“Ada
masalah boleh share dengan saya,”dia bersuara tenang sambil menyusun beberapa
helai kertas-kertas maklumat produk dan syarikat ke dalam file. Tegurannya berjaya
menarik perhatian Farisya yang sedari tadi diam. Selama dia memberi penjelasan
kepada beberapa prospek yang dibawa, Farisya seperti tidak begitu memberi
tumpuan.
“Trisya tak ikut hari ni?,”
Farisya mengukir senyum. Memberi
jawapan dengan satu gelengan kecil.
“Okaylah. Saya balik dulu. Nanti,
apa-apa hal, awak call saya ajelah,”
“Tak nak makan dulu? Dah pukul dua
ni. Kita lunch sekali,”
Tanpa menjawab, Farisya menggeleng
lagi.
“Saya nak kena ambil Trisya. Nanti
lama dia tunggu,”
“Isya... awak okay ke ni? Dari tadi
saya perasan awak macam kurang focus. Ada masalah?,”
“Tak ada. Saya balik dulu, ya,”
“Kita kawan. Kalau ada sesuatu yang
nak dikongsi, saya sedia mendengar. Tapi, saya yakin memang ada sesuatu yang
mengganggu awak. Kan?,”
“Kenapa awak cakap macam tu?,”
“Mulut kita mungkin boleh menipu.
Tetapi tidak bahasa tubuh kita. Lagipun, daripada Trisya, saya dapat agak, awak
tak okay. Isya, ada ketika, tak salah kita kongsi masalah yang ada,”
“Apa yang Trisya beritahu awak? Awak
korek cerita pasal saya, daripada Trisya?,”
Zaheem tersenyum.
“Anak kecil tak pandai berbohong.
Tak pandai juga sembunyikan perasaan mereka. Mereka tak hipokrit,”
“Maksud awak?,”
“Maksud saya, saya ikhlas hadir
dalam hidup awak sebagai kawan. Saya sedia dengar masalah awak, kalau awak tak
mampu nak luahkan pada orang lain. Jangan simpan masalah, Isya,”
Farisya memandangnya seketika. Agak
lama sebelum tersenyum nipis.
“Saya okay. Tak ada apa-apa masalah.
Terima kasih sebab bertanya. Tapi, sekarang, saya memang betul-betul kena
pergi.Trisya kat rumah mother in law saya. Tak sedap hati nak tinggal
lama-lama. I really have to go,”
Zaheem bersandar. Ingatan itu
dibiarkan terus berlegar di kepala. Itulah kali pertama dia sedikit mendesak
untuk selongkar rahsia hati Farisya. Berdiam diri dan memerhati secara
sembunyi-sembunyi hanya lebih meyakinkan dirinya bahawa Farisya sedang melalui
fasa hidup yang sukar. Apa dan kenapa? Dia gagal dapatkan kisahnya sehingga ke
hari ini. Itulah pertemuan mereka yang terakhir. Selepas pertemuan itu, Farisya
bagai terus lenyap dari hidupnya. Puas dia cuba mencari wanita itu, namun hampa.
Farisya benar-benar hilang dari hidupnya. Membiarkan dia parah menerima
hakikat, wanita kepunyaan orang yang dalam diam mula mencuri perasaannya, telah
benar-benar pergi meninggalkannya.
Perkenalan dengan Farisya
benar-benar satu kebetulan yang indah. Dalam meniti usia muda, dia
berjinak-jinak dengan jualan langsung. Farisya muncul sebagai seorang yang
turut sama mahu mencari rezeki tambahan. Mereka berkawan dalam mencari rezeki.
Kesungguhan Farisya membuat dia kagum. Sikap tidak pernah mengalah Farisya juga
membuat detik demi detik, hatinya kian terpaut. Dia nampak betapa payahnya
untuk Farisya bergerak mencapai matlamat. Hampir tiap kali pertemuan, Farisya
akan ditemani Trisya. Bukan mudah bekerja sambil melayan kerenah anak kecil
sekaligus. Untungnya, Trisya bagai mengerti situasi si ibu. Cukup baik anak itu
menemani ibunya mencari rezeki. Diam sendirian di dalam kelompok yang bukan
bayanya. Tidak banyak onar apabila ibunya memberi tumpuan lain selain dirinya.
Memadai satu ciuman penghargaan tiap kali selesai sesi taklimat atau sesi
penjelasan kepada prospek bersama ucapan terima kasih, menandakan betapa
Farisya menghargai tingkah baik Trisya. Dan Trisya akan tersenyum panjang
menerima ciuman itu. Sungguh. Itulah satu pemandangan yang perlahan-lahan
mengunci hatinya buat perempuan lain. Sungguh dia terpaut pada dua orang
perempuan yang hadir di dalam hidupnya itu. Sayangnya, Farisya tidak mungkin
akan menjadi miliknya. Farisya isteri orang. Itulah halangan terbesar yang
membuat dia terus memendam sejalur rasa. Memendam sehingga akhirnya dia terus
kehilangan. Tidak tahu kenapa Farisya terus menghilang. Ada sesuatukah yang
menimpa Farisya? Atau Farisya nekad menjauhkan diri hanya kerana soalannya yang
agak bertubi-tubi lewat pertemuan terakhir itu? Sehingga ke hari ini, dia tiada
jawapan pada persoalan-persoalan itu.
“Abang?,”
Zaheem mengangkat pandangannya.
Menyapa Zurina dengan senyumannya.
“Jauh sungguh melamun,”
Teguran Zurina bersambut tawa halus.
“Kalaulah bukan dari mula-mula kita
kahwin lagi, abang memang dah suka melamun macam ni, mesti Zurin syak abang ada
kekasih lain,”ujar Zurina sambil meletakkan dulang berisi minuman petang ke
atas meja di halaman. Zaheem menyambung tawa. Menggeleng perlahan menanggapi
usikan isterinya.
“So, dah lebih empat tahun kot. Lima
tahun? Dah sampai masa ke belum untuk share dengan Zurin?,”sambil tuangkan kopi
ke dalam cawan, Zurina mengajukan soalan. Cawan dihulur dan renungannya bertaut
dengan pandangan suaminya yang seperti tidak faham dengan soalannya.
“Share apa?,”
Zurina tersenyum. Piring berisi kuih
diletakkan hampir dengan Zaheem.
“Kenapa abang selalu termenung? Apa
yang abang fikirkan?,”
Zaheem tertawa canggung.
“Nothing,”
Zurina mengeluh perlahan. Memandang
lama wajah Zaheem. Lelaki kesayangannya. Begitu lama dia menaruh perasaan pada
lelaki ini. Perlahan dia menyentuh tangan Zaheem. Mengusap lembut lengan lelaki
itu. Lama dia diamkan rasa ingin tahu. Berkali-kali soalannya bagai tidak
diendah oleh Zaheem. Tetapi, makin lama, nalurinya kuat mahu mencari punca yang
membuat suaminya sering melamun bagai melayan kenangan lampau.
“Tiba-tiba abang ajak Zurin kahwin,
padahal sebelum ni, abang bukan main mengelak. Bukan Zurin tak sedar itu. Abang
dah ada orang lain masa tu kan? Abang terima Zurin sebab abang kecewa ke?,”
Zaheem diam. Memandang lama wajah
Zurin. Baginya, tiada apa yang perlu diceritakan. Dia ada orang lain? Pastilah
tidak kerana Farisya tidak pernah menjadi miliknya walau sedetik. Farisya milik
orang lain. Kecewa? Mungkin itu ada benarnya. Dia mahu menutup kecewa di
hatinya dengan satu ikatan yang mungkin mampu memberi semangat hidup yang baru.
“Special sangat ke dia?,”
“Siapa?,”
“Orang yang selalu datang dalam
menung abang yang panjang tu?,”tebak Zurina rambang.
Zaheem mengeluh. Sekilas cuba
mentafsir maksud soalan itu lewat air muka Zurina yang agak tenang. Dia
tersenyum nipis.
“Come,”lembut dia bersuara sambil
menghulurkan tangan. Zurina yang sudah pun duduk di kerusi berdepan dengannya,
mengangkat punggung perlahan. Bergerak mendekati Zaheem. Meyambut huluran
tangan Zaheem. Akur apabila Zaheem menarik dia duduk rapat di atas pangkin di
bawah gazebo kecil di halaman rumah. Tanpa sebarang suara, Zaheem hanya memeluk
erat tubuhnya. Diam. Yang ada hanya detak jantung masing-masing. Pelukan yang
sentiasa mendamaikan.
“Maafkan abang kalau Zurin rasa
abang abaikan Zurin,”seketika membiarkan suasana sepi, Zaheem bersuara
perlahan.
Zurina tidak terus menjawab. Cuma,
perlahan-lahan tangannya bergerak membalas pelukan Zaheem.
“Zurin marah?,”
Zurina menggeleng.
“Abang hanya ada Zurin dan Trisya.
Abang bersyukur dengan apa yang abang miliki sekarang,”tambahnya sambil
mengelus perlahan rambut Zurina yang ikal.
“Jangan ada orang lain antara
kita,”bisik Zurina sambil menjatuhkan wajahnya ke dada Zaheem.
“No. Tak mungkin ada,”
Zurina melarik senyum nipis.
“Abang cuma milik Zurin seorang,”
Zaheem tergelak perlahan. Satu
kucupan jatuh di kepala Zurina.
“Zurin sempurnakan hidup abang. Tak
mungkin abang akan lukakan hati Zurin,”
“Lebih baik jangan,”
“Jangan apa?,”
Zurina mendongak. Merenung sepasang
mata Zaheem yang sedang memandangnya.
“Jangan lukakan hati Zurin,”
Zaheem tersenyum lebar.
“Ugutan?,”
“Peringatan,”
Zaheem ketawa lepas mendengar
jawapan itu. Tawa yang turut menjemput senyum Zurina. Pelukan semakin
dieratkan. Matanya terpejam seketika. Pergilah semua kenangan. Tinggalkan dia
mengecap bahagia bersama apa yang dia miliki kini. Kalaulah memadam semua yang
tertinggal di hatinya itu semudah melantunkan sebuah harapan, pasti tiada lagi
bayang Farisya yang menjelma. Entah apa yang dia harapkan lewat kenangan yang
sesekali menjengah itu.
Sambil menarik nafas dalam-dalam,
pelukan dileraikan.
“Sekejap je?,”soal Zurina tersenyum
nakal sebaik pelukan terlerai.
“Nak lama lagi, kena pindah
tempatlah,”
Zurina tergelak. Zaheem mengangkat
kening. Sengaja mengusik walaupun dia maklum Zurina sekadar berjenaka. Melihat
Zurina yang anggun dengan skirt hitam yang
labuh dan blouse biru berona bunga-bunga kecil, dia mengalihkan pandangan ke
arah jam di tangan. Zurina sudah siap untuk masuk kerja.
“Lawa sangat doktor ni hari
ni,”Zaheem mengusik lagi.
“Bukan hati-hari ke doktor ni
lawa?,”tingkah Zurina sambil mengangkat punggung. Zaheem mencemik separuh
mengusik.
“Dah nak keluar?,”
“Ya, bang. Makan malam Zurin dah
sediakan. Ketam cili permintaan abang. Nanti pastikan Trisya makan sekali tau.
Tadi Zurin ajak makan, dia tak nak,”
Zaheem mengangguk.
“Okay. Thanks untuk ketam cili
abang. Juga untuk minum petang ni,”
Zurina tersenyum manis.
“Anything for you, sayang,”
Zaheem ketawa. Teh tarik diteguk
sedikit. Kemudian diletakkan semula ke meja sambil perlahan dia juga turut
mengangkat punggung. Mengiringi langkah Zurina sambil tangannya memaut jemari
halus isterinya itu. Zurina berpaling.
Tersenyum sambil mengeratkan tautan jemari mereka. Melangkah bersama menuju ke
ruang utama. Perkara biasa apabila hari minggu dia ditinggalkan berdua dengan
Trisya. Tuntutan kerja Zurina yang tidak kenal masa cuti.
“Take care. Hati-hati
drive,”pesannya sebaik Zurina membuka pintu kereta.
“Ya. Zurin pergi dulu. Ingat tau.
Suruh juga Trisya makan. Lately susah sungguh nak makan anak dara abang seorang
tu,”
Zaheem tergelak.
“Ya... ya... nanti abang pujuk dia
makan,”
Zurina mengukir senyum. Tangan
dihulur. Mengucup jemari Zaheem sambil kemudiannya satu ciuman dilayangkan ke
pipi suaminya itu.
“Zurin pergi dulu,”
Zaheem mengangguk. Berdiri bersama
senyuman, mengiringi kereta Zurina yang perlahan bergerak keluar dari kawasan
rumahnya. Tanpa sedar, jemarinya mengusap perlahan pipi sendiri. Kehangatan
ciuman Zurina sehangat semangat Zurina yang tidak pernah pudar mencintainya.
Melukakan hati Zurina barangkali akan menjadi satu perkara yang paling bodoh
untuk dia lakukan. Dan... teringatkan seseorang yang terlalu jauh dari
hidupnya, tidakkah itu juga perkara bodoh yang tidak mampu dia elak?
*****
2 comments:
Tolong la setia zaheem
setialah pd yg satu. usah di kenang kisah lama.
Post a Comment