Sunday, April 5, 2009

Pergilah Air Mata 48

Langkah Sabrina terhenti apabila dua pasang mata menikam wajahnya. Sedikit pelik. Dia mengukir senyum. Terfikir apa yang tidak kena padanya.
“Anything wrong?,”soalnya lambat-lambat.
Datuk Hamidi menunduk. Mencapai cawan kopinya.
“Bad, mana?,”Datin Hamidah membuka bicara.
Sabrina diam. Badrul? Tiada di meja, pastilah masih di biliknya.
“Kat bilik kot,”tekanya perlahan.
“Dia tak kerja ke hari ni? Cuba pergi kejutkan…,”
Mendengar arahan Datin Hamidah lututnya terasa kendur tiba-tiba.
“Saya?,”
“Yalah. Takkan nak suruh si Milah tu yang kejutkan. Cepat sikit. Kalau kerja, mesti dia bising-bising nanti. Sekarang dah pukul berapa ni..,,”
“Hmmm…yalah,”Sabrina membalas perlahan sambil berundur. Melangkah semula meniti anak tangga. Laju menuju ke bilik Badrul. Dia sendiri hampir terlupa Badrul masih di sini. Hampir terlupa Badrul tidur di sini malam tadi. Tercegat di hadapan bilik Badrul, dia termenung seketika. Cuba mengamati sebarang bunyi dari dalam. Sepi.
“Bad… Bad…,”
Sepi. Pintu diketuk perlahan sambil sekali lagi suaranya memanggil lembut. Juga tidak berjawab. Pintu bilik ditolak perlahan. Terkuak sedikit. Melihat Badrul masih terbaring lena di katil, membuat dia sedikit resah. Perlahan menggaru kepala yang tidak gatal. Dengan langkah yang berat, dia melangkah masuk. Kali kedua dia masuk ke bilik itu sejak bilik itu didiami Badrul dan Dayana. Ruang luas itu terasa dingin dengan penghawa dingin yang terpasang. Badrul lena di sebalik selimut tebal. Dia menarik nafas panjang.
“Bad…bangunlah. Dah pukul berapa ni? Awak tak kerja ke?,”
Badrul langsung tidak bergerak. Barangkali langsung tidak mendengar kata-katanya.
“Bad… bangun. Bad…,”suara ditinggikan sedikit sambil tubuh Badrul yang berselimut digerakkan perlahan. Badrul mula bergerak kemudian menyambung tidur.
“Bad… bangun…,”
“Hurm….mengantuklah sayang. Janganlah kacau I. Kejap lagi I bangun ,”perlahan suara Badrul menggumam dalam lena.
Sabrina ternganga. Pasti Badrul sangka Dayana bersamanya saat ini.
“Bad… bangunlah. Awak kerja ke tak ni?,”
“Hurm….,”
“Bangunlah…,”sekali lagi tangannya menggoncang lembut tubuh itu.
“Ermmm…. Come here. Sejuklah sayang…,”
“Ha?,”bulat mata Sabrina. Cepat-cepat dia mahu bangkit dari birai katil, tetapi, tangan Badrul lebih pantas menarik lengannya. Membuat dia terjatuh ke dalam pelukan Badrul.
“Bad! Bangunlah! Ini sayalah!,”jeritnya kuat sambil meronta minta dilepaskan. Jeritan yang memaksa Badrul membuka mata. Terjumpa wajah kelat Sabrina yang terkunci di dalam pelukannya.
“Apa kau buat kat sini?,”
“Lepaslah!,”
Seakan baru menyedari apa yang berlaku, pelukannya segera dilonggarkan. Sabrina pula, segera bergerak menjauh. Menyentuh pipinya yang terasa panas membara. Badrul bangkit dari baringnya. Dia berada di biliknya. Di rumah bapanya. Dan, tiada Dayana di sini. Cuma wajah Sabrina yang masam mencuka. Matanya dikejipkan berkali-kali.
“Apa kau buat kat sini pagi-pagi buta?,”
“Mama awak tanya, awak tak kerja ke hari ni?,”
“Kerja?,”
“Yalah. Kerja,”
Dalam mamai Badrul mula memproses mindanya. Semalam dia ke sini. Dan, hari ini, hari isnin. Dia sepatutnya bersiap ke pejabat.
“Kerja! Pukul berapa sekarang?,”
“Dekat pukul lapan,”
“Oh my god! Aku dah lewat. Kenapa tak kejutkan aku? Aku ada meeting pukul 9.30, kau tahu tak? Aku dah lewat!,”
Sabrina terkebil-kebil. Perlahan bergerak ke pintu sebelum Badrul mengamuk.
“Kau nak ke mana?,”
“Keluar. Tak nak ganggu awak bersiap,”balasnya sambil merapikan ikatan rambutnya yang sedikit terurai akibat bergelut untuk melepaskan diri dari Badrul sebentar tadi.
“Siapkan pakaian aku. Aku dah lambat,”
Belum sempat membuka mulut, Badrul sudah hilang ke dalam bilik air. Bermakna dia harus akur pada permintaan Badrul. Kaki dihayun ke arah almari. Membelek pakaian yang tidak banyak pilihan yang terdapat di situ. Cuma ada satu kemeja dan satu seluar slack. Segera dicapai dan berlalu meninggalkan Badrul. Ingin mencari seterika di bilik Jamilah.
Sebaik pintu bilik air terbuka, matanya liar mencari pakaian. Tiada. Bayang Sabrina juga tiada. Dia merengus perlahan. Geram. Matanya merenung jam di dinding. Pukul lapan lebih.
“Kamu tak kerja ke Bad?,”
Badrul tersentap. Menoleh ke pintu. Datin Hamidah tercegat sambil memeluk tubuh.
“Kerja. Dah lewat pun. Saya kena conduct meeting pagi ni,”
“Abah pesan.. dia akan take over. Kamu masuklah lambat sikit,”
“Hah?,”
“Masuklah lewat sikit,”
Badrul mengeluh lega. Apabila bapanya bersedia menawarkan diri, sekurang-kurangnya dia tidak perlu hadir di saat semua orang sedang menunggu. Dia tidak suka ditunggu.
“Bad… baju awak…,”
Suara Sabrina menarik perhatiannya. Dia mengangkat muka. Sabrina tercegat di sebelah ibunya.
“Tak pun… kamu terus ambil cuti pun tak apa. Bukan selalu kamu cuti. Kan?,”sambung Datin Hamidah sambil berlalu meninggallkan Sabrina yang terpinga-pinga tidak tahu apa yang sedang dibualkan.
“Ingat kau dah lesap,”Badrul bersuara sebaik Datin Hamidah hilang dari pandangan.
“Saya pergi iron bajulah,”
“Bawalah ke sini,”arahan itu meniti di bibir Badrul sambil tangan keringkan rambut dengan tuala kecil. Dalam enggan, Sabrina melangkah masuk. Meletakkan baju dan seluar yang sudah siap bergosok di atas katil.
“Saya keluar dulu,”
“Kemaskan katil tu sekali,”
Sabrina menjeling. Badrul sudah mengada-ngada. Dan mengada-ngada Badrul dibawa sehingga ke dapur.
“Aku nak makan Maggie goreng. Macam kau buat dulu,”
Dan, dengan perasaan terbuku, pagi-pagi buta dia masuk ke dapur sediakan Maggie goreng sambil diperhatikan Badrul. Bukan setakat memerhati tetapi, cukup dengan komen sana dan sini. Potong sayur besar sangat. Potong cili tak cukup nipis. Sudahnya, mulut itu diam apabila disuap sebiji cili segar yang belum dipotong. Terus mematung di meja.
“Nah. Dah siap,”
“Milo shake?,”
“Yalah…,”
“Hmm….,”
“Milo lebih, kurang manis. Guna susu tak mahu gula. And campur serbuk koko. Jangan banyak sangat. Takut pahit. Kan? And, of course I’ll shake it,”sampuk Sabrina bersama satu jelingan. Badrul tersenyum manis.
“Pandai…,”
Sabrina mencebik dalam diam sambil mencapai balang berisi milo.
“Tadi awak cakap dah lewat. Tapi, boleh pula order sarapan mengalahkan order kat kedai mamak…,”
“Tadi memang lambat. Sekarang tak. Abah take over meeting tu. And… telur dadar satu ya,”
Sabrina menoleh. Sudah sedikit geram.
“Tu…,”panjang muncungnya menunjukkan telur dadar di dalam piring. Telur dadar yang disediakan Jamilah untuk sarapan.
“Dah sejuk…,”balas Badrul tersengih. Sabrina menjeling lagi. Dia suka jelingan itu. Dan terus sabar menunggu milo shake nya. Juga telur dadarnya.

****
Darius tersenyum kecil. Topi keselamatannya ditanggalkan. Bersandar pada Honda CRV hitam miliknya sambil matanya terus memerhati tingkah Badrul.
“Kau senyum kenapa?,”
“Senyum tengok kau,”balas Darius selamba. Badrul menggaru kepala.
“Ada yang pelik ke?,”
“Pasal peliklah, aku senyum,”
Badrul menarik muka. Menanggalkan topi keselamatan.
“Jomlah,”
“Happy semacam aku tengok. Kenapa ni? Dahlah tiba-tiba meeting tukar chairman pagi tadi. Masuk office pun lambat. Dah masuk office, sehari suntuk aku tengok muka kau bukan main ceria,”
“Mengarutlah. Aku macam biasa saja,”
“Kau luar biasa hari ni…,”
Badrul memandang wajah Darius. Diam, tidak menjawab. Cuma tangannya laju membuka pintu kereta.
“Jomlah,”
“Ke mana?,”
“Baliklah. Dah dekat 4.30 ni,”
“Amboi. Tak sabar-sabar nak balik,”
Badrul sudah diam di tempat duduk hadapan. Terfikir-fikir begitu ketarakah keriangan yang terpamer di wajahnya? Dan, terfikir, kerana Sabrinakah keriangan ini menjelma? Sebaik membuka mata, Sabrina berada di dalam pelukannya, memberi satu getaran halus di jiwanya. Sungguh dia tidak sedar bila dia menarik gadis itu ke pelukannya. Namun, dia tidak kesal dengan apa yang berlaku itu. Dan, rentetan seterusnya membuat dia seakan-akan menikmati satu kehidupan yang baru. Kehidupan yang membahagiakan. Dia suka apabila Sabrina menyediakan pakaian kerjanya. Dia senang melihat Sabrina mengemas katilnya, walaupun dengan mulut yang sedikit memuncung. Dia gembira melihat Sabrina sibuk menyediakan sarapannya. Dan, teramat senang apabila Sabrina mengingati satu persatu makanan dan minuman kegemarannya. Sekuntum senyum spontan terukir sebaik teringatkan mulutnya yang disumbat cili segar. Satu tindakan Sabrina yang betul-betul di luar jangkaannya. Mulutnya yang sengaja menegur itu dan ini, terus terdiam selepas itu.
“Dah… senyum seorang pulak… Kau kenapa Bad? Macam angau saja,”
Badrul menoleh. Darius sudah pun berada di sebelahnya.
“Tak ada apa-apalah,”
“Yana pregnant ke?,”
Badrul tergelak kecil.
“Kau ingat dia nak pregnant awal-awal?,”
“Dah tu, Sabrina?,”soal Darius tersenyum nakal. Badrul menjeling sekilas. Darius tergelak kecil.
“So, macam mana? Berkesan ke cara kau? Dah boleh lupakan Sabrina tu?,”
“Pagi tadi, aku dari rumah mama aku…,”Badrul bersuara tanpa mengacuhkan soalan Darius.
“Oh… aku agak muka ceria kau ni, ada kena- mengena dengan Sabrina kot. Am I right?,”
Badrul diam seketika. Kemudian berpaling mencari wajah Darius.
“Bila aku tengok cara dia layan aku pagi tadi, I wish Dayana pun boleh buat macam tu kat aku,”
Darius menggosok dagu sambil membuat muka.
“Layan macam mana?,”soalnya bersama sekuntum senyum penuh makna.
“Sediakan pakaian kerja aku. Sarapan aku. Temankan aku sarapan…,”
Darius tergelak.
“Layanan itu ke? Selama hari ni, dia tak pernah layan kau macam tu ke? And, kat rumah baru ni, siapa yang layan kau? Mestilah dia, kan?,”
Badrul tersenyum nipis. Dayana mahu lakukan itu semua? Dia tidak pernah meminta, namun, dia seakan yakin, Dayana akan menolak.
“Dayana? Kau tahu tak, Yana suruh maid parent dia datang pagi-pagi, kemas rumah. Pendek kata siapkan semuanyalah. Tengahari balik semula ke rumah parent dia. Kasihan maid tu. Terkejar-kejar ,”
“Tegaslah sikit Bad. Takkan setakat kau seorang pun dia tak boleh nak jaga. Sepatutnya dah tinggal berdua macam ni, dia mestilah lebih beri perhatian pada kau,”
“Nak bertegas macam mana? Kau bukan tak tahu perangai Yana. Kau ingat kepala angin dia tu, boleh dilawan ke?,”
“Kepala angin ke. Kepala ribut ke. Kau suami, dia isteri. Cakap siapa yang lebih penting? Aku rasa itu, kau sendiri pun tahu kan? Cuma…Yang aku pelik, satu saja,”
“Apa pula yang peliknya?,”
“Yalah… dengan Sabrina bukan main lagi kau marah. Suruh itu ini. Tapi, dengan Dayana kenapa kau menikus?,”
Badrul diam. Sesekali turut pelik dengan sikapnya sendiri.
“Hmm… dahlah. Tak payah cakap lagi pasal ni. Aku nak balik. Cepat sikit,”
Darius tersenyum.
“Balik ke mana? Kat Dayana ke kat Sabrina?,”
“Cepatlah! Jangan buang masa,”Badrul sedikit membentak, membuat tawa pecah di bibir Darius.
“So, kau dah decide, bila kau nak lepaskan Sabrina?,”Darius terus mengajukan soalan. Diam di tempat duduknya menanti jawapan Badrul. Arahan Badrul dibiarkan sepi.
“Belum…,”
“Fikir masak-masak kawan. Then, jangan terus buat tindakan macam ni. Tindakan kau tak bijak. Kau abaikan tanggungjawab yang sepatutnya kau galas. Kalau kau betul-betul tak mahu dia, lepaskan dia dengan cara baik. Kalau kau tak mahu lepaskan, layan dia selayaknya. Jangan buat macam ni,”
“Tengoklah nanti…,”
“Tengoklah nanti. Itulah jawapan kau. Dah dekat setahun kau kahwin dengan dia kan? Berapa lama lagi, kau nak buat dia macam tu?,”
“Dia tak kisah, Dar…,”
“Dari mana kau tahu?,”
“Dia yang cakap sendiri,”
Darius tergelak sinis.
“Bad…Bad… dalam pandai, kau ni bodoh juga. Takkanlah si Sabrina tu nak mengaku. Kalau pun, dia kisah, dia tetap akan cakap tak kisah. Takkan dia nak kau rasa macam dia desperate sangat nakkan kau…,”
Badrul terdiam. Sekaligus teringatkan tingkah Sabrina yang sering berubah-ubah. Kadang-kadang mesra, kadang-kadang dingin. Kadang-kadang takut-takut, kadang-kadang beraninya melampau-lampau. Mungkinkah apa yang meniti di bibir gadis itu tidak seperti apa yang bermain di hatinya? Sekilas dia memandang yang Darius yang tersengih sambil menggeleng-geleng kepala.
“Tolonglah! Jalan je lah…,”sudahnya cuma itu yang meniti di bibirnya.
“Ya lah…ya lah. Tak nak dengar nasihat, cakap je lah,”
Badrul diam. Malas mahu menjawab lagi.

****






[11:35:50 PM] hos.getah: