Thursday, December 4, 2014

Mencari Hilang 10



      
      “Trisya! Cepat sayang...,”
            “Kejap daddy... kejap daddy...,”
            Zaheem berpeluk tubuh memerhati anak kecilnya yang ligat berpusing mencari sesuatu sebelum bergerak keluar dari kereta.
            “Boleh bawa Lela sekali?,”petah mulut itu bertanya sambil memeluk anak patungnya.
            Zaheem menggeleng.
            “Tak payahlah. Kita tak ke mana pun. Nak makan aje kan? Simpan Lela dalam kereta,”
            “Tak boleh?,”sekali lagi anak kecil itu bertanya sambil patung terus erat di pelukan. Zaheem senyum.
            “Tak payahlah. Nanti kalau jatuh, kan kotor. Simpan dulu. Okay?,”
            “Okay...,”girang Trisya menjawab tanpa banyak kerenah sambil meletakkan anak patungnya ke sebelah. Terus dia bergerak keluar dari kereta.
            “Jom daddy...,”
            Zaheem tersenyum. Pintu kereta ditutup lalu dikunci.
            “Kita nak makan kat mana?,”
            Zaheem tidak menjawab. Cuma melangkah masuk ke sebuah restoran sambil memimpin tangan Trisya. Kerusi ditarik untuk puteri kecilnya. Trisya tersengih sambil seraya melabuhkan punggung ke kerusi.
            “Thank you, daddy,”
            Bibir Zaheem melebar senyum mendengar ucapan itu. Trisya yang penuh santun.    “Sama-sama, sayang,” balasnya seraya melabuhkan punggung ke kerusi. Sekilas dia memandang sekeliling restoran. Seketika, pandangannya kembali beralih pada si kecil di hadapan.
            “Trisya nak makan apa?,”soalnya sambil mengangkat kening. Tangan laju mencapai menu yang diletakkan di atas meja. Namun, belum sempat mendengar jawapan daripada mulut kecil itu, dia dikejutkan dengan bunyi kaca terhempas ke lantai. Segera dia menoleh. Jantungnya bagai berhenti berdegup. Buat seketika dia tergamam melihat susuk yang tercegat tidak jauh darinya itu. Hilang kata-kata. Sekian lama dia tidak bertemu dengan raut wajah ini. Cukup lama rasanya.
            “Isha...,”ucapnya sepatah.
            Farisha seakan tersedar daripada riak terkejut yang bukan sedikit. Betapa lamanya dia tidak mendengar ada suara yang melantun nama itu. Berkocak hatinya mendengar nama itu. Berdegup kencang jantungnya sebaik gegendang telinganya tersapa nama itu. Teringat pada seraut wajah comel yang menjadi penawar lara selamanya. Teringat segala-galanya tentang Trisya. Tiba-tiba terhimpun kerinduan yang maha berat. Bibir mata berat tiba-tiba. Perlahan dia tunduk melihat gelas yang terlepas dari pegangannya. Berderai menjadi kaca yang bertebaran di lantai. Sungguh hatinya masih terlalu rapuh untuk menerima hakikat satu kehilangan. Tersangat rapuh.
            “Are you okay?,”
            Dia mengangkat muka mendengar soalan daripada lelaki itu. Sedaya upaya menahan agar jangan ada air mata yang menitis. Perlahan dia mengangguk. Perlahan juga dia cuba memaksa sebuah senyum muncul di bibir. Dia mengangkat tangan melambai pada salah seorang pekerjanya. Tanpa bersuara, jarinya menunding pada kaca di hujung kakinya. Meminta agar kaca yang berserakan dibersihkan segera.
            Zaheem pula terus berpaling. Ini satu pertemuan yang jauh dari keinginannya.  Pertemuan yang teramat didambakan oleh keinginan luar kawalnya. Dan, apa rasa yang harus mengiringi pertemuan ini?
            “Tak sangka boleh jumpa Isha kat sini,”
            Farisha tersenyum kecil. Bergerak mendekati meja lelaki itu apabila Zaheem kelihatan mahu bersapa dengannya.
            Pandangan Zaheem terpaku terus pada wajah Farisha. Sekian lama wajah itu yang berlegar lewat kenangan-kenangannya. Ternyata rasanya tidak pernah berubah.
            “Betul-betul tak sangka boleh jumpa Isha di sini,”dia bersuara lagi. Cuba mengawal perasaannya sendiri. Kenyataan bahawa Farisha isteri seseorang dan dia juga suami kepada seseorang, gagal melenyapkan debaran yang melanda.
Farisha tersenyum. Menghantar rasa debar menusuk terus ke jantungnya sekali lagi. Sangkanya semua perasaannya sudah pergi jauh apabila dia menikahi Zurina. Dan, langsung tiada dugaan untuknya selepas itu. Tetapi kini, di hadapannya muncul wajah Farisha. Segala rasa suka, rasa cinta terasa teramat segar di hati.
            “Trisya?,”
            Zaheem tersentak kecil. Soalan Farisha membawanya ke alam sedar. Langsung lebar senyum di bibirnya.
            “Trisya junior. Nakalnya sama macam kakak Trisya,”
            Farisha mengukir senyum.
 “Mana kakak Trisya?,”
            Senyum Farisha hilang perlahan-lahan. Zaheem pula merenung wajah itu dengan penuh tanda-tanya. Wajah itu mendung tiba-tiba. Dan, hatinya mula menebak sesuatu.
            “Anak?,”Farisha menukar topik perbualan. Dia tidak kuat untuk bercakap tentang Trisya.
            Zaheem menjawab dengan anggukan perlahan. Soalannya tidak sepatutnya berbalas soalan juga.
            “Hai aunty. Siapa ni, daddy?,”
            Farisha tersenyum. Keletahnya. Cukup membuat dia teringat pada Trisya nya. Perlahan jemarinya mengusap pipi mulus anak kecil yang mungkin berumur dalam lingkungan tiga tahun itu.
            “Pandainya dia...,”pujinya tanpa sedar. Trisya di hadapannya ini benar-benar membuat dia teringat pada nyawa hatinya yang telah pergi. Trisya pergi meninggalkannya juga di usia ini.
            “Ini aunty Isha. Kawan lama daddy,”           
“Oh... duduklah aunty,” balas anak kecil itu sambil berdiri menghulurkan tangan. Jemari Farisha dicium perlahan. Saat bibir kecil itu mengucup tangannya, bagai terasa hangat bibir Trisya yang juga selalu berbuat begitu padanya. Farisha tergelak.  Cuba menahan rasa sebak yang tiba-tiba singgah.
            “Aunty tak bolehlah. Aunty kena buat kerja sikit,”
            Zaheem tersenyum.
            “Duduklah. Join us? Kita pun dah lama tak jumpa. Tak tahu cerita masing-masing. Isha hilang macam tu saja dulu,”
            Farisha menggeleng.
            “Ada kerja sikit. Belum order kan? Nanti saya minta my staff ambil order. Sorry. Waktu macam ni, kadang-kadang tak cukup kakitangan,”
            Zaheem mengangkat kening.
            “So, restoran ni Isha punya?,”
            “Lebih kurang macam tu lah,”
            “Tahniah. Impian jadi kenyataan. I am happy for you,”
            Farisha menjongket bahu sambil tersenyum kecil. Perhatiannya tidak sepenuhnya pada ucapan Zaheem. Anak kecil Zaheem lebih menarik perhatiannya.
            “Duduklah aunty. Boleh makan sama-sama,”
            Farisha tersenyum pilu. Tanpa sedar, perlahan dia menunduk. Tubuh itu dirangkul lembut. Memberi satu pelukan buat Trisya.
            “Sorry, aunty ada kerja sikit, sayang,”pantas dia bersuara sambil terus bergerak meninggalkan Zaheem sebaik pelukan dileraikan. Sempat dia meminta seorang pekerja melayan Zaheem sedang dia terus melangkah menuju ke bilik.
Pintu bilik ditutup rapat. Langkahnya dibawa ke kerusi. Berusaha untuk bertenang. Berusaha untuk tidak bersedih. Melihat anak Zaheem membawa kenangan Trisya yang sudah lama meninggalkannya. Nama yang sama. Tingkah yang sama. Sungguh rindunya membuak-buak. Dia rindukan Trisya. Lama dia diam di kerusi. Berusaha untuk tenangkan perasaan sendiri. Entah kenapa terlalu sukar untuk dia menerima kenyataan ini. Dalam menahan nafas yang turun naik, air matanya tetap jatuh. Laju mengalir tatkala matanya tersapa pada bingkai gambar Trisya yang diletakkan di atas meja. Perlahan dicapai bingkai gambar itu lalu di bawa ke pelukannya. Dari kerusi, dia bergerak ke sofa kecil di ruang bilik. Diam di situ sambil erat dia memeluk bingkai gambar yang kaku. Teresak-esak membuakkan rasa sedih yang terpendam.
            “Mama rindu Trisya... mama rindu...,”dia berbisik lirih. Kali ini dia tewas lagi. Tewas menerima ketentuan dengan hati yang tabah. Bingkai gambar dipeluk seolah-olah yang berada di dalam pelukannya adalah tubuh kecil milik Trisya.
            “Mama rindu...,”
            Hilang tabahnya. Hilang tenangnya. Dia sendirian melawan kesedihan. Sesekali apabila kesedihan itu muncul menyesak, tiada upaya untuk terus memujuk hati sendiri. Yang dia mampu hanyalah melayan tangisan sendirian.
            Pintu bilik terbuka perlahan. Humaira diam memandang. Sayu hatinya melihat keadaan Farisha. Tidak pasti apa puncanya, tetapi sebaik terpandang Farisha tergesa-gesa meninggalkan pelanggannya seketika tadi, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Perlahan dia bergerak mendekati Farisha.
            “Kau okay?,”
            Farisha menggeleng. Dia tidak okay. Dia gagal menjadi tenang seperti selalu.
            “Jangan macam ni,”
            Farisha tidak menjawab. Cuma tangisannya semakin meninggi. Melihat Farisha payah mengawal perasaannya, Humaira melabuhkan punggung di sisi. Tubuh Farisha dipeluk. Cuba mententeramkan kesedihan temannya itu.
            “Kenapa ni? Siapa lelaki tu? Apa dia cakap dengan kau sampai kau jadi macam ni? Atau... itu bekas suami kau ke?,”
            Jawapan yang diterima cuma satu gelengan perlahan. Tetapi, dapat dia rasakan Farisha membalas pelukannya. Menangis di bahunya. Tidak mahu mendesak, dia cuma membiarkan Farisha melepaskan perasaan di bahunya.
            “Dah okay sikit?,”dia bertanya lambat-lambat setelah esakan Farisha sedikit berkurangan.
            “Lelaki kat luar tu... dia nak jumpa kau,”
            Farisha menggeleng.
            “Siapa dia tu?,”
            “Kawan lama,”setelah berkali-kali soalan dijawab dengan esakan, akhirnya dia bersuara serak.
            “Kawan? Kalau kawan kenapa sampai macam ni?,”
            “Aku teringatkan Trisya. Aku tak boleh jumpa dia...,”
            Penjelasan Farisha masih terlalu kabur untuknya. Namun, saat ini, dia tidak boleh tumpukan perhatian pada Farisha.
            “Dia tunggu kat luar. Aku keluar beritahu dia?,”
            Farisha mengangguk.
            Humaira mengangkat punggung.
            “Thanks Maira,”
            “Makin lama, makin pelik kau ni,”
            Farisha diam. Humaira pula tidak menunggu lebih lama. Persoalan yang bermain di kepalanya, dia akan kemukakan pada Farisha nanti. Pasti.
           
******
[11:35:50 PM] hos.getah: