Saturday, January 3, 2009

Pergilah Air Mata 32


Sabrina tersandar ke katil. Cuba mententeramkan perasaan sendiri. Teruk rasanya. Memang teruk sungguh. Kakinya yang luka dan bengkak itu pun, tidak seteruk ini rasanya. Bagaimana dia hendak lupakan apa yang berlaku petang tadi? Terasa begitu terseksa, apabila tiap kali dia teringatkan apa yang terjadi, wajahnya tiba-tiba membahang. Degup jantungnya tiba-tiba menjadi tidak normal.
“Sabrina. Wake up! Jangan ikut perasaan,”dia berbisik perlahan sambil menepuk dahi. Ketukan di pintu bilik, membuat dia hampir terlompat. Dia mengerutkan muka. Menahan rasa sakit apabila kakinya bergerak secara tiba-tiba. Siapa tu? Badrul ke? Dia tidak mahu berjumpa dengan Badrul lagi. Tidak mahu. Ketukan yang bertalu membuat resahnya semakin menjadi-jadi.
“Ina…,”
Suara Jamilah. Dia menarik nafas lega.
“Masuk,”
Pintu terbuka. Kepala Jamilah terjengul di pintu.
“Dah tidur ke?,”
Sabrina menggeleng sambil tersenyum lebar.
“Tak adalah. Saja baring-baring. Belum mengantuk,”
“Belum mengantuk ke, teringatkan Encik Badrul?,”usik Jamilah sambil bergerak masuk ke bilik Sabrina. Kini, terasa tiada penghalang antara dia dan Sabrina. Hubungannya dengan Sabrina tidak seperti hubungannya dengan Dayana. Tidak terasa Sabrina itu isteri majikannya. Dia boleh lebih mesra dengan gadis itu kini. Dia tersenyum lebar melihat wajah Sabrina yang berubah tiba-tiba.
“Kak Milah ni. Tak baik cakap macam tu. Kalau ada yang dengar nanti, kan jadi salah faham pula,”
“Salah faham apa pula? Ina teringatkan suami sendiri. Bukan teringatkan orang lain,”
“Pandailah Kak Milah ni. Main cakap saja ya? Mulut tak ada insurans,”
Jamilah tergelak. Melabuhkan punggung ke katil sambil menelek kaki Sabrina yang berbalut rapi. Tangannya yang membalut kaki itu, setelah dia melihat Badrul terkial-kial sendiri cuba membalut. Tidak pandai.
“Sakit?,”
Sabrina mengangguk sambil tersenyum kecil. Dengan Jamilah dia tidak perlu berpura-pura. Memang kakinya sakit.
“Betul ke Ina tak nak pergi klinik?,”
“Sikit je. Esok lusa eloklah kot,”
“Luka tu, yalah. Esok lusa boleh elok. Tapi, kaki tu, kan elok kalau pergi klinik. Check. Pasu tu berat. Mana tahu, kot-kot ada tulang yang retak. Kaki Ina bengkak tu,”
“Ish…tak adalah. Bukan jatuh terus atas kaki saya pun. Cuma terkena sikit je. Terhempap sikit. Tak ada apalah. Okay ni. Tak payah risau,”
“Suka hatilah. Orang cakap, degil. Tak nak dengar,”
Sabrina tersenyum. Cuba gerakkan kakinya perlahan. Jamilah memerhati. Menggeleng apabila Sabrina menyeringai sambil tersengih.
“Sakit….,”bisik gadis itu separuh merengek. Manja. Jamilah tersenyum senang.
“Datin ada Tanya tadi,”dia bersuara sambil menyentuh hujung jari kaki Sabrina yang bengkak.
“Datin marah ya? Pasal pasu bunga dia pecah?,”
“Tak adalah. Datin Tanya kaki Ina macam mana? Datin pun suruh Ina pergi klinik,”
“Bukan saya tak nak pergi, Kak Milah. Tapi, biar reda sikit sakit ni. Bila dah boleh jalan sikit-sikit, saya pergilah,”akhirnya Sabrina berterus-terang. Pengakuan ikhlas yang membuat Jamilah tergelak besar.
“La… gelak pula. Saya cakap betullah,”
“Memanglah betul. Betul, Ina takut kena dukung lagi,”selamba Jamilah menyakat. Membuat darah menyerbu naik ke muka Sabrina.
“Akak!,”
Jamilah menyambung gelak.
“Janganlah gelak kuat-kuat. Nanti orang dengarlah akak,”
“Yalah. Akak minta maaf,”Jamilah bersuara sambil cuba matikan tawanya yang masih bersisa.
Sabrina tersenyum kecil. Sedikit lega. Dia risau sebenarnya. Risau kalau-kalau Dayana terdengar bicara nakal Jamilah. Kalau sampai itu terjadi, pasti akan mengundang masalah.
“Kenapa tak makan nasi tu?,”Jamilah bersuara apabila matanya terpandang nasi yang dibawa untuk hidangan makan malam Sabrina tidak terusik. Sabrina memandang ke arah yang sama. Kemudian tersengih. Lupa ada nasi untuknya. Bukan tidak mahu jamah, tetapi, amukan perasaan benar-benar buat dia lupa untuk makan.
“Selalu macam tu. Susah sangat nak makan. Tak adanya gemuk setakat jamah nasi tu sikit. Nanti kurus kering, tinggal tulang… bukan cantik pun…,”
Sabrina tergelak. Lucu mendengar bebelan Jamilah.
“Saya lupa. Bukan tak nak makan. Nanti saya makan. Betul,”
“Yalah tu lupa. Elok nasi panas yang akak bawa, dah sejuk jadinya tu,”
“Tak kisah. Sejuk ke… panas ke… kalau Kak Milah yang masak, saya mesti makan,”
“Eloknya, biar Encik Badrul saja yang datang ni. Mesti habis nasi tu kot,”
Sabrina tersenyum kecil. Suka pula Jamilah menyakatnya malam ini.
“Dayana dah balik ke Kak Milah?,”tiba-tiba soalan itu yang meniti di bibir. Jamilah menggeleng.
“Belum. Tak tahu pula dia ke mana. Puan Dayana tu, selalu pulang lewat. Sibuk sungguh orangnya,”
“Dia bekerja, mestilah sibuk, Kak Milah,”
“Tahulah kerja. Tapi, Encik Badrul pun boleh balik awal. Sesekali saja balik lewat sikit. Puan Dayana ni, selalu sangat,”
Sabrina menjeling sekilas. Tidak berminat mendengar Jamilah terus berceloteh tentang Dayana.
“Tak baiklah cakap pasal orang,”
Jamilah tersengih. Malu mendengar teguran Sabrina. Terlepas cakap. Membuka cerita di hadapan Sabrina.
“Okaylah. Tak payah cakap pasal orang. Cakap pasal kita dahlah,”
“Macam tu, bagus…,”
“Hmm… kalau akak Tanya, Ina jangan marah ya?,”
“Pernah ke saya marah Kak Milah sebelum ni?,”
Jamilah tersenyum. Memanglah tidak pernah. Tetapi, ada rasa kurang senang di hati apabila pokok persoalan yang bermain di hatinya ini, berbaur peribadi. Sabrina diam. Menanti Jamilah membuka mulut.
“Apa dia, Kak Milah?,”
Jamilah tersenyum. Serba-salah.
“Kak Milah….,”
“Err… rasanya Encik Badrul tu dah mula sukakan Ina,”
Sabrina tergelak kecil. Namun, dia tidak pasti, dia ketawa kerana lucu atau disebabkan dek rasa debar yang tiba-tiba menyelit di hati sebaik Jamilah menuturkan kata-kata itu. Tidak mungkin. Tidak mungkin dalam sekelip mata, perasaan Badrul padanya boleh berkalih suka.
“Gelak pula,”
Sabrina tersenyum kecil. Wajah Jamilah yang sedikit serius ditatap lembut.
“Tak baik ajar saya berangan, Kak…,”
“Maksud Ina?,”
“Lupakanlah. Tak nak cakap pasal ni lagi,”
Jamilah menjeling sekilas. Senang sungguh Sabrina menutup topik.
“Kalau tak nak cakap pasal ni, ceritalah pada akak. Apa sebenarnya yang terjadi kat Cherating tu?,”
Sabrina diam. Sebolehnya dia tidak mahu ingat lagi pada peristiwa itu. tidak mahu ingat pada kebodohannya sendiri. Kebodohan yang memusnahkan seluruh hidupnya. Membuat dia terdampar di sini. Menjadi melukut di tepi gantang di dalam banglo besar ini.
“Kan semua dah tahu…,”
“Itu dulu. Tapi, sekarang, akak yakin ceritanya berbeza. Akak nak tahu. Itu pun, kalau Ina nak cerita,”
Sabrina tersenyum kecil. Dia melihat keikhlasan di wajah Jamilah. Perlahan dia mengeluh.
“Semuanya sebab saya bodoh, kak,”
Jamilah membetulkan duduk. Ingin member focus sepenuhnya pada cerita yang akal keluar dari bibir Sabrina. Sudah lama dia cuba merisik. Tetapi, Sabrina lebih suka berdiam diri. Dia ingin tahu kebenarannya. Kini, dia percaya pada Sabrina. Dia yakin Sabrina tidak bersalah.
“Saya ke sana dengan kawan. Nak bercuti. Raikan berita gembira saya. Saya dinaikkan pangkat. Dan, saya nak habiskan masa dengan kawan baik saya. Cuma dengan dia, sebelum saya bertunang,”
“Bertunang?,”
Sabrina tersenyum pahit. Mengungkit kembali kisah itu, mudah sahaja wajah Ikmal kembali bermain di mindanya. Perlahan dia mengangguk.
“Lepas tu, apa jadi?,”
“Kawan saya sampai dulu, sebab sayan singgah ke kubur mak saudara saya dulu. Dia beri saya nombor bilik. Silap saya. Saya salah dengar. Saya sampai pun dah malam. Pintu pula tak berkunci. Saya terus masuk. Mana tahu itu bilik Badrul. Belum sempat saya terangkan apa-apa, tiba-tiba bilik tu diserbu,”
“Macam tu ke?,”
Sabrina tersenyum kecil. Jamilah pula tergangguk-angguk mendengar cerita.
“Lepas tu, mana kawan Ina?,”
“Saya cuba call dia. Tak dapat. Esoknya baru dapat. Dia cakap, dia ada hal penting, Terpaksa pulang ke kampung. Hal kecemasan. Dia ada tinggalkan nota di bilik. Tapi, mana saya nak jumpa. Saya tersalah masuk bilik Badrul,”
“Ina tak cakap dengan Badrul semua cerita ni?,”
“Masa tu, saya takut sangat Kak Milah. Langsung tak boleh cakap apa-apa. Saya takut. Saya malu. Bila Datuk datang dan paksa kami nikah, saya betul-betul buntu. Saya takut tengok Datuk. Silap saya. Sepatutnya saya tak perlu takut. Sebab saya tak salah…,”
“Lepas nikah, Ina tak ceritakan hal sebenar?,”
“Siapa yang dengar, Kak Milah? Semua orang dah letak kesalahan pada saya. Cakap pun, tak guna. Saya buka mulut saja, semua cakap saya bohong. Rasa-rasanya, kalau saya cerita semua ni, ada ke yang mahu percaya?,”
Jamilah mengangguk perlahan. betul juga apa yang Sabrina katakana, dia sendiri, pada mulanya memang tidak percaya pada kata-kata gadis itu.
“Kerja Ina macam mana? Bakal tunang Ina macam mana?,”
Sabrina tersenyum tawar.
“Bos saya telefon. Minta saya serah surat perletakan secara sukarela, sebelum saya diberhentikan. Dia memang tak pernah berdiplomasi pada staff yang ada attitude problem. Lebih-lebih lagi ada kes yang memalukan macam ni,”
“Macam mana dia tahu?,”
Sabrina menggeleng.
“Kawan Ina ke yang beritahu?,”
“Entahlah. Mungkin khabar angin yang memaksa kawan saya berterus-terang,” “Dia kerja di tempat yang sama ke dengan Ina?,”
Sabrina mengangguk.
“Oooo…,”panjang Jamilah bersuara.
“Sekarang dia yang ambil –alih jawatan saya tu..,”
“Ya ke? Bakal tunang Ina macam mana?,”
“Bila saya nikah dengan Badrul, mak dia minta dia bertunang dengan Maria. Kawan saya tu..,”
“Maria yang dapat jawatan Ina tu?,”
Sabrina mengangguk sambil membetulkan sandarnya.
“Kejap…kejap…,”
“Kenapa, Kak Milah?,”
“Maria yang dapat jawatan Ina tu?,”
Sabrina mengangguk.
“Maria yang bertunang dengan lelaki yang sepatutnya jadi tunang Ina?,”
Sabrina mengangguk lagi.
“Masa Ina kena tangkap basah tu, dia tak ada?,”
“Ha ah. Kenapa?,”
“Ina tak rasa ke, mungkin semua ni, kerja kawan Ina tu?,”
Sabrina tergelak.
“Takkanlah. Maria tu kawan baik saya, Kak Milah. Tak mungkinlah dia sanggup buat saya macam tu,”
“Tapi, tak ada yang mustahil kan? Dia nak jawatan Ina. Dia nak kekasih Ina?,”
“Tak mungkinlah. Jawatan tu, mungkin kebetulan. Sebab dia layak untuk ganti saya. Pasal kekasih saya tu, kenapa dia nak kekasih saya? Saya tahu, dia Cuma anggap kekasih saya tu, sebagai kawan saja. Kami bertiga memang rapat sejak daripada zaman belajar lagi,”
“Mana Ina tahu dia Cuma anggap kawan saja? Kalau betul dia anggap kawan, takkan senang-senang saja dia nak bertunang dengan kekasih Ina tu. Dia tak ada kekasih ke?,”
Sabrina menggeleng perlahan. Mulai terfikir andaian demi andaian yang menjadi hujah Jamilah.
“Mungkin dia tak ada kekasih sebab dia memang ada hati pada kekasih Ina tu…,”
“Tak mungkinlah, kak,”perlahan sahaja suara Sabrina menafikan. Penafian yang tidak sepenuh hati. Tiba-tiba dia teringat pada layanan Maria yang sedikit dingin setelah peristiwa hitam itu. Dan, memang Maria tidak pernah suka bercakap tentang lelaki selama mereka berkawan. Mungkinkah betul tekaan yang dibuat Jamilah. Tetapi, tidak mungkin Maria sekejam itu. Dia kenal Maria. Maria sering berada di belakangnya setiap kali dia berdepan dengan masalah. Maria selalu ada untuk memberi dia kata-kata semangat. Untuk memberi sokongan.
“Tak mungkin,”suaranya bertukar sedikit tegas.
“Apa pun mungkin dalan dunia ni, Ina,”
“Tapi, Maria tu kawan baik saya. Dialah yang selalu ada bersama saya setiap kali saya ada masalah. Saya Cuma ada dia dan Ikmal saja. Tak mungkinlah dia sanggup buat macam tu pada kawan dia sendiri,”
“Tapi, dia tak ada bersama Ina, bila Ina kena tangkap basah dengan Badrul kan?,”
Sabrina terdiam lagi.
“Semuanya Cuma kebetulanlah. Lagipun, mana dia kenal Badrul kan? Badrul pun tak tahu apa-apa. Takkan semua ni satu rancangan,”
“Hati akak kata, semua ni, memang satu rancangan…,”
“Hati saya kata, tak mungkin kawan saya sanggup buat macam tu pada saya. Mustahil Maria sanggup merendahkan maruah saya sampai macam tu sekali,”
Jamilah diam. Memandang wajah Sabrina yang berkerut seribu.
“Akak tak berani nak cakap lebih. Tapi, naluri akak berkata, memang kawan Ina yang buat Ina jadi macam ni,”
“Tapi, kenapa?,”
“Mungkin Ina lebih tahu sebabnya,”
Sabrina termangu. Tidak habis fikir. Apa sebabnya, kalau benar Maria yang melakukan semua ini?
“Kawan saya tak akan buat macam tu. Saya kenal Maria,”Sabrina bersuara perlahan. lebih kepada ingin meyakinkan dirinya sendiri. Ingin menolak tekaan demi tekaan yang keluar dari bibir Jamilah.
“Harap- harap Kak Milah salah. Tapi, kan baik juga kalau Ina selidik,”
Sabrina mengeluh perlahan. Tiba-tiba ada rasa gusar pula yang menemaninya. Perlukah dia meletakkan rasa syak pada Maria? Kalau memang bukan salah Maria, bagaimana? Pasti, seumur hidup dia diburu rasa bersalah kerana menuduh Maria pada kesalahan yang tidak pernah temannya itu lakukan.
“Dah berkerut keningnya,”tegur Jamilah melihat wajah Sabrina sudah berubah serius.
Sabrina tersenyum kecil.
“Tak apalah. Kalau betul apa yang jadi ni, khianat orang pada saya, pasti lambat-laun, akan terbongkar juga. Kalau betul apa yang jadi ni, silap saya, sebab saya cuai. Saya terima ini sebagai ketentuan yang telah ALLAH tetapkan untuk saya. Saya tak nak tuduh sesiapa tanpa bukti,”
“Terserah pada Inalah. Jangan fikir sangat. Berkerut-kerut kening tu,”
Sabrina tergelak kecil. Hilang seketika kemelut yang bertingkah di kepalanya, mendengar usikan Jamilah.
“Dah lama akak di sini. Akak keluar dululah. Nasi tu, jangan lupa makan. Atau, nak akak ganti yang lain? Akak boleh panaskan lauk lain,”
Sabrina menggeleng.
“Tak payah. Saya makan yang ni saja. Terima kasih ya, kak Milah,”
Jamilah tersenyum sambil mengusap perlahan tangan Sabrina. Perlahan dia mengangkat punggung dari katil. Mahu beredar keluar dari bilik itu.

****




Pergilah Air Mata 8


Sabrina menatap plastik ubat di atas meja kecil di sebelah katilnya. Kemudian dia menatap pula luka di kedua-dua telapak tangannya. Sudah disapu ubat luka. Mungkin esok atau lusa, luka itu akan menjadi parut. Cuma punggungnya masih terasa sengal. Masih sakit. Dia mengeluh perlahan. Ketukan di pintu bilik, memaksa dia menoleh. Sedikit malas, dia mengangkat punggung, bergerak ke arah pintu. Daun pintu dibuka perlahan.
“Abah…,”
Datuk Hamidi mengukir senyum.
“Mama cakap Ina jatuh. Teruk ke?.”
Sabrina tersenyum. Perlahan dia menggeleng. Dia melangkah keluar sambil menutup pintu bilik.
“Teruk ke?,”
“Taklah. Sikit je, abah,”
“Macam mana boleh jatuh?,”
Sabrina menggaru kepala yang tidak gatal. Datuk Hamidi bergerak ke sofa. Memberi isyarat agar dia turut melabuhkan punggung di situ. Sabrina akur. Terus melabuhkan punggung ke sofa, bertentangan dengan Datuk Hamidi. Datuk Hamidi menghela nafas buat seketika.
“Macam mana boleh jatuh?,”sekali lagi soalan itu meniti di bibir bapa mertuanya itu.
“Terlanggar batu. Saya terlanggar batu,”jawab Sabrina ringkas.
“Bukan sebab bergaduh dengan Bad? Bad tak kasari Ina, kan?,”
Laju Sabrina menggeleng. Laju juga jemarinya menutup lengan yang lebam. Tidak mahu Datuk Hamidi melihat lebam di lengannya.
“Betul?,”
Sabrina mengangguk.
“Badrul tu panas paran. Abah risau kalau-kalau dia tak dapat kawal emosi dia. Sebab, abah tengok kebelakangan ni, dia macam terganggu. Sering memberontak,”
Sabrina mengukir senyum.
“Abah tak suka anak abah ringan tangan memukul isteri. Kalau Bad ada buat macam tu pada Ina. Beritahu abah. Jangan rahsiakan,”
“Tak adalah…,”
“Kenapa? Abah ingat anak mama tu jahat sangat?,”
Belum sempat Sabrina menghabiskan kata-kata, lantang suara itu memecah keheningan malam. Sabrina diam. Mematung di sofa sambil memandang wajah Datin Hamidah yang cukup mencuka. Marah apabila Datuk Hamidi menuduh anak lelakinya.
“Mama…,”
“Abah dengar sini. Mama kenal sangat anak mama. Anak mama bukan jenis lelaki yang pukul perempuan. Jangan nak mereka cerita pasal Badrul pula. Mama tak suka. Anak mama baik. Cuma tak tahu apa malangnya terpaksa pula kena kahwin dengan perempuan murah ni,”
“Jaga sikit mulut tu…,”
“Kenapa? Tak betul apa mama cakap tu? Kenapa Abah tiba-tiba baik sangat budak ni? apa yang dah dia jampi kat abah? Mengikut saja apa kata dia…,”
Sabrina tunduk. Cuba pekakkan telinga mendengar kata-kata itu. Cuba menasihati minda agar kata-kata yang menerpa di telinga itu tidak dicernakan. Tidak mahu hati terus merintih sedih sebenarnya. Dia harus kuat hadapi semua ini. Kerana sekarang Cuma dia yang boleh membantu dirinya sendiri. Dia sudah tidak mempunyai sesiapa lagi. Dia sudah kehilangan insan-insan yang sentiasa berada di belakangnya.
“Tak baik cakap macam tu, mama,”
“Dah tu, abah tu? Cakap anak kita macam tu, baik sangat ke?,”soal Datin Hamidah geram. Datuk Hamidi menggeleng perlahan.
“Midah… kita kenal anak kita. Kita kenal Badrul. Abah Cuma tak nak dia khilaf dalam amarahnya sendiri,”
“Badrul tahu kawal dirinya. Lagipun, kalau dia yang pukul budak ni, takkan dia pergi hantar ke klinik,”
“Tak. Saya jatuh abah…Datin… Saya terjatuh. Badrul tak pernah pun mengasari saya. Mungkin dia marah pada saya. Tapi, dia tak pernah kasari saya,”
“Memanglah. Sebab anak aku tu, baik… Anak aku tu anak orang baik-baik,”sinis Datin Hamidah menyampuk. Sabrina tunduk.
“Mama… Kalau setakat nak bertengkar, baik mama jangan duduk di sini,”
“Haii… menghalau mama pula? Mula-mula halau mama dari ruang ni. Nanti, halau mama dari rumah ni pula ya? Pandai kau pengaruhi suami aku ni, ya?,”
“Mama…,”
“Yalah. Mama pergi. Mama pun tak ingin nak tengok muka menantu kesayangan abah ni. Abah pandanglah menantu abah ni puas-puas,”Datin Hamidah bersuara sambil berlalu. Sabrina menarik nafas panjang.
“Ina…,”
“Saya tak apa-apa, abah. Jangan bimbang,”
“Mama tu, baik sebenarnya. Cuma…Ina bagilah dia sedikit masa. Semua yang berlaku ni, buat dia terkejut. Buat dia susah nak terima kenyataan. Abah yakin Ina boleh faham keadaan mama,”
“Saya faham, ayah,”balas Sabrina perlahan. Memang dia faham perasaan semua orang. Siapa yang suka dengan apa yang berlaku ini? Tiada sendiri pun tidak pernah meminta semua ini menimpanya. Cuma, malangnya manusia di sekeliling sahaja yang tidak pernah nahu belajar memahami dirinya juga.
“Petang tadi, Ina pergi ambil kereta kan? Mana keretanya?,”
“Badrul minta orang yang pergi ambil nanti…,”
“Kenapa? Kan Ina boleh drive sendiri?,”
Sabrina termangu. Apa yang hendak dia jawab? Takkan dia hendak bercerita tentang Badrul yang hampir bertumbuk dengan Ikmal.
“Tangan Sabrina dah macam tu. Macam mana nak drive?,”
Sabrina menoleh. Badrul tercegat di hujung tangga. Mendengar pernjelasan Badrul, Sabrina tidak berminat untuk bersuara. Jelas Badrul cuba sembunyikan pekung di dada. Mahu rahsiakan apa yang terjadi daripada pengetahuan bapanya.
“Kamu dari mana ni?,”Datuk Hamidi bertanya tiba-tiba.
“Keluar. Jumpa kawan,”
“Tiap-tiap malam keluar jumpa kawan?,”
Badrul menjungkit bahu sambil melangkah menuju ke bilik.
“Duduklah dulu,”
“Saya nak mandilah, abah. Rimas rasanya ni,”
Datuk Hamidi tidak bersuara lagi. Sekadar membiarkan Badrul terus berlalu. Sabrina pula lebih senang menjadi pemerhati. Dia mengerti maksud kata-kata Badrul. Dirinya yang membuat Badrul rimas sebenarnya.
“Ina?,”
Sabrina tersentak kecil.
“Kenapa ni?,”
“Ha? Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa, abah,”
“Ina dengan Badrul macam mana sekarang?,”
Sabrina tersenyum. Diam. Soalan itu dibiarkan sepi. Rasanya bapa mertuanya itu pun sudah maklum akan situasi sebenar perkahwinan anak tunggalnya itu. Tidak perlu rasanya untuk dia membuka cerita. Satu rumah itu pun sudah maklum.
“Badrul ke mana tadi tu?,”
Sabrina menggeleng.
“Takkan dia tak beritahu Ina, ke mana dia nak pergi?,”
Sekali lagi Sabrina menggeleng. Memang dia tidak tahu. Badrul tidak beritahu apa-apa kepadanya. Dia faham. Dia tidak berhak untuk mencampuri urusan hidup Badrul. Urusan peribadi Badrul.
“Ina belajarlah sesuaikan diri. Abah yakin, lama- kelamaan baik Ina atau pun Badrul… kamu berdua pasti dapat terima kenyataan,”Datuk Hamidi bersuara tiba-tiba.
Sabrina mengeluh perlahan. Kata-kata Datuk Hamidi kedengaran cukup mudah. Penuh dengan harapan kebahagiaan. Namun, realitinya semudah itu kah? Dia tidak Nampak walau sedikit cahaya kebahagiaan pun di dalam ikatan perkahwinan yang baru dia meterai itu. dia sendiri pun, tidak tahu apa sebenarnya yang dia harapkan daripada ikatan ini? Perkahwinan ini membuat perasaannya mati. Membuat dia terperangkap dia dalam lorong yang amat gelap. Terlalu gelap, sehingga dia tidak tahu di mana harus dia mulakan langkah. Tidak Nampak arah yang perlu dia tuju.
“Abah rasa, mungkin kamu berdua patut luangkan masa bersama. Luangkan masa berdua. Barangkali itu boleh membantu,”
Sabrina memandang wajah Datuk Hamidi dengan kening yang berkerut. Tidak faham maksud kata-kata lelaki itu.
“Maksud abah?,”
“Spend more time together. Honeymoon?,”
“Hah?!,”spontan soalan terkejut itu terpacul dari bibir Sabrina.
“Kita tak boleh mengharapkan sesuatu perkara itu berubah menjadi baik dengan hanya berserah saja. Kita kena berusaha ke arah itu. Abah rasa honeymoon satu usaha yang baik. Mungkin kamu berdua boleh lebih mengenali diri masing-masing,”
“Tak payahlah, abah,”
“Bincanglah dengan Badrul. Nanti beritahu abah. Abah akan sponsor honeymoon kamu berdua. Anggaplah ini hadiah perkahwinan dari abah,”
Sabrina tersenyum kelat. Tidak masuk akal saranan bapa mertuanya itu.
“Fikirkan cadangan abah ni,”Datuk Hamidi bersuara sambil mengangkat punggung. Sabrina Cuma mendengar. Tiada reaksi yang dia berikan. Fikirkan? Sabrina tersenyum sinis. Sebaiknya dia fikirkan bagaimana caranya untuk dia akhiri semua ketegangan yang timbul ini. Fikirkan bagaimana caranya untuk dia akhiri perkahwinan penuh khayalan ini. Dia memandang kosong Datuk Hamidi yang berlalu menuju ke biliknya. Kemudian dia termangu sendirian di sofa. Tidak tahu mahu dihayun ke mana langkah kakinya. Mahu masuk ke bilik, dia tidak mahu mengganggu Badrul. Sudahnya, dia bergerak ke balkoni. Menikmati kegelapan malam di situ. Rasa mengantuk yang menjengah, ditahan. Tunggulah sehingga Badrul lena. Itulah rutin hariannya kini.
“Ek hem…,”
Sabrina menoleh. Badrul tercegat di belakangnya. Santai bersama track suit dan t-shirt hitamnya. Baru selesai mandi barangkali. Seketika kemudian, dia kembali menebarkan pandangan pada kegelapan malam. Badrul bergerak ke pagar balkoni. Bersandar sambil memandang Sabrina yang leka melayan menungnya.
“Macam mana? Sakit lagi ke?,”
Sabrina mengalih pandangan. Merenung tepat ke wajah Badrul. Bukan sedikit hairan yang membukit di benaknya saat ini. Hairan melihat perubahan Badrul yang mendadak. Lembut bicara lelaki itu
“Tak. Sikit saja,”jawab Sabrina pendek.
Badrul mengeluh panjang.
“Apa kau cakap dengan abah?,”
“Tak ada apa-apa,”
“Ada abah Tanya pasal kita?,”
“Macam biasalah. Saya rasa dengan awak pun, abah Tanya soalan yang sama,”
“Kalau boleh jangan selalu sangat bersembang dengan abah,”Badrul bersuara tanpa memandang wajah Sabrina. Sabrina merenungnya hairan.
“Kenapa?,”
“Aku tahu. Kau cuba pengaruhi abah kan? Sebab, dalam rumah ini, Cuma abah saja yang beri perhatian pada kau,”
Sabrina mengeluh perlahan. Tuduhan tidak berasas lagi.
“Awak… saya nak minta maaf pasal petang tadi. Saya tak bermaksud nak tengking awak. Tak tahu kenapa. Tiba-tiba saya hilang sabar,”Sabrina bersuara tanpa menghiraukan tuduhan Badrul.
Badrul tersenyum sinis. Entah kenapa, sakit hatinya melihat senyuman lelaki itu.
“Siapa yang boleh sabar kalau buah hati kena kutuk. Ya tak?,”sindir Badrul pedas. Sabrina merenung wajah itu buat seketika. Akhirnya dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Malas melayan bicara Badrul yang menyakitkan hati.
“Bila lagi kau nak jumpa dengan dia?,”
Sabrina diam. Badrul tergelak. Gelak yang membuat Sabrina berasa tersindir. Memang Badrul tetap tidak mempercayai kata-katanya. Masih menganggap dialah punca segala insiden memalukan itu.
“Kalau awak tak percaya pada saya, saya rasa, baik kita tamatkan semua ni. Buat apa kita saling tuduh- menuduh, kemudia bertengkar? ,”
“I told you, jangan harap,”
“Kenapa?,”
“Sebab ini yang kau mahu kan? Kan kau nak hidup bersama aku. Kau dah rancang nak kena tangkap basah dengan aku. Jadi, takkan aku nak kecewakan kau, kan?,”
“Suka hatilah awak nak cakap apa,”
“Tengok tu. Tiba-tiba kau dah jadi kuat ya? Kalau tak asyik dengan air mata saja,”
Sabrina diam lagi. Dia nekad, untuk terus membiarkan kata-kata pedih itu berlalu pergi. Tiada guna dia pertahankan kebenaran, kalau tiada siapa yang mahu menilainya. Tiada guna dia terus menangis kalau tiada siapa yang sudi memujuknya. Tiada guna dia terus bertelagah kalau akhirnya dia tersungkur di kaki amarah. Biarlah dia menjadi pemerhati untuk setiap tindakan. Melatih kesabaran biar menebal di hatinya yang parah.

****

Pergilah Air Mata 7


Berdentum Badrul menghempas pintu kereta. Cukup untuk membuat Sabrina tersentak. Tubuhnya menggigil tiba-tiba. Dia kaku di dalam kereta. Takut untuk melangkah keluar. Pantas matanya meliar memandang sekeliling. Sunyi sepi kawasan itu. Tiada manusia lansung. Cuma dia dan Badrul sahaja di situ. Janganlah amarah Badrul membawa malapetaka lain pula padanya. Dadanya berombak kencang. Betul-betul takut berdepan dengan emosi Badrul. Dia memandang Badrul yang mundar-mandir di luar kereta. Dari tadi, tiada sepatah perkataan pun keluar dari bibir lelaki itu. Dia tahu Badrul terlalu marah. Dia terkejut besar apabila tiba-tiba tangan Badrul mengetuk cermin kereta. Tajam mata lelaki itu menikam wajahnya.
Gerakan tangan Badrul jelas memberi arahan agar dia keluar dari kereta. Perlahan dia menelan liur. Perlahan juga dia menolak pintu kereta. Bergerak keluar dari perut kereta. Badrul merengus marah. Terasa tercabar dengan perbuatan Sabrina. Terasa tercabar dengan permainan Sabrina. Dia yakin, apa yang sedang bermain di fikirannya benar belaka. Sabrina pula tunduk memandang rumput di kakinya.
“Kenapa aku?,”
Dalam takut, Sabrina memberanikan diri mengangkat muka. Berlaga pandangan dengan Badrul.
“Dalam banyak-banyak lelaki dalam dunia ni, kenapa aku? Kenapa aku yang kau pilih jadi mangsa kau?,”
Sabrina diam. Mulai faham maksud soalan Badrul. Badrul terus menuduhnya seperti selalu. Perlukan dia berusaha untuk membela diri lagi? Walhal dia tahu, Badrul akan menolak mentah-mentah apa saja penjelasan yang keluar dari bibirnya.
“Kenapa aku?!,”tengking Badrul marah. Bergerak bahu Sabrina menahan rasa terkejut. Membuat dia sebak lagi. Takut dimarahi sedemikian rupa. Walau cuba ditahan, air mata menitis tiba-tiba.
“Awak… kan saya dah cakap…,”
“Aku tak percaya! Aku tak percaya pada cerita kau. Aku yakin kau memang bersubahat dengan kekasih kau tu kan? Dah lama buat kerja macam ni? Jalan paling mudah nak dapatkan wang. Kan?,”
“Awak tahu tak? Tuduhan awak tu dah melampau…,”Sabrina memberanikan diri melawan. Tuduhan Badrul semakin menghinanya. Sampai bila dia harus menerima penghinaan sebegitu?
“Apa? Dah melampau? Kau cakap dah melampau? Kau tahu tak, apa yang kau buat ni, lebih melampau! Kau yang melampau sebenarnya. Kau musnahkan hidup aku! Masa depan aku!,”
Sabrina mengangkat muka. Membalas renungan Badrul dengan renungannya yang tidak kurang tajamnya. Terasa benteng kesabarannya semakin menipis. Entah dari mana, tiba-tiba dia terasa ada satu kekuatan yang luar biasa yang mendorongnya untuk melawan. Dia sudah penat menangis. Tangisan tidak membawa dia ke mana-mana. Tangisannya membuat maruahnya semakin diinjak-injak oleh manusia sekelilingnya.
“Baik awak jaga sikit kata-kata awak,”dalam lembut kata-kata itu meniti di bibirnya.
Badrul menentang renungan itu. Sedikit terkejut sebenarnya dengan kata-kata Sabrina. Sabrina sudah berani member amaran padanya. Malangnya, dia tidak takut pada amaran itu. Saat ini, apa yang bergelora di hatinya lebih menggamit emosinya.
“Kenapa? Salah ke apa yang aku cakap tu? Aku tak rasa aku salah. Kau perangkap orang kaya untuk dapat wang. Wang untuk kau dan kekasih hati kau tu. Kan? Kau tahu tak? Sebenarnya, kau ni bodoh! Sanggup menggadai maruah untuk lelaki tak guna macam tu. Sampai bila kau nak buat kerja macam ni?,”
“Baik awak diam. Saya tak suka awak cakap macam tu,”
Badrul tergelak sinis. Gelak yang tiba-tiba membakar hati Sabrina. Sabrina menarik nafas panjang. Cuba mententeramkan hati sendiri.
“Kenapa? Kenapa tiba-tiba emosi ni? Biasanya kau Cuma tahu menangis saja,”
Sabrina diam.
“Saya rasa baik kita pulang. Tak guna kita saling menyalahkan,”Sabrina bersuara setelah agak lama berdiam diri. Tidak guna saling bertelingkah di situ. Saling menengking, rasanya tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Baik padanya atau pun pada Badrul.
“Senangnya. Mungkin senang pada kau, sebab apa yang berlaku ni, tak menyusahkan kau. Apa yang berlaku ni, memang rancangan kau. Tapi tak pada aku. Ini semua mimpi buruk pada aku. Kau tahu tak? Mimpi buruk… aku kehilangan segalanya sebab terjebak dalam perangkap kau,”
Sabrina menarik nafas perlahan.
“Saya nak balik,”
“Jangan harap. Aku takkan balik sehingga kau beritahu aku, kenapa kau pilih aku?,”
Sabrina mengangkat muka. Berpandangan dengan muka Badrul yang langsung tiada segarit ketenangan pun.
“Tak ada apa yang saya nak beritahu. Semuanya dah berlaku,”Sabrina cuba sedaya upaya untuk berlembut. Walau hatinya sudah mula membara dengan tuduhan demi tuduhan dari mulut Badrul, dia cuba sedaya upaya untuk menggunakan akal. Dia tidak mahu larut di dalam emosi seperti Badrul.
“Wah! Cepatnya kau redha dengan apa yang berlaku. Baru tiga minggu lalu kau menangis dan menangis dan menangis… Tiba-tiba hari ni, kau jadi tabah pula ya? Kenapa? Sebab dah jumpa buah hati?,”
“Diam!,”jerit Sabrina tiba-tiba. Badrul terkedu. Sabrina merenung tajam wajahnya.
“Diam! Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Tak nak! Faham?!,”
Badrul tersandar ke kereta. Terkejut sebenarnya. Sabrina bergerak menghampirinya. Hampir rapat padanya. Terkebil-kebil dia melihat Sabrina yang Cuma separas dadanya , mendongak menentang wajahnya.
“Awak cakap ini mimpi buruk awak? Kalau awak nak tahu ini malapetaka bagi saya! Awak cakap awak kehilangan segala-galanya?! Saya musnah! Saya musnah! Awak tahu tak?! Saya hilang maruah saya! Sekelip mata saya jadi perempuan tak bermaruah. Saya hilang kerjaya saya! Bertahun saya berusaha, sekarang semuanya lenyap. Saya hilang kawan saya! Saya hilang kekasih saya! Saya hilang semua kehidupan saya! Hilang semuanya! Awak faham tak! Saya hilang semuanya! Jadi awak jangan bercakap tentang siapa yang jadi mangsa dengan saya!,”
Badrul tergamam. Benar-benar kehilangan kata-kata mendengar jeritan Sabrina. Memang di luar jangkaannya.
“Kalau awak marah sangat dengan saya, lepaskan saya! Tak perlu terus menghina saya,”suara Sabrina sedikit mengendur.
“Jangan harap,”
Sabrina kembali memandang wajah Badrul. Tidak faham dengan sikap Badrul.
“Saya dah penat. Penat terus jadi bahan caci maki orang. Kalau tak suka, lepaskan saja. Buat apa nak saling bertengkar begini?,”
“Supaya kau boleh cari mangsa yang baru? Mangsa yang lebih bodoh? Lebih mudah ditipu,”
Sabrina mengeluh panjang. Tidak guna bercakap dengan Badrul. Sia-sia. Sia-sia jeritannya sebentar tadi. Dia sendiri tidak tahu daripada dia mendapat kekuatan untuk menghamburkan kemarahan itu. Dari mana sekalipun keberanian itu menjengah, ternyata sekarang dia berasa sedikit lega. Walau Badrul masih tidak mempercayainya, dia tetap berasa lega. Terasa beban yang menghimpit perasaannya menjadi sedikit ringan. Patutlah Badrul sering menengkingnya. Barangkali itu cara lelaki itu melampiaskan beban yang memberat di hati. Perlahan dia mengatur langkah. Bergerak menuruni kawasan berbukit yang sunyi itu. Membuat Badrul digaru sedikit rasa hairan.
“Woit!,”
Sabrina terus melangkah.
“Kau nak ke mana?,”
Melihat Sabrina terus melangkah tanpa berpaling, Badrul dilanda serba- salah. Tidak mungkin dia akan pergi pada gadis itu dan memujuknya. Tidak wajar juga dia membiarkan Sabrina berlalu di kawasan terpencil sebegini. Sengaja dia ke sini untuk menghamburkan kemarahannya yang menggunung. Dia tidak boleh melepaskan kemarahannya di rumah. Pasti kecoh kalau sampai ke pengetahuan bapanya. Namun, segunung marahnya itu tiba-tiba merata tatkala jeritan Sabrina pula yang bertukar tempat. Betul-betul di luar jangkaan. Gadis yang sering berteman air mata itu, tiba-tiba boleh menjerit menentangnya. Membuat dia terkedu. Membuat dia kelu. Membuat dia terdiam.
“Sa…Sabrina. Tunggu!,”jeritnya melihat Sabrina semakin menjauh. Melihat Sabrina tidak bereaksi dengan pangilannya, mahu atau tidak, dia mengatur langkah mengejar gadis itu.
“Kau nak ke mana?,”soalnya sebaik berdiri menghalang langkah Sabrina. Sabrina menyapu air mata yang basah di pipinya.
“Tak tahu,”jawabnya sepatah.
“Jom,”Badrul bersuara sambil memegang tangannya. Cepat-cepat Sabrina menarik tangannya. Terasa sakit. Lebam akibat rentapan dan cengkaman tangan Badrul yang kuat sebentar tadi, meninggalkan rasa sakit di lengannya. Perlahan dia menggosok lengannya. Mata Badrul tertangkap pada lebam yang membiru pada lengan Sabrina yang putih. Pasti sakit.
“Lengan kau…,”
Sabrina Cuma memandang wajah Badrul, sebelum langkahnya dihayun semula.
“Kau nak ke mana?,”sekali lagi Badrul bersuara. Kali ini dengan nada geram.
“Entah,”
“Jom balik,”
“Awak baliklah. Tinggalkan saya kat sini,”
“Kau gila? Macam mana kau nak balik?,”
“Pandai-pandailah saya,”
“Jangan nak mengada-ngada. Aku tak ada masa nak pujuk-pujuk kau. Cepat masuk dalam kereta,”
“Tak nak. Saya tak nak ikut awak,”
Badrul merengus marah. Ternyata banyak onar gadis ini yang membuat hatinya sakit. Tanpa bersuara, dia menarik tangan Sabrina.
“Tak nak! Saya tak nak ikut awak. Saya dah jelak dengar awak hina saya. Saya dah muak dengar awak marah-marah saya,”Sabrina menjerit sambil menarik tangannya kuat, agar terlepas dari pegangan Badrul.
“Jangan mengada-ngada. Cepat ikut aku balik,”
Sabrina merinta sambil menarik tangannya kuat.
“Lepas tangan saya!,”sekali lagi dia menjerit. Cukup kuat untuk membuat darah Badrul membuak tiba-tiba.
“Fine! Aku lepaskan,”tanpa berfikit panjang, Badrul lepaskan pegangannya. Membuat Sabrina terduduk ke atas tanah yang berbatu. Satu tindakan refleks yang terhasil, akibat rasa geram mendengar jeritan Sabrina yang nyaring. Sabrina menyeringai kesakitan. Kekuatan dia menarik tangannya membuat dia terhempas kuat ke tanah yang berbatu. Punggungnya terhentak pada anak-anak baru yang memenuhi kawasan itu. tangannya yang menekan tanah turut terkena batu. Badrul terkebil-kebil. Cuma memandang Sabrina yang sudah jatuh terduduk. Perlahan Sabrina mengangkat kedua tangannya. Sudah melecet dah berdarah. Punggungnya pula terasa sakit. Dia cuba bangkit, tapi rasa sengal di punggungnya membuat dia terduduk semula. Melihat keadaan Sabrina, Badrul cuba sembunyikan senyum. Padan muka!
Dia menghulurkan tangan. Mengandaikan Sabrina akan menyambut tangannya untuk berdiri. Sabrina membuang pandang. Sekali lagi dia cuba untuk bangun sendiri.
“Dah sakit macam ni pun, masih nak tunjuk keras kepala?,”
Sabrina diam. Dia tidak akan menerima bantuan dari Badrul! Rasa sengal ditahannya. Air mata menitis lagi. Air mata menahan rasa sakit dan pedih. Namun, dia terduduk sekali lagi. Badrul mengeluh keras.
“Sakit ke?,”soal Badrul agak keras.
“Sakitlah!,”tidak kurang keras jawapan yang keluar dari bibir Sabrina.
Badrul tergelak kecil. Malas melayan marah gadis itu. Dia sendiri sudah hilang mood untuk bertekak. Tidak seronok menengking Sabrina, apabila kemudiannya dia pula yang ditengking. Sudahnya dia tunduk memegang bahu Sabrina. Mengangkat tubuh gadis itu. Sabrina, mengalah dalam terpaksa. Rasa sengal di punggungnya, membuat dia harus mengalah.
“Tengok tangan tu…,”
“Sikit je,”balas Sabrina dingin. Perlahan dia melangkah. Sakit.
“Boleh jalan ke?,”
Sabrina diam. Pandai pula lelaki ini bercakap dengan nada lembut.
“Boleh jalan ke tidak ni?,”
“Boleh. Saya boleh jalan sendiri,”
“Betul?,”
Sabrina mengangguk. Tangan Badrul di bahunya ditolak perlahan. Badrul sekadar memandang Sabrina yang melangkah perlahan-lahan. Jelas wajah itu menahan sakit. Dia pula, tidak mahu membantu, setelah Sabrina menolak bantuannya. Sekadar melangkah perlahan-lahan di belakang gadis itu. Berjaga-jaga kalau-kalau Sabrina terjatuh lagi.
“Lain kali jangan buat keras kepala,”dia bersuara tiba-tiba. Tiada balasan. Badrul menggeleng perlahan. Pantas tangannya membuka pintu kereta untuk Sabrina. Sabrina terus melangkah masuk tanpa banyak bicara. Badrul mencapai kedua-dua tangan Sabrina. Agak banyak kesan calar terkena batu. Darah pun sudah mula meleleh. Dia mencapai tisu, kemudian lekapkan pada kedua-dua telapak tangan Sabrina yang luka. Lengan Sabrina yang lebam, dibelek seketika.
“Hmm… kita ke klinik,”
“Sikit je. Tak payah,”
“Jangan banyak cakap,”ujar Badrul tegas sambil bergerak ke pintu pemandu. Melangkah masuk ke dalam kereta. Sabrina diam. Malas untuk bersuara. Tekak pun terasa perit tiba-tiba. Tidak pernah dia menjerit, tiba-tiba hari ini dia terpaksa memecah tradisi.
“Kita ke klinik. At least untuk ambil pain killer and cuci luka tu,”
“Sikit saja,”
Badrul menjeling. Tidak mahu bersuara lagi. Keputusan yang dia buat muktamad. Sekali dia menoleh. Melihat wajah Sabrina yang menahan sakit. Itupun masih tidak mahu mengaku. Terselit pula rasa kasihan melihat wajah itu.

***

Pergilah Air Mata 6


“Jadi juga kamu ambil barang-barang kamu ya?,”
Sabrina mengangguk.
“Itulah yang kamu nak sebenarnya, kan?,”
“Nak? Nak apa mama?,”
Bulat membutang mata Datin Hamidah merenungnya.
“Jangan panggil aku mama. Aku tak pernah terima kau menjadi menantu aku, tahu!,”
Sabrina tunduk.
“Saya minta maaf, Datin,”
“Huh! Itu sajalah yang kamu tahu. Maaf…Maaf…Maaf…,”
Sabrina diam. Melawan air mata yang mahu bertandang. Dia penat menangis. Dia tidak mahu menangis lagi.
“Kamu memang ada niat nak tinggal dalam rumah besar ni, kan?,”
“Apa maksud Datin?,”
“Kamu sengaja masuk bilik anak aku. Sengaja rancang tangkap basah tu, kan? Semata-mata nak hidup senang dalam rumah besar ni. Kan? Aku tak fahamlah. Manusia zaman sekarang, sanggup buat apa saja semata-mata nak hidup senang. Sanggup gadai maruah sendiri. Sanggup biarkan diri kena tangkap khalwat dengan orang yang kau sendiri tak kenal betul buruk baik perangainya,”
“Tak. Saya bukan macam tu, Datin. Saya pun tak…,”
“Dah…dah… aku tak nak dengar alasan kau yang berkarung-karung tu. Aku nak kau ingat satu perkara saja. Jangan ingat, bila kau dah boleh masuk dalam rumah ni, hidup kau akan senang. Tak. Jangan nak bermimpi,”
Sabrina sebak menahan sendu. Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Terus memburu pendengarannya. Setiap kali teringatkan kata-kata Datin Hamidah, terasa betapa kotornya dia di dalam banglo itu. Tidak pernah dia bermimpi untuk tinggal di situ. Keluarga Datuk Hamidi pun dia tidak pernah kenal. Badrul sendiri pun dia tidak pernah kenal. Bagaimana mungkin dia boleh menyimpan niat sejahat itu pada Badrul dan keluarganya? Air mata yang mulai memberat di bibir mata, cepat-cepat dia sapu. Tidak mahu air mata itu menitis di hadapan Badrul. Takut kata-kata sinis Badrul pula yang menghiris perasaannnya. Hatinya yang remuk bagai tidak dapat dirawat lagi.
“Kau ni, kenapa pula?,”
Sabrina menggeleng laju. Badrul menjeling sekilas. Bukan dia tidak sedar akan air mata yang bertakung di mata gadis itu. Melihat gelengan Sabrina, dia terus menyambung kosentrasi pada pemanduannya. Malas melihat air mata gadis itu. Namun, dia sedar. Kebelakangan ini, Sabrina berusaha untuk tidak menitiskan air mata di hadapannya. Setiap permintaannya, pasti Sabrina akan penuhi.
“Kat mana rumah sewa kau?,”
Sabrina mengangkat muka perlahan.
“Jalan terus. Selang tiga rumah, itulah rumah saya,”
“Siapa ada di sana sekarang?,”
“Entah. Mungkin kawan saya,”
Badrul diam. Terus mengemudi kereta dengan berhati-hati.
Sabrina menahan nafas seketika. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang sebaik Badrul memperlahankan kereta di hadapan teres dua tingkat yang dia sewa bersama Maria. Toyota Rush hitam di hadapan pagar membuat nafasnya menjadi sesak. Membuat sendu bertandang lagi. Membuat jemarinya dingin serta merta. Kenapa kereta itu harus berada di situ?
“Tak nak turun ke?,”
Sabrina tersentak. Soalan dingin Badrul tidak dijawab. Perlahan dia membuka pintu kereta.
“Awak nak tunggu atau nak balik dulu?,”
“Suka hati akulah,”
“Tapi, saya balik dengan kereta saya ya?,”
“Kau keluar. Tinggalkan aku di sini. Aku nak tunggu ke. Tak nak tunggu ke, itu aku punya pasal. So, may you…?,”
Sabrina diam. Membiarkan sinis bicara Badrul larut di relung hatinya. Membekas di situ. Meninggalkan rasa ngilu yang pasti akan merembeskan lagi air mata di pipi. Perlahan dia menarik nafas. Perlahan juga dia melangkah keluar dari kereta. Melangkah perlahan mendekati Toyota Rush milik Ikmal. Apa Ikmal buat di sini? Bagaimana dia mahu berhadapan dengan lelaki itu. Rasa malu tiba –tiba menyerbu. Malu untuk berdepan dengan Maria dan Badrul, walaupun apa yang berlaku bukanlah salahnya. Dia berpaling ke belakang. Badrul masih di situ. Memerhati tiap langkahnya dari dalam kereta. Dia berdiri seketika di pintu pagar. Mencari sisa kekuatan untuk berdepan dengan insan-insan yang dia sayang. Cuma itulah yang dia ada. Dia Cuma ada Maria dan Ikmal. Namun, rasanya situasi sekarang sudah tidak seperti dulu. Peristiwa hitam itu pasti akan mengubah segala-galanya. Perlahan dia menekan loceng di pintu pagar. Agak lama, Maria terjengul di muka pintu. Dia kaku menatap wajah Maria. Tidak tahu harus menunjukkan reaksi yang bagaimana.
“Ina!,”
“Mar… aku…,”Sabrina cuba bersuara. Namun suaranya terputus di situ. Maria berkejar di pintu pagar. Melihat wajah Maria, air mata sudah laju turun di pipinya. Maria menolak pintu pagar. Memberi ruang Sabrina melangkah masuk.
“Ina…kau datang seorang ke?,”
“Mar…,”Sabrina cuba bersuara lagi. Sekali lagi juga, suaranya tersekat di kerongkong. Sudahnya dia menerkam Maria. Menjatuhkan dirinya ke dalam pelukan Maria. Menangis di bahu Maria. Membuat Maria sedikit tergamam.
“Ina. Sudah. Cuba bertenang. Kenapa ni?,”
Sabrina terus menangis. Tidak punya kekuatan untuk menjawab soalan Maria. Sudah lama dia ingin melampiaskan kesedihannya pada seseorang. Pada seseorang yang rapat dengannya.
“Kita masuk dulu,”Maria bersuara sambil memaut bahu Sabrina. Membiarkan sahaja Sabrina terus melayan tangisnya. Masak dengan perangai Sabrina yang mudah menangis.
“Duduk dulu,”
Sabrina akur. Melabuhkan punggung ke sofa. Menyapu air mata yang bertandang tanpa henti. Maria mengambil tempat di sebelah Sabrina.
“Sorry Ina. Masa kau telefon aku, aku kat kampung. Line tak berapa elok. Sekarang ni, pula, memang aku sibuk sangat. Tak sempat nak telefon kau,”Maria bersuara sambil memandang wajah Sabrina yang basah dengan air mata.
Sabrina tunduk. Walau sedikit terkilan dengan sikap Maria, dia tidak boleh memaksa Maria memberi sepenuh perhatian padanya. Dia harus faham situasi Maria.
“Aku faham,”
“So, kau macam mana sekarang?,”
“Aku rasa teruk sangat Mar. Aku tak kuat nak lalui semua ini. Aku tak salah Mar. Aku tak salah,”
“Macam mana kau boleh ada dalam bilik orang tu?,”Maria bertanya perlahan.
“Aku tak tahu. Aku ingat itu nombor chalet yang kau bagi. Mungkin aku tersilap dengar…,”
Maria diam. Terus memandang wajah hiba temannya itu.
“D07 kan? Nombor tu yang kau cakap kat aku kan?,”soal Sabrina sambil menatap wajah Maria. Maria kerutkan kening.
“G07 lah Ina. Aku beritahu kau, G07,”
Mendengar kata-kata Maria, Sabrina sekali lagi menangis. Dia menutup muka dengan kedua-dua telapak tangannya. Bodohnya dia. Kerana kebodohannya yang sekecil itu, masa depannya gelap sama sekali.
“Bodohnya aku, Mar. Kenapa nasib aku jadi macam ni?,”
Maria memandang simpati.
“Aku tak tahu nak cakap apa, Ina. Aku tumpang simpati,”
“Aku dah tak boleh nak bersihkan nama aku. Semua orang ingat aku ni jahat, Mar. Semua orang ingat aku sengaja buat perangkap ni. Aku kehilangan segala-galanya. Segala-gala yang aku usahakan selama ini. Aku kehilangan kerja aku. Aku kehilangan Ikmal…,”
“Pasal kerja kau tu…aku minta maaf. Aku tak ada niat nak ambil- alih,”
“Aku faham, Mar. Encik Taufik telefon aku. Minta aku serahkan surat perletakan jawatan. Aku tak tahu dari mana dia tahu semua ni. Dia langsung tak beri peluang untuk aku bela diri. Sama dengan semua orang sekeliling aku sekarang. Lebih suka menuduh daripada mendengar. Dia juga beritahu aku, kau akan ambil alih tempat aku. Aku tak marah. Aku tahu, kau pun tersepit di tengah-tengah,”
Maria tersenyum kecil.
“Syukurlah kau faham,”
Sabrina tersenyum hiba. Jawatan yang dia idamkan, terpaksa dia lepaskan begitu sahaja. Dia tahu kini, Maria yang menyandang jawatan itu. Pengurus kewangan. Bermatian dia bekerja dan berusaha untuk sampai ke tahap itu. Belum sampai sebulan dia di kerusi itu, dia diminta berhenti kerja. Alasan Encik Taufik cukup mudah. Dia tidak perlukan pekerja yang tidak bermoral untuk berkhidmat di syarikatnya. Sabrina menyapu lagi air matanya.
“Aku datang nak ambil barang-barang aku…,”
Maria mengangguk perlahan.
“Ikmal?,”
Maria kerutkan kening.
“Aku Nampak keretanya kat depan,”
“Oh… dia datang tadi. Kereta aku rosak. Dia tolong hantar ke bengkel. Sebab, aku nak kena tunggu kau kat sini, kan?,”
Sabrina mengangguk perlahan. Rindunya dia pada Ikmal. Rindu yang tidak terucap. Namun, dia tahu, antara dia dengan Ikmal sudah menjadi kenangan. Dia sudah menjadi isteri orang.
“Maaf. Aku menyusahkan kau pula,”
Maria tersenyum manis.
“Tapi, kau boleh uruskan seorang kan? Aku nak keluar kejap. Kejap jer. Ada hal sikit. Kalau tak sempat tunggu aku, letak kunci rumah, kat tempat biasa,”
Sabrina diam seketika. Entah kenapa, tiba-tiba dia berasa Maria di hadapannya bukan lagi Maria yang dulu. Maria Nampak berbeza. Maria sudah tidak berusaha menyejukkan hatinya seperti selalu. Maria tidak lagi memberi kata-kata semangat padanya. Adakah Maria pun sama dengan Ikmal? Sudah tidak percaya pada kata-katanya lagi? Adakah Maria pun sama dengan orang di luar sana yang lebih suka menghukumnya tanpa memberi kesempatan untuk dia membela diri?
“Boleh kan?,”
Rasa hiba menjenguk lagi. Dia mengangguk perlahan. Biarlah Maria ingin pergi. Dia tidak mahu memaksa. Dia ke sini pun sekadar mengambil barang-barang pentingnya sahaja. Maria tersenyum sambil mengangkat punggung.
“Thanks. Aku pergi dulu,”
Sabrina mengangguk lagi. Maria berlalu keluar. Dia pula menghayun langkah ke biliknya dengan perasaan yang kosong. Tiada lagi sedih. Tiada lagi hiba. Tiada juga marah. Dia seolah-olah sudah kehilangan rasa. Untuk seketika, dia memandang biliknya. Kemas dan tersusun seperti semasa dia tinggalkan hampir sebulan yang lalu. Perlahan dia membuka almari. Mengambil beg pakaian dan memasukkan semua pakaiannya ke dalam beg. Selesai di situ, dia bertenggek di birai katil. Patung teddy bear besar di atas katil, dipegangnya. Hadiah Ikmal yang sering menjadi teman tidurnya. Hatinya berbisik. Perlukah hadiah ini dibawa bersama? Membawa hadiah ini, sama seperti dia membawa kenangan Ikmal bersamanya. Bagaimana mungkin dia boleh hidup bersama kenangan itu, walhal, saat ini dia sudah bergelar isteri kepada lelaki bernama Badrul. Tetapi, rasanya tidak kena untuk dia tinggalkan kenangan itu di sini. Akhirnya dia menarik patung besar itu ke pelukannya. Biarlah patung ini menjadi penemannya. Peneman untuk dia lalui hari-hari duka yang mendatang. Dia memandang sekeliling. Tiada lagi barang penting yang ingin dia bawa bersama. Dengan longlai, dia mencapai pen di meja solek sambil mengambil sehelai kertas dari dalam laci.

[ Maria, Aku dah ambil, semua yang aku mahu. Apa yang aku tinggal ni, terserahlah pada kau sama ada nak simpan atau buang….. Sabrina]

Perlahan dia melipat kertas itu, lalu diletakkan di atas meja solek. Perlahan juga dia mengangkat punggung. Mencapai beg pakaian yang besar, sambil mendukung teddy bear di pinggangnya. Buat kali terakhir dia memandang sekeliling biliknya sebelum dia melangkah keluar. Bergerak ke arah Gen 2 birunya. Memasukkan beg pakaiannya ke dalam kereta. Pergerakannya terhenti apabila sebuah kereta berhenti di hadapan pintu pagar. Kereta milik Maria. Berderau darah naik ke muka, saat dia melihat Ikmal melangkah keluar dari kereta itu. Tergamam. Ikmal berdiri seketika sambil matanya tajam menikam wajah Sabrina. Dengan langkah sedikit kekok, dia melangkah masuk ke laman rumah. Sabrina tunduk. Tidak kuat berdepan dengan Ikmal. Kata-kata Ikmal tempoh hari masih berbekas di hatinya.
“Ina,”
Perlahan-lahan dia mengangkat muka. Wajah Ikmal sedikit cengkung. Melihat wajah itu, meninggalkan rasa simpati di hati Sabrina. Pasti Ikmal sedih dengan apa yang berlaku.
“Abang sihat?,”soal Sabrina perlahan. Ikmal diam. Cuma matanya menangkap seraut wajah Sabrina sepuas-puasnya.
“Ina minta maaf. Ina dah kecewakan abang,”Sabrina bersuara lagi apabila melihat Ikmal membisu. Mata Ikmal terarah pada patung beruang di dalam pelukan Sabrina. Gadis itu masih mahukan hadiahnya. Hati Ikmal sedikit tersentuh.
Melihat kebisuan Ikmal, Sabrina menjadi salah tingkah.
“Ina pergi dulu ya?,”akhirnya Sabrina mengambil keputusan mengundur diri. Tidak betah berdepan dengan kebisuan Ikmal.
“Ina… tunggu,”
Sabrina menoleh. Ikmal bergerak ke kereta Maria. Mengeluarkan satu kotak dari situ, kemudian kembali mendapatkan Sabrina ini. Kotak itu dihulurkan pada Sabrina.
“Apa ni?,”
Ikmal diam lagi. Melihat kebisuan Ikmal, pantas tangannya membuka penutup kotak. Air mata jatuh lagi. Dia mengangkat muka. Memandang wajah Ikmal. Ikmal kelihatan sedikit serba salah. Bukan senang untuk dia membuat keputusan ini. Satu keputusan sukar yang perlu dia lakukan demi untuk melupakan kekasih hatinya itu. Dia tidak boleh terus melayan rasa cintanya pada isteri orang.
“Kenapa?,”dalam sebak Sabrina bertanya.
Ikmal menyepi.
“Macam tu sekali ke Abang bencikan Ina? Abang macam tak kenal Ina langsung,”
Hibanya hati Ikmal mendengar rintihan itu. Namun, apa dayanya?
“Mungkin ini yang terbaik untuk kita,”Ikmal bersuara serak. Melihat air mata Sabrina, mahu sahaja dia menarik gadis itu ke dalam pelukannya. Mahu sahaja dia memujuk gadis itu seperti selalu. Tapi, dia tahu, semua itu salah.
Sabrina menyeka air matanya. Kotak berisi hadiah pemberiannya kepada Ikmal dipandang sekali lagi. Ikmal memulangkan semua hadiah yang pernah dia beri. Pilunya hati ini.
“Mungkin Ina pun tak patut simpan ini….”
Patung beruang terlepas dari tangannya. Ikmal menahan sebak. Sabrina pula, terus membiarkan air mata menemaninya. Tiada siapa lagi yang akan memujuknya selepas ini.
“Sama seperti yang ada di fikiran aku!,”
Sabrina tersentak. Ikmal menoleh.
“Ini tujuan sebenarnya kan? Siapa ni? Kekasih kau?,”keras soalan Badrul membuat Sabrina terkedu. Sangkanya Badrul sudah pulang.
“Ini…,”
“Ikmal,”Ikmal bersuara agak lantang. Geram melihat layanan kasar lelaki ini pada Sabrina.
“So, ini semua rancangan kau berdua ya? Berpakat nak mengikis harta aku?,”
“Tak,”hampir terjerit Sabrina menidakkan.
“Cakap baik-baik sikit,”Ikmal membalas geram. Sabrina kecut. Melihat wajah berang kedua-dua lelaki di hadapannya itu, membuat dia gerun.
“Jom, balik,”tengking Badrul sambil menarik tangan Sabrina.
“Tapi, kereta saya? Biar saya drive…,”
“Tak payah. Kau balik dengan aku!,”
“Minta maaf! Aku bukan nak masuk campur. Tapi, tolong jangan layan Sabrina macam ni,”suara Ikmal meninggi tiba-tiba.
“Kenapa? Kau nak aku layan kekasih kau ni, macam mana? Macam permaisuri? Dengar sini! Sabrina, aku tak akan lepaskan kau. Di hadapan kekasih hati kau ni, aku bersumpah aku akan pastikan hidup kau benar-benar hancur. Kau berdua tak akan dapat apa yang kau berdua rancangkan tu. Tak akan,”
“Apa kau cakap ni? Jangan sembarangan cakap,”
Badrul merengus marah. Tangan Sabrina disentap kuat, membuat Sabrina terdorong ke depan sambil menyeringai kesakitan.
“Jangan buat dia macam tu,”tengking Ikmal sambil menahan laluan Badrul.
“Kalau aku buat juga kenapa? Kau nak pukul aku? Silakan. Peliklah kau ni. Kau sanggup serah kekasih kau pada lelaki lain. Sanggup tengok kekasih kena tangkap basah tapi, kau tak sanggup tengok dia kena marah?,”
“Sudahlah tu!,”Sabrina menjerit tiba-tiba. Gerun melihat tangan Ikmal yang sudah mula mahu menghayun penumbuk ke muka Badrul. Juga gerun melihat wajah Badrul yang memerah menahan amarah.
“Sudahlah bang. Jangan macam ni,”
“Dia tak patut layan Ina macam ni,”
Sabrina memandang wajah Badrul.
“Saya balik dengan kereta saya?,”
“Balik dengan aku! Kereta tu, nanti suruh orang datang ambil,”tegas suara Badrul mengunci bicara Sabrina.
Suara yang mengundang geram di hati Ikmal sekali lagi. Entah kenapa hatinya sakit melihat Sabrina diperlakukan sebegitu.
“Abang… biarkan Ina,”Sabrina cepat-cepat bersuara sebaik melihat wajah marah Ikmal. Ikmal diam. Badrul pula terus menarik kasar tangan Sabrina, menuju ke kereta. Sabrina panjangkan langkah mengikut langkah Badrul yang laju. Sesungguhnya hatinya kecut memikirkan tindakan Badrul selepas ini.
***

Pergilah Air Mata 5


Suapannya terhenti. Sudu dan garfu diletakkan di pinggan. Matanya lebih terarah pada Badrul. Pada menungan Badrul. Badrul lebih banyak termenung sejak akhir-akhir ini. Dia sedar akan perubahan itu. Teramat sedar. Namun, berat mulutnya untuk bertanya. Biarlah lelaki itu sendiri yang bercerita. Tetapi, setelah hampir sebulan, tiada juga cerita dari mulut Badrul, sedang hatinya sudah dilanda pelbagai persoalan. Sudah dihimpit segunung rasa ingin tahu. Ingin tahu punca perubahan Badrul. Lelaki itu sudah seperti hilang keceriaan.
“Bad…,”
“Bad…,”sekali lagi dia bersuara sambil menyentuh jemari Badrul. Badrul tersentak. Dayana tersenyum.
“Melamun…,”ujarnya perlahan. Badrul tersenyum kecil.
“Sorry,”
“It’s okay. Kenapa ni? You ada masalah ke? Bergaduh dengan abah you lagi ya?,”
Badrul menggeleng perlahan.
“Nothinglah. Kenapa tak makan? Tadi cakap lapar,”
“Tadi memanglah lapar. Tapi, bila tengok you asyik melamun aje, tiba-tiba jadi kenyang,”
Badrul tersenyum mendengar Dayana bercanda.
“Kenapa ni? Dah dekat sebulan I tengok you macam ni. Kenapa? Kalau ada masalah, ceritalah kat I. Mana tahu I boleh tolong?,”
Badrul diam. Matanya memandang wajah Dayana. Rasa bersalah pada gadis itu, bagai tidak dapat dia buang. Dia ingin berterus terang, tetapi dia takut memikirkan penerimaan Dayana. Dia takut Dayana nekad meninggalkannya. Sedangkan dia tidak mahu kehilangan gadis itu. Dia takut Dayana akan membencinya, sedangkan cintanya melangit pada gadis itu.
“Bad…I Tanya, sepatutnya you jawab. Bukannya pandang I macam tu,”Dayana bersuara sambil tersenyum segan. Malu ditatap lama dek Badrul.
“You know?… I takut kehilangan you,”Badrul bersuara tiba-tiba.
Dayana tergelak halus. Sedikit hairan dengan pengakuan Badrul. Selebihnya, dia lebih terkejut dengan pengakuan itu. Tiba-tiba Badrul berbicara seromantis itu. Padahal, dia tahu benar, itu bukanlah sifat Badrul. Badrul bukanlah seorang lelaki yang romantik. Yang suka bercakap soal hati dan perasaan. Yang suka bercakap tentang sayang dan rindu. Perlahan dia membawa jemarinya ke pipi Badrul.
“Are you okay?,”soal Dayana masih bersama sisa gelaknya. Pantas Badrul mencapai jemarinya. Menggenggam erat jemari Dayana. Membuat tawa Dayana mati tiba-tiba. Reaksi serius Badrul bagai memberi isyarat yang lelaki itu tidak merayu sekadar untuk menceriakan suasana. Tidak merayu sekadar untuk mempamerkan rasa sayang dan cinta.
“I’m serious,”
Dayana bungkam. Tanpa bicara, matanya tidak berkelip memandang wajah resah Badrul.
“I know. You tak pernah macam ni. Of course I know you serious. Cuma, I pelik. What happened? Kenapa tiba-tiba you cakap macam ni? I’m here for you, sayang. Forever. You takkan kehilangan I. Jangan bimbang,”
Badrul tersenyum kelat. Benarkah Dayana akan berada di sisinya selama-lamanya? Sukarnya untuk dia percaya kata-kata itu. Mustahil Dayana dapat menerima berita buruk yang menimpanya ini dengan cukup positif. Mustahil.
“Bad… kenapa ni? Takkan pasal I refuse untuk kahwin dengan you cepat-cepat you jadi stress sampai macam ni… Kalau pasal tu, I’m sorry okay? One day, kita pasti akan kahwin. I pun memang nak kita kahwin. Cuma bukan sekarang. Banyak benda yang belum I capai sekarang. Masih banyak benda yang I nak kejar. You cakap you faham. Tapi, kenapa jadi macam ni pula?,”dalam rasa hairan, Dayana bersuara.
“No. bukan pasal tu,”
“Dah tu? Pasal apa? Kenapa stress sangat ni? Muka pun tak ceria saja. Janganlah berahsia dengan I,”
Badrul menarik nafas panjang. Wajah mulus Dayana dipandang sekali lagi. Dia perlu berterus -terang dengan Dayana. Semakin lama perkara ini menjadi rahsia, semakin akan menjadi masalah pada hubungan mereka.
“Walau apa pun yang berlaku, you janji you akan tetap bersama I? You tak akan tinggalkan I?,”
“Bad… kenapa ni? Jangan buat I tertanya-tanya macam ni. Jangan buat I resah macam ni. Apa yang you cuba nak beritahu I? What happened?,”
“You ingat kan, I ke Cherating hari tu?,”
“Yup. You cakap you nak jumpa kawan lama kan? Kenapa pula?,”
Badrul kelu lagi. Mengeluh panjang sambil membuang pandang. Membuat Dayana semakin resah.
“Kita kahwin sekarang?,”tiba-tiba terpacul kata-kata itu di bibir Badrul.
“Bad…Tiba-tiba tukar topic pula. Cepat cerita. Apa berlaku di Cherating?,”
“I nak kita kahwin sekarang,”
“But, why? Sebelum ni you kata you boleh tunggu…,”
“Yana… I nak kita kahwin. I nak you tahu I benar-benar serius dengan you. And, I langsung tak ada niat nak permainkan you,”
“I tahu. I tahu you serius. I juga tahu you tak pernah permainkan I. jangan risau , okay. I takkan simpan rasa ragu pada you. I yakin dengan cinta you pada I,”
“Walau apa sekali pun yang berlaku pada I, you boleh percaya yang itu semua bukan kehendak I?,”
Dayana mengeluh panjang. Kata-kata Badrul yang berjela-jela dan berselirat, benar-benar membuat dia hilang sabar untuk terus menunggu. Tajam matanya merenung wajah Badrul. Menebak apa sebenarnya yang bersarang di hati lelaki itu.
“I tak tahu apa. But, you’re hiding something from me. I’m very sure about it. Betul kan?,”
Badrul diam. Melihat kebisuan itu, Dayana sedar, tekaannya benar.
“Tell me,”gesa Dayana kurang sabar.
“I love you,”
“Apa yang you rahsiakan dari I?,”gesa Dayana lagi.
“Promise me. You takkan salahkan I. You akan percaya pada I? dan, you tak akan tinggalkan I,”
Dayana sudah tidak betah lagi. Pinggan nasi ayamnya sudah ditolak jauh-jauh. Seleranya mati tiba-tiba. Saat ini, dia lebih gusar dengan bicara yang ingin Badrul luahkan. Rahsia apa yang Badrul simpan sehingga mendambakan perngertian sebegitu tinggi darinya?
“Please Bad. You pun tahu I tak pernah suka kalau you berdolak-dalih. Just straight to the point,”
Badrul tunduk seketika. Mencari kekuatan untuk dia bersuara. Perkara ini tidak boleh lagi menjadi rahsia. Dia perlu berani berterus-terang.
“Semasa I di Cherating, I kena…,”
“Kena apa? Please Bad. Jangan buat I tertunggu macam ni. Berterus-terang, okay!,”
“I ditangkap basah…,”
Dayana tergamam. Terkesima. Bulat matanya memandang wajah Badrul. Patutlah lelaki ini berubah. Lemah segala sendinya. Hancur luluh hatinya. Patutlah susah benar Badrul ingin bersuara.
“How could you…,”hanya itu yang mampu dia luahkan.
“Yana. Dengar dulu penjelasan I,”
“Sekarang baru nak jelaskan? Kenapa baru sekarang?,”suara Dayana sudah bertukar nada. Benar-benar dia berasa tertipu dengan Badrul. Hampir sebulan peristiwa itu berlaku, baru sekarang Badrul ingin berterus terang.
“Please Yana. Jangan buat kesimpulan melulu. You mesti dengar semuanya,”
“Siapa perempuan tu?,”
“I tak kenal,”
“Pelacur? You langgan pelacur?,”
“No! I bukan macam tu. You pun tahu I bukan macam tu,”pantas Badrul menepis tuduhan melulu Dayana.
“Kalau you tak kenal, macam mana perempuan tu boleh ada dalam bilik you? Or, you yang pergi ke bilik dia?,”sinis soalan yang meniti di bibir Dayana. Hatinya bagai dipanggang di atas bara. Panas! Tidak pernah menduga Badrul akan melakukan perkara seburuk itu.
“Tiba-tiba dia muncul dalam bilik I. Sumpah I tak kenal dia. Tak pernah jumpa dengan dia,”
Dayana diam. Tidak mahu menyampuk. Dia perlu mencari kekuatan untuk berdepan dengan kenyataan yang amat menyakitkan ini. Lelaki yang dia cintai sepenuh hati, diatangkap berdua-duaan dengan perempuan lain. Terlalu menyakitkan.
“So, dia datang dari langit, and muncul tiba-tiba depan you. Itu maksud you? Dan, you nak I percaya dengan kata-kata you tu? Sorry Bad. I tak percaya langsung,”
“You mesti percaya. Sebab I tak tipu. I tak kenal dia. You mesti percaya pada I Yana,”
Dayana merengus perlahan. Melihat wajah sedih Badrul, geramnya sedikit menghilang.
“So, sekarang, macam mana?,”
“I married that girl,”perlahan Badrul bersuara.
“What?!!,”kuat soalan itu keluar dari bibir Dayana. Membuat Badrul tersentak. Juga membuat beberapa pelanggan di dalam restoran turut tersentak. Kemudian saling berpandangan sesama sendiri.
“I hate you!,”keras nada bicara Dayana sambil cepat-cepat dia mengangkat punggung.
“Yana. Wait,”
Gadis itu terus berlalu. Membuat Badrul benar-benar menggelabah. Inilah yang paling dia tidak mahu hadapi. Dia sudah jangka pasti situasi akan menjadi rumit. Cepat-cepat dia mengeluarkan sekeping not RM100. Diletakkan di atas meja sebelum dia bergerak megejar Dayana.
“Yana. Tunggu… Dengar dulu penjelasan I,”
Dayana terus melangkah laju. Namun tangan Badrul yang memaut lengannya membuat langkahnya terhenti. Badrul bergerak menghalang langkah Dayana.
“Yana…,”
Gadis itu mengangkat muka. Air mata membasahi pipinya. Badrul terkedu.
“Sampai hati you,”
“Please, jangan menangis. Ini semua bukan seperti yang you fikirkan, okay,”lembut suara Badrul berusaha menenangkan Dayana. Melihat air mata Dayana, dia menjadi tidak tentu arah. Tidak sama rasanya dengan melihat air mata Sabrina. Air mata Sabrina mengundang benci dan geram di hatinya.
“I terpaksa. Abah I paksa kami kahwin. You pun faham kenapa, kan? Abah tak nak press tahu hal ni. tak nak hal ni dipanjangkan,”
Dayana mengangkat muka. Menentang renungan Badrul yang sayu.

“So, you nak I buat apa sekarang? Wish selamat pada you? Okay. Selamat pengantin baru, Bad,”
“Jangan sindir I macam tu. I faham kalau you marahkan I. tapi, jangan sampai you tinggalkan I. I love you,”
“Dah tu, you nak buat apa sekarang?,”
“Kita kahwin?,”
“Senangnya. Perempuan tu, macam mana?,”
“I tak nak tahu pasal dia. I Cuma nak tahu pasal kita. I tak nak sebab dia, hubungan kita terjejas,”
Dayana menarik tangannya dari genggaman Badrul. Senang sungguh Badrul membuat keputusan.
“Masa you berdua-duaan dengan dia, tak terfikir pula pasal hubungan kita ya?,”
“Yana. Sumpah. Bukan macam tu keadaannya. I keluar dari bilik air, I tengok dia dah ada dalam bilik I. Tak tahu dia datang dari mana. Semuanya terlalu pantas. Masa tu juga, ada orang ketuk pintu. And… you know apa jadi lepas tu. I betul-betul terperangkap,”
“Siapa dia? Kenapa dia nak perangkap you? Perempuan tu, exgirlfriend you ke? Sampai nekad macam tu sekali nakkkan you?,”soalan yang bertubi-tubi, jelas menunjukkan keraguan Dayana pada ceritanya. Dayana tidak percaya pada ceritanya.
“Percayalah cakap I. and…kita kahwin ya?,”
“You nak I bermadu dengan perempuan? Sorry. I tak nak berkongsi suami. I tak nak rampas suami orang,”
Badrul mengeluh panjang.
“I tak akan pandang dia. I tak akan sentuh dia. Isteri yang betul-betul I inginkan, adalah you. Bukan perempuan tu,”
“Sudahlah. I tak nak dengar apa-apa,”
“Yana…,”
“Jangan ganggu I,”
Badrul mati akal. Melihat reaksi Dayana, bencinya pada Sabrina terasa semakin bertambah. Dalam diam, marahnya bertukar menjadi dendam. Tidak kira apa niat Sabrina padanya, dia akan pastikan Sabrina tidak akan dapat apa yang dia inginkan. Juga, dia akan pastikan, air mata terus menemani gadis itu.

****

Pergilah Air Mata 4


Dengan malas dia menanggalkan tali lehernya. Penat. Matanya sekali lagi memandang sekeliling. Bilik itu kosong. Sabrina tiada di situ. Dia menghela nafas panjang. Bagus juga. Ada sedikit ruang untuk dia bersendiri. Kadang-kadang rimas rasanya, setiap kali pulang dari pejabat, dia disuakan dengan wajah murung Sabrina. Perlahan dia melabuhkan punggung ke kerusi. Bersandar seketika. Cukup untuk melegakan rasa letih yang bergayut di tubuhnya. Sejak beberapa hari ini, Sabrina seolah-olah mengerti apa yang bermain di hatinya. Sabrina melarikan diri sebaik dia tiba di rumah. Sabrina seakan-akan tahu dia tidak mahu melihat wajahnya. Sambil dia menggeliat, matanya tertancap pada sehelai kertas yang terselit di bawah bekas pen. Pantas tangannya mencapai cebisan kertas yang tertulis sesuatu di situ.
[ Saya nak minta izin keluar. Saya nak ambil barang di rumah sewa saya]
Badrul diam seketika. Tidak memberi apa-apa reaksi buat seketika. Setelah agak lama, perlahan-lahan, mindanya mula memproses permintaan Sabrina. Rumah sewa? Di mana rumah sewa gadis itu? Berhampiran dengan kediamannya ke? Langsung dia tidak tahu. Selain daripada Sabrina Shahzan, nama penuh isterinya itu, memang Badrul tidak tahu apa-apa lagi tentang Sabrina. Nama itu pun terpaksa dia hafal untuk dilafazkan di hadapan kadi. Sesungguhnya dia tidak kenal langsung siapa Sabrina Shahzan yang kini terpaksa berkongsi katil dengannya. Dia mengeluh panjang. Bangkit dari kerusi sambil bergerak ke jendela.
Dari jauh dia melihat Sabrina melayan menungnya di hujung halaman. Termenung sambil menongkat dagu. Kadang-kadang terdetik rasa aneh apabila melihat Sabrina. Pelik. Misteri. Apa sebenarnya yang sedang bermain di hati gadis itu? Apa sebenarnya agenda tersembunyi yang membawa gadis itu ke chaletnya lebih tiga minggu yang lalu? Apa sebenarnya yang Sabrina inginkan daripadanya? Siapa sebenarnya Sabrina? Matanya lari pula pada coretan nota Sabrina yang masih dipegangnya. Melihat kertas itu, tanpa sedar, senyum menguntum di bibir. Tidak menyangka Sabrina mengikut sahaja saranannya di dalam marah, tempoh hari. Saranan itu bukanlah satu saranan serius yang dia inginkan. Rasa marah yang membuak mendesak dia berbicara tanpa berfikir. Dan, Sabrina menurut sahaja apa yang dia ungkapkan. Semenjak hari itu juga, Sabrina langsung tidak bercakap dengannya. Sebaik bertentang mata, cepat-cepat gadis itu menghilangkan diri. Dia harus berterima kasih untuk itu sebenarnya. Lapang rasa dadanya tanpa gangguan dari Sabrina. Tidak sangka pula, Sabrina boleh bertukar menjadi seorang isteri yang sangat memahami. Isteri? Dia tergelak sinis. Sekali lagi pandangannya dihalakan ke arah Sabrina. Sabrina tidak lagi bersendirian. Ibunya tercegat di hadapan gadis itu. Berbicara sesuatu. Dia terus memandang wajah Sabrina yang terkebil-kebil mendengar. Jelas wajah itu bertukar mendung tiba-tiba. Pasti ibunya menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati. Ibunya berlalu pergi, dan dia melihat Sabrina menyeka pipi. Pasti menangis lagi. Dia menggeleng perlahan. Barangkali menangis merupakan salah satu hobi gadis itu.
“Tak habis-habis dengan air mata…,”rungutnya tanpa sedar.
“Apa dia Encik Badrul?,”
Badrul tersentak. Segera dia berpaling.
“Apa Kak Milah buat kat sini? Tiba-tiba terpacak kat belakang saya?,”soalnya sedikit keras. Geram dengan kehadiran Jamilah secara tiba-tiba.
“Err…akak dah ketuk pintu. Encik Badrul tak dengar. Pintu pula terbuka, jadi akak masuklah,”
Badrul merengus perlahan.
“Ada apa?,”
“Hmm… Datin tanya, Encik Badrul nak minum petang kat bawah ke kat dalam bilik?,”
“Bila masa pula saya suka makan dalam bilik? Itu pun nak kena tanya saya ke? Dah berapa lama Kak Milah kerja kat sini? Sampai apa yang saya suka dan apa yang saya tak suka pun, Kak Milah masih tak tahu?,”
“Tak adalah. Datin suruh tanya . Manalah tahu kalau-kalau Encik Badrul tak nak Puan Sabrina ganggu Encik…,”
“Kak Milah…,”
“Bukan akak yang cakap. Datin yang cakap. Akak cuma sampaikan saja,”cepat-cepat Jamilah menyampuk. Memang itu bukan ayatnya. Datin Hamidah yang mengeluarkan kata-kata itu. Dia cuma mengulangi kata-kata majikannya sahaja. Tidak lebih dari itu. Badrul tersenyum lucu. Melihat senyuman itu, Jamilah sedikit lega. Lamanya dia tidak melihat senyuman di bibir lelaki itu. Semenjak perkahwinannya dengan Sabrina, Badrul seperti sudah lupa bagaimana untuk senyum. Kasihan dia melihat majikannya itu.
“Saya nak mandi dulu. Nanti saya turun. Tak payah bawa makanan ke sini. Kak Milah pun tahu saya tak suka,kan?,”
Jamilah mengangguk.
“Tak suka apa?,”
Badrul memandang ke arah pintu. Datin Hamidah tercegat di situ. Jamilah cepat-cepat bergerak keluar dari ruangan itu. Badrul kambali berpaling ke arah jendela. Menyambung pandang ke arah Sabrina.
“Tak suka apa?,”sekali lagi ibunya bertanya.
“Tak ada apa-apa, mama,”
Datin Hamidah bergerak menghampiri Badrul. Berdiri di sebelah Badrul, matanya sekali lagi disuakan dengan wajah yang mengundang rasa sakit di hatinya. Dia mengeluh keras. Geram melihat Sabrina yang sedang termenung.
“Sejak bila kamu mula mengintai ni?,”
“Mengintai? Mengintai apa pula, mama?,”
“Bukan ke kamu tengah curi pandang bini kamu ni?,”
Badrul tergelak. Melencong sungguh tekaan ibunya. Tiada masa untuk dia mengintai Sabrina.
“Tak ada maknanya, saya nak mengendap dia,”
“Dah tu, apa kamu buat kat sini?,”
Badrul berpaling. Memandang wajah ibunya yang memuncung.
“Apa mama cakap dengan dia tadi? Lepas mama pergi, saya tengok dia menangis,”
“Hai… dah cair ke tengok air mata perempuan tu?,”
“Tak adalah. Saya tanya saja,”
“Mama tanya apa yang dia nak dari kamu. Itu saja,”
Badrul tersenyum nipis.
“Apa dia cakap?,”
“Dia diam. Memang saja nak mencabar marah mama. Kurang ajar,”
“Biarkanlah dia, mama,”
Datin Hamidah diam.
“Kertas apa tu?,”
“Hah?,”Badrul sedikit terpinga-pinga mendengar soalan ibunya.
“Kat tangan kamu tu. Kertas apa?,”
Badrul melihat kertas di tangannya.
“Oh… nota. Sabrina yang bagi,”
“Nota? Nota apa?,”
Badrul tidak menjawab. Kertas itu disuakan pada Datin Hamidah.
“Pergi ambil barang?,”
“Ha ah,”
“Hai… Kenapa sampai nak kena tulis pula. Dah tak ada mulut nak bertanya? Nak bercakap? Budak ni memang kurang ajarlah. Geramlah mama dapat menantu macam nilah,”
Badrul tergelak kecil. Dalam resah, ada rasa lucu melihat wajah ibunya yang merah menyala.
“Bukan salah dia, mama. Saya yang terlepas cakap hari tu. Tak sangka pula dia boleh ikut saja,”
Datin Hamidah mencebik.
“Dah mula menangkan dia, Nampak? Takkan Bad dah suka kat perempuan tu kot?,”
“Tak adalah mama. Saya cakap benda betul,”
“Hmm… benda betul konon. Kamu tahu ke kat mana rumah sewanya tu? Nampaknya macam nak pindah terus ke sini. Tak malu. Dah tahu semua orang kat dalam rumah ni, tak suka kat dia, terhegeh-hegeh nak usung barang dia masuk ke sini buat apa? Mama lagi suka kalau dia cepat-cepat keluar dari rumah ni. Tahu?,”
Badrul diam. Dia juga lebih suka kalau Sabrina memilih untuk keluar dari sini.
“Bad. Dengar tak mama Tanya?,”
“Apa?,”
“Kamu tahu ke kat mana rumah sewanya?,”
Badrul menggeleng.
“Tak tahu? Dah tu kamu nak lepaskan dia pergi?,”
“Yalah. Takkan nak halang pula,”
“Jangan nak mengada. Mama tak setuju,”
Badrul kerutkan kening. Pelik mendengar kata-kata ibunya.
“Kenapa mama?,”
“Betul ke dia nak pergi ambil barang? Entah-entah pergi jumpa jantan, tak? Mana tahu kot-kot dia nak jumpa kekasih dia ke. Kalau terjadi apa-apa, macam mana? Kamu nak abah malu sekali lagi? Mahu masuk ICU kami berdua nanti,”
Badrul terdiam. Berfikir sejenak.
“Takkanlah macam tu kot, mama. InsyaALLAH tak ada apa-apalah,”
“Yalah tu. Dalam tak ada apa-apalah, tup-tup tengah malam buta kamu call abah cakap kamu kena tangkap basah. Susah mama nak percaya perempuan tu,”
“Dah tu? Macam mana?,”
“Tak payah nak pergi ambil apa-apa. Barang apa yang dia ada? Apa, anak mama dah tak ada duit ke nak beli barang untuk isteri? Beli saja yang baru. Habis cerita,”
“Sayang betul mama kat menantu ya? Sampai tak bagi keluar rumah…,”sakat Badrul tiba-tiba. Membuat wajah Datin Hamidah kembali bertukar warna.
“Itu bukan menantu. Itu hantu! Sebab dia hantu, kena rantai dia kat dalam rumah. Jangan bagi lepas keluar,”bebel Datin Hamidah marah. Badrul tergelak halus. Datin Hamidah kalau marah…Badrul tergelak lagi.
“Tak baik mama cakap macam tu,”
“Dah tu, apa kamu berdua buat tu… baik?,”
“Mama ni. Kan saya dah cakap. Kami tak ada buat apa-apa pun. Saya tak kenal dialah, mama,”Badrul bersuara. Gelaknya hilang tiba-tiba. Soalan paku buah keras ibunya menghilangkan mood nya.
“Sebab kita tak kenal dia, kita kena hati-hati dengan dia. Entah-entah dia ada niat jahat kat keluarga kita. Tak pun nak mengikis harta orang,”
“Hmm… kalau ada cita-cita nak mengikis harta orang… mimpilah, mama. Mama ingat saya ni bodoh ke, nak bagi dia semua tu?,”
“Sekarang memanglah kamu tak bodoh. Tapi, mama risau kot-kot satu hari nanti, dia berjaya bodoh-bodohkan kamu. Itu yang mama paling risau,”
“Don’t worry, mama,”
Datin Hamidah diam. Matanya sekali lagi ditebarkan ke halaman. Sabrina sudah tiada di meja itu.
“Ingat tu. Jangan lepas dia keluar seorang. Kurung saja dia kat rumah ni. Mama tak nak nanti timbul pula masalah baru,”
“Tahulah saya nak buat macam mana. Mama jangan risau,”
“Yalah,”
Badrul tersenyum tawar sambil memerhati setiap langkah yang diatur Datin Hamidah. Perlahan wanita separuh abad itu melangkah keluar dari biliknya. Dia pula perlahan menutup jendela yang terbuka.

****
Wajah Ikmal di screen telefon bimbitnya, ditatap lagi. Rindunya dia pada lelaki itu. Betapa dia terlalu mengharapkan lelaki itu datang padanya. Memujuknya seperti selalu. Mendendangkan cerita-cerita lucu untuk dia buang jauh kesedihan hati. Tetapi, Ikmal tidak muncul. Barangkali lelaki itu tidak akan muncul lagi. Segalanya kini Cuma tinggal kenangan. Kenapa perlu begini akhirnya cinta dia dengan Ikmal? Sangat tragis.
“Awak siapa?,”soalnya hairan. Sepatutnya ruangan ini kosong. Tidak ada sesiapa, sebab Maria terpaksa keluar berjumpa temannya. Pintu tidak berkunci. Maria sudah jelaskan. Memandangkan dia sudah hampir sampai, pintu tidak dikunci, sementara kunci Maria pegang. Tidak mahu mengganggu seandainya dia terpaksa pulang lewat. Itulah yang Maria ucapkan menerusi telefon. Dan sekarang? Siapa lelaki ini?
“Apa awak buat dalam bilik ni?,”
Sabrina terkedu. Segera dia berpaling muka. Segan melihat lelaki di hadapannya yang hanya bertuala. Kepalanya ligat berfikir. Dia yakin inilah nombor bilik yang Maria berikan padanya. Hatinya digaru resah. Perlahan dia menggaru kepala yang tidak gatal. Atau dia tersilap dengar?
“Hello…. Saya bercakap dengan awak ni. Apa awak buat dalam bilik saya?,”
Sabrina berpaling sekali lagi. Cepat-cepat dia tunduk melihat lelaki itu masih tidak berbaju. Sekali lagi dia mengangkat muka, tubuh lelaki itu sudah pun dibaluti T-shirt.
“Bilik awak?,”
“Yalah. Takkan bilik awak pulak? Cepat keluar,”
“Tapi…,”kata-kata Sabrina terhenti apabila pintu bilik diketuk tiba-tiba. Dalam keliru dia saling berpandangan dengan lelaki yang masih tercegat di hadapannya itu. Dengan langkah yang sedikit tergesa-gesa lelaki itu melangkah ke pintu. Sebaik pintu terbuka, beg di tangannya terlepas tiba-tiba. Hampir pitam melihat empat orang lelaki berkopiah tercegat di muka pintu. Terasa gelap dunianya. Tidak perlu mendengar apa yang dibicarakan oleh lelaki-lelaki itu, dia sudah tahu apa yang berlaku. Ujian apakah ini? Saat itu, dia terigatkan Maria. Di mana Maria? Maria tersilap beri nombor bilik, atau dia yang tersilap dengar? Ya ALLAH! Tidak sanggup dia lalui saat yang memalukan sebegini.
Ketukan yang agak kuat di meja membuat dia hampir terloncat dari kerusi. Peristiwa hitam yang mengganggu fikirannya, hilang tiba-tiba. Dia mengangkat muka. Badrul tercegat di hadapannya. Dia memandang kosong. Hairan dengan kemunculan lelaki itu secara tiba-tiba. Ada lagikah perbuatannya yang kurang senang di mata lelaki ini? Dia cuba untuk tidak menyusahkan lelaki ini. Bibirnya bergerak ingin bertanya. Tetapi, mengingatkan kata-kata Badrul tempoh hari, dia lebih suka berdiam diri. Sudahnya dia tunduk.
“Apa kau buat kat sini?,”
Sabrina mengangkat muka. Hairan mendengar soalan itu.
“Tak ada buat apa-apa. Kenapa? Awak nak duduk kat sini ke? Kalau macam tu, saya masuk. Saya minta maaf ya,”cepat Sabrina mengangkat punggung. Sangkanya berada di sini, dia tidak akan menganggu Badrul. Rupa-rupanya dia silap. Kepalanya ligat mencari ceruk untuk dia sorokkan wajahnya daripada penghuni banglo besar ini. Susahnya apabila diri dibenci orang.
“Menangis lagi?,”
Sabrina bungkam.
“Saya tak tahu awak ada dekat-dekat sini. Saya ingat awak dalam bilik. Saya minta maaf,”cepat-cepat Sabrina memohon maaf. Sudah berpuluh kali Badrul memarahinya. Sudah berpuluh kali juga lelaki itu memberi amaran.
“Tolong jangan menangis depan aku. Aku tak suka nak tengok,”
Mana mungkin dia dapat lupakan sebaris ayat itu. Tapi, kali ini, bukan salahnya. Badrul yang muncul tiba-tiba. Sudah hampir seminggu dia tenang menghabiskan waktunya di sini. Lewat tengah malam barulah dia bergerak ke bilik. Yakin, Badrul sudah lena diulit mimpi. Dia faham perasaan Badrul. Badrul tidak suka melihatnya.
“Saya masuk dulu,”
“Duduk,”
Langkah Sabrina terhenti. Berpaling sambil menatap wajah Badrul dengan pandangan hairan.
“Saya ke?,”
Badrul bersandar pada kerusi sambil matanya memandang sekeliling.
“Kau ada Nampak orang lain ke, kat sini?,”
Sabrina diam. Perlahan dia melabuhkan punggung di hadapan Badrul. Tunduk, menunggu bicara Badrul.
“Mana kau tinggal?,”
Sabrina mengangkat muka. Sedikit terpinga-pinga mendengar soalan itu.
“Saya? Maksud awak?,”
“Rumah sewa kau, kat mana?,”
Perlahan-lahan Sabrina memahami maksud soalan Badrul. Pasti Badrul sudah baca notanya. Hampir seminggu nota itu terletak di atas meja. Baru sekarang rupa-rupanya lelaki itu baca.
“Subang,”
“So, kau orang sini?,”
“Saya tinggal kat Subang. Menyewa dengan kawan saya. Dah jadi macam ni, saya rasa elok saya ambil barang-barang saya kat sana. Awak benarkan saya pergi?,”
“Rumah kekasih awak ke?,”
Sabrina kerutkan kening. Apa jenis soalan yang lelaki ini ajukan? Sungguh dia tidak senang dengan soalan itu.
“Kawanlah. Kenapa awak Tanya macam tu?,”
Badrul tidak menjawab. Cuma memandang wajah Sabrina yang jelas tidak senang dengan soalannya itu.
“Boleh saya pergi?,”sekali lagi Sabrina bertanya. Bukan senang untuk mencari saat-saat sebegini. Saat lelaki itu sudi ringankan lidah menyapanya.
“Tak payah ambil. Beli baru saja,”
“Tapi…,”
“Full stop,”tingkah Badrul sambil mengangkat punggung.
“Takkan saya nak tinggal semuanya kat sana. Menyusahkan kawan saya nanti,”
“Kamu ni,memang jenis yang menyusahkan orang pun. Beli yang lain. Beritahu kawan kau, kalau tak boleh simpan, buang semua barang kau tu,”
Sabrina terkebil-kebil. Melampaunya arahan. Ingat sampah ke?
“Saya kena pergi juga,”balasnya dalam takut. Badrul menoleh. Merenung tajam wajahnya. Membuat dia tertunduk. Kecut melihat renungan garang itu.
“Kau minta kebenaran aku. Sekarang aku dah cakap. Aku tak benarkan. Apa lagi yang tak kena ni?,”
“Takkan kereta saya pun, nak buang jugak…,”Sabrina menjawab perlahan. Membuat tawa pecah tiba-tiba di bibir Badrul. Langkahnya terbantut.
“Kau cakap nak ambil barang. Tak ada pun cakap nak ambil kereta,”
“Sekalilah tu,”
“Bila kau nak pergi?,”
“Hari minggu ni, boleh?,”
Badrul mengangguk perlahan. Sabrina tersenyum. Bagai tidak percaya mendengar jawapan Badrul. Badrul bergerak mendekatinya. Merenung dalam-dalam wajahnya.
“Muka kau Nampak lain,”
Sabrina kerutkan kening. Cepat jemarinya menyentuh pipi. Apa yang lain?
“Patutlah. Kau senyum rupa-rupanya. Ingat tak reti nak senyum,”
Sabrina terkedu. Badrul sedang bergurau ke? Tidak mungkin. Sebab wajah lelaki itu kelihatan terlalu serius.
“Errr… terima kasihlah. Saya pergi sekejap saja,”
“Aku ikut,”
Ha?! Bulat mata Sabrina menatap wajah Badrul. Kenapa perlu lelaki itu menemaninya?
“Tak payah. Saya tak nak menyusahkan awak,”
“Kenapa? Kau nak jumpa kekasih hati kau? Sebab tu tak nak aku ikut?,”
Sinis soalan yang meniti di bibir Badrul, sepeti biasa, menghiris perasaannya.
“Saya Cuma tak nak menyusahkan awak. Tapi, kalau awak nak ikut, saya tak kisah,”
“Ok,”balas Badrul sepatah lalu melangkah meninggalkannya.
Sabrina diam, menahan sebak. Cukup rendah pandangan penghuni rumah itu padanya.

****


Pergilah Air Mata 3


“Ina tak tahu apa-apa, bang. Abang datanglah. Tolonglah Ina. Ina tak salah bang,”
“Ina takut. Ina takut, bang. Tolonglah Ina. Ina tak nak lalui semua ni,”
“Tak. Ina sayang abang. Ina tak pernah curang pada abang. Abang datanglah tolong Ina. Ina takut bang. Ina sorang-sorang kat sini,”
Hiba di hati mendengar rintihan itu. Terlalu hiba. Saat itu terbayang di matanya esakan Sabrina yang tidak berhenti. Terbayang di matanya pipi Sabrina yang lencun dengan airmata. Simpatinya membukit. Mana pernah dia membiarkan walau setitis pun air mata jatuh di pipi gadis itu. Dia terlalu sayangkan gadis manja yang amat sensitif itu. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk menghapuskan air mata yang membasahi pipi Sabrina. Apa sahaja. Dia selalu menjadi orang pertama yang akan hadir di sisi Sabrina setiap kali hati gadis itu dilanda rawan. Menjadi orang pertama yang datang memujuk. Tetapi, itu dulu. Entah kenapa, kali ini hatinya menjadi sekeras batu. Walau segunung simpati yang bertandang, hatinya berat untuk memujuk. Walau selaut hiba yang datang, tiada kocak sendu datang memujuk amarahnya. Dia tersenyum sinis. Bagaimana mungkin dia bisa memujuk Sabrina, padahal, hatinya sendiri remuk diperlakukan Sabrina. Sampai hati Sabrina. Teringatkan apa yang berlaku pada Sabrina, cepat sahaja simpatinya bertukar menjadi benci. Cepat juga simpatinya bertukar menjadi marah.
Ketukan di pintu membuat dia tersentak. Cepat dia berpaling. Maria muncul bersama senyum yang mekar di bibir.
“Sorry. Lambat sikit. Ada discussion dengan bos,”
Ikmal tersenyum tawar. Perlahan dia menjungkit bahu, isyarat dia tidak kisah menunggu lama. Maria melangkah longlai ke mejanya. Melabuhkan punggung sambil memandang wajah Ikmal yang kelihatan teramat sugul.
“Lama ke kau tunggu aku?,”
Ikmal memandang jam di tangan.
“Lima belas minit,”
“Sorry ya. Biasalah. Kalau jadi bidan terjun ni. Banyak benda yang nak kena review. Banyak benda yang nak kena refer semula. So, nak lunch kat mana?,”
Ikmal tersenyum hambar sambil menjungkit bahu. Bukannya dia berselera untuk menyentuh makanan pun saat ini. Dia ke sini pun, sebab dia rindukan Sabrina. Ingin melihat ruang kerja yang menjadi tempat kesayangan gadisnya itu. Ingin merasai kehadiran Sbarina di situ. Dia memandang wajah Maria. Dulu, di kerusi itu, dia akan nampak senyum manja Sabrina. Dia akan nampak celoteh riang Sabrina. Kini, kerusi itu berganti tuan. Maria yang menggantikan tempat gadis kesayangannya itu.
“Mal…,”
Ikmal tersentak lagi. Sekali lagi dia dibawa jauh dek ingatannya pada Sabrina. Pada kekasih hati yang sudah bergelar isteri orang. Pada kekasih hati yang tega meletakkan nama lelaki lain di sebelah namanya. Menyediakan satu ruang untuk lelaki lain di hatinya.
“Lupakanlah, Mal,”
Ikmal tersenyum pahit. Mudahnya bibir Maria berkata-kata. Namun, hatinya tidak semudah itu untuk memadam nama Sabrina. Fikirannya tidak semudah itu untuk membuang kenangan bersama Sabrina. Walau sesakit mana keperitan yang Sabrina hadiahkan padanya, di hatinya masih terukir nama itu.
“Bukan aku tak cuba, Mar. Tapi, susah sangat. Aku sayang sangat pada dia. Tapi, dia… sanggup dia buat macam ni kat aku,”
“Aku faham perasaan kau, Mal. Tapi, kau tak boleh berterusan begini. Sampai bila kau nak bersedih macam ni?,”
Ikmal mengeluh panjang.
“Kau tak faham Mar. Tujuh tahun aku dengan dia. Tujuh tahun. Macam mana aku nak lupakan semua kenangan selama tujuh tahun tu?,”
Maria mengeluh perlahan.
“Kau jangan lupa Mal. Kalau tujuh tahun dia jadi kekasih kau, bermakna tujuh tahun juga dia jadi kawan aku. Kau ingat aku tak sedih bila benda macam ni berlaku?,”
Ikmal diam. Kata-kata Maria ada benarnya. Mereka memang kenal sejak zaman belajar. Sejak masing-masing sama-sama menjejakkan kaki di universiti. Dia memandang wajah Maria.
“Macam manalah dia sekarang? Aku risau kalau-kalau dia tak dapat nak hadapi ini semua sendirian. Ina tu, lemah semangat. Cepat mengalah,”Ikmal bersuara tiba-tiba. Kebimbangan itu memang tersemat di hatinya. Sabrina tidak pernah kuat melawan dugaan. Gadis itu terlalu mudah berserah. Lebih senang membiarkan diri larut dalam tangisan. Pasti Sabrina hanya akan membiarkan air mata yang bertamu di bibir mata. Dia terlalu kenal Sabrina. Tunjang yang memberi gadis itu kekuatan, cuma dia dan Maria. Tanpa dia dan Maria, bagaimana akan menghadapi segala-galanya sendirian? Dia di dunia ini pun, cuma sendirian.
“Nak risau apa?,”balas Maria perlahan. Ikmal membisu lagi. Betul juga. Apa yang dia hendak risaukan?
“Dia ada telefon kau?,”
Maria menggeleng.
“Sebelum dia nikah, dia ada telefon kau?,”soal Ikmal lagi. Satu soalan yang amat menyakitkan untuk diajukan.
“Sekali. Tapi, masa tu aku kat kampung. Tak boleh nak cakap lama masa tu,”
“Kau rasa betul ke cakap dia?,”
“Maksud kau?,”
“Ina cakap dia tak bersalah. Dia tak kenal lelaki tu,”
Maria tunduk seketika sebelum perlahan mengangkat muka.
“Mungkin dia benar,”Ikmal bersuara lagi. Maria tersenyum kelat.
“Benar atau tidak, dah tak ada apa-apa makna kan? Dia dah kahwin dengan lelaki tu. Dia dah jadi milik orang, Mal. Dah jadi isteri orang,”
Ikmal mengeluh hiba. Sayu setiap kali memikirkan kenyataan itu. Punah segala angan indah untuk mencipta hari persandingan yang paling istimewa bersama gadis kesayangannya itu.
“Mungkin aku patut jumpa dia hari tu,”
Maria menatap wajah Ikmal. Agak lama.
“Untuk apa?,”
“Mungkin aku patut mendengar penjelasan Ina. Kalau dia tak salah macam mana?,”
“Ikmal. Wake up! Okay! Semua benda dah berlaku. Tak guna kau nak berasa kesal atau rasa bersalah. Apa yang berlaku bukan salah kau. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ni,”
Ikmal diam. Tunduk seketika.
“I miss her. I miss her so much…,”perlahan dia merintih dalam tunduknya. Seminggu lalu, ego membuang segala simpatinya pada Sabrina. Namun, hari ini, dia kalah. Dia kalah pada perasaannya sendiri. Ternyata bukan mudah untuk dia melupakan Sabrina. Ternyata dia terlalu merindui seraut wajah Sabrina. Dia rindukan segala-galanya tentang Sabrina.
“Ikmal…,”
“Aku tak boleh hidup tanpa Ina, Mar. saku sayang sangat pada dia. Aku terlalu cintakan dia,”
Maria mengeluh perlahan.
“Aku yakin kau boleh, Mal. Ini semua bukan pengakhir hidup kau. Kita sama-sama keliru dengan apa yang berlaku. Aku sendiri seperti tak percaya dengan apa yang berlaku. Aku macam tak percaya Ina boleh buat benda macam tu,”
“Maksud kau? Memang dia bersalah? Kau ingin cakap yang memang Ina kenal lelaki tu? Memang dia berada bersama lelaki tu?,”
Maria mengeluh perlahan. Perlahan juga dia menjungkit bahu.
“Aku tak tahu. Tak tahu sama ada nak percaya atau tidak pada ceritanya. Cuma aku hairan. Macam mana dia cakap dia tak tahu apa-apa? Dia berada dalam bilik lelaki tu. Lepas tu dia cakap dia tak tahu apa-apa. Macam tak masuk akal. Apa yang dia buat dalam bilik lelaki tu sebenarnya?,”
Ikmal terdiam lagi. Soalan Maria bagai minyak yang menyemarakkan api kemarahannya secara tiba-tiba. Rasa simpatinya sebentar tadi, hilang tiba-tiba. Dia membuang pandang. Sakit hati membayangkan Sabrina bersama lelaki lain selain daripadanya.
“Apa pendapat kau?,”soal Maria sambil menatap wakah Ikmal. Ikmal mengeluh lagi. Perlahan dia mengangkat punggung. Mundar-mandir di hadapan Maria.
“Aku buntu. Buntu sangat-sangat. Kalau macam ni, aku boleh jadi gila, Mar. Gila,”
“Sebab tu aku suruh kau jangan ikut perasaan,”
“Sekejap aku kasihan pada dia, Mar. Aku tak sampai hati dengar dia menangis. Aku tak sanggup biarkan dia sedih. Sekejap aku rasa geram sangat. Benci sangat. Bila aku ingat perbuatan dia pada aku. Aku dah tak sanggup nak lalui ini semua Mar. Aku tak kuat. Aku nak lupakan dia, Mar. Tapi, tak boleh…,”
Maria terpaku seketika. Tergamam melihat air mata yang mengalir di pipi Ikmal. Perlahan dia bergerak menghampiri Ikmal. Menyentuh bahu lelaki itu perlahan. Ikmal tunduk sambil menyeka air mata dengan hujung jari telunjuknya.
“Be calm… Duduk dulu,”
Ikmal menggeleng perlahan.
“I can’t, Mar. Aku tak boleh lupakan dia. Tolong aku, Mar,”Ikmal bersuara sebak. Maria memandang resah.
“Kau cakap Ina yang tak kuat. Ina yang lemah. Tapi, kenapa sekarang kau pun dah jadi selemah Ina?,”
“Aku tak kuat tanpa dia, Mar,”
“Sampai bila? Sampai bila kau nak macam ni? Melayan perasaan kau yang tak menentu ni? Sekejap kau benci dia. Sekejap kau kasihan pada dia. Sekejap kau sayang dia… Mal, Kau tak boleh macam ni. Semua ni, akan menyakitkan kau Mal. Aku tak sampai hati tengok kau buat diri kau macam ni,”
Ikmal bungkam di kerusi. Melurut rambutnya perlahan-lahan. Kalaulah dia mampu membuang sejauhnya rasa ngilu yang menusuk hatinya saat ini. Kalaulah dia boleh membuang jauh-jauh kenangan Sabrina yang mengganggu setiap hela nafasnya…

****

Pergilah Air Mata 2


Badrul menolak pinggan perlahan. Seleranya hilang entah ke mana. Datin Hamidah memandang nasi di pinggan yang cuma sedikit sahaja berusik. Kemudian dia memandang pula wajah anak tunggalnya yang masam mencuka. Sejak pulang dari Cherating, wajah itu tidak pernah manis. Mambuat hatinya sedikit risau.
“Kenapa sikit sangat makan tu?,”soalnya lembut. Badrul tersenyum tawar.
“Saya tak lapar, mama,”
Datin Hamidah menggeleng perlahan. Bertambah risau dengan keadaan Badrul. Terlalu banyak perubahan anaknya itu.
“Mama tengok kebelakangan ni, sikit sangat kamu makan. Makanlah. Nanti sakit,”
“Tak ada selera,”pendeka jawapan yang meluncur keluar dari bibir Badrul. jawapan yang membuat Datin Hamidah mengeluh panjang.
“Sabrina dah makan? Kenapa tak ajak dia sekali?,”Datuk Hamidi bersuara tiba-tiba. Membuat muncung Badrul semakin panjang. Juga membuat suapan Datin Hamidah terhenti tiba-tiba.
“Abah, boleh tak jangan sebut nama budak tu depan mama? Menyampah mama dengar. Nasib baik dia tak ada. Kalau tidak, dengan mama sekali hilang selera makan tau…,”
“Tak baik cakap macam tu. Apa sekalipun, dia sekarang dah jadi menantu kita. Dah dekat seminggu dia kat sini, tak pernah nampak dia turun makan sekali dengan kita. Kamu pun Bad… sepatutnya ajak dia elok-elok. Cuba berbaik-baik. Jangan buat Sabrina tu berasa terasing duduk dalam rumah ni,”
Badrul membuang pandang. Geram pula dia mendengar kata-kata nasihat itu. Bagaimana mungkin dia boleh berbaik dengan Sabrina. Melihat wajah itu pun, bencinya membuak-buak. Geramnya bagai tidak bertepi. Marahnya juga menjadi semakin marak.
“Pergi panggil dia turun makan,”
“Amboi. Puteri raja ke perempuan tu? Sampai nak makan kena berjemput segala?,”sedikit lantang suara Datin Hamidah. Geram melihat layanan suaminya pada menantu yang langsung tidak dikenalinya itu. Manusia asing yang tiba-tiba muncul dengan status menantu. Sakit hatinya setiap kali teringatkan insiden memalukan yang membawa seorang perempuan bernama Sabrina ke dalam rumahnya ini.
“Apa dia buat kat atas tu, Bad?,”Datuk Hamidi bertanya lagi. Soalan sinis isterinya, dibiarkan sepi. Hilang di dalam kedinginan suasana malam.
“Apa lagi. Termenung. Lepas termenung, menangis. Lepas menangis, termenung. Bosan Bad tengok. Menyampah. Dah tak ada kerja lain agaknya,”
Datuk Hamidi menggeleng perlahan. Sama lancang bicara isteri dan anaknya itu.
“Cuba kamu selidik. Kenapa dia jadi macam tu…,”
“Saya malaslah abah. Kalau ikutkan hati saya, memang saya tak akan kahwin dengan dia. Nak naik mahkamah pun saya tak kisah. Nak kena bayar denda pun saya tak kisah. Sebab saya tahu, saya memang tak bersalah langsung. Tapi, abah beria-ia paksa kami kahwin. Abah yang nak sangat perempuan yang tak tahu datang dari ceruk mana tu… jadi menantu abah,”
“Senang saja kamu fikir ya? Kamu ingat abah suka dengan semua ni? Abah tak suka langsung. Cuma, Abah tak mahu perkara macam ni berpanjangan. Banyak yang tak elok daripada yang elok. Elok, tak ada sesiapa yang tahu, nanti satu Malaysia boleh tahu. Kalau dah terpampang kat surat khabar, masa tu, mana kamu nak sorok muka kamu? Kalau kamu tak tahu malu, ni… muka Abah dengan mama macam mana? Nak letak kat mana muka kami ni? Ada kamu fikir semua tu?”
Badrul tunduk. Diam. Tidak mahu membalas kata-kata itu. Bimbang hanya akan membangkitkan amarah bapanya. Tidak elok untuk kesihatan bapanya. Perlahan dia mengangkat punggung.
“Nak ke mana tu?,”
Badrul mengeluh perlahan. Memandang wajah Datuk Hamidi.
“Ke depan,”jawabnya sepatah.
“Pergi ajak Sabrina makan dulu. Lama-lama tak makan, sakit pula budak tu nanti,”tegas arahan yang keluar dari bibir Datuk Hamidi. Badrul mengeluh keras.
“Abah ni. Biarkanlah budak tu. Nak manjakan sangat buat apa? Nanti dipijaknya kepala kita nanti. Kalau dia lapar, pandailah dia cari sendiri. Tak payah nak pujuk-pujuk. Nak suruh-suruh,”Datin Hamidah menyampuk.
“Betul cakap mama tu,”
“Abah kata pergi… pergilah,”
Badrul membuang pandang. Dengan muka mencuka dia bergerak meninggalkan ruang makan.
“Peliklah abah ni. Kenapa nak bela sangat perempuan tu?,”
Datuk Hamidi memadang wajah isterinya. Muncung pun sudah sama panjang dengan muncung Badrul.
“Suka atau tidak, dia sekarang dah jadi menantu kita, mama,”
“Mama memang tak akan suka dia, abah. Kita tak kenal langsung siapa dia tu. Siapa keluarganya? Asal usul keturunannya? Niatnya? Semuanya buat mama takut. Tahu tak, abah?,”
“Nak takutkan apa?,”
“Yalah. Manalah tahu. Entah-entah dia sengaja perangkap anak kita tu. Orang zaman sekarang, macam-macam akalnya kalau nak hidup mewah. Nakkan harta orang. Tapi, yang paling mama takut, keturunannya, abah. Kita tak tahu langsung. Takkan kita nak menantu dari keturunan yang tak baik? Minta dijauhkan,”
Datuk Hamidi mengeluh perlahan.
“Cuba jangan cepat fikir yang buruk-buruk,”
“Kalau dah kena tangkap basah, memang dah tak ada yang baiknya. Orang baik-baik takkan masuk dalam bilik lelaki bukan muhrimnya, senang-senang macam tu saja,”
“Abah tak nak tuduh Sabrina saja. Mungkin anak kita pun salah juga. Apa pun, sekarang ni, semuanya dah berlaku. Dah tak boleh nak buat apa-apa. Sabrina pun dah menikah dengan Badrul. Kita terimalah semua ni, seadanya. Tengok macam mana. Abah tengok, Sabrina tu pun, macam budak baik,”
Datin Hamidah mencebik. Sudu dan garfu diletakkan di dalam pinggan. Selera makannya hilang entah ke mana.
“Budak baik tak masuk bilik lelaki sesuka hati abah oiii,”Datin Hamidah bersuara geram sambil mengangkat punggung.
“Nak ke mana pula tu?,”
“Tiba-tiba mama jadi kenyang bila asyik bercakap pasal menantu abah tu…,”
“Midah… kita ni orang tua. Sepatutnya biarlah kita yang bertindak mengikut akal. Kalau dah, awak ikut perasaan… Badrul pun ikut perasaan… apa akan jadi pada dia nanti? Mama sepatutnya pujuk Badrul supaya terima kenyataan. Terima tanggungjawab. Bukan api-apikan dia macam ni,”
“Bila masa pula mama api-apikan Badrul?,”
“Mama sokong semua perbuatan dia. Mama iyakan semua tindakan dia. Itu sebabnya dia jadi macam tu,”
“Mama buat macam tu, sebab mama pun tak boleh terima perempuan tu jadi menantu mama. Mama tak suka langsung,”
Datuk Hamidi mengeluh perlahan. Susah bercakap dengan orang degil. Sudahnya, pinggannya turut ditolak ke tepi. Emosi turut sama membantutkan seleranya.
“Jamilah,”
“Ya, Datuk. Ada apa?,”
Datuk Hamidi menoleh. Jamilah tercegat di belakangnya.
“Kemaskan,”
“Baik, datuk,”
Datuk Hamidi mengangkat punggung.
“Dan, satu lagi. Tolong hantar makanan untuk Sabrina,”
Jamilah mengangguk laju. Datuk Hamidi bergerak meninggalkan meja makan.
“Err.. Datuk…,”
Datuk Hamidi menoleh.
“Nak hantar ke bilik Encik Badrul ke?,”teragak-agak soalan itu meniti di bibir Jamilah.
“Dah tu, nak hantar ke mana lagi?,”
Jamilah menggaru kepala.
“Kenapa? Ada masalah ke?,”
Jamilah tersenyum kelat.
“Jangan mengada-ngada bawa masuk makanan ke dalam bilik saya. Saya tak suka. Kalau dia nak makan, bukan kat sini!,”
Amaran Badrul bagai melekat di telinganya. Ngeri melihat wajah Badrul yang merah menyala menahan marah.
“Jamilah?,”
Jamilah tersentak.
“Awak ada masalah ke dengan arahan saya tu?,”
“Tak. Tak ada Datuk. Nanti saya hantar makanan untuk Puan Sabrina,”
Datuk Hamidi mengangguk perlahan sambil berlalu.

****
Air mata yang hampir kering di pipi disapu lagi. Hiba di hatinya bagai tidak mahu berlalu pergi. Bertalu-talu soalan yang sama menghimpit dirinya. Mengapa mesti dia? Mengapa semua ini mesti berlaku padanya? Hampir seminggu dia berada di sini. Semuanya serba tidak kena padanya. Teringatkan perkahwinannya, dia menjadi sayu. Teringatkan Badrul, dia menjadi kecut. Teringat Ikmal dan Maria, dia menjadi hiba. Rasa pedih mendengar kata-kata Ikmal masih belum hilang rasanya.
“Dah lama Ina sembunyikan semua ni dari abang ya?,”
“Ina tak tahu apa-apa, bang. Abang datanglah. Tolonglah Ina. Ina tak salah bang,”
“Untuk apa abang ke sana? Untuk tengok Ina kahwin dengan lelaki tu? Sampai hati Ina,”
“Ina takut. Ina takut, bang. Tolonglah Ina. Ina tak nak lalui semua ni,”
“Sekarang baru Ina nak takut? Masa Ina duduk dalam bilik dengan lelaki tu, Ina tak takut? Dah lama Ina buat kerja macam ni ya?,”
“Abang… janganlah cakap macam tu. Sumpah. Ina tak kenal dia. Ina tak tahu macam mana dia boleh ada kat dalam bilik tu,”
“Entahlah Ina. Hancur hati abang bila Ina buat abang macam ni. Ina curang pada abang. Apa salah abang pada Ina? Kurang lagi ke kasih sayang yang abang beri pada Ina?,”
“Tak. Ina sayang abang. Ina tak pernah curang pada abang. Abang datanglah tolong Ina. Ina takut bang. Ina sorang-sorang kat sini,”
“Kekasih Ina kan ada. Anak Datuk kan? Jauh lebih baik dari abang. Patutlah sanggup ikut sampai ke bilik,”
Perlahan dia pejamkan mata. Pedihnya kata-kata Ikmal. Rayuannya langsung tidak berbekas di hati lelaki itu. Sehingga dia diijabkabul, Ikmal langsung tidak muncul. Ikmal tidak percaya padanya. Ikmal sama sahaja dengan manusia di sekelilingnya sekarang. Maria juga tidak muncul di saat dia amat memerlukan seorang teman di sisi. Dia betul-betul keseorangan. Bagaimana dia akan menempuh segala ranjau ini sendirian? Kuatkah dia?
“Bila kau nak berhenti menangis ya?,”
Sabrina tersentak. Air mata yang kembali bertamu, diseka segera.
“Maaf. Saya tak sengaja,”gugup suaranya sambil menunduk. Tidak berani mengangkat muka. Wajah berang Badrul sering membuat hatinya kecut.
“Kenapa tak turun makan?,”soalan Badrul yang dingin menyentuh gegendang telinganya. Perlahan dia beranikan diri mengangkat muka. Menatap wajah Badrul yang tidak berperasaan.
“Saya tak lapar,”
“Lapar ke… tak lapar ke… kalau sudah waktu makan, tolong turun makan. Aku penat dengar abah aku menceceh pasal kau. So, lepas ni, please… jangan kusutkan lagi kepala otak aku yang memang dah kusut ni. Aku tak ada masa nak dengar abah bising pasal kau…pasal aku. Betul-betul tak ada masa,”
“Saya minta maaf. Saya tak berniat nak menyusahkan awak,”
“Tak payah minta maaf. Maaf kau tak boleh ubah apa-apa pun,”
Sabrina bergerak meninggalkan jendela. Melangkah perlahan mendekati Badrul. Memerhati Badrul yang sedang bersiap.
“Awak…,”perlahan dia bersuara. Badrul yang leak menyikat rambut, berpaling.
“Kenapa?,”
“Saya… saya nak cakap sikit, boleh?,”
“Aku ada hal. Nak keluar,”
“Tapi…,”
“Aku ada hal. Lagipun, aku tak boleh duduk dalam bilik ni, lama-lama. Panas!,”Badrul bersuara sedikti keras. Sabrina diam seketika.
“Saya cuma nak…,”
Badrul berpaling. Menatap tajam wajah Sabrina. Membuat Sabrina terus kelu.
“Kau ni, tak faham bahasa Melayu? Aku tak ada masa. Lagipun, aku memang tak ada perasaan nak bercakap dengan kau. Tak ada perasaan. Kau tahu tak?,”
Sabrina tertunduk mendengar bicara itu. Sekali lagi hatinya dihiris pedih. Hinanya dia di mata Badrul.
“Kalau benda yang kau nak cakap tu, penting sangat, tulis. Letak kat meja aku. Nanti aku baca,”
Sabrina mengangkat muka. Sampai begitu sekali layanan Badrul padanya. Bercakap dengannya pun Badrul tidak sudi. Perlahan dia terduduk di birai katil. Ketukan di pintu bilik, dibiarkan sahaja.
“Siapa?,”agak lantang suara Badrul bertanya.
“Saya, Encik Badrul,”
“Masuk,”
Pintu terbuka. Serentak Badrul dan Sabrina memandang ke arah pintu.
“Saya minta maaf Encik Badrul. Saya tahu Encik Badrul tak bagi, tapi, Datuk yang suruh,”cepat-cepat Jamilah membuat penjelasan sebelum sempat Badrul membuka mulut. Badrul membuang pandang. Malas bercakap banyak. Pantas dia mencapai kunci kereta. Bergerak meninggalkan Jamilah yang termangu-mangu memegang dulang di muka pintu. Sabrina juga terkebil-kebil memandang Badrul yang berlalu begitu sahaja. Seketika kemudian dia mengalihkan pandangan pada Jamilah. Serba-salah berdepan dengan Jamilah.
“Kenapa Kak Milah bawa makanan ke sini? Kan Encik Badrul dah marah semalam..,”Sabrina bersuara risau.
“Kalau ikutkan saya, memang saya tak nak hantar pun. Datuk yang suruh,”
Sinis sungguh kata-kata yang meniti di bibir Jamilah. Sabrina diam. Dia tahu, Jamilah juga tidak pernah senang dengan kewujudannya di sini. Jamilah melangkah masuk. Perlahan meletakkan dulang kecil di atas meja kecil yang tersedia di sebelah sofa.
“Kak Milah,”
Jamilah menoleh.
“Saya minta maaf. Saya dah menyusahkan Kak Milah,”
“Tahu tak apa,”cukup selamba Jamilah membalas. Sabrina terdiam lagi. Kelu untuk terus berdepan dengan kelancangan mulut penghuni banglo ini.
“Kak Milah marah saya ke? Sebab saya, Kak Milah selalu kena marah?,”
“Dah nasib orang gaji. Nak buat macam mana? Terima sajalah,”sekali lagi, Jamilah bersuara dengan nada yang cukup sinis. Jamilah menyindirnya. Sabrina cukup tahu itu.
“Saya betul-betul minta maaf, Kak Milah,”
“Hmm…,”
Sabrina memandang wajah Jamilah yang kelat.
“Makanlah. Saya tengok dah seminggu awak tak makan. Nanti kalau sakit, susah,”
Sabrina tersenyum kecil.
“Nanti saya makan. Terima kasih, Kak Milah,”
“Hmm… Kalau dah sudah, panggil saya. Saya kemaskan semua,”
“Tak apalah. Nanti, saya sendiri akan hantar ke dapur,”Sabrina bersuara. Jamilah mengeluh pendek.
“Suka hatilah,”
Sabrina tidak menjawab lagi. Cuma memandang Jamilah melangkah keluar dari biliknya. Sebaik Jamilah pergi, dia mengeluh panjang. Memerhati sekeliling bilik yang besar itu. Terasing sendirian di dunia yang tidak pernah menjadi impiannya. Perlahan dia mengangkat punggung. Bergerak ke arah meja kerja Badrul. Duduk seketika di kerusi sambil melihat meja yang tersusun kemas. Hampir seminggu dia cuba bercakap dengan Badrul. Namun, lelaki itu langsung tidak memberi peluang. Sekarang, perlu berinteraksi menggunakan pen dan kertas pula. Entah sampai bila dia sanggup melalui semua ini. Perlahan dia mencapai pen sambil mencari kertas. Ingin menulis nota untuk suaminya. Seperti yang Badrul cadangkan. Tatkala menulis, terlintas di kepala, bagaimana pula Badrul akan membalas setiap notanya nanti. Akan berutus suratkah mereka di dalam bilik itu? Sekali lagi dia mengeluh lemah. Nota yang sudah siap ditulis, diselitkan di bawah bekas pen. Dia kemudian bergerak semula ke jendela. Menyambung menungannya. Melayan perasaannya.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: