Monday, December 29, 2014

Mencari Hilang 11



Lama dia termenung. Tidak habis fikir tentang Farisha. Juga terkejut dengan berita yang disampaikan oleh teman Farisha. Langsung tidak disangka ada tragedi dahsyat yang menimpa Farisha. Apa sebenarnya yang berlaku? Sungguh dia mahu tahu.
“Maaflah. Mood Isha kurang baik tu. Saya tak rasa dia nak jumpa sesiapa saat ni,”
“Saya cuma nak tegur dia sebelum saya pergi. Dia nampak tergesa-gesa pergi tadi. Is she alright?,”
“Tak okay rasanya. Mesti dia teringatkan anak dia,”
“Anak dia? Kenapa dengan Trisya?,”
Perlahan dia meraup wajah. Rasa terkejut mendengar sedikit kisah Farisha daripada teman Farisha sendiri, masih tidak berkurang langsung. Langsung tidak menduga anak kecil itu sudah tiada di dunia ini. Anak kecil yang begitu dekat di hatinya itu rupa-rupanya sudah pergi selama-lamanya. Farisha kehilangan satu-satunya permata hati yang menjadi tunjang kekuatannya. Juga permata hati yang berjaya menambat hatinya. Dia akrab dengan anak kecil itu. Keakraban yang mendatangkan kemusykilan pada Trisya apabila pemikirannya disogok dengan fakta yang direka-reka. Membawa dia pada kenangan yang pernah tercipta di dalam lipatan hidupnya.
“Uncle tak nak ambil mama Ticha kan? Tak nak bawa mama Ticha pergi jauh-jauh kan?,”
Dia tergelak mendengar soalan yang polos itu.
“Kenapa tanya macam tu?,”
“Kalau uncle nak bawa mama Ticha jauh-jauh, janganlah jumpa mama Ticha lagi,”
Kali ini dia mengangkat kening.
“Kenapa Trisya cakap macam ni? Mama Trisya  tu... Trisya yang punya. Mana boleh uncle bawa pergi? Cakap dengan uncle kenapa Trisya cakap macam ni?,”
“Papa yang cakap. Papa selalu cakap dengan Ticha, uncle nak curi mama. Papa selalu marah mama. Papa cakap kalau Ticha sayang mama, Ticha tak boleh bagi mama jumpa uncle lagi. Tapi, Ticha suka uncle. Uncle tak suka marah-marah macam papa,”
Zaheem termenung pilu. Terngiang-ngiang luahan Trisya yang ternyata keliru juga terbayang keletahnya yang cukup mencuit hati. Hatinya didorong rasa ingin tahu yang bukan sedikit. Dorongan yang sekali lagi membawa dia ke sini. Dia perlu berjumpa Farisha. Dia mahu tahu segala-galanya tentang  Trisya juga tentang Farisha. Dia yakin pasti amat payah untuk Farisha mendepani hidup tanpa Trisya.
Tetapi, kini setelah berdepan tiada suara yang muncul. Dia diam bersama kisah silam dan Farisha juga nampaknya selesa berdiam diri. Itu bukan satu yang aneh baginya kerana sewaktu dia mengenali Farisha, wanita ini juga lebih banyak membisu daripada bersuara. Bercakap hanya untuk perkara yang perlu. Jauh sekali mahu bergurau-senda.
“Maaf kalau saya mengganggu masa kerja Isha,”
Farisha mengangkat muka. Tersenyum kemudian menggeleng.
“Tak mengganggu,”ucap Farisha ringkas.
Zaheem mengukir senyum. Canggung dalam kebisuan. Terlalu banyak yang ingin dibualkan tetapi semuanya terasa bagai serba tidak kena.
“Saya tumpang simpati atas apa yang berlaku. Sungguh saya tak sangka...,”
“Tak apa. Ujian buat saya,”laju Farisha mencelah. Tidak mahu sampai nama Trisya terucap lagi di sini. Dia tidak yakin dengan kekuatan jiwanya. Tidak mahu dia tewas lagi seperti beberapa hari yang lalu.
“Lepas pertemuan kita yang terakhir tu, Isha terus hilang. Langsung tak dapat dihubungi,”
Diam.
“Apa sebenarnya yang berlaku? Saya call tak dapat. Saya cuba cari di tempat kerja Isha, tapi Isha dah berhenti kerja. Ada sesuatu yang berlaku?,”
Farisha terus membeku. Pertemuan terakhir dengan Zaheem bermakna detik-detik akhir dia dengan Trisya. Saat- saat akhir dia merasa pelukan hangat Trisya. Ciuman manja Tisya. Juga saat-saat terakhir bebannya terubat dengan senyum manis Trisya. Mengingatkan itu semua, tidak perlu lagi kata-kata. Spontan bibir matanya memberat. Teringatkan peristiwa yang sedaya upaya dia cuba hapuskan daripada memorinya bukanlah sesuatu yang amat senang untuk dia kawal. Perlahan dia menunduk. Mencari di mana kewajaran andai air mata menitis di hadapan Zaheem. Dia kenal lelaki ini. Dan, lelaki ini pernah menjadi teman yang banyak membantu dia meneruskan kehidupan. Tetapi untuk dia tonjolkan kesedihan pada lelaki ini, rasanya tidak wajar.
“Kita cakap pasal benda lain?,”beberapa ketika menunduk membina kekuatan, dia bersuara sambil mengangkat muka. Bibir mata yang berat disapu segera. Menggantikan hiba yang tersapa dengan sekuntum senyum di bibir.
Zaheem diam. Diam sambil memerhati. Kalau empat tahun dulu, dia melihat Farisha sarat dengan pergolakan perasaan, hari ini, matanya menangkap satu keresahan yang semakin memburuk. Apa sebenarnya yang telah berlaku pada wanita yang telah mencuri hatinya ini?
“Are you okay?,”
Farisha melebarkan senyuman.
“Okay. Saya okay,”
“Saya tak fikir macam tu. Wajah awak... senyum awak... makin teruk berbanding empat tahun dulu,”
Farisha kelu. Cuma pandangannya bersatu dengan renungan redup Zaheem.
“Ceritalah,”pinta Zaheem lembut.
Berdepan dengan alunan suara yang begitu lembut menambahkan lagi rasa sesak di hatinya. Akhirnya tiada apa yang mampu diceritakan. Cuma air matanya mengalir laju di hadapan Zaheem. Membuat hati Zaheem turut tersayat pilu.
“Sorry. Saya tak kuat untuk bercakap pasal Trisya,”di hujung sebak, dia bersuara lambat-lambat sambil cuba menghapuskan air mata yang membasah pipi. Diseka dengan belakang telapak tangan.
“Bukan. Bukan tak kuat tapi awak memang tak pernah cuba bercakap dengan sesiapa pun, kan?,”
Farisha memilih untuk mengunci kata.
“Suami awak?,”
“Kenapa tak bawa anak sekali?,”topik bicara mula dihalakan ke arah lain. Biarlah segala rasa terus tersimpan di hatinya. Zaheem bukan sesiapa untuk mendengar rintihannya. Dia juga tidak bersedia untuk membuka cerita kepada sesiapa pun.
Mendengar soalan itu, lama Zaheem merenung wajah suram yang cuba dimaniskan dengan sekuntum senyuman palsu. Sukarnya mendekati sekeping hati Farisha masih sama seperti dulu.
“Isha tetap macam dulu...,”
Farisha mengeluh perlahan. Membalas pandangan Zaheem yang sayu.
“Sesetengah perkara, lebih baik didiamkan saja sampai bila-bila. Timbulkan semula semua kisah sedih pun, tak mungkin Trisya saya akan kembali ke pelukan saya. Tak mungkin Trisya saya akan datang mengesat air mata saya tiap kali saya tak mampu nak berdepan dengan ujian hidup saya. Saya tetap kehilangan dia... selama-lamanya...,”
“Bukan begini caranya untuk berdepan dengan masalah,”tingkah Zaheem lembut. Tidak bersetuju dengan cara Farisha.
“Begini caranya,”tegas Farisha seakan memberi noktah pada perbualan mereka.
Zaheem mengeluh perlahan-lahan. Ya, tidak banyak yang dia tahu tentang Farisha tetapi, melihat wajah itu, dia yakin begitu banyak badai yang menghempas sekeping hati wanitanya. Mungkin keperitan hidup membuat hati wanita itu seakan merajuk jauh. Bicara Farisha seperti menutup hati yang terluka. Itu bukan kata-kata yang lahir daripada hati yang pasrah.
“Isha, saya nak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam masa beberapa tahun ni. Apa sebenarnya yang berlaku pada Trisya? Isha sendiri bagaimana sekarang? Tolong beritahu saya semuanya,”
“Terima kasih sebab dari dulu awak selalu ambil berat tentang saya. Tapi, rasanya biarlah saya lalui semua ni, dengan cara saya,”
Zaheem diam. Diam sambil terus merenung jauh ke hadapan. Melihat beberapa orang kanak-kanak sedang berkejaran di taman permainan yang terletak tidak jauh dari restoran milik Farisha.
Farisha turut diam melihat kebisuan Zaheem. Jelas wajah lelaki itu nampak kecewa. Akhirnya, pandangannya turut dihalakan ke arah sekumpulan kanak-kanak yang seronok bermain.
“Dari dulu lagi, saya memang mahu tahu semuanya pasal Isha,”Zaheem bersuara tanpa memandang wajah Farisha. Meluahkan sesuatu yang lama terpendam.
Farisha menoleh. Agak aneh mendengar ucapan yang baru sahaja dilantun Zaheem.
“Maksud awak?,”
Zaheem mengeluh perlahan. Mencari sepasang mata milik Farisha. Wajah itu kelihatan tertanya-tanya. Jelas menunjukkan yang selama bertahun ini, cuma dia yang memendam rasa. Jadi, perlukah dia berterus-terang kini? Akhirnya dia tersenyum nipis sambil menggeleng perlahan.
“Boleh kita berkawan sekali lagi?,”sudahnya dia bertanya sambil menarik nafas panjang.
Farisha tersenyum kelat.
“Boleh?,”
“Boleh,”jawab Farisha sepatah.
Zaheem tersenyum lebar. Apa yang diharapkan dengan hubungan yang dimulakan kembali ini? Dia sendiri tidak pasti. Yang dia tahu, dia tidak mahu wajah ini hilang lagi dari hidupnya.


*****

6 comments:

All in One said...

Jangan...zaheem dah kahwin...moga zaheen happy dengan isterinya..moga farisha jumpa otang yang sayang dia..(tapi bukan si dudanya itu)!!

Anonymous said...

Tak tahu nak kata apa...kasihan farisha. Akak suka farisha dgn zaheem tapi dah kahwin pulak. Jgnlah kembalikan farisha kpd dudanya gantikanlah dgn yg lebih baik.

~k.min~

nisha aini said...

Jgn la jodoh dia dgn suami org atau bekas suami dia ke... Harap ada hero lain yg single...

Anonymous said...

xnk dia dgn zaheem jugak...rasa mcm kisah zaheem mcm kuseru rindu itu pulak...

Anonymous said...

Cik Hanni, Bilakah novel ini akan diterbitkan? Tq

mebel jepara murah said...

artikel yang bagus dan bermanfaat juragan sukses selalu
mebel jepara murah
kursi tamu mewah
mebel jepara

[11:35:50 PM] hos.getah: