Saturday, January 8, 2011

Kuseru Rindu Itu... 30

Untuk ke sekian kalinya, dia meraup wajah. Matanya terarah pada jam di dinding. Sudah hampir pukul sebelas. Sekali lagi tangannya mendail nombor telefon Idayu. Sama seperti sebelumnya, panggilannya tidak berangkat. Sebaik keluar dari pejabat, Idayu terus menghilang. Sangkanya Idayu pulang ke rumah. Tetapi, ternyata tekaannya meleset. Idayu tiada di rumah sebaik dia sampai di rumah.
            Telefon di tangan dipandang hampa. Sudah berpuluh pesanan dihantar ke nombor Idayu. Sudah berpuluh panggilan juga sudah dibuat. Semuanya tidak berbalas. Marah benar Idayu padanya.
            “Apa dah jadi ni, Syam?,”
            Hisyam mengangkat muka. Mak Teh tercegat di hadapannya. Dia mengeluh perlahan. Mak Teh menagih penjelasan dari rasa pelik yang mengganggunya sejak daripada petang tadi.
            “Afiq dah tidur?,”dia mengalih persoalan.
            “Sudah. Ayu ni. Dia  ke mana sebenarnya? Tak pernah dia pulang lewat macam ni,”
            Hisyam diam. Apa yang hendak dia cakapkan pada pembantu rumahnya itu. Dia tahu Mak Teh mengesyaki sesuatu. Dan, bukanlah satu perkara mudah untuk dia berbohong pada orang tua itu.
            “Kamu berdua bergaduh, ya? Apa puncanya sampai Ayu tak balik rumah ni?,”
            “Ada salah faham sikit Mak Teh. Kejap lagi baliklah tu,”
            “Tak pernah Ayu buat macam ni. Bukan kecil salah fahamnya ni,”
            “Mak Teh masuk tidur dululah. Saya nak tunggu Ayu,”Hisyam berusaha  mengalih topik perbincangan. Mak Teh diam seketika. Sungguh dia tidak sedap hati melihat kerisauan yang terpancar di wajah Hisyam. Sedalam mana pun Hisyam mahu sembunyikan gelodak perasaannya, dia tetap tahu Hisyam di dalam keadaan tertekan.
            “Yalah. Mak Teh masuk tidur dulu. Nanti bincang elok-elok ya. Jangan panjangkan masalah yang sikit-sikit,”
            Hisyam cuma mengangguk lemah. Mak Teh mengorak langkah. Meninggalkan dia sendirian di ruang tamu. Tanpa wajah Idayu, ternyata dunianya terasa sepi tiba-tiba. Buntu fikirannya memikirkan ke mana hala yang dituju Idayu. Kebuntuan pecah seketika diganggu dek irama true tone dari telefon bimbitnya. Kepala dijengah sedikit. Nama Maisara terpapar di screen telefon membuat dia mengeluh lagi. Daripada petang tadi, panggilan itu dibiarkan saja. Dia terlalu kusut untuk melayan kerenah Maisara saat ini. Jeritan yang berulang memaksa dia mencapai telefon.
            “Hello, Sara,”
            “Abang! Sampai hati buat Sara macam ni ya. Macam orang gila Sara call abang dari petang tadi tau. Dah lah petang tadi tinggalkan Sara sorang-sorang kat office abang,”
            “Abang call Sara nanti. Okay?,”
            “Kenapa? Sibuk nak pujuk bini abang tu ke? Tak cinta konon. Abang ni memang penipu,”
            “Sara, jangan cakap macam tu. Sara kena faham…,”kata-kata terputus. Terkedu seketika melihat Idayu yang sudah tercegat di pintu. Talian telefon segera diputuskan. Telefon dicampak ke sofa. Pantas dia berdiri mendapatkan Idayu yang jelas teramat sugul.
            “Ayu. Ayu ke mana?,”
            “Sambunglah bersembang. Ayu naik dulu,”Idayu bersuara lemah. Lemah hatinya melihat suaminya masih boleh berbual dengan kekasih hati,  di saat hatinya terguris bukan sedikit. Dia tahu Hisyam sedang memujuk pemilik nama Maisara itu. Dia? Barangkali pujukan itu tidak layak untuknya.
            “Ayu… Ayu jangan macam ni. Ayu ke mana? Risau abang,”
            Risau? Benarkah lelaki ini risaukan dia? Idayu diam. Langkah dihayun lemah. Sesungguhnya saat ini, dia tidak mahu menatap wajah Hisyam. Untuk berbincang dengan Hisyam, seribu kali dia tidak mahu. Dia perlu kuatkan semangatnya terlebih dahulu.
            “Ayu..,”
            Pegangan Hisyam menghalang langkahnya.
            “Ayu minta maaf. Pulang lewat. Call abang Ayu tak jawab. Tapi, Ayu rasa abang boleh faham perasaan Ayu, kan,”
            Hisyam bungkam. Sukar menerima rajuk Idayu dengan hanya berdiam diri. Untuk bersuara, sungguh dia tidak tahu apa yang perlu dia cakapkan.
            “Ayu, abang minta maaf…,”
            “Please bang. Ayu nak bersendirian. Ayu tak bersedia nak berdepan dengan semua ni. Jujurnya, Ayu tak bersedia nak berdepan dengan abang. Ayu minta abang bagi Ayu ruang,”
            “Ayu jangan macam ni. Jangan buat abang macam ni. Abang tahu abang salah. Tolonglah maafkan abang,”
            Perlahan air mata menitis di pipinya. Air mata yang sudah hampir satu hari membanjiri pipinya. Perlukah Hisyam memohon maaf? Perlukah pula dia memaafkan Hisyam? Walau hakikatnya dia terluka, tindakan Hisyam barangkali tidak salah. Hisyam cuma mencari sesuatu yang patut dia miliki. Dan, sesuatu itu bukanlah dirinya. Menyedari hal itu, membuat air mata semakin melaju di pipinya. Dalam tangisan yang kembali singgah, dia merenung wajah Hisyam. Mencari kalau –kalau ada sejalur harapan untuk dia membenci lelaki itu. Namun, tetap sahaja, rasa cinta yang melimpah di hati apabila matanya merenung sepasang bening mata Hisyam yang sarat dengan kesalan.
            “Marahlah abang. Please Ayu, marahlah abang. Abang sanggup. Tapi, jangan diam macam ni. Abang tak sanggup tengok Ayu macam ni,”
            “Tak ada apa yang hendak dimaafkan bang. Tak ada apa juga yang Ayu perlu marah. Abang tak buat salah pun. Abang pernah ingatkan pasal ni pada Ayu dulu. Ayu yang salah, sebab Ayu tak bersedia. Tak bersedia dengan janji abang dulu,”
            “Ayu, kita bincang ya,”
            “Sekarang ni, Ayu tak nak bincang apa-apa. Ayu cuma nak bersendiri. Kalau boleh, abang izinkan Ayu tidur di bilik Syafiq, ya?,”
            Hisyam diam. Terduduk ke sofa. Inilah yang paling dia takuti. Idayu patah hati dengannya. Dia pula, hilang cara untuk memujuk. Seharusnya Idayu marah. Dan, dia bernasib baik. Dalam kemarahan itu, bicara Idayu terus lembut menjamah telinganya. Barangkali disebabkan kelembutan itulah yang membuat sesalnya makin menggunung.
            “Ayu, jangan macam ni, sayang,”
            Idayu membuang pandang. Tiba –tiba sakit hatinya mendengar panggilan itu. Kenapa panggilan sebegitu harus dia terima di saat hatinya sudah hancur? Terasa panggilan itu cuma satu umpan untuk melembutkan hatinya.
            “Ayu naik dulu. Ayu tak nak bincang apa-apa. Bila Ayu dah bersedia, dan, kalau abang nak bincang lagi pasal ni, kita bincang. Sekarang ni, Ayu tak nak fikir apa-apa pun pasal semua ni,”
            “Abang minta maaf. Walau semua benda ni terjadi, Ayu tetap sebahagian daripada hidup abang. Abang nak Ayu tahu itu,”
            Tanpa mempedulikan kata-kata itu, Idayu mengatur langkah lemah. Meniti satu demi satu anak tangga. Bagaimana penamat hubungan antara dia dan Hisyam, dia sendiri tidak pasti. Namun, saat ini dia tidak mahu memikirkan itu semua. Dia perlu tenangkan perasaan. Dia perlu tenang untuk berfikir dengan jelas.


****

            Berkali-kali dia berkalih dalam baringnya. Terlalu sukar untuk dia mengundang lena. Sekali lagi dia memandang ke sisi. Kosong. Tiada lagi wajah lena Idayu yang menemani malamnya. Perlahan dia mengusap bantal milik Idayu. Sekelip mata, dia rasakan Idayu terlalu jauh darinya. Baru pagi tadi wajah itu ceria dengan usikannya. Juga baru pagi tadi dia mengharapkan senyum Idayu terus terhias di bibir apabila jambangan mawar kuning sampai ke tangan isterinya itu. Kini, semuanya hilang begitu sahaja. Semuanya gara-gara tindakan nekad Maisara. Dan, perlukah pula dia menyalahkan Maisara sepenuhnya? Dia yang menghulur cinta pada Maisara. Dia yang mendambakan Maisara untuk mengisi ruang kosong di hatinya. Tidak mampu untuk dia salahkan Maisara sepenuhnya. Tetapi, kini, apabila Idayu menjauh, terasa satu lagi ruang kosong mula menjengah. Kekosongan yang membuat dia hilang punca. Barangkali mustahil dia boleh hidup tanpa bayang Idayu.
            Satu keluhan berat meniti di bibirnya. Sungguh dia keliru dengan perasaannya sendiri. Kalau Maisara adalah cintanya, apa pula yang sedang dia  lalui kini? Kenapa begitu besar impak perubahan Idayu mempengaruhi kecelaruan mindanya saat ini? Idayu tidak mengugut untuk memutuskan hubungan seperti Maisara. Idayu tidak mengamuk dan menghambur marah sewenang seperti Maisara. Idayu muncul di depannya dengan wajah tenang. Tetapi jiwanya tetap tidak tenteram. Perlahan dia bangkit dari baring. Mustahil dia boleh lena. Fikirannya cuma ligat memikirkan tentang Idayu. Langkah dihayun keluar dari bilik. Terus menuju ke arah bilik Syafiq. Ingin melihat Idayu. Kalau pun Idayu sudah lena diulit mimpi, dia sanggup berteleku menatap wajah Idayu. Itu lebih baik daripada bersendirian di bilik dengan fikiran yang berkecamuk. Daun pintu ditolak perlahan. Bilik Syafiq sedikit suram dengan cahaya lampu tidur. Syafiq cuma sendirian di katil. Matanya meliar. Terhenti pada susuk tubuh Idayu yang tercegat di jendela. Sangkanya Idayu sudah tidur. Ternyata Idayu juga tidak boleh lena sepertinya. Perlahan dia melangkah merapati isterinya.
            “Kenapa belum tidur? Dah lewat ni,”
            Idayu tersentak. Pantas menyapu pipi sebelum berpaling. Menatap wajah Hisyam dengan pandangan sedikit hairan. Hairan melihat Hisyam kini tercegat di hadapannya. Dia tidak mengharapkan lelaki ini muncul di saat hatinya sedang diamuk rawan. Dia risau emosi bakal menguasai keadaan dan dia akan menyesal di akhir pertelingkahan.
            “Kenapa bang?,”
            “Abang tak boleh tidur kalau Ayu tak ada,”luah Hisyam terus-terang.
            Sungguh polos menjamah Idayu. Idayu berpaling muka. Kembali merenung alam yang gelita. Hatinya tidak mampu untuk berbohong lagi. Penat untuk terus bersahaja menanggapi apa saja kerenah Hisyam, sedang jiwanya sesak menanggung seksa. Dia tidak boleh lagi berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Bibirnya susah kaku untuk mengukir senyum menutup hatinya yang menangis. Tubuh Hisyam dirasakan rapat dibelakangnya.
            “Abang tak boleh. Tak boleh lalui semua ni,”bergetar suara Hisyam menyentuh telinganya. Perlahan dia pejamkan mata.
            “Abang perlukan Ayu. Ayu nyawa abang,”
            Perlahan menitis lagi air mata di pipi Idayu. Kata-kata Hisyam dibiarkan berlalu dibawa angin dinihari. Dia tidak perlukan pujuk rayu itu. Walau ada getar sendu dialun Hisyam, hatinya tawar untuk terus menikmati indah bicara itu.
            “Abang tak tahu nak buat macam mana. Kalaulah Ayu orangnya. Selalu abang berharap biarlah Ayu orangnya…,”
            Nafas Idayu terhenti seketika. Sebak mendengar pengakuan itu. Hisyam mula membicarakan betapa dia gagal memenangi cinta lelaki itu. Membuat dia berasa Maisara telah berjaya mengalahkannya. Membuat dia berasa betapa tidak bergunanya dia pada Hisyam. Perlahan dibawa jemari ke bibirnya yang bergetar. Tidak mahu esakan pecah di sudut kamar itu. Dia tahu Hisyam ikhlas. Tetapi kenyataan itu umpama belati yang menghempas sekeping hatinya.
            “Cukup bang. Ayu tak nak dengar,”
            “Kita kena bincang, Ayu…,”
            Idayu menarik nafas dalam-dalam. Mencari kekuatan untuk bersuara lagi. Memang perlu ada perbincangan. Dia akui itu. Namun, bukan sekarang.
            “Abang keliru. Ayu pun keliru. Sebaiknya kita jangan cakap lagi pasal ni,”putus-putus dia bersuara. Berusaha melawan esak yang mula singgah. Dan gementar suara Idayu yang menyentuh gegendang telinga Hisyam, batu batu yang tiba-tiba menghempap hatinya. Pantas dipusingkan badan Idayu lalu ditarik ke dalam pelukannya. Tubuh Idayu dipeluk erat.
            “Abang minta maaf,”bisiknya hiba. Dia tahu ucapan maaf itu tidak cukup untuk mengubati luka perasaan Idayu. Namun, apa lagi yang mampu dia lakukan? Tidak mungkin dia akan membiarkan Idayu menanggung kesedihan ini sendirian.
            “Abang minta maaf sangat-sangat,”ulangnya perlahan. Tumpah air matanya menanggapi Idayu yang terus berusaha menyembunyikan sedihnya. Menanggapi Idayu yang terus berusaha menyembunyikan marahnya.
            “Ayu marahkan abang. Ayu sedih. Ayu sakit hati bila abang buat Ayu macam ni…,”akhirnya luahan itu meniti sepatah demi sepatah dari bibir Idayu berselang dengan esakan yang mulai pecah perlahan-lahan. Membuat benteng air mata Hisyam akhirnya pecah.
            “Marahlah abang, sayang. Jangan pendam perasaan tu,”
            “Ayu tak nak cakap pasal ni. Ayu tak nak buat hati ni jadi lebih sakit. Ayu belum bersedia,”
            Hisyam pejamkan mata. Mengeratkan lagi pelukannya yang ternyata tidak berbalas. Tangan Idayu perlahan-lahan menolak dadanya.
            “Tinggalkan Ayu sendirian, bang,”
            Dalam enggan pelukan dileraikan. Dia perlu menghormati permintaan Idayu. Berat langkahnya mahu meninggalkan Idayu, tetapi dia tidak boleh ego. Tiba-tiba terasa dia terlalu lemah. Dia tidak mampu berbuat apa-apa demi Idayu. Matanya menyapu wajah kosong Idayu. Wajah Idayu tiada marah. Tiada suka. Malah riak sedih juga sudah tiada. Kosong tanpa perasaan. Perlahan setitis air mata menitis di pipinya. Tidak rela melihat keadaan Idayu sebegitu.
            “Abang tinggalkan Ayu sebab abang tahu Ayu tak boleh pandang muka abang sekarang. Abang nak pujuk Ayu, tapi, abang tak tahu bagaimana…,”
            Idayu mengalih pandang.
            “Ayu okay…,”ujarnya perlahan.
            Hisyam diam. Cuma melangkah perlahan keluar daripada bilik Syafiq.


*****
[11:35:50 PM] hos.getah: