Sunday, April 19, 2009

Mimpi Yang Mati 1


“I promise. I tak akan curang. I akan setia sampai nafas terakhir I. Sumpah!,”
Dia berpaling muka. Keliru dan serba-salah. Hati kerasnya seakan hampir cair. Wajah tampan itu ditatap tidak berkelip. Kata-kata itu terlalu indah di telinga. Kata-kata itu begitu meruntun jiwa. Begitu meyakinkan. Namun, kata-kata itu terlalu sukar untuk diterima. Teringat pada hakikat itu, pandangan segera dialihkan ke arah lain. Dia tidak boleh hanyut. Dia mesti tetap dengan pendiriannya. Tidak boleh goyah.
“Laila Maya. Dengar tak?,”
“Dengar…,”jawabnya perlahan.
“So?,”
“So? So… what?,”
“So… will you marry me?,”
“No. Jawapan I tetap no. I tak nak,”
Terdengar satu keluhan yang teramat panjang. Dia menoleh. Menatap wajah lelaki di sebelahnya. Wajah itu semakin redup. Membuat nalurinya mula berkocak. Benteng kekuatannya terasa semakin goyah. Rasa simpati semakin menghimpit. Kuatkah dia untuk terus menghadapi rayuan demi rayuan daripada lelaki ini?
“Sampai hati you…Maya,”
Dia terdiam lagi. Mencari kekuatan untuk melawan rasa simpati yang mula beraja di hati. Setelah hatinya sedikit teguh, dia mengangkat muka.
“I told you. I tak boleh terima you… sebab…,”
“Alasan you mengarut Maya. I tak boleh terima. Alasan paling mengarut yang pernah I dengar,”lelaki itu menyampuk sebelum kata-katanya habis meniti di bibir.
“Apa yang mengarutnya? Sudahlah tu Meer. I tak naklah. You carilah orang lain. Gadis lain. Ramai lagi yang suka kat you. Ramai sangat,”
“But I like you. I love you. Bukan orang lain. I serius nak kahwin dengan you,”
“I tak naklah Meer,”
“Why? Apa lagi yang kurang pada I? You cakaplah. I akan ubah semua perkara yang you tak suka tentang I. Apa yang I nak, cuma satu saja Maya. Terima I dalam hidup you. Itu saja,”
“Pasal you tak ada kekuranganlah… I tak nak kahwin dengan you. I takut. I tak sanggup. I nak orang yang biasa saja. Sederhana saja. I tak nak kahwin dengan lelaki hensem dan berduit macam you ni,”
“Maya! Please stop it. Tak larat I nak dengar alasan mengarut you ni. Sampai bila you nak anggap niat I ni satu perkara yang main-main?,”
“I tak pernah anggap you main-main. Cuma, I tak boleh nak terima you. Itu saja. I tak cukup kuat,”
“Please Maya…,”
“Sorry Meer. Janganlah desak I,”
“I tak akan mengalah. I akan kahwin dengan you. I akan pujuk you sampai you setuju. Itu janji I,”
“Meer… Kenapa ni? Kenapa selalu desak I? Janganlah macam ni. Jangan ganggu I ya? I tak pernah cakap apa-apa pun pada you. I tak pernah beri harapan pun pada you…,”
“Sebab you tak nak beri peluang pun pada diri you untuk pandang I ni… hina sangat I ni kat mata you, kan?,”
“Janganlah cakap macam tu…,”
“I janji pada you, satu hari, I akan buat you terima I,”sekali lagi lelaki itu mengulangi kata-katanya.
“Meer…,”
“Ini janji I, Maya…,”

BUZZ!!!

Laila tersentak. Lamunannya tiba-tiba menjauh. Dia kembali terkurung di dalam sangkar emas binaan Ameer Ferhad. Realiti yang membelenggu hidupnya hampir tiga tahun. Perlahan dia mengeluh. Matanya dilayangkan dinding. Mencari waktu. Pukul 2.30 pagi. Ameer entah ke mana. Bukan satu perkara aneh, dia sendirian di waktu-waktu begini. Sendirian seperti selalu. Bersendiri dan menjemput sepi bertamu di hati. Kesepian yang terasa semakin hari semakin membuat dia terasing. Semakin membuat dia tidak kenal pada dirinya sendiri.

BUZZ!!!
Sekali lagi bunyi itu menarik perhatiannya. Dari nama yang sama yang terus menegurnya sejak beberapa malam yang lalu. Yang tidak dia ketahui siapa pemiliknya. Silapnya, kerana menerima nama itu tersenarai di dalam ID sembang mayanya.
“Raz…,”bibirnya bergerak perlahan. Mahu membalas sapaan itu, tetapi, hatinya terasa berat. Sudahnya, dia meninggalkan komputer ribanya begitu sahaja. Tidak mempunyai keinginan untuk terus bercakap dengan monitor. Sapaan itu dibiarkan sepi lagi. Biarlah. Apabila bosan, pasti pemilik nama Raz ini, akan berhenti menyapanya. Sekali lagi dia memandang jam di dinding sebelum melangkah keluar dari bilik. Kaki dihayun tanpa tujuan tertentu. Apa yang hendak dibuat dinihari begini? Jiwanya kosong. Matanya pula cukup segar untuk lena. Sudahnya, dia memerhati ruang banglo besarnya yang suram. Sesuram hidupnya. Janji bahagia Ferhad. Bagai sudah dapat diduga, inilah kebahagiaan yang lelaki itu maksudnya. Tanpa sedar, sekuntum senyum sinis menghias bibir.
Kakinya laju menuruni anak tangga. Tercegat seketika di ruang tamu. Memerhati sekeliling. Indah. Mewah. Tersusun cantik perhiasannya. Namun, kenapa kaku di matanya? Sekaku dirinya yang menjadi patung bernyawa, menyaksikan tingkah Ameer saban hari. Tingkah lelaki yang menjanjikan segunung cinta padanya dulu. Yang sanggup pertahankan cinta sehingga ke hujung nyawa. Namun, nampaknya cinta Ameer berkubur sebelum ajal. Sumpahnya layu sebelum terbukti.
Perlahan dia melabuhkan punggung ke sofa empuk. Berbaring sambil berfikir tentang diri sendiri. Tentang Ameer. Tentang perkahwinannya. Tentang kesinambungan hidupnya. Sampai bila dia harus melalui detik-detik suram sebegini? Ameer entah di mana, sedang dia, sendirian di sini, memikirkan siapa pula wanita yang menemani Ameer malam ini. Tingkah Ameer benar-benar membuat dia hilang rasa. Membuat dia kering air mata. Sudah tiada apa yang mahu ditangisi lagi. Sudah hilang rasa marah. Sudah hilang rasa cemburu. Dia buntu memikirkan punca perubahan sikap Ameer. Tidak tahu di mana silapnya. Ameer yang sudah hilang rasa cinta, atau dia yang mengguris hati lelaki itu, tanpa sedarnya. Sungguh dia keliru. Sudahnya dia cuma menjadi penonton sandiwara Ameer…menari bersama rentak yang Ameer persembahkan padanya.

****
Daun pintu ditutup perlahan. Perlahan juga dia mengatur langkah menuju ke tangga. Namun, saat dia mengerling ke arah sofa, sesusuk tubuh menarik perhatiannya. Laila terlena di situ. Dia tidak jadi menyambung langkah ke bilik. Perlahan dia bergerak menghampiri isterinya. Sedikit hairan melihat Laila lena di situ. Dengan pergerakan yang perlahan dia melabuhkan punggung di sisi Laila. Merenung seketika isterinya yang kelihatan begitu lena. Sekuntum senyum terukir di bibir. Senang melihat wajah mulus itu. Laila kelihatan lebih beremosi di dalam lena, berbanding dalam jaganya. Penat dia menatap wajah tanpa perasaan wanita itu, setiap kali berdepan dengannya. Namun, entah kenapa, wajah itu tetap melekat di hatinya.
“Maya…Bangun sayang,”
“Maya…,”sekali dia memanggil perlahan sambil menggerakkan tubuh kecil Laila.
“Kenapa tidur kat sini?,”soalnya sebaik Laila membuka mata. Laila terpisat-pisat sambil bangkit dari sofa. Tidak tersedar dia terlena di situ.
“Kenapa tidur kat sini?,”sekali lagi Ameer mengulang soalan yang sama.
“Dah pukul berapa bang?,”
Ameer melihat jam di tangan. Hampir tiga pagi. Namun, soalan itu tidak dijawab. Menjawab soalan itu cuma memberitahu Laila waktu dia sampai ke rumah/
“Kenapa tidur kat sini?,”
“Maya terlelap. Abang baru balik ke?,”
“Hmm…,”cukup perlahan dia menjawab. Ada rasa bersalah yang bermain di hati.
Laila menggosok mata perlahan. Bangkit dari baringnya. Berada hampir dengan Ameer, deria baunya cepat memproses satu lagi haruman asing yang menemani suaminya pulang. Wajah Ameer yang tidak pernah hilang tampannya itu dipandang seketika.
“Abang dari mana?,”
“Siapkan kerja sampai lewat malam. Lepas tu abang singgah makan,”
“Maya dah siapkan makan malam kat rumah…,”
“Abang tak nak ganggu tidur Maya. Dah lewat sangat abang habis kerja tadi,”
Laila diam. Lebih banyak soalan, pasti lebih panjang bohong Ameer. Dan, apabila lebih panjang bohong itu, pasti lebih tawar hatinya untuk terus menatap wajah itu.
“Abang nak apa-apa ke? Kalau tak ada apa-apa, Maya nak masuk. Sambung tidur,”
Ameer menggeleng sambil tersenyum.
“Pergilah tidur. Kalau abang nak apa-apa, abang cari sendiri. Lagipun, abang pun memang nak tidur. Penat,”
Laila tersenyum hambar sambil mengangkat punggung. Bergerak meninggalkan Ameer. Beberapa langkah meniti anak tangga, dia menoleh. Merenung wajah Ameer yang tersandar di sofa.
“Oh ya, bang…,”
“Apa dia?,”soal Ameer sambil menanggalkan ikatan tali lehernya.
“Sejak bila abang tukar perfume ya? And, kenapa baunya macam perfume perempuan? Dah tukar selera ya?,”
Ameer terkedu. Soalan isterinya begitu bersahaja. Namun, terasa menyentap keluar isi jantungnya. Ternyata soalan Laila tidak mengharapkan jawapannya. Laila terus berlalu tanpa sempat dia mencari jawapan. Soalan itu lebih kedengaran seperti satu sindiran di telinganya. Perlahan dia membawa hidung ke kemejanya. Memang haruman asing semerbak di situ. Segera wajah manis Shania melintas di fikiran. Memang sepanjang malam dia bersama gadis manis itu. Bukannya menghadap kerja yang melambak. Alasan itu cuma untuk dijamah telinga Laila. Alasan itu cuma mahu mengelak daripada ada hati yang terluka. Selebihnya, mahu mengelak daripada tercetus pertengkaran. Tahu, tahap kesabarannya tidak setinggi mana untuk menghadapi mulut Laila apabila dalam keadaan marah. Dia mengeluh perlahan. Yakin, Laila sudah dapat menghidu agenda malamnya. Namun, haruskah seluruh kesalahan diletakkan di bahunya? Dia mencari bayang Laila. Sudah tiada. Laila sudah menjadi miliknya, namun, rindunya pada gadis itu bagai tidak pernah terubat. Tingkah Laila membuat dia hilang punca.
Nada dering yang menjerit dari telefon bimbitnya, menyingkir wajah Laila buat seketika. Segera dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Melihat satu pesanan ringkas yang masuk.

[ Dah sampai? Miss u sayang]

Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyum. Pesanan ringkas dari Shania. Perlahan dia mengangkat punggung sambil mencari-cari nama Shania di dalam senarai kenalannya. Ingin menghubungi gadis itu. Ingin bersembang dengan gadis itu. ingin mencari secubit rasa ria buat mengubat hatinya yang terasa kosong. Aneh. Jiwanya kosong, sedangkan, dia sudah memiliki segala-galanya.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: