Monday, April 19, 2010

Sekadar Di hati...8

Hashimah bungkam. Kelu sebenarnya. Matanya dikerling ke arah Najwa yang menunduk.

“Aja tak pernah cerita pada makcik pun. Kamu datang hari tu pun, dia tak cakap apa-apa,”

“Aja selalu menolak. Katanya dia nak lepaskan semua adik-adik habis belajar. Sebab tu saya buat terpaksa buat keputusan terburu-buru macam ni. Saya terus cakap dengan makcik. Aja pun belum tahu apa-apa. Kalau saya bincang dengan Aja dulu, dia mesti tak setuju. Makcik, saya nak kahwin dengan Aja. Secepat yang mungkin. Makcik jangan risau. Saya berkahwin dengan Aja bermakna saya ambil segala tanggungjawab Aja,”

“Bukan risau. Cuma makcik terkejut. Mengejut sangat,”

Luqman tersenyum.

“Saya tahu, makcik. Saya datang untuk beritahu makcik niat saya. Saya berharap sangat makcik tak halang dan izinkan keluarga saya datang meminang. Kemudian langsungkan terus pernikahan kami,”

Hashimah mengeluh panjang. Benar-benar di luar jangkaannya kedatangan Luqman kali ini membawa hajat besar. Sekali lagi dia menoleh memandang Najwa yang terus membisu dari tadi.

“Kenapa Aja tak pernah cerita pada mak?,”

Najwa mengangkat muka. Merenung wajah tenang itu. Apa yang hendak dia katakan? Diam? Itu bukan penyelesaiannya.

“Aja tak nak mak susah hati. Kalau Aja kahwin, mesti mak risau pasal sekolah adik-adik. Sebab tu, Aja diam dulu. Tak sangka abang Man tiba-tiba buka mulut kat mak pula,”lambat-lambat bibirnya turut mengalun pembohongan. Dia terpaksa berbohong. Dia dapat melihat sejauh mana Luqman berusaha untuk memperlihatkan tiada kepincangan dalam dirinya. Sebolehnya Luqman melindungi dirinya. Dan demi ibunya, rasanya bibirnya juga harus berbohong. Matanya menikam wajah Luqman yang tenang. Sungguh. Dia gagal menebak apa yang sedang bermain di hati lelaki itu.

“Hmm… itu kan masa depan kamu juga. Kamu boleh kongsi dengan mak, Aja,”

Najwa diam. Tunduk sekali lagi.

“Saya nak nikah secepat yang mungkin, makcik,”

Hashimah memalingkan muka. Merenung wajah anak muda di hadapannya itu. Tingkah Luqman, langsung tiada cela. Anak muda itu baik. Berbudi bahasa. Tiada sebab untuk dia menolak kalau memang itu pilihan Najwa. Namun, permintaan Luqman membuat dia sedikit goyah.

“Kenapa cepat sangat? Nanti pelik pula orang kampung tengok. Jadi fitnah nanti,”

Najwa kaku. Soalan ibunya membuat dia gerun. Membuat dia sedih. Betapa ibunya terlalu risaukan tohmahan orang. Tetapi, hakikatnya, sugunung malu telah dia letakkan di bahu wanita tua itu.

“Benda elok, buat apa nak ditangguh-tangguh, makcik?,”

“Aja setuju ke?,”

Najwa telan liur. Perlahan mengangkat muka. memandang wajah Luqman yang tersenyum senang. Kemudian memandang pula wajah ibunya yang menanti jawapan.

“Aja ikut aje,”akhirnya Cuma itu yang mampu diluahkan.

“Mak kamu cakap apa? Dia dah tahu ke?,”soalan Hashimah tertuju pula pada Luqman.

“Dah. Tunggu keputusan makcik saja. Kalau makcik setuju, kami akan uruskan majlis nanti. Mungkin kita buat majlis kecil dulu makcik sebab sekarang ni saya sibuk dengan kerja. Bila kerja dah selesai, kita boleh langsungkan majlis yang lebih besar,”

“Memang serius ke kamu nak kahwin cepat ni?,”

Luqman tersenyum.

“Kalau ikutkan saya, dah lama dulu lagi, saya nak kahwin, makcik. Saya serius. Sementara Aja rasa nak setuju, baik saya langsungkan cepat-cepat. Nanti, dia buat tak nak kahwin lagi, lama lagi saya terpaksa menunggu,”seloroh Luqman bersama senyum lebar. Membuat senyum yang sama turut terukir di bibir Hashimah.

Najwa pula diam seribu bahasa. Sungguh. Perbincangan itu perlahan-lahan membuat hatinya hancur. Membuat penyesalannya bagai tidak bertepi. Andai dia tidak khilaf. Andai dia tidak meletakkan seratus peratus kepercayaan pada Zarith, Luqman tidak perlu berkorban sebegini untuknya. Dia juga tidak perlu berbohong pada ibunya sebegitu. Sekali lagi dia dibuai rasa sedih. Sungguh dia menyesal. Menyesal yang bukan sedikit. Tanpa sedar, jemarinya menyentuh perut. Mengingatkan dirinya ada nyawa sedang berkongsi jasad dengannya. Mengingatkan dirinya ada dosa yang dia tidak pasti bakal tertebus atau tidak. Ada hati yang bakal terluka. Ada kehidupan yang bakal terkorban. Semuanya kerana kesilapannya. Dalam diam dia memandang wajah Luqman. Kosong renungannya. Menikmati senyum dan bicara lelaki itu dengan ibunya. Apa yang dibicarakan, dia sudah tidak ambil peduli. Keluhuran hati lelaki itu benar-benar membuat dia mati akal. Mahu menolak. Hal yang terjadi terlalu besar untuk dia abaikan pertolongan yang Luqman sudi hulurkan. Untuk menerima? Terasa hatinya tidak mampu membenarkan Luqman memusnahkan masa depan sendiri demi menutup aib yang dia cipta. Sukarnya pilihan yang dia ada kini.

“Maafkan saya, abang…,”hatinya berbisik perlahan.

“Aja dah bersedia ke nak jadi isteri orang?,”

“Hah?,”sedikit terpinga-pinga dia menyambut soalan ibunya. Fokusnya bukan pada perbincangan Luqman dan ibunya. Fikirannya tenat memikirkan pengorban Luqman yang tidak tahu bagaimana harus dia balas.

“Mak Tanya, Aja dah betul-betul bersedia ke nak jadi isteri orang? Perkahwinan ni, bukan perkara main-main. Aja kena fikir masak-masak. Mak tak nak nanti, separuh jalan, macam-macam masalah yang timbul,”

“Entah,”terpacul jawapan itu tanpa sedar. Membuat Hashimah mengeluh perlahan.

“Itu yang mak tak nak dengar tu…,”

Najwa tersenyum kecil.

“Aja tahu niat abang Man ikhlas. Aja yakin abang Man takkan kecewakan Aja dan mak. Aja ikut saja, mak,”

“Betul ni?,”

Najwa diam. Mengerling pada Luqman yang tersenyum panjang. Tiba-tiba ada sedikit rasa segan untuk dia mengiyakan. Sudahnya hanya sekuntum senyum nipis yang mampu dia hulurkan buat ibunya.

“Kalau begitu kehendak kamu berdua, mak ikut saja. Jemputlah keluarga Man ke sini. Boleh kita bincang elok-elok,”

Luqman menghela nafas lega.

“Terima kasih, makcik,”

Hashimah tersenyum. Memandang wajah-wajah di hadapannya. Tidak sangka secepat itu anak gadisnya mahu mengakhiri zaman daranya.



****

“Kenapa bang?,”

Luqman mengerling seketika. Kemudian tumpuannya kembali ke jalan raya. Memandu dengan cermat.

“Kenapa apa?,”

“Abang tak bincang dengan saya dulu pun. Tiba-tiba ajak saya jumpa mak. Rupa-rupanya abang nak cakap pasal ni,”

Luqman tersenyum.

“Kenapa? Aja tak setuju?,”

Najwa mengeluh perlahan. memandang terus ke hadapan.

“Memang saya tak setuju bang. Tapi, saya tak boleh menolak. Saya tahu abang nak tolong saya. Tapi…pertolongan abang ni….,”kata-katanya putus di situ. Dia menoleh. Memandang wajah Luqman dari sisi.

“Saya ni selfish ke bang? Kejam ke saya ni bang?,”soalan itu meniti di bibirnya.

Luqman tersenyum.

“Kenapa Aja Tanya macam tu?,”

“Saya sedang musnahkan masa depan abang. Abang nak hulurkan bantuan. Saya boleh menolak. Saya boleh cakap saya tak setuju depan mak tadi. Tapi, sebab takut hadapi kenyataan, saya sanggup setuju. Jahat ke saya, bang?,”

“Aja… dengar sini. Aja tak jahat. Aja tak selfish. Abang tak rasa pun masa depan abang musnah,”

“Saya tak layak untuk abang…,”

“Siapa kita untuk menilai begitu. Abang buat keputusan bukan tergesa-gesa. Abang dah fikir masak-masak. Abang yakin dengan keputusan abang. Abang nak tolong Aja. Abang nak pastikan peristiwa ni tak akan buat Aja terus tersungkur,”

Najwa diam. Terharu mendengar penjelasan itu.

“Kenapa abang baik sangat ya?,”perlahan soalan itu meniti di bibirnya.

“Tak gembira ke, dapat suami baik?,”senda Luqman bersama senyum lebar.

“Kenapa Zarith tak macam abang?,”

“Jangan kesalkan itu semua…,”

Najwa terus diam. Gurau Luqman tidak membawa senyum di bibirnya. Kata-kata Luqman pula terus mematikan hasratnya untuk terus berbual.

“Mak abang mesti tak setuju kan?,”setelah agak lama membisu, soalan meluncur dari bibirnya.

Luqman menoleh. Wajah sendu itu direnung seketika.

“Abang tak nak bohong pada Aja. Tapi, abang nak Aja tahu yang mama tak boleh halang niat abang,”

“Kan tak baik abang buat macam tu kat mak abang?,”

“Susah nak tentukan soal baik dan tak baik tu, Aja. Tindakan mama abang pada Aja pun, tak baik juga. Kalau boleh, abang nak mama lebih bertanggungjawab. Abang berdoa, satu hari nanti, mama akan akan restui perkahwinan kita dengan ikhlas,”

“Aja dah menyusahkan ramai orang…,”

Luqman mencari wajah Najwa. Tersentuh dengan luahan perasaan Najwa. Tiba-tiba terasa dia begitu hampir dengan gadis itu apabila ganti nama saya sudah tiada di bibir Najwa. Dia tersenyum.

“Jangan pesimis macam ni. Aja tak susahkan sesiapa. Aja diduga dan Aja kena kuat tempuhi dugaan ni. Mungkin ini semua bermula dari kesilapan Aja. Dan Zarith. Tapi, Aja tak boleh beralah dengan kesilapan tu. Aja kena bangun dan betulkan keadaan. Kalau Aja betul-betul menyesal, Aja kena bertaubat. Berjanji tak akan ulang kesilapan yang sama lagi. Itu lebih baik daripada Aja asyik menyesali diri. Asyik menyalahkan diri sendiri,”

Najwa diam. Memandang Luqman sambil mencerna segunung nasihat dari lelaki itu.

“Kalau Aja tak jumpa abang, Aja tak tahulah macam mana Aja nak hadapi semua ni,”

“Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Kan?,”

Najwa tersenyum kecil.

“Mungkin Aja dah mati. Kan? Kena langgar kereta,”

Luqman tersenyum.

“Mungkin Aja kat hospital dengan kaki dan tangan tergantung…,”

Najwa tergelak. Tiba-tiba terbayang dia terbaring di katil hospital dengan kaki dan tangan tergantung.

“Pandai pun ketawa…,”

Usikan Luqman kali ini, mampu membuat senyum terukir di bibirnya.

“Masa tu, Aja yakin je, Aja akan mati. Tak terfikir pun kemungkinan Aja cedera aje. Cacat ke lepas kemalangan tu,”

“Sebab masa tu syaitan berusaha keras yakinkan Aja itu saja jalan penyelesaian yang ada. Menyesatkan tu, kerja syaitan,”

Najwa mengangguk perlahan. Sedar betapa bodohnya tindakan dia tempoh hari.

“Bodoh betul Aja ni. Kan?,”

“Tak bodohlah…. Cuma kurang cerdik sikit,”

“Samalah tu,”ujar Najwa tersenyum. Selamba saja Luqman membuat komentar.

“Terima kasih ya bang. Sebab selamatkan Aja hari tu,”sambungnya lembut.

Luqman menarik nafas dalam. Melemparkan senyum pada gadis yang sudah mula mahu bercakap panjang dengannya itu.

“Terima kasih pada ALLAH. Bersyukur pada ALLAH sebab Dia masih sayangkan Aja. Dia masih mahu beri Aja peluang untuk Aja tebus kesilapan Aja,”

Najwa mengangguk lagi. Betul kata Luqman. Kalaulah nyawanya tercabut dari badan waktu itu, tiada kesempatan untuk dia sujud memohon ampun. Lebih buruk, dia akan mati dalam dosa yang melimpah – ruah. Mata dipejamkan sambil menekan dada. Nauzubillah!

“Kenapa Aja? Pening ke? Nak muntah? Abang berhentikan kereta kalau Aja nak muntah,”

Najwa membuka mata. Menggeleng perlahan.

“Betul ni?,”

“Betul. Kenapa? Abang takut Aja muntah dalam kereta abang ni ya?,”usiknya sambil tersenyum. Membuat Luqman turut tersenyum.

“Ke situ pula dia…,”

“Aja gurau,”

“Baguslah,”

“Apa yang bagus?,”

“Aja dah pandai bergurau…,”

Najwa tersenyum. Gembira? Entahlah. Tetapi, kehadiran Luqman mampu membuat dia berasa tenang. Berasa segalanya akan berubah menjadi baik. Cuma satu perkara yang perlu dia ingat. Pengorbanan Luqman terlalu besar. Terlalu besar sehingga dia gerun untuk menerimanya.

“Kenapa bang?,”sekali lagi dia bertanya.

“Kenapa apa pula kali ni?,”

“Kita kenal tak sampai dua minggu. Abang nekad nak kahwin dengan Aja?,”

“Tuhan lebih tahu sebabnya. Abang tak boleh jawab soalan tu,”

“Kita kahwin sampai bila bang?,”sekali lagi dia bertanya.

Luqman menoleh. Sedikit terkejut dengan soalan itu.

“Kenapa tanya macam tu?,”

Najwa menggeleng. Lebih baik dia diam rasanya.

“Aja nak tidur kejap,”

“Tidurlah. Nanti sampai di kawasan rehat Temerloh, abang kejutkan Aja,”

Najwa diam. Berpaling sambil sandarkan kepala ke kerusi. Membiarkan Luqman terus memandu.





****

19 comments:

Anonymous said...

hi, da ada sambungan...thanks...nak tau cter ni ngan lebih lanjut..gudluck yer...

Hana_aniz said...

huhuhu.. suka citer ni!

mim said...

awakkkk..
ada ke insan sebaik Luqman nie wak..
hmm..Moga Allah meramaikan insan bernama LELAKI yang lebih bertanggungjawab!! Aminn

Siti Soleha Yahaya said...

Baiknya Lukman...
Moga kehidupan mereka berdua bahagia selama...
Terima kasih Hanni krn berjaya menghasilkan 1 lagi karya yg sangat baik...

Anonymous said...

salam kak

rasanya kena tunggu baby lahir dulu br boleh kawin...xsah nanti..tp xpe..buat2 blakon jela nk tutup mulut org..hehehe

best cite ni

~MaYa~

Anonymous said...

"maya"

perkahwinan tu sah je...kita tak diharamkan mengahwini perempuan yg sedang mengandung...

hanni said...

Salam semua,
Mengikut apa yg saya tahu n tya pada pendapat yg lebih tahu, maslah ini bergantung kepada pegangan pelbagai mazhab.

Dan, di malaysia, mazhab yg kita guna pakai, membenarkan pernikahan ini dan pernikahan adalah sah..
DAN, SEMESTINYA INI BUKAN SATU TIKET UNTUK KITA TERJEBAK DENGAN DOSA YANG AMAT BESAR INI. MINTA DIJAUHKAN DAN IGTLAH, ZINA TU DOSA BESAR.

Walau bagaimanapun, andai ada pendapat yg lebih jelas, boleh kemukakan pada saya bersama dalil dan sumber (yang diguna pakai di negara kita). Saya amat alu2kan.

Email pada saya di sailmyanii@yahoo.com.my

Sekali lagi, perhatian pembaca semua dalam hal sebegini amat saya hargai.

salam manis
hanni

widad said...

ya .....perkahwinan tu sah...cuma anak tu nanti kenalah dibinkan@@dibintikan dgn nama maknya @abdullah bukan nama bapanya sbb itu anak luar nikah(ada hadisnya).... dan dalam surah An-Nur ada diterangkan hukum berzina dan disebut pada awal surah....sebenarnya dlm Al-Qur`an sendiri segalanya tercatat....
ada je kt dunia ni org mcm luqman tapi seribu dlm satu le....nak jumpa org2 baik ni susah apatah lagi di zaman ini yg lebih kpd maksiat sampai bumi pun x tertanggung....moga kita sentiasa dijauhkan dan sentiasa di bawah lembayung rahmatn-NYA.thanks hanni novel ni mmg best..sambil baca blh ambil iktibar..

Anonymous said...

best lah comment2x nih..saya mmg tak tahu sangat pasal2x semua nih,,sekarang saya ambik semua utk pegetahuan :-))


myeha ireland

thnl said...

citer ni bagus juga moga ada orang yang macam luqman penuh tanggungjawab.yang pasal kahwin tu kan betullah kata widad.pendapat dia betul apapun better check it properly.very good work hanni citer ni kalau diolah dengan baik boleh pergi jauh.

aqilah said...

susah nak jumpa org mcm luqman ni......... apapun hanni, cerita ni mmg best..tersentuh... .secukup rasalah pd akak.

Anonymous said...

novel akak dah lebih berisi..hmm..gud luck..all da best..

hilma

maszz said...

maaf...saya pernah mendengar pernyataan ini...sekiranya perempuan yg mengandung itu bercerai, maka tidaklah dapat ia berkahwin lain melainkan setelah anak itu dilahirkan.... tempoh sebelum melahirkan anak adalah sama dengan edah bagi perempuan itu. jdi, kita boleh membuat kesimpulan bahawa tidak terputus ikatan itu melainkan selepas melahirkan.oleh itu, pernikahan adalah tidak sah bg perempuan yg masih mengandung.

MeGa_Lisa said...

Maszz bagi perempuan yg telah berkahwin dan mengandung kemudian di ceraikan.. dia memang tidak boleh bernikah lain selagi dalam edah.. Selepas tamat pantang.. barulah tamat edah.. Tapi bagi Kes Najwa ni.. dia belum bernikah.. Perkahwinan dia dengan Lukman nanti Sah tapi saya terdengar pendapat dari pakar.. si suami tidak boleh menyentuh isteri sehingga tamat pantang.. (Dengar2 pendapat org la,, sowy lau salah)

kak long said...

salam semua...
akak rasa terpanggil untuk berkongsi pendapat@ianya lebih kepada HUKUM...ok mcm yg hanni terangkan ianya mengikut pendapat mazhab ,hatta dlm bab solat juga.ok ini sebagai contoh sblm kita bincang bab edah ni...bg mazhab hanafi, hukum wuduk@ air sembahyang.sekiranya suami isteri bersentuhan spt tangan ke dahi ke,ianya x batal,berbeza ngan mazhab kita dan setiap mazhab tu ada dalil yg tersendiri...
bagi bab edah pula,cuba baca dalam surah AL-Baqarah dari ayat 228-234 dan juga dalam surah At-Talaq.hadis pun ada macam kitab Bahrulmazi dan byk lagi cari bab talaq dan hukumnya.
1-hukum bagi seorang perempuan yg bercerai, tempoh edahya 3 bulan@3 kali suci(thalasa quru`)
2-tempoh edah bg perempuan yg bercerai mati @ kematian suami adalah 4 bulan 10 hari.
3-edah bg perempuan yg bercerai dan dia mengandung adalah sehingga dia melahirkan anak.tetapi
ada pendapat mengatakan seorg perempuan bercerai dan dia mengandung then ditakdirkan ALLAH TAAla beberapa hari kemudian @esoknya dia telah bersalin maka tamat la tempoh edahya(maknanya x sampai 3 bln)-
ok dlm kes najwa ni berbeza mcm yg dinyatakan mega_lisa.perkahwinan itu sah ttp x boleh bersama sehinggalah dia melahirkan dan tamat pantang.
dan hukum org berzina bolehlah rujuk pada surah An-nur(awal2 lagi dah dinyatakan)
so hukumnya sah pernikahan bagi orang yg kes seperti najwa...nauzubillah......
sekiranya terdapat kesalahan kepadaNYA mohon keampuanan dan apa yg dikongsikan di sini mengikut yg akak pelajari dan perbincangan ttg hukum2.
dan sbg peringatan bersama ahsanya kita kaji selidik sesuatu hukum itu sbb hukum tetap hukum,kalau haram maka haramlah hukumnya,sekiranya ragu2 maka tanya pada yg arif sbb klu ikut pendapat org ni mcm2 sbb tahap pemahan seseorg itu berbeza...wallahualam bilsawab....
P/S,ini bukan pendapat akak tetapi apa yg dinyatakan dalam al-qurqn dan hadis.hukumyg ALLAH tetapkan........syukran wassalam

Anonymous said...

saya rasa penerangan dr kak long tu dah boleh difahami.bab2 hukum ni jangan nak buat main,klu x pasti lebih baik bertanya@kita kaji,cari dalil al-quran dan hadis.x cukup sebenarnya mendengar pendapat orang krn x semua pendapat itu tepat ,apa yg penting cari kesahihannya....dan hukum sesuatu perkara itu berbeza mengikut mazhab ,namun hukum zina sama ja..begitu juga bg hukum2 dosa besar

Anonymous said...

salam...
ada hamba ALLAH menceritakan pd sy mengenai kisah kakaknya...kata kwn sy nie, kakak dia terpaksa dinikahkan semula sebaik abis nifas sambil memanggku bayinye (dia bkahwin dng bapa si bayi tu)...

sy pasti hanni telah membuat kajian kerana mcm yg kita semo tau hukum x blh dibuat main...mengambil kira keadaan skrg dan situasi yg sy,hanni n mus pernah lihat dimana remaja perempuan dgn tdk segan silu menghisap rokok di tempat terbuka...Ironinya remaja berkenaan memakai baju sekolah!!!
masya-ALLAH...

MAY ALLAH BLESS...

-ieja-

Adilah_mds said...

Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. ( Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21)


Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.


Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :


Ertinya : "..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"


Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :


لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح


Ertinya : Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal ( iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah" ( Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif)


Hasil dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru, perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya adalah sah menurut mazhab ini dan juga disepakati oleh Imam Abu Hanifah.

Adilah_mds said...

WALLAHUALAM...:)

[11:35:50 PM] hos.getah: