Wednesday, November 5, 2014

Mencari Hilang 8



“Kau nak sangat berpisah dengan aku kan? Kau nak sangat tinggalkan aku kan?! Kalau dah nak sangat, mari kita mati sama-sama!,”
“Abang cakap apa ni? Abang yang suka tuduh saya yang bukan-bukan. Abang yang tak habis-habis buat saya hilang sabar, sekarang abang nak ugut-ugut macam ni pula? Cubalah jadi matang sikit,”
“Oh... jadi jantan tu terlebih matanglah ya? Sebab tu semua yang aku buat, nampak tak betul aje kat mata kau?!,”
“Apa yang abang buat dan benda tu betul? Cuba beritahu saya. Tak perlu banyak. Cukup satu saja. Cuba abang beritahu saya,”
“Sudahlah tu! Tak habis-habis aku yang jahat! Aku yang salah! Hari ni, kita tengok macam-mana jahat aku!,”keras suara yang meniti di bibir sambil pedal minyak ditekan. Mendorong kereta laju meluncur.
            “Abang! Jangan jadi gila macam ni! Istighfar abang! Abang tak suka saya, abang ingat Trisya bang!,”
            “Kau dah tak ingin tengok muka aku kan? Dah tak nak hidup dengan aku kan? Kalau macam tu, kita sama-sama pergi mati!,”
            “Abang!! Allahuakbar!,”
            “Allahuakbar!,”dia menjerit kuat. Bangkit dari baringnya dengan peluh membasahi wajah. Sedikit menggigil saat dia terduduk kaku. Degupan jantung kencang menggoncang dada. Sangat jelas igauan yang mengganggu lenanya. Membuat dia beku seketika. Diam. Diam dan diam sebelum perlahan-lahan dia tunduk. Berteleku sambil melurut perlahan rambutnya.
            “Abang? Kenapa ni? Mimpi buruk lagi?,”terpisat-pisat Amalia sambil menenyeh mata. Terganggu lenanya dek jeritan nyaring Haziq. Perlahan dia menyentuh bahu Haziq yang bergerak perlahan.
            “Abang?,”
            Haziq teresak-esak di dalam diam. Bukan perkara pelik tidur Haziq sering diganggu mimpi-mimpi buruk. Lembut dia mengusap bahu Haziq.
            “Itu cuma mimpi,”pujuknya perlahan.
            Haziq pejamkan mata. Semakin jelas igauan itu dan semakin menjadi kuat tangisnya bergetar. Sebolehnya dia mahu membuang jauh-jauh segala bayangan itu. Namun, mampukah dia?
            “Trisya...,”gumamnya berselang esakan. Amalia mengeluh lemah. Tangan Haziq dielus perlahan.
            “Sebab tu Lia tak suka abang asyik fikirkan arwah anak abang. Mesti abang terbawa-bawa sampai ke mimpi. Dah lama abang tak mimpi buruk macam ni, kan? Betul cakap mak. Abang tak sepatutnya pergi ke sana. Abang... relakanlah semua yang dah berlalu tu,”
            Haziq membisu.
            “Abang trauma...,”tokoknya sambil memaut rapat tubuh Haziq. Cuba menenangkan emosi Haziq yang jelas terganggu. Berkali-kali dimarahi, akhirnya Haziq nekad juga ingkar pada larangan ibunya. Haziq tetap mencari ibu Farisha. Dia tidak mampu memujuk dan akhirnya dia akur. Walau kelat wajah ibu mertuanya, dia terpaksa membenarkan Haziq pergi. Apa lagi yang mampu dia lakukan andai degil Haziq langsung tidak dapat dia lembutkan. Dan, sudahnya, Haziq akan jadi begini. Lemah dia menghela nafas sambil menggosok lembut belakang Haziq.
            Haziq menggeleng perlahan. Itu bukan kenyataan yang dia terpaksa telan untuk setiap detik hidupnya. Ada kenyataan yang lebih pahit yang sedang menghukumnya. Tanpa mempedulikan pujukan Amalia, dia mengongoi hiba meratapi satu penyesalan yang tidak berkesudahan.
            “Abang... janganlah macam ni. Abang kena lupakan semua kenangan yang sedih tu. Abang ada Lia. Tak lama lagi, kita akan ada anak, bang. Kalau abang terus dengan kisah-kisah sedih abang ni, macam-mana dengan Lia dan anak kita nanti?,”
            Sentuhan Amalia di bahunya ditolak perlahan. Pelukan yang erat turut ditolak perlahan. Perlahan-lahan juga dia bergerak menjauh. Diam seketika di birai katil.
            “Abang okay ke ni? Nak Lia panggilkan mak?,”
            Haziq menggeleng. Emosinya tidak mengizinkan untuk dia mendengar bebelan ibunya nanti.
            Amalia mengeluh lemah. Memandang geram ke arah suaminya yang diam menunduk. Mahu bersuara tetapi ditahan. Tidak mahu timbul pertengkaran di tengan malam buta.
            “Lia tidurlah,”saling berdiam diri buat seketika, akhirnya Haziq bersuara rendah.
            “Abang?,”
            Haziq berpaling. Memandang wajah Amalia di balik samar lampu tidur. Ada reaksi geram pada wajah itu. Tetapi, saat hatinya tiba-tiba rawan, tidak mampu untuk dia senangkan hati Amalia. Perlahan dia bangkit.
            “Tidurlah,”ucapnya sepatah.
“Abang nak ke mana?,”laju Amalia bertanya, melihat Haziq mengengsot turun dari katil.
Tanpa menjawab, dia terus berlalu meninggalkan Amalia. Rengusan Amalia dibuat tidak peduli. Cuma  kakinya lemah mengatur langkah  keluar dari bilik tidur. Tidak mungkin dia mampu lena setelah tidurnya terganggu dek igauan itu. Benar kata Amalia. Sudah lama tidurnya tidak disapa mimpi buruk. Benar juga kata Amalia, emosinya kembali berbolak-balik setelah dia pulang dari Melaka.  Cuma satu yang Amalia tidak tahu. Punca hatinya berlibang-libu seperti saat ini. Amalia tidak tahu puncanya. Malah tiada siapa yang tahu puncanya.
            Tanpa sedar langkah kaki membawanya ke ruang tamu. Tanpa cahaya, dia diam di sofa. Merenung masa silam yang banyak dilakar dengan kepincangan. Berat beban yang terpikul di jiwanya. Sesak dada dengan seribu kecelaruan. Lebih-lebih lagi apabila dia teringat seraut wajah yang teramat sugul. Sungguh berbeza wajah yang dipandang semalam. Tiada lagi senyum. Hilang juga usikan mesra. Bukan sedikit rasa berdosa yang mendera perasaannya.
            “Kamu sihat Ziq?,”
            Diam seketika dia menerima soalan daripada wanita yang telah melahirkan Farisha itu. Dalam renungan wajah wanita separuh usia di hadapannya bagai memberitahu betapa dalamnya rasa bersalah yang tertanggung di bahu. Rasa bersalah yang tidak sepatutnya ada di dalam rasa Puan Rahmah.
            “Mak sihat?,”soalnya kembali tanpa menjawab soalan yang terdahulu diajukan padanya.
            Soalannya tidak berjawab. Cuma wajah Puan Rahmah redup seraya mengalihkan pandangan ke luar jendela.
            “Isha ada, mak?,”dia bertanya lagi. Soalannya kali ini membuat renungan Puan Rahmah kembali padanya. Seketika, bibir mata wanita itu kelihatan bergenang air mata.
            “Mak minta maaf...,”serak suara yang meniti perlahan di bibir ibu mertuanya itu. Tunduk sambil menyeka perlahan tubir mata. Sungguh tersentuh hatinya.
            “Mak tak tahu apa lagi yang kurang pada kamu, sampai Isha sanggup buat kamu macam ni. Mak malu. Mak sedih... mak malu pada kamu. Pada keluarga kamu,”
            “Mak... jangan cakap macam tu. Jangan salahkan Isha,”
            “Kamu terlalu manjakan dia. Terlalu melindungi dia. Tapi, ini balasan dia pada kamu. Sungguh... mak minta maaf sangat-sangat Ziq. Mak sayangkan kamu. Mak tahu kamu memang yang terbaik untuk Isha. Mak tak faham. Tak faham kenapa Isha sanggup...,”
            “Mak... mak jangan cakap macam tu,”laju kata-kata Puan Rahmah dipotong. Tidak sanggup mendengar butir bicara selanjutnya. Sungguh saat ini, dia mahu sujud memohon ampun untuk segala kesalahan yang diciptakan untuk Farisha. Tetapi, sudahnya dia hanya mampu kaku. Kaku dan terus kaku. Pengecutkah dia? Sungguh dia tidak bersedia berdepan dengan Puan Rahmah andai kebenaran terungkai. Dia tidak bersedia berdepan dengan penerimaan Puan Rahmah.
            “Kamu macam-mana sekarang, Ziq? Mak berharap sangat hidup kamu jauh lebih baik dari dulu. Mak kamu apa khabar?,”
            “Mak sihat. Saya pun sihat,”lambat-lambat dia bersuara.
            Lebur hatinya melihat anggukan kecil Puan Rahmah. Dapat dirasakan ada keperitan yang ditanggung Puan Rahmah.
            “Mak kamu, kawan baik mak. Tapi sekarang...,”
            Bicara ibu mertuanya terputus. Cuma pipi wanita itu perlahan-lahan basah lagi.
            “Maafkan mak saya, mak. Mak saya tak patut marah mak macam ni. Apa yang berlaku bukan salah sesiapa,”
            Panas bibir matanya apabila pujukannya hanya disambut dengan gelengan laju.
            “Memang ada yang salah. Yang salah adalah anak mak. Isha pentingkan diri dia sendiri... Isha buat keputusan, langsung tak fikir perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Isha...,”
            “Mak, sudahlah tu. Jangan cakap macam tu,”
            “Selagi dia tak minta maaf pada kamu... pada mak kamu. Keluarga kamu... macam-mana mak nak tenang? Tiap-tiap malam mak asyik teringatkan perbuatan dia pada kamu dan keluarga kamu. Mak tak tenang...,”
            Dia kelu. Ibu mertuanya menitiskan air mata lagi. Apa yang patut dia rasa sekarang? Simpati pada ibu mertuanya ini atau pada Farisha? Atau pada dirinya yang seakan tidak mampu bangkit meneruskan hidup.
            “Mak, kalau tak keberatan, saya nak jumpa Isha. Boleh mak?,”
            “Buat apa kamu nak jumpa dengan dia?,”
            “Saya perlu jumpa Isha, mak,”
            “Kalau sebab sayang, tak payahlah Ziq. Ramai lagi perempuan yang jauh lebih baik dari Isha. Cukuplah sekali hidup kamu jadi macam ni sebab anak mak. Mak tak sanggup lagi,”
            “Mak, saya tak pernah salahkan Isha. Bagi saya, Isha tak pernah salah,”
            “Memang. Memang kamu tak pernah salahkan Isha sebab sejak dari mula kahwin, kamu terima semua kekurangan Isha. Mak nampak kamu betul-betul sayangkan Isha. Tapi, Isha tak nampak semua tu. Sekarang, mak berharap sangat kamu jangan cari Isha. Dia tak mampu nak bahagiakan kamu, Ziq. Ya... dia anak mak. Tapi, bila dia buat silap... bila dia aniaya suami dia yang langsung tak bersalah... tak mungkin mak akan menangkan dia,”
            “Mak, saya memang perlu jumpa Isha. Mungkin dalam tak sedar saya pun ada buat silap mak,”kelat kata-kata penuh sandiwara itu meniti di bibir. Bukan dia mahu begitu tetapi, hatinya tidak mampu membuka kebenaran.
            Perlahan dia meraup wajah. Hingga ke langkah yang diatur meninggalkan rumah ibu Farisha, dia terus menyimpan sandiwara terbesar yang ternyata sangat-sangat memberi beban rasa pada Farisha. Selama dia leka dengan dunianya, tidak pernah dia tahu rupa-rupanya sudah bertahun Farisha dibuang keluarga. Saat dia didampingi insan-insan yang menyayanginya, rupa-rupanya Farisha sudah lama hilang kasih satu-satunya ibu yang dia ada. Farisha menjadi anak terbuang. Farisha dilabel sebagai isteri derhaka. Semuanya kerana sandiwara yang dia cipta. Mungkinkah kerana dosa-dosa itu, bahagia bagai tidak mahu singgah di jiwanya?
            “Isha...,”berat dia berbisik sendiri di dalam kepekatan malam.


*****

9 comments:

Unknown said...

Sedeh....huhu

hajar said...

Kesian isha.....

aNAiTekUReRU said...

menyesal ke? tp rasa cm tak je si haziq ni..sian Isya

Unknown said...

Grrrr...Haziq pengecut...tunggulah bila kebenaran tersingkap...

Anonymous said...

rasa nak lempang org..!

All in One said...

Kureng asam betoi si haziq ni

Rasinah said...

Eish kalaulah boleh buat asam boi haziq ni..

Dahlia said...

bencinya ngan haziq ni...bila la kebenaran nk terbongkar ni...bila la semua org nk tau yg farisha xsalah pun.....xsuka haziq...biarla dia xbahagia huhuhu

Anonymous said...

saye rindu dengan Sekadar di hati n Lampin cinta buat papa....

[11:35:50 PM] hos.getah: