Friday, June 17, 2011

Mungkinkah? 3


BAB TIGA






                “Hai aunty…,”
            Puan Zahra tersenyum panjang. Wajah ceria gadis yang laju mendekatinya itu membuat dia senang hati.
            “Bella… kenapa lambat?,”
            Nabila mengerutkan kening. Tangan diangkat sambil mata memandang jam di pergelangan tangan. Dia tersengih.
            “Sepuluh minit aje,”dia bersuara sambil memeluk mesra tubuh yang santai bersandar di kerusi itu. Pelukannya berbalas.
            “Sepuluh minit pun, lewat juga tu…,”
            Nabila tergelak halus.
            “Yalah..yalah… Bella minta maaf ya. Sembang dengan mama sebelum datang tadi. Tak sedar terlambat temujanji kita,”usik Nabila bersama senyum lebar.
            “Dah makan belum? Jom…temankan aunty makan. Piah… ambilkan pinggan untuk Bella,”Puan Zahra bersuara sedikit meninggi. Mahu suaranya sampai ke telinga pembantu rumahnya itu.
            “No, thanks. Bella diet…,”
            “Diet apa lagi? Bukan gemuk pun. Dah, temankan aunty makan ya?,”
            Nabila tersenyum cuma. Tidak berhasrat untuk terus menolak. Matanya liar memerhati sekeliling.
            “Zariff mana?,”
            Puan Zahra mencemik. Membuat Nabila tergelak kecil. Pasti ada tingkah Zariff yang tidak kena di hati wanita ini.
            “Anak bertuah tu bukan tahu bangun awal-awal. Dekat nak subuh balik. Matahari terpacak atas kepala tak reti-reti nak bangun. Kalau letak bom dalam bilik pun belum tentu boleh sedar,”
            Nabila tersengih.
            “Malam minggulah katakan. Takkan aunty tak faham…,”
            “Apa malam minggu? Ni… lain tak ada. Mengumpatlah ni. Kan?,”satu suara menyapa dari belakang bersama tangan yang menarik perlahan rambutnya. Membuat Nabila sedikit terdongak. Pantas tangan itu ditepis. Mulutnya memuncung sambil menjeling lelaki yang kini tercegat di sebelahnya.
            “Sakitlah,”rungut Nabila sambil membetulkan rambut ikalnya.
            “Riff…apa ni? Tak baik buat Bella macam tu,”
            “Entah. Tak baik tau berkasar dengan perempuan. Nak-nak dengan gadis cantik macam I ni, tau?,”
            Zariff tergelak besar.
            “Perasan…,”
            Nabila menjeling sambil mencemik.
“Ni… apa you buat kat rumah orang pagi-pagi macam ni?,”
“You tinggal kat mana? Kat Malaysia sekarang ni dah pukul dua belas lebih. Dah tengahari. Tahu tak?,”
“Betul. Dah tengahari…,”sampuk Puan Zahra bersama jelingan tajam. Zariff tersenyum lebar. Melabuhkan punggung ke kerusi.
“Encik Zariff pun nak makan ke? Kak Piah ambilkan pinggan lagi satu,”Piah yang muncul bersama pinggan kosong, melontarkan soalan sambil meletakkan pinggan di hadapan Nabila.
Zariff menggeleng.
“No. Tak payah. Saya nak keluar,”
Piah mengangguk sambil terus berlalu.
Puan Zahra mengalihkan perhatian pada wajah Zariff yang kelihatan cukup bersahaja. Ke mana lagi anak tunggalnya itu mahu pergi.
“Nak keluar ke mana?,”
“Jumpa girlfriend lah aunty. Apa lagi. Kan hari minggu ni,”sampuk Nabila sambil mencapai senduk nasi.
“Mulut tu boleh diam tak? Menyibuk saja. I nak jumpa siapa pun, I punya sukalah. Kenapa? Jelous?,”
“I? Jeleous? Tunggu cuma tinggal you seorang saja lelaki dalam dunia ni…I cuba fikirkan jawapan untuk soalan you tu… Perasan…,”balas Nabila bersama satu cebikan. Zariff tersenyum sambil mengangkat kening. Senyumnya melebar melihat gelagat Nabila yang berpura-pura mahu muntah.
Puan Zahra tergelak kecil. Pertengkaran kecil sebegitu sudah terlalu biasa menjamah telinganya.
“Boleh tak jangan bertengkar depan rezeki ni? Nanti mama kahwinkan kamu berdua ni, baru tahu,”
“Dengan buaya ni, aunty? Tolonglah…. Jangan hancurkan masa depan Bella, aunty. Aunty dah tak sayangkan Bella ke?,”
Zariff mengerling.
“Cakap main sedap mulut aje kan? Siapa yang buaya?,”
“Eleh. Ingat I tak nampak? Siang you lunch dengan orang lain. Malam you heret perempuan lain pulak. I nampaklah you dengan siapa malam tadi. Nak pergi kelab ya?,”
“Oh… ye ke? Siang you nampak I? Malam pun you nampak I?,”
Nabila mengangkat kening. Senang apabila Zariff  terperangkap dengan sikap buayanya sendiri.
“Hmm…. You ikut I ya? Kalau suka kat I mengaku aje lah. Jangan main ikut senyap-senyap macam tu…,”balas Zariff sambil berlalu dengan senyum penuh sindiran.
“Hey! Perasanlah. Mana ada! I ternampaklah. Bukan I ikut you…tak kuasalah nak spy you,”
Puan Zahra tergelak kecil. Lucu melihat wajah Nabila yang tidak berpuas-hati.
“Sekejap ya. Bella makan dulu. Aunty nak cakap dengan Zariff kejap,”perlahan Puan Zahra mengangkat punggung sambil sudu dan garfu diletakkan di pinggan. Langkahnya maju menuju ke arah Zariff yang sudah siap menyarung sandal kulitnya.
“Nak ke mana ni Riff? Malam keluar…siang keluar… Ini lain tak adalah ni. Nak angkut anak dara oranglah ni. Kan?,”
“Mama ni. Tak baiklah wasangka kat anak sendiri. Percayalah sangat cakap Bella tu,”
“Memang mama percaya cakap Bella. Bukan mama tak kenal siapa anak mama,”
Zariff tersenyum nipis.
“Riff nak pergi kondo lah. Nak tengok renovation dah siap ke belum,”
“Renovate buat apa pula? Siapa nak tinggal kat sana?,”
“Riff lah. Siapa lagi?,”
“Nak pindah pula? Kenapa? Panas sangat ke tinggal dengan mama? Sampai hati ya, nak tinggalkan mama sorang-sorang kat rumah besar macam ni,”
“Alaa… mama ni. Bukan jauh pun. Kan dah lama Riff cakap nak tinggal sendiri. Mama ni, tiba-tiba jadi sentimental pula,”
Puan Zahra mengeluh panjang.
“Kalau dah tinggal sendiri tu, lagilah panjang langkahnya kan? Mama risau tengok kamu ni, Riff. Tak sedap hati nak lepas kamu tinggal sorang-sorang. Mama tahu banyak yang tak elok daripada yang elok. Tinggal dengan mama pun, langkah kamu panjang bukan main. Kalau tinggal sendiri, tak tahulah nak cakap apa,”
Zariff meraup wajah. Mendongak melihat matahari yang terik memancar. Panas matahari yang menjamah wajahnya sudah sepanas telinga yang mendengar celoteh ibunya itu.
“Riff dah lambat ni. Riff pergi dulu, ya. Budak-budak tu dah cakap, dia orang tak lama hari ni. Nanti tak sempat nak jumpa diaorang,”
“Mama belum habis cakap lagi dengan kamu ni,”
“Nanti kita sambung. Okay? Riff pergi dulu,”bersama senyum lebar, Zariff meminta diri sambil mencium pipi ibunya.
Puan Zahra merengus perlahan. Berpeluk tubuh sambil memandang Zariff yang tergesa-gesa melangkah menuju ke kereta. Sukarnya mengawal anaknya yang cuma seorang ini.
“Aunty.. kata kejap. Bella dah siap makan dah. Aunty kat sini lagi,”
Puan Zahra berpaling. Nabila ceria memandangnya.
“Kenapa ni, aunty? Sedih pula mukanya. Tak mahu sedih-sedih macam ni. Nanti nampak tua. Senyum sikit,”
Usikan itu menjemput senyum di bibirnya. Memang Nabila pandai mengambil hatinya.
“Aunty susah hati dengan Zariff tu. Bilalah nak berubah perangainya. Aunty ni, bukan memilih sangat, Bella. Mana yang dia suka, InsyaALLAH aunty akan suka juga. Mana yang boleh jaga dia, itu dah cukup untuk senangkan hati aunty ni. Tapi, tengoklah. Berkawan keliling pinggan. Tapi, satu pun tak ada yang dia ambil serius,”
Nabila tersenyum. Perlahan memaut bahu Puan Zahra.
“Bagilah masa untuk dia cari teman yang betul-betul dia suka. Bukan senang nak cari orang yang boleh jadi teman hidup ni. Teman berhibur tu, memang senang nak jumpa. Bella percaya, satu hari, Zariff mesti berubah,”
“Hmmm… cakap memang senang Bella. Aunty risau, terpesong jauh dia nanti. Tak tahu mana yang tak kena dengan asuhan aunty sampai dia boleh jadi macam tu,”
“Sabarlah, aunty. Aunty doa yang baik-baik. Doa aunty pasti dimakbulkan nanti,”
Puan Zahra membuang pandang. Melabuhkan punggung ke kerusi kayu jati.
“Kalau ikutkan hati aunty ni, nak saja aunty kahwinkan dia tu. Tapi, aunty tak nak nanti, hilang masalah sebelum kahwin, timbul masalah lepas kahwin pula. Aunty tak nak paksa-paksa,”
Nabila menongkat dagu.
“Hmm… susah juga. Apa kata aunty kurung aje Zariff tu dalam bilik,”ujar Nabila sambil tersengih. Puan Zahra tergelak kecil.
“Kalau anak kucing, dah lama aunty kurung, Bella…,”
Nabila tergelak besar.
“Anak kucing, aunty? ,”
“Ha ah,”balas Puan Zahra yang turut tergelak.
“Kalau Zariff tu anak kucing, mesti cute. Kan?,”
“Nak jaga pun, mesti senang…,’tokok Puan Zahra bersama gelak yang panjang.
‘Macam-macamlah aunty ni. Yang penting, aunty jangan fikir sangatlah pasal Zariff. Nanti stress. Risau Bella kalau aunty stress. Nanti kurang kecantikan aunty ni,”
Puan Zahra tersenyum kecil. Memandang wajah Nabila yang tersenyum nakal.
“Pukul berapa nak keluar ni, aunty? Dah tak sabar nak shopping ni,”
“Yalah. Tunggu. Aunty bersiap sekejap,”
Nabila mengangguk sambil bersandar ke kerusi.


*****

Monday, June 13, 2011

Mungkinkah? 2

 SILA ABAIKAN MUNGKINKAH? 1-16 DI MINI LOVE STORIES. SIRI INI SEDANG DIUBAH SUAI KE BENTUK NOVEL. MAAF UNTUK KEKELIRUAN YANG MUNGKIN TIMBUL.   



BAB DUA






                Arisa memerhati di balik pantulan cermin. Melihat Radhi yang sedang bersiap. Bibirnya berat untuk bersuara. Malas mahu bertanya. Paling tidak, jawapan yang bakal menjamah telinganya pasti akan menyakitkan hatinya. Biarlah Radhi dengan caranya. Dia sudah tidak kuat lagi untuk mempertahankan hubungan ini.
            “Tak nak tanya aku nak ke mana?,”
            Arisa menggetap bibir. Berpaling mencari wajah Radhi. Soalan itu seakan sengaja mahu memercikkan api kemarahan. Mencetuskan pertelingkahan seperti biasa. Kalau ikutkan hati yang tidak pernah reda dengan rasa kecewa, undangan pertengkaran itu mahu saja disambut dengan senang. Namun, memikirkan pertengkaran demi pertengkaran tidak dapat mengubah apa-apa dia memilih untuk diam. Merenung wajah selamba itu seketika.
            “Risa tak nak tanya. Risa cuma nak bincang. Kita perlu berbincang,”
            “Bincang apa? Dah ada duit? Kalau tak ada, tak apa yang hendak dibincangkan,”
            “Abang… kenapa abang berubah sampai macam ni sekali? Kenapa abang sanggup nak lukakan perasaan Risa? Apa salah Risa pada abang?,”
            Reaksi Radhi yang sekadar menjongket bahu, membuat hatinya membara. Mengundang geram yang tidak berpenghujung. Senyum sinis Radhi hampir membuat air matanya menitis. Tidak pernah ada ruang untuk dia berbincang dari hati ke hati dengan Radhi. Radhi tidak mahu berbincang tentang masalah mereka.
            “Arisa? Are you okay?,”
            Imej Radhi hilang perlahan-lahan. Dia mengangkat muka. Bertemu dengan senyum nipis majikannya.
            “Encik Karim… sorry. Encik Karim perlukan apa-apa?,”sedikit kalut dia bersuara. Membuang perasaan sedih yang mula menyelubungi hati.
            “Awak ada masalah?,”
            Arisa menggeleng. Dan gelengannya bersambut dengan senyum lebar Encik Karim. Lembut renungan lelaki itu sambil berpeluk tubuh.
            “Awak bukan sehari dua bekerja dengan saya. Kalau ada masalah, selesaikan segera. Kalau perlukan bantuan saya, cerita pada saya,”
            Arisa tersenyum tawar. Sekali lagi dia menggeleng sambil menggaru kepala.
            “Encik Karim perlukan apa-apa ke?,”Arisa mengulangi soalan yang sama.
            “Sure okay ni?,”
            “Saya okay,”
            “Kalau okay, baguslah. And, saya tak mahu apa-apa. Cuma nak bertanya…dah lunch hour. Awak tak makan ke?,”
            Arisa termangu seketika. Mata dilarikan pada jam di dinding. Pukul satu tengahari. Rupa-rupanya dia leka melayan lamunan. Melayan masalah yang membelenggu diri.
            “Oh…,”
            “Oh?...,”Encik Karim bersuara sambil tersenyum. Arisa mengukir senyum terpaksa.
            “Tak perasan…,”ujarnya perlahan sambil mengangkat punggung. Encik Karim tergelak kecil.
            “Itu sebabnya saya cakap awak ada masalah. Awak hilang fokus,”
            “Pandailah Encik Karim ni…,”
            “Memang saya pandai. Dah. Jom…join lunch dengan saya,”
            Arisa menggeleng perlahan.
            “No, thanks. Saya makan sendiri,”
            “Jangan risau. Join me dengan my wife. Kami ada lunch date hari ni,”
            Arisa tergelak kecil.
            “Lagilah… no thanks. Bertiga nanti crowded,”usik Arisa bersama senyum hambar.
            “Ya ke? Saya berlima dengan anak-anak, kenapa tak rasa crowded pun?,”
            Arisa tergelak lagi. Pandai majikannya ini membuat dia lupa seketika pada masalah yang ditanggung.
            “Okaylah Encik Karim. Saya keluar lunch dulu. Enjoy your lunch ya. Kirim salam pada Puan Salma,”
            Sambil mengeluh perlahan Encik Karim mengangguk. Mengukir senyum manis buatnya.
            “Silakan…,”lelaki itu bersuara sepatuh berbisik.
            Arisa tersenyum sambil terus mengatur langkah meninggalkan lelaki itu. Melihat kebanyakan meja yang sudah kosong. Masing-masing hilang mencari hidangan makan tengahari. Nampaknya dia makan sendirian hari ini.
            “Risa. Baru nak keluar makan ke?,’
            Sekilas dia menoleh. Tersenyum lebar melihat langkah laju Tasnim. Dia menjawab dengan anggukan perlahan.
            “Good. Ada teman aku nak makan,”
            “Jomlah. Aku pun seorang ni,”
            Tasnim tersengih sambil melangkah bersaing. Arisa pula tersenyum nipis. Sekurang-kurangnya ada teman untuk dia makan tengahari bersama.


****

            “Macam tak ada selera aje?,”
            Arisa mengangkat muka. Sudu yang dikuis-kuis perlahan di pinggan, terhenti dengan sendiri. Diletakkan perlahan di tepi pinggan.
            “Tak laparlah,”
            Tasnim tersenyum panjang. Menongkat dagu sambil merenung wajah Arisa.
            “Cuba kau cerita apa masalah kau sebenarnya? Sejak akhir-akhir ni, makin murung aku tengok kau ni,”
            Arisa diam. Memandang wajah Tasnim buat seketika. Kemudian melepaskan satu keluhan yang cukup panjang.
            “Entahlah Nim. Susah aku nak cakap,”
            Tasnim perlahankan suapan. Memandang wajah Arisa yang jelas seperti sedang bermasalah..
            “Pasal apa? Pasal kerja? Or…peribadi?,”
            Tanpa menjawab, Arisa terus memandang wajah Tasnim. Seorang rakan sekerja yang rapat dengannya.
            “Betul nak tahu?,”
            “Kalau kau nak share…,”
            Arisa mengangguk perlahan.
            “Radhi…,”sepatah nama itu mengiringi anggukannya.
            “Kenapa dengan Radhi? Apa yang dia dah buat?,”
            “Dia nak kahwin lain,”
Kunyahan Tasnim terhenti. Bulat memandang wajah Arisa. Dia kenal Arisa. Dia juga tahu sedikit sebanyak tentang Radhi, walau Arisa jarang bercerita soal rumahtangganya. Radhi mahu berkahwin lagi? Sukar untuk dia percaya.
            “Kau ni. Cakap biar serius,”
            “Dia nak kahwin dengan janda muda kematian suami,”
            Tasnim diam seketika. Meneguk jus tembikai sambil menolak pinggan nasi. Mahu mendengar keseluruhan cerita temannya itu.
            “Sorry… bukan aku nak persendakan suami kau. Tapi, Radhi tu kan tak kerja. Nak kahwin lain pulak? Macam mana dia nak tanggung dua isteri sekaligus?,”
            Arisa diam. Satu lagi kenyataan yang membias rasa malu diwajahnya.
            “Kau setuju?,”
            Pandangannya dibawa ke wajah Tasnim sebaik soalan itu meniti di bibir Tasnim.. Tersenyum kelat sambil melurut rambutnya yang jatuh ke bahu.
            “Isteri mana yang setuju suami dia kahwin lain? And… kalau aku cakap, aku tak setuju, kau rasa dia akan batalkan niat dia tu?,”
            Tasnim mengeluh perlahan. Simpati melihat keadaan teman sekerjanya itu. Arisa bagai lupa cara untuk bergembira semenjak berkahwin. Dalam diam, dia sedar perubahan itu. Tetapi, apabila Arisa begitu berhati-hati tiap kali bercakap soal perkahwinannya, dia akur. Menghormati pendirian Arisa  yang tidak mahu bercerita soal peribadinya itu.
            “Masalah kau sebenarnya lebih besar dari ini, kan?,”
            Soalan Tasnim dijawab dengan anggukan kecil. Dia perlukan pendapat seseorang untuk keputusan yang telah dia ambil. Mungkin Tasnim calon paling layak untuk tujuan itu.
            “Takkan kau nak tanggung seorang semua beban hati tu?,”
            “Aku nak tarik diri. Aku tak nak teruskan lagi perkahwinan aku dengan Radhi. Masa depan aku makin gelap kalau aku teruskan. Kalau aku ada anak…macam mana? Apa akan jadi pada anak aku? Dengan perangai suka berfoya-foya dia yang tak pernah dia nak buang tu. Aku serik, Nim. Aku nak mulakan hidup yang lebih tenang,”
            “Kalau kau dapat anak tiri, macam-mana? Mesti bertambah masalah kan?,”
            Arisa tersenyum kelat.
            “Hey! Aku seriuslah. Dia tak kerja. Siapa nak tanggung semua anak-anak dia? Kalau janda tu kaya, tak apa. Kalau kayap? Kau nak kena tanggung semua?,”
            “Janda kaya. Sebab tu dia sanggup nak kahwin lain…,”
            “I see….,”gumam Tasnim bersama anggukan kecil.
            “So? Sekarang ni, apa masalahnya?,”
            “Dia bagi kata dua pada aku, bila aku minta dia lepaskan aku,”
            “Kata dua?,”
            Arisa tersenyum tawar. Tunduk seketika sebelum mengangkat muka, menebarkan pandangan ke ruangan restoran yang luas.
            “Risa?,”Tasnim bersuara dengan nada kurang sabar.
            “Aku bagi dua puluh ribu pada dia, baru dia akan lepaskan aku…,”
            “What?! Dua puluh ribu? Masa kahwin dulu berapa hantaran yang dia bagi kat kau?,”
            “Lima ribu. Tu pun duit aku,”balas Arisa bersahaja.
            “Jantan macam tu pun ada kat dunia ni? Tak sedar diri betul! Geramlah aku dengar,”
            “Aku tak nak fikir semua benda yang dah berlalu. Sekarang ni, aku tengah buntu nak cukupkan dua puluh ribu. Kemudian bagi kat dia…Aku pun bukan orang senang. Bukan mudah nak cari duit sebanyak tu,”
            Tasnim menelan liur.
            “Banyak tu Risa. Kau tak rasa sia-sia ke senangkan lelaki macam tu? Senang-senang dia dapat duit dua puluh ribu. Apa kata kau cuba minta fasakh. Dengan rekod buruk dia, mungkin ada pembelaan untuk kau,”
            Arisa mengeluh lemah. Kurang bersetuju dengan usul Tasnim.
            “Panjang ceritanya nanti. Aku kenal Radhi. Dia suka menyusahkan aku. Kalau tak dapat apa yang dia nak, mesti dia akan terus susahkan aku. Aku tak kisah kalau aku kena hadapi semua tu. Tapi, aku tak sanggup tengok ayah aku tertekan dengan kerenah Radhi nanti. Ayah aku tak sihat, Nim. Perangai Radhi sekarang ni pun, dah cukup buat dia susah hati. Aku kasihankan ayah aku. Kalau boleh aku nak semua ni cepat-cepat berakhir. Aku nak Radhi berhenti ganggu aku dan ayah aku. Kesian ayah aku…,”
            Tasnim termenung.
            “Kau dah cuba bincang elok-elok?,”
            "Tak ada apa yang nak dibincangkan. Dia dah tak macam dulu. Tak tahu ke mana hilang cinta dia dulu. Lagipun, tiap kali aku ajak dia berbincang, dia tak nak,”
            “Kau pula? Kau masih sayangkan dia? Masih cintakan dia?,”
            Arisa menjongket bahu perlahan.
            “Aku kecewa. Aku tawar hati,”
            “Aku tak tahu nak cakap macam-mana. Aku simpati dengan kau. Tapi, kau fikirlah masak-masak. Banyak jumlah duit yang dia minta tu,”
            “Daripada aku terus makan hati…sakit hati…mungkin aku perlu korbankan duit aku,”
            “Apa kata kau minta nasihat dulu? Dengar apa kata pejabat agama. Refer ke sana dulu ke?,”Tasnim cuba memberi cadangan.
            Arisa mengeluh perlahan. Cadangan Tasnim dibiarkan menyapu perlahan gegendang telinganya. Was-was untuk mengheret Radhi ke pejabat agama dan membiarkan kes perceraian menjadi meleret dan tergantung andai permintaan lelaki itu tidak dipenuhi. Tidak mungkin Radhi akan lepaskan dia semudah itu.
            “Pelik aku. Kau kahwin atas dasar cinta. Kenapa dia boleh berubah macam tu?,”
            Arisa menggeleng lemah. Dia sendiri tidak pernah menjangka Radhi akan berubah sebegitu sekali. Atau mungkin dari dulu lagi, Radhi tidak pernah serius mencintainya? Mungkin benar tekaan bapanya. Radhi cuma mahu mendapatkan kesenangan dengan kelebihan yang ada padanya. Walau apa pun punca yang menyebabkan Radhi berubah, itu bukan lagi persoalan utama yang perlu dia fikirkan saat ini. Ada perkara lain yang jauh lebih penting. Dia perlu memikirkan soal masa depannya. Dia perlu fikirkan untuk menyenangkan hati bapanya yang sudah begitu lama turut terseret dengan onar Radhi. Dia mahu hidup bersama dengan bapa dan adik-adiknya tanpa ada gangguan yang menyakitkan hati.
            “Risa…,”
            Lamunan Arisa terputus. Matanya melekat pada wajah Tasnim. Gadis itu seakan mahu memberitahu sesuatu padanya.
            “Apa kata kau pinjam dengan Encik Karim?,”
            Arisa jegilkan mata.
            “Kau gila ke? Kau ingat Encik Karim tu gila nak bagi aku pinjam duit sebanyak tu? Jangan cakap yang bukan-bukanlah,”
            Tasnim mengeluh perlahan.
            “InsyaALLAH boleh. Encik Karim tu baik. Mungkin dia boleh tolong. Kau cubalah,”
            Arisa menggeleng laju. Langsung tidak bersetuju dengan cadangan itu.


******

Thursday, June 9, 2011

Mungkinkah? 1


 SILA ABAIKAN MUNGKINKAH? 1-16 DI MINI LOVE STORIES. SIRI INI SEDANG DIUBAH SUAI KE BENTUK NOVEL. MAAF UNTUK KEKELIRUAN YANG MUNGKIN TIMBUL.              
                  




BAB SATU






“Gila ke laki kau ni, Risa?,”
Arisa menyapu air mata yang membanjiri pipi. Wajah bapanya yang kelihatan marah dipandang dengan rasa hiba. Terasa beban yang ditanggung sudah tidak mampu digalas. Sudah terlalu penat dia melayan kerenah Radhi. Semakin hari semakin teruk layanan Radhi padanya. semakin hari Radhi semakin sengaja mahu menyakitkan hatinya.
“Itulah. Dari dulu lagi ayah tak berkenan kamu berkahwin dengan Radhi tu. Cinta konon. Tengoklah apa jadi dengan kamu sekarang ni? Kurus kering makan hati. Itu yang kamu nak pertahankan sangat cinta kamu tu?,”
“Silap  Risa. Risa mengaku semuanya salah Risa. Tapi, sebelum kahwin dia tak macam ni, ayah,”
“Lelaki ni, kalau dah dapat isteri gaji besar sikit, naik kepalalah dia. Tengoklah macam-mana dia buat kamu? Nasib baik tak ada anak lagi. Kalau ada anak? Bertambah-tambah beban kamu. Yang dia, seronok berjoli,”
Arisa mengeluh perlahan. Buntu memikirkan masalah yang menyesakkan kepala. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan bapanya. Tetapi, apabila semuanya sudah tidak mampu untuk dia harungi sendiri, cuma bapanya yang dia ada untuk mengadu. Dan, kata-kata bapanya itu ada benarnya. Jelas Radhi hanya mengambil kesempatan padanya. Dia menjadi tabung duit bagi Radhi. Dia menjadi tempat melampiaskan nafsu bagi Radhi. Dia menjadi tempat melepaskan amarah Radhi. Selain daripada itu, rasanya tidak ada lagi fungsinya pada lelaki itu. Satu kenyataan yang membuat hatinya tersayat pilu. Dia bagai boneka untuk kesenangan Radhi.
“Sakit dada ayah ni tengok gelagat laki kamu tu. Bekerja malas. Orang kiri kanan duk sibuk bercerita. Angkut anak dara orang sana. Angkut anak dara orang sini. Sekarang dah gatal nak kahwin lagi pulak? Siapa yang nak tanggung bini dia nanti? Kamu?,”sedikit keras suara yang meniti di bibir Haji Salleh. Berbaur geram nada yang sampai ke telinga Arisa itu.
Arisa tersentap. Mengangkat muka merenung wajah bapanya. Air mata menitis lagi. Perlahan dia menggeleng. Tingkah Radhi sudah cukup menghancurkan perasaannya. Selama dua tahun dia menikmati cinta suci Radhi. Cinta yang penuh dengan caci-maki dan air mata. Baginya cinta suci itu cuma omong kosong. Cinta langsung tiada nilai untuk dia terus agungkan.
“Ayah tak fahamlah. Apa yang kamu tengok pada si Radhi tu? Langsung tak ada masa depan. Tak cukup ke dia buat kamu selama ni? Dua tahun kahwin, paling lama ayah tengok dia kerja dua bulan saja. Lepas tu, jadi kutu rayau. Duduk rumah bapak mertua buat macam rumah sendiri. Nak keluar minta duit bini. Balik marah-marah bini,”
Arisa tunduk. Kata-kata itu sedikit sebanyak membias rasa malu di hatinya. Malu dengan sikap suami sendiri. Mahu nafikan, itulah kenyataannya. Cuma Radhi seakan tidak pernah ada rasa malu pada bapanya.
“Malu Risa dengan sikap dia tu, ayah,”
“Kenapa pula kamu yang nak malu? Yang buruk perangai suami kamu…,”
Arisa mengeluh lagi. Perlahan menolak ke belakang rambut ikalnya yang disapa angin petang.
“Apa rancangan kamu sekarang? Nak ikutkan juga kehendak suami kamu tu? Nak bermadu? Sah-sah beban kamu yang bertambah nanti. Sekarang tanggung laki. Nanti dengan madu kamu pun kamu tanggung. Kalau beranak-pinak nanti? Macam mana? Ayah ni, bukan apa. Ayah tak nak tengok kamu hidup macam ni. Tak ada guna kamu hidup dengan lelaki macam tu. Bukan ayah nak minta kamu runtuhkan rumahtangga kamu. Tapi, ayah tak sampai hati nak tengok kamu hidup makan hati macam ni. keputusan macam ni, kamu kena fikir masak-masak. Jangan fikir untuk tempoh esok atau lusa. Kamu kena fikir macam –mana hidup kamu sepuluh tahun nanti kalau kamu setuju nak bermadu?,”
“Risa dah ambil keputusan, ayah,”
“Keputusan apa?,”
“Risa nak bercerai. Risa tak nak hidup dengan Radhi lagi. Risa tak nak bermadu. Risa tak nak tambah beban dalam hati Risa,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Memandang wajah anak sulungnya itu dengan renungan simpati. Susah untuk dia memberi pendapat. Mahu Arisa teruskan perkahwinan itu, dia yakin Radhi tidak akan berubah. Dia yakin Radhi tidak akan berhenti menyusahkan Arisa. Mahu menyokong Arisa memutuskan hubungan itu, dia juga serba-salah. Bukan elok bercerai-berai. Dia juga tidak mahu anaknya itu menempah gelaran janda.
“Ayah tak tahu nak cakap apa. Serba-salah ayah jadinya. Risa buatlah keputusan yang paling baik untuk Risa,”
Arisa mengeluh perlahan. Sepi waktu petang sebegini memberi dia peluang untuk bercakap panjang lebar. Ketiadaan adik-adiknya membuat dia tergerak untuk berkongsi rasa dengan bapanya. Dia perlu berbincang dengan bapanya. Hal ini bukan hal kecil untuk dia simpan sendiri di hatinya. Keputusan yang ingin dia ambil juga satu keputusan yang akan mengubah hidupnya seratus peratus.
“Tapi…,”
“Tapi apa pula?,”
Arisa menghela nafas panjang. Memandang wajah bapanya yang kelihatan setia menunggu. Dia sedikit serba-salah. Perlukah dia berkongsi dengan bapanya? Atau dia perlu tanggung semua ini sendirian? Perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan kesilapan yang telah dia buat?
“Risa? Ada apa ni? Cuba cerita dengan ayah,”
“Radhi tak nak ceraikan Risa. Dia nak madukan Risa. Dia cakap, kalau Risa bagi dia duit, baru dia akan lepaskan Risa. Kalau tidak, dia tak mahu lepaskan Risa,”
Haji Salleh merengus marah. Turun naik mengawal nafas yang tidak terkawal. Perlahan dadanya diurut. Sungguh sakit hatinya memikirkan tentang menantu sulungnya itu. Arisa bergerak menghampiri bapanya.
“Ayah tak apa-apa?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Arisa mengusap perlahan dada bapanya. Sudah mula risau andai jantung bapanya bermasalah lagi. Silap dia, membuka cerita sebegitu pada bapanya. Timbul rasa menyesal di hati. Mungkinkah dia perlu menyimpan masalah ini sendiri?
“Ayah tak apa-apa. Berapa yang hantu tu nak?,”
Arisa diam. Cuma memandang wajah bapanya yang jelas tegang melayan marah.
“Kita bincang lain kali ya, ayah. Ayah tak okay ni. Risa tak nak nanti ayah jatuh sakit,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Mengurut perlahan dadanya. Matanya lari ke wajah anak sulungnya itu. Wajah itu kelihatan hilang seri. Barangkali terlalu banyak derita yang dipendam sendiri.
“Ceritalah pada ayah. Ayah nak tahu. Ayah nak dengar. Sudah-sudahlah makan hati sebab nak lindung kesalahan Radhi tu…,”
Arisa diam seketika. Tunduk mencari kekuatan untuk bersuara. Berdoa agar apa yang meluncur di bibirnya itu, tidak memberi kejutan berat pada bapanya.
“Radhi nak duit…,”lambat-lambat patah perkataan disusun. Melantun dalam nada seperlahan yang boleh. Berharap agar suaranya tidak sampai ke telingan Haji Salleh.
“Berapa yang Radhi minta?,”
Arisa mengangkat muka. Bapanya mendengar.
“Dua puluh ribu, ayah,”
Haji Salleh diam. Mengurut dada yang mula terasa sesak. Arisa menggelebah.
“Ayah… ayah tak apa-apa?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Mengurut dada sambil cuba bernafas setenang mungkin.
“Gila suami kau ni, Risa…,”
Air mata Arisa menitis. Memeluk tubuh tua itu sambil mengurut dada Haji Salleh. Mungkin benar suaminya itu sudah gila. Gila pada duit. Gila pada perempuan.
“Risa minta maaf, ayah. Sepatutnya, Risa dah tak jadi beban pada ayah….,”
“Ayah tak akan biarkan Radhi buat Risa macam ni. Dia ingat dia siapa? Risa ni anak ayah. Ayah tak akan biarkan Risa tanggung semua ni sendiri,”
“Ayah… Risa tak nak panjangkan hal ni. Risa tak nak gaduh. Risa tak nak dia cari pasal dengan ayah. Risa tak nak ayah sakit sebab Risa. Ayah sakit sebab melayan perangai Radhi tu. Risa akan berikan apa yang dia nak…,”
“Banyak tu, nak,”
“Risa akan usahakan. Yang penting, lepas ni biarlah dia lenyap terus dari hidup Risa. Risa tak nak tengok muka dia lagi,”
“Bagi duit macam tu aje pada jantan tak guna tu? Tak cukup selama kahwin dengan kamu, dia peras duit kamu, sampai nak ceraikan kamu pun dia nak peras kamu juga?,”
Arisa tersenyum pahit. Memandang seketika wajah bapanya. Mahu melihat keadaan bapanya itu. Haji Salleh kelihatan sudah sedikit tenang. Perlahan dia tunduk sambil bermain dengan jemari sendiri.
“Risa dah serik, ayah. Risa dah tak sanggup nak hidup dengan dia lagi. Radhi yang jadi suami Risa, terlalu jauh bezanya dengannya Radhi yang mencintai Risa dulu,”Arisa mengadu perlahan. Tidak pernah diluahkan kesengsaraan yang dilaluinya saban hari. Hari ini, dia mahu mengadu pada bapanya. Dia mahu kosongkan hatinya yang tepu dengan kecewa. Kecewa pada sebuah ikatan perkahwinan. Angannya, perkahwinan dia dan Radhi akan menjadi satu perkahwinan yang paling indah. Angannya juga, dia mahu menjadi isteri Radhi yang paling bahagia rentetan hidupnya. Dia cuba menjadi isteri yang sempurna dan Radhi akan cuba menjadi suami yang sempurna juga. Namun, angan-angan itu cuma tinggal satu impian kosong.
“Dulu dia sayang sangat kat Risa, ayah…,”gumamnya perlahan bersama air mata yang bertandang lagi.
“Dia buat Risa rasa Risa manusia paling bertuah dalam dunia ni…,”
Haji Saleh diam seribu bahasa. Hatinya tersentuh melihat air mata itu. Jiwanya menangis mendengar rintihan itu. Dia faham keperitan yang ditanggung oleh Arisa. Selama berkahwin, sepatah pun tiada rungutan daripada bibir itu. Semuanya didiamkan sendiri. Hari ini, apabila anaknya itu bersuara, dia mahu mendengar semua luahan hati Arisa.
“Luahkan semua yang Risa pendam selama ni. Biar ayah dengar semuanya,”
Arisa menggeleng perlahan. Menyeka perlahan air mata yang membasahi pipi.
“Risa dah tak tahu macam –mana nak luahkan apa yang Risa rasa ni, ayah. Risa rasa macam orang bodoh. Cuba berusaha untuk pulihkan hubungan ini, sedangkan Radhi langsung tak mahu lihat perkahwinan kami jadi lebih baik. Dia cuma leka dengan hidup dia sendiri,”
“Ayah nak yang terbaik untuk anak ayah. Fikirlah apa yang terbaik untuk Risa. Dulu, Risa rasa, Radhi yang terbaik untuk Risa, ayah mengalah. Sekarang pun, ayah tak mahu buat keputusan untuk Risa. Ayah yakin, Risa lebih tahu apa yang hati Risa inginkan,”
Arisa mengangguk perlahan. Merenung wajah tua di hadapannya itu.
“Mungkin ini balasan sebab Risa ingkar pada cakap ayah dulu. Kan?,”
Haji Saleh menggeleng perlahan.
“Jangan sesekali cakap macam tu. Memang ayah tak setuju bila Risa pilih Radhi. Tapi, kalau cuma itu yang boleh buat Risa bahagia, ayah restu. Ayah tak akan sampai hati nak buat anak ayah hidup susah. Ayah tetap sokong anak ayah,”
“Risa minta maaf, ayah. Risa tak pernah jadi anak yang menyenangkan. Tak habis-habis Risa bagi masalah pada ayah,”
“Sekarang ni, Risa fikirkan masa depan Risa. Bukan pandang ke belakang. Yang dah berlaku, kita tak mampu nak ubah. Tapi, kita mampu mengubah masa depan kita. Fikir dalam-dalam. Doa banyak-banyak. Apa pun keputusan Risa, ayah akan tetap sokong anak ayah,”
“Terima kasih, ayah…,”perlahan Arisa berbisik sambil memeluk tubuh itu. Tenang hatinya apabila bapanya menepuk perlahan belakangnya. Juraian air mata jatuh ke pipi. Membasuh semua kesedihannya. Lega hatinya apabila semua yang tersimpan kini terluah sudah.



*****
[11:35:50 PM] hos.getah: