Sunday, February 22, 2009

Kuseru Rindu Itu... 19

“Borhan serius ingin kembali pada kau, Ayu,”
“Aku juga tak pernah main-main untuk buang nama tu dari hidup aku,”
Dia mendengar Hasmieza mengeluh perlahan.
“Kau tak tahu apa yang telah terjadi pada Borhan. Apa yang dia alami selama tujuh tahun dia terputus hubungan dengan kita,”
“Memang aku tak tahu. Aku pun sebenarnya tak nak ambil tahu. Please Mieza. Aku betul-betul tak nak ambil tahu pasal Borhan,”
“Dalam dendam kau pada Borhan,”
“Bukan dendam. Cuma, bagi aku semuanya dah jadi sejarah. Aku tak perlu nak ingat semua tu,”
“Kau akan buat benda yang sama ke pada Hisyam nanti?,”
Dia terkedu mendengar soalan itu.
“Maksud kau?,”
“Yalah. Dengan kecurangan Hisyam. Kau akan benci Hisyam seperti kau benci Borhan ke?,”
“Mieza. Borhan lain. Hisyam lain. Hisyam tak pernah bohong pada aku. Mungkin dia kecewakan aku dengan kecurangan tu. Tapi, aku tahu dia berhak. Dia berhak rasa apa yang dia cari selama ini. Sudah banyak sangat usaha dia untuk senangkan hati aku. Dia tak pernah bohong tentang perasaannya pada aku. Cuma dia diamkan saja. Aku tahu. Dia diam sebab dia tak nak aku kecewa. Dia tahu aku cintakan dia. Dan dia pula langsung tak ada perasaan itu pada aku. Dengan Hisyam, akulah sebenarnya yang kejam. Aku berusaha nafikan kebahagiaan dia dengan gadis tu, sebab aku mahu terus hidup dengan dia,”
“Kau tak kejam. Kau Cuma lindungi hak kau. Dan, sedikit pengecut untuk berdepan dengan kenyataan,”
“Aku tak nafikan itu kenyataan tu. Memang aku takut. Aku takut aku akan kehilangan Hisyam,”
“Tapi, aku masih tak nampak apa bezanya Hisyam dengan Borhan? Mereka sama-sama curang pada kau,”
“Borhan mengaku cuma aku yang ada di hatinya. Mengaku cintakan aku. Tapi, apa dia buat? Dia hilang dan cari perempuan lain. Dia curang. Tapi dia terus nafikan. Paling aku tak boleh terima, cara dia nak buang aku dari hidup dia. Dia gunakan abah aku. Dia ambil kesempatan atas apa yang berlaku. Aku tak boleh terima bila dia buat aku macam tu,”
Perbualan melalui telefon dengan Hasmieza dua hari lalu, kembali mengocak ketenangan fikirannya. Kadang-kadang hatinya tertanya-tanya mengapa Hasmieza begitu bersungguh-sungguh menyuarakan hasrat Borhan padanya. Sudah lupakah Hasmieza betapa hancur perasaannya tujuh tahun dulu. Betapa hebat Borhan memainkan peranan demi menutup kesalahan sendiri. Kenapa tiba-tiba Hasmieza seperti membela Borhan? Persoalan demi persoalan tentang Borhan, menjelmakan kembali bayang lelaki di ruang ingatannya.
“Ayu tak boleh terima semua ni. Ayu tak nak kahwin dengan dia. Ayu tak mahu kehilangan Han. Ayu cintakan Han. Ayu nak kahwin dengan Han, bukan dengan lelaki tu,”
“Tapi, dia kan tunang Ayu,”
“Ayu tak peduli. Ayu tak nak kahwin dengan dia. Ayu cuma nak kahwin dengan Han. Ayu nak jadi isteri Han. Kita mesti lakukan sesuatu, Han,”
“Apa lagi yang mampu kita buat Ayu? Ini keputusan abah Ayu. Lelaki tu pilihan abah Ayu. Mana mungkin kita boleh ubah semua tu,”
Idayu terkedu. Merenung wajah Borhan dengan pandangan tidak percaya. Tidak mungkin Borhan boleh sepasrah ini. Reaksi Borhan seakan mengiyakan cerita Juita. Dia tidak mahu percayakan cerita-cerita itu. Yang dia tahu, dia cuma mahu bersama Borhan. Tetapi, kini, Borhan menolaknya dalam lembut.
“Han sanggup tengok Ayu kahwin dengan lelaki lain? Han sanggup lepaskan Ayu pada orang lain?,”
Borhan membisu seribu bahasa. Bisu Borhan bagai pisau yang menghiris hati. Terasa saat itu, hatinya tersayat pedih. Tanpa sedar pipinya mula basah dengan air mata. Hampir dua minggu dia tidak bercakap dengan bapanya, tanda protes keputusan yang tidak langsung dapat diterima akalnya itu. Hampir dua minggu jugalah dia mengharapkan Borhan muncul dan sama-sama berjuang demi cinta mereka. Tetapi, ternyata Borhan cuma muncul untuk menyuruh dia pasrah pada takdir. Perlahan dia menyeka air mata. Merenung wajah Borhan yang kelihatan murung.
“Kita jumpa abah? Kita pujuk abah sama-sama…,”dia terus berusaha. Berusaha untuk mengajak Borhan sama-sama berdepan dengan bapanya. Sama-sama memohon restu bapanya. Namun, hanya satu keluhan yang panjang keluar dari bibir Borhan.
“Han… please. Kita pujuk abah sama-sama. Ayu yakin, mungkin abah akan ubah keputusannya kalau kita bersungguh-sungguh…,”
“Ayu, berhenti mengharap pada benda yang mustahil, Ayu. Abah Ayu tak akan setuju. Lagipun, tentu Ayu tak nak tengok abah kena heart attack lagi. Kan?,”
“Kita cakap elok-elok dengan abah. Kita pujuk abah. Mungkin abah boleh faham,”
“Mungkin? Kalau dia tak faham?,”
Soalan Borhan membuat dia terdiam. Cuma merenung tajam wajah lelaki itu. Borhan cuma beralasan. Dia sedar tentang itu. Borhan langsung tidak mahu berusaha untuk mempertahankan hubungan mereka.
“Jadi, Han nak mengalah macam tu saja? Langsung tak nak cuba pertahankan hubungan kita ni? Kalau Han tak nak usaha langsung, kenapa Han balik ke sini? Kenapa Han datang?,”
“Han datang sebab Ayu nak Han datang,”
“Cuma sebab tu? Cuma sebab Ayu nak Han jumpa Ayu? Bukan sebab Han nak sama-sama berusaha supaya kita dapat bersama? Kalau itulah sebabnya, lebih baik Han tak payah datang,”
“Sayang… jangan macam ni. Jangan menangis…,”
“Dua minggu Ayu tak bercakap dengan abah. Kenapa? Sebab Ayu tak suka dengan keputusan abah. Sebab ayu cintakan Han. Sebab Ayu yakin, Han pun cintakan Ayu,”
“Memang Han cintakan Ayu…,”
“Tak. Han tak cintakan Ayu. Kalau Han betul-betul cintakan Ayu, Han sanggup berdepan dengan abah. Sanggup pertahankan hubungan kita ini. Tapi, sekarang… Cuma ini yang Han mampu katakan…,”
“Sebab Han tak suka semua ni. Han tak nak Ayu bermasam muka dengan abah. Han tak mahu Ayu jadi anak derhaka. Dalam situasi begini, ada baiknya kalau Han saja yang mengalah. Ayu ikutlah kehendak abah,”
Idayu menelan liur. Degup jantungnya seakan terhenti. Semudah itu Borhan melafazkan kata-kata. Semudah itu Borhan meminta perpisahan darinya.
“Ayu cintakan Han. Please…. Jangan cakap macam tu. Ayu tak sanggup kehilangan Han,”
“Ayu, mungkin kita tak ada jodoh. Terimalah tunang Ayu tu. Mungkin itu pilihan yang terbaik untuk Ayu,”
“Han..please,”
“Jangan degil sayang. Mungkin kita tak dapat bersama, tapi, percayalah. Cinta Han tak pernah berubah,”
Dalam sedu, Idayu menyeka air mata di pipi. Manisnya kata-kata Borhan. Entah kenapa, kata-kata itu, mampu menyingkirkan rasa sedihnya buat seketika. Kata-kata itu hanya membuat rasa geram beraja di hati. Hebat sungguh sandiwara Borhan. Dia sanggup lupakan kecurangan Borhan, hanya kerana mahu terus bersama dengan lelaki itu. Dia sanggup memaafkan segala perbuatan Borhan asalkan Borhan sanggup sama-sama berdepan dengan bapanya. Sama-sama memujuk dan meminta restu dari bapanya. Namun, ternyata agenda Borhan lebih halus. Dengan hanya menggunakan alasan kehendak bapanya, Borhan berjaya memutuskan hubungan ini tanpa perlu menceritakan kebenarannya.
“Han mahu Ayu terima lelaki yang Ayu tak cinta tu? Han sanggup serahkan Ayu pada dia? Kalau Han selemah ini, tak ada gunanya kita bercinta bertahun-tahun,”
“Ayu.. Ayu kena ingat. Ayu tak boleh abaikan perasaan abah Ayu macam tu saja. Han tak nak Ayu jadi anak yang ingkar,”
Idayu tergelak sinis. Sabarnya sudah sampai ke penghujung. Mungkin dia tidak perlu lagi merayu untuk cinta Borhan.
“Han memang pengecut,”
“Ayu tak boleh cakap macam tu. Apa yang Han lakukan ni, untuk kebaikan Ayu…,”
“Tak. Han bohong. Ini semua bukan untuk kebaikan Ayu. Ini semua untuk kepentingan diri Han sendiri. Han ambil kesempatan untuk melepaskan diri kan? Dengan alasan tu, Han boleh berpisah dengan Ayu tanpa perlu beritahu Ayu yang Han dah curang pada Ayu. Han dah ada pengganti Ayu. Han dah ada perempuan lain!,”
“Apa Ayu cakap ni?,”
“Ayu dah tahu segalanya. Juita dah cerita semuanya pada Ayu. Han ada perempuan lain, kan?,”
“Ayu…,”
“Kenapa? Kenapa mesti bohong? Kenapa mesti tipu Ayu macam ni? Kenapa Han tak berterus saja? Kenapa mesti beri semua alasan tu? Cakap sajalah, Han sudah ada pengganti Ayu. Han dah tak perlukan Ayu. Kenapa perlu bohong pada Ayu? Han tahu Ayu tak suka orang bohong pada Ayu! Tapi, Han buat juga!,”bertubi-tubi soalan Idayu bersama esakan yang tersekat-sekat.
“Ayu, Han tak bermaksud nak tipu Ayu. Jauh sekali nak lukakan hati Ayu. Tapi, Han tak sampai hati nak tambah cerita sedih pada Ayu…,”
“Han bohong. Han Cuma nak pergi tanpa rasa bersalah pada Ayu. Han cuba jadi lelaki mulia yang sanggup berkorban. Ayu tak boleh terima sikap Han macam tu. Han tahu tak? Ayu tahu segalanya. Ayu sanggup lupakan semua tu. Ayu maafkan perbuatan Han sebab Ayu cintakan Han. Ayu Cuma nak kita sama-sama jumpa abah. Sebab.. seban Ayu tak sanggup kehilangan Han. Tapi, tengoklah apa yang Ayu dapat? Han hancurkan segala-galanya. Berkali-kali Han tipu Ayu. Berkali-kali Han lukakan hati Ayu,”
‘Ayu. Jangan cakap macam tu. Jangan menangis lagi sayang. Han tak sanggup tengok Ayu menangis. I’m sorry okay. So sorry. Han tak sengaja…,”
Perlahan Idayu menyeka air mata. Merenung wajah serba salah Borhan.
“Han nak Ayu terima lelaki tu kan? Okay. Ayu akan kahwin dengan dia. Dan, untuk Han…terima kasih banyak-banyak sebabkan lukakan hati Ayu sampai macam ni sekali,”
“Ayu, please jangan cakap macam tu. Han tak bermaksud macam tu. Han boleh jelaskan pada Ayu,”
“Cukup Han. Jangan diajar lidah tu, untuk terus berbohong. Cukuplah setakat ini. Ayu dah tak larat nak dengar bohong Han lagi,”
“Ayu, dengar dulu penjelasan Han,”Borhan mencapai jemarinya, dan dengan kuat dia menarik tangannya. Berlalu meninggalkan Borhan. Berkali-kali dia nekad tidak mahu menangis namun, air mata bagai hujan yang terus membasahi pipinya. Bertahun dia menyulam cinta dengan lelaki itu. Tetapi, saat itu, segalanya bagai direntap kuat darinya. Dia benar-benar terluka.
Dia tersentak tatkala pen di tangannya terjatuh ke meja.
“Astaghrafilullahal’Azim…,”gumamnya perlahan. Menyedari terlalu jauh dia melayan kenangan. Perlahan dia menggeleng sambil mencapai semula pen yang terjatuh. Ketukan perlahan dari pintu biliknya, membuat dia menoleh. Hisyam bersandar di pintu sambil memeluk tubuh. Dia mengukir senyum. Senyumnya berbalas dan Hisyam melangkah perlahan sambil menutup pintu bilik.
“Jauh termenung. Apa yang Ayu fikirkan?,”
Idayu tergelak malu. Rupa-rupanya Hisyam menyedari menungannya yang panjang.
“Mana ada?,”
Hisyam tersenyum panjang.
“Abang intercom tak dapat. Call handphone tak jawab. Kemudian abang ke sini. Berdiri kat pintu tu, hampir lima belas minit,”ujar Hisyam sambil mengambil tempat di kerusi di hadapan Idayu. Merenung wajah Idayu tanpa berkelip. Menunggu kalau-kalau Idayu ada sebarang penjelasan untuknya. Namun, yang dia dapat cuma senyum manis yang sentiasa menghiasi seulas bibir itu. Mulut Idayu seakan terkunci. Perlahan Hisyam mengangkat punggung. Bergerak menghampiri Idayu. Bertenggek di meja, hampir dengan Idayu.
“Kenapa ni? Ayu tak sihat ke?,”soalnya lembut sambil menyentuh wajah Idayu. Idayu tersenyum sambil memegang jemari Hisyam yang mengusap lembut pipinya.
“Ayu tak apa-apalah,”jawab Idayu pendek sambil matanya memandang wajah Hisyam yang kelihatan sedikit risau. Hisyan tersenyum.
“Kalau tak apa-apa, kenapa panjang benar lamunannya tu? Ayu ada masalah? Cakap dengan abang,”
“Betul. Ayu okay. Cuma mengelamun. Teringat kenangan lama,”Idayu cuba meyakinkan Hisyam bersama senyum yang cukup lebar.
“Oh… ingat kenangan manis ke, kenangan pahit?,”
“Semuanya lah,”
Hisyam berpeluk tubuh sambil mengamati wajah Idayu.
“Semuanya?
“Ha ah. Semuanya,”
“Kenapa tiba-tiba?,”bibir Hisyam mencipta satu lagi soalan. Soalan yang cuma dijawab dengan senyum lebar Idayu seperti sebelumnya juga.
“Apa hal abang cari Ayu?,”soal Idayu mengubah tajuk perbualan. Hisyam mengeluh sambil menggeleng perlahan.
“Cuba tengok jam tu,”
Idayu menurut. Memandang jam di dinding. Hampir pukul tujuh petang.
“Ya ALLAH. Dah dekat pukul tujuh rupanya…,”
“Ya ALLAH. Dah dekat pukul tujuh rupanya…,”Hisyam mengejek sambil mengulang kata-kata Idayu. Membuat idayu tergelak kecil. Lengan Hisyam dipukul perlahan. Hisyam tersenyum senang.
“Sorrylah bang. Ayu tak sedar langsung. Abang dah nak balik ya? Ayu kemas meja kejap,”ujar Idayu sambil tangannya lincah mengemas mejanya yang sedikit berselerak. Tangan Hisyam cepat mencapai jemarinya. Membuat kerja mengemasnya terhenti tiba-tiba.
“Kenapa tiba-tiba saja teringat kisah lama?,”
Idayu tergelak kecil. Rupa-rupanya Hisyam mengharapkan jawapan untuk soalan itu.
“Entahlah. Cuma, bila sesekali teringat kisah lama, rasanya terlalu banyak perkara yang berlaku selama ini. Kan, bang?,”
Hisyam diam. Perlahan dia menarik tangan Idayu. Idayu menurut. Bangkit dari kerusinya dan berdiri di hadapan Hisyam yang masih bertenggek di mejanya. Hisyam menepuk meja. Memberi isyarat agar Idayu melabuhkan punggung di sebelahnya. Idayu akur.
“Terlalu banyak…,”akhirnya dia memberi jawapan yang cukup ringkas sambil membawa jemari Idayu ke bibirnya. Mengucup perlahan jemari itu sebelum membiarkan jemari Idayu terus erat di dalam genggamannya. Idayu tersenyum senang. Sesungguhnya layanan inilah yang membuat hatinya sering berbunga bahagia. Kemesraan Hisyam sedikit pun tidak berubah walaupun usia perkahwinan mereka sudah masuk tahun ketujuh.
“Ayu ingat lagi kata-kata keramat abang pada malam perkahwinan kita,”ujar Idayu sambil menatap wajah Hisyam. Hisyam mengerutkan kening.
“Kata-kata keramat?,”
“Kalau awak keberatan untuk berpisah, terpaksalah kita jadi pelakon di hadapan parents masing-masing. Dan, awak tak boleh salahkan saya. Ini pilihan awak. Awak yang mahu teruskan perkahwinan ini, kan? So, selamat datang ke dunia pura-pura kita. Harap awak gembira dengan pilihan awak ni..,”Idayu bersuara sambil meniru gaya percakapan Hisyam. Membuat Hisyam tergelak. Spontan tangannya menarik perlahan hidung Idayu.
“Oh please… don’t remind me that words..,”
Idayu turut tergelak.
“Waktu tu, abang memang pelakon hebat. Paling hebat pernah Ayu jumpa. Rosyam Nor pun boleh kalah dengan lakonan abang, tahu?,”sambung Idayu setelah tawa mereka sedikit reda.
“Itu semua dah terlalu lama berlalu. Tak sangka Ayu masih ingat kata-kata tu,”
“Mana mungkin Ayu lupa, bang? Mana ada orang yang bincang pasal cerai di malam pertama perkahwinan mereka? Cuma abang saja orangnya..,”
“Please Ayu. Jangan ingatkan lagi. Abang tak mahu ingat semua tu,”
Idayu tersenyum.
“Kenapa Ayu ungkit semua tu?,”Hisyam bersuara lagi sambil mengusap lembut jemari Idayu. Idayu tersenyum sambil menggeleng perlahan .
“Ada apa-apa yang Ayu nak cakap pada abang ke?,”soalnya lagi. Rasa hairan membuat dia resah. Resah dengan topik yang ditimbulkan Idayu saat ini.
Idayu menggeleng lagi.
“Tak ada apa-apa. Ayu Cuma teringatkan kisah lama. Itu saja. Ayu teringat berulang kali abang cakap, tak mungkin abang boleh bahagiakan Ayu. Tapi, kenyataannya, Ayu adalah perempuan yang paling bahagia di dunia ini. Abang cakap, tak mungkin kita boleh bertahan sebagai suami isteri. Tapi, hakikatnya, sudah lebih tujuh tahun, abang tetap suami Ayu. Dan Ayu masih isteri abang. Ayu miliki semuanya bang. Bahagia… Abang… Mak… Ayah… Syafiq… Ayu cukup bahagia bang. Mungkin yang Ayu tak dapat, Cuma cinta abang…,”
Hisyam Cuma menjadi pendengar. Bicara Idayu turut mengheretnya ke alam kenangan. Benar kata Idayu. Masa terus berlalu dan dia masih kekal menjadi suami Idayu. Walau sekuat mana dia cuba membuang Idayu satu ketika dulu, sekuat itu jugalah jodoh ini mengikat mereka.
“Kadang-kadang Ayu tertanya sendiri. Apakah sebenarnya yang telah mengikat kita selama tujuh tahun ini?,”
Hisyam menarik nafas panjang. Soalan Idayu dibiarkan sepi. Bukan tidak mahu menjawab, tetapi dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu.
“Abang rasa, dalam masa tujuh tahun lagi, kita akan tetap bahagia seperti sekarang tak? Atau.. akan ada perubahan lain lagi dalam hidup kita?,”soal Idayu sambil matanya merenung dalam ke mata Hisyam. Kebimbangan yang menghantui dirinya, memaksa dia merisik kedudukannya di dalam hidup lelaki itu. Pentingkah lagi dia di dalam hidup Hisyam? Atau… sudah sampai masanya untuk Hisyam menyingkirnya demi cinta lelaki itu?
“Ayu… kita tak boleh duga apa yang akan berlaku. Tapi, pada abang…abang nak kita selamanya begini,”Hisyam menjawab dengan nada perlahan. Soalan demi soalan dari Idayu Cuma membuat jantungnya berdegup kencang. Soalan tulus Idayu segera membuat dia teringat pada kecurangannya. Takut, Idayu tahu tentang itu. Saat ini dia sedar, dia tidak sanggup melihat Idayu terluka andai kisah antara dia dengan Maisara sampai ke pengetahuan Idayu. Walau segunung cintanya pada Maisara, dia tetap tidak sanggup untuk melukakan hati Idayu. Mengapa? Mengapa begitu perasaannya? Mungkinkah kebaikan dan ketulusan hati wanita itu telah menyemai benih simpati yang tidak bertepi di hatinya?
“Abang… sepanjang perkahwinan kita, abang pernah rasa menyesal tak?,”Idayu bertanya lagi. Soalan yang membuat Hisyam termangu lagi.
“Kenapa ni Ayu? Kenapa Tanya soalan yang bukan-bukan ni?,”soal Hisyam lembut. Dia sudah mula berasa kurang senang dengan topic perbualan ini.
“Pernah?,”Idayu mengulangi soalannya. Hisyam mengeluh perlahan. Perlahan juga dia berdiri di hadapan Idayu. Memegang kedua-dua tangan isterinya itu.
“Tak. Abang tak pernah menyesal. Semua yang berlaku tu, sudah tersurat. Tak ada apa yang hendak dikesalkan. Tapi, tak tahulah kalau-kalau Ayu menyesal…,”
Idayu tergelak kecil.
“Ayu?,”
“Ha ah. Ayu menyesal ke?,”
“Jawapan Ayu masih sama seperti jawapan Ayu tujuh tahun dulu. Cuma, barangkali hari ini ada penambahan sikit,”
“Penambahan? Penambahan apa?,”
“Ayu bersyukur kerana takdir menemukan kita. Bersyukur kerana takdir menjadikan abang sebagai suami Ayu. Dan, Ayu berdoa semoga kebahagiaan ini kekal sehingga ke akhir hayat Ayu…,”
“Sshhhh….abang tak suka Ayu cakap macam tu. Of course kita akan begini sampai bila-bila…,”
Idayu tersenyum. Hisyam menahan nafas. Tersentuh dengan bicara isterinya itu. Perlahan dia menarik Idayu ke dalam pelukannya. Mengusap lembut kepala Idayu yang tertutup dek tudung merah jambu. Berasa pelukannya berbalas, perlahan dia mengucup kepala Idayu. Tanpa sedar, bibir matanya panas dengan air mata.
“Ayu jangan cakap macam ni lagi. Abang tak sanggup nak dengar…,”bisiknya perlahan.
Idayu tersenyum. Pelukannya dieratkan. Sungguh. Dia terlalu mencintai lelaki ini. Melebihi cintanya pada Borhan.
‘Ayu cintakan abang…..selama-lamanya…,’hatinya berbisik lagi. Dia dia hanyut dalam rangkulan mesra Hisyam. Damai berada di dalam pelukan Hisyam.
“Hurm…. Cukuplah tu. Jom kita pulang. Dah lewat ni,”Hisyam bersuara sedikit garau. Cuba bersuara tenang dan cuba membuang rasa tersentuh yang mengundang air mata di tubir mata. Pelukannya dileraikan perlahan.
Idayu memandang jam di dinding. Rupa-rupanya sudah lebih setengah jam mereka berbual.
“Kita solat Maghrib dululah. Nanti takut tak sempat…,”saran Idayu sambil berpaling menyambung kerja mengemasnya yang terhenti.
“Okay,”balas Hisyam sambil terus menatap seraut wajah itu. Kenapalah tiada cinta yang hadir untuk wanita ini?

***

22 comments:

yunix77 said...

hanni....ada typo. tetiba keluar nama Sabrina. olease edit.

btw, saya dah ingat2 lupa dgn novel ni. dok follow PAM saja. hehe

LeaQistina said...

a'ah la kak hanni.. ada termasuk nama sabrina lak.. patutnya Idayu..

apa pun.. citer ni mmg slalu mengundang debaran..

nurhakim said...

ye ke de nm sabrina plk??
xprsan lah plk...
t nk check jp..
pe2 pn best lah kak hanni..
jln cte nie dah ingat2 lpa dah..
lm sgt trtngguh...
next n3 jgn tngguh lm2 tau kak hanni.
smbng cpat skt tau kak hanni.

nin said...

TQ k.hanni.. bab kali ni mninggalkan rasa sebak d hati saya..

nape hisham x sedar smua perasaan yg ada pd dirinya thdp ayu..
sy rasa sedih bla hisham bt cm2 kt ayu, apapun ayu mmg tabah..

chaiyok k.hanni

fara88 said...

kak hanni...
cepatla kembangkan citer ni...biar hisyam 2 menyesal...x sabar nak tgu..
baru dia tau sapa yg dia cinta....

misz nana said...

mulianya hati ayu.. walaupun tau hisyam curang..
tapi x leh paksa hisyam gak kalau betul cinta belum hadir dalam hati dia..
harap2 akan ada cinta hisyam untuk ayu nanti..
lepas apa yg borhan dah wat kat ayu, rasanya ayu berhak dapat kebahagiaan ngan hisyam..
or maybe ada hero lain dalam cite ni.. hee..
x mo la ayu terus dicurangi oleh lelaki yg dia betul2 cinta..

~~Lolipop~~ said...

ahh..
trimas 4 da new n3..
lame sy tggu...
klu bace cite ni kompom mood sedih tu dtg..
huhuhu..
hisyam..hisyam...
hmm..
xtau nak kate ape....

sedarlah sblom terlmbt..

Anonymous said...

kalo tu bkn cinta, abes tu prasan x nk lpskn org yg disisi di pngil ape?

plik la hisyam ni.
bnci pon ada...

huhuhu emo2....

~rina~

p.i.n.a.t said...

aish la hisyam ni..
payah btol..

erm..sedey la cite ni kak..
tiap kali bace msti tersentuh punye..

atashinci said...

eeee.....kalau baca cite ni....
mesti sedih sgt...
xtau knape....mesti meleleh airmata
Hisyam........apa yg dicari agaknye.....
Ayu.......lepaskan je diri dri Hisyam......
biar dia rasa macam mana bila ayu dh xhidup dgn dia.....
benci hisyam.....

nana_yoong said...

xnak benci sape2..tu la perasaan..tapi yg plg sakit sekrg ni ayu la,,cedehnyerrrrr

Anonymous said...

Berharap saya boleh menjadi seorang isteri setabah ayu dan redha seperti ayu.

cahaya_halina said...

Eee... tak fahamlah... kalau tak cinta apa ker namanya tu... takkan kasihan kot...
Agaknya ego Hisyam tu setinggi gunung kot..he..he

ixoraus said...

assalammualaikum..hai kak.
cerita akak semua best..tp cerita ni betul2 menyentuh perasaan sy. Ermm..tak sabar nak tau ending. harap2 kesudahan cerita ni...ayu berjaya kecapi kebahagian. setelah sekian lama berkorban dn derita kerana org tersayang.
(sblm ni hanya jd pembaca je..tp hr ni tergatal nak komen. Apa2pun sy doakan akak terus berjaya dalam dunia penulisan.)
ixoraus1

Anonymous said...

hisyam tu tak mau lagi nak ngaku dia cintakan ayu..

dlu kan ade pepatah melayu.. tp tak ingtla sape.. hamka ker sape ntah..

yg dia ckp cinta itu dtg dari berbagai pintu.. pintu kasih.. pintu ape2 ntah lg.. pastu ayat yg last skali.. cinta yg mendalam dah suci itu datangnya dari pintu simpati.. kan cinta hisyam tu dari pintu simpati.. so betul la pepatah lame tu ckp .. hehe.. kene cari la buku lame2..

Anonymous said...

ego nyer seorg lelaki mengaku perasn sndr...

Anonymous said...

semua emo2 yer..
hahhahah..tue hanya citer je
jgn sedih ok
sokong k.hanni......huhuhuhu

iLiAiSyAh said...

nak pam!!

Nur_rieN said...

bergenang air mata sy bc smbungan citer kak hanni nie....
good job kak hanni.

lyza2474 said...

sedihnyerrr..... warghhhhhhhh....

kair_yka said...

akak hanni..

bile nk sambung cite ni ....

ke nk di buku kn gak...

bes r cite ni ...

novel akak sume best....

all d best

arap2 gtau ea kalo btl nk di bukukan

luv....pEaCe

Anonymous said...

hai.....
kenapalah hisyam tu ego sangat arr....x sanggup mengakui yg dia sememangnya cintakan ayu.....tabik ngan ayu sbb dia sangat tabah....

[11:35:50 PM] hos.getah: