Tuesday, October 28, 2014

Mencari Hilang 6



“Ada masalah boleh share dengan saya,”dia bersuara tenang sambil menyusun beberapa helai kertas-kertas maklumat produk dan syarikat ke dalam file. Tegurannya berjaya menarik perhatian Farisya yang sedari tadi diam. Selama dia memberi penjelasan kepada beberapa prospek yang dibawa, Farisya seperti tidak begitu memberi tumpuan.
            “Trisya tak ikut hari ni?,”
            Farisya mengukir senyum. Memberi jawapan dengan satu gelengan kecil.
            “Okaylah. Saya balik dulu. Nanti, apa-apa hal, awak call saya ajelah,”
            “Tak nak makan dulu? Dah pukul dua ni. Kita lunch sekali,”
            Tanpa menjawab, Farisya menggeleng lagi.
            “Saya nak kena ambil Trisya. Nanti lama dia tunggu,”
            “Isya... awak okay ke ni? Dari tadi saya perasan awak macam kurang focus. Ada masalah?,”
            “Tak ada. Saya balik dulu, ya,”
            “Kita kawan. Kalau ada sesuatu yang nak dikongsi, saya sedia mendengar. Tapi, saya yakin memang ada sesuatu yang mengganggu awak. Kan?,”
            “Kenapa awak cakap macam tu?,”
            “Mulut kita mungkin boleh menipu. Tetapi tidak bahasa tubuh kita. Lagipun, daripada Trisya, saya dapat agak, awak tak okay. Isya, ada ketika, tak salah kita kongsi masalah yang ada,”
            “Apa yang Trisya beritahu awak? Awak korek cerita pasal saya, daripada Trisya?,”
            Zaheem tersenyum.
            “Anak kecil tak pandai berbohong. Tak pandai juga sembunyikan perasaan mereka. Mereka tak hipokrit,”
            “Maksud awak?,”
            “Maksud saya, saya ikhlas hadir dalam hidup awak sebagai kawan. Saya sedia dengar masalah awak, kalau awak tak mampu nak luahkan pada orang lain. Jangan simpan masalah, Isya,”
            Farisya memandangnya seketika. Agak lama sebelum tersenyum nipis.
            “Saya okay. Tak ada apa-apa masalah. Terima kasih sebab bertanya. Tapi, sekarang, saya memang betul-betul kena pergi.Trisya kat rumah mother in law saya. Tak sedap hati nak tinggal lama-lama.  I really have to go,”
            Zaheem bersandar. Ingatan itu dibiarkan terus berlegar di kepala. Itulah kali pertama dia sedikit mendesak untuk selongkar rahsia hati Farisya. Berdiam diri dan memerhati secara sembunyi-sembunyi hanya lebih meyakinkan dirinya bahawa Farisya sedang melalui fasa hidup yang sukar. Apa dan kenapa? Dia gagal dapatkan kisahnya sehingga ke hari ini. Itulah pertemuan mereka yang terakhir. Selepas pertemuan itu, Farisya bagai terus lenyap dari hidupnya. Puas dia cuba mencari wanita itu, namun hampa. Farisya benar-benar hilang dari hidupnya. Membiarkan dia parah menerima hakikat, wanita kepunyaan orang yang dalam diam mula mencuri perasaannya, telah benar-benar pergi meninggalkannya.
            Perkenalan dengan Farisya benar-benar satu kebetulan yang indah. Dalam meniti usia muda, dia berjinak-jinak dengan jualan langsung. Farisya muncul sebagai seorang yang turut sama mahu mencari rezeki tambahan. Mereka berkawan dalam mencari rezeki. Kesungguhan Farisya membuat dia kagum. Sikap tidak pernah mengalah Farisya juga membuat detik demi detik, hatinya kian terpaut. Dia nampak betapa payahnya untuk Farisya bergerak mencapai matlamat. Hampir tiap kali pertemuan, Farisya akan ditemani Trisya. Bukan mudah bekerja sambil melayan kerenah anak kecil sekaligus. Untungnya, Trisya bagai mengerti situasi si ibu. Cukup baik anak itu menemani ibunya mencari rezeki. Diam sendirian di dalam kelompok yang bukan bayanya. Tidak banyak onar apabila ibunya memberi tumpuan lain selain dirinya. Memadai satu ciuman penghargaan tiap kali selesai sesi taklimat atau sesi penjelasan kepada prospek bersama ucapan terima kasih, menandakan betapa Farisya menghargai tingkah baik Trisya. Dan Trisya akan tersenyum panjang menerima ciuman itu. Sungguh. Itulah satu pemandangan yang perlahan-lahan mengunci hatinya buat perempuan lain. Sungguh dia terpaut pada dua orang perempuan yang hadir di dalam hidupnya itu. Sayangnya, Farisya tidak mungkin akan menjadi miliknya. Farisya isteri orang. Itulah halangan terbesar yang membuat dia terus memendam sejalur rasa. Memendam sehingga akhirnya dia terus kehilangan. Tidak tahu kenapa Farisya terus menghilang. Ada sesuatukah yang menimpa Farisya? Atau Farisya nekad menjauhkan diri hanya kerana soalannya yang agak bertubi-tubi lewat pertemuan terakhir itu? Sehingga ke hari ini, dia tiada jawapan pada persoalan-persoalan itu.
            “Abang?,”
            Zaheem mengangkat pandangannya. Menyapa Zurina dengan senyumannya.
            “Jauh sungguh melamun,”
            Teguran Zurina bersambut tawa halus.
            “Kalaulah bukan dari mula-mula kita kahwin lagi, abang memang dah suka melamun macam ni, mesti Zurin syak abang ada kekasih lain,”ujar Zurina sambil meletakkan dulang berisi minuman petang ke atas meja di halaman. Zaheem menyambung tawa. Menggeleng perlahan menanggapi usikan isterinya.
            “So, dah lebih empat tahun kot. Lima tahun? Dah sampai masa ke belum untuk share dengan Zurin?,”sambil tuangkan kopi ke dalam cawan, Zurina mengajukan soalan. Cawan dihulur dan renungannya bertaut dengan pandangan suaminya yang seperti tidak faham dengan soalannya.
            “Share apa?,”
            Zurina tersenyum. Piring berisi kuih diletakkan hampir dengan Zaheem.
            “Kenapa abang selalu termenung? Apa yang abang fikirkan?,”
            Zaheem tertawa canggung.
            “Nothing,”
            Zurina mengeluh perlahan. Memandang lama wajah Zaheem. Lelaki kesayangannya. Begitu lama dia menaruh perasaan pada lelaki ini. Perlahan dia menyentuh tangan Zaheem. Mengusap lembut lengan lelaki itu. Lama dia diamkan rasa ingin tahu. Berkali-kali soalannya bagai tidak diendah oleh Zaheem. Tetapi, makin lama, nalurinya kuat mahu mencari punca yang membuat suaminya sering melamun bagai melayan kenangan lampau.
            “Tiba-tiba abang ajak Zurin kahwin, padahal sebelum ni, abang bukan main mengelak. Bukan Zurin tak sedar itu. Abang dah ada orang lain masa tu kan? Abang terima Zurin sebab abang kecewa ke?,”
            Zaheem diam. Memandang lama wajah Zurin. Baginya, tiada apa yang perlu diceritakan. Dia ada orang lain? Pastilah tidak kerana Farisya tidak pernah menjadi miliknya walau sedetik. Farisya milik orang lain. Kecewa? Mungkin itu ada benarnya. Dia mahu menutup kecewa di hatinya dengan satu ikatan yang mungkin mampu memberi semangat hidup yang baru.
            “Special sangat ke dia?,”
            “Siapa?,”
            “Orang yang selalu datang dalam menung abang yang panjang tu?,”tebak Zurina rambang.
            Zaheem mengeluh. Sekilas cuba mentafsir maksud soalan itu lewat air muka Zurina yang agak tenang. Dia tersenyum nipis.
            “Come,”lembut dia bersuara sambil menghulurkan tangan. Zurina yang sudah pun duduk di kerusi berdepan dengannya, mengangkat punggung perlahan. Bergerak mendekati Zaheem. Meyambut huluran tangan Zaheem. Akur apabila Zaheem menarik dia duduk rapat di atas pangkin di bawah gazebo kecil di halaman rumah. Tanpa sebarang suara, Zaheem hanya memeluk erat tubuhnya. Diam. Yang ada hanya detak jantung masing-masing. Pelukan yang sentiasa mendamaikan.
            “Maafkan abang kalau Zurin rasa abang abaikan Zurin,”seketika membiarkan suasana sepi, Zaheem bersuara perlahan.
            Zurina tidak terus menjawab. Cuma, perlahan-lahan tangannya bergerak membalas pelukan Zaheem.
            “Zurin marah?,”
            Zurina menggeleng.
            “Abang hanya ada Zurin dan Trisya. Abang bersyukur dengan apa yang abang miliki sekarang,”tambahnya sambil mengelus perlahan rambut Zurina yang ikal.
            “Jangan ada orang lain antara kita,”bisik Zurina sambil menjatuhkan wajahnya ke dada Zaheem.
            “No. Tak mungkin ada,”
            Zurina melarik senyum nipis.
            “Abang cuma milik  Zurin seorang,”
            Zaheem tergelak perlahan. Satu kucupan jatuh di kepala Zurina.
            “Zurin sempurnakan hidup abang. Tak mungkin abang akan lukakan hati Zurin,”
            “Lebih baik jangan,”
            “Jangan apa?,”
            Zurina mendongak. Merenung sepasang mata Zaheem yang sedang memandangnya.
            “Jangan lukakan hati Zurin,”
            Zaheem tersenyum lebar.
            “Ugutan?,”
            “Peringatan,”
            Zaheem ketawa lepas mendengar jawapan itu. Tawa yang turut menjemput senyum Zurina. Pelukan semakin dieratkan. Matanya terpejam seketika. Pergilah semua kenangan. Tinggalkan dia mengecap bahagia bersama apa yang dia miliki kini. Kalaulah memadam semua yang tertinggal di hatinya itu semudah melantunkan sebuah harapan, pasti tiada lagi bayang Farisya yang menjelma. Entah apa yang dia harapkan lewat kenangan yang sesekali menjengah itu.
            Sambil menarik nafas dalam-dalam, pelukan dileraikan.
            “Sekejap je?,”soal Zurina tersenyum nakal sebaik pelukan terlerai.
            “Nak lama lagi, kena pindah tempatlah,”
            Zurina tergelak. Zaheem mengangkat kening. Sengaja mengusik walaupun dia maklum Zurina sekadar berjenaka. Melihat Zurina yang anggun dengan skirt  hitam yang labuh dan blouse biru berona bunga-bunga kecil, dia mengalihkan pandangan ke arah jam di tangan. Zurina sudah siap untuk masuk kerja.
            “Lawa sangat doktor ni hari ni,”Zaheem mengusik lagi.
            “Bukan hati-hari ke doktor ni lawa?,”tingkah Zurina sambil mengangkat punggung. Zaheem mencemik separuh mengusik.
            “Dah nak keluar?,”
            “Ya, bang. Makan malam Zurin dah sediakan. Ketam cili permintaan abang. Nanti pastikan Trisya makan sekali tau. Tadi Zurin ajak makan, dia tak nak,”
            Zaheem mengangguk.
            “Okay. Thanks untuk ketam cili abang. Juga untuk minum petang ni,”
            Zurina tersenyum manis.
            “Anything for you, sayang,”
            Zaheem ketawa. Teh tarik diteguk sedikit. Kemudian diletakkan semula ke meja sambil perlahan dia juga turut mengangkat punggung. Mengiringi langkah Zurina sambil tangannya memaut jemari halus isterinya itu.  Zurina berpaling. Tersenyum sambil mengeratkan tautan jemari mereka. Melangkah bersama menuju ke ruang utama. Perkara biasa apabila hari minggu dia ditinggalkan berdua dengan Trisya. Tuntutan kerja Zurina yang tidak kenal masa cuti.
            “Take care. Hati-hati drive,”pesannya sebaik Zurina membuka pintu kereta.
            “Ya. Zurin pergi dulu. Ingat tau. Suruh juga Trisya makan. Lately susah sungguh nak makan anak dara abang seorang tu,”
            Zaheem tergelak.
            “Ya... ya... nanti abang pujuk dia makan,”
            Zurina mengukir senyum. Tangan dihulur. Mengucup jemari Zaheem sambil kemudiannya satu ciuman dilayangkan ke pipi suaminya itu.
            “Zurin pergi dulu,”
            Zaheem mengangguk. Berdiri bersama senyuman, mengiringi kereta Zurina yang perlahan bergerak keluar dari kawasan rumahnya. Tanpa sedar, jemarinya mengusap perlahan pipi sendiri. Kehangatan ciuman Zurina sehangat semangat Zurina yang tidak pernah pudar mencintainya. Melukakan hati Zurina barangkali akan menjadi satu perkara yang paling bodoh untuk dia lakukan. Dan... teringatkan seseorang yang terlalu jauh dari hidupnya, tidakkah itu juga perkara bodoh yang tidak mampu dia elak?


*****
[11:35:50 PM] hos.getah: