Friday, November 21, 2008

Pergilah Air Mata 22

Tanpa sedar ada air jernih yang mengalir membasahi pipinya. Untuk apa? Dia sendiri tidak tahu. Yang pasti, untuk sedetik, tatkala Badrul melafazkan akad, dia terasa jiwanya tiba-tiba kosong. Dan, tatkala Dayana tunduk mengucup tangan Badrul, air matanya menitis tanpa sedar.
“Ina…,”
Dengan sedikit tersentak, Sabrina menoleh. Jamilah memandang wajahnya dengan renungan simpati. Perlahan dia mengukir senyum sambil tersenyum. Dari tingkat atas dia memandang majlis akad nikah yang dijalan di ruang tamu. Badrul segak dengan baju melayu berwarna ungu lembut. Dan Dayana cukup jelita dengan kebaya lace dari warna sedondong.
“Masuklah ke dalam,”Jamilah bersuara sambil melabuhkan punggung ke sofa panjang. Duduk di sebelah Sabrina. Simpati membuak-buak di hatinya melihat wajah Sabrina. Sabrina menggeleng perlahan. Air mata di pipi disapu perlahan.
“Kak Milah tak sibuk ke?,”
Jamilah menggeleng.
“Kalau semua ni, buat Ina sedih, janganlah tengok. Pergilah masuk bilik,”
Sabrina menggeleng perlahan.
“Tak apa. Saya tak apa-apa. Okay,”
“Okay? Kalau okay ni apa ni?,”Jamilah bersuara sambil menyapu air mata di pipi Sabrina. Sabrina tergelak dalam sendu.
“Saya pun tak tahu, Kak. Air hujan kot,”balasnya cuba berseloroh. Jamilah tersenyum hiba. Perlahan menarik Sabrina rapat ke bahunya. Dia yakin, gadis itu sedang bersedih. Sabrina terkedu. Pelukan Jamilah terasa begitu mendamaikan. Rindunya dia pada pelukan sebegini. Pelukan yang sudah bertahun tidak dia rasa. Pelukan yang membuat dia teringatkan Mak Alang. Ibu saudara yang menjaganya sejak dia kehilangan ayah dan ibu. Ibu saudara yang telah pergi meninggalkannya tiga tahun lalu. Dengan sedikit teragak-agak, Sabrina membalas pelukannya itu. Terasa hangat pelukan Jamilah sehangat pelukan Mak Alang sewaktu dia perlukan sokongan arwah ibu saudaranya itu.
“Sabarlah,”
Sabrina sebak mendengar kata-kata pujukan itu. Terasa apa yang sedang menghimpit dadanya, bakal meledak keluar.
“Saya pun tak tahu kenapa saya rasa macam ni, Kak Milah. Sebelum ni, kenapa saya tak rasa macam ni?,”
“Walau Ina kahwin sebab terpaksa, Encik Badrul tetap suami Ina. Isteri mana yang boleh tersenyum senang melihat suami berkahwin dengan orang lain,”
Sabrina kaku di dalam pelukan Jamilah. Betul ke? Sebab itu ke, air mata menitis di pipinya?
“Kenapa sebelum ni, saya langsung tak kisah?,”dia bertanya lagi. Benar-benar tidak faham dengan perasaanya sendiri. Jamilah diam. Cuma perlahan mengelus rambut Sabrina.
“Sudahlah tu. Jomlah masuk,”
Sabrina meleraikan pelukannya. Memandang sekali lagi ke arah ruang tamu yang cukup meriah dengan para jemputan. Kerlipan flash kamera bagai kilat sabung-menyabung. Melihat wajah ceria Badrul dan Dayana, hatinya terasa perit tiba-tiba. Cepat-cepat dia alihkan pandangan. Terpaut pada renungan Darius. Darius memerhatinya dalam diam. Di celahan tetamu yang ramai, Darius tercegat memandangnya.
“Awak pula. Silap bila awak setuju dia kahwin lain,”
Selintas kata-kata Darius tempoh hari menjengah di ruang ingatan. Inikah kesilapan yang Darius maksudkan? Dia silap menilai perasaan sendiri. Dia yakin dia boleh lalui ini semua dengan mudah. Namun, saat ini, baru dia sedar, terlalu sukar untuk menerima hakikat dia kini terpaksa berkongsi Badrul dengan Dayana. Walaupun, tiada rasa cinta untuk Badrul, namun, lelaki itu pernah melafazkan akad yang sama untuknya. Melihat Badrul dan Dayana berpakaian indah, pantas dia teringatkan majlis akad nikahnya yang penuh dengan air mata. Pipinya lencun tatkala Badrul melafazkan namanya di hadapan kadi.
Dia melihat segarit senyum di bibir Darius. Dengan payah dia membalas senyuman itu.
“Saya nak masuk dululah, Kak Milah.”
Jamilah mengangguk.
“Nak akak temankan ke?,”
Sabrina menggeleng pantas.
“Tak payah. Nanti mesti Kak Milah sibuk nak melayan tetamu. Takut Datin marah pula nanti. Saya minta maaf ya, Kak Milah. Saya betul-betul tak boleh tolong Kak Milah. Saya ingat saya kuat, rupa-rupanya saya lemah sangat. Saya tak sanggup nak tengok semua tu,”
Jamilah tersenyum kecil. Memandang wajah Sabrina yang sedikit sugul. Dalam hati segundah itu, Sabrina masih sempat memikirkan tentang dirinya.
“Tak payah risau pasal akaklah. Akak dah biasa. Sekarang Ina pergi rehat. Jangan fikir sangat tentang benda ni,”
Sabrina tersenyum kecil sambil mengangkat punggung. Melangkah lesu menuju ke biliknya. Dalam enggan, dia berhenti di hadapan bilik Badrul. Menolak daun pintu tanpa tujuan tertentu. Melihat bilik itu yang dihias cantik. Bilik pengantin. Dia mengeluh perlahan sambil menutup semula pintu bilik itu. menyambung langkah menuju ke biliknya. Dia kini terpaksa tidur di dalam bilik lain. dalam diam, dia mulai berasa jauh dari Badrul.
‘Ini yang kau mahu Ina… Kau kena terima semua ni’
Sabrina menelan liur. Suara hatinya tidak lebih membuat dia berasa semakin sedih. Pintu bilik ditolak perlahan. Bilik tetamu kini menjadi biliknya. Mungkin hanya bilik ini yang layak untuknya. Pintu bilik ditutup perlahan. Sepi. Terpisah dari segala keriuhan dari luar. Dia mengeluh perlahan. Bergerak ke katil. Sepinya hati ini saat ini. Banyak yang tersimpan di hatinya, ingin dia luahkan pada seseorang. Tetapi, saat ini dia tidak mempunyai sesiapa. Tidak ada teman untuk berkongsi rasa sedih ini.
Dia mencapai telefon. Ingin menghubungi Maria. Tetapi, untuk apa? Tiba-tiba teringatkan layanan Maria padanya tempoh hari. Berbeza sekali layanan temannnya itu. Takkan Maria mahu mendengar rintihan hatinya. Ikmal? Lelaki itu tidak sesuai untuk menjadi tempat dia luahkan perasaan. Lagipun dia tidak mahu menambah beban di bahu Ikmal. Dia mengeluh perlahan. Sekarang baru dia sedar, rupa-rupanya teman akrabnya Cuma Maria. Bahu untuk dia lepaskan tangisnya Cuma Ikmal. Teman-teman lain, tidak lebih sekadar teman berkogsi cerita gembira. Dan, saat ini, dia harus belajar menelan setiap kepahitan sendirian. Dia harus lebih kuat dari sebelumnya. Telefon bimbitnya diletakkan semula di atas meja kecil di tepi katil. Terpandang cincin di jari manisnya. Cincin yang tidak pernah dia acuhkan selama ini. Cincin perkahwinannya dengan Badrul. Perlahan dia menyentuh cincin emas yang terlalu biasa bentuknya itu. Tiba-tiba timbul rasa sayang pada cincin itu.
Sekali lagi dia menghela nafas panjang. Mengangkat punggung bergerak ke jendela. Mengintai ke halaman banglo Datuk Hamidi yang penuh dengan khemah. Badrul berkeras mahu mengadakan majlis perkahwinannya di rumah sahaja. Menolak cadangan ibu mertuanya agar majlis itu dibuat di hotel. Kenapa? Tidak pula dia tahu. Senyum lebar Badrul dan Dayana yang sedang melayan tetamu, dipandang sepi. Bahagianya pasangan itu.
“Saya harap awak tak menyesal dengan keputusan ini. Kalau awak sayangkan Bad, baik awak minta saya batalkan perkahwinan ni. Saya tak nak nanti timbul masalah…,”
“Tak. Saya tak ada apa-apa perasaan pada Badrul. Lagipun saya tak berhak menghalang Badrul untuk hidup bahagia…,”
“Saya tak tahu kenapa saya boleh setuju dengan cadangan Badrul ni. mungkin sebab saya terlalu cintakan dia, atau sebab saya cemburukan awak. Tapi, saya terima perkahwinan ini sebab awak cakap, perkahwinan ini tak membawa makna pada awak. Awak tak harap apa-apa dari perkahwinan ni. Dan Badrul pula, dia cakap, dia akan lepaskan awak. Sampai masa, dia akan lepaskan awak. Sebab itu saya terima. Sebab, saya tak nak berkongsi Badrul dengan orang lain..,”
“Jangan bimbang. Badrul hanya milik awak. Dia Cuma mahu awak jadi teman hidupnya,”
“Awak yakin awak tak akan menyesal? Saya harap awak dah fikir masak-masak. Saya kahwin dengan Badrul dan awak terpaksa lupakan hak awak sebagai isteri dia sehingga dia lepaskan awak. Kalau itu semua terlalu berat pada awak, baik awak ubah keputusan awak sekarang. Sebelum saya berbincang dengan family saya. Betul awak tak rasa sayang pada perkahwinan awak ni? Sikit pun tak ada?,”
Sabrina memandang wajah Dayana. Perlahan dia menggeleng.
“Saya Cuma nak tunggu hari Badrul akan lepaskan saya..,”
Sabrina mengeluh panjang. Kata-katanya amat meyakinkan lewat pertemuannya dengan Dayana sebelum kata putus tentang perkahwinan itu dibuat. Dia sendiri amat yakin dengan perasaannya saat itu. dia tidak berbohong pada Dayana. Memang saat itu dia Cuma mahu badrul lepaskannya. Dan kata-kata Dayana bagai memberi kekuatan padanya. Dayana memberitahu Badrul memang berhasrat ingin melepaskannnya. Sungguh. Saat itu,itulah satu-satunya berita yang dia nantikan. Tetapi, kenapa kini, perasaannya seakan berubah? Kenapa tiba-tiba dia jadi sayang pada perkahwinan yang tidak pernah dia acuhkan selama ini? Kenapa dia berasa jauh dengan Badrul apabila melihat lelaki itu erat memeluk tubuh Dayana. Berasa sedih melihat gelak tawa gembira lelaki itu?
“Bodoh! Jangan jadi bodoh Sabrina. Kau dah janji. Kau tak boleh mungkir janji. Kau sendiri yang cakap, kau tak ada apa-apa perasaan pada dia…,”
Sabrina memegang kepala. Dia sudah mula bercakap sendiri. Sudah mahu gilakah dia? Satu keluhan yang teramat berat dilepaskan. Dia tidak mahu tengok ini semua. Dia tidak mahu fikir tentang semua ini. Langsir ditarik perlahan. Bergerak ke katil sambil merebahkan diri di situ. Cuba membuang rasa sebak yang kembali datang menghimpit dada. Pergilah wahai air mata. Janganlah memberat di bibir mata ini lagi. Dia cuba pejamkan mata. Cuba membuat dia lena…

****
Badrul mengukir senyum. Bagai mimpi, akhirnya Dayana bergelar isterinya. Dari jauh dia melihat Dayana sedang berbual dengan ibu dan bapanya. Acara sudah berakhir. Tetamu sudah beransur pulang. Halaman yang dari pagi penuh dengan manusia, kini sudah sepi.
“Kak Milah,”panggilnya sebaik melihat kelibat pembantu rumahnya itu. Jamilah menoleh. Melangkah merapatinya.
“Ada apa Encik Badrul?,”
“Hmm… Sabrina mana? Saya tak Nampak dia pun…,”Badrul mengajukan soalan. Agak pelik apabila dia tidak melihat kelibat Sabrina sepanjang hari.
“Ada kat bilik dia kot. Dia Nampak sedih tadi,”jawab Jamilah bersahaja.
“Sedih? Kenapa pula?,”
“Manalah akak tahu. Encik Badrul pergilah tengok sendiri,”
Baru sahaja dia mahu ajukan lagi soalan, Jamilah sudah berlalu. Sedih? Sabrina sedih? Kenapa gadis itu mesti sedih? Semalam dia melihat Sabrina tersenyum senang membantu Jamilah menyiapkan persiapan perkahwinannya. Sehari sebelum itu, Sabrina bertenggek di ruamg tamu melihat ibunya menghias barang-barang hantaran. Hari ini, tiba-tiba bersedih pula? Dia mengeluh perlahan. Menghayun langkah menuju ke tingkat atas. Ingin melihat keadaan Sabrina. Laju dia melangkah sebelum berhenti seketika di hadapan pintu bilik Sabrina. Teragak-agak untuk mengetuk pintu. Tiba-tiba jadi serba-salah untuk berdepan dengan gadis itu. Dalam rasa serba-salah itu, perlahan dia mengetuk pintu. Senyap. Tidak berjawab. Dia mencuba sekali lagi. Sama. Sudahnya dia menolak perlahan daun pintu. Tidak berkunci. Pintu dikuak lebih lebar, sebelum dia melangkah masuk.
“Tidur lagi. Tak ada kerja lain ke?,”dia merungut perlahan melihat Sabrina lena di katil. Melangkah mendekati katil. Perlahan dia melabuhkan punggung di birai katil. Memandang wajah Sabrina dalam lena. Nampak begitu tenang. Dalam benci, dia harus berterima kasih pada gadis ini. Kerana Sabrina, Dayana setuju untuk mengahwininya. Dia tidak tahu apa yang Sabrina bualkan dengan Dayana. Tetapi, setelah pertemuan empat mata antara Sabrina dan Dayana, Dayana akhirnya memberi kata putus. Kata putus yang membahagiakannya.
“Thanks,”bisiknya perlahan sambil mengusap perlahan rambut Sabrina. Usapannya terhenti tatkala dia terpandang cincin di atas telapak tangan Sabrina. Dia ingat cincin itu. Cincin ibunya. Cincin yang diberi ibunya untuk digunakan sewaktu majlis akad nikahnya dengan Sabrina. Terpaksa menggunakan cincin ibunya kerana dia tidak sempat menyediakan itu semua. Atau lebih tepat lagi, dia tidak mahu menyediakan semua itu. Biasanya cincin itu tersarung elok di jari manis gadis ini. Kenapa hari ini cincin itu ditanggalkan? Dan, kenapa jantungnya tiba-tiba berdegup kencang melihat cincin itu tidak lagi tersarung di jari Sabrina? Dengan hati-hati dia mencapai cincin di telapak tangan Sabrina. Tidak mahu membuat gadis itu terjaga. Sebaik jarinya tersentuh tangan Sabrina, mata gadis itu terbuka tiba-tiba. Cepat-cepat cincin yang sudah dia ambil, digenggam erat. Sabrina terjerit kecil. Pantas berengsot ke kepala katil sambil mengurut dada.
“Awak ni. tak pandai nak ketuk pintu ke?,”
Badrul memandang wajah Sabrina.
“Dah nak roboh pintu aku ketuk. Kau tu yang tidur mati,”
Sabrina diam. Dia melihat tangannya. Cincin di telapak tangannya sudah tiada. Mana perginya? Dia melihat sekeliling. Tiada. Pantas tangannya menyelak selimut. Tiada. Bergerak turun dari katil sambil membongkok mencari di lantai.
“Kau cari apa?,”
Sabrina tidak menjawab. Mahu berterus-terang dengan Badrul, dia sedang mencari cincin? Dia tidak sebodoh itu untuk membiarkan dirinya yang sedang bersedih ini, dimarahi Badrul. Terbongkok dia terus mencari di lantai.
Badrul terus memandang. Sudah tahu sebenarnya apa yang dicari Sabrina. Namun, seronok pula dia melihat wajah Sabrina yang cemas. Daripada membongkok, Sabrina kini merangkak perlahan mencari di sekitar katilnya. Membuat darah menyerbu naik ke muka Badrul sebaik melihat leher baju kurung Sabrina yang terjatuh. Menampakkan dada putihnya. Pasti gadis itu tidak sedar.
“Hey!,”
Sabrina mengangkat muka.
“Apa?,”soalnya geram. Badrul tidak menjawab. Cuma matanya tidak bergerak. Sabrina menurut arah renungan Badrul dan renungan itu berakhir ke dadanya. Wajahnya terasa panas tiba-tiba. Cepat-cepat dia duduk di lantai sambil memegang leher baju kurungnya.
“Awak pergi keluarlah. Jangan kacau saya,”jerit Sabrina geram. Badrul tergelak melihat wajah Sabrina yang merah menyala menahan malu.
“Kau cari apa?,”
“Adalah. Bukan urusan awak. Pergilah keluar. Jangan ganggu saya,”
“Amboi! Garangnya. Kak Milah kata kau tengah bersedih. Tapi, ini bukan bersedih. Ini tengah hot tempered ni,”
Sabrina menjeling tajam. Cuba buang rasa malu yang menjengah.
“Apa awak buat kat sini? Pergilah masuk bilik awak. Jangalah kacau saya,”soalnya sedikit hairan. Badrul merangkak ke atas katil kemudian duduk di lantai sambil bersandar pada katil.
“Kau cari ini ke?,”soalnya sambil membuka genggamannya. Sabrina memandang cincin di telapak tangan Badrul. Patutlah hilang.
“Awak nak balik ke, cincin tu?,”soal Sabrina perlahan. Dia tahu cincin itu bukan miliknya. Juga bukan milik Badrul.
“Mama nak semula ya?,”soalnya lagi.
“Kenapa kau tanggalkan?,”
Sabrina diam. Nampaknya dia bakal kehilangan cincin yang baru sahaja dia hargai akan kewujudannya itu. Perlahan dia bangun. Ingin melangkah keluar dari bilik itu. Langkahnya terhenti apabila tangan Badrul mencapai jemarinya. Dia pandang wajah Badrul. Segak bersongkok dengan baju melayu ungunya. Masih belum berganti pakaian.
“Come,”ujar Badrul sambil menarik tangannya. Dia akur. Melabuhkan punggung di sebelah Badrul sambil bersandar pada katil.
“Kenapa kau tanggalkan?,”sekali lagi Badrul bertanya. Sabrina diam. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia tanggalkan cincin itu. Mungkin dia ingin menggenggam cincin itu. mungkin juga dia ingin menggenggam semula perkahwinan yang sudah dia lepaskan ini. Dia pandang wajah Badrul. Takkan dia mahu berterus-terang dengan Badrul. Tidak penting rasanya.
“Tahniah,”ucapnya sekadar ingin mengubah tajuk perbualan. Badrul diam. Ternyata ucapan tahniah dari bibir Sabrina berbeza daripada ucapan tahniah dari manusia lain di sekelilingnya tadi. Kalau tadi, ucapan itu membuat dia berasa gembira dan bahagia. Tetapi, kenapa ucapan daripada Sabrina membuat dia kelu? Dia merenung wajah Sabrina. Perlahan mencapai jemari Sabrina, membuat Sabrina sedikit tercenggang. Memandang wajah Badrul hairan. Dia terpaku seketika apabila Badrul menyarungkan semula cincin itu ke jari manisnya.
“Jangan tanggalkan lagi,”
Sabrina memandang jari manisnya. Tersenyum.
“Terima kasih,”ucapnya perlahan.
Badrul turut tersenyum. Menggenggam erat jari Sabrina. Sabrina terkebil-kebil. Kurang selesa dengan cara Badrul. Tangannya ditarik perlahan. Namun, genggaman Badrul tetap erat mencengkam.
“Sabrina…,”
Sabrina mengangkat muka. Memandang wajah Badrul.
“Kak Milah kata, kau sedih. Kenapa? Sebab aku kahwin dengan Dayana ke?,”
Sabrina betul-betul tergamam. Lembutnya suara badrul mengalunkan soalan itu. Tidak pernah Badrul bercakap selembut ini dengannya.
“Berterus-terang dengan aku,”
Sabrina berdehem perlahan. Cuba bersuara. Tetapi tidak mampu. Sudahnya dia Cuma menggeleng perlahan.
“Apa maksudnya? Aku tak faham,”
“Saya… saya tak sedih pun. Kak Milah tu, pandai-pandai saja,”
Badrul tersenyum kecil. Perlahan menjatuhkan tangannya ke bahu Sabrina. Menarik Sabrina ke pelukannya.
“Thanks…,”ucapnya lembut sambil melayangkan satu kucupan di dahi Sabrina. Sabrina kaku tidak bergerak. Pelik betul tingkah Badrul. Lama bibir itu melekat di dahinya. Membuat jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.
“Untuk apa?,”soal Sabrina perlahan.
“Untuk segalanya. Aku tahu Dayana setuju kahwin dengan aku sebab kau. Sebab sesuatu yang keluar dari bibir kau. Bukan sebab aku ajak dia kahwin. Dia menolak sehinggalah kau berjumpa dengannya. Aku tak tahu apa yang kau cakap padanya. Tapi, terima kasih,”
Sabrina tersenyum kecil.
“Awak…,”
Badrul menatap wajah Sabrina sambil gadis itu cuba melepaskan diri dari pelukannya. Gagal. Kerana pautan tangannya di bahu Sabrina lebih kuat dari kudrat gadis itu.
“Awak… keluarlah. Bilik awak kat sebelah,”
Badrul tersenyum kecil.
“Kau takut ke?,”
Sabrina menjeling.
“Nanti Dayana cari awak. Cepatlah keluar,”
“Menghalau nampak…,”balas Badrul sambil mengangkat punggung. Sabrina terus duduk tersandar ke katil sambil memandang cincin di jarinya. Kemudian menyentuh dahinya yang masih terasa hangat kucupan Badrul.
“Jangan sambung tidur. Dah nak senja. And… tolong turun makan. Aku tak Nampak kau seharian hari ni. Mesti kau tak makan,”
Sabrina mendengar sambil membuat muka selamba. Bergerak memajat ke katil.
“Dengar tak?,”
“Dengarlah. Saya tahulah. Saya ni bukan budak kecil. Dah, cepatlah keluar,”
Badrul tergelak. Berlalu keluar dari bilik itu. Meninggalkan Sabrina terkebil-kebil di tengah-tengah katil. Dia sukakan layanan Badrul sebentar tadi. Badrul tidak mengeluarkan kata-kata sinis padanya. Lelaki itu melayannya dengan baik sekali. Dan dia suka. Dia suka apabila lelaki itu mengambil berat tentangnya.
“…And… tolong turun makan. Aku tak Nampak kau seharian hari ni. Mesti kau tak makan,”
Badrul perasan akan kehilangannya? Walau bersama Dayana, Badrul masih perasan yang dia tiada di dalam majlis. Dia tersenyum. Tidak faham akan maksud senyum itu. bukan senyum gembira, bukan juga senyum menutup kesedihan. Dia benar-benar keliru dengan perasaannya…

***

Di Penghujung Rindu 2

Shahril bersandar malas kerusi. Matanya tajam merenung wajah ceria Julia. Melihat wajah itu, membuat dia teringat begitu banyak dugaan yang harus dia tempuhi untuk memiliki gadis ini. Akhirnya dia berhasil menyunting gadis yang sekian lama bertakhta di hatinya itu untuk menjadi suri hidupnya. Dia tersenyum senang. Bahagia dapat hidup bersama Julia sebagai pasangan suami isteri.
“Kita tunggu siapa ni, sayang?”dia mula bersuara setelah agak lama berdiam diri. Sudah mula dijentik rasa bosan dek lama menunggu. Julia memandang wajahnya. Wajah itu Nampak sedikit resah.
“Abang ni… tunggu sajalah. Sabar ya. sabar,”
“Abang memanglah sabar aje. Abang tengok Jue tu.. dah macam kucing hilang anak. Siapa yang Jue nak jumpa ni?,”
“Abang ni.. sabarlah. Mesti abang terkejut bila jumpa dia nanti,”
Sharhil tergelak kecil. Lucu melihat wajah Julia yang Nampak begitu teruja.
“Siapalah orangnya yang boleh mengejutkan abang tu ya? PM nak jumpa kita ke? Atau superstar?” soal Shahril separuh bergurau.
Julia tergelak kecil. Dia memandang wajah Shahril seketika. Kemudian dia mengalih pandangannya ke arah pintu restoran. Tiada sesiapa yang muncul di ambang pintu itu. Dia melihat jam di tangannya. Pukul 8.15. Tiadak datangkah Nurul Huda? Dia mengeluh perlahan. Tak mungkin gadis itu mungkir janji. Dia kenal benar dengan Nurul Huda. Janjinya pasti akan dikota. Namun, mungkinkah masa telah mengubah pendirian gadis itu? Mengubah sikap gadis itu? menjadikan gadis itu seorang yang memungkiri janji?
“Kenapa mengeluh?”lembut Shahril bertanya sambil mencapai jemari Julia. Perlahan dia mengusap jemari lembut isterinya itu. Julia Cuma tersenyum sambil menggeleng perlahan. Sekali lagi dia memandang ke arah pintu restoran. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Penantiannya mendatangkan hasil. Melihat senyuman yang tiba-tiba mekar di bibir isterinya, Shahril turut memandang ke arah yang sama. Sebuah senyuman seorang gadis yang memang amat dia kenali membuat dia terpaku seketika. Segera dia menoleh ke arah Julia. Julia tersenyum sambil mengangkat kening. Shahril turut tersenyum . Memang ini satu kejutan baginya. Nurul Huda melangkah laju menuju ke arah mereka. Berdiri di hadapan dua temannya itu bersama sekuntum senyuman yang cukup lebar.
“Sorry, I’m late. Sungguh-sungguh tak disengajakan. Sorry ya,”
“Never mind. Asal kau datang.. lambat sikit pun tak apa. Duduklah,” ujar Julia senang. Nurul Huda akur. Perlahan dia melabuhkan punggung ke kerusi. Dia memandang Shahril yang masih memandangnya dengan wajah terkejut. Dia tersenyum.
“Hai Shah. Apa khabar?” soalnya bersama senyuman. Shahril turut tersenyum.
“Well… I’m fine. What a surprise. Memang abang terkejut sayang,” ujarnya sambil memandang wajah Julia. Julia tersengih.
“Anyway, congratulation Shah. For your wedding. Akhirnya kamu berdua bergelar suami isteri. Aku tumpang gembira. Aku ingat kau orang berdua nak bergaduh sampai ke tua,” Nurul Huda bersuara sambil menghulurkan tangan, bersalaman dengan Shahril.
“Terima kasih,” jawab Shahril pendek.
“Mana best asyik bergaduh. Aku bergaduh pun, sebab Jue ni yang suka ajak bergaduh,”tokoknya bersama senyum gembira.
“Tolong sikit ya? abang tu yang selalu cari gaduh dengan Jue. Semua yang Jue cakap semua tak betul. Betulkan Huda? Bukan aku yang cari gaduh. Dia yang suka hentam cakap aku,”
Nurul Huda tersengih.
“Abang buat macam tu, sebab nak tarik perhatian. Nak suruh Jue pay attention kat abang. Tapi, lain pula jadinya. Asal orang hentam sikit, dia yang lebih-lebih naik angin…,”
“Mestilah. Asal buka mulut je, kena hentam. Asal buka mulut je, kena hentam… siapa pun akan naik angin,”
Nurul Huda tergelak.
“Okay…stop. Tak payahlah bergaduh lagi. Dah tualah. Buat malu je,”ujarnya bersama gelak kecil. Membuat Julia diam dan Shahril tersengih.
“Kami tak jemput kau. But, that’s not our fault. Kau hilang macam chipsmore,” Shahril bersuara tiba-tiba membuat Nurul Huda tergelak.
“Aku tahu. As long as kau orang masih ingatkan aku, itu pun dah memandai,”
“Memanglah kita orang ingat. Dulukan kita dah berjanji, yang kita akan keep in touch… forever. Tapi kau mungkir janji,” Julia bersuara perlahan. Di wajahnya terpamer rasa tidak puas hati terhadap temannya itu. Nurul Huda Cuma tersenyum. Namun, senyumannya kini, sedikit kelat. Julia sudah mula merajuk. Ternyata perangai sahabatnya ini tidak pernah berubah. Masih cepat merajuk seperti dahulu.
“Hai… dah jadi isteri orang pun suka merajuk lagi ke?” gurau Nurul Huda. Cuba untuk mengembalikan keceriaan Julia. Julia tersenyum kecil mendengar kata-kata itu.
“Dan kau…masih pandai hilangkan rajuk aku. Seperti dulu juga ya,” Julia membalas kata-kata Nurul Huda dengan wajah yang sedikit ceria. Shahril Cuma tersenyum melihat gelagat dua wanita di hadapannya. Dua sabahat yang sudah lama terpisah. Nurul Huda pergi meninggalkan teman-teman macam itu sahaja. Meninggalkan seribu persoalan bukan sahaja di hatinya. malah di hati teman-temannya yang lain juga.
“Ke mana kau menghilangkan diri?” soal Shahril setelah agak lama menjadi pemerhati. Ingin mendengar cerita Nurul Huda.
“Aku further study kat UK. Bermastautin di sana. Cukup? Need more explanation?”
“Sampai lupa kawan-kawan kat sini?” soal Julia dengan nada merajuk.
“Alaa… merajuk lagi. No. No.. Aku tak pernah lupakan kau orang semua. Aku ingat. Sentiasa bermain kat fikiran aku ni. Cuma jarak yang memisahkan kita. Seriously, aku tak pernah lupakan kawan-kawan aku,”
“Tak pernah lupa, sampai tak jemput ke perkahwinan kau. Tak sempat atau apa? Apa alasan yang kau nak bagi?” soal Julia masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Nurul Huda. Soalan yang membuatkan Nurul Huda terdiam. Juga membuatkan Shahril sedikit terperanjat. Kejutan lagi. Nurul Huda sudah berkahwin? Dia memandang wajah itu. Seakan tidak percaya dengan cerita yang baru meniti di bibir isterinya.
“So, kau dah kahwin?” soal Shahril sambil memandang wajah Nurul Huda yang terkedu.
“I’m sorry about that, Julia. Aku tak tahu macam mana nak explain, and… I really not interested to talk about my marriage. Change topic, please…”
“Apa nak buat. Aku tak boleh paksa kau,” Julia bersuara hampa. Wajah Shahril turut hampa. Sangkanya dia dapta mengorek cerita di sebalik kehilangan temannya itu.
“Hei.. janganlah macam ni. Aku tak nak rosakkan pertemuan ni,”
“Kau dah pandai berahsia,”Julia bersuara perlahan. Sudah berjauh hati. Nurul Huda mengeluh perlahan.
“I’ll tell you. Someday. But not today ok?” Nurul Huda cuba berdiplomasi. Ternyata berjaya membuat Julia tersenyum semula. Dia turut tersenyum. Sekurang-kurangnya, taktiknya mendatangkan hasil. Suasana yang agak suram tadi kembali ceria.
“Kau dah janji dengan aku. Aku akan tuntut nanti,”
“Aku akan tunaikan janji aku. Tapi bila dah sampai masanya nanti,”
Julia mengangguk sambil tersenyum senang. Shahril kekal sebagai pemerhati. Itu perjanjian antara orang perempuan. Dia tidak termasuk di dalam agenda itu.
“Kau tak bawa anak kau sekali?”
Shahril terkedu. Satu lagi soalan Julia membuat dia lebih terkejut.
“Wait! Kau dah ada anak?” soal Shahril tiba-tiba. Memang terkejut dengan berita baru yang keluar dari mulut isterinya itu. Nurul Huda hanya tersenyum. Perlahan dia mengangguk. Di kepalanya bagai sudah terbayang yang hidupnya selepas ini bakal berdepan dengan masalah. Masalah yang cuba dia elak selama lima tahun kebelakangan ini.
“Kau tak nampak macam seorang ibu. Macam anak dara,”
Nurul Huda tergelak.
“Mengarutlah kau ni Shah,”
Shahril tersenyum.
“Kau muncul dengan pelbagai kejutan. Kahwin tak cakap. Even, cakap pasal perkahwinan kau pun, kau tak nak. Now, anak pula,”Shahril bersuara dengan nada tidak percaya.
“Kenapa tak bawak sekali?” soal Julia lagi.
“Dia leka dengan mak saudara aku. Tak naklah aku kacau. Lagi pun dia tu nakal. Susah nak handle. Nanti, tak pasal-pasal rosak pertemuan ni,”
“Aku teringin nak tengok anak kau. How old is he?”
“Four,”
“Empat tahun? That’s mean, kau kahwin sebaik kita habis belajar? And you keep it as a secret? Cukup lama kau berahsia ya?,” Ujar Julia sambil merenung mata Nurul Huda. Nurul Huda tersenyum nipis. Hatinya amat berharap agar kata-kata Julia tidak berakhir dengan satu lagi soalan yang bisa membuat dia terdiam lagi. Seolah-olah faham dengan apa yang sedang bermain di hati Nurul Huda, Julia tidak lagi mengajukan soalan. Walhal di kepalanya berserabut dengan seribu persoalan.
“So, lepas habis belajar dulu, kau orang masih saling berhubung ke?”soal Nurul Huda Cuma mengubah topic perbualan.
“Masih. Dan macam-macam dah berlaku selama empat tahun ini. Nanti, bolehlah kita berkumpul ramai-ramai ya. Buat reunion. Macam mana? Mesti best kan?” tiba-tiba Julia memberi cadangan yang seolah-olah mahu melucutkan ulu hatinya. Mengarut.! Betul-betul mengarut.
“Selalu jumpa dengan kawan-kawan yang lain ke?” sekali lagi dia mengajukan soalan. Sekadar untuk menutup wajah yang tergamam dek kerana terkejut mendengar cadangan bernas Julia.
“Selalu,” jawab Julia sepatah. Nurul Huda diam. Mudah saja wajah-wajah kenangan muncul di mindanya. Bagaimana kehidupan Fairuz sekarang? Sudah bertemu dengan pengganti idaman hatikah dia? Kasihan lelaki itu. Tangannya bertepuk sebelah. Namun, cintanya teramat utuh.
“Aku akan tunggu sampai jodoh aku dengannya, Huda. Itu janji aku pada diri aku sendiri. InsyaAllah kalau ada jodoh, dia tetap akan menjadi milik aku,”
Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Cinta Fairuz Cuma dia yang tahu, sebagaimana cintanya, juga Cuma Fairuz yang tahu. Ingin sekali dia bertemu dengan temannya yang satu itu. Nampaknya, Fairuz teguh memegang janji. Kalau tidak, masakan Julia tidak tahu cerita yang terpendam selama lebih tujuh tahun itu. Cerita yang mengajarnya erti cemburu dan juga erti sayang. Meski cemburu dan sayangnya tiada siapa yang tahu. Namun, kesannya tersemat di hati hingga ke hari ini.
“Huda! Huda!,”
Nurul Huda tersentak apabila namanya dipanggil bertalu. Dia mengelamun rupanya.
“Jauh melamun. Ingatkan siapa?” Shahril pula membuka bicara. Nurul Huda menggeleng perlahan.
“So, apa kau buat sekarang?” Shahril mula mengorek maklumat
“Aku baru balik ke sini. Belum terfikir lagi. insyaAllah next week aku ada satu temuduga kat KL,”
“Baguslah tu. Semua akan berkumpul di satu tempat. Senanglah nak jumpa. Kan abang?”
Shahril mengangguk perlahan sedang Nurul Huda tersenyum kelat. Berkumpul? Tidak mungkin. Dia tidak mahu muncul di dalam perhimpunan itu. namun, mampukah dia menolak lagi? Kuarkah dia untuk berdepan dengan pelbagai situasi yang cuba dia elak selama ini? Dadanya berombak tiba-tiba.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: