Monday, March 29, 2010

Sekadar Di hati...5

“Knock! Knock!,”

Luqman mengangkat muka. Suara itu menamatkan menungannya. Senyum seorang gadis di pintu biliknya dibalas ala kadar.

“Jauh termenung,”

“Masuklah,”Luqman bersuara sambil tangannya laju menyusun helaian kertas di atas meja. Tidak pasti berapa lama dia termenung.

“Tak ada kelas?,”

Luqman mengangkat muka.

“Kelas I dah habis pukul dua tadi,”

“Oh… ok. Selalu kalau tak ada kelas, you terus balik. Hari ni, termenung kat office pula?,”

Luqman tersenyum kecil. Memandang wajah teman sekerjanya itu.

“Anyway, ada hal penting ke you jumpa I ni?,”

Leesa tersenyum.

“I nak balik sebenarnya. Pintu bilik you terbuka and ternampak you termenung bukan main jauh lagi. Kenapa? Rindu kekasih ke?,”

Luqman tergelak kecil. Bersandar malas pada kerusi. Satu keluhan berat meniti di bibirnya. Rindu kekasih? Rasanya mengingati Darween tidak menjadikan dia separah ini.

Leesa mengukir senyum. Jarang melihat Luqman di dalam situasi sekarang. Lelaki itu jarang termenung. Jarang menunjukkan reaksi bermasalah. Atau memang Luqman tidak pernah mempunyai masalah.

“Ada masalah ke? Masalah dengan Darween?,”

Luqman menggeleng.

“Tapi, kenapa muka macam orang ada masalah?,”

“Macam orang ada masalah ke?,”Luqman mengulangi soalan Leesa sambil tersenyum.

Leesa cuma jongket bahu membuat Luqman tergelak kecil. Melontar seketika wajah Najwa dari mindanya.

“You percaya mimpi?,”soalnya tiba-tiba.

Membuat Leesa juga tergelak tiba-tiba.

“Mainan tidur,”jawabnya pendek. Dan, Luqman mengangguk perlahan. Itulah yang diingatkan pada dirinya setiap kali tidurnya kerap diganggu wajah Najwa.

“Kalau berulang-ulang?,”

“Terlalu banyak fikir?,”teka Leesa singkat.

Dia mengangguk lagi. Kesimpulan yang juga hampir sama dengan kesimpulan yang diproses mindanya.

“Kalau mimpi yang sama dalam tidur dua manusia berbeza, di dalam waktu yang sama?,”soalan meniti lagi di bibirnya.

Leesa terdiam. Spontan bergerak mengambil tempat di hadapan Luqman.

Luqman memandang. Menunggu ulasan Leesa yang seterusnya.

“Jodoh you kot,”ucap Leesa tersengih. Tiada alasan kuat untuk menyokong kebetulan mimpi sebegitu. Dia tersenyum. Sama sepertinya, Leesa juga gagal memberi alasan. Dan, kegagalan itu membuat dia diseret seribu persolan. Memang tidak faham mengapa mimpinya dan mimpi Najwa begitu sama. Dan, mengapa mimpi itu menjengah dalam lena yang sama?

“Kalau itu petanda jodoh, I hope bukan lelaki yang alami mimpi yang sama tu. Nanti, you jadi gay pula,”

Luqman tergelak besar.

“Very funny,”ujarnya sambil menggeleng. Leesa tersenyum.

“Kidding. Seriusnya, siapa yang mimpi? Mimpi tentang apa?,”

Luqman mengeluh lagi. Memandang wajah Leesa.

“I kenal seorang girl. Suffering. Itu aje yang boleh I cerita pada you. Lebih dari tu, biarlah jadi rahsia I. I boleh rasa dugaan yang dia rasa tu. Berat untuk gadis semuda dia. Dan, yang anehnya, I mimpi perkara yang sama dengan dia. Masa yang sama. Dalam mimpi tu, dia ketakutan. Dia binggung. I di situ tapi tak berdaya nak tolong,”

“Petanda?,”

“I don’t know,”

“Maybe you have to make a move, then, baru you boleh tolong dia?,”

“How?,”

Leesa menjungkit bahu. Dia sendiri tidak pasti. Sering dia mendengar ada mimpi yang sekadar mainan semasa lena. Ada mimpi yang mahu memberi petunjuk tentang sesuatu. Tetapi, apa yang dia tahu, tidak lebih dari itu.

“You rasa, macam mana?,”setelah terdiam seketika, soalan diaju pada Luqman. Mahu mendengar pendapat Luqman tentang mimpi. Luqman sekadar menjongket bahu.

“I have no idea,”

“Kenapa tak minta pendapat from somebody? Yang lebih arif dalam hal-hal sebegini, maksud I. Setakat pendapat I, buat bahan untuk you ketawa, boleh lah,”

Luqman mengeluh perlahan. Pernah terlintas perkara yang sama di fikirannya. Tetapi, mungkin belum masanya.

“Or, maybe you simpati sangat pada girl tu?,”

“Maybe,”

“Dia kenapa? Tak nak cerita kat I?,”

Luqman tersenyum. Perlahan dia menggeleng. Mustahil dia akan ceritakan aib Najwa pada Leesa.

“Seorang gadis malang,”ucapnya sambil tersenyum panjang. Leesa mencemik.

“Jangan sebab gadis malang ni, nanti nasib Darween jadi malang ya?,”gurau Leesa sambil tergelak halus.

“Maksud you?,”

“Manalah tahu, tak pasal-pasal nanti, Darween putih mata. Mana tahu gadis malang ni dah mula melekat kat hati you. Sampai mimpi-mimpi segala. Siap mimpi yang sama lagi tu,”

Luqman tersenyum sambil menggeleng.

“Kita cuma merancang. Yang tentukan tu, itu bukan bidang kita…,”

“Opss… lain macam statement tu,”

Luqman tergelak lagi mendengar jawapan Leesa sebaik mendengar pendapatnya.

“Macam-macamlah you,”

Leesa tersenyum.

“Okaylah. Aku nak balik. Nak jumpa seseorang,”Luqman kembali serius sambil menyusun susunan assignment pelajar yang cuma dipandang seketika tadi.

“Gadis malang?,”

Luqman tersenyum.

“Namanya Najwa,”

“Najwa. Nice name. Orangnya macam mana?,”sakat Leesa sambil mengangkat punggung.

“Hopeless,”

“Hmmm…kalau nak kepastian, mintalah nasihat or pendapat dari yang lebih pakar ya?,”

“Ok mem…,”

Leesa tergelak.

“Oklah. Aku balik dulu ya,”

Luqman mengangguk. Bersandar ke kerusi seketika sambil memandang Leesa melangkah.

“Tutup pintu tu,”arahnya sebaik Leesa sampia ke pintu.

“Ok, boss!,”

Luqman tersenyum. Tidak sempat membalas apabila pintu tertutup cukup pantas. Sendirian di biliknya, dia mengeluh perlahan. Pantas mencapai telefon bimbit di atas meja. Tajam matanya mencari satu nama. Kemudian membuat satu panggilan. Mahu tahu perkembangan Najwa.

“Assalamualaikum,”

Luqman tersenyum.

“Waalaikumussalam. Najwa tengah buat apa? Kat mana ni?,”

“Kat rumah,”

“Dah makan?,”

“Dah,”

“Ubat?,”

Diam. Tiada jawapan. Pasti belum.

“Makanlah ubat tu,”

“Hmmm….,”

Luqman diam seketika. Dari perkenalannya, satu kesimpulan yang mampu dia buat. Najwa bukan seorang yang pandai menipu. Setiap soalannya dijawab jujur. Dan, soal makan ubat, perkara itu cukup payah untuk Najwa menjawab. Kenapa? Kerana gadis itu memang tidak pernah mengambil ubat yang diberi.

“Najwa tengah buat apa tu?,”dia mengubah topic bicara. Tidak mahu Najwa terus berasa tidak selesa setiap kali dia sedikit memaksa tentang itu.

“Packing baju,”

Luqman mengangkat punggung. Bergerak menuju ke tingkap. Tirai ditarik, sambil pandangan dilontar ke luar.

“Nak ke mana?,”soalnya lambat-lambat.

“Saya nak balik jumpa mak kejap. Rindu kat mak dan adik-adik,”

Luqman membetulkan duduk.

“Balik dengan apa?,”

“Bas lah,”

“Bas?,”hatinya dijentik rasa risau. Dengan keadaan gadis itu yang lemah, berat hatinya memikirkan Najwa akan pulang dengan menaiki bas. Bukan dekat jaraknya.

“Abang hantar ya?,”

“Eh, tak payahlah bang. Menyusahkan aje. Saya boleh balik sendiri,”

“Bila Najwa nak balik? Kebetulan esok Sabtu. Abang boleh hantarkan,”

“Tak payah bang. Saya bukan balik lama pun. Balik nak tengok mak dengan adik-adik aje,”

“Nanti abang jemput Najwa. Abang tolong hantar sampai ke rumah,”

Bicaranya tidak berjawab. Tidak lama selepas itu, talian terputus. Atau barangkali sengaja Najwa putuskan. Seketika dia memandang telefon di tangan. Pasti Najwa tidak bersetuju. Dia pula, pasti tidak akan membenarkan Najwa pergi sendirian. Gadis itu sentiasa berada di dalam pantauannya. Kenapa? Usah ditanya. Dia sendiri tiada jawapannya. Cuma dia tidak mahu apa-apa yang buruk menimpa gadis itu. Dia mahu membantu Najwa. Adakah itu disebabkan rasa bersalah lantaran Zarith tidak mahu menggalas tanggungjawab? Sekali lagi, dia tidak pasti.



*****

Thursday, March 25, 2010

Sekadar Di hati...4

Ketukan bertalu mengganggu tidurnya yang baru mahu lena.



“Aja…Zarith cari kau,”


Sayup-sayup suara Atirah menyentuh gegendang telinga. Najwa kaku seketika. Zarith datang mencarinya? Matanya laju menangkap jarum jam di meja. Pukul sembilan malam. Apa pula yang diingini lelaki itu?


“Aja…,”


“Kejap. Aku datang,”dia bersuara sebaik namanya dipanggil sekali lagi. Perlahan bergerak turun dari katil. Seketika menghadap cermin dan merapikan wajahnya yang layu, dia bergerak menuju ke pintu. Daun pintu dibuka dan wajah Atirah tercegat di depannya.


“Zarith kat luar. Dia cakap ada hal nak cakap dengan kau,”


Najwa diam. Berdiri seketika di situ. Mahukah dia berjumpa dengan lelaki itu? Apa lagi yang ingin lelaki itu katakan padanya?


“Pergilah. Selalu bukan main suka pakwe datang. Malam ni, muka masam semacam pula?,”


Usikan Atirah tidah menyentuh perasaannya. Membuat senyum Atirah juga pudar perlahan-lahan.


“Korang gaduh ya?,”


Najwa memandang wajah Atirah. Kemudian menggeleng perlahan.


“Aku jumpa dia kejap ya,”dia bersuara dan Atirah Cuma mengangguk.


Dengan malas dia mengorak langkah menuju ke laman. Memang peraturan di rumah sawanya, tiada lelaki dibenarkan masuk. Zarith bersandar santai di keretanya di gigi jalan. Memerhati langkahnya. Dia sedar itu. Pintu pagar dibuka dan kini dia tercegat di hadapan lelaki yang telah meranapkan seluruh masa depannya. Tidak tahu apa yang dia rasa. Marah? Lebih dari itu. Benci? Juga lebih dari itu. Sayang? Dia keliru. Wajah itu direnung tanpa suara. Hilang segala kemesraan Zarith. Tiada senyum senang di bibir lelaki itu. Tiada juga sapaan mesra. Jauh sekali tautan jemari seperti selalu. Sudah hilangkah segunung cinta Zarith hanya kerana dia kini membawa benih lelaki itu?


“Kenapa cari saya?,”akhirnya dia bersuara melihat kebisuan Zarith.


“Kenapa jumpa abang I? Ini hal kita. Tak perlu libatkan dia. Jangan ingat bila you libatkan abang I, I akan bertanggungjawab,”


“Saya tak pernah libatkan abang awak. Cuma sekali, minta dia tolong pujuk awak. Tapi, Cuma sekali itu. Lepas ni, saya tak akan merayu lagi,”


“Betul ke anak I?,”


Najwa mengangkat muka. Sungguh dia terhina dengan soalan itu. Bagai dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran Zarith.


“Awak tahu saya. Awak kenal saya. Tak perlu saya jelaskan. Dan tak perlu hina saya macam tu kalau awak tak mahu bertanggungjawab,”


Zarith tersenyum. Memandang wajah yang kini kelihatan sedikit lesu. Dia pernah sayang wajah ini. Namun, untuk satu perhubungan yang benar-benar serius, ini bukan pilihannya. Perlahan dia bergerak hampir pada Najwa. Mengeluarkan wallet dari poket seluar.


“I sayang you. Tapi, tidak sejauh itu. Terus –terang, ciri-ciri isteri yang I mahu, tak ada pada you,”


Najwa mengangkat muka. Lembut kata-kata Zarith. Namun, kelembutan alunan suara itu bagai belati yang menghempas pedih di hatinya. Baru terlihat di matanya keangkuhan lelaki ini.


“Tak ada? Jadi, janji-janji awak selama ini? Untuk apa?,”


“Susah bila bercakap pasal perasaan. And, bohong kalau I cakap I tak concern pasal ni. I pun tak mahu sampai jadi macam ni,”


Najwa tergelak sinis.


“Terima kasih untuk perhatian tu,”sindirnya sambil berpeluk tubuh. Tiba-tiba mual berdepan manusia seperti Zarith. Tiba-tiba hilang kasih. Tiba-tiba hilang sayang.


“Ambil ni,”


Najwa tunduk. Berkeping-keping not seratus terhulur padanya. Membuat nafasnya bagai terhenti seketika. Tidak percaya dengan tindakan Zarith. Semudah itu penyelesaian lelaki ini.


“Bayaran untuk saya tidur dengan awak, atau bayaran untuk saya kandung anak awak?,”perlahan soalan itu meniti di bibirnya. Menjaga intonasi suara di kawasan kejiranan itu. Tidak mahu aib diri tersebar lebih jauh. Namun, tindakan Zarith tidak boleh dia diamkan saja. Begitu rendah Zarith letakkan maruahnya.


“Aja… jangan sinis sangat,”


“Saya tak hairan dengan duit awak,”


“Guna duit ni. Buang kandungan tu. Lepas ni, kita akhiri semua ni dengan cara baik. You mulakan hidup baru, and, I pun ada perancangan masa depan I sendiri,”


Najwa ternganga. Geram bukan sedikit menghimpit dadanya saat ini. Memang Zarith tidak berguna.


“Awak suruh saya bunuh anak ni? Awak tahu tak? Dalam perut saya sekarang nyawa manusia. Bukan nyawa nyamuk. Bukan nyawa semut. Dan, nyawa manusia tu… adalah anak awak!,”dalam tertahan dia menghambur marah. Memang dalam tekanan yang tidak tertanggung, mahu saja dia membuang benih yang dikandungnya. Namun, mendengar cadangan itu dari mulut Zarith, baru dia sedar kejamnya tindakan itu.


“Apa lagi jalan penyelesaian yang kau nampak?,”nada suara Zarith turut berubah. Atas nama manusia, dia datang untuk menolong. Dan, sesinis ini reaksi Najwa pada niatnya itu.


“Saya tak akan membunuh,”


“Jangan salahkan I, kalau you nak teruskan juga, I dah tawarkan pertolongan. Demi maruah you. Demi masa depan you,”


“Terima kasih banyak-banyak Zarith. Besar maknanya pertolongan awak ni,”


“Oh please! Stop perli-perli aku macam ni. Apa sebenarnya yang kau nak, hah? Kau nak aku kahwin dengan kau? Jangan mimpi. Kau ambil saja duit ni, buat apa yang aku suruh,”


Jemari Najwa ditarik kasar lalu helaian-helaian not seratus kini bertukar tangan.


“Buang anak tu, dan aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan budak kilang macam kau! Faham?! Jangan cari aku lagi lepas ni. Dan, pergi dari sini. Jangan cari abang aku lagi untuk suruh dia paksa aku terima kau,”nada itu dibisikkan cukup keras di telinga Najwa sebelum dia bergerak membuka pintu kereta.


“Zarith!,”


Dia menoleh. Memandang wajah Najwa yang kemerahan. Menahan marah. Itu dia pasti. Sedikit tergamam apabila kepingan not seratus melayang ke mukanya.


Belum sempat bersuara, satu tamparan singgah ke mukanya. Pedih. Tamparan yang membangkitkan segunung marahnya.


“Ini untuk penghinaan kau!,”


“Kurang ajar!,”


“Kau yang kurang ajar,”jerit Najwa tertahan. Sedikit sukar bernafas apabila tangan Zarith mencengkam lehernya.


“Jangan salahkan aku, kalau kau nak teruskan semua ni!,”


“Aku tak akan salahkan lelaki pengecut macam kau. Aku akan buktikan satu hari, kau akan datang melutut pada aku!,”


Zarith tertawa sinis. Ugutan itu membuat marahnya hilang. Najwa mengugutnya?


“Jangan mimpi, minah kilang,”


Najwa diam bersama nafas yang laju. Bagai tidak percaya mulut yang selama ini penuh dengan pujian, hari ini memberi penghinaan sebegitu padanya. Malam ini, terasa sedihnya ditinggalkan Zarith hilang entah ke mana. Rasa sayang yang sebentar tadi membuat dia keliru, kini terus lenyap dari hati. Tidak akan ada sedikit rasa kasih pun untuk lelaki itu. Tidak akan.


“Aku benci kau, Zarith…,”


Zarith menentang renungan marah itu tanpa suara. Cukup berlainan dengan Najwa yang dia kenali sebelum ini. Tapi, itu semua sudah tidak penting. Dia sudah datang untuk membantu. Dia sudah datang untuk akhiri semuanya. Bukan salahnya kalau gadis itu mahu terus menanggung beban yang padanya masih boleh dibuang itu.






****






Dia tersentak. Bingkas bangun dari baringnya.


“Astaghfirullahal’azim…,”


Segera dia meraup wajah. Sekali lagi mimpi yang hampir sama menghantui tidurnya. Cuma kali ini, lebih membuat dia gerun. Mungkinkah dia terlalu banyak berfikir? Mungkinkah semua itu hanya mainan tidur? Pengaruh fikirannya di alam luar sedarnya? Atau satu petunjuk untuknya?


Perlahan dia menoleh. Mencari jam. Pukul dua pagi. Sungguh mimpi itu memberi kesan padanya. Seketika dia teringatkan Najwa. Gerak hatinya meminta dia menghubungi gadis itu. Dia mahu tahu keadaan Najwa. Namun, melihat pada jarum jam, rasanya mungkin gadis itu sedang lena. Kejam rasanya mengganggu Najwa dalam keadaan gadis itu sebegitu.


Satu keluhan berat meniti di bibirnya. Termenung seketika mengingatkan mimpinya yang berulang-ulang. Juga mimpi barunya yang sedikit berlainan. Deringan telefon bimbitnya menarik perhatian. Sedikit hairan dengan gangguan panggilan pada waktu sebegini. Lebih hairan melihat nama Najwa yang terpamer di screen. Segera panggilan itu dijawab.


“Najwa?,”


Diam. Cuma nafas laju yang terdengar di telinganya.


“Najwa. Kenapa ni?,”


“Saya mimpi bang. Saya takut,”


“Mimpi apa?,”


“Saya…saya mimpi saya nak bunuh baby. Saya dengan Zarith nak bunuh baby…,”


Luqman menelan liur.


“Baby tu nangis. Zarith nak pukul dengan batu…Saya nak halang tapi, saya tak berani…,”


Jantung Luqman bagai terhenti.


“Abang jauh. Abang tak boleh nak tolong…. Saya takut bang,”


Kali ini, dia benar-benar kelu. Sukar untuk dia percaya.


“Itu cuma mimpi. Najwa banyak sangat fikir ni. Jangan fikir banyak-banyak. Dah jaga tu, ambil wuduk. Kalau larat, buat solat sunat ya. Jangan fikir bukan-bukan ya. Abang yakin, Najwa tak akan nak buat macam tu, kan?,”perlahan-lahan pujukan itu ditiup ke telinga Najwa. Sepi.


“Najwa?,”


“Maaf bang. Ganggu abang malam-malam macam ni. Saya cuma ingat abang aje tadi. Abang yang cuba nak tolong dalam mimpi tadi. Tapi, abang jauh sangat…,”


“Tak apa. Kebetulan abang belum tidur pun. Dah lewat ni. Lepas solat nanti tidur semula. Okay?,”


Diam, dan perlahan-lahan talian terputus. Dia pula terus terkedu. Mimpi yang sama? Pada masa yang sama? Itulah yang dia nampak. Najwa menangis di sisi Zarith sedang tangan Zarith memegang batu merenung anak kecil yang menangis di atas rumput. Dia pula terlalu jauh rasanya untuk membantu.


“Subhanallah…,”akhirnya dia berbisik perlahan. Bergerak turun dari katil. Barangkali memang panggilan untuk dia sujud padaNya pada dinihari sebegini. Perlahan dia melangkah ke bilik air. Mahu berwuduk.






****

Tuesday, March 23, 2010

Sekadar Di hati...3

“She’s pregnant!,”

“So?,”

“Zarith! Kamu patut bertanggungjawab!,”

“Nonsense. Please lah bang. Jangan membebel macam mak nenek depan saya,”

“Budak tu dah jadi macam tu, kamu boleh lepas tangan macam ni? Kamu tahu tak, dia hampir-hampir bunuh diri?,”

“Bukan saya yang suruh dia bunuh diri,”

“Kau ni memang dah melampau!,”

“Abang. Kalau dia boleh serahkan diri pada saya. macam mana saya nak yakin, yang dia tak buat macam tu dengan lelaki lain. Tak ada jaminan anak tu, anak saya. Okay!,”

“Betul cakap Zarith. Mama pun tak setuju Zarith pikul tanggungjawab yang belum pasti. Budak yang dia kandung tu, boleh jadi anak sesiapa saja,”

“Mama… Zarith dah buat kesilapan besar mama. Dia tak kasihankan budak tu ke? She’s your girlfriend kan?,”

“Girlfriend saya ramai,”

Luqman diam. Sikap selamba itu benar-benar mencabar sabarnya. Pandangannya dihalakan pula pada ibunya.

“Takkan mama nak tengok saja? Zarith kena bertanggungjawab,”

“Kalau anak tu bukan anak Zarith, macam mana? Lagipun, Zarith muda lagi untuk pikul tanggungjawab macam tu. Macam mana dia nak kahwin? Bulan depan dia nak sambung study kat Jepun. Takkan nak nikah pula. Mama tak setuju. Pelajaran dia lagi penting. Masa depan dia lagi penting,”

“Masa depan budak tu, macam mana ma?,”

“Dia dah tentukan dia nak masa depan macam tu kan? Takkan orang lain yang kena pikul masalah yang dia buat?,”

“Mama… kesian budak tu. Lagipun, Zarih turut bersalah dalam hal ni, mama,”

“Kalau abang kesian, abanglah yang nikah dengan dia…,”

“Zarith!,”

Adiknya tergelak kecil. Cukup sinis.

“Lagipun, mustahil saya nak ambil minah kilang macam tu jadi isteri saya. Kerja kilang. Dah tu, senang-senang pula serah tubuh pada lelaki. Not my taste la abang,”

“Kamu memang teruk, Rith,”

“Abang nikah dengan dia, nak? Tak nak? Look! Abang pun tak nak. Tapi, abang paksa saya? Saya tak nak jadi kambing hitam. Mungkin anak tu anak orang lain, tapi, saya yang terpaksa mengaku anak saya? Mengarut. Betul-betul mengarut,”

“Abang….,”

“Abang!?,”

Dia tersentak. Pertengkaran antara dia dengan Zarith hilang tiba-tiba. Wajah Najwa kini berada di hadapannya.

“Macam mana bang? Apa Zarith cakap?,”

Luqman diam. Tidak sampai hati untuk mengulangi kata-kata Zarith di hadapan Najwa. Tidak mahu memburukkan emosi Najwa yang sememangnya sudah parah.

“Najwa macam mana? Bertambah sihat? Ada makan ubat yang doktor bagi?,”

Najwa diam. Soalannya tiada jawapan. Dan, itu bagai memberitahu yang Zarith memang tidak akan bertanggungjawab. Dia tunduk. Buntu memikirkan jalan penyelesaian.

“Kalaulah saya tak ikut dia malam tu…,”dia bersuara lirih. Tunduk sambil membiarkan angin petang menyapu rambutnya. Luqman menoleh. Najwa mahu meluahkan perasaan. Dia pula, berminat untuk mendengar.

“Maksud Najwa?,”

“Zarith cakap dia nak sambung belajar ke Jepun. Dia ajak saya pergi majlis perpisahan dia dengan kawan-kawan dia. Kalau saya tak pergi, semua ni tak kan berlaku,”

“Maksud Najwa?,”

“Saya tak sedar apa yang berlaku. Zarith tipu saya. Saya tak tahu apa yang dia letak dalam minuman saya,”

Luqman menahan nafas. Tajam dia merenung wajah di hadapannya. Mencari kebenaran. Juga mencari sekelumit pembohongan. Agak kontra cerita yang keluar dari bibir Zarith juga dari mulut Najwa.

“Najwa diamkan? Diamkan perbuatan dia yang terang-terang salah?,”dia bertanya tanpa membenarkan mindanya membuat penilaian. Biarlah dia mendengar cerita Najwa dahulu.

“Abang nak saya buat apa? Beritahu semua orang saya tidur dengan kekasih saya, tanpa saya sedar? Siapa nak percaya bang? Buat apa saya nak malukan diri sendiri?,”

“Tapi, Najwa tahu semua tu salah. Kan?,”

“Dia cakap dia cintakan saya. Dia cakap, kalau apa-apa berlaku, dia akan bertanggungjwab. Saya sayangkan dia. Saya percayakan dia. Saya yakin dengan kata-kata dia. Lagi pun, saya tak sanggup nak tengok dia ditangkap polis kalau saya laporkan semua tu,”

“Masa depan Najwa? Najwa tak fikir itu semua?,”

“Saya tak sangka sampai macam ni. Tak sangka boleh pregnant. Itulah kali pertama dan terakhir. Lepas tu, saya tak keluar lagi dengan dia. Dia pun tak datang jumpa saya lagi. Saya ingat dia sibuk. Rupa-rupanya dia dah tak perlukan saya…,”

Luqman membisu. Turut berasa buntu dengan situasi itu. Ibunya berkeras menyokong Zarith. Dan, Zarith pula nekad tidak mahu menggalas tanggungjawab. Begitu mudah lelaki itu lari dari perbuatannya. Kini, di hadapannya, Najwa seakan putus harapan untuk berdepan dengan hidup. Dia sendiri? Terasa tidak berdaya untuk membantu. Di hadapannya, seorang anak gadis yang teraniaya. Yang melakukan kekejaman itu pula, adalah adik yang selama ini disayangi sepenuh hati.

“Apa rancangan Najwa?,”akhirnya, dalam buntu soalan itu diaju.

Najwa menggeleng. Apalah perancangan yang dia ada. Yang terlintas di hatinya cuma mahu menamatkan perjalanan hidupnya di muka bumi ini. Namun, teringatkan ibu dan adik-adik, dia jadi keliru. Teringatkan dosa yang sudah terbeban di bahu, juga membuat dia takut. Membuat dia gerun.

“Dah berapa bulan?,”

Sekali dia menggeleng.

“Tak tahu?,”

“Saya cuma check sendiri. Saya tak pergi klinik,”

Luqman mengeluh panjang. Di klinik tempoh hari pun dia tidak minta penjelasan terperinci tentang keadaan Najwa.

“Masih kerja?,”

Kali ini, gadis itu mengangguk.

“Sampai bila?,”

Geleng. Luqman mengeluh lagi. Sesekali terfikir kenapa sebegini besar perhatian yang dia berikan pada Najwa.

“Saya tak boleh terus kerja. Nanti semua orang akan tahu,”

“Kalau tak kerja, Najwa nak buat apa? Balik kampung?,”

Najwa menggeleng lagi.

“Nanti mak tahu. Adik-adik tahu,”

“Dah tu?,”

“Entah. Saya tak tahu. Saya rasa nak mati aje. Saya tak hidup lagi. Saya malu! Kalau mati lagi elok!,”

“Najwa… jangan macam ni,”

Najwa mencari wajah Luqman. Membiarkan air mata menitis lagi.

“Entahlah bang. Saya tak tahu nak buat macam mana bang. Saya benar-benar buntu. Perut saya, nanti mesti makin besar. Macam mana saya nak berdepan dengan masyarakat? Apa saya nak buat? Saya takut… saya takut bang… saya kotor. Saya berdosa. Pada Tuhan. Pada mak..adik-adik…Saya dah tak tahu macam mana nak hadapi semua ni,”

“Abang faham…,”

“Saya nak pergi jauh dari sini,”

“Pergi mana? Sendirian dengan keadaan Najwa macam ni?,”

“Mana-mana saja,”

“Tak nak berterus-terang dengan mak Najwa?,”

“Mak sakit. Saya tak dapat maafkan diri sendiri kalau sampai ada benda buruk menimpa mak, sebab kebodohan saya ni. Sebab kesilapan saya. Sebab dosa saya,”

“Tak takut nanti mak Najwa risau?,”

Najwa diam. Soalan itu membuat dia terfikir. Rupanya dalam tidak sedar, dia abaikan juga perasaan ibunya. Andai dia pergi tanpa bicara, pasti membuat ibunya risau. Sudahnya dia mengeluh kecewa. Juga membuat jiwanya meronta tiba-tiba. Terasa saat itu juga dia mahu sujud ke kaki ibunya.


“Saya nak jumpa mak…,”


“Abang boleh hantar Najwa, kalau najwa nak,”
Najwa menggeleng untuk ke sekian kalinya.
“Dah banyak abang tolong saya. Cukuplah,”
Luqman cuba bersuara, namun laju gadis itu memberi alasan.
“Abang tak kisah. Abang rasa bertanggungjawab,”
“Bukan salah abang kalau adik abang tak mahu bertanggungjawab. Saya pun bersalah juga,”
Luqman merenung wajah mendung di hadapannya.
“Abang akan cuba tolong setakat yang abang mampu. Abang tak mahu Najwa rebah tanpa perlindungan,”
“Saya akan cuba untuk jadi kuat,”
Luqman diam. Kata-kata itu langsung tidak meyakinkan. Jelas di matanya Najwa sudah hilang semangat juang. Dan, mustahil dia akan biarkan gadis ini terkapai-kapai sendirian mengharungi masalah yang bukan kecil.
“Berapa umur Najwa sebenarnya?,”
“Dua puluh,”
Luqman mengeluh perlahan. Terlalu muda usia itu untuk Najwa harungi kemelut sepahit ini. Sepatutnya gadis ini sibuk mengusung buku mencari ilmu.
“Saya nak balik dululah. Tiba-tiba rasa macam tak sedap badan lah,”
“Kenapa? Najwa tak sihat ke?,”
“Saya okay,”
Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, laju belakang tangannya menyentuh dahi Najwa. Panas.
“Demam ni,”
“Sikit je. Nanti balik, saya makan panadol, okay lah ni,”Najwa bersuara sambil mengangkat punggung. Menyedari sudah ada sedikit rasa pitam mengganggunya, pantas tangannya menekan meja rehat di taman permainan tidak jauh dari rumah sewanya. Sekaligus memberi rasa loya yang teramat sangat.
“Najwa okay?,”
Tubuh Luqman yang tercegat hampir dengannya, ditolak keras. Bergerak ke arah rimbunan pokok. Memuntahkan segala makanan yang dia makan sebentar tadi. Luqman tergamam. Cuma memandang Najwa tertunduk muntah sambil menekan dada. Dalam panic tidak tahu apa yang harus dia lakukan, perlahan dia bergerak mendekat. Menggosok perlahan belakang gadis itu.
“Lega?,”
Tanpa memandang wajahnya, Najwa mengangguk lemah. Menahan rasa perit di tekak. Juga senak di perut. Tidak cukup dengan itu, ditambah dengan kepala yang memberat.
“Abang bawa pergi klinik lah. Check demam tu. Panas sangat badan Najwa ni,”
“Saya okay. Dah biasa. Demam kejap aje ni,”
“Pucat muka ni. Jangan degillah ya. Kita pergi klinik,”lembut sahaja suara Luqman memujuk.
“Baru dua hari lepas abang bawa saya pergi klinik,”
“Itu sakit lain. Ini sakit lain,”
Najwa tersenyum kecil. Berusaha berdiri, sambil dibantu Luqman.
“Muntah-muntah Najwa teruk ke?,”
Najwa sekadar menggeleng.
“Biasa-biasa saja,”jawabnya perlahan.
“Kita pergi check demam tu,”
‘Abang… jangan terlalu baik macam ni. Nanti, abang tak ada, siapa nak tolong saya? Biarkan saya. Biar saya uruskan sendiri masalah saya. Cukuplah pertolongan abang. Bukan saya tak berterima kasih. Saya bersyukur sangat-sangat sebab abang muncul saat saya macam ni. Tapi, saya tak boleh ambil kesempatan atas kebaikan abang. Tolong ya bang. Biarkan saya sendiri,”
Luqman mengeluh lemah. Tidak mahu terus mendesak.
“Okay. But, promise… kalau demam melarat, call abang. Najwa simpan nombor abang kan?,”
“Baik, bang,”
Mendengar jawapan itu, dia tersenyum.
“Jom. Abang hantar pulang,”
“Dekat saja. Saya boleh balik sendiri. Abang pergilah balik,”
Luqman mengeluh lagi. Tegak berdiri memerhati langkah Najwa yang sedikit terhoyong – hayang. Langsung tidak memberi keyakinan untuk dia membiarkan Najwa melangkah sendirian. Sudahnya dia menapak di belakang gadis itu perlahan-lahan. Membuat Najwa berpaling.
“Abang?! Tak perlu temankan saya. Saya boleh balik sendiri,”
“Abang tak temankan pun. Abang nak jalan-jalan kejap,”
“Jangan jalan belakang saya,”
“Eh, ye ke? Tak perasan abang,”
Najwa mengerling sambil Luqman tersenyum lebar.
“Apa salahnya. Abang tak ganggu Najwa pun. Kan?,”dia bersuara bersama senyumnya.
Jawapan itu membuat Najwa tergelak kecil. Dia tahu Luqman mahu mengawasi langkahnya. Luqman pula, tersenyum mendengar gelak keci itu. Walau pun tidak seceria mana, namun, dapat dia lihat wajah itu sedikit cerah dengan senyum. Najwa tidak lagi membantah dan dia terus melangkah mengawasi tiap gerak Najwa. Bimbang kalau-kalau gadis itu terjatuh.



****

Wednesday, March 17, 2010

Sekadar Di hati...2


“Macam mana dia, doktor?,”
“Dia okay. Cuma luka-luka dan kakinya terseliuh. Tapi, rasanya kami kena tahan dia di ward. Tekanan darah dia agak tinggi. Badan pun lemah tu. Morningsickness dia teruk ke?,”
Luqman diam. Soalan itu tidak terjawab. Cuma yang bermain di fikirannya, kandungan gadis itu selamatkah?
“Ermm… kandungan dia?,”akhirnya soalan itu diajukan perlahan.
“Alhamdulillah selamat. Jangan risau. Di awal kehamilan begini, mesti jaga sikit. Kalau boleh jangan buat kerja yang berat sangat. Lebih-lebih lagi kalau alahan dia teruk. Badan lemah, nanti cepat jatuh. Tapi, encik tak perlu risau. Pihak hospital akan monitor nanti,”
“Boleh saya tengok dia sekejap?,”
“Boleh. Sekarang biar dia rehat kejap. Lepas ni, saya akan sediakan surat rujukan. Encik boleh bawa surat tu dan minta refer terus ke hospital,”
“Baik. Terima kasih, doktor,”
Luqman mengeluh perlahan. Memandang ke arah doktor yang sudah berlalu. Kemudian, dia melangkah ke ruangan kecemasan. Pintu ditolak perlahan. Najwa terbaring di situ. Jelas wajah itu cukup lesu. Tiba-tiba ada rasa geram yang bukan sedikit terhimpun untuk Zarith. Langkah dihayun mendekat. Tersenyum kecil mengharapkan ada senyum akan terbalas untuknya. Namun, wajah Najwa membeku. Tidak berperasaan.
“Ok?,”
Najwa menggeleng perlahan.
“Ingat senang ke nak mati?,”Luqman bersuara dengan nada sedikit geram.
Najwa mengangkat muka. Memandang wajah Luqman. Ada nada marah pada suara lelaki yang baru dia kenal kurang daripada tiga jam itu.
“Saya tak sengaja,”akhirnya dia menjawab perlahan. Luqman cuma membalas pandangannya tanpa bersuara.
“Lepas ni, nak buat apa pula? Terjun bangunan?,”soalan itu diaju setelah agak lama berdiam diri.
“Sumpah. Saya tak nampak motor tu. Bukan saya nak bunuh diri,”
Luqman mengeluh perlahan. Sukar untuk mempercayai. Sebaik dia keluar dari restoran, Najwa sudah terbaring di tepi jalan.
“Jangan berfikir pendek macam ni. Lepas mati, ingat akan selesai masalah?,”
“Sumpah. Saya bukan nak bunuh diri. Saya tak nampak motor tu,”
“Baguslah macam tu. Sekarang kita tunggu surat doktor. Doktor cakap Najwa kena refer ke hospital. Tekanan darah Najwa tinggi,”
Najwa menggeleng laju. Pantas bangkit dari baring.
“Saya tak apa-apa. Saya tak nak pergi hospital. Saya nak balik,”
“Najwa bukan doktor, mana boleh pakai cakap Najwa,”
“Tak nak bang. Saya tak nak masuk hospital. Nanti kecoh. Daripada tak ada siapa tahu, nanti semua kecoh. Saya tak nak. Saya tak nak,”
“Lambat laun, hal ni, akan terbongkar juga kan?,”
“Saya nak gugurkan kandungan ni,”
“AstaghfirullahalAzim. Najwa! Jangan sesekali sebut benda macam tu,”
“Apa lagi jalan yang saya ada?,”
“Tambah dosa, bukan penyelesai masalah,”
Najwa tunduk.
“Saya tak tahu nak fikir macam mana lagi,”
Luqman menghela nafas panjang.
“Most important sekarang, Najwa kena tenang. Jaga emosi. Kalau tak tenang, tekanan darah tak menentu, bahaya. Tenang dulu. Kita ke hospital ya,”
Najwa menggeleng laju.
“Dengar cakap doktor,”
“Saya tak nak. Kalau masuk hospital, mesti kawan serumah inform mak saya kat kampung. Mak mesti datang. Kemudian mak mesti tahu hal ni. Saya tak nak malukan mak. Mak pun bukan sihat nak dengar berita macam ni. Tolong bang. Jangan hantar saya pergi hospital,”
Luqman mati akal. Tangan mula menggosok tengkuk. Harus akur pada permintaan gadis itu atau harus patuh pada arahan doktor?
“Saya nak balik. Terima kasih sebab tolong saya sekali lagi,”
“Kita minta nasihat doktor sekali lagi. Kalau dia sahkan keadaan Najwa tak teruk sangat, kita terus balik. Kalau tidak, kita tetap kena pergi hospital,”
Najwa terdiam. Besar masalahnya kalau sampai dia terpaksa ditahan di ward.
“Abang pergilah jumpa doktor. Tanya doktor ya,”
Luqman diam seketika kemudian mengangguk perlahan.
“Najwa tunggu di sini. Nanti abang datang semula,”
Najwa mengangguk laju.

****

Dengan payah dia bergerak perlahan meninggalkan ruangan menunggu. Kakitangan klinik yang leka bersembang memudahkan langkahnya. Sesekali dia menoleh. Risau kalau ada yang menyedari tindakannya. Sebaik melepasi pintu utama, dia menarik nafas lega. Dia sudah selamat. Dengan langkah perlahan, dia tercari-cari arah yang perlu dia tuju. Mahu pulang? Hatinya tawar. Sekali lagi dia menoleh ke belakang. Tiada yang mengejarnya dari belakang. Sambil menahan sakit di kaki, dia bergerak menuju ke sebuah perhentian bas. Mungkin sebaiknya dia pulang dan berehat. Cukup letih rasanya.
Ada sedikit rasa bersalah kerana meninggalkan Luqman begitu sahaja. Tidak sempat dia mengucapkan terima kasih pada lelaki itu. Tetapi, mustahil dia akan tunggu dan membiarkan lelaki itu membawanya ke hospital.
“Najwa!,”
Dia pejamkan mata. Tidak berani lagi mahu menoleh. Dia pasti itu suara Luqman. Untuk lari, tubuhnya sudah tiada kudrat. Sedang kakinya juga cukup sakit setiap kali cuba melangkah. Sudahnya, dia Cuma terus bergerak menuju ke perhentian bas yang semakin hampir. Melabuhkan punggung di situ. Menunggu Luqman datang padanya.
“Nak lari ke mana?,”
“Saya nak balik, bang,”
Luqman merengus perlahan. Melabuhkan punggung ke pangkin sambil merenung tajam wajah di sisinya itu. Geram apabila Najwa menipunya.
“Saya Cuma tak nak pergi hospital, bang,”melihat renungan tajam Luqman, Najwa cuba memberi alasan untuk tindakannya.
“Awak kena tahu keadaan awak sekarang, Najwa,”
“Saya tahu. Saya hina. Saya kotor…,”
“Awak mengandung. Dan, kandungan awak perlukan jagaan,”
“Saya tak nak anak ni…,”
“Najwa..Najwa… Jom abang hantar Najwa balik,”
Najwa menggeleng.
“Saya balik dengan bas. Saya tak nak pergi hospital,”
“Keadaan macam ni, nak naik bas?,”
“Saya dah biasa,”
“Abang hantar. Kalau tak nak pergi hospital tak apa. Tapi, Najwa kena makan semua ni,”
Pandangan Najwa bergerak ke tangan Luqman. Satu plastic ubat. Banyaknya.
“Saya sakit kaki saja. Ubat banyak macam tu nak buat apa?,”
“Untuk baby. Ini semua vitamin untuk Najwa,”
“Banyaknya,”
“Folic acid, vitamin B Complex.. and iron I think,”
“Abang doktor ke?,”
Luqman tersenyum kecil. Sungguh itu pun satu fakta yang baru padanya.
“Doktor yang beritahu,”
Najwa diam. Menyeluk perlahan poket seluar jeans nya.
“Berapa semuanya ni?,”soalnya sambil membuka wallet. Pantas Luqman menolak tangannya. Membuat gerakannya terhenti.
“Tak payah. Sekarang, jom abang hantar pulang. Sebelum tu, kita berhenti makan. Najwa kena makan. Mesti makan,”
Najwa membisu. Sedikit tersentuh dengan layanan Luqman. Ternyata lelaki ini seorang yang amat mengambil berat. Kalaulah Zarith yang melayannya sebaik ini. Teringatkan nama itu, hibanya datang kembali. Pilu tiba-tiba mengingatkan perubahan sikap Zarith yang begitu ketara. Hilang sudah kata-kata cinta. Hilang sudah layanan mesra. Yang ada cuma cerca yang menghiris hati. Perlahan air mata menitis.
“Suruh makan pun menangis?,”Luqman cuba berlucu. Dan, seperti biasa, jenaka Cuma disambut muka sugul Najwa.
“Kenapa Zarith tak macam abang? Kenapa Zarith buang saya bila jadi macam ni? kenapa dia tak nak bertanggungjawab? Kenapa dia jahat? Kenapa dia buat saya macam ni?,”
“Abang tak nak dengar apa-apa lagi. Kita pergi sekarang,”
“Dan… abang ni, siapa? Macam mana abang kenal Zarith?,”tiba-tiba soalan itu terpacul dari bibirnya. Dia tahu lelaki ini kenal Zarith, namun sebelum ini tiada rasa ingin tahu tentang kaitan Luqman dengan Zarith.
“Boleh abang pujuk Zarith? Saya takut nak hadapi semua ni sendirian,”
Luqman kelu. Hatinya tersentuh mendengar rintihan itu. Mahu menghukum? Rasanya tindakan itu cuma akan memburukkan emosi Najwa yang jelas tidak stabil. Dan, kalau pun hukuman dibuat, kesalahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu Najwa.
“Kita bincang semua ni, lepas ni. Okay?,”akhirnya dia mengambil keputusan untuk menamatkan bicara tentang Zarith. Juga tentang keadaan gadis itu. Najwa diam. Cuma akur apabila Luqman menarik tangannya. Dibantu Luqman, dia melangkah dengan sedikit payah.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: