi, tak pernah nak cerita pasal keluarga dia,”


“Tiga orang. Seorang perempuan. Dua lelaki. Semuanya sekolah lagi. Itulah… kesian Aja. Dia cakap, lepas periksa, dia nak sambung belajar. Tapi, dia pula yang kena kerja sebab adik-adik nak belajar. Dia tak bersungut, tapi makcik tahu, dia sedih,”


Luqman mengangguk perlahan.


“Adik-adik, semua sekolah ya?,”


“Ya. Najihah sekarang tingkatan empat. Hafizi dengan Hafizul, darjah lima. Kembar,”


“Mana mereka?,”


“Kejap lagi, baliklah tu. Ada program di sekolah kata mereka tadi,”


Luqman mengangguk perlahan.


“Dah lama ke Luqman kenal Najwa?,”


“Tak lama sangat. Dan, tak baru sangat. Maaf ya makcik. Saya yang beria-ia nak datang. Saya betul-betul tak ada niat nak buat makcik kurang selesa,”


Hashimah tersenyum kecil.


“Bukan soal selesa ke tidak, Luqman. Cuma, ye lah. Ni kan kampung. Tengok yang pelik sikit, banyak pula mulut nak menegur. Makcik ni, sorang-sorang aje. Tinggal dengan anak-anak aje. Mulut orang, faham-faham ajelah. Tapi, tak apalah. Mulut tempayan boleh kita tutup. Ya tak? Mulut orang, kita tunggu ajelah nanti,”


Luqman tergelak. Penjelasan yang diselit sedikit humor. Namun, dia faham akan titik tolak yang cuba ibu Najwa sampaikan.


“Nanti Najwa balik sekali dengan Luqman ke?,”


“Kalau makcik tak keberatan,”


“Hmm.. tak apalah. Ni…kawan biasa ke kawan luar biasa sikit?,”


Luqman tersenyum. Tiada jawapan. Kehadiran Najwa bersama dulang berisi sirap, menyelamatkannya daripada soalan itu.


“Minumlah bang,”


“Terima kasih,”


Hashimah tersenyum. Memandang wajah najwa yang sedikit pucat.


“Aja sakit ke? Tak sihat ya? Pucat aje,”


Najwa kelu. Berbohong? Dia tidak sampai hati. Berterus-terang, dia tidak sanggup.


“Kerja siang malam. Overtime manjang, macam mana muka tak pucat, makcik,”


Hashimah berpaling mencari wajah Luqman. Penjelasan itu meruntun hatinya. pandangannya dialihkan ke wajah Najwa.


“Mak tahu Aja kena cari duit untuk adik-adik. Untuk mak. Tapi, diri Aja, Aja kena jaga. Jangan paksa diri. Mak tak nak Aja jatuh sakit nanti. Ingat tu, ya,”


Najwa tunduk. Kata-kata itu bagai selumbar. Membenam perlahan-lahan ke hati. Kejamnya diri semakin kuat menyeksanya. Segera dia menyapu air mata yang mahu bertandang.


“Aja ok, mak. Jangan bimbanglah,”


“Bimbanglah. Aja kat sana sorang-sorang. Sakit..demam..siapa yang nak jaga?,”


“Aja dah besar, mak,”


“Dah besar, dah tak jadi anak mak ke?,”


Najwa tergelak kecil. Luqman sekadar tersenyum. Paparan di hadapannya jauh benar dari cerita-cerita yang meniti di bibir Zarith. Hatinya yakin, inilah najwa yang sebenar. Kesal rasanya melihat gadis sebaik Najwa terpaksa lalui lorong sehitam ini.


“Makcik, surau di mana ya?,”dia mencelah tiba-tiba.


“Luqman nak ke surau ke?,”


Luqman tersenyum.


“Ingat nak Maghrib di surau,”


“Nanti boleh ikut sekali Hafizi dengan Hafizul. Rehatlah ya. Makcik nak siapkan makan malam. Tapi,makan cara orang kampung ajelah, Luqman,”


“Aja tolong mak, ya,”


“Aja temankan Luqman minum dulu. Kesian Luqman sorang-sorang nanti,”


Najwa diam. Tidak jadi mengangkat punggung mengikut ibunya yang sudah melangkah ke ruang dapur.


“Terima kasih bang,”


“Terima kasih kenapa pula ni?,”


“Untuk semuanya. Budi abang saya tak akan lupa sampai mati,”


“Sudahlah tu. Jangan fikir sangat. Nanti pening…,”usik Luqman sekadar mahu melihat gadis itu tersenyum. Najwa tersenyum kecil.


“Saya ke dapur ya. Abang nak mandi ke? Beg pakaian abang, saya letak dalam bilik tu. Bilik Hafizul dengan Hafizi,”


“Yalah,”


Luqman senyum lagi dan dia terus bersandar menyaksikan suasana kampung di remang senja melalui jendela yang masih terbuka. Serentak dia mendengar riuh suara di halaman. Dia menjenguk. Senyum kecil menghias bibir melihat seorang remaja perempuan dan sepasang kembar di halaman. Pasti adik-adik Najwa.


“Mak! kereta siapa ni?!,”laungan itu membuat dia senyum lagi.










****
[11:35:50 PM] hos.getah: