Wednesday, April 29, 2009

Kuseru Rindu Itu... 20

Senyumnya mati sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke restoran. Idayu tergamam. Terperanjat. Dia mematung seketika. Perasaannya seakan melayang jauh meninggalkan dirinya. Tiba-tiba tubuhnya terasa terlalu ringan. Apa yang disapu matanya, bukanlah satu adegan yang ingin dia lihat. Hatinya terasa pedih tiba-tiba. Tangkai jantung bagai direntap kuat. Matanya mati pada satu sudut. Kaku melihat suaminya dibelai mesra oleh seorang gadis cantik. Hancur luluh perasaannya saat itu. Sakit. Pedih. Kecewa. Marah. Kesal dan takut. Semunya berhimpun membuat dia terus kaku berdiri. Terkebil-kebil dia melihat gadis itu mengusap perlahan wajah Hisyam yang kelihatan serius. Barangkali Hisyam sedang marah. Atau.. barangkali juga lelaki itu sedang merajuk. Sampai hati Hisyam! Benar-benar dia tidak berdaya saat ini. Dia mahu menangis. Tetapi, mana mungkin dia titiskan air mata di sini.
“Puan… Kenapa ni, Puan?,”
Idayu tersentak. Segera dia berpaling. Memandang Nora yang tercegat di belakangnya. Hampir dia terlupa yang dia ke sini berteman. Bukannya bersendirian. Syukur kerana masih belun ada air mata yang bertandang.
“Kenapa ni Puan?,”
“Tak ada apa-apa,”Idayu menjawab pendek. Cuba untuk mengukir senyum semanis mungkin. Nora turut tersenyum. Sedikit pelik dengan tingkah Idayu sebenarnya.
“Puan tak nak masuk ke?,”soalnya melihat Idayu masih tercegat di pintu. Idayu menggaru dahi. Berfikir-fikir mencari alasan untuk beredar dari situ. Dia tidak mahu Nora melihat suaminya bersama-sama dengan perempuan lain.
“Hmm… kita makan kat tempat lain?,”sarannya sambil berpaling untuk melangkah keluar. Kening Nora sudah berkerut.
“Tapi…Puan cakap, Puan suka makanan kat sini,”
Idayu mengukir senyum lagi. Berusaha membuang rasa ngilu yang menghiris hati. Sukarnya untuk dia berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Ya betul. Tapi, ramai oranglah. Nanti lama nak menunggu order. Saya nak balik cepat. Tak kisah kan, kita makan kat tempat lain?,”
“Tak delah. Saya tak kisah pun… Mana-mana pun boleh, Puan,”balas Nora bersama gelak kecil. Segan dengan bahasa Idayu yang begitu merendah diri. Terasa cukup istimewa layanan Idayu padanya. Idayu tersenyum.
“Thanks,”ucapnya lembut.
Nora tersengih lagi sambil meninjau keadaan di dalam restoran. Memang betul kata Idayu. Pengunjung agak ramai memenuhi ruangan restoran itu.
“Puan…,”
Langkah Idayu mati serta-merta. Segera dia berpaling. Memandang wajah Nora yang disimbah riak terkejut.
“Kenapa, Nora?,”
Nora mengukir senyum kelat. Tangannya menunding ke satu arah. Membuat jantung Idayu berdegup kencang. Pasti Nora sudah melihat Hisyam.
“Itu kan… Encik Hisyam…,”lambat-lambat gadis itu bersuara.
Berderau darah naik ke muka Idayu. Tekaannya tepat. Ternyata Nora turut ternampak Hisyam bersama gadis itu.
“Betul ke Encik Hisyam?,”dia pura-pura bertanya.
“Betul puan. Kalau Puan tak percaya, datang sini. Tengok sendiri. Dia dengan seorang perempuan, Puan,”
Idayu kelu seketika. Ligat memikirkan jawapan. Cukup sukar situasi ini. Dia harus menepis rasa sedihnya. Membuang rasa marahnya. Dia harus melupakan apa yang dia lihat sebentar tadi. Dia tidak mahu emosi di hadapan Nora.
“Alaa… Jomlah. Mungkin dia dengan kawan dia. Ada business discussion, maybe?,”Idayu cuba berdalih. Tidak mahu hampir lagi dengan pintu restoran itu. Tidak mahu hatinya kembali luluh melihat keintiman itu.
“Tapi, Puan. Tak Nampak macam kawan bisnes pun. Baik Puan tengok,”Nora masih berdegil. Membuat Idayu semakin serba-salah. Demi tidak mahu menimbulkan keraguan di hatinya stafnya itu, Idayu akur. Perlahan melangkah mendekati Nora. Dan, sekali lagi dia melihat kemesraan suaminya dengan gadis cantik itu. Kali ini, wajah Hisyam tidal lagi semuram tadi. Hisyam kelihatan cukup senang melayan gelak tawa gadis itu. Senyum Hisyam tiba-tiba menjadi selumbar yang menusuk dalam ke dasar hatinya. Pedih. Perit. Dan ngilu.
“Puan?,”
Idayu tersentak kecil. Dia berpaling.
“Puan tak apa-apa?,”
Mendengar saoalan itu, Idayu mengukir senyum palsu.
“I’m okay. Jom…,”
“Tapi, Puan….,”
“Mungkin kawan lama Encik Hisyam. Dahlah. Jom kita pergi. Nanti lambat pula,”Idayu bersuara tenang. Memaksa diri untuk tenang sebenarnya. Dia perlu sedaya upaya menyembunyikan realiti perasaanya saat ini. Tidak boleh pamerkan apa yang berkecamuk di hatinya pada Nora. Dia tidak mahu Nora mengesyaki sesuatu.
“Saya minta maaf, Puan,”Nora bersuara perlahan. Melihat wajah tenang Idayu, tiba-tiba dia menjadi simpati pada wanita itu. Tidak sangka Hisyam sanggup perlakukan Idayu sebegitu. Sangkanya selama ini, pasangan majikannya ini, merupakan pasangan yang paling ideal. Idayu tergelak.
“Untuk apa? Dah, let’s go,”dalam gelak, Idayu cuba bersuara ceria sambil menarik tangan Nora. Dalam terkebil-kebil, Nora cuma menurut. Sukar untuk dia membaca perasaan Idayu saat ini. Cuma hatinya tertanya-tanya sendiri, bagaimana Idayu boleh menghadapi situasi ini dengan begitu tenang? Kalau dia berada di tempat Idayu, mustahil dia boleh setenang itu melihat suami sendiri begitu mesra dengan perempuan lain. Atau… barangkali Idayu berasa kurang selesa untuk mengekspresikan perasaan sebenar di hadapannya. Barangkali, Idayu perlu bersendirian saat ini.
“Puan.. saya rasa, lain kalilah kita makan bersama,”saran Nora teragak-agak. Idayu berhenti melangkah. Memandang wajah Nora, kerani account di syarikatnya.
“Kenapa pula? Kan saya dah janji? Atau.. awak merajuk sebab saya tak jadi bawa awak ke restoran tu?,”soal Idayu separuh bergurau. Dia sudah berjanji dengan Nora untuk belanja gadis itu makan. Sebagai ucapan terima kasih kerana Nora menolong dia mengemas dan mengubahsuai ruang pejabat Hisyam sebentar tadi.
“Eh. Tak adalah. Saya bukan merajuk. Cuma.. Cuma saya faham perasaan Puan. Mungkin Puan nak bersendirian sekarang,”
Idayu tersenyum sambil memeluk tubuh. Wajah serba salah Nora dipandang tidak berkelip.
“Saya yang tak faham apa yang awak cakap, sekarang ni,”ujarnya sambil tersenyum.
“Yalah. Kalau Puan nak bersedirian sekarang, saya faham. Saya tak kisah. Kita boleh makan lain kali. Lagipun, bukan banyak pun yang saya tolong tadi,”
“Nora, saya tak apa-apalah. Kenapa awak cakap macam tu? ,”
“Yalah…Encik Hisyam kan….,”kata-kata Nora terhenti di situ. Tidak tahu penjelasan yang bagaimana yang patut dia suarakan. Sudahnya dia cuma menggaru kepalanya yang tidak gatal. Idayu tersenyum kecil. Dia faham perasaan serba-salah Nora.
“Saya minta maaf, kalau saya buat awak tak selesa,”Idayu bersuara sambil menyentuh perlahan bahu Nora. Nora terkebil-kebil. Sungguh. Dia betul-betul tidak percaya Idayu boleh setenang ini. Rasanya saat ini dia yang lebih emosi berbanding Idayu. Dia yang sakit hati melihat gelagat Hisyam. Sedang Idayu? Idayu masih boleh bergurau dengannya. Masih boleh tersenyum. Dan dengan rendah diri memohon maaf atas rasa kurang senang yang bermain di hatinya.
“Puan, Puan tak marahkan Encik Hisyam tu ke? Puan tak sedih ke tengok Encik Hisyam dengan perempuan tu?,”akhirnya terluah juga apa yang bermain di fikirannya. Dia tidak tahan melihat ketenangan Idayu. Dia perlukan sedikit penjelasan dari Idayu. Idayu tersenyum lagi.
“Maafkan saya, Puan, kalau saya nampak macam busy body. Saya tak bermaksud nak masuk campur hal peribadi Puan. Saya minta maaf, ya Puan,”Nora bersuara perlahan setelah Idayu lebih suka berdiam diri. Walau ada senyuman di bibir itu, namun, jelas Idayu enggan menjawab. Dia pula, tidak mahu Idayu berprasangka yang bukan-bukan padanya.
“It’s okay. Awak tak salah,”akhirnya Idayu bersuara perlahan sambil mengerutkan, seolah-olah memikirkan sesuatu.
“Hmm… macam mana nak cakap ya? Well…begini. Bukan saya tak marah. Atau tak sedih. Tapi, kan… tak betul kalau kita buat kesimpulan melulu. Kadang-kadang apa yang kita tengok tak menceritakan hal yang sebenar. So, rasanya lebih baik kita selidik dan Tanya dulu, sebelum kita tuduh yang bukan-bukan. Betul tak?,”Idayu menyambung bicaranya. Nora Cuma tersenyum mendengar kata-kata itu. Idayu turut tersenyum Dia tahu gadis itu tidak bersetuju dengan kata-katanya. Dia juga sedar betapa hipokritnya dia di hadapan Nora. Kata-katanya cuma untuk mengaburi mata Nora. Dia tidak mahu timbul cerita yang tidak enak didengar dipejabat nanti. Dia tidak boleh meluahkan apa yang terbuku di hatinya saat ini, pada Nora. Nora bukanlah pilihan yang tepat untuk dia berkongsi rasa sedih yang sedang membebaninya ini. Dia tidak boleh membuka pekung di dada pada pekerjanya sendiri. Dia tidak boleh menjatuhkan air muka Hisyam. Dia tidak mahu timbul cerita buruk tentang Hisyam nanti. Demi itu semua, dia tidak ada pilihan. Dia perlu berpura-pura seolah-olah tidak ada apa –apa yang berlaku.
“Okaylah. Cukuplah tu. Jangan banyak Tanya lagi. Jangan banyak cakap lagi. Sekarang, cakap, awak nak makan kat mana?,”dia mula bersuara ceria lagi. Nora tersenyum kecil.
“Suka hati Puanlah. Saya tak kisah,”
“Ermm.. kalau ikut saya, saya masuk KFC saja. Sebab itu yang balik dekat dan cepat,”uajr Idayu sambil memandang ke arah restoran makanan segera itu. Nora tersenyum sambil mengangguk setuju.
“Okay. Boleh juga. Saya pun dah lama tak makan KFC,”
“Kalau macam tu, jom kita pergi. And, pasal Encik Hisyam tu, for me, there’s nothing to worry about. So, awak tak payah rasa risau atau serba –salah sebab terpaksa makan dengan saya dalam situasi macam ni. Kita makan puas-puas okay?,”
Nora tergelak kecil. Dalam diam dia kagum pada isteri majikannya ini. Bertuah Hisyam mendapat isteri seperti Idayu. Tenang dan tidak cepat melenting. Kalau perempuan lain, dia yakin, pasti sudah lama Hisyam kena serbu. Malah kalau dia sendiri pun, dia tidak akan berdiam diri melihat suami sendiri begitu mesara dengan perempuan lain.
“Nora? Ada apa-apa lagi? Something wrong?,”soal Idayu sambil menolak daun pintu restoran. Sedikit hairan melihat Nora yang masih termangu. Nora Cuma tersenyum. Idayu melabuhkan punggung ke kerusi, diikuti oleh gadis itu. Kemudian matanya kembali ke wajah gadis itu. Ternyata Nora masih melamun.
“Nora? Kenapa? Diam saja?,”
Nora tersengih.
“Tak ada apa-apa. Cuma, saya kagum dengan Puan. Bukan senang nak buat seperti yang Puan lakukan sekarang ni. Tak ramai isteri yang boleh jadi setenang Puan bila tengok suami dengan perempuan lain. Saya pun, kalau saya Nampak suami saya macam tu. Dah lama saya serang,”ujar Nora jujur.
Idayu tersenyum. Pujian Nora terasa berlebih pula. Dia tidaklah setabah itu. Hatinya juga tidaklah setenang itu. Itu semua Cuma lakonan untuk menipu dirinya sendiri. Membutakan mata untuk menyedapkan hati sendiri. Sungguh dia tidak layak mendapat pujian itu.
“Tapi, Puan… tenang. Tengok saja. Tak ada rasa nak pergi marah-marah,”sambung Nora lagi.
“Kalau sikit-sikit nak serang. Sikit-sikit nak serang, susahlah,”Idayu cuba berlawak. Nora tersenyum.
“Susah?,”tanyanya sepatah.
“Yalah. Kalau kita serang-serang macam tu, apa yang kita dapat? Tak ada apa-apa kan? Paling tidak, elok tak ada yang tahu masalah kita, kita hebohkan pada masyarakat sekeliling. Apa kita dapat? Saya tak Nampak faedahnya. Yang saya Nampak, maruah kita yang akan tercemar. Maruah suami kita juga. Padahal, kita tak tahu pun apa sebenarnya yang berlaku. Dibuatkan semua tu Cuma satu salah faham, macam mana? Siapa yang malu?,”
“Betul juga kata Puan,”
Idayu tergelak kecil.
“Kita ni.. bila dah jadi isteri orang, tanggungjawab kita besar. Tak boleh fikir diri kita saja. Yang paling penting, yang kita kena fikir… kena jaga…maruah suami kita. Mana boleh kita buat suami kita macam tu. Jadi, bila awak dah kahwin nanti, jangan suka-suka serang suami awak macam awak cakap tadi,”gurau Idayu bersama senyuman yang cukup lebar. Nora tergelak malu.
“So, Nora nak makan apa?,”
“Terserah pada Puanlah,”
“Hmm… semuanya terserah pada saya. Well… how about the latest menu?,”
Nora mengangguk perlahan.
“Saya pergi ambil order…,”ujar Idayu sambil mengangkat punggung.
“Eh, Puan duduklah. Biar saya yang ambil,”
Idayu tersenyum.
“Tak apa. Saya yang ambil. Bukan lama pun,”
“Kalau macam u, saya tunggu. Terima kasih Puan,”
Sekali lagi Idayu tersenyum sambil berlalu ke kaunter. Nora Cuma memandang. Hatinya masih diasak seribu persoalan walaupun penjelasan Idayu cukup jelas di telinganya. Hatinya masih tertanya-tanya hubungan Hisyam dengan gadis itu. Kenapa Hisyam masih keluar dengan gadis lain, walhal, isterinya ini cukup sempurna? Sungguh dia tidak faham.

****

Monday, April 27, 2009

Surat Cinta Oh 'Surat Cinta'...

“Biar abang bawa. Nanti kena saman lagi,”
Nadhira mencebik. Zachry tersenyum sambil membuka pintu kereta. Nadhira pula tanpa banyak bicara, terus mengambil tempat di tempat duduk penumpang. Biarlah Zachry mahu memandu. Dia boleh bersantai di sebelah. Dan, sebaik kereta bergerak, spontan bibirnya mula melantun kata. Tiba-tiba sahaja pelbagai peristiwa sepanjang persedian majlis sehingga majlis selesai bermain di kepalanya. Semuanya mahu dikongsi dengan Zachry.
Zachry pula, tiba-tiba dibuai leka mendengar celoteh isterinya sambil memandang inai yang masih merah di jari setiap kali tangan Nadhira terawang-awang sambil mulut riuh bercerita. Tidak sangka isterinya ini, sebegini peramah orangnya. Sesekali dia turut tergelak mendengar cerita lucu dari bibir Nadhira. Namun, bunyi siren di belakangnya, menyentap lekanya. Dari dalam cermin, dia Nampak sebuah motor besar cuba memotong keretanya sambil melambai.
“Kita langgar lampu merah ke, sayang?,”
Nadhira melopong.
“Ya ke?,”
Zachry memperlahankan kereta ke gigi jalan. Nadhira berpusing.
“Ya kot bang…,”ujarnya perlahan apabila melihat kenderaan lain berhenti di lampu isyarat yang baru saja suaminya lepasi.
“Hmmm… kawen je dengan sayang, terus abang kena saman,”
Nadhira tersengih.
“Mana wallet abang? Abang nak ambil lesen…,”
“Hah?,”
“Wallet. Kan abang suruh sayang ambil tadi. Sebelum keluar…,”
Nadhira tersengih kecut. Sungguh dia tidak dengar.
“Dhira tak dengar bang…,”
Zachry ternganga.
“Nadhira Osman!,”
“Ya, Zachry Hj Nordin….,”
Dan, ketukan di pintu keretanya, membantutkan rasa geram yang bertandang. Dia berpaling. Seorang polis trafik bermisai tebal sudah tercegat sambil memeluk tubuh.

****


“Alamak! Mampus aku,” getusnya sambil mengetap bibir. Keretanya diperlahankan sebelum dia berhenti di gigi jalan. Ketukan perlahan di cermin kereta memaksa dia berpaling. Cermin kereta diturunkan. Lelaki berkaca mata hitam dan beruniform putih itu melemparkan sekuntum senyuman. Manis. Tetapi, dia tidak ada perasaan untuk membalas juga dengan senyuman manis. Sekarang, hatinya kecut.
“Selamat petang Cik,”
Nadhira senyum.
“Petang,”jawabnya sepatah.
“IC dan lesen, cik,”
Nadhira tersenyum sumbing. Sah. Mesti dia kena saman lagi. Perlahan dia keluarkan kad pengenalan dari purse. Dihulurkan pada lelaki itu.
“Lampu merah tadi tu cik,”
“Saya tak perasan. Betul-betul tak perasan. Maaflah. Saya tengok jalan lenggang, terus jalan. Tak perasan lampu merah. Maaf sangat-sangat Encik,”
“Maaf tu, maaflah cik. Tapi, kalau selalu tak perasan macam ni, bahaya cik,”
“Janji, lepas ni tak buat lagi,”
Lelaki itu senyum. Kaca mata ditanggalkan. Alamak! Dia dah keluarkan buku kecilnya.
“Tolonglah Encik. Tak payahlah saman. Kita selesai kat sini jelah,”
“Jangan cik. Tak baik bagi rasuah,”selamba saja lelaki itu bersuara sambil membelek IC dan lesen memandu di tangannya. Kata-kata yang membuat wajah Nadhira terasa membahang. Malu disindir begitu.
“Siapa kata saya nak bagi rasuah? Saya cuma..,”
“Cuma apa?,” mata sudah berpandangan. Nadhira kerutkan kening seketika sambil mengangkat tangan. Jari telunjuk menunding ke wajah lelaki itu.
“Zach!,”
Polis trafik di hadapannya itu cuma mengerutkan kening.
“Zach. Its me. Nadhira. Takkan dah lupa,”
Lelaki itu senyum sambil menulis sesuatu.
“Alaa.. Tak payahlah saman, Zach. Bagilah chance kat saya,”
“Kalau tak nak kena saman, cik patut lebih hati-hati,”
“Dengan kawan pun nak saman. Dah lama tak jumpa, takkan jumpa aje, awak terus saman saya?,”
Lelaki itu sekali lagi tersenyum.
“Nah. Saman cik. Next time hati-hati. Bahaya kalau langgar lampu merah macam ni. Nasib baik tak ada kenderaan lain tadi. Kalau ada? Macam mana?,”
Nadhira menyambut kertas yang dihulur dengan muka yang sedikit kelat. Geram. Zachry langsung tidak diberi peluang.
“Dan.. ini phone number saya, Nadhira. Lama betul tak jumpa. Makin cantik awak, ya?,”
Nadhira ternganga. Cebisan kertas yang lelaki itu hulurkan disambut tanpa sedar.
“Ok. Jumpa lagi. Jangan lupa call. Boleh keluar dinner sama-sama. Miss you. And, jangan ulang kesalahan traffic,” sempat lelaki itu kenyitkan mata sebelum berlalu ke arah motor besarnya.
Nadhira ketap bibir. Geram. Dia memandang kosong motor Zachry yang berlalu.
“Hantu raya punya Zachry. Memang betul anak hantu. Dah siap saman aku, boleh pulak bagi phone number. Sorrylah Zach. Tak ingin aku nak call kau,”dengan muncung yang cukup panjang, cebisan kertas di tangannya, dicampak ke jalan.

****

Gelak tawa teman-teman membuat dia turut tersenyum. Dia memandang sekeliling. Agak ramai juga bekas pelajar sekolahnya yang menghadiri reunion yang Shima anjurkan. Seronok. Setelah bertahun-tahun, boleh berjumpa semula dengan rakan sekolah. Mengimbau kembali zaman persekolahan yang sudah lama berlalu. Berkongsi pelbagai cerita terkini tentang teman-teman sekolah. Ada yang bagai sudah dapat dijangka. Ada juga yang bagai tidak disangka-sangka.
“Memang tiap-tiap tahun kau buat reunion ni ke?,”Nadhira bertanya sambil meneguk minuman di tangannya.
“Ha ah. Tapi, tahun ni, lebih ramai yang datang,”Shima menjawab ringkas.
Nadhira mengangguk. Tujuh tahun di Sarawak membuat dia selalu sahaja ketinggalan untuk majlis sebegini. Baru tahun ini pertukarannya ke Semenanjung diluluskan. Jadi, baru tahun ini jugalah dia dapat merapatkan kembali hubungan yang kian jauh.
“Aku tak ada nampak Zachry pun. Dia tak datang ke? Hari tu kau cakap, kau jumpa dia,”Tushee teman sekelasnya bertanya sambil memandang wajah Shima.
“Entah. Memang aku ada jumpa dia. Baru-baru ni, aku dah dapat contact dia balik. Aku ada hantar jemputan. Dia sekarang jadi polis trafik, tau,”
“Please. Jangan sebut nama anak hantu raya tu, kat sini boleh tak?,” Nadhira bersuara geram. Mendengar nama itu, dia teringat peristiwa minggu lepas. Melayang duitnya gara-gara saman Zachry.
“Amboi, marahnya. Kenapa? ,”
“Zach? Jadi polis traffic? Anak hantu tu, jadi polis trafik?,”Tushee menyampuk sebelum sempat Nadhira menjawab soalan Shima. Shima tergelak sambil mengangguk.
“Kenapa kau marah sangat dengan Zach ni? Takkan pasal surat cinta yang dia hantar dulu kot,”
“Surat cinta apa? Surat saman, tahu tak? Dia saman aku! Can you believe that?,”
“Laa. Kau langgar peraturan kot?,”Tushee bertanya.
“Dia saman aku. Lepas tu , boleh pula bagi nombor telefon, suruh aku call dia. Banyak cantik. Aku rasa dia balas dendam kot. Sebab aku tak balas cinta dia dulu,”
Shima dan Tushee sama-sama tergelak.
“Takkanlah kot. Kau buat salah, dia samanlah. Dah tu, kau call dia tak? Macam mana dia sekarang? Makin hensem ke?,”bertalu-talu soalan keluar dari mulut Tushee.
“Tak kuasa aku nak call. Aku buang nombor dia kat tepi jalan,”
“Awak buang?! Sampainya hati,”
Nadhira tergamam. Perlahan dia menoleh. Zachry tercegat di belakangnya.
“Patutlah saya tunggu awak call, sampai sekarang pun tak ada call. Sampai hati awak buang no phone saya,”
“And.. apa korang panggil tadi? Anak hantu raya? Siapa anak hantu raya?,” Zachry bertanya sambil kerutkan kening. Shima dan Tushee tersengih.
“Kaulah anak hantu raya,”jawab Tushee selamba. Zachry tersenyum sumbing. Tidak sangka rupa-rupanya ada panggilan seburuk itu untuknya.
“So, masa sekolah dulu, korang panggil aku anak hantu rayalah? Siapa punya idea ni?,”
“Awek cun yang kau minat nilah,”Shima pula menjawab sambil bibirnya dimuncungkan pada Nadhira.
“Awak?,”
Nadhira mengukir senyum yang tidak begitu menjadi.
“Kenapa awak panggil saya macam tu?,”
“Sebab perangai awak macam hantu,”selamba Nadhira menjawab.
Zachry tersenyum panjang. Wajah Nadhira di pandang agak lama. Makin cantik gadis yang dia gilai satu ketika dulu itu. Boleh jadi semakin gila dia nanti.
“Boleh join?,”silanya sambil memandang wajah Shima.
“Of course. Duduklah,”
Zachry tersenyum sambil melabuhkan punggung di sebelah Nadhira. Nadhira mengerling sekilas. Rasa geram gara-gara disaman terasa masih berbaki di hati.
“Aku tak Nampak Khairul pun. Padahal tadi aku rasa aku ternampak Suhana,”Zachry bersuara sambil matanya masih dipaku ke wajah Nadhira.
“Kau tanya aku ke, kau Tanya Dhira?,”soal Shima sedikit hairan
“Kaulah,”jawab Zachry sambil mengalihkan pandangannya bersama sengih yang panjang.
“Sejak bila kau jadi juling ni? Tanya aku, tapi, mata kat orang lain,”
Zachry tersengih. Nadhira sembunyi senyum.
“Kau tak tahu ke?,”Tushee mencelah.
“Tahu apa?,”serentak soalan itu keluar dari bibir Zachry dan Nadhira.
“Khairul dah clash dengan Suhana. And, you know siapa punca perpisahan tu?,”
Nadhira memandang Tushee menunggu cerita seterusnya. Cerita itu agak mengejutkan. Setahunya, tamat sahaja alam persekolahan Khairul dan Suhana mengikat tali pertunangan.
“Siapa?,”Zachry bertanya. Nadhira menjeling. Penyibuk juga rupanya Encik Polis Traffic ini.
“Dhiba,”
“Hah? Dhiba?,”serentak soalan itu keluar dari bibir Zachry dan Nadhira. Terkejut apabila yang menjadi punca perpisahan pasangan romantic itu adalah teman karibnya sendiri.
“Dhiba kan…,”
“Best friend Su..,”sampuk Nadhira laju. Ini baru betul-betul berita yang tidak disangka.
“Dhiba kahwin dengan Khairul…,”sambung Tushee menambahkan lagi terkejut Zachry dan Nadhira.
“Kau…biar betul!,”sekali lagi kata-kata itu serentak meniti di bibir Nadhira dan Zachry. Nadhira mengerling tidak puas hati dan Zachry tersengih panjang. Kebetulan yang tidak disengajakan. Tushee dan Shima tergelak besar.
“Chemistry lah korang berdua ni. Sama-sama penyibuk, sama-sama terkejut beruk,”
Nadhira menjeling tajam.
“Ada jodohlah tu…,”sampuk Zachry selamba bersama sekuntum senyuman nakal. Nadhira membuang pandang.

***
Jam di tangan dibelek untuk ke sekian kali. Hati sudah mula diasak rasa geram. Pinggang sudah terasa lenguh. Matanya melilau di sekitar restoran. Mencari bayang Shima. Tiada.
“Assalamualaikmum…,”
Dia mengangkat muka. Senyuman manis Zachry membuat dia terpana seketika.
“Waalaikumussalam. Apa awak buat kat sini?,”
Zachry tersenyum.
“Boleh duduk?,”
Nadhira mengerutkan kening. Belum sempat menjawab, Zachry sudah bersilang kaki di kerusi di hadapannya sambil tersengih.
“Apa awak buat kat sini?,”
“Jaga lalu lintas…,”
Nadhira menjeling dan Zachry tergelak.
“Ni kan restoran. Mestilah nak makan. Kata cikgu BM, tapi, bina soalan pun tak pandai… Macam mana ajar anak murid ni?,”
Mendengar kritikan Zachry, matanya dijegilkan. Zachry menyambung tawa. Perlahan dia menarik nafas dalam. Mencari ketenangan. Sangkanya Zachry sudah berubah. Rupa-rupanya tidak. Lelaki ini tetap seperti bertahun-tahun yang lalu. Hidup penuh dengan jenaka dan ketawa. Bersama sedikit kutukan buat dirinya. Dan, kutukan itulah yang membuat dia geram pada Zachry. Mulut cabul. Malas melayan gurauan sinis Zachry, matanya kembali melilau mencari bayang Shima.
“Dah order ke? Kalau belum, order lah…,”
“Hello, Encik Zachry. Saya tunggu Shima. Bukan saya janji nak makan dengan awak,”
Zachry tergelak lagi.
“And… hello Cik Nadhira, Shima tak akan datang…,”
Nadhira terkebil-kebil memandang Zachry yang sedang membelek menu.
“Maksud awak?,”
“Saya yang minta dia tolong aturkan pertemuan ni,”
“Hah?,”
“Bukan salah saya. Saya bagi phone no, awak campak tepi jalan. Sampai hati. Saya minta semula hari tu, awak jual mahal. Nak dating dengan awak, terpaksalah minta tolong Shima. Nasib baik dia nak tolong. Tu pun kena bagi rasuah…,”
“Hai Encik Zachry, tak baik bagi rasuah ni….,”sindir Nadhira selamba.
“Tak apa. Ini namanya rasuah cinta. Rasuah cinta, term yang lebih tepatnya, dipanggil pengorbanan….,”
Nadhira mencebik membuat Zachry ketawa besar.
“So, boleh order sekarang?,”
“Boleh…,”
Zachry tersenyum sambil melambai pada pelayan restoran. Nadhira tersenyum sambil mencapai menu.
“Kenapa saya nampak senyum awak, macam senyum jahat aje?,”
Nadhira diam mendengar soalan itu. Cuma membiarkan senyum terus terukir di bibirnya.
“Order Encik?,”
Zachry senyum sambil memandang wajah Nadhira yang masih berseri dek senyuman yang tidak dia ketahui apa puncanya.
“Orderlah Dhira. Saya makan apa yang awak order hari ni…,”
“Saya order?,’
“Ya,”
“Okay. Hmm… kasi saya ikan bakar dua set. Saya nak ikan bawal. Masak tiga rasa. Hmm.. seafood tomyam. Daging masak kicap. Ayam goreng. Kailan ikan masin. Kerabu mangga…lagi…lagi apa ya?,”
Zachry tersengih kelat.
“Serius ke?,”
“Seriuslah. And, tambah satu lagi ya…nak udang goreng mentega,”tambah Nadhira sambil tersenyum pada pelayan yang tersengih panjang.
“Itu saja?,”
“Ha ah. And, of course dua nasi putih. Awak nak tambah apa-apa ke?,”
Zachry tersengih.
“Tak payah. Kasi saya air suam je satu,”
Nadhira tersenyum.
“And, carrot susu untuk saya. Gelas besar ya,”
Pelayan restoran Cuma tersenyum sambil mengangguk. Kemudian berlalu pergi.
“Banyak betul awak order. Boleh ke habiskan semua tu?,”
Nadhira senyum lagi.
“Kalau dah banyak sangat, no choice lah kan? Kejap saya call Shima and Tushee. Mesti dia orang tak kisah nak datang. Takkan nak membazir kan?,”
Zachry mencebik.
“Tak jadilah dating kita….,”
“Tak apa awak. Ini namanya, pengorbanan,”
“Ekk?,”
“Ha ah. Ekk…,”balas Nadhira nakal.
Zachry Cuma mencebik sambil mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar.
“Nak call siapa?,”
“Housemate. Minta tolong datang kongsi bayar semua ni…,”
Nadhira tergelak.
“Kedekut!,”
Zachry sekadar tersenyum. Pantas tangannya lincah mencari nama di telefon.
“Serius ke nak kongsi bayar?,”
“Tak la. Mana habis setakat tiga orang anak dara nak makan semua ni. Hmm…Tak pasal-pasal dating saya kena kacau. Pandai awak ya…,”
Nadhira tersenyum manis.

****

Nadhira menggaru kepala. Apa pula kali ini? Mahu atau tidak, keretanya diberhentikan di gigi jalan. Dia tunduk. Lengkap bertali pinggang keledar. Apa pula salahnya kali ini. Lampu merah sebentar tadi pun, tidak dilanggarnya.
Ketukan perlahan di pintu kereta memaksa dia mendongak, memandang wajah Zachry yang tersengih panjang. Dengan malas cermin kereta diturunkan.
“Kenapa ni? Saya tak ada buat apa-apa pun ya. Kenapa tahan saya?,”
“Jom,”
Nadhira merenung tajam.
“Jom ke mana?,”
“Jom kahwin,”
Nadhira mencebik. Zachry tersenyum cuma.
“Awak nak ke mana ni?,”
“Suka hati sayalah. Tak ada kena mengena awaklah…,”
“Amboi… kurang ajaq dengan suami…,”
Nadhira mencebik lagi.
“Jomlah. Saya belanja awak minum. Kali ni, saya yang ambil order. Tak mahulah awak jemput satu kampung pulak nanti,”
Nadhira tergelak.
“Awak kan on duty. Mana boleh ponteng. Tak baik,”
“Dah habislah. Memang on the way nak balik pun. Nampak pula kereta makwe. Tu yang tahan kejap tu,”
“Suka-suka hati tahan kereta orang,”
“Kereta orang lain, bersebab. Kereta awak saja saya tahan saja-saja,”
Nadhira menjeling.
“Jomlah. Ajak kahwin tak nak. Ajak dating tak nak. Ajak minum pun tak nak. Surat cinta saya masa form three pun awak tak balas. Apa ni?, Surat saman saya aje yang awak alert agaknya kot?”
Nadhira tergelak mendengar bebelan itu. kelakar di telinganya. Perlahan-lahan matanya dipaku pada wajah Zachry yang selamba bersandar pada keretanya. Namun, Cuma untuk seketika. Bunyi hon menarik perhatiannya. Juga membuat Zachry sedikit terkejut.
“Zach!,”dia menjerit kuat.
Belum sempat dia berbuat apa-apa, tubuh Zachry sudah tercampak dilanggar sebuah motosikal.
“Zach!,”dia menjerit hysteria. Pantas keluar dari kereta. Zachry sudah terbaring di tepi jalan. Laju dia berlari mendapatklan lelaki itu.
“Zach! Zach. Awak okay?,”suaranya menggeletar. Dengan tangan yang menggigil dia memangku Zachry ke ribanya. Air mata menitis tanpa sedar.
“Zach. Please. Buka mata Zach. Zach…,”dia bersuara lagi. Gerun melihat darah yang mengalir di kepala Zachry. Juga gerun melihat kaki Zachry turut lencun dek darah merah. Mata Zachry yang terpejam menambahkan ketakutannya.
“Zach! Buka mata. Jangan tinggalkan saya. Saya tak nak kehilangan awak. Buka mata Zach. Jangan tinggalkan saya…,”jeritnya hiba. Dadanya yang berombak kencang sedikit mereda, apabila mata lelaki itu terbuka perlahan-lahan.
“Zach….,”
“Saya sayang awak Dhira. Saya cinta awak…,”
“Me too. Please Zach. Bertahan. Awak akan okay,”
“For the last time, awak nak kahwin dengan saya?,”
“Nak. Saya nak kahwin dengan awak. Please. Jangan cakap bukan-bukan,”
“Janji?,’
“Ya, saya janji. Bertahan ya. awak tak akan apa-apa. Saya dapatkan bantuan,”
“I think so…,”balas Zachry bersama senyuman yang sedikit hambar.
“You think so? Maksud awak?,”
“Rasanya saya tak apa-apa. Bleeding sikit saja kot…,”
“Hah?,”
Dalam menahan sakit, zachry tersenyum nakal. Membuat air mata Nadhira semakin laju.
“Awak jahat…,”
“Pengorbanan… awak…,”
Nadhira menarik muncung sambil menyeka air mata yang membanjiri pipi.
“Ingat. Janji tetap janji. Awak dah janji nak kahwin dengan saya,”
Belum sempat Nadhira menjawab, beberapa orang yang melihat kemalangan sudah mengerumuninya.
“Dah call ambulance?,”
Nadhira mendongak. Perlahan dia menggeleng pada seorang lelaki yang bertanya. Pantas lelaki itu mengeluarkan telefon bimbit. Perlahan Zachry mencari jemari milik Nadhira. Mengenggam erat jemari itu. Senyumnya melebar apabila terasa genggaman jarinya berbalas. Terasa sakitnya hilang seketika tatkala air mata Nadhira menitis jatu ke pipinya.

***

Dalam menggelabah, Nadhira berhenti di gigi jalan. Terkena lagi. Dia tahu silapnya. Memang diluar jangkaannya. Selalunya tidak pernah ada sekatan jalan raya di kawasan ini. Tingkap kereta diturunkan perlahan.
“Tahu apa salahnya kan?,”
“Alaa… saya nak cepatlah awak,”
Zachry menggeleng perlahan.
“Tak payahlah saman awak,”
Tanpa mempedulikan kata-kata Nadhira, Zachry membelek sticker cukai jalan yang tertampal di cermin hadapan.
“See… dah tamat tempoh,”
Nadhira terkebil-kebil. Perlahan-lahan dia menepuk dahi.
“Saya lupalah awak. Lupa nak tampal,”
“Kan saya dah cakap semalam, terus tampal. Dah lah renew last minute. Nak tampal pun susah. Tengok sekarang…,”
“Awak pun, kenapa tak tolong tampal?,”
“Salahkan orang…,”
“Alaa… kan awak tahu, road taxnya dah ada. Tak payahlah saman. Saya lupa. Sekarang, tertinggal kat rumah. Cepatlah awak. Saya nak cepat ni. Nak jumpa Kak Mila. Ambil baju pengantin ni. Kak Mila nak balik kampung petang ni,”
“Sorry sayang. Dah buat salah, terpaksa saman. Lain kali jangan cuai sangat. Tu, tali pinggang tak pakai…,”
Cepat-cepat Nadhira mengenakan tali pinggang keledar bersama muncung panjang.
“Nak saman, samanlah cepat. Kan Kak Mila tutup kedai, tak bersanding, padan muka awak…,”
“Janganlah. Saya tulis cepat-cepat ni. Tak bersanding, rugi nanti,”
Nadhira menjeling. Sedikit geram dengan kata-kata Zachry. Langsung tidak boleh berkira. Muncungnya bertambah panjang sebaik kertas saman dihulurkan Zachry.
“Awak bayar saman ni nanti, tau,”
“Okay. Potong duit hantaran awak…,”
“Jahat tau. Tunang sendiri pun nak saman. Saya nak cepat, sebab awak juga tahu. Sebab nak ambil baju pengantin kita,”
“Nak cepat ke… lambat ke… itu bukan alasannya. Lain kali, kalau tak nak kena saman, jangan cuai, sayang,”
“Malaslah cakap dengan awak…,”
Zachry tersenyum.
“Malam nanti saya ke rumah awak. Nak tengok baju pengantin saya,”
“Tak boleh. Awak belum kahwin dengan saya,”
“Saya datang dengan maklah,”
Nadhira menjeling sambil menaikkan cermin kereta.
“Kejap sayang,”
“Apa lagi?,”
“Malam nanti masak tomyam ya…,”
“Tak nak,”
Zachry tergelak melihat muncung Nadhira yang semakin panjang. Namun, mana mungkin dia boleh abaikan kesalahan Nadhira dalam operasi sebegini.
“Love you, sayang,”ujarnya perlahan, namun dia yakin Nadhira faham. Dia tersenyum lagi apabila Nadhira cuma jelirkan lidah sambil menjeling. Nadhira merajuk kerana disaman lagi. Oleh tunang sendiri pula. Itupun seminggu sebelum pernikahan mereka.

***

Pintu kereta ditutup agak kuat. Melangkah keluar dari kereta. Nadhira terkedu. Cepat-cepat turut keluar dari kereta. Laju Zachry melangkah masuk ke dalam, membuat langkahnya turut laju mengejar.
“Kenapa ni?,”
Nadhira menoleh. Memandang wajah ibunya yang sedikit kehairanan.
“Kesilapan teknikal, mak…,”jawabnya sambil tersenyum kelat.
“Dhira masuk dulu, ya mak…,”
“Hmm.. yelah,”
Pantas Nadhira bergerak ke biliknya. Dia tahu Zachry marah. Daun pintu ditolak perlahan.
“Tu ha… Nampak wallet abang tu?,”
Nadhira memanfang wallet yang elok terletak di atas meja.
“Sorrylah bang. Dhira betul-betul tak dengar pagi tadi,”
“Tak pasal-pasal abang kena saman…,”
“Sorrylah. Dhira minta maaf ya…,”
Zachry membuang pandang. Nadhira resah sendiri. Perlahan dia bergerak menghampiri Zachry.
“Pleaselah abang. Jangan marah ya. Baru semalam kita nikah bang. Takkan hari ni dah nak gaduh. Malulah bang. Tunggulah sebulan dua dulu. Tak pun, lepas kenduri rumah abang ke. Janganlah marah Dhira dulu…,”
Dalam marah, Zachry tersenyum sendiri mendengar cadangan isterinya. Boleh pula tunda marah. Melihat sedikit senyum di bibir Zachry, Nadhira sedikit lega.
“Dhira minta maaf ya. betul-betul Dhira tak dengar apa suruh ambil wallet abang…,”
“Hmm.. apa nak buat. Dah kahwin dengan orang selalu kena saman, terkenalah tempiasnya…,”
Nadhira tersenyum mendengar sindiran itu.
“Abang tak pernah kena saman tau. Sejak jadi polis traffic, abang tak pernah kena saman. Baru nak masuk dua hari kahwin dengan Dhira, dah terkena,”
“Alaa… selalu asyik saman orang… sesekali kena saman, apa salahnya…,”gumam Nadhira perlahan.
“Apa?,”
Nadhira tersengih sambil menggeleng.
“Apa?,”
“Tak ada apa-apa,”
“Cakap. Apa sayang kata?,”
“Tak ada apa-apa bang,”gelak Nadhira sambil bergerak cuba lari dari pelukan Zachry.
“Cepat cakap…,”
Nadhira terjerit kecil apabila Zachry memeluk pinggang sambil menggeletek pinggangnya.
“Cepat cakap,”
“Sorry. Dhira gurau je…,”
“Gurau ya? Jom kita bergurau…,”
Nadhida tergelak kegelian apabila Zachry terus menggeletek tubuhnya. Sambil, Zachry turut tergelak senang melihat wajah Nadhira sudah memerah menahan gelak dan geli.

*****
TAMAT

Friday, April 24, 2009

Mimpi Yang Mati 2

“Mak nak sambung sampai ke sana,”
Ameer meninjau sambil berdiri di sebelah ibu mertuanya. Kemudian dia tersenyum kecil.
“Boleh ya, Meer?,”
“Hmm… mak cakap saja nanti, berapa mak nak… Nanti saya bagi,”
“Buat apa nak sambung lagi mak? Membazir aje,”Laila menyampuk dari kerusi rotan yang didudukinya. Tidak berpuas-hati dengan keinginan ibunya yang bagai tiada penghujung.
“Apa pula? Mak nak besarkan, suka hati mak lah. Ameer pun tak bising…,”
Laila bungkam. Kalau sudah libatkan nama Ameer, apa lagi guna kata-katanya. Yang mengeluarkan belanja, bukan dia. Tetapi Ameer. Sudahnya, dia terus memerhati dalam diam perbualan Ameer dan ibunya. Rasa geram bagai tidak bertepi. Wajah Ameer yang tersenyum senang dipandang sekilas. Senyum panjang ibunya pula bagai menjentik lagi geram di hati. Hati yang memang sudah sedia membara dengan permintaan bukan-bukan ibunya. Tidak betah lagi dengan apa yang dipandang dan didengar, dia mengangkat punggung.
“Nak ke mana, Maya?,”
Laila berpaling. Melawan renungan suaminya yang sedikit kehairanan.
“Masuk,”jawabnya sepatah. Kaki segera dihayun. Tidak lagi menoleh ke belakang. Malas mendengar bual bicara Ameer dan ibunya.
“Hai kak… lajunya. Nak ke mana ni?,”sapaan itu, membuat langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik. Adiknya tersengih bersama dulang minuman di tangan.
“Akak nak rehat kejap,”
“Tak nak minum sekali ke? Ikin dah buat air ni,”
“Tak apalah. Kejap lagi akak keluar. Nak baring kejap. Penatlah,”
Asyikin mencebik.
“Hmmm… suka hati akaklah…,”
Laila tersenyum hambar. Memandang kosong ke arah adiknya yang sudah mula menyambung langkah.
“Ikin,”
Asyikin menoleh. Laila masih di pintu. Menggaru dahi sambil bercekak pinggang.
“Ada apa, kak?,”
Laila diam seketika. Mencari ayat pemula bicara.
“Mak baru sambung beranda depan. Apa lagi mak nak buat tu? Nak sambung apa lagi?,’akhirnya soalan itu dilontar bersama rasa tidak puas hati.
Asyikin tersengih.
“Entah. Mak nak tukar jadi banglo kot,”
Laila menjeling. Asyikin tergelak dengan loyar buruknya sendiri.
“Okaylah kak. Pergilah berehat. Ikin ke depan. Nak hantar minuman,”
Laila sekadar mengangguk. Daun pintu ditolak perlahan. Mengeluh panjang sambil bergerak ke katil. Penat berada di dalam kereta selama hampir lima jam, membuat dia begitu tertarik ke situ. Berbaring sambil meregangkan badan. Lega. Seketika begitu, dia bangkit. Tidak tenang sebenarnya. Sungguh dia kurang senang dengan sikap ibunya. Entah kenapa, menebal rasa malu pada Ameer, dek kerana sikap ibunya yang satu ini. Kadang-kadang sukar untuk dia faham sikap Ameer. Lelaki itu terlalu berlembut dengan ibunya. Dia mengeluh lagi. Ketukan perlahan di pintu memaksa dia berpaling. Memandang daun pintu yang terbuka perlahan. Wajah Ameer terjengul.
“Tak nak minum ke?,”
Laila menggeleng perlahan. Melihat gelengan itu, memaksa Ameer melangkah masuk. Menghampiri Laila yang bersandar malas di kepala katil.
“What’s wrong?,”
“Nothing. Tak ada apa-apa,”
“Muka masam je. Takkan tak ada apa-apa?,”
Laila diam. Memandang sepi pada Ameer yang mengambil tempat di sebelahnya.
“Tell me. Kenapa ni?,”
“Entahlah bang,”
Ameer mengangkat kening. Inginkan satu penjelasan yang panjang lebar dari isterinya itu.
“Abang balik ni, bukan sebab saja-saja nak balik, kan? Sebab mak suruh kan?,”
Ameer tergelak kecil. Melihat wajah Laila yang masih tiada seri.
“Apa salahnya? Bukan balik rumah orang lain. Rumah mak Maya juga kan?,”
Laila mengeluh lagi. Memandang wajah Ameer tanpa perasaan.
“Kan?,”soal Ameer sekali lagi.
“Kalau mak suruh balik tak bersebab, Maya tak kisah. Tapi, Maya tahu. Itulah sebabnya mak suruh abang balik kan?,”
“Kalau mak tak suruh pun, memang patut kita balik kan? Dah lama juga kita tak balik…,”
Laila menarik nafas panjang. Perlahan mengangkat punggung. Kaki dihayun ke jendela. Membiarkan angin petang membelai lembut wajahnya.
“Kenapa abang tak cakap saja dengan mak, tak perlu semua tu, tadi?,”tiba-tiba dia bersuara setelah agak lama melayan sapaan angin petang ke wajahnya.
“Kenapa pula? Kenapa tak perlu?,”
“Abang tak rasa membazir ke?,”
Ameer tersenyum kecil. Turut mengangkat punggung dari katil.
“Membazir kenapa?,”soalnya lembut sambil memeluk bahu isterinya. Laila tersenyum kelat. Kurang selesa dengan perbuatan Ameer. Entah kenapa, pelukan itu bagai mengundang ingatannya pada perempuan-perempuan yang sering menemani suaminya itu. Walau tidak pernah bertembung, cukup banyak peristiwa yang membuktikan kecurangan Ameer terhidang, di hadapannya. Pelukan dan kemesraan suaminya itu terasa begitu murah. Begitu mudah diberi kepada gadis-gadis yang mampu menawan hati lelakinya. Laila mengeluh kecil. Dia sudah mula membuat andaian sendiri.
“Rumah ni dah cukup besar, bang. Mak pun Cuma tinggal berdua dengan Ikin saja. Buat apa nak besarkan lagi?,”dia bersuara laju. Mahu melontar jauh fikiran negatif yang cuba menghasut sebenarnya. Walau seburuk mana perangai lelaki itu, Ameer tetap suaminya. Ada tanggungjawab terhadap lelaki itu, yang tergalas di bahunya.
“Permintaan mak. Ikut sajalah,”
Laila berpaling. Merenung wajah Ameer yang bersahaja. Dalam diam, hatinya memuji lagi. Tampan. Dalam diam juga dia bersyukur. Bersyukur kerana, sampai ke saat ini, hatinya tidak terikat dengan cinta Ameer. Tidak dapat dia bayangkan apa akan jadi pada perasaannya kalaulah cinta terpatri di hatinya. Cinta pada lelaki seligat Ameer tidak akan membahagiakannya. Dia yakin pada hakikat itu.
“Kenapa ni? Kenapa pandang abang macam tu?,”
Laila terkedu seketika. Perlahan dia berdehem. Menutup malu sendiri.
“Itulah yang Maya pelik. Maya tak faham. Abang ikut saja permintan mak. Bulan lepas, bagi duit nak beli rantai baru. Dah tu, sibuk suruh belikan kereta untuk Ikin…,”dia menyambung bicara tanpa mengacuhkan soalan Ameer.
“Abang tak kisah, sayang,”
“Itu namanya ambil kesempatan bang. Maya malu tau, bila mak buat macam ni…Malu dengan abang,”
“Nak malu kenapa? Mak Maya, mak abang juga kan?,”
“Tapi, tak perlulah mak buat macam ni. Kereta dah ada, suruh beli lagi untuk Ikin. Emas dah tak cukup tempat nak pakai, beli juga yang baru. Ni… nak besarkan rumah pula. Bukan ramai pun yang duduk kat rumah ni,”
Ameer tergelak kecil. Laila sudah mula membebel. Kurang senang dengan sikap ibunya sendiri. Diam Laila hilang sudah. Emosi sungguh isterinya saat ini. Dia mengeratkan pautan tangannya di bahu Laila.
“Terpaksalah. Dah itu janji abang dulu, sebab nak dapat anak dara dia ni…,”
Laila menjeling. Sedikit tajam. Kata-kata itu meresap ke tangkai hatinya. Mendengar kata-kata itu, tiba-tiba terasa dirinya seperti barang dagangan. Diperdagangkan oleh ibunya sendiri demi sedikit kemewahan yang Ameer janjikan. Benarkah begitu? Wajah Ameer yang disimbah senyuman itu, direnung lama. Kerana dia, Ameer sanggup menurut apa sahaja kemahuan ibunya? Benarkah begitu? Hatinya bertanya lagi.
“Banyak betul abang kena berhabis sebab Maya ya? and… sebab itulah mak beria-ia suruh Maya terima abang ya?,”sedikit sinis soalan itu meluncur di bibirnya. Terkilan dengan kata-kata Ameer sebenarnya. Barangkali pengakuan dalam gurau itu adalah hakikat yang tersembunyi selama ini. Hakikat yang berjaya menyatukan dia dan Ameer dalam satu ikatan perkahwinan. Hakikat yang menceritakan kenapa ibunya bersungguh-sungguh memaksa dia menjadi suri hidup Ameer.
Ameer menyambung senyum. Memang betul kata Laila. Memang banyak dia berhabis demi Laila. Daripada mula merapati keluarga Laila sehinggalah ke saat ini. Daripada rumah kayu kecil, rumah ini sudah berubah wajah. Menjadi rumah batu yang cukup besar untuk dihuni cuma berdua oleh ibu mertua dan adik iparnya. Namun, tidak mungkin dia mengakui semua itu di hadapannya isterinya ini. Pasti pengakuan ini hanya akan membuat hati Laila semakin tawar padanya.
“Abang gurau je. Memang abang tak kisah, Maya. Biarlah. Kalau bukan bagi pada mak, nak bagi pada siapa lagi? Mak Maya, mak abang juga. Abang bukan ada family lain pun…,”
“Tapi, permintaan mak tu… Maya..Maya tak suka. Maya tak suka mak membazir macam tu. Abang janganlah ikut sangat kehendak mak,”
Ameer terus tersenyum.
“Abang… Maya serius ni. Abang janganlah senyum-senyum saja,”
Ameer mengeluh pendek. Pelukan di bahu Laila terlerai.
“Sesekali beginilah abang boleh tengok emosi Maya. Kalau tidak, macam patung bernyawa,”
“Patung bernyawa? Rasanya tak pernah Maya buat abang macam tu…,”
Ameer tersenyum.
“Maksud abang, emosi kali ni, nampak betul-betul ikhlas. Emosi Maya yang lain tu… macam sandiwara. Sandiwara menyambung kelangsungan hidup kita sebagai suami isteri…,”
Laila mengerling. Patung bernyawa? Sandiwara? Sedikit melampau perumpamaan yang Ameer berikan. Rasanya layanannya pada Ameer tidaklah seburuk itu. Tidak pernah wujud perkataaan-perkataan itu di dalam hidupnya. Dia tidak pernah menghukum Ameer dengan kaku dan bisunya. Dan, sandiwara… jauh sekali perkataan itu daripada kamus hidupnya. Apa yang dia lakukan adalah apa yang seorang isteri patut lakukan. Dia berpaling. Mahu berlalu dari situ. Dalam diam, hatinya terguris dengan kata-kata Ameer.
“Maya…,”Ameer bersuara tiba-tiba. Langkah yang baru mahu diatur, terbatal tiba-tiba. Laila menoleh. Mencari wajah Ameer.
“Ada apa, bang?,”
Mendengar soalan Laila dan melihat wajah Laila, Ameer tersenyum kelat. Tidak jadi mahu menyambung kata. Sudahnya, dia cuma menggeleng perlahan.
“Sure?,”
“Very sure,”
Laila jongket bahu.
“Kalau macam tu, Maya keluar dulu?,”
Ameer mengangguk. Dan, Laila mula mengatur langkah.
“Err… Maya…,”
Sekali lagi langkah Laila terhenti, dan sekali lagi dia menoleh.
“Abang… kenapa ni?,”
Ameer tersengih. Bergerak mendekati Laila.
“Mak cakap ada rebung. Baru ambil dari kebun,”
“So?,”Laila bertanya pendek.
“So… sayang masakkan? Dah lama tak makan rebung masak lemak,”
“Suruhlah mak mertua abang masakkan. Kenapa suruh Maya pulak? And… patung bernyawa, tak pandai masak,”
Ameer terdiam. Memandang wajah Laila yang tidak bereaksi. Tidak sangka itu jawapan yang Laila berikan, sebenarnya.
“Tak nak tak apalah…,”akhirnya dia menjawab dengan nada sedikit hampa.
Laila tersenyum. Dalam marah, terselet sedikit rasa kasihan melihat Ameer yang terus terdiam.
“Berkali-kali panggil Maya, just nak suruh Maya masak rebung ke?,”dia bersuara perlahan. Cuba memujuk hatinya yang terguris dek kata-kata Ameer, demi mengembalikan senyum di bibir lelaki itu.
Ameer mengangkat muka. Wajah Laila sudah dihias senyum. Senyum yang nampak cukup manis di matanya. Bukan selalu senyum sebegitu terhidang untuknya. Ada rasa hairan yang menjamah hatinya. Kata-kata Laila sebentar tadi cuma gurauan kah?
“Boleh ke tak?,”dia bertanya sekali lagi. Inginkan kepastian.
Laila memeluk tubuh. Merenung lama wajah suaminya.
“Sejak bila abang nak suruh Maya masak, siap kena tanya boleh ke tak?,”soal Laila pelik.
“Sejak muka Maya serius benar bila abang minta tolong tadi,”
Laila tersenyum kecil. Serius? Siapa yang tidak jadi serius, kalau dipanggil berkali-kali hanya untuk permintaan sekecil itu. Dan, siapa yang tidak jadi serius apabila sewenang-wenangnya suami membuat kesimpulan sendiri tentang sikap dan perlakuan yang di persembahkan?
“Abang panggil macam nak cakap benda penting. Tapi, Cuma nak suruh Maya masak. Siapa tak geram?,”bohongnya sambil tersenyum kecil.
Ameer turut tersenyum.
“Thanks sayang,”
Laila tersenyum kecil.
“Maya keluar dulu. Siapkan sayur lemak abang tu,”
Ameer mengangguk perlahan. Merenung Laila yang berlalu keluar. Sebaik pintu tertutup, satu keluhan berat dilepaskan.
“Memang ada soalan penting untuk kamu, Maya…,”dia bermonolog sendiri sambil berbaring ke katil. Laila isterinya. Hampir tiga tahun hidup bersamanya. Laila akur pada setiap permintaannya. Laila tidak pernah menyakiti hatinya. Laila patuh memenuhi setiap keinginannya. Tetapi, kenapa sehingga ke saat ini, dia tetap berasa Laila masih lagi tidak menjadi miliknya? Laila seperti masih terlalu jauh darinya. Terlalu jauh…
Irama true tone dari poket seluar membuang seketika fikirnya. Perlahan tangan bergerak mengeluarkan telefon bimbitnya. Melihat nama yang muncul di screen. Perlahan telefon dibawa ke telinga.
“You kat mana?,”
“Kampung,”
“Bila you balik? Tak cakap pun?,”
Ameer diam seketika. Nada suara Shania kedengaran sedikit marah di telinganya.
“Takkan semua benda I nak buat kena inform you…,”akhirnya dia bersuara dengan nada sedikit mendatar. Sudah sedikit rimas sebenarnya dengan tingkah Shania sejak akhir-akhir ini. Shania mula mahu menjaga setiap langkahnya. Dalam erti kata lain, Shania mula mahu mengongkongnya.
“Yelah. At least cakaplah. I kat office you sekarang. Datang-datang, you tak ada,”
“Selalu nak datang, call I dulu…,”
“Ingat nak buat surprise. You pula tak ada. Hmm.. Okaylah. Berapa hari you kat kampung?,”
“Tak sure. May be dua tiga hari,”
“Dengan wife?,”
“Rumah dia. Mestilah dengan dia…,”
Diam. Ameer tersenyum kecil. Dia tahu Shania cemburu.
“Hello… ada lagi ke ni?,”dia bersuara separuh bergurau.
“Ada… Oklah. Selamat bercuti,”
“Okay. Thanks,”
“I’ll miss you…,”
Ameer tergelak.
“Me too…,”
“A lot…,”
“Yeah… Me too,”
“Love you Meer. Bye,”
“Bye…,”
Talian dimatikan perlahan-lahan. Wajah Shania yang menenami sembangnya seketika tadi, turut hilang perlahan-lahan. Berganti wajah Laila bersama rasa suram yang bertandang lagi.

****

Sunday, April 19, 2009

Mimpi Yang Mati 1


“I promise. I tak akan curang. I akan setia sampai nafas terakhir I. Sumpah!,”
Dia berpaling muka. Keliru dan serba-salah. Hati kerasnya seakan hampir cair. Wajah tampan itu ditatap tidak berkelip. Kata-kata itu terlalu indah di telinga. Kata-kata itu begitu meruntun jiwa. Begitu meyakinkan. Namun, kata-kata itu terlalu sukar untuk diterima. Teringat pada hakikat itu, pandangan segera dialihkan ke arah lain. Dia tidak boleh hanyut. Dia mesti tetap dengan pendiriannya. Tidak boleh goyah.
“Laila Maya. Dengar tak?,”
“Dengar…,”jawabnya perlahan.
“So?,”
“So? So… what?,”
“So… will you marry me?,”
“No. Jawapan I tetap no. I tak nak,”
Terdengar satu keluhan yang teramat panjang. Dia menoleh. Menatap wajah lelaki di sebelahnya. Wajah itu semakin redup. Membuat nalurinya mula berkocak. Benteng kekuatannya terasa semakin goyah. Rasa simpati semakin menghimpit. Kuatkah dia untuk terus menghadapi rayuan demi rayuan daripada lelaki ini?
“Sampai hati you…Maya,”
Dia terdiam lagi. Mencari kekuatan untuk melawan rasa simpati yang mula beraja di hati. Setelah hatinya sedikit teguh, dia mengangkat muka.
“I told you. I tak boleh terima you… sebab…,”
“Alasan you mengarut Maya. I tak boleh terima. Alasan paling mengarut yang pernah I dengar,”lelaki itu menyampuk sebelum kata-katanya habis meniti di bibir.
“Apa yang mengarutnya? Sudahlah tu Meer. I tak naklah. You carilah orang lain. Gadis lain. Ramai lagi yang suka kat you. Ramai sangat,”
“But I like you. I love you. Bukan orang lain. I serius nak kahwin dengan you,”
“I tak naklah Meer,”
“Why? Apa lagi yang kurang pada I? You cakaplah. I akan ubah semua perkara yang you tak suka tentang I. Apa yang I nak, cuma satu saja Maya. Terima I dalam hidup you. Itu saja,”
“Pasal you tak ada kekuranganlah… I tak nak kahwin dengan you. I takut. I tak sanggup. I nak orang yang biasa saja. Sederhana saja. I tak nak kahwin dengan lelaki hensem dan berduit macam you ni,”
“Maya! Please stop it. Tak larat I nak dengar alasan mengarut you ni. Sampai bila you nak anggap niat I ni satu perkara yang main-main?,”
“I tak pernah anggap you main-main. Cuma, I tak boleh nak terima you. Itu saja. I tak cukup kuat,”
“Please Maya…,”
“Sorry Meer. Janganlah desak I,”
“I tak akan mengalah. I akan kahwin dengan you. I akan pujuk you sampai you setuju. Itu janji I,”
“Meer… Kenapa ni? Kenapa selalu desak I? Janganlah macam ni. Jangan ganggu I ya? I tak pernah cakap apa-apa pun pada you. I tak pernah beri harapan pun pada you…,”
“Sebab you tak nak beri peluang pun pada diri you untuk pandang I ni… hina sangat I ni kat mata you, kan?,”
“Janganlah cakap macam tu…,”
“I janji pada you, satu hari, I akan buat you terima I,”sekali lagi lelaki itu mengulangi kata-katanya.
“Meer…,”
“Ini janji I, Maya…,”

BUZZ!!!

Laila tersentak. Lamunannya tiba-tiba menjauh. Dia kembali terkurung di dalam sangkar emas binaan Ameer Ferhad. Realiti yang membelenggu hidupnya hampir tiga tahun. Perlahan dia mengeluh. Matanya dilayangkan dinding. Mencari waktu. Pukul 2.30 pagi. Ameer entah ke mana. Bukan satu perkara aneh, dia sendirian di waktu-waktu begini. Sendirian seperti selalu. Bersendiri dan menjemput sepi bertamu di hati. Kesepian yang terasa semakin hari semakin membuat dia terasing. Semakin membuat dia tidak kenal pada dirinya sendiri.

BUZZ!!!
Sekali lagi bunyi itu menarik perhatiannya. Dari nama yang sama yang terus menegurnya sejak beberapa malam yang lalu. Yang tidak dia ketahui siapa pemiliknya. Silapnya, kerana menerima nama itu tersenarai di dalam ID sembang mayanya.
“Raz…,”bibirnya bergerak perlahan. Mahu membalas sapaan itu, tetapi, hatinya terasa berat. Sudahnya, dia meninggalkan komputer ribanya begitu sahaja. Tidak mempunyai keinginan untuk terus bercakap dengan monitor. Sapaan itu dibiarkan sepi lagi. Biarlah. Apabila bosan, pasti pemilik nama Raz ini, akan berhenti menyapanya. Sekali lagi dia memandang jam di dinding sebelum melangkah keluar dari bilik. Kaki dihayun tanpa tujuan tertentu. Apa yang hendak dibuat dinihari begini? Jiwanya kosong. Matanya pula cukup segar untuk lena. Sudahnya, dia memerhati ruang banglo besarnya yang suram. Sesuram hidupnya. Janji bahagia Ferhad. Bagai sudah dapat diduga, inilah kebahagiaan yang lelaki itu maksudnya. Tanpa sedar, sekuntum senyum sinis menghias bibir.
Kakinya laju menuruni anak tangga. Tercegat seketika di ruang tamu. Memerhati sekeliling. Indah. Mewah. Tersusun cantik perhiasannya. Namun, kenapa kaku di matanya? Sekaku dirinya yang menjadi patung bernyawa, menyaksikan tingkah Ameer saban hari. Tingkah lelaki yang menjanjikan segunung cinta padanya dulu. Yang sanggup pertahankan cinta sehingga ke hujung nyawa. Namun, nampaknya cinta Ameer berkubur sebelum ajal. Sumpahnya layu sebelum terbukti.
Perlahan dia melabuhkan punggung ke sofa empuk. Berbaring sambil berfikir tentang diri sendiri. Tentang Ameer. Tentang perkahwinannya. Tentang kesinambungan hidupnya. Sampai bila dia harus melalui detik-detik suram sebegini? Ameer entah di mana, sedang dia, sendirian di sini, memikirkan siapa pula wanita yang menemani Ameer malam ini. Tingkah Ameer benar-benar membuat dia hilang rasa. Membuat dia kering air mata. Sudah tiada apa yang mahu ditangisi lagi. Sudah hilang rasa marah. Sudah hilang rasa cemburu. Dia buntu memikirkan punca perubahan sikap Ameer. Tidak tahu di mana silapnya. Ameer yang sudah hilang rasa cinta, atau dia yang mengguris hati lelaki itu, tanpa sedarnya. Sungguh dia keliru. Sudahnya dia cuma menjadi penonton sandiwara Ameer…menari bersama rentak yang Ameer persembahkan padanya.

****
Daun pintu ditutup perlahan. Perlahan juga dia mengatur langkah menuju ke tangga. Namun, saat dia mengerling ke arah sofa, sesusuk tubuh menarik perhatiannya. Laila terlena di situ. Dia tidak jadi menyambung langkah ke bilik. Perlahan dia bergerak menghampiri isterinya. Sedikit hairan melihat Laila lena di situ. Dengan pergerakan yang perlahan dia melabuhkan punggung di sisi Laila. Merenung seketika isterinya yang kelihatan begitu lena. Sekuntum senyum terukir di bibir. Senang melihat wajah mulus itu. Laila kelihatan lebih beremosi di dalam lena, berbanding dalam jaganya. Penat dia menatap wajah tanpa perasaan wanita itu, setiap kali berdepan dengannya. Namun, entah kenapa, wajah itu tetap melekat di hatinya.
“Maya…Bangun sayang,”
“Maya…,”sekali dia memanggil perlahan sambil menggerakkan tubuh kecil Laila.
“Kenapa tidur kat sini?,”soalnya sebaik Laila membuka mata. Laila terpisat-pisat sambil bangkit dari sofa. Tidak tersedar dia terlena di situ.
“Kenapa tidur kat sini?,”sekali lagi Ameer mengulang soalan yang sama.
“Dah pukul berapa bang?,”
Ameer melihat jam di tangan. Hampir tiga pagi. Namun, soalan itu tidak dijawab. Menjawab soalan itu cuma memberitahu Laila waktu dia sampai ke rumah/
“Kenapa tidur kat sini?,”
“Maya terlelap. Abang baru balik ke?,”
“Hmm…,”cukup perlahan dia menjawab. Ada rasa bersalah yang bermain di hati.
Laila menggosok mata perlahan. Bangkit dari baringnya. Berada hampir dengan Ameer, deria baunya cepat memproses satu lagi haruman asing yang menemani suaminya pulang. Wajah Ameer yang tidak pernah hilang tampannya itu dipandang seketika.
“Abang dari mana?,”
“Siapkan kerja sampai lewat malam. Lepas tu abang singgah makan,”
“Maya dah siapkan makan malam kat rumah…,”
“Abang tak nak ganggu tidur Maya. Dah lewat sangat abang habis kerja tadi,”
Laila diam. Lebih banyak soalan, pasti lebih panjang bohong Ameer. Dan, apabila lebih panjang bohong itu, pasti lebih tawar hatinya untuk terus menatap wajah itu.
“Abang nak apa-apa ke? Kalau tak ada apa-apa, Maya nak masuk. Sambung tidur,”
Ameer menggeleng sambil tersenyum.
“Pergilah tidur. Kalau abang nak apa-apa, abang cari sendiri. Lagipun, abang pun memang nak tidur. Penat,”
Laila tersenyum hambar sambil mengangkat punggung. Bergerak meninggalkan Ameer. Beberapa langkah meniti anak tangga, dia menoleh. Merenung wajah Ameer yang tersandar di sofa.
“Oh ya, bang…,”
“Apa dia?,”soal Ameer sambil menanggalkan ikatan tali lehernya.
“Sejak bila abang tukar perfume ya? And, kenapa baunya macam perfume perempuan? Dah tukar selera ya?,”
Ameer terkedu. Soalan isterinya begitu bersahaja. Namun, terasa menyentap keluar isi jantungnya. Ternyata soalan Laila tidak mengharapkan jawapannya. Laila terus berlalu tanpa sempat dia mencari jawapan. Soalan itu lebih kedengaran seperti satu sindiran di telinganya. Perlahan dia membawa hidung ke kemejanya. Memang haruman asing semerbak di situ. Segera wajah manis Shania melintas di fikiran. Memang sepanjang malam dia bersama gadis manis itu. Bukannya menghadap kerja yang melambak. Alasan itu cuma untuk dijamah telinga Laila. Alasan itu cuma mahu mengelak daripada ada hati yang terluka. Selebihnya, mahu mengelak daripada tercetus pertengkaran. Tahu, tahap kesabarannya tidak setinggi mana untuk menghadapi mulut Laila apabila dalam keadaan marah. Dia mengeluh perlahan. Yakin, Laila sudah dapat menghidu agenda malamnya. Namun, haruskah seluruh kesalahan diletakkan di bahunya? Dia mencari bayang Laila. Sudah tiada. Laila sudah menjadi miliknya, namun, rindunya pada gadis itu bagai tidak pernah terubat. Tingkah Laila membuat dia hilang punca.
Nada dering yang menjerit dari telefon bimbitnya, menyingkir wajah Laila buat seketika. Segera dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Melihat satu pesanan ringkas yang masuk.

[ Dah sampai? Miss u sayang]

Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyum. Pesanan ringkas dari Shania. Perlahan dia mengangkat punggung sambil mencari-cari nama Shania di dalam senarai kenalannya. Ingin menghubungi gadis itu. Ingin bersembang dengan gadis itu. ingin mencari secubit rasa ria buat mengubat hatinya yang terasa kosong. Aneh. Jiwanya kosong, sedangkan, dia sudah memiliki segala-galanya.

****

Sunday, April 5, 2009

Pergilah Air Mata 48

Langkah Sabrina terhenti apabila dua pasang mata menikam wajahnya. Sedikit pelik. Dia mengukir senyum. Terfikir apa yang tidak kena padanya.
“Anything wrong?,”soalnya lambat-lambat.
Datuk Hamidi menunduk. Mencapai cawan kopinya.
“Bad, mana?,”Datin Hamidah membuka bicara.
Sabrina diam. Badrul? Tiada di meja, pastilah masih di biliknya.
“Kat bilik kot,”tekanya perlahan.
“Dia tak kerja ke hari ni? Cuba pergi kejutkan…,”
Mendengar arahan Datin Hamidah lututnya terasa kendur tiba-tiba.
“Saya?,”
“Yalah. Takkan nak suruh si Milah tu yang kejutkan. Cepat sikit. Kalau kerja, mesti dia bising-bising nanti. Sekarang dah pukul berapa ni..,,”
“Hmmm…yalah,”Sabrina membalas perlahan sambil berundur. Melangkah semula meniti anak tangga. Laju menuju ke bilik Badrul. Dia sendiri hampir terlupa Badrul masih di sini. Hampir terlupa Badrul tidur di sini malam tadi. Tercegat di hadapan bilik Badrul, dia termenung seketika. Cuba mengamati sebarang bunyi dari dalam. Sepi.
“Bad… Bad…,”
Sepi. Pintu diketuk perlahan sambil sekali lagi suaranya memanggil lembut. Juga tidak berjawab. Pintu bilik ditolak perlahan. Terkuak sedikit. Melihat Badrul masih terbaring lena di katil, membuat dia sedikit resah. Perlahan menggaru kepala yang tidak gatal. Dengan langkah yang berat, dia melangkah masuk. Kali kedua dia masuk ke bilik itu sejak bilik itu didiami Badrul dan Dayana. Ruang luas itu terasa dingin dengan penghawa dingin yang terpasang. Badrul lena di sebalik selimut tebal. Dia menarik nafas panjang.
“Bad…bangunlah. Dah pukul berapa ni? Awak tak kerja ke?,”
Badrul langsung tidak bergerak. Barangkali langsung tidak mendengar kata-katanya.
“Bad… bangun. Bad…,”suara ditinggikan sedikit sambil tubuh Badrul yang berselimut digerakkan perlahan. Badrul mula bergerak kemudian menyambung tidur.
“Bad… bangun…,”
“Hurm….mengantuklah sayang. Janganlah kacau I. Kejap lagi I bangun ,”perlahan suara Badrul menggumam dalam lena.
Sabrina ternganga. Pasti Badrul sangka Dayana bersamanya saat ini.
“Bad… bangunlah. Awak kerja ke tak ni?,”
“Hurm….,”
“Bangunlah…,”sekali lagi tangannya menggoncang lembut tubuh itu.
“Ermmm…. Come here. Sejuklah sayang…,”
“Ha?,”bulat mata Sabrina. Cepat-cepat dia mahu bangkit dari birai katil, tetapi, tangan Badrul lebih pantas menarik lengannya. Membuat dia terjatuh ke dalam pelukan Badrul.
“Bad! Bangunlah! Ini sayalah!,”jeritnya kuat sambil meronta minta dilepaskan. Jeritan yang memaksa Badrul membuka mata. Terjumpa wajah kelat Sabrina yang terkunci di dalam pelukannya.
“Apa kau buat kat sini?,”
“Lepaslah!,”
Seakan baru menyedari apa yang berlaku, pelukannya segera dilonggarkan. Sabrina pula, segera bergerak menjauh. Menyentuh pipinya yang terasa panas membara. Badrul bangkit dari baringnya. Dia berada di biliknya. Di rumah bapanya. Dan, tiada Dayana di sini. Cuma wajah Sabrina yang masam mencuka. Matanya dikejipkan berkali-kali.
“Apa kau buat kat sini pagi-pagi buta?,”
“Mama awak tanya, awak tak kerja ke hari ni?,”
“Kerja?,”
“Yalah. Kerja,”
Dalam mamai Badrul mula memproses mindanya. Semalam dia ke sini. Dan, hari ini, hari isnin. Dia sepatutnya bersiap ke pejabat.
“Kerja! Pukul berapa sekarang?,”
“Dekat pukul lapan,”
“Oh my god! Aku dah lewat. Kenapa tak kejutkan aku? Aku ada meeting pukul 9.30, kau tahu tak? Aku dah lewat!,”
Sabrina terkebil-kebil. Perlahan bergerak ke pintu sebelum Badrul mengamuk.
“Kau nak ke mana?,”
“Keluar. Tak nak ganggu awak bersiap,”balasnya sambil merapikan ikatan rambutnya yang sedikit terurai akibat bergelut untuk melepaskan diri dari Badrul sebentar tadi.
“Siapkan pakaian aku. Aku dah lambat,”
Belum sempat membuka mulut, Badrul sudah hilang ke dalam bilik air. Bermakna dia harus akur pada permintaan Badrul. Kaki dihayun ke arah almari. Membelek pakaian yang tidak banyak pilihan yang terdapat di situ. Cuma ada satu kemeja dan satu seluar slack. Segera dicapai dan berlalu meninggalkan Badrul. Ingin mencari seterika di bilik Jamilah.
Sebaik pintu bilik air terbuka, matanya liar mencari pakaian. Tiada. Bayang Sabrina juga tiada. Dia merengus perlahan. Geram. Matanya merenung jam di dinding. Pukul lapan lebih.
“Kamu tak kerja ke Bad?,”
Badrul tersentap. Menoleh ke pintu. Datin Hamidah tercegat sambil memeluk tubuh.
“Kerja. Dah lewat pun. Saya kena conduct meeting pagi ni,”
“Abah pesan.. dia akan take over. Kamu masuklah lambat sikit,”
“Hah?,”
“Masuklah lewat sikit,”
Badrul mengeluh lega. Apabila bapanya bersedia menawarkan diri, sekurang-kurangnya dia tidak perlu hadir di saat semua orang sedang menunggu. Dia tidak suka ditunggu.
“Bad… baju awak…,”
Suara Sabrina menarik perhatiannya. Dia mengangkat muka. Sabrina tercegat di sebelah ibunya.
“Tak pun… kamu terus ambil cuti pun tak apa. Bukan selalu kamu cuti. Kan?,”sambung Datin Hamidah sambil berlalu meninggallkan Sabrina yang terpinga-pinga tidak tahu apa yang sedang dibualkan.
“Ingat kau dah lesap,”Badrul bersuara sebaik Datin Hamidah hilang dari pandangan.
“Saya pergi iron bajulah,”
“Bawalah ke sini,”arahan itu meniti di bibir Badrul sambil tangan keringkan rambut dengan tuala kecil. Dalam enggan, Sabrina melangkah masuk. Meletakkan baju dan seluar yang sudah siap bergosok di atas katil.
“Saya keluar dulu,”
“Kemaskan katil tu sekali,”
Sabrina menjeling. Badrul sudah mengada-ngada. Dan mengada-ngada Badrul dibawa sehingga ke dapur.
“Aku nak makan Maggie goreng. Macam kau buat dulu,”
Dan, dengan perasaan terbuku, pagi-pagi buta dia masuk ke dapur sediakan Maggie goreng sambil diperhatikan Badrul. Bukan setakat memerhati tetapi, cukup dengan komen sana dan sini. Potong sayur besar sangat. Potong cili tak cukup nipis. Sudahnya, mulut itu diam apabila disuap sebiji cili segar yang belum dipotong. Terus mematung di meja.
“Nah. Dah siap,”
“Milo shake?,”
“Yalah…,”
“Hmm….,”
“Milo lebih, kurang manis. Guna susu tak mahu gula. And campur serbuk koko. Jangan banyak sangat. Takut pahit. Kan? And, of course I’ll shake it,”sampuk Sabrina bersama satu jelingan. Badrul tersenyum manis.
“Pandai…,”
Sabrina mencebik dalam diam sambil mencapai balang berisi milo.
“Tadi awak cakap dah lewat. Tapi, boleh pula order sarapan mengalahkan order kat kedai mamak…,”
“Tadi memang lambat. Sekarang tak. Abah take over meeting tu. And… telur dadar satu ya,”
Sabrina menoleh. Sudah sedikit geram.
“Tu…,”panjang muncungnya menunjukkan telur dadar di dalam piring. Telur dadar yang disediakan Jamilah untuk sarapan.
“Dah sejuk…,”balas Badrul tersengih. Sabrina menjeling lagi. Dia suka jelingan itu. Dan terus sabar menunggu milo shake nya. Juga telur dadarnya.

****
Darius tersenyum kecil. Topi keselamatannya ditanggalkan. Bersandar pada Honda CRV hitam miliknya sambil matanya terus memerhati tingkah Badrul.
“Kau senyum kenapa?,”
“Senyum tengok kau,”balas Darius selamba. Badrul menggaru kepala.
“Ada yang pelik ke?,”
“Pasal peliklah, aku senyum,”
Badrul menarik muka. Menanggalkan topi keselamatan.
“Jomlah,”
“Happy semacam aku tengok. Kenapa ni? Dahlah tiba-tiba meeting tukar chairman pagi tadi. Masuk office pun lambat. Dah masuk office, sehari suntuk aku tengok muka kau bukan main ceria,”
“Mengarutlah. Aku macam biasa saja,”
“Kau luar biasa hari ni…,”
Badrul memandang wajah Darius. Diam, tidak menjawab. Cuma tangannya laju membuka pintu kereta.
“Jomlah,”
“Ke mana?,”
“Baliklah. Dah dekat 4.30 ni,”
“Amboi. Tak sabar-sabar nak balik,”
Badrul sudah diam di tempat duduk hadapan. Terfikir-fikir begitu ketarakah keriangan yang terpamer di wajahnya? Dan, terfikir, kerana Sabrinakah keriangan ini menjelma? Sebaik membuka mata, Sabrina berada di dalam pelukannya, memberi satu getaran halus di jiwanya. Sungguh dia tidak sedar bila dia menarik gadis itu ke pelukannya. Namun, dia tidak kesal dengan apa yang berlaku itu. Dan, rentetan seterusnya membuat dia seakan-akan menikmati satu kehidupan yang baru. Kehidupan yang membahagiakan. Dia suka apabila Sabrina menyediakan pakaian kerjanya. Dia senang melihat Sabrina mengemas katilnya, walaupun dengan mulut yang sedikit memuncung. Dia gembira melihat Sabrina sibuk menyediakan sarapannya. Dan, teramat senang apabila Sabrina mengingati satu persatu makanan dan minuman kegemarannya. Sekuntum senyum spontan terukir sebaik teringatkan mulutnya yang disumbat cili segar. Satu tindakan Sabrina yang betul-betul di luar jangkaannya. Mulutnya yang sengaja menegur itu dan ini, terus terdiam selepas itu.
“Dah… senyum seorang pulak… Kau kenapa Bad? Macam angau saja,”
Badrul menoleh. Darius sudah pun berada di sebelahnya.
“Tak ada apa-apalah,”
“Yana pregnant ke?,”
Badrul tergelak kecil.
“Kau ingat dia nak pregnant awal-awal?,”
“Dah tu, Sabrina?,”soal Darius tersenyum nakal. Badrul menjeling sekilas. Darius tergelak kecil.
“So, macam mana? Berkesan ke cara kau? Dah boleh lupakan Sabrina tu?,”
“Pagi tadi, aku dari rumah mama aku…,”Badrul bersuara tanpa mengacuhkan soalan Darius.
“Oh… aku agak muka ceria kau ni, ada kena- mengena dengan Sabrina kot. Am I right?,”
Badrul diam seketika. Kemudian berpaling mencari wajah Darius.
“Bila aku tengok cara dia layan aku pagi tadi, I wish Dayana pun boleh buat macam tu kat aku,”
Darius menggosok dagu sambil membuat muka.
“Layan macam mana?,”soalnya bersama sekuntum senyum penuh makna.
“Sediakan pakaian kerja aku. Sarapan aku. Temankan aku sarapan…,”
Darius tergelak.
“Layanan itu ke? Selama hari ni, dia tak pernah layan kau macam tu ke? And, kat rumah baru ni, siapa yang layan kau? Mestilah dia, kan?,”
Badrul tersenyum nipis. Dayana mahu lakukan itu semua? Dia tidak pernah meminta, namun, dia seakan yakin, Dayana akan menolak.
“Dayana? Kau tahu tak, Yana suruh maid parent dia datang pagi-pagi, kemas rumah. Pendek kata siapkan semuanyalah. Tengahari balik semula ke rumah parent dia. Kasihan maid tu. Terkejar-kejar ,”
“Tegaslah sikit Bad. Takkan setakat kau seorang pun dia tak boleh nak jaga. Sepatutnya dah tinggal berdua macam ni, dia mestilah lebih beri perhatian pada kau,”
“Nak bertegas macam mana? Kau bukan tak tahu perangai Yana. Kau ingat kepala angin dia tu, boleh dilawan ke?,”
“Kepala angin ke. Kepala ribut ke. Kau suami, dia isteri. Cakap siapa yang lebih penting? Aku rasa itu, kau sendiri pun tahu kan? Cuma…Yang aku pelik, satu saja,”
“Apa pula yang peliknya?,”
“Yalah… dengan Sabrina bukan main lagi kau marah. Suruh itu ini. Tapi, dengan Dayana kenapa kau menikus?,”
Badrul diam. Sesekali turut pelik dengan sikapnya sendiri.
“Hmm… dahlah. Tak payah cakap lagi pasal ni. Aku nak balik. Cepat sikit,”
Darius tersenyum.
“Balik ke mana? Kat Dayana ke kat Sabrina?,”
“Cepatlah! Jangan buang masa,”Badrul sedikit membentak, membuat tawa pecah di bibir Darius.
“So, kau dah decide, bila kau nak lepaskan Sabrina?,”Darius terus mengajukan soalan. Diam di tempat duduknya menanti jawapan Badrul. Arahan Badrul dibiarkan sepi.
“Belum…,”
“Fikir masak-masak kawan. Then, jangan terus buat tindakan macam ni. Tindakan kau tak bijak. Kau abaikan tanggungjawab yang sepatutnya kau galas. Kalau kau betul-betul tak mahu dia, lepaskan dia dengan cara baik. Kalau kau tak mahu lepaskan, layan dia selayaknya. Jangan buat macam ni,”
“Tengoklah nanti…,”
“Tengoklah nanti. Itulah jawapan kau. Dah dekat setahun kau kahwin dengan dia kan? Berapa lama lagi, kau nak buat dia macam tu?,”
“Dia tak kisah, Dar…,”
“Dari mana kau tahu?,”
“Dia yang cakap sendiri,”
Darius tergelak sinis.
“Bad…Bad… dalam pandai, kau ni bodoh juga. Takkanlah si Sabrina tu nak mengaku. Kalau pun, dia kisah, dia tetap akan cakap tak kisah. Takkan dia nak kau rasa macam dia desperate sangat nakkan kau…,”
Badrul terdiam. Sekaligus teringatkan tingkah Sabrina yang sering berubah-ubah. Kadang-kadang mesra, kadang-kadang dingin. Kadang-kadang takut-takut, kadang-kadang beraninya melampau-lampau. Mungkinkah apa yang meniti di bibir gadis itu tidak seperti apa yang bermain di hatinya? Sekilas dia memandang yang Darius yang tersengih sambil menggeleng-geleng kepala.
“Tolonglah! Jalan je lah…,”sudahnya cuma itu yang meniti di bibirnya.
“Ya lah…ya lah. Tak nak dengar nasihat, cakap je lah,”
Badrul diam. Malas mahu menjawab lagi.

****






[11:35:50 PM] hos.getah: