Monday, January 5, 2009

Pergilah Air Mata 33


“Berapa hari?,”
Badrul tunduk merenung roti di tangan. Nada suara ibunya tidak begitu enak singgah di telinga. Pasti selepas ini, bingit dengan leteran.
“Dua hari,”perlahan dia menjawab.
Datin Hamidah mengeluh panjang. Wajah Badrul yang menunduk, direnung lama.
“Mama tak berapa suka dengar benda-benda macam ni. Suruh sajalah Dayana tu berhenti kerja. Tak pun, tukar kerja yang lebih sesuai,”
“Alaa…. Mama. Bukan selalu pun. Sesekali saja. Lagipun, bukan jauh. Dia pergi JB saja,”
“Dia bukan lagi macam dulu. Dia dah kahwin. Sepatutnya dia lebihkan rumahtangganya. Suaminya. Bukan asyik fikir pasal kerja saja. Ni, tiba-tiba saja pergi outstation. Patutlah malam tadi, lepas Maghrib, terus berkurung dalam bilik. Takut mama Tanya pasal Dayana ya?,”
Badrul tersenyum kecil. Pandai pula ibunya meneka.
“Bukan takut, mama. Cuma, malam tadi, tak ada mood nak dengar mama berceloteh. Pagi ni, mood tu dah datang,”
Datin Hamidah mencerlung tajam. Badrul tersengih.
“Abah setuju dengan cakap mama kamu tu. Cadangkan pada Dayana. Kalau dia nak kerja, carilah kerja yang sesuai sikit dengan status dia sekarang,”Datuk Hamidi mencelah tiba-tiba.
“Tengok dululah, mama…abah,”
“Sampai bila kamu nak tengok? Abah lagi suka kalau dia tak bekerja. Duduk saja di rumah. Jadi suri rumah sepenuh masa. Bukan kamu tak mampu nak sara dia,”
“Mana boleh macam tu. Dia nak kerja. Biarlah. Lagipun, ini bukan soal mampu atau tidak mampu, abah. Ini soal minat. Dah memang Yana suka dengan kerjaya dia sekarang. Saya tak mahu halang. Lagipun, saya tak kisah abah…mama,”
“Oh… minat? Tak mahu halang? Kenapa Sabrina kamu halang?,”
Badrul diam. Memandang wajah serius bapanya.
“Sabrina lain. Dayana lain. Lagipun, kerja apa yang Sabrina tu tahu? Agaknya dia tu Cuma tahu ikut cakap kekasih dia saja. Kerja cari mangsa sebab nak hidup senang dengan cara mudah,”
“Apa kamu cakap ni?,”
“Tak ada apa-apalah. Malas saya nak cakap. Cukuplah saya saja yang tahu,”
Datuk Hamidi menggeleng perlahan sambil menolak cawan kopinya yang sudah kosong. Malas mahu mencungkil cerita Badrul yang tergantung.
“Abah pergi pejabat dulu, mama. Bad, sebelum pergi kerja, tengok Sabrina. Abah tengok teruk juga bengkaknya malam tadi. Kalau tak reda juga bengkaknya, bawa Sabrina ke klinik dulu,”
Badrul kaku mendengar arahan itu. Senang saja mulut itu memberi arahan. Tapi, tanpa disuruh pun, memang dia mahu menjenguk Sabrina dahulu sebelum ke pejabat. Ingin melihat keadaan gadis itu. Bia setuju dengan kata-kata bapanya. Kaki Sabrina kelihatan teruk. Lebam, bengkak dan luka. Semua di tempat yang sama.
“Kamu dengar tak?,”Datuk Hamidi bersuara apabila melihat Badrul membisu seribu bahasa.
“Ya… saya dengar. Saya pergi. Saya bawakan sarapan sekali untuk dia. Okay, abah?,”Badrul bersuara geram sambil memberi isyarat pada Jamilah yang lalu di hadapannya bersama dulang makanan. Dia tahu itu sarapan untuk Sabrina.
“Biar saya yang bawa, Kak Milah,”dia bersuara sambil mengangkat punggung. Jamilah terkebil-kebil. Menghulurkan dulang tanpa banyak bicara.
“Okay, abah?,”Badrul bersuara lagi sambil memandang wajah Datuk Hamidi.
“Bagus…,”selamba Datuk Hamidi menjawab. Buat-buat tidak Nampak wajah Badrul yang sudah sedikit kelat. Badrul menjeling. Datin Hamidah pula menggeleng. Tidak berminat mahu masuk campur agenda tunjuk perasaan dalam diam , ayah dan anak itu.
“Milah, kemaskan semua ni,”akhirnya dia Cuma memberi arahan pada Jamilah. Jamilah mengangguk sambil terus maju ke meja.
Badrul pula, melangkah malas bersama dulang di tangan. Tiba-tiba terpaksa menjadi pelayan Sabrina pula. Melangkah laju meniti anak tangga menuju ke bilik Sabrina. Pintu diketuk perlahan. Tiada jawapan. Sekali lagi dia mencuba. Juga diam tidak bersahut. Tombol pintu dipulas perlahan. Tidak berkunci. Daun pintu ditolak sambil dia menjengah ke dalam. Katil kosong. Dia menapak masuk. Memandang ke arah katil yang sedikit berselerak. Matanya kemudian meliar di sekitar ruang bilik. Kemas walaupun sedikit kosong. Bilik ini kurang hiasan. Dinding kelihatan kosong tanpa sebarang bingkai gambar. Baru dia sedar akan kekurangan itu. Bilik tamu yang Cuma tersedia katil , meja kecil dan meja solek. Cuma sekeping bingkai gambar pemandangang yang menghiasi kepala katil. Perlahan dia meletakkan dulang ke atas meja kecil di tepi katil. Hatinya tiba-tiba tertanya-tanya, tidak bosankah, Sabrina bersendirian di bilik ini? Memang masa gadis itu banyak dihabiskan di bilik ini.
Sedang dia melayan lamunnya, dia tersentak mendengar jeritan dari bilik air. Laju dia berlari menuju ke arah bilik air yang tertutup rapat. Tangannya laju menolak pintu bilik air. Membuat satu lagi jeritan yang lebih kuat, pecah di bilik itu. Jeritan yang membuat dia tergamam. Terkebil-kebil seketika. Pantas tangan Sabrina menarik tirai tub mandi.
“Aku tak Nampak apa-apa,”
“Diamlah! Siapa suruh awak buka pintu?,”Sabrina menjerit marah. Badrul tersenyum lucu sambil menutup perlahan daun pintu. Betul-betul satu kesilapan dia membuka pintu tanpa keizinan.
“Kau kenapa? Okay ke?,”soalnya sambil memegang tombol pintu.
“Aku Tanya ni. Kau tak apa-apa? Kenapa kau menjerit?,”
Diam.
“Sabrina. Kau nak aku buka pintu ni, ke?,”
“Saya okaylah. Tak apa-apa. Pergi keluarlah,”
“Aku tunggu kau kat sini,”
“Tak payahlah. Saya tak apa-apa,”
“Cepat keluar. Aku tunggu di sini lima minit. Kalau kau tak keluar, aku masuk,”
Sabrina merengus marah. Menyentuh pipinya yang membahang. Malu! Betul-betul malu. Dan betul-betul terkejut dengan kemunculan Badrul secara tiba-tiba. Nasib baik dia sudah selelsai mandi. Nasib baik tubuhnya bertuala. Kalau tidak? Dia pejamkan mata. Tidak sanggup membayangkan kemungkinan itu.
“Sabrina…,”
Sabrina menarik muncung. Sakitnya yang menyerang seakan hilang seketika dek marah yang bertandang. Dia terduduk di birai tub mandi apabila kakinya terlanggar tab tersebut. Cuba fokuskan pada kakinya. Sakit. Memang tersangat sakit. Air mata kesakitan menitik tanpa sedar.
“Sabrina. Aku masuk ni,”
Pantas tangan Sabrina mencapai jubah mandi yang tergantung. Segera mengenakan jubah mandi tersebut. Sekali lagi dia cuba bangun. Cuba abaikan rasa berdenyut dan sakit yang mungkin akan mengganggu langkahnya. Belum sempat melangkah, pintu sudah terbuka. Kepala Badrul sudah terjengul di balik pintu.
“Kau kenapa?,”
Sabrina menggeleng perlahan. Tunduk sambil melangkah perlahan. Melihat kebisuan itu, Badrul merengus perlahan. Bergerak pantas merapati Sabrina.
“Boleh jalan ke ni?,”
“Boleh…boleh…,”laju Sabrina menjawab.
“Ada pun suara. Ingat dah bisu,”Badrul bersuara sambil memegang bahu Sabrina. Memimpin Sabrina melangkah perlahan keluar dari bilik air.
“Dah tahu tak boleh jalan, buat apa masuk bilik air?,”Badrul bertanya sambil mendudukkan Sabrina ke katil.
“Tadi boleh…,”
“Aik. Aku masuk aje, tiba-tiba terus tak boleh jalan? Nak bermanja dengan aku ke?,”
Sabrina menjeling. Badrul tersenyum panjang. Senyum yang membuat wajahnya terasa lebih membahang. Malu dituduh begitu. Langsung tiada niat untuk dia bermanja dengan lelaki itu.
“Saya terlangar tub mandilah. Sakit tau! Kalau nak gelak, gelaklah kat luar. Janganlah gelak kat sini,”Sabrina bersuara geram. Sedikit sedih, apabila kesakitannya Cuma dianggap gurauan oleh Badrul. Kesakitannya Cuma menjadi bahan tawa Badrul. Perlahan dia menyapu air mata yang merembes ke pipi. Sambil hatinya mengutuk perasaan sendiri. Mengapa mesti dia menjadi sesensitif ini di hadapan Badrul. Tiba-tiba terasa benci pada diri sendiri, apabila air mata begitu mudah mengalir di hadapan lelaki ini. Dia tidak mahu lemah lagi di hadapan Badrul.
Badrul terdiam. Melihat wajah Sabrina yang jelas kesakitan.
“Sorry. Aku salah. Aku minta maaf,”
“Maaf…maaf… itu sajalah yang awak tahu,”
Badrul tergelak.
“Amboi! Ambil ayat aku, Nampak,”
Sabrina sembunyi senyum. Tidak tersedar, dia boleh keluarkan kata-kata yang menjadi mainan bibir Badrul.
“Sorry. Tak sengaja,”dia bersuara perlahan. Badrul Cuma tersenyum kecil.
“ Macam mana boleh terlanggar ni? Nak kata tak Nampak, bukan main bulat lagi mata kau tu,”bebel Badrul sambil memandang mata bundar Sabrina. Baru dia perasan Sabrina memiliki sepasang mata bundar yang cantik.
“Tak tahu,”perlahan Sabrina menjawab.Mendengar jawapan itu, Badrul Cuma terus memandang wajah Sabrina yang basah. Jelas di matanya, air yang menitik di hujung rambut panjang milik Sabrina. Membasahi jubah mandi yang dipakai gadis itu. Membangkitkan gelora di jiwanya. Pantas dia mencapai tuala kecil di penyidai.
“Keringkan rambut kau tu,”
Sabrina mencapai tanpa banyak bicara. Mengesat rambutnya yang tidak sempat dikeringkan.
“Aku tengok kaki kau,”Badrul bersuara lagi sambil bergerak ke hujung kaki Sabrina. Sabrina tidak menjawab. Terus mengeringkan rambutnya sambil memerhati Badrul yang sedang menelek kakinya yang berbalut. Perlahan Badrul membuka balutan apabila melihat ada kesan merah di balutan itu. Sabrina menjenguk. Ingin melihat. Tetapi, yang dia Nampak Cuma kakinya yang membiru. Bagaimana keadaan luka di telapak kakinya, tidak dapat dia lihat.
“Apa awak buat di sini? Awak tak pergi kerja ke?,”Sabrina mengajukan soalan apabila menyedari Badrul sudah kemas berkemeja. Pasti sudah bersedia untuk ke pejabat.
“Tu….,”Badrul menjawab sambil memuncungkan mulutnya ke arah hidangan sarapan pagi yang terletak elok di atas meja. Mata Sabrina menurut muncung Badrul. Melihat jus oren dan roti bakar di atas meja. Badrul menghantar sarapan rupanya.
“Kak Milah mana? Kenapa bukan dia yang hantar?,”
Pandangannya dilarikan dari balutan luka yang hampir terlerai, ke wajah Sabrina.
“Luka kau dah berdarah semula ni. Agaknya dalam luka ni ya? Bengkak pun nampak macam makin teruk,”dia bersuara tanpa menjawab soalan Sabrina.
“Pagi tadi dah okay. Betul. Rasanya sebab saya terlanggar tub tadi tu. Itu sebabnya berdarah balik. Bengkak balik,”
“Kita pergi kliniklah,”saran Badrul tegas.
“Awak tak payah pergi kerja ke?,”
“Aku masuk lewat sikit,”
“Tak payahlah. Menyusahkan saja,”
“Cepatlah bersiap,”
Sabrina terkebil-kebil.
“Saya rasa nanti okay ni. Tak payah pergi dululah. Awak pergi kerjalah. Kalau petang nanti masih macam ni, baru pergi klinik,”
“Kau ingat aku nak dengar cakap kau tu?,”
Sabrina mengeluh lemah. Memandang Badrul yang sedang mengesat luka di kakinya. Tiba-tiba, hatinya tertanya-tanya, kenapa Badrul melayannya sebegini baik? Layanan sebegini hanya akan membuat jiwanya semakin terseksa. Rasanya saat ini, kebencian Badrul lebih membuat dia bahagia berbanding perhatian sebegini.
“Awak keluarlah. Nanti Kak Milah boleh tolong balutkan,”
Badrul mengangkat muka.
“Kenapa? Tak suka aku tolong?,”
“Bukan. Cuma, awak kan dah lambat. Lagi satu, Dayana tahu ke awak masuk bilik saya ni?,”
“Dia kat JB,”
Sabrina memandang wajah selamba Badrul tanpa berkelip. Patutlah lelaki itu berani masuk ke sini. Dayana tiada rupanya. Jawapan Badrul sedikit sebanyak merosakkan mood baiknya. Segera dia menggerakkan kakinya. Sakit. Tetapi, ditahannya. Tidak mahu Badrul terus menelek kakinya. Tidak mahu Badrul terus berada di situ. Pertolongan Badrul bukanlah seikhlas mana. Dia yakin, kalau Dayana ada, pasti Badrul tidak akan hiraukannya. Pasti.
“Diamlah. Janganlah gerak-gerakkan kaki tu,”
“Tak apalah. Awak keluarlah. Saya nak bersiap,”
“Macam mana kau nak bersiap. Luka ni, aku kena balut dulu. Kalau tak, darahnya mengalir terus,”
“Saya boleh buat sendiri. Awak keluar ajelah,”
“Cuba jangan degil! Macam mana kau nak buat? Nak gerakkan kaki pun tak boleh!,”
Sabrina terdiam. Suara Badrul sudah meninggi. Sudahnya, dia terus diam melayan perasaannya yang terbuku. Kenapa? Dia tidak tahu. Cuma, dia rasa sakit hati mengingatkan Badrul datang menghulurkan bantuan Cuma kerana Dayana tiada di sisi. Dia geram. Dan, lebih membuat dia berasa terseksa, dia tahu, dia tidak patut berasa geram. Dia bukan sesiapa pada Badrul. Kenapa dia seperti semakin lupa pada kenyataan itu? Itulah yang paling dia tidak faham.
“Aku balut guna kain ni dulu. Lepas ni, aku cari kapas and ubat luka,”
“Pergilah,”laju Sabrina menjawab.
Badrul menoleh. Sedikit hairan dengan tingkah Sabrina yang berubah-ubah.
“Menghalau nampak. Sebelum aku cari kapas dan ubat luka,kau nak pakai baju apa? Aku tolong ambilkan,”
Bulat mata Sabrina melihat Badrul bergerak menuju ke arah almarinya. Biar betul.
“Tak payah. Tak payah,”laju Sabrina melarang.
“Kenapa pula?,”
Sabrina bungkam. Takkan pakaian kecilnya pun Badrul mahu ambilkan. Malulah dia.
“Nanti saya minta tolong dengan Kak Milah,”dia cuba beralasan.
“Kak Milah…Kak Milah… Kak Milah. Cepat. Cakap. Kau nak pakai baju mana?,”
Sabrina diam. Badrul menarik pintu almari. Membelek baju yang bergantungan.
“Kau nak pakai blouse ke? Tak susah ke nak pakai seluar? Atau kau nak pakai dengan skirt,”laju Badrul mencapai sehelai blouse bercorak kecil berwarna hijau lumut. Kemudian mencapai skirt labuh kosong dari warna yang sama. Kemudian berpaling ke arah Sabrina. Sedikit hairan melihat wajah Sabrina yang kelat.
“Kenapa? Tak suka ke? Tak suka, aku pilih yang lain. Tak pun, kau cakap, aku ambilkan,”
“Suka. Tinggalkan saja kat situ. Nanti saya bersiap,”
“Kenapa nanti? Oh…aku lupa. Kau nak aku tolong ambil baju…,”
“Tak payah! Saya boleh ambil sendiri. Tolonglah keluar. Janganlah kacau saya!,”
Badrul tergelak riuh. Seronok melihat wajah Sabrina merah menahan malu. Juga seronok melihat wajah Sabrina yang masam mencuka. Juga dengan jeritan kecil Sabrina yang sudah agak lama dia tidak dengar.
“Okaylah. Aku keluar dulu. Aku panggil Kak Milah. Cepat sikit bersiap. Aku hantar kau pergi klinik dulu. lepas tu, baru aku pergi office,”
Sabrina Cuma memandang Badrul yang bergerak keluar dari biliknya sambil mengetap bibir. Geram. Geram pada Badrul. Geram pada dirinya sendiri. Perlahan dia pejamkan mata. Ternyata dia semakin keliru dengan perasaannya sendiri.
[11:35:50 PM] hos.getah: