Monday, April 19, 2010

Sekadar Di hati...8

Hashimah bungkam. Kelu sebenarnya. Matanya dikerling ke arah Najwa yang menunduk.

“Aja tak pernah cerita pada makcik pun. Kamu datang hari tu pun, dia tak cakap apa-apa,”

“Aja selalu menolak. Katanya dia nak lepaskan semua adik-adik habis belajar. Sebab tu saya buat terpaksa buat keputusan terburu-buru macam ni. Saya terus cakap dengan makcik. Aja pun belum tahu apa-apa. Kalau saya bincang dengan Aja dulu, dia mesti tak setuju. Makcik, saya nak kahwin dengan Aja. Secepat yang mungkin. Makcik jangan risau. Saya berkahwin dengan Aja bermakna saya ambil segala tanggungjawab Aja,”

“Bukan risau. Cuma makcik terkejut. Mengejut sangat,”

Luqman tersenyum.

“Saya tahu, makcik. Saya datang untuk beritahu makcik niat saya. Saya berharap sangat makcik tak halang dan izinkan keluarga saya datang meminang. Kemudian langsungkan terus pernikahan kami,”

Hashimah mengeluh panjang. Benar-benar di luar jangkaannya kedatangan Luqman kali ini membawa hajat besar. Sekali lagi dia menoleh memandang Najwa yang terus membisu dari tadi.

“Kenapa Aja tak pernah cerita pada mak?,”

Najwa mengangkat muka. Merenung wajah tenang itu. Apa yang hendak dia katakan? Diam? Itu bukan penyelesaiannya.

“Aja tak nak mak susah hati. Kalau Aja kahwin, mesti mak risau pasal sekolah adik-adik. Sebab tu, Aja diam dulu. Tak sangka abang Man tiba-tiba buka mulut kat mak pula,”lambat-lambat bibirnya turut mengalun pembohongan. Dia terpaksa berbohong. Dia dapat melihat sejauh mana Luqman berusaha untuk memperlihatkan tiada kepincangan dalam dirinya. Sebolehnya Luqman melindungi dirinya. Dan demi ibunya, rasanya bibirnya juga harus berbohong. Matanya menikam wajah Luqman yang tenang. Sungguh. Dia gagal menebak apa yang sedang bermain di hati lelaki itu.

“Hmm… itu kan masa depan kamu juga. Kamu boleh kongsi dengan mak, Aja,”

Najwa diam. Tunduk sekali lagi.

“Saya nak nikah secepat yang mungkin, makcik,”

Hashimah memalingkan muka. Merenung wajah anak muda di hadapannya itu. Tingkah Luqman, langsung tiada cela. Anak muda itu baik. Berbudi bahasa. Tiada sebab untuk dia menolak kalau memang itu pilihan Najwa. Namun, permintaan Luqman membuat dia sedikit goyah.

“Kenapa cepat sangat? Nanti pelik pula orang kampung tengok. Jadi fitnah nanti,”

Najwa kaku. Soalan ibunya membuat dia gerun. Membuat dia sedih. Betapa ibunya terlalu risaukan tohmahan orang. Tetapi, hakikatnya, sugunung malu telah dia letakkan di bahu wanita tua itu.

“Benda elok, buat apa nak ditangguh-tangguh, makcik?,”

“Aja setuju ke?,”

Najwa telan liur. Perlahan mengangkat muka. memandang wajah Luqman yang tersenyum senang. Kemudian memandang pula wajah ibunya yang menanti jawapan.

“Aja ikut aje,”akhirnya Cuma itu yang mampu diluahkan.

“Mak kamu cakap apa? Dia dah tahu ke?,”soalan Hashimah tertuju pula pada Luqman.

“Dah. Tunggu keputusan makcik saja. Kalau makcik setuju, kami akan uruskan majlis nanti. Mungkin kita buat majlis kecil dulu makcik sebab sekarang ni saya sibuk dengan kerja. Bila kerja dah selesai, kita boleh langsungkan majlis yang lebih besar,”

“Memang serius ke kamu nak kahwin cepat ni?,”

Luqman tersenyum.

“Kalau ikutkan saya, dah lama dulu lagi, saya nak kahwin, makcik. Saya serius. Sementara Aja rasa nak setuju, baik saya langsungkan cepat-cepat. Nanti, dia buat tak nak kahwin lagi, lama lagi saya terpaksa menunggu,”seloroh Luqman bersama senyum lebar. Membuat senyum yang sama turut terukir di bibir Hashimah.

Najwa pula diam seribu bahasa. Sungguh. Perbincangan itu perlahan-lahan membuat hatinya hancur. Membuat penyesalannya bagai tidak bertepi. Andai dia tidak khilaf. Andai dia tidak meletakkan seratus peratus kepercayaan pada Zarith, Luqman tidak perlu berkorban sebegini untuknya. Dia juga tidak perlu berbohong pada ibunya sebegitu. Sekali lagi dia dibuai rasa sedih. Sungguh dia menyesal. Menyesal yang bukan sedikit. Tanpa sedar, jemarinya menyentuh perut. Mengingatkan dirinya ada nyawa sedang berkongsi jasad dengannya. Mengingatkan dirinya ada dosa yang dia tidak pasti bakal tertebus atau tidak. Ada hati yang bakal terluka. Ada kehidupan yang bakal terkorban. Semuanya kerana kesilapannya. Dalam diam dia memandang wajah Luqman. Kosong renungannya. Menikmati senyum dan bicara lelaki itu dengan ibunya. Apa yang dibicarakan, dia sudah tidak ambil peduli. Keluhuran hati lelaki itu benar-benar membuat dia mati akal. Mahu menolak. Hal yang terjadi terlalu besar untuk dia abaikan pertolongan yang Luqman sudi hulurkan. Untuk menerima? Terasa hatinya tidak mampu membenarkan Luqman memusnahkan masa depan sendiri demi menutup aib yang dia cipta. Sukarnya pilihan yang dia ada kini.

“Maafkan saya, abang…,”hatinya berbisik perlahan.

“Aja dah bersedia ke nak jadi isteri orang?,”

“Hah?,”sedikit terpinga-pinga dia menyambut soalan ibunya. Fokusnya bukan pada perbincangan Luqman dan ibunya. Fikirannya tenat memikirkan pengorban Luqman yang tidak tahu bagaimana harus dia balas.

“Mak Tanya, Aja dah betul-betul bersedia ke nak jadi isteri orang? Perkahwinan ni, bukan perkara main-main. Aja kena fikir masak-masak. Mak tak nak nanti, separuh jalan, macam-macam masalah yang timbul,”

“Entah,”terpacul jawapan itu tanpa sedar. Membuat Hashimah mengeluh perlahan.

“Itu yang mak tak nak dengar tu…,”

Najwa tersenyum kecil.

“Aja tahu niat abang Man ikhlas. Aja yakin abang Man takkan kecewakan Aja dan mak. Aja ikut saja, mak,”

“Betul ni?,”

Najwa diam. Mengerling pada Luqman yang tersenyum panjang. Tiba-tiba ada sedikit rasa segan untuk dia mengiyakan. Sudahnya hanya sekuntum senyum nipis yang mampu dia hulurkan buat ibunya.

“Kalau begitu kehendak kamu berdua, mak ikut saja. Jemputlah keluarga Man ke sini. Boleh kita bincang elok-elok,”

Luqman menghela nafas lega.

“Terima kasih, makcik,”

Hashimah tersenyum. Memandang wajah-wajah di hadapannya. Tidak sangka secepat itu anak gadisnya mahu mengakhiri zaman daranya.



****

“Kenapa bang?,”

Luqman mengerling seketika. Kemudian tumpuannya kembali ke jalan raya. Memandu dengan cermat.

“Kenapa apa?,”

“Abang tak bincang dengan saya dulu pun. Tiba-tiba ajak saya jumpa mak. Rupa-rupanya abang nak cakap pasal ni,”

Luqman tersenyum.

“Kenapa? Aja tak setuju?,”

Najwa mengeluh perlahan. memandang terus ke hadapan.

“Memang saya tak setuju bang. Tapi, saya tak boleh menolak. Saya tahu abang nak tolong saya. Tapi…pertolongan abang ni….,”kata-katanya putus di situ. Dia menoleh. Memandang wajah Luqman dari sisi.

“Saya ni selfish ke bang? Kejam ke saya ni bang?,”soalan itu meniti di bibirnya.

Luqman tersenyum.

“Kenapa Aja Tanya macam tu?,”

“Saya sedang musnahkan masa depan abang. Abang nak hulurkan bantuan. Saya boleh menolak. Saya boleh cakap saya tak setuju depan mak tadi. Tapi, sebab takut hadapi kenyataan, saya sanggup setuju. Jahat ke saya, bang?,”

“Aja… dengar sini. Aja tak jahat. Aja tak selfish. Abang tak rasa pun masa depan abang musnah,”

“Saya tak layak untuk abang…,”

“Siapa kita untuk menilai begitu. Abang buat keputusan bukan tergesa-gesa. Abang dah fikir masak-masak. Abang yakin dengan keputusan abang. Abang nak tolong Aja. Abang nak pastikan peristiwa ni tak akan buat Aja terus tersungkur,”

Najwa diam. Terharu mendengar penjelasan itu.

“Kenapa abang baik sangat ya?,”perlahan soalan itu meniti di bibirnya.

“Tak gembira ke, dapat suami baik?,”senda Luqman bersama senyum lebar.

“Kenapa Zarith tak macam abang?,”

“Jangan kesalkan itu semua…,”

Najwa terus diam. Gurau Luqman tidak membawa senyum di bibirnya. Kata-kata Luqman pula terus mematikan hasratnya untuk terus berbual.

“Mak abang mesti tak setuju kan?,”setelah agak lama membisu, soalan meluncur dari bibirnya.

Luqman menoleh. Wajah sendu itu direnung seketika.

“Abang tak nak bohong pada Aja. Tapi, abang nak Aja tahu yang mama tak boleh halang niat abang,”

“Kan tak baik abang buat macam tu kat mak abang?,”

“Susah nak tentukan soal baik dan tak baik tu, Aja. Tindakan mama abang pada Aja pun, tak baik juga. Kalau boleh, abang nak mama lebih bertanggungjawab. Abang berdoa, satu hari nanti, mama akan akan restui perkahwinan kita dengan ikhlas,”

“Aja dah menyusahkan ramai orang…,”

Luqman mencari wajah Najwa. Tersentuh dengan luahan perasaan Najwa. Tiba-tiba terasa dia begitu hampir dengan gadis itu apabila ganti nama saya sudah tiada di bibir Najwa. Dia tersenyum.

“Jangan pesimis macam ni. Aja tak susahkan sesiapa. Aja diduga dan Aja kena kuat tempuhi dugaan ni. Mungkin ini semua bermula dari kesilapan Aja. Dan Zarith. Tapi, Aja tak boleh beralah dengan kesilapan tu. Aja kena bangun dan betulkan keadaan. Kalau Aja betul-betul menyesal, Aja kena bertaubat. Berjanji tak akan ulang kesilapan yang sama lagi. Itu lebih baik daripada Aja asyik menyesali diri. Asyik menyalahkan diri sendiri,”

Najwa diam. Memandang Luqman sambil mencerna segunung nasihat dari lelaki itu.

“Kalau Aja tak jumpa abang, Aja tak tahulah macam mana Aja nak hadapi semua ni,”

“Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Kan?,”

Najwa tersenyum kecil.

“Mungkin Aja dah mati. Kan? Kena langgar kereta,”

Luqman tersenyum.

“Mungkin Aja kat hospital dengan kaki dan tangan tergantung…,”

Najwa tergelak. Tiba-tiba terbayang dia terbaring di katil hospital dengan kaki dan tangan tergantung.

“Pandai pun ketawa…,”

Usikan Luqman kali ini, mampu membuat senyum terukir di bibirnya.

“Masa tu, Aja yakin je, Aja akan mati. Tak terfikir pun kemungkinan Aja cedera aje. Cacat ke lepas kemalangan tu,”

“Sebab masa tu syaitan berusaha keras yakinkan Aja itu saja jalan penyelesaian yang ada. Menyesatkan tu, kerja syaitan,”

Najwa mengangguk perlahan. Sedar betapa bodohnya tindakan dia tempoh hari.

“Bodoh betul Aja ni. Kan?,”

“Tak bodohlah…. Cuma kurang cerdik sikit,”

“Samalah tu,”ujar Najwa tersenyum. Selamba saja Luqman membuat komentar.

“Terima kasih ya bang. Sebab selamatkan Aja hari tu,”sambungnya lembut.

Luqman menarik nafas dalam. Melemparkan senyum pada gadis yang sudah mula mahu bercakap panjang dengannya itu.

“Terima kasih pada ALLAH. Bersyukur pada ALLAH sebab Dia masih sayangkan Aja. Dia masih mahu beri Aja peluang untuk Aja tebus kesilapan Aja,”

Najwa mengangguk lagi. Betul kata Luqman. Kalaulah nyawanya tercabut dari badan waktu itu, tiada kesempatan untuk dia sujud memohon ampun. Lebih buruk, dia akan mati dalam dosa yang melimpah – ruah. Mata dipejamkan sambil menekan dada. Nauzubillah!

“Kenapa Aja? Pening ke? Nak muntah? Abang berhentikan kereta kalau Aja nak muntah,”

Najwa membuka mata. Menggeleng perlahan.

“Betul ni?,”

“Betul. Kenapa? Abang takut Aja muntah dalam kereta abang ni ya?,”usiknya sambil tersenyum. Membuat Luqman turut tersenyum.

“Ke situ pula dia…,”

“Aja gurau,”

“Baguslah,”

“Apa yang bagus?,”

“Aja dah pandai bergurau…,”

Najwa tersenyum. Gembira? Entahlah. Tetapi, kehadiran Luqman mampu membuat dia berasa tenang. Berasa segalanya akan berubah menjadi baik. Cuma satu perkara yang perlu dia ingat. Pengorbanan Luqman terlalu besar. Terlalu besar sehingga dia gerun untuk menerimanya.

“Kenapa bang?,”sekali lagi dia bertanya.

“Kenapa apa pula kali ni?,”

“Kita kenal tak sampai dua minggu. Abang nekad nak kahwin dengan Aja?,”

“Tuhan lebih tahu sebabnya. Abang tak boleh jawab soalan tu,”

“Kita kahwin sampai bila bang?,”sekali lagi dia bertanya.

Luqman menoleh. Sedikit terkejut dengan soalan itu.

“Kenapa tanya macam tu?,”

Najwa menggeleng. Lebih baik dia diam rasanya.

“Aja nak tidur kejap,”

“Tidurlah. Nanti sampai di kawasan rehat Temerloh, abang kejutkan Aja,”

Najwa diam. Berpaling sambil sandarkan kepala ke kerusi. Membiarkan Luqman terus memandu.





****

[11:35:50 PM] hos.getah: