Tuesday, January 10, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 7


            “Sayang…,”
            “Yup!,”laju aku menjawab. Berpaling sambil tersenyum manis. Encik Firdaus tersandar bersama buku di tangan. Aku pula, kembali fokus pada Atok di atas meja solek apabila Encik Firdaus tidak memberi tindakbalas pada jawapanku. Atok terlentok manja di meja apabila aku usap perlahan bulunya yang lembut. Suka mendengar dengkuran halusnya tatkala aku usap bawah dagunya. Semalaman melayan Atok pun, tak mengapa.
            “Cukup-cukuplah tu. Turn abanglah pula,”
            Aku tersengih. Atok di atas meja solek, aku angkat. Melayangkan satu ciuman ke wajah comel Atok. Atok mengingau manja.
            “Sayang Atok,”ujarku bersama senyum panjang.
            “Eiii…,”Encik Firdaus bersuara seolah-olah baru menyaksikan satu adegan ngeri. Membuat aku menjeling. Suamiku itu tersengih. Tahu aku marah.
            “Okay, Atok. Akak nak tidur dulu. Pakcik tu dah suruh akak halau Atok lah tu. Kejam kan? Atok pun pergi tidur ya,”
            Atok mengingau perlahan. Aku tersenyum sambil sekali lagi mengusap perlahan bulu Atok yang lembut.
            “Suka sangat bercakap dengan kucing tu. Macamlah kucing tu faham,”
            Aku mengangkat muka. Mencari wajah Encik Firdaus. Komentar Encik Firdaus tentang Atok tidak pernah membuat aku tersenyum senang.
            “Mestilah Atok faham. Kenapa pulak tak faham?,”
            Encik Firdaus kulihat mencemik sambil membelek buku. Aku bergerak ke katil.
            “Tak percaya?,”
            “Nope!,”
            “Nak Tiya buktikan?,”
            “Silakan…,”balas Encik Firdaus sambil menutup buku. Merenung wajahku bersama senyumnya yang sentiasa memikat. Senyumnya yang sentiasa membuat jantungku berdebar-debar.
            “Hmm…ok. Tapi, jangan pandang Tiya macam tu. Susah nak concentrate ni,”
            Encik Firdaus tertawa.
            “Macam-macamlah. Cakap ajelah Tiya memang cakap aje si Atok tu boleh faham. Padahal tak pun. Kan?,”
            Aku menjeling sekilas. Cakap aje ya…siaplah wahai suamiku! Memandang rendah pada Atok aku? Memang Encik Firdaus cari penyakit.
            “Atokkk….come here sayang. Come…,”aku bersuara lembut sambil goyangkan tangan. Melompat Atok dari kerusi terus menuju ke katil. Ke ribaan aku. Aku tergelak kecil. Terus membawa Atok ke pelukan buat seketika sebelum aku suakan Atok ke wajah Encik Fidaus. Membuat Encik Firdaus menggelabah cuba menjauhkan diri. Aku tergelak besar. Padan muka!
            “Sayang….janganlah,”
            Aku mengangkat kening. Semakin Encik Firdaus mengelak, semakin aku dekatkan Atok ke wajahnya. Dan, Atok pula diam sahaja seolah-olah merelakan aku kenakan suamiku itu. Atok memang sporting. Aku tergelak lagi.
            “Jauh sikitlah, yang. Nanti abang…,”
            Aku tersenyum sambil turut terangguk sebaik Encik Firdaus bersin. Padan muka. Belum habis cakap, sudah bersin.
            “Please sayang,”
            “Percaya tak?,”
            “Okay..okay…abang percaya,”

            Aku senyum kemenangan. Atok, kubawa semula ke ribaku. Encik Firdaus mencapai tuala sambil menyapu wajahnya. Mengada-ngada. Bukan kena pun mukanya.
            “Okay Atok. Atok pergi tidur ya. Dah malam ni,”
            Atok mengingau sambil bergerak turun dari katil. Terus menuju ke pintu yang terbuka. Aku mengekori dari belakang. Menutup pintu sebaik Atok keluar. Kemudian berpaling memandang ke arah Encik Firdaus yang menggosok hidung. Membuat aku tersenyum lucu.
            “Nak bersin lagi ke bang?,”
            “Dua-dua bersubahat ya? Atok awak tu, kalau pasal kenakan abang, tak ada pula dia nak marah-marah abang ya? Elok aje diamnya.  Kalau tak, dekat sikit dah marah,”
            “Itu namanya sporting,”balasku selamba.
            “Tak habis-habis dengan Atok dia,”Encik Firdaus merungut kecil.
            “Mestilah. Bukan selalu pun jumpa Atok,”
            Encik Firdaus mengukir senyum sambil menggeleng. Aku melabuhkan punggung katil. Sedar akan renungan redup Encik Firdaus, aku membalas renungan itu.
            “Sayang betul Tiya kat Atok ya,”
            Aku tersenyum. Memang aku sayangkan Atok.
            “Boleh abang tahu kenapa?,”
            “Entah. Atok dekat dengan Tiya kot. Atok macam faham Tiya. Dari dia kecik Tiya bela dia tau,”
            “Yang tu abang dah tahu. Dah beratus kali Tiya beritahu,”usik Encik Firdaus sengaja mahu membuat aku geram. Melihat aku mencebik, dia tergelak. Membuka semula buku di tangannya.
            “Abang…,”
            “Hmm…,”
            “Agak-agaklah kan, abang nanti akan setia macam Atok tak?,”
            Encik Firdaus tergelak besar.
            “Sayang! Kot ya pun nak uji perasaan abang, janganlah compare dengan Atok,”
            “Seriuslah bang. Tiya tanya betul-betul ni,”
            Encik Firdaus menggeleng sambil tersenyum panjang.
            “Tiya…Tiya… abang macam ni punya hensem, Tiya just compare dengan kucing? Terhina betul rasanya,”
            “Cakap ajelah…,”aku sudah separuh mendesak.
            “Okay. Abang cakap. First, of course abang tak akan setia macam Atok,”
            “Tak akan?,”soalku lambat-lambat. Encik Firdaus nak curang ke? Aku mengangkat muka. Memandang wajahnya. Aku perlukan penjelasan untuk jawapan yang diberikan Encik Firdaus.
“Abang tak akan setia macam Atok setia pada Tiya. Abang akan setia pada Tiya,  bukan sekadar untuk dibelai dan disayangi saja. Tapi, abang mahu melindungi dan menjaga Tiya juga. Abang mahu selalu buat Tiya gembira. Abang mahu kongsi segalanya dengan Tiya. Suka Tiya suka abang. Sedih Tiya akan jadi sedih abang. Sakit Tiya akan jadi sakit abang,”
            Aku terpaku. Syahdunya kata-kata Encik Firdaus. Jauh benar dengan sangkaanku tadi.
            “Betul bang?,”
            Encik Firdaus sekadar tersenyum sambil mengenggam jemariku. Perlahan di bawa ke bibirnya.
            “Kadang-kadang Tiya rasa lelaki sebaik abang patut dapat isteri yang lebih baik dari Tiya. Lebih sempurna dari Tiya,”
            “Tiya. Dah banyak kali Tiya cakap macam ni tau. Cukup empat puluh kali, Tuhan makbulkan baru tahu,”
            Aku terdiam. Segera menutup mulut dengan jemari. Tak nak. Memang aku sering berasa aku cukup kerdil di samping Encik Firdaus, namun, sumpah aku tidak pernah mahu dia menduakan aku. Aku cuma mahu Encik Firdaus menjadi milik aku seorang.
            “Tiya tak cakap macam tu lagi. Tak cakap lagi,”
            “That’s my girl,”Encik Firdaus bersuara seraya menarik perlahan hidungku. Aku tersenyum bahagia.
            “Tiya janji, Tiya pun akan jaga abang. Akan cuba bahagiakan abang setakat mana Tiya terdaya,”
            “Boleh percaya ke?,”
            Aku membulatkan mata.
            “Tak baik tau cakap macam tu. Macam tak yakin kat  Tiya aje. Mestilah boleh percaya,”
            “Okay. Kalau macam tu, buktikan,”
            “Bukti apa? Cakap je. Semua Tiya sanggup,”laju aku menjawab. Penuh dengan keyakinan.
            “Hmm…kalau yang abang cakap petang tadi. Yang mak cadangkan masa makan malam tadi? Macam mana?,”
            Keyakinanku gugur satu per satu. Senyum melebar di bibir Encik Firdaus menghapus senyum di bibirku. Kali ini lelaki ini pula yang main angkat kening dengan aku.
            “Boleh?,”soalnya sekali lagi bersama senyum nakal.
            “Hmm… bolehlah…,”aku menjawab perlahan.
            “Macam tak sepenuh hati aje,”
            “Tiya… err… kalau dah rezeki, Tiya tak tolak. Tiya rasa Tiya dah sedia… kot,”
            “Betul?,”
            Aku mengangguk. Ya ke? Aku pun tidak tahu. Yang aku tahu, setiap kali isu anak dibangkitkan, aku jadi gemuruh serta-merta. Bersediakah aku untuk semua itu?
            “Tapi, dah layak ke Tiya ni nak jadi ibu, bang? Boleh ke Tiya jaga anak kita nanti?,”
            “Hmm.. itulah yang merisaukan abang tu,”
            “Risau apa bang?,”
            “Abang risau, macam mana nanti abang nak kejar anak kita, kalau dia dah lari panjat pokok. Susah tu,”
            “Abang!,”
            Encik Firdaus tergelak riuh.
            “Tiya kan tengah serius ni. Tak nampak?,”
            “Ya ke? Tengah serius ke? Laa… tak tahu pulak abang,”
            Aku menjeling. Geram dipermainkan.
            “Malaslah cakap dengan abang,”
            “Memang abang  tak nak cakap pun…,”
            Aku menjeling lagi.
            “Dah tak nak cakap dah? Dulu bukan main nak cakap dengan kita…sekarang bila dah kahwin, dah tak nak cakap dah?,”
            Encik Firdaus menggeleng. Sengajalah tu. Sengaja mahu menyakiti hati aku.
            “Tak nak cakap sudah…..,”sudahnya aku membalas sambil membetulkan bantal. Bersedia untuk melayan mimpi.
            Encik Firdaus tersenyum. Perlahan menyentuh jemariku.
            “Abang yakin, Tiya dah bersedia. InsyaALLAH kita sama-sama bersedia. Kalau ada rezeki, kita akan sama-sama asuh anak kita,”
            Rajukku tidak menjadi. Aku tersenyum.
            “Kalau bolehlah kan….,”aku bersuara.
            “Kalau boleh apa?,”
            Aku pandang wajah Encik Firdaus. Tiba-tiba tersangkut apa yang ingin aku luahkan. Menjadi segan tiba-tiba.
            “Kalau boleh apa?,”sekali lagi soalan yang sama meluncur di bibir.
            “Hmm…kalau pregnant, tak naklah morning sickness. Kesiannya Tiya tengok Sherry dulu. Sampai kena tahan kat ward. Serius tu. Ngeri Tiya tengok. Sekarang ni pun, dah mula muntah-muntah dia cakap. Cepat sangat dia mengandung kan, bang? Qalisha baru enam bulan,”
            Encik Firdaus tergelak.
            “Itu kan rezeki? Tak apalah. Lagi ramai anak, lagilah meriah. And… itu sebabnya Tiya takut sangat bila sebut pasal pregnant?,”
            Aku tersengih.
            “Itu kan perkara biasa. Memang semua perempuan akan lalui semua tu,”
            “Abang cakap senanglah. Bukan abang yang lalui semua tu,”balasku sedikit emosi. Orang lelaki bukannya faham situasi sebegitu.
            “Dah tu, Tiya pernah lalui ke?,”
            Aku tersengih lagi. Terkena.
            “Belum…,”jawabku perlahan sambil menyambung sengih.
            Encik Firdaus tergelak. Perlahan menyentuh lembut pipiku.
            “I love you. Abang bahagia Tiya jadi isteri abang. Kalau pun kena morningsickness, jangan risau. Abang selalu ada bersama Tiya,”
            Dan aku? Mendengar bicara romantis sebegitu, seperti biasa cuma mampu membalas dengan senyum aku yang malu-malu.
            “Abang…,”
            “Ya, apa lagi sayang?,”
            “Hmm.. rasanya kan, Tiya belum tanyalah,”
            “Tanya apa?,”
            “Sejak bila abang suka kat Tiya?,”
            “Hmm…entahlah. Mungkin sejak abang senang bersembang dengan Ugly Betty kot,”
            “Maksud abang?,”
            “Abang suka berkawan dengan Ugly Betty. Then, bila abang tahu Tiya lah Ugly Betty tu masa abang buka PC Tiya… Masa abang nampak ID Ugly Betty … abang mula perhatikan Tiya. Bila selalu perhatikan tu, jatuh suka pula pada Tiya. Kemudian abang mula lebih serius dengan Ugly Betty bila abang dah sukakan Tiya. Bila abang cuba approach Adiya tapi, macam tak berjaya aje, I decided, abang kena tackle Ugly Betty betul-betul. Itu saja cara untuk abang selalu dekat dengan Tiya. Sebab Adiya Fatiha tu, jual mahal sangatlah,”panjang lebar Encik Firdaus bercerita separuh mengomel.
            Aku mencemik. Jadi, Encik Firdaus cuma serius memikat si Ugly Betty setelah dia tahu ID itu milik aku?
            “Perasan lawa aje kan budak tu?,”tambahku sambil tersenyum.
            “Yang tu, tak perasan. Memang lawa pun,”balasnya sambil kenyitkan mata.
            Aku tersenyum. Senang  dengan gurauan Encik Firdaus.
            “Kalau abang tak tahu Ugly Betty tu Tiya, abang akan jatuh hati tak pada Ugly Betty?,”aku kembali mencari cerita di sebalik hubungan maya kami.
            Encik Firdaus menggeleng.
            “Mungkin akan berkawan tapi, tidak mungkin bercinta. Abang tak yakin dengan hubungan begitu. Menjalin hubungan serius tanpa tahu identiti sebenar…,”
            Aku mengangguk perlahan.
            “Tapi, Tiya yakin. Tiya yakin cinta Tiya cuma untuk Charming,”aku bersuara perlahan. Sedikit segan untuk menatap wajah Encik Firdaus. Encik Firdaus tersenyum senang.
            “Sebab abang dah tiup ubat guna-guna lewat perkataan yang muncul kat screen komputer Tiya tu,”
            Aku tergelak besar. Encik Firdaus mengangkat kening. Macam-macam…
           
           
           
****

Tuesday, January 3, 2012

Ini Perang Cinta! 2

Dua tahun kemudian....

            Elman menggaru kepala yang tidak gatal. Pandangan terus fokus pada wajah Ashraf yang serius.
            “So, confirm ya, tiga menu baru ni, kita perkenalkan semasa pelancaran cawangan baru kat Sungai Buloh?,”dia bersuara. Cuba menutup topik sebelumnya.
            “Go to hell dengan menu tu. Soalan aku, tolong jawab...,”
            Elman menggaru belakang leher. Memandang sekali lagi wajah temannya yang sudah mencuka itu. Susahnya mahu menjawab satu soalan itu.
            “Dah dua tahun. Kenapa baru sekarang kau nak cari dia? Nak buat apa lagi? Kau rasa dia akan maafkan kau ke?,”
            “Dia pun ada hak untuk restoran ni, kan?  Apa salahnya dia datang untuk pelancaran cawangan baru tu? Dia patut ada untuk sama-sama raikan kejayaan ni,”
            Elman tergelak kecil. Alasan paling tidak logik daripada temannya itu.
            “Aku rasa dia dah tak berminatlah dengan restoran ni,”dia bersuara sambil mengangkat punggung.
            “Please, Man. Aku tahu kau tahu mana dia pergi kan?,”
            Elman tersenyum. Suara itu sudah sedikit merendah. Dia duduk semula ke kerusi. Mengeluh panjang sambil bersandar. File di tangan, dicampak ke meja Ashraf.
            “Carilah orang lain. Kenapa nak harapkan dia lagi? Bukan tak ada perempuan dah kat Malaysia ni. Salina pun dua tiga kali aku tengok datang cari kau semula,”
            Ashraf merengus kasar.
            “Susahlah cakap dengan kau ni, Man. Aku tanya soalan simple aje. Kau tahu tak kat mana Aira sekarang? Yang kau melencong buat lawatan ke satu Malaysia, apa hal?,”
            “Susahlah macam ni. Kenapa ya, sejak dari dulu lagi, asyik aku aje yang kena tersepit kat tengah-tengah? Asyik aku aje yang jadi mangsa? Kalau kau tak susahkan aku, boleh tak?,”
            Ashraf diam. Kali ini, wajah temannya pula yang bertukar kelat. Namun, daripada kata-kata Elman, dia tahu ada pakatan untuk merahsiakan segala-galanya daripadanya. Dia yakin itu.
            “Jadi, kau tahu Aira kat mana kan?,”
            “Memanglah aku tahu. Tapi, Aira memang tak nak kau tahu apa-apa pun pasal dia. Dan, tak nak tahu apa-apa pun pasal kau,”
            Ashraf kerutkan kening.
            “Selama ni, aku tanya kau, kau cakap tak tahu. Kau tipu aku?,”
            “Alah... kau pun pernah suruh aku tipu Aira kan? Jadi, tak usahlah nak berkecil hati sangat,”
            Ashraf diam. Geram! Spontan pen di tangannya dicampak ke arah Elman. Segera disambut oleh Elman yang sedikit mengelak.
            “Apa ni? Main campak-campak pula,”
            Ashraf mengangkat punggung. Berlalu ke arah cermin kaca yang tertutup dek tirai. Perlahan tirai diselak. Mata menangkap pekerja-pekerjanya yang kelihatan agak terkejar-kejar melayan pelanggan. Hampir waktu makan tengahari, memang suasana sebegitu tidak begitu pelik.
            “Kau rasa budak-budak kita cukup ke?,”
            “Hah?,”melopong Elman yang masih santai di kerusi. Segera dia berpaling mencari wajah Ashraf. Apa kena mengena Aira dengan budak-budak pembantu restoran mereka? Dia pelik. Ashraf berpaling. Memandang wajah pelik Elman.
            “Tu...aku tengok macam tak cukup kaki tangan diaorang buat kerja. Kau carikan sesiapa yang nak buat part time untuk waktu puncak. Untuk ambil order and hantar order,”sambung Ashraf sambil muncungkan mulut ke arah luar.
            Elman menahan nafas. Mulai geram dengan tingkah temannya yang seorang ini. Baru sebentar tadi, bukan main bersungguh-sungguh bercakap tentang Aira, kini, tiba-tiba boleh menukar topik.
            “Kita sekarang cakap pasal Aira ke pasal budak-budak tu?,”
            Ashraf terdiam. Segera menutup semula tirai.
            “Mestilah pasal Aira,”
            “Kalau nak bercakap pasal Aira, yang kau sibuk-sibuk masukkan hal kerja sekali tu, kenapa?,”
            “Salah ke?,”
            Elman mengangkat punggung. Malas melayan tingkah Ashraf.
            “Weh! Aku seriuslah nak jumpa Aira. Aku memang nak jumpa dia sangat-sangat. Aku tahu aku pernah buat salah dengan dia. Tapi, aku tak sengaja. Ya, aku mengaku, aku silap bila aku ambil keputusan untuk kahwin dengan Salina dulu. Aku memang nak putuskan pertunangan aku dulu. Tapi, dia balik-balik, semua preparation dah buat. Aku nak buat macam-mana?,”
            Elman tergelak sinis.
            “Dol... kau ada tiga tahun untuk buat keputusan tu. Kau ada tiga tahun untuk putuskan pertunangan kau tu. Tapi, kau tak gunakan pun peluang yang ada. Kesian Aira kena tipu hidup-hidup. Tahu? Kau buat hidup dia sengsara,”
            Ashraf mengeluh. Memang dia kejam pada Aira. Memang dia telah kecewakan Aira. Namun, sumpah. Itu bukan niatnya.
            “Aku pun sengsara juga, Man. Kau sendiri tengok kan? Kau sendiri nampak macam-mana aku hidup tanpa Aira. Kan? Belum cukup lagi ke untuk buktikan yang aku memang betul-betul perlukan Aira?,”
            Elman mencemik.
            “Sebab aku nampak, aku rasa macam susah nak percaya,”
            Ashraf menoleh. Tajam memandang wajah Elman.
            “Kau tak nampak menderita pun. Macam tak ada apa-apa pun...,”selamba Elman membuat kesimpulan. Kesimpulan yang menjentik rasa geram di hati Ashraf.
            “Takkan aku nak kena menangis dua puluh empat jam untuk tunjukkan aku menderita? Takkan aku nak kena merintih memanggil nama Aira sepanjang masa baru nampak aku menderita? Kau nampak zahir aku. Hati aku, kau tak nampak...,”Ashraf mula bersuara perlahan. Bukan perkara mudah untuk dia keluarkan semua kesedihan yang dia simpan rapi di hati. Dia melangkah perlahan. Sekali lagi tirai diselak perlahan. Cuba memujuk hatinya yang pilu tiba-tiba. Kekosongan yang dipendam selama ini, seakan mula memberi kesan pada emosinya kini. Pandangan ditebar jauh ke ruangan restoran. Menangkap sesuatu yang turut sama mengganggu tumpuan ceritanya.
            “Bukan aku cakap tukar warna merah ke?,”
            Elman ternganga. Hati? Tukar warna merah? Segera dia berpaling mencari wajah Ashraf. Melihat mata Ashraf tajam memerhati sesuatu di luar, dia pasti temannya melencong lagi.
            “Ash! Kalau kau nak cerita pasal Aira, tolong duduk. Jangan buat aku gila dengan topik kau. Kejap Aira kejap pekerja....kejap hati, kejap merah...,”
            Ashraf menutup tirai. Terus bergerak menuju ke kerusinya.
            “Tolong ya, semua alas meja, aku nak tukar warna merah...Kan aku dah cakap minggu lepas,”
            Elman membuang pandang. Ashraf memang menyakitkan hati!
            “Aku rasa, baik kau sambung kerja kau...aku sambung kerja aku. Off topic lah,”
            Ashraf mengeluh. Meraup wajah sambil melurut rambut ke belakang. Dua tahun dia menjadi hamba kerja semata-mata mahu membuang wajah Aira. Bagaimana dia boleh berpisah dengan tindakan spontan melibatkan hal kerja? Memang dia nampak ceria. Memang dia seperti dapat melalui hidup dengan normal. Caranya cuma satu. Mencurahkan segala-galanya pada kerja. Langsung tidak memberi ruang untuk otaknya berfikir tentang perkara lain. Cuma dengan cara itu, dia dapat melupakan kisah antara dia dan Aira. Dia dapat melupakan kesilapannya pada gadis itu. Tetapi, sampai bila?
            “Cuma kerja yang mampu buat aku tidak fikir pasal Aira. Dua tahun ni, aku perhambakan seluruh hidup aku pada kerja. Aku langsung tak beri otak aku fikir pasal Aira. Aku langsung tak mahu hati aku berasa sakit kehilangan Aira...,”
            Elman mendengar.
            “Aku hukum diri aku dengan kesibukan. Kepura-puraan. Tapi, sampai bila?,”
            “Kenapa baru sekarang?,”
            Ashraf mengangkat muka. Memandang wajah Elman kemudian menghela nafas panjang.
            “Sebab mama aku dah bising sekali lagi. Sibuk suruh aku kahwin lagi,”
            “Yalah. Dah dekat dua tahun kau bercerai dengan Salina. Memang patut kalau mama kau nak kau kahwin lagi,”
            Ashraf mengangguk perlahan.
            “Permintaan mama buat fokus aku pada kerja lari. Buat aku jadi tak konsisten lagi. Buat aku teringatkan Aira...,”
            “Cuma sebab tu?,”
            Ashraf menggeleng perlahan.
            “Aku tak mahu ulang kesilapan yang sama. Mama aku pernah aturkan semuanya untuk aku. Sudahnya, hidup aku huru-hara. Kali ni, aku mahu buat keputusan sendiri. Tak mahu lagi menjaga hati sana sini. Aku mahu hidup dengan perempuan yang benar-benar aku sayang. Orang tu, cuma Aira. Takkan ada perempuan lain yang boleh bahagiakan aku, selain daripada Aira,”
            Elman mula menggosok dahi. Gaya percakapan Ashraf seperti terlalu berharap. Sedangkan, Aira kini, sudah seperti batu keras hatinya.
            “Kau jangan optimis sangat. Kau dah hancurkan perasaan dia. Bukan senang dia nak terima kau semula. Kau kena ingat tu,”
            “Aku akan cuba. Cuba sampai berjaya,”
            “Kalau dia dah ada pengganti kau?,”
            “Dia dah ada pengganti aku ke?,”Ahsraf pula bertanya.
            Elman termangu seketika.
            “Man!,”
            “Manalah aku tahu. Hal hati dia, bukan urusan aku. Okaylah. Aku nak sambung buat kerja,”balas Elman sambil mengangkat punggung. File dicapai semula.
            “Weh! Beritahu aku dulu, dia kat mana sekarang?,”
            Elman berpaling. Kemudian tersenyum kecil.
            “Tunggulah. Aku ada mood nanti, aku beritahu kau,”selamba dia bersuara sambil cepat-cepat berlalu. Meninggalkan Ashraf dengan perasaan terbuku.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: