Monday, January 19, 2009

Pergilah Air Mata 36

“Kopi, abah,”
Datuk Hamidi mengangkat muka. Datin Hamidah tersenyum panjang.
“Hai… mimpi apa ni, mama? Tiba-tiba bawa kopi untuk abah? Dah lama tak dapat cawan kopi dari tangan mama,”Datuk Hamidi bersuara separuh bergurau.
Datin Hamidah tidak menjawab. Cuma mengambil tempat di sebelah suaminya sambil mengerling. Datuk Hamidi tersenyum panjang.
“Jamilah sibuk kemas dapur. Mama tolong bawakan,”Datin Hamidah akhirnya bersuara apabila melihat senyum panjang Datuk Hamidi bagai tidak mahu putus dari bibir.
“Patutlah…,”balas Datuk Hamidi berlagu.
“Mana menantu abah?,”
Datuk Hamidi menutup perlahan buku di tangan. Memandang wajah isterinya.
“Hai… menantu saya? Bukan menantu kita?,”
“Yalah. Menantu abahlah. Kenapa menantu kesayangan abah tu, biarkan Bad tu makan sorang-sorang?,”
Datuk Hamidi memandang wajah isterinya. Kemudian menjenguk ke arah ruang makan.
“Anak awak tengah makan ke tu?,”
“Ha ah. Makan sorang-sorang,”
“Baguslah tu. Menantu awak pula, mana? Tak ada pun temankan suami dia makan? Kata cinta separuh mati,”
Datin Hamidah mencebik. Diam. Datuk Hamidi pulangkan paku buah keras.
“Kata Cuma dua hari. Lepas tu jadi tiga hari. Sekarang ni, rasanya dah dekat seminggu menantu awak tu out station,”tambah Datuk Hamidi tersenyum. Sengaja mahu mengumpan marah isterinya itu.
“Menantu mama, menantu abah juga…,”
“Tahu pun. Kalau macam tu, menantu abah, menantu mama juga. Janganlah beza-bezakan. Dua-dua isteri Badrul. dua-dua menantu kita,”
“Mana ada saya bezakan?,”
Datuk Hamidi tersenyum kecil. Mulut isterinya sudah sedikit memuncung.
“Tarik panjang-panjang muncung tu. Nanti abah dah tak tahu mana satu hidung, mana satu mulut,”
“Abah ni!,”
Datuk Hamidi tergelak. Datin Hamidah menjeling. Usikan –usikan sebegitu seringkali membuat marah terbantut. Membuat rajuknya hilang di tengah jalan.
“Hai abah… bukan main suka Nampak..,”
Tawa Datuk Hamidi mereda. Mengalihkan perhatian pada Badrul. Pasti baru selesai menikmati hidangan makan malam.
“Isteri sampai dua. Tapi, makan seorang. Tak tahulah apa nak jadi dengan kamu ni Bad,”
Badrul menggaru kepala. Terasa menyesal pula dia menyapa bapanya itu. Kalau dia terus berlalu, pasti dia tidak perlu mendengar celoteh sinis bapanya ini. Kesilapan tanpa disedari.
“Saya naik dulu,”Badrul mula beralasan. Mahu melarikan diri dari kedua ibu bapanya.
“Sebentar. Abah nak cakap sikit,”
Badrul tidak jadi melangkah. Memandang wajah bapanya sebelum perlahan melabuhkan punggung ke sofa. Separuh terpaksa.
“Apa dia, abah?,”
“Sabrina macam mana? Kamu berdua ada masalah ke? Dah lama tak Nampak dia makan sekali dengan kamu,”
“Agaknya sebab kaki dia macam tu kot. Dia malas nak bergerak,”
“Abah bukan cakap sekarang. Sebelum kaki dia macam tu pun, abah perhatikan kamu berdua ni, macam saling mengelak. Kamu bertengkar ke?,”
Badrul diam. Prihatin sungguh bapanya ini. Kalau dia yang mengelak, pasti jawapannya salah. Sebab dia tidak pernah mengelak dari Sabrina. Tetapi, kalau Sabrina yang mengelak, itu dia sendiri tidak pasti.
“Tak adalah. Buat apa saya nak mengelak dari jumpa dia?,”
Datuk Hamidi diam seketika. Memerhati wajah anaknya. Menilai kebenaran kata-kata Badrul.
“Walaupun kamu dah kahwin dengan Dayana, Sabrina tu, tetap isteri kamu, Bad. Belajarlah terima dia. Kamu tak boleh buat dia macam tu,”
Badrul diam lagi. Kali ini sedikit mengeluh. Topic yang sama. Nada yang sama. Juga arahan yang sama.
“Saya tahu apa saya buat, abah,”
“Kamu tahu kan, berdosa kamu buat Sabrina macam tu,”
“Tengoklah nanti,”
Datuk Hamidi menggeleng perlahan. Menatap wajah anaknya dengan pandangan hampir putus-asa. Keras kepala.
“Abah tengok Sabrina tu, tak adalah teruk sangat budaknya. Sepanjang dia tinggal di sini, tak ada perbuatannya yang salah kat mata abah. Nampak macam budak baik. Semua orang ada buat salah. Itu perkara biasalah. Lupakan cerita lama. Buka buku baru,”panjang lebar Datuk Hamidi cuba berdiplomasi. Sungguh dia tidak suka dengan apa yang sedang berlaku antara Badrul dan Sabrina.
“Tanggungjawab kamu besar sekarang. Kamu tak boleh abaikan isteri kamu macam tu,”tambahnya apabila melihat wajah Badrul ternyata tidak berminat untuk terus mendengar.
“Nantilah saya fikirkan, abah,”
Datuk Hamidi diam.
“Itu hal si Sabrina. Hal Dayana tu pun, sesak dada mama tengok,”Datin Hamidah menyambung kebisuan suaminya. Kesempatan yang ada, seeloknya dia membuka mulut. Badrul mengeluh panjang.
“Dayana pula? Apa lagi ni, mama?,”
Datuk Hamidi tersenyum sinis. Membuka semula buku di tangan. Tidak mahu menyampuk percakapan isterinya. Cukup sekadar menjadi pendengar. Sebagaimana isterinya menjadi pendengar sebentar tadi.
“Kata dua hari. Lepas tu jadi tiga hari. Sekarang ni, dah dekat seminggu…,”
“Esok baliklah kot,”
“Kot? Boleh pula macam tu?,”
“Esok dia baliklah agaknya. Katanya kalau malam sampai di sini, dia bermalam rumah parents dia dulu,”
“Hah?!,”
Badrul diam. Tersasul. Habislah telinganya. Menyesal pada keterlanjuran sendiri.
“Dah tak ada suami ke dia?,”
“Tak apalah. Saya izinkan,”
“Bad…Bad… Bukan macam ni, cara kamu sayang isteri. Nanti hilang hormat dia pada kamu. Dah ada suami, suami yang jadi keutamaan. Bukan dia tak boleh nak pergi rumah mak ayah dia, dengan kamu kan? Banyak kali mama cakap. Dia kena tahu tanggungjawab dia,”
“Mestilah dia tahu, mama,”
“Kalau kerja, jarang sangat pulang awal. Out station sana- sini. Berhari-hari tinggalkan suami. Mana tanggungjawab dia sebagai isteri?,”
“Bukan selalu dia out station,”
“Kalau cakap pasal Dayana, semuanya betul kat mata kamu ya?,”
Badrul tersenyum hambar. Bukan masalah betul atau salah. Tetapi, masalah janji yang buat dia lebih terikat pada cara kerja Dayana. Dia sendiri kurang senang, namun, dia harus akur. Sebab dia telah mengangguk setuju untuk semua syarat Dayana.
“Nanti kalau dah ada anak, tak tahulah macam mana. Silap-silap anak dah tak kenal mamanya,”
Badrul menarik muka. Datuk Hamidi mengerling. Sesekali, bernas juga bebelan isterinya ini.
“Kalau pasal tanggungjawab isteri, memang patut kamu suruh Dayana tu belajar dengan mama kamu ni,”dia menyampuk juga akhirnya.
“Mama kamu dulu pun, kerja juga. Tapi, sebaik saja kahwin dengan abah, dia sanggup berhenti kerja. Tumpukan perhatian pada keluarga. Urus suami. Anak. Padahal dulu, masa kami baru kahwin, hidup kami bukanlah senang macam sekarang. Sanggup dia korbankan gaji besarnya sebab nak duduk di rumah jaga makan pakai abah. Sebab nak didik kamu. Nak jaga kamu,”
Badrul tersenyum. Memang ibunya menjadi suri bapanya sepenuh masa. Senyumnya semakin lebar menyedari senyum malu terukir di bibir ibunya itu. Pasti malu mendengar pujian demi pujian dari mulut suami sendiri. Datuk Hamidi pula tergelak kecil.
“Cuma, sejak dah senja sikit ni, perhatian tu dan macam kurang sikit. Nak hantar kopi pun, kena tunggu time pembantu rumah busy. Kalau tak, semua nak harapkan pembantu rumah. Agaknya sebab mama pun nak abah cari calon, tak?,”
“Abah! Jangan nak mengada,”
Badrul tergelak. Lembut tangan Datin Hamidah menampar lengan suaminya.
“Tak sedar ke diri tu dah tua? Ada hati nak cari lain?,”
Datuk Hamidi tergelak besar. Wajah Datin Hamidah sudah mencuka.
“Abah cakap calon apa? Mama fikir calon apa?,”
“Jangan nak gatal ya…,”
“Abah cakap, agaknya mama ni, perlukan calon pembantu rumah sorang lagi. Kalau dah Jamilah tu sibuk sangat, ada lagi sorang yang boleh tolong hantarkan kopi untuk abah. Mama pula boleh layan Astro. Layan pokok kaktus mama. Pokok bunga mama. Perhiasan perak mama…,”
“Yalah..yalah. Lain kali, mama sendiri yang sediakan makan minum abah. Macam dulu-dulu. Cakaplah terus-terang kalau nak mama buat semula semua tu. Janganlah nak sindir-sindir mama. Dahlah, mama nak naik tidur,”
Badrul tersengih. Datuk Hamidi masih tergelak. Datin Hamidah berlalu. Merajuk. Senyum Sabrina yang berselisih dengannya,langsung tidak dibalas. Laju melangkah meninggalkan ruang tamu.
“Kenapa dengan mama tu, abah?,”
Datuk Hamidi tersenyum. Wajah Sabrina yang sedikit kehairanan dipandang agak lama.
“Tak ada apa-apalah. Merajuk tu,”
Sabrina tersenyum. Berjengkit perlahan mengatur langkah.
“Marajuk?,”
“Ha ah,”jawab Datuk Hamidi sambil mengangkat punggung.
“Abah kena pergi pujuk mama tu. Bad, fikir apa abah cakap tadi. Cakap mama tu pun, semuanya betul,”
Badrul Cuma memandang kosong. Tidak memberi sebarang reaksi. Sabrina pula memandang Datuk Hamidi yang berlalu pergi, sebelum membawa pandangan ke wajah Badrul yang sedikit muram. Wajah muram sebegitu apabila bersembang dengan bapanya, bukanlah satu pemandangan luar biasa pada Sabrina.
“Awak okay ke?,”
Badrul bersandar ke sofa. Memandang wajah Sabrina.
“Okay. Aku okay. Kenapa? Nampak macam tak okay ke?,”
Sabrina tersenyum.
“Boleh saya duduk?,”
“Duduklah. Sejak bila nak duduk kena minta permission?,”
Sabrina tidak menjawab. Memang niatnya ingin mencari suasana yang lebih luas di ruang tamu. Bosan berkurung. Cuma, nasib sedikit tidak menyebelahinya apabila dia terpaksa berkongsi ruang dengan Badrul. Dengan hati-hati dia melabuhkan punggung ke sofa. Manatap kosong rancangan Inggeris di kaca televisyen.
“Kau dah makan ke? Kak Milah cakap kamu tak turun pun,”
Sabrina menggeleng.
“Saya diet. Tak nak makan malam…,”seloroh Sabrina bersama senyuman. Cuba bermesra dengan Badrul. Badrul tersenyum kecil.
“Tak payah dietlah. Bukan gemuk pun,”
Sabrina Cuma tersenyum tanpa menjawab. Merenung wajah Badrul dalam diam. Lelaki itu leka menonton televisyen. Semakin lama mengenali lelaki ini, rasanya sikap Badrul tidaklah sebengis mana. Mungkin lelaki ini sedikit baran. Itu memang tidak dapat dia nafikan. Dia kaku seketika apabila Badrul tiba-tiba menoleh padanya. Pipi membahang tiba-tiba. Tertangkap.
“Kenapa?,”soal Badrul sedikit hairan dengan renungan itu. Sabrina menggeleng.
“Lama betul Dayana out station…,”terpacul pernyataan berbaur soalan di bibirnya. Soalan yang tidak dirancang. Sekadar menutup perasaan malunya.
“Bukan masalah kau,”
Mulut Sabrina terkunci mendengar jawapan sinis Badrul. Badrul tidak pernah mahu bercakap tentang Dayana dengannya.
“Awak berdua tak ada masalah kan?,”dia membuka soalan lagi. Soalan yang sekali lagi mengalih kosentrasi Badrul pada TV.
“Apa maksud kau?,”
“Yalah. Maksud saya…awak…awak bahagia kan?,”
“Of course. Aku kahwin dengan perempuan yang aku cinta, kenapa pula aku tak rasa bahagia?,”
Telusnya jawapan Badrul. Jawapan yang membuat hati Sabrina pedih tiba-tiba. Tidak sepatutnya dia tanyakan soalan itu. namun, sekurang-kurangnya dia semakin jelas dengan perasaan Badrul.
“Kenapa kau Tanya semua ni?,”
Sabrina menggeleng sambil tersenyum kelat.
“Tak mungkin kau Tanya tanpa sebab. Apa sebabnya?,”Badrul membetulkan duduknya. Hatinya bagai memberitahu ada sesuatu yang sedang bermain di fikiran gadis itu. Pandangannya kini ditumpukan pada seraut wajah yang sudah sedikit resah itu.
“Sabrina…,”
Sabrina tunduk. Berkira-kira untuk meluahkan apa yang dia rasa. Sudah cukup lama rasanya dia melihat kebahagiaan Badrul dan isteri kesayangannya. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia bersuara lagi. Bersuara tentang letak duduknya hubungan mereka. Dia tidak mahu selamanya berkurung di sini atas ikatan yang tidak pernah Badrul hargai ini. Kalau masih ada sisa dendam dan sakit hati, dia berharap Badrul dapat lupakan segalanya kini.
“I’m waiting. Dan, aku cukup benci menunggu. Kau maklum itu, kan?,”
Perlahan Sabrina mengangkat muka.
“Kalau saya cakap, awak jangan marah ya?,”
Badrul membuang pandang. Memalingkan tubuhnya menghadap Sabrina. Sabrina mula berdolak-dalik. Satu situasi yang cukup dia tidak suka.
“Kau tak cakap pun, dah boleh buat aku marah. So, tak ada beza. Baik kau cakap saja. Straight to the point,”
“Sebelum awak kahwin dengan Dayana, Dayana ada cakap dengan saya…,”
“Cakap apa?,”
“Sampai masa, awak akan lepaskan…,”
“No,”pantas Badrul menjawab. Sudah tahu apa yang ingin Sabrina katakan. Dan, dia tidak mahu bercakap mengenainya.
“Tapi…,”
“I said no,”perlahan jawapan Badrul sambil mengalihkan pandangan ke kaca televisyen. Berharap Sabrina akan mengerti dan akan diam.
“Awak dah janji kan?,”
“Diam. Aku tak nak cakap pasal ni,”
“Kenapa?,”
Kenapa? Dia sendiri pun tidak tahu. Yang dia tahu, dia jadi kurang senang setiap kali hal ini dibangkit. Lebih-lebih lagi dari mulut Sabrina. Hal ini mampu membuat ketenangannya berkocak.
“Kenapa awak tak nak cakap pasal ni?,”sekali lagi Sabrina bertanya.
“Sebab aku tak nak cakap. The end,”
“Mana boleh tak nak cakap. Sampai masa kita kena cakap juga pasal semua ni,”
Lembut suara Sabrina menerjah ke telinganya. Dan, dia tidak mahu mendengar suara itu, kalau topic ini yang meniti di bibir Sabrina.
“Aku kata diam. Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Aku nak tengok TV,”
Sabrina mengerutkan kening. Sedikit geram melihat wajah selamba Badrul. reaksi Badrul seolah-olah topic yang sedang mereka bualkan ini, bukanlah satu topic penting.
“Saya Cuma nak awak tunaikan janji awak,”
“Aku tak akan tunaikan,”
“Tapi, kenapa?,”
“Aku tak ada jawapannya sekarang,”
“Awak tak boleh buat saya macam ni,”Sabrina bersuara lagi. Tidak berpuas hati dengan jawapan Badrul yang langsung tidak boleh diterima. Tidak ada jawapan?
“Sabrina. Diam,” Badrul mengulangi amaran yang sama. Memandang wajah Sabrina yang kelihatan memang tidak mahu akur pada arahannya.
“Tak nak. Saya tak nak diam. Dah lama awak kahwin dengan Dayana. Awak cakap awak bahagia dengan Dayana. Takkan awak masih marahkan saya? Takkan awak tak boleh maafkan saya…,”
“Shut up,”perlahan amaran meniti lagi di bibir Badrul. Sabrina merenung wajah Badrul dengan pandangan yang tidak mengerti.
“Kenapa awak macam ni? Lupakan semua tu. Lepaskan saya…Biar saya teruskan hidup saya. Awak kan dah bahagia dengan Dayana,”
“Sabrina. I warn you. Diam. End of discussion, okay,”
“No. Belum habis lagi. Mana boleh awak cakap dah habis. Awak tak boleh selamanya lari dari hal ni,”
“Sabrina. Diam,”
“Awak mesti buat keputusan. Sampai masa, awak kena juga…,”
Kata-kata Sabrina terputus. Terus terdiam apabila sepantas kilat bibir Badrul melekat di bibirnya. Sekejap. Namun mampu membuat dia tersentak. Terkejut yang bukan sedikit. Melihat wajah Sabrina yang jelas terperanjat besar, Badrul tersenyum puas.
“Good girl. Pandai pun diam,”
Sabrina terkebil-kebil. Badrul mengangkat punggung. Menoleh seketika pada Sabrina yang masih terdiam.
“Aku tak nak cakap pasal ni lagi. At least bukan masa terdekat ni. Aku harap kau faham,”
Sabrina tetap kelu. Cuma memandang kosong Badrul yang melangkah meninggalkannya. Perlahan dia menyentuh bibirnya.
“Jahat…,”sepatah perkataan itu akhirnya meluahkan perasaan yang terbuku. Meraup perlahan wajahnya yang terasa membahang.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: