Monday, February 6, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 8


Jemari teman baik mertuaku, aku cium lembut. Sedaya upaya mengukir senyum yang aku rasakan paling manis untuk tetamu istimewa ini. Namun, wajahnya sedikit membeku. Pandangan aku alihkan pula ke arah Mia yang anggun bergaun paras lutut berwarna ungu. Senyum mekar di bibirnya sambil menarik aku ke pelukannya. Mesra seperti selalu.
            “Apa khabar, Diya?,”
            Aku senyum. Perlahan aku mengangguk. Berbeza sungguh perwatakan ibu dan anak ini. Senyum aku ukir buat bapa Mia sambil bergerak ke belakang. Berdiri di sisi Encik Firdaus.
            “Takkan biarkan tetamu tercegat di luar? Tak nak jemput masuk ke? Atau, kedatangan kami ni kurang menyenangkan ke?,”
            Aku terkedu seketika. Lain macam nadanya. Mia tergelak lepas sambil memaut bahu ibunya. Encik Firdaus turut tergelak. Aku termangu-mangu. Kelakarkah kata-kata yang meniti di bibir wanita berwajah keras ini? Aku langsung tidak merasai aura lucunya.
            “Masuklah Tan Sri… Puan Sri…,”aku bersuara sopan. Memberi laluan kepada tiga insan itu melangkah masuk. Senyum manis terukir di bibir Mia dan bapanya namun tidak pada ibunya. Sebaik langkah mereka mendahuluiku, aku kerutkan kening. Pertama kali bersua dengan Puan Sri Ainul secara peribadi, aku rasakan perangainya sungguh pelik. Hatiku pula tiba-tiba berasa kurang senang. Berat hati untuk menyertai acara makan malam ini. Riuh suara ibu mertuaku menyapa tamunya, menjamah telingaku. Suara Puan Ainul pun sudah berubah nada. Dia tak sukakan aku! Tiba-tiba hatiku bulat membuat keputusan.
            “Tiya… kenapa ni?,”
            Aku menoleh. Encik Firdaus masih di sisiku rupa-rupanya. Aku tersenyum kecil sambil menggeleng. Kepala masih mencari sebab kenapa begitu reaksi Puan Sri Ainul padaku.
            “Dah… jom. Kita join diaorang,”
            “Kalau Tiya tak join sekali, boleh tak bang?,”aku bersuara perlahan di telinga Encik Firdaus. Membuat Encik Firdaus merenungku sedikit lama.
            “Why?,”
            “Seganlah…,”
            Encik Firdaus tersenyum lebar. Jemariku dipaut mesra.
            “Ini kan rumah kita. Mereka tetamu kita. Apa yang nak disegankan?,”ujarnya sambil menyentuh lembut hidungku. Aku tersenyum kelat sambil mengangguk perlahan. Melangkah lemah mengikut langkah Encik Firdaus.
            “Romantik betul ya pengantin dah tak berapa nak baru ni. Nak makan pun berpegang tangan  ya…,”bersama senyum lebar Puan Sri menegur.
            Spontan aku menarik tanganku dari genggaman Encik Firdaus. Manusia di hadapanku cuma ketawa senang, sedang hatiku sudah tersentap hebat. Ini bukan gurauan. Ini sindiran. Dan, aku yakin sindiran itu untukku. Apa kena dengan orang tua ni? Hatiku sudah mula membuat andaian jahat.
            Encik Firdaus menarik kerusi, memberi isyarat agar aku duduk. Aku serba –salah. Sungguh serba salah untuk bergerak di hadapan wanita ini. Sindirannya di muka pintu tadi cukup untuk membuat aku lemas. Aku tidak suka ibu Mia! Demi tidak mahu melengah-lengahkan acara makan malam, aku segera melabuhkan punggung.
            “Hmmm…. Macam puteri raja…. Bertuah ya jadi isteri Fir ni,”
            Sekali lagi! Aku mengangkat muka. Menentang wajah Puan Sri Ainul. Ada senyum terhias di bibirnya. Namun, senyum itu membuat hatiku bagai dipanggang bara. Aku mengukir senyum terpaksa.
            “Sama-sama bertuah aunty. Saya bertuah jadi suami Tiya,”Encik Firdaus menyampuk ceria. Jawapan yang membuat ruang makan itu sedikit hingar dengan tawa bapa mertuaku juga Tan Sri Halim. Encik Firdaus tersenyum memandangku. Sempat kenyitkan matanya padaku sebelum mengambil tempat di sisiku.
            “Mestilah bertuah. Bukan senang nak dapat, kan?,”Mia pula mengusik. Tersenyum pada Encik Firdaus sambil mengangkat kening.
            “Kamu juga yang tolak tuah, Mia,”selamba Puan Sri Ainul bersuara sambil tersenyum lagi.
            Ibu mertuaku tergelak kecil. Mia menjeling ibunya. Aku sudah panas punggung. Samar-samar rasanya aku tahu kini punca Puan Sri buat perangai denganku. Aku terus tersenyum pada manusia-manusia yang memenuhi ruang makan. Sejukkan hati sendiri. Takkan aku mahu buat perangai di rumah mertua pula. Lebih-lebih lagi dengan kawan baik mertua. Aku kan anak yang baik. Aku ingat akan pesan ibuku. Hati memujuk lembut. Bersedia untuk menikmati hidangan makan malam apabila bapa mertuaku dan Tan Sri Halim sudah mula menjamah nasi di pinggan. Aku sendukkan nasi untuk Encik Firdaus. Kemudian meletakkan seketul ayam masak merah ke pinggan suamiku itu.
            “Thanks, sayang,”
            Aku senyum kecil sambil sendukkan nasi ke pinggan sendiri. Sebaik Encik Firdaus meletakkan sayur campur ke pingganku, aku sedar ada kerlingan kurang senang daripada Puan Sri Ainul yang kebetulan duduk di sisiku. Mahu membantah, risau Puan Sri mulut lepas ini mengomel lagi. Sudahnya aku mengerling Encik Firdaus dengan rasa tidak puas hati. Aku tak suka sayur! Takkan suamiku ini tidak faham. Senyum lebar Encik Firdaus bagai menyuruh aku habiskan sayur di pinggan.
            “Semua ni, Adiya yang masak ke?,”
            Sungguh! Nasib baik nasi belum aku suap ke mulut. Kalau tidak, pasti aku akan menjadi menantu yang sungguh kurang sopan malam ini. Pantas aku menggeleng. Aku masak semua hidangan istimewa ini? Dalam mimpi pun belum pasti aku dapat hasilkan hidangan sebegini.
            “Bukan saya, Puan Sri,”perlahan aku nafikannya. Dan, saat ini aku berasa teramat malu. Berasa terlalu kerdil.
            “La….. ingatkan Adiya yang masak. Kalau Mia, asal aje ada tetamu nak datang dinner, dialah yang paling sibuk sediakan hidangan. Semua dia nak masak. Kalau ada special occasion, memang orang gaji riba tangan. Bab masak semua dia buat,”laju Puan Sri Ainul bercerita.
            Aku tunduk. Entah kenapa ruangan ini, tiba-tiba menjadi sepi. Tekakku pula tiba-tiba terasa kering. Air mata pun sibuk mahu menitis. Sekali lagi wanita ini cuba mempermainkan emosiku. Mahu sahaja aku mengangkat punggung berlalu.
            “Mama ni, ada pula cakap macam tu,”Mia bersuara.
            “Salah ke apa mama cakap? Maaflah Jun. Tak ada niat pun saya nak menyinggung perasaan sesiapa pun. Adiya terasa ke?,”
            Seketika menunduk, perlahan aku mengangkat muka. Memandang wajah Puan Sri Ainul yang cuba mempamerkan riak serba-salah. Plastik! Hatiku menjerit kuat.
            “Taklah, Puan Sri,”bersama senyum aku yang juga plastik, aku bersuara lembut. Puan Sri Ainul, sah hari ini kau musuh aku!
            “Saya tak macam Mia. Saya kurang mahir memasak,”aku cuba berterus-terang.
            “Hah? Tak pandai masak ke? Rugilah perempuan tak pandai masak. Lagi rugi kalau suami dapat isteri tak pandai masak. Kena belajar tu…,”ramah wanita itu bersuara sambil menepuk lenganku. Aku tersenyum. Perlahan mengangguk bersetuju dengan cadangannya.
            “Kalau nak belajar, Mia boleh ajar. Fir suka masakan Mia. Kan Fir?,”sambungnya sambil sedikit menjengah mencari wajah Encik Firdaus.
            Aku genggam sudu dan garfu di tangan. Bunga kubis dan kacang buncis yang tidak pernah aku suka, aku suap ke mulut. Terus mengunyah sayur dengan perasaan terbuku. Kalaulah di sebelahku ini cuma seekor lipas, sudah hancur aku ketuk dengan sudu, aku cucuk dengan garfu.
            “Saya tak memilih kalau bab makan ni, aunty,’Encik Firdaus memberi jawapan selamat. Aku pula, menghantar suapan kedua ke mulut. Kali pertama aku makan sayur tanpa di paksa oleh sesiapa.
            “Ain… kalau ya pun nak bersembang dengan menantu baru Rashid ni, tunggulah habis makan dulu. Kesian diaorang nak makan tu,”Tan Sri mula bersuara. Menegur keramahan isterinya.  Puan Sri Ainul tergelak lepas.
            “Lupa pula. Maaf ya, Adiya,”
            Aku berpaling dan sekali lagi memberi senyuman palsu. Bahasa tubuh antara aku dan dia, aku rasa sudah berjaya isytiharkan perang antara kami. Barangkali tidak ada yang sedar akan perang dingin ini, dek wajah manis yang dipamerkan oleh ibu Mia ini. Juga senyum ikhlas yang terus terukir di bibirku. Namun, ada kelegaan di hati apabila teguran suaminya mampu mengunci mulut wanita ini. Kalau terus diam sehingga dia pulang, lagi aku lega.
            “Makanlah Adiya. Mesti sedap tu Tini masak ni…,”
            Aku keraskan wajah. Jangan sampai aku mencemik di sini. Akalku giat memujuk.  Padahal di dalam hati, sudah tersusun seranah yang mahu aku hamburkan. Keluar lagi suaranya. Dia berpaling ke arahku. Memaksa aku berpaling sama. Tersenyum sekali lagi.
            “Sila, Puan Sri,”aku cuba bersopan. Kemudian tersenyum pula pada Mia yang memandangku. Mengangguk perlahan sambil menyambung suapan nasi ke mulut. Terus dia tidak bersuara. Dan seterusnya, perbualan basa-basi yang tercetus cuma aku balas dengan senyum sahaja. Hati mula tertanya-tanya apa tujuan Puan Sri seorang ini, asyik menonjolkan kelebihan anak tunggalnya? Perlahan aku berpaling mencari wajah Encik Firdaus. Adakah suamiku ini yang menjadi puncanya? Mungkinkah ibu Mia masih mempunyai hasrat untuk menjodohkan Mia dengan Encik Firdaus. Pandangan kubawa pula ke wajah Mia yang sopan menyuap nasi ke mulut. Hati menjadi resah tiba-tiba.
                                                                                            

*****
[11:35:50 PM] hos.getah: