Thursday, December 30, 2010

Kuseru Rindu Itu... 29


            Wajah Hisyam sedikit cuak. Memang kemunculan ini, kemunculan yang tidak pernah dia duga. Tidak pernah terjangkau dek fikirannya, satu hari Maisara akan muncul di sini. Maisara akan berada di pejabatnya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Pantas matanya tertancap pada pintu bilik Idayu yang baru sahaja ditutup rapat. Risau kalau-kalau pintu itu tiba-tiba terbuka. Pandangannya dialihkan pula pada Maisara yang santai membelek majalah di ruangan menunggu benar-benar membuat dia terganggu.
            “Encik Hisyam. Encik Hisyam ada tamu. Saya cuba intercom ke bilik Encik Hisyam tapi, tak ada jawapan,”
            Hisyam menoleh. Wajah gadis penyambut tetamu itu dipandang dengan pandangan kosong.
            “Saya di bilik Puan Idayu,”
            “Oh… patutlah. Nak saya minta tamu tu ke bilik Encik Hisyam ke?,”
            “Tak perlu. Saya jumpa dia sekarang,”
            Gadis itu mengangguk bersama senyum. Kemudian kembali sibuk dengan kerjanya. Hisyam bergerak menuju ke ruangan menunggu. Berdiri seketika di belakang Maisara. Bagaimana mahu berdepan dengan gadis itu di dalam situasi yang cukup tidak menyenangkan ini?
            “Sara,”
            Pantas Maisara berpaling. Lebar senyum terukir di bibir gadis itu. Namun, senyum itu tidak bisa membuat jiwanya berlagu riang seperti selalu. Senyum itu cuma mampu merancakkan rasa bimbang yang beraja dihati.
            “Sara buat apa kat sini?,”
            “Jumpa abang,”ringkas jawapan yang diterimanya.
            “Come to my office,”laju Hisyam memberi arahan. Laju juga dia melangkah. Tidak mahu Idayu melihat kelibat Maisara di sini. Sebaik sampai di bilik, pintu segera ditutup.
            “Sara. Sara tahu tak apa yang Sara lakukan ni?,”belum sempat punggung dilabuhkan ke kerusi, soalan itu terlebih dahulu meniti di bibir. Membuat senyum Maisara sedikit terganggu.
            “Sara nak jumpa abang. Salah ke? Sara dah tak boleh jumpa abang ya?,”
            “No. Bukan macam tu. Bukan kat sini tempatnya kalau Sara nak jumpa abang,”
            Maisara menarik muka. Perlahan melabuhkan punggung ke kerusi. Merenung wajah Hisyam yang jelas kelihatan kurang senang. Sudah dia jangka penerimaan Hisyam itu. Sengaja dia mengambil keputusan untuk muncul di sini. Terlalu lama dia menanti Hisyam bertindak. Rasanya sudah sampai masanya dia pula yang mulakan langkah. Kalau tidak, hubungan ini pasti tidak akan ada penamat.
            “Abang ni, bercakap macam Sara  ni perempuan simpanan abang aje. Kenapa? Sara tak layak nak muncul depan orang-orang yang kenal dengan abang?,”dia bersuara dengan nada yang sedikit merajuk.
            “Bukan macam tu maksud abang. Isteri abang pun kerja di sini. Abang tak mahu dia tengok Sara kat sini,”
            “Kenapa pula? Biarlah dia tahu. Abang juga yang cakap, isteri abang tu dah tahu pasal kita. Dia tak marah, kan?,”
            “Sara jangan macam ni. Abang tak suka Sara buat macam ni,”
            Maisara mengeluh perlahan.
            “Semua yang Sara buat, abang tak suka. Betullah. Abang tak serius mana pun dengan Sara. Nak permainkan Sara aje kan? Sara ajak jumpa mak Sara semalam, abang cakap ada hal. Malam tadi, ajak keluar kejap, abang cakap nak spend masa dengan anaklah. Dengan adik ipar yang datang dari jauhlah. Hari ni, Sara datang jumpa abang kat sini, Sara kena halau pula,”
            Panjang bebel Maisara sambil menarik muncung. Hisyam mengeluh lemah.
            “Petang nanti kita jumpa okay,”pujuknya lembut.
            “Hmm… memang abang halau Sara ya?,”               
            Satu keluhan meniti lagi di bibirnya. Benar-benar serba salah dengan situasinya saat ini. Kalau tidak dilayan, pasti Maisara merajuk panjang. Kalau dilayan, bermakna pasti lebih lama Maisara akan berada di pejabatnya itu.
            “Abang tak nak kecoh-kecoh kat office abang. Ini tempat bekerja, Sara,”
            Maisara mengangkat muka. Wajah Hisyam direnung tajam.
            “Sara bukan datang nak cari pasal pun. Abang ingat Sara ni apa? Sampai hati abang cakap macam tu,”
            Hisyam mengeluh panjang. Perlahan mengangkat punggung. Bergerak mendekati Maisara.
            “Kalau Sara sayangkan abang, Sara pergi ya. Nanti kita jumpa ya,”
            “Kalau abang sayangkan Sara, jangan halau Sara macam ni,”
            “Sara…,”
            “Abang, Sara dah muak dengan sikap abang ni. Abang langsung tak adil dengan Sara. Abang buktikan pada Sara, kalau abang benar-benar cintakan Sara,”
            “Sara, kalau isteri abang nampak Sara kat sini…,”
            “Kenapa? Kalau isteri abang nampak, kenapa? Abang takut dia sedih? Abang takut dia menangis? Sedih Sara ni, macam mana? Abang jaga sangat perasaan isteri abang tu. Perasaan Sara ni, abang anggap tak penting pun,”
            “Sara, jangan mulakan. Stop it. Kita bincang petang nanti. Okay? Sekarang Sara balik dulu. Abang tak mahu nanti kecoh, kalau isteri abang nampak kita berdua kat sini,”
            Maisara diam tidak bergerak. Menunjukkan reaksi protes pada permintaan Hisyam. Muak apabila Hisyam terus mahu membela isterinya.


***

            Ketukan perlahan di pintu biliknya memaksa matanya terhenti sejenak daripada helaian dokumen di hadapannya. Dia mengangkat muka.
            “Masuk,”
            Pintu bilik terbuka. Wajah Nora bersama senyum lebar terjengul di situ.
            “Ya, Nora. Ada apa?,”soalnya tenang. Nora menolak daun pintu lebih luas. Melangkah masuk bersama jambangan mawar kuning. Melihat jambangan bunga itu, senyum terukir di bibirnya. Mawar kuning. Dia bagai dapat meneka siapakah pengirimnya.
            “Semalam Syafiq dapat hadiah, hari ni, Puan Idayu dapat bunga pula,”
            Idayu terus tersenyum. Perlahan mengangkat punggung. Kejutan yang membahagiakan daripada Hisyam. Tidak cukup dengan kata-kata maaf, rupanya Hisyam terus memanjakannya dengan kejutan pula. Jambangan bunga dicapai. Menikmati seketika harum segar mawar kuning itu.
            “Jeleous saya tengok Puan ni,”Nora bersuara separuh bergurau. Idayu tergelak halus.
            “Thanks, Nora,”
            Nora tersengih.
            “Saya keluar dulu ya, Puan,”
            Idayu mengangguk perlahan. Matanya terarah pada sekeping kad kecil yang diselit di celahan kuntuman mawar.  Perlahan kad itu dibuka.

            [ Terima kasih untuk setiap senyum yang Ayu ukirkan buat abang.
               Abang sayangkan Ayu. ]

            Idayu tersenyum lagi. Jambangan itu didakap perlahan. Tiba-tiba terasa Hisyam begitu dekat di hatinya. Barangkali Hisyam berasa bersalah. Barangkali ada peluang untuk dia cuba menggapai sekeping hati Hisyam.
            “Ya ALLAH, jadikanlah suamiku cuma milik aku seorang…,”perlahan dia berbisik. Seraya menghela nafas panjang, dia bergerak ke arah pintu. Mahu menemui Hisyam. Mahu Hisyam tahu yang dia bahagia dengan kejutan ini. Sejenak dia berhenti di hadapan pintu bilik Hisyam. Perlahan pintu diketuk dan bersama senyum manis, pintu ditolak perlahan.
            “Abang, thanks for…,”kata-katanya terhenti di situ. Ternyata Hisyam ada tamu. Dan, jelas wajah Hisyam saat itu disapu riak terkejut yang bukan sedikit.
            “Sorry. Ayu tak tahu abang ada tamu. Nanti Ayu datang balik ya,”ujarnya lembut. Namun, melihat tetamu Hisyam yang menoleh perlahan padanya, membuat senyumnya hilang perlahan. Dia kenal gadis itu. Terlalu kenal. Tidak mungkin dia boleh lupa pada seraut wajah yang telah mendapat tempat istimewa di hati suaminya itu. Pandangannya beralih pada Hisyam. Seribu persoalan bermain di kepalanya. Namun, tidak terluah di bibirnya. Dia terkejut. Terkejut yang bukan sedikit.
            “Abang? Ini…,”
            “Maisara. Saya Maisara. Kekasih Hisyam,”lancar gadis itu memperkenalkan diri membuat hatinya luluh tiba-tiba. Lemah segala sendi tatkala Maisara dengan santai bergerak mengambil tempat di sisi Hisyam. harapannya sebentar tadi kini berkecai satu per satu.
            Seketika Idayu tunduk. Dia tahu tentang hubungan Hisyam dengan gadis itu. Dia tahu segala-galanya. Sangkanya dia boleh terima semua itu dengan tabah. Sangkanya dia sudah bersedia untuk berdepan dengan kenyataan itu. Ternyata dia silap. Dia tidak pernah bersedia. Rupa-rupanya, dia tidak tidak pernah merelakan hubungan ini. Perlahan dia mengangkat muka. Menatap dua wajah yang sedang mencalar hatinya dengan calar yang bukan sedikit.
            “Kekasih?,”
            Senyum sinis dibibir gadis itu terasa seperti sedang membunuhnya.
            “Mustahil awak tak tahu. Abang Hisyam cakap awak dah tahu pasal kami. Kenapa buat terkejut pula?,”
            Idayu menelan liur. Sikap terus-terang kekasih suaminya itu seperti merentap keseluruhan semangatnya untuk hidup. Dalam melayan hatinya yang pedih, matanya merenung wajah Hisyam. Hisyam sudah berani membenarkan gadis itu muncul di sini. Mungkinkah Hisyam sudah bersedia untuk melepaskan dia pergi? Matanya merenung pula pada jambangan bunga yang telah membuat dia terbuai dek rasa bahagia sebentar tadi. Jambangan bunga yang member harapan baru untuk dia terus pertahankan hubungannya dengan Hisyam. Perlahan-lahan jambangan itu terlucut dari pegangan. Jatuh di hujung kakinya. Sungguh dia gagal menebak apa sebenarnya yang ada di hati Hisyam. Dalam renungannya pada Hisyam. Sedalam luka yang sedang tercalar di hatinya saat ini. Renungan tanpa suara yang penuh dengan luahan hiba. Andai sahaja Hisyam sudi member dia peluang. Andai sahaja Hisyam sudi belajar mencintainya. Namun, itu semua mustahil. Perlahan-lahan matanya kabur dibayangi jernih air mata. Untuk bersuara memang dia tidak mampu. Untuk terus berada disitu, dia tidak mahu Maisara terus menang. Menang pada tangis hibanya. Perlahan dia berpaling. Melangkah mahu meninggalkan pasangan itu.
            “Ayu…,”
            Dia terus melangkah.
            “Ayu, tunggu,”
            Pintu bilik tertutup. Membuat  Hisyam diserbu rasa bersalah. Tajam matanya merenung wajah Maisara yang selamba.
            “What are you doing, Sara?,”
            “Sesuatu yang patut abang buat lama dulu,”
            Hisyam merengus marah. Pantas tangannya mencapai kunci kereta.
            “Abang nak ke mana?,”
            “Abang nak kejar isteri abang,”
            “Abang! Sara macam mana?,”
            Hisyam berpaling.
            “Sara balik dulu. Nanti abang cari Sara,”
            Maisara menarik muncung. Hisyam sudah bergerak keluar dari bilik. Mahu atau tidak, Maisara mengekori dengan perasaan bercampur - baur.
            “Abang,”panggilnya apabila Hisyam terus berlalu tanpa mempedulikannya. Ternyata Hisyam sudah tidak menoleh. Membuat darahnya mendidih. Tanpa mempedulikan pandangan hairan pekerja-pekerja Hisyam, laju dia mengejar langkah Hisyam.
            “Abang!,”Maisara separuh menjerit melihat Hisyam yang sudah melangkah masuk ke perut kereta. Kaki dihentak ke jalan apabila kereta Hisyam bergerak meninggalkannya. Hisyam tinggalkan dia sendirian demi isterinya itu. Maisara mengetap bibir menahan geram.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: