Friday, March 11, 2011

Mungkinkah? 4

            “Morning Encik Zariff,”
            Mendengar sapaan itu, Zariff berpaling. Mengukir senyum buat gadis penyambut tetamu yang tercegat menyapa. Langkahnya sedikit perlahan.
            “Morning. Pagi-pagi dah dapat bunga,”tegurnya melihat jambangan mawar merah di tangan Jasmine. Jasmine tersengih.
            “Bukan saya punya Encik Zariff. Puan Arisa punya,”
            Mendengar jawapan itu, langsung terbatal hasratnya untuk menyambung langkah. Dia merapati kaunter.
            “Boleh saya tengok?,”soalnya sambil menghulurkan tangan. Membuat Jasmine sedikit kehairanan. Namun, memikirkan itu permintaan majikan, jambangan bunga yang sudah Arisa serahkan padanya itu, diserahkan pula kepada Zariff. Terkebil melihat kuntuman mawar merah yang sudah bertukar tangan.
            Zariff meneliti jambangan itu dengan perasaan sebal. Menemui sekeping kad di situ. Perlahan dicapai.
            “Tak baik baca kad orang, Encik Zariff,”
            Teguran Jasmine membuat dia mendongak. Merenung tajam wajah Jasmine yang tersenyum kelat.
            “Err… baik kot. Sebab saya pun selalu juga baca,”sambung Jasmine sambil tersengih. Gerun menanggapi renungan mempersona daripada majikannya itu.
            “Selalu? Apa maksud awak, selalu?,”
            “Selalu Puan Arisa dapat bunga ni,”
            Penjelasan itu begitu menarik minatnya.
            “Tak pernah nampak pun selama ni…,”
            “Saya simpan bawah kaunter. Hari ni, tak sempat nak simpan, Encik Zariff dah ambil,”
            Zariff tidak menjawab. Cuma kad kecil di tangannya dibuka perlahan.

            [ Sayang, abang minta maaf. Abang tak sengaja. Harap sayang cepat sembuh ]

            Putus nafas Zariff seketika. Cukup intim mesej yang diberi. Cukup untuk membuat jiwanya bergelora. Dengan wajah sedikit mencuka, dia melangkah.
            “Encik Zariff,”
            Dia berpaling.
            “Bunga  tu….,”Jasmine bersuara separuh meminta.
            “Saya bagi pada Arisa nanti,”
            “Tapi…,”
            Kata-kata Jasmine dibiarkan tergantung begitu sahaja. Langkahnya laju menuju ke biliknya. Arisa di meja langsung tidak dipandang. Pintu dihempas kuat sebaik dia melangkah masuk. Meninggalkan Arisa yang terpinga-pinga. Lebih hairan melihat jambangan mawar merah yang dia beri pada Jasmine kini berada di tangan Zariff. Terkebil-kebil dia memandang pintu yang sudah tertutup rapat. Sedang marahkah lelaki itu? Dalam rasa hairan yang masih menyelubungi diri, dia sekadar menghela nafas panjang. Biarkanlah. Barangkali lelaki itu ada masalah. Dan, sebaiknya dia bersedia untuk memulakan tugasannya. Perlahan kerusi ditarik sedikit rapat ke meja. Mencari keselesaan untuk memulakan kerja. Sebuah senyuman diukir sekadar menyuntik keseronokan untuk memulakan sekali lagi rutin hariannya. Senyum yang terukir, terganggu dek deringan  telefon bimbitnya. Dia menjenguk kemudian mengeluh. Dia bosankah lelaki ini? Sudah berpuluh kali panggilan itu tidak berjawab sejak daripada petang semalam. Dengan malas, akhirnya telefon dicapai. Panggilan dimatikan dan telefon turut dimatikan.
            Deringan telefon di meja pula mengganggu kosentrasi. Pantas diangkat.
            “Masuk kejap,”
            Talian terus terputus tanpa sempat dia menjawab. Pintu yang tertutup di pandang tanpa berkelip. Perlahan mengangkat punggung dari kerusi sambil mencapai buku catatan, kalau-kalau Zariff mahu memberi tugasan padanya. Langkah diatur rapi dan berdiri seketika sebelum mengetuk perlahan pintu bilik Zariff. Daun pintu ditolak perlahan. Zariff sedang berdiri di tepi tingkap sambil memandang jauh ke luar. Segera dia melangkah masuk. Pintu ditutup rapat.
            “Ada apa Encik Zariff?,”
            “Siapa tu?,”
            “Siapa? Tak faham,”
            “Siapa bagi bunga tu?,”
            Soalan Zariff yang sedikit keras, sedikit sebanyak memberitahu pertemuan ini barangkali bersifat peribadi. Dia melangkah mendekati meja Zariff. Memandang susuk tubuh Zariff yang membelakanginya.
            “Itu dah langgar perjanjian tu,”dia bersuara tenang. Membuat Zariff segera berpaling. Mahu membuka mulut menghamburkan marahnya. Namun sebaik memandang wajah Arisa, marahnya menghilang. Terkejut melihat kepala Arisa yang berplaster. Segera dia mendekat.
            “Kenapa ni?,”pantas jemarinya menyentuh dahi Arisa yang bertampal. Arisa tersenyum. Turut menyentuh dahinya yang bertampal.
            “Terjatuh,”
            “Kenapa boleh jatuh? Kenapa cuai sangat?,”
            “Sikit je,”
            “Bila ni?,”
            “Semalam. Jangan risaulah. Sikit aje ni,”
            Zariff merengus perlahan. Memang dia risau.
            “Dah pergi klinik?,”
            “Tak payah. Dan letak ubat semalam. Awak tak payah risaulah,”
            “No way. Kita pergi klinik sekarang. You ambil MC hari ni,”
            Arisa kehilangan kata-kata. Cuba merenung wajah Zariff yang jelas risau dengan pandangan protes.
            “Tak perlulah. Lagipun, banyak kerja yang nak saya siapkan hari ni,”
            “I tak peduli  semua tu. Kita pergi klinik sekarang,”Zariff membuat keputusan sambil mencapai lengan Arisa. Membuat wajah Arisa berkerut menahan sakit. Sekali lagi menghantar rasa hairan pada Zariff.
            “Why?,”
            Arisa menggeleng laju. Tangannya segera dibawa ke belakang.
            “Saya keluar dulu,”
            “Wait,”pantas Zariff mencapai tangannya. Menarik tubuhnya mendekat. Tangan Arisa ditarik perlahan. Walau ada protes daripada Arisa, dia tidak peduli. Lengan baju kurung yang dipakai Arisa diselak perlahan. Sekali lagi membuat dia terkejut. Lengan itu lebam. Pandangannya dilarikan ke wajah Arisa. Tajam merenung wajah itu.
            “What is this?,”
            “Tak ada apa-apalah,”
            “You tak jatuh kan? Apa yang terjadi?,”soal Zariff keras. Dia bergerak ke arah mejanya. Mencapai jambangan bunga yang berjaya membuat hatinya sakit seketika tadi.
            “Lelaki ni yang cederakan you, kan? Siapa ni?,”bentak Zariff sambil mencampak semula jambangan itu ke meja. Membuat beberapa helai kelopak mawar mula berselerak di atas meja.
            “Saya okay. Awak tak perlu risau,”
            “Banyak you kena explain to me. But now, kita pergi klinik,”
            “Tak perlu. Saya tak apa-apa,”
            Tanpa menjawab, pantas tangan Zariff merangkul pinggang Arisa. Melangkah menuju ke pintu.
            “Awak. Jangan macam ni. Nanti your staff nampak,”Arisa bersuara cemas. Sudah gilakah Zariff mahu keluar dari biliknya dengan berpelukan begini. Dan, kata-kata itu membuat Zariff sedar akan situasi mereka. Rangkulan dilepaskan perlahan. Emosi membuat dia lupa pada kedudukan dia dan Arisa. Bersama keluhan keras, dia membuka pintu. Mengarahkan Arisa melangkah mendahuluinya. Dalam enggan, Arisa akur dengan langkah sedikit teragak-agak. Mulai kurang senang dengan tingkah Zariff yang sudah sedikit mengawal hidupnya.

****

            “Kenapa awak bawa saya ke sini?,”
            Zariff mencampak kunci kereta ke meja. Santai berbaring di sofa yang empuk. Arisa merenung tajam. Melabuhkan punggung perlahan ke sofa.
            “Awak tak balik ofis ke?,”sekali lagi dia bersuara. Suasana nyaman dengan hembusan daripada penghawa dingin tidak mampu membuat dia tenang. Sungguh dia tidak betah duduk di sini. Di kondominium Zariff.
            “Saya nak balik rumah. Dah dapat MC ni, biarlah saya berehat kat rumah,”
            “Ada perkara yang perlu kita bincang. I tak nak bincang kat rumah you. I nak privacy,”
            “Ya. Tapi, bukan di sini. Kalau sesiapa tiba-tiba datang , macam mana? Mak awak ke… kekasih-kekasih awak ke…,”
            Zariff tersenyum nipis. Perlahan bangun dari baringnya.
            “Mama I akan call kalau nak datang. And, kenapa pula dia nak datang, sebab dia tahu I sekarang kat office. Dan, I tak bawa balik kekasih-kekasih I ke rumah. Perempuan-perempuan peneman, tidak sesuai untuk dibawa pulang ke rumah sendiri. Bahaya,”
            Arisa diam. Memandang kosong wajah selamba Zariff.
            “So, apa yang awak nak bincang? Cepat sikit. Lepas tu, saya boleh balik and awak boleh pergi office semula,”
            Zariff mengerling. Sedikit geram apabila tiada apa-apa reaksi terbias di wajah Arisa. Tiada perasaankah perempuan ini. Tidakkah ada perasaan geram di hati Arisa apabila dia ungkit tentang deretan teman perempuannya, seperti mana dia sakit hati membaca kad kecil yang terselit di sebalik kuntuman mawar merah , pagi tadi.
            “Tell me, what happened,”Zariff mengubah topik. Geram melihat reaksi selamba Arisa.
            “Nothing. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Saya boleh jaga diri saya sendiri. You don’t have to worry, Encik Zariff,”
            “Apa maksud kata-kata maaf dalam kad tu?,”
            “I can handle it. Saya tak perlukan bantuan awak. Thanks sebab ambil berat pasal saya. But, no thanks, saya tak perlukan bantuan awak,”
            “What do you mean, by you can handle it? Dengan kepala berdarah? Dengan tangan lebam macam tu? I tak akan benarkan sesiapa pun buat you macam ni, faham!,”
            “Perkara ni dah selesai. Tak perlu kita nak debatkan lagi,”Arisa bersuara. Menentang renungan tajam Zariff.
            “You ni kan! Degil!,”
            “Tak kiralah macam mana pun saya, awak sepatutnya pegang dengan apa yang telah kita janji. Saya tak akan masuk campur urusan peribadi awak, Dan awak juga jangan masuk campur dalam urusan peribadi saya,”cabar Arisa sedikit geram. Jelas Zariff sudah terlebih emosional.
            “I tak suka ada lelaki lain bagi bunga pada wife I! I tak suka ada tangan yang kurang ajar yang sakiti wife I! Faham!,”
            Arisa terkedu. Semakin keliru melihat reaksi melampau Zariff. Berlebih-lebih pula emosi yang Zariff pamerkan.       
            “Kita sama-sama setuju yang perkahwinan kita tak akan melibatkan apa – apa perasaan. Tak akan melibatkan apa-apa komitmen. Tapi, kenapa tiba-tiba awak cakap macam ni?,”
            Zariff merengus keras. Meraup wajah sambil cuba mententeramkan perasaan sendiri. Perlahan-lahan soalan Arisa menikam ke akalnya. Membuat dia sendiri berasa pelik. Dia tidak perlu beremosi sampai begini.
            “I don’t know. I just sakit hati tengok you cedera macam ni. Now, tell me, siapa buat semua ni,”
            “Awak… awak tak benarkan saya melangkau sempadan yang awak tetapkan. Ada perkara yang saya tak perlu persoalkan dan tak perlu ambil tahu. Begitu juga saya. Tujuan kita berkahwin sebab awak mahukan saya.  Awak dah dapat saya and saya pun dapat pembiayaan sekolah adik-adik saya, So, cukuplah. Selain dari tu, awak tak perlu ambil tahu. Macam mana saya tak pernah ambil tahu hal awak, begitu juga awak tak perlu ambil tahu pasal saya,”
            Zariff ternganga. Ayat paling sadis meniti di bibir Arisa. Benar-benar tidak berperasaan perempuan ini. Perlahan Zariff menggeleng. Tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Bicara Arisa, seakan-akan kehadirannya langsung tidak memberi makna di dalam hidup perempuan itu. Tidak percaya Arisa sedikit pun tidak menyimpan perasaan padanya. Sungguh – sunguh Arisa buat dia semakin tercabar.
            “I tak sangka I boleh berkahwin dengan patung. You langsung tak ada perasaan ke?,”
            Arisa membuang pandang. Zariff merapatinya. Duduk di sisinya bersama renungan yang dia sendiri tidak faham akan maksudnya. Yang penting , renungan itu perlahan-lahan menusuk ke tangkai hatinya. Segera dia berpaling muka.
            “You langsung tak suka I ke?,”
            “Saya tak cakap, saya tak suka awak. Awak tak buat apa-apa pun untuk buat saya tak suka awak,”
            “So, kenapa sadis sangat kata –kata tu? Salah ke I ambil berat pasal you,”
            “No. Tak salah. Tapi saya tak suka. Saya tak suka sebab nanti itu semua akan melibatkan perasaan. Saya tak nak,”
            “Tapi, kenapa?,”
            Arisa mengeluh perlahan.
            “Kita tahu kedudukan masing-masing. So, kita just berdiri di tempat yang sepatutnya. Itu lebih baik. Apa yang kita decide sebelum kita nikah, itu yang terbaik untuk kita,”
            “I sayang you…,”
            Arisa tersenyum kecil. Perlahan mengangkat punggung. Alangkah bosannya mendengar ucapan sayang daripada mulut seorang lelaki. Lebih-lebih lagi lelaki yang hidupnya dikelilingi wanita, seperti Zariff.
            “Itu tak sepatutnya berlaku. Jangan sayang saya, Encik Zariff. Saya cuma persinggahan sementara. Jangan fikir sangat pada hubungan kita yang rapuh ni. Jangan letak harapan pada hubungan ni,”
            “What happened to you, sebenarnya girl?,”
            Arisa berpaling. Mengukir senyum pada Zariff.
            “Tak ada apa-apa,”
            “You seolah-olah takut,”
            Arisa tergelak kecil.
            “Takut?,”
            “Yeah. You takut kalau-kalau you larut dalam perasaan sayang dalam hubungan kita ni. You takut kita jatuh cinta?,”
            Sekali lagi Arisa tergelak kecil. Memandang wajah Zariff agak lama.
            “Dulu awak sendiri tak pernah yakin pada cinta. Tak percaya pun pada cinta. Kenapa sekarang tiba-tiba cakap pasal cinta? Bukankah awak cuma mahukan saya?,”
            Zariff terdiam. Terkena dengan bahas Arisa. Memang itulah kenyataan yang membuat dia mengikat Arisa dalam satu hubungan yang halal. Dulu dia senang apabila Arisa bersetuju. Tetapi, hari ini, hatinya mula tertanya-tanya kenapa Arisa bersetuju. Arisa bukan perempuan yang gilakan kekayaan. Arisa juga jenis perempuan yang pandai menjaga diri. Hatinya mula tertanya-tanya kenapa Arisa bersetuju dengan perjanjian yang kurang bermoral itu?
            “I belum betul-betul kenal siapa you, Risa,”
            “Lebih mudah kalau kita tidak saling begitu mengenali macam ni. Kita hidup mengikut hala masing-masing. Bila awak perlukan saya, awak boleh datang pada saya,”
            “Sampai bila?,”
            “You decided it. Saya serahkan pada awak. Awak yang ikat saya, so, awak juga yang boleh lepaskan saya,”
            “Semudah tu?,”
            Arisa tersenyum lagi. Memang itu lebih mudah daripada dia menghambakan diri demi seorang lelaki dan akhirnya dia dicampak begitu sahaja. Dia tidak perlukan lelaki untuk menjadi sebahagian daripada hidupnya. Dia boleh menjalani hidup ini sendirian apabila nanti Zariff juga sudah tidak perlukannya lagi. Tidak perlu untuk dia penatkan diri dengan rasa marah. Dengan rasa cemburu. Dengan rasa sakit hati…
             Sesuatu yang lebih praktikal, Zariff perlukan dirinya dan dia perlukan duit untuk adik-adiknya setelah bapanya meninggal dunia hampir tujuh bulan yang lalu. Itu yang lebih logik untuk difikirkan.

****

Mungkinkah? 3


Dari jendela biliknya yang sedikit terkuak, jelas dia melihat ibunya sedang berpeluk mesra dengan seorang yang amat dia kenali. Perlahan dia mengeluh lemah. Baru sebentar tadi telinganya terpaksa menadah leteran ibunya gara-gara semalaman dia gagal dihubungi, kini sekali lagi telinga terpaksa menderita. Kepala yang tidak gatal, digaru perlahan.           
            Ketukan perlahan di pintu bilik membuat dia semakin lemah. Matanya melirik ke arah jam di dinding. Hampir pukul dua belas tengahari. Nampaknya niat untuk menghabiskan hari minggu bersama Arisa terpaksa dibatalkan. Ketukan dipintu berbunyi lagi.
            “Masuk…,”
            Pintu terbuka. Terjengul wajah Kak Piah seperti yang sudah dia jangka.
            “Encik Zariff, Cik Nabila ada kat bawah,”
            “Hmm…,”
            “Puan Zahra suruh Encik turun cepat sikit,”
            “Yalah. Kejap lagi saya turun,”
            Kak Piah mengangguk dan pintu kembali tertutup.
            “Kacau betullah,”dia merungut perlahan sambil mencapai telefon atas meja. Pantas jemarinya mendail nombor telefon milik Arisa. Menunggu seketika panggilannya berjawab.
            “Assalamualaikum,”
            Salam di hujung talian dijawab perlahan. Suara Arisa yang tenang, menjamah telinganya.
            “Hari ni, I tak jadi pergi rumah you,”dia bersuara tanpa banyak dalih. Suasana diam seketika.
            “Risa?,”
            “Hmm… tak apalah,”
            Mendengar suara Arisa yang sedikit hampa, hatinya disentuh dek sedikit rasa bersalah.
            “You dah masak ke?,”
            “Dah. Tapi tak apalah. Kalau awak tak dapat datang, tak apa. Lauk ni, adik-adik saya boleh habiskan,”
            Zariff diam seketika. Terbayang beranika jenis lauk yang mungkin sudah Arisa sediakan. Hal itu membuat dia sedikit kecewa. Melepas peluang untuk dia menikmati keenakan masakan Arisa.
            “Ruginya I,”
            Terdengar gelak halus di hujung talian. Membuat dia sedikit terpesona. Bukan perkara biasa Arisa gelak begitu. Amat jarang gelak spontan pecah dari bibir wanita itu.
            “Esok saya masakkan untuk awak. Saya bawa ke office. Ganti untuk lunch hari ni,”
            Lebar senyumnya mendengar kata-kata itu. Sukar untuk dia menolak pelawaan itu.
            “Boleh ke? Kalau susahkan you, tak payahlah. Tapi, kalau tak susahkan, masaklah apa aje. Semua I suka,”
            “Kalau macam tu, saya masak nasi putih dengan telur dadarlah,”
            Spontan dia tergelak besar.
            “Dah pandai bergurau dengan I, sekarang ni…,”
            Ketukan di pintu membuat bicaranya terhenti seketika.
            “Okaylah. I kena pergi dulu. Sorry ya,”
            “Okay,”
            Belum pun sempat dia bersuara lagi, talian sudah pun terputus. Dia memandang telefon di tangan. Itulah satu tabiat Arisa yang cukup membuat dia geram. Kalau bab menamatkan panggilan telefon, dialah juara. Belum apa-apa, telefon sudah diletak. Perlahan dia merengus sambil melangkah menuju kea rah pintu. Daun pintu dibuka. Dan, kali ini, wajah ibunya yang tercegat di hadapan pintu bilik.
            “Tukar syif ke?,”soalnya dengan nada berjenaka.
            “Syif apa pulak?,”
            “Syif ketuk pintu,”jawabnya bersama senyum panjang. Jawapan yang membawa cubitan ke lengannya.
            “Banyaklah kamu punya syif. Apa dibuat di dalam tu? Lama Nabila tunggu kat bawah tu,”
            “Ada apa dia datang?,”
            Membutang mata Puan Zahra merenung wajah anak lelakinya itu. Zariff sekadar tersenyum lawa.
            “Jumpa kamulah. Takkan dia nak jumpa mama pula,”
            Zariff mengeluh perlahan. Melangkah keluar dari bilik.
            “Penatlah mama. Ikutkan hari ni, saya nak rehat kat rumah aje. Malas nak ke mana-mana,”
            “Mahu tak penat. Malam-malam hilang entah ke mana. Susah sangat nak cari Zariff sekarang ni, tau,”
            “Dahlah tu, mama. Pagi tadi dah panjang lebar ceramahnya, kan?,”
            Puan Zahra menjeling.
            “Mana mama tak geram. Berkali-kali telefon handphone, tak berjawab. Dah tu, call pula rumah kamu, langsung tak berangkat. Entah mana-mana kamu tidur, ya?,”
            Zariff diam. Malas mahu menjawab. Masakan dia mahu beritahu dia menghabiskan malamnya di rumah teres kos sederhana milik Arisa. Itu namanya dia menggantung diri sendiri. Tanpa sedar dia tersenyum nipis.
            “Dah. Senyum sorang-sorang pulak. Kenapa pula ni?,”menyedari senyum yang terukir di bibir Zariff, laju Puan Zahra menampar bahu anak lelakinya itu. Membuat Zariff tergelak panjang.
            “Apa ni, mama. Janganlah pukul-pukul. Tak baik dera anak,”usiknya sengaja mahu melihat ibunya menarik muka masam.
            “Kamu ni, memang macam-macam tau. Dah, pergi jumpa Nabila. Dia ada kat ruang tamu tu,”
            Zariff mencemik sambil berlalu ke arah ruang tamu. Kadang-kadang naik malas untuk berdepan dengan gadis bernama Nabila itu. Dia sekadar memandang Nabila yang leka membelek majalah. Langkah diatur perlahan-lahan. Kalaulah dia boleh melewati ruangan itu tanpa disedari Nabila…
            “Zariff…,”
            Perlahan dia menoleh.
            “You nak ke mana?,”
            “Sorry. Tak perasan. Ingat you kat luar,”
            Nabila menjeling sambil meletakkan majalah ke atas meja.
            “Dari tadi I tercongok kat sini, takkanlah you tak nampak?,”
            “You kecil sangat. Tak perasan,”
            Nabila tersenyum. Perlahan mengangkat punggun dari sofa. Bergerak mendekati Zariff. Berdiri di hadapan lelaki itu sambil berpeluk tubuh. Wajah itu direnung lama.
            “Dah dua hari balik dari Indonesia, langsung tak contact I pun?,”
            Zariff tersenyum. Menyambung langkahnya yang terhenti di anak tangga menuju ke halaman yang luas.
            “Balik aje, terus I sibuk di office. Betul-betul busy,”
            “Hmm… yalah. Dulu, busy juga. Tapi, tetap ada masa untuk kita. Sekarang ni, dah jadi busy pelik ya?,”
            Zariff menatap wajah Nabila yang sentiasa cantik itu, bersama senyum panjang. Tidak mahu membalas penyataan itu.
            “So, ada buah tangan untuk I tak?,”Nabila mengubah topik, sambil tersenyum manis. Zariff turut tersenyum manis. Buah tangan? Dia cuma teringatkan Arisa. Dan, apa yang dibeli pun, cuma untuk Arisa sahaja. Mindanya kini seakan dikuasai sepenuhnya oleh aura Arisa.
            “So sorry. Tak sempat beli apa-apa pun,”
            Wajah Nabila sedikit berubah.
            “You ni…,”
            Zariff tersengih.
            “I ni, bakal tunang you, tapi, you boleh terlupa beli something for me? Melampaulah you ni,”
            “Dah lupa, nak buat macam mana. Nanti ita shopping. Sebagai denda, you pilihlah apa saja. I bayar,”
            Muncung Nabila sedikit mengendur. Perlahan pandangannya dialihkan ke wajah Zariff. Tersenyum kecil sambil berpeluk tubuh.
            “Apa saja?,”duganya bersama lirikan senyum yang cukup menggoda.
            Zariff mengangguk sambil menjongket bahu. Apa lagi yang mampu dia lakukan untuk menggembirakan gadis kesayangan ibunya ini?
            “Okay. You dah janji. Jom kita shopping,”
            “Tapi, limitnya I yang tentukan,”tokok Zariff melihat Nabila berlari anak ke ruang tamu, mencapai beg tangannya.
            “No…no… Limitnya I yang tentukan,”balas Nabila bersama senyum nakal. Zariff turut tersenyum kelat. Pelik dengan anak orang kaya yang satu ini. Pantang dapat peluang, langsung tidak disia-siakan.

***

            Selesai sahaja bercakap, talian telefon segera dimatikan. Perlahan dia mengeluh sambil memandang meja yang sudah penuh dengan beberapa jenis lauk kesukaan Zariff.
            “Dia yang janji, dia sendiri yang cakap tak jadi. Penat aje masak banyak-banyak macam ni,”dia mengomel sendirian. Memang ada sedikit geram di hati. Namun, apakan daya. Dia tidak boleh banyak berbicara. Pasti ada perkara yang menghalang lelaki itu, dan yang paling pasti, itu semua bukan masalahnya.
            “You tak boleh ambil tahu apa-apa hal tentang I, yang I tak beritahu you, and I pun sama. Faham? Kita tidak perlu masuk campur dalam urusan peribadi masing-masing,”
            Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Dan, dia perlu pegang kata-kata itu sampai bila-bila.
            “Kak Long!,”
            Arisa tersentak. Segera dia berpaling. Memandang wajah Dafi yang sedikit cemas.
            “Kenapa Dafi?,”
            “Abang Radhi,”
            Arisa terkesima.
            “Kenapa?,”
            Dan, dia tidak memerlukan jawapan daripada Dafi, apabila telinganya mula diasak oleh suara Radhi. Pantas dia bergerak ke ruang tamu. Tergamam melihat Radhi yang sudah tercegat di situ bersama sejambak mawar merah.
            “Apa awak buat kat sini? Keluar,”
            “Risa. Berilah abang satu lagi peluang,”
            “Awak, baik awak keluar sekarang. Tak elok awak masuk rumah ni,”
            “Abang datang nak minta maaf. Abang sedar selama ni, abang silap. Maafkan abang ya? Abang rindukan Risa. Beri abang satu lagi peluang, Risa,”
            Arisa membuang pandang. Wajah Radhi yang separuh merayu itu, membuat dia menyampah.
            “Awak baliklah. Saya tak perlukan awak lagi. And, tak payahlah nak beli-beli bunga ni lagi. Saya tak nak ada apa-apa hubungan dengan awak. Antara kita, dah tak ada apa-apa. Awak juga yang cakap macam tu, dulu. Kan?,”
            Radhi bergerak mendekatinya. Jambangan bunga diletakkan di atas meja. Melihat langkah Radhi yang semakin hampir, dia mengundur ke belakang.
            “Awak keluar sekarang, sebelum saya telefon polis,”
            “Risa cintakan abang. Kenapa nak nafikan itu semua. Kita mulakan semuanya sekali lagi. Ya?,”Radhi bersuara sambil mencapai jemarinya. Pantas direntap. Membuat Radhi sedikit tersentak.
            “Antara kita dah tak ada apa-apa. Saya dah tak boleh nak bahagiakan awak, kan? Awak dah jumpa orang yang boleh buat awak lebih bahagia. So, pergilah. Dan jangan ganggu saya lagi. Saya tak suka,”
            “Abang tersilap. Abang mengaku itu semua silap abang,”
            “Kesilapan awak… saya tak perlu jadi korban. Awak tanggung kesilapan yang awak buat. Saya teruskan hidup saya tanpa gangguan awak. The end. Okay?,”
            Langkah Radhi kembali maju ke arahnya. Membuat dia sekali lagi berundur. Dan, apabila Radhi mencapai tangannya, sekali lagi direntap kuat. Namun, kali ini ternyata pegangan Radhi jauh lebih kuat.
            “Lepaskan,”
            “Sayang, cakaplah Risa maafkan abang. Abang tak boleh hidup tanpa Risa,”
            “Itu masalah awak. Dah tak ada kena mengena dengan saya. Tolong lepaskan tangan saya,”
            Radhi menggeleng. Wajah Arisa yang sedikit memucat  direnung tanpa jemu. Dia mahu Arisa  kembali semula di dalam hidupnya. Cuma itu yang dia mahu.
            “I love you. Beri abang satu lagi peluang, ya?,”
            Tanpa menjawab, Arisa terus cuba meleraikan pegangan Radhi yang kuat mencengkam kedua-dua lengannya. Mula memberi rasa sakit padanya.
            “Sakitlah. Lepaskan tangan saya,”
            “Abang akan lepaskan. Tapi, sebelum tu, cakap Risa maafkan abang dan Risa mahu terima abang semula,”
            “No! Tak nak! Saya bukan lagi Arisa yang bodoh yang boleh awak tipu sesuka hati awak! Saya bukan lagi Arisa bodoh yang kerjanya Cuma memaafkan setiap pembohongan yang awak buat! So, please lepaskan tangan saya, sebelum saya menjerit,”Arisa mula menjerit kuat. Dafi yang sedari tadi teragak-agak untuk masuk campur, mula merapati kakaknya.
            “Risa! Abang minta maaf! Berapa kali abang perlu yakinkan Risa, yang abang betul-betul dah berubah?,”
            “Tak perlu!,”jerit Arisa kuat sambil sekuat hati menarik tangannya. Masih gagal. Tangannya mula terasa sengal.
            “Tak perlu Radhi! Arisa ni, dah tak perlukan Radhi dalam hidup dia. So, please let me go!,”sekali lagi dia menjerit sambil sekuat hati menarik tangannya. Pegangan kuat yang terlepas tiba-tiba itu membuat dia terhoyong-hayang sebelum terjatuh ke bucu meja.
            “Kak Long!,”Dafi menjerit kuat. Radhi tergamam seketika. Arisa tertunduk memandang lantai. Kepalanya sedikit berat. Beberapa titis darah mula menitik ke lantai.
            “Risa!,”Radhi menjerit cemas. Segera mendapatkan Arisa yang terus terduduk ke lantai.
            “Apa Abang Radhi buat ni?,”
            “Kita hantar Kak Long ke klinik,”
            “Tak perlu. Saya tak apa-apa. Tolong pergi sekarang,”Arisa bersuara perlahan sambil menekan dahinya yang luka terkena bucu meja. Dia cuba mengangkat muka, namun, pandangannya sedikit berpinar-pinar.
            “No. Abang hantar Risa pergi klinik,”           
            “Dafi, call polis,”Arisa bersuara dingin.
            “Risa! Jangan degil,”
            “Tolong keluar dari rumah saya. Kalau tak, saya call polis,”
            Radhi mengeluh keras.
            “Abang akan pergi. Tapi, selepas abang hantar Risa ke klinik,”
            “Jomlah Kak Long. Luka Kak Long berdarah ni,”tokok Dafi yang sudah cemas melihat darah meleleh melalui celahan jemari Arisa.
            “Kak Long tak apa-apa. Suruh dia pergi. Kak Long boleh uruskan diri Kak Long sendiri,”
            “Jangan berdegil macam ni, Risa,”
            “Dafi, ambil telefon Kak Long,”
            “Okay..okay… abang mengalah. Abang pergi, tapi, tolong berjanji dengan abang, Risa akan pergi klinik. Kepala Risa tu luka,”
            “Saya tahu jaga diri sendiri,”
            Radhi mengeluh hampa. Perlahan dia berdiri. Pandangannya dilarikan ke wajah Dafi.
            “Apa-apa, Dafi call abang ya. Mesti call abang,”
            Dafi mengangguk perlahan. Radhi melangkah perlahan keluar dari ruangan itu. Meninggalkan Arisa bersama Dafi.
            “Kak Long ni. Kenapa degil sangat? Kepala Kak Long berdarah ni,”
            “Kak Long tak apa-apa. Pening sikit saja. Nanti Kak Long letak minyak gamat. Berhentilah darah ni,”
            “Betul cakap Abang Radhi tu. Kak Long ni, degil,”
            “Dafi… Cepat tolong Kak Long. Kak Long pening. Susah nak berjalan. Bawa Kak Long masuk dalam bilik,”
            “Dafi call Abang Zariff ya?,”
            Arisa menggeleng.
            “Abang Zariff pun tak boleh jugak?,”
            “Dafi budak kecil lagi. Tahulah Kak Long apa Kak Long buat. Dafi Cuma ikut saja cakap Kak Long, faham?,”
            “Tahun ni Dafi nak ambil UPSR dah. Dafi bukan budak kecil tau,”
            Dalam pening, Arisa tersenyum kecil.
            “Sikit saja ni. Tak perlu nak susahkan sesiapa. Okay?,”
            “Macam ni punya berdarah, sikit?,”
            “Dah..dah.. diam. Cepat pimpin Kak Long masuk ke bilik,”
            Dafi dia. Cuma akur pada arahan Arisa.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: