“Abang… apa semua ni?,”kuat tangannya
memegang pintu pagar sambil matanya tajam merenung geram wajah Radhi yang
selamba. Tidak mahu tubuh lelaki itu menerobos masuk ke halaman rumahnya. Sakit
hati bukan kepalang melihat reaksi Radhi yang teramat jelas sedang
memperlekehkan perasaannya. Sedang mencabar kesabarannya.
“Aku nak masuk…,”
“Ya. Abang boleh masuk. Tapi, bukan
dengan perempuan ni,”bentak Arisa geram. Sedaya upaya dia cuba mengawal suara.
Sabarnya kian hilang namun, dia tidak mahu menjemput jiran tetangga menjadi
penonton. Tidak mahu keadaan menjadi kecoh. Tidak mahu bapanya menyedari ada
pertelingkahan sedang berlaku di sini.
“Kenapa pula? Ini isteri aku. Kenapa
aku tak boleh benarkan dia masuk,”
Kata-kata yang laju meniti di bibir
Radhi membuat jantung Arisa bagai berhenti berdetak. Dengan nafas yang terhenti
dia merenung wajah lelaki itu. Ternyata lelaki itu telah berkahwin tanpa
pengetahuannya. Walau dia tahu keputusan Radhi, langsung tidak dia menduga
Radhi akan hancurkan hatinya secepat ini.
Terasa cintanya yang masih bersisa
untuk lelaki itu, lebur perlahan-lahan. Senyum kemenangan Radhi benar-benar
membuat dia berasa kalah. Benar-benar membuat hatinya merintih hampa. Sia-sia
dia bersungguh-sungguh mempertahankan cintanya selama ini.
“Kenapa? Terkejut? Kan aku dah
cakap, aku akan kahwin. Jadi, kenalkan ini madu kau, Azilah,”
Arisa menggetap bibir. Hatinya
memang hampir menangis. Namun, melihat keangkuhan lelaki itu, terasa bodoh
kalau dia terus melayan perasaan hiba yang bertandang. Dia harus belajar untuk
menjadi tabah. Dia harus belajar untuk menjadi kebal menanggapi sikap Radhi
yang menyebalkan. Dia perlu kuat. Dia perlu keraskan hati.
“Siapa pun perempuan ni, itu bukan
masalah Rissa. Tapi, ingat. Ini rumah ayah Rissa dan jangan berani nak buat
macam ni kat sini. Jangan berani nak bawa orang luar yang tak diundang ke dalam
rumah kami!,”
“Tapi, bini aku tinggal kat sini
kan? So, aku berhak masuk. Dan, sudah
semestinya bini baru aku pun, berhak masuk,”
Arisa merengus geram. Hatinya
bertambah sakit melihat wanita yang diperkenalkan sebagai Azilah itu, tersenyum
sinis di sisi Radhi. Membuat marahnya hampir tidak terkawal.
“Apa yang kau nak sebenarnya ni?!
Apa tujuan kau datang sini bawa perempuan ni? Nak sakitkan hati aku?,”tiba-tiba
melantun soalan itu dari bibirnya, sambil tangannya menolak kuat dada Radhi
yang berdiri di balik pagar rumah. Membuat lelaki itu terdorong ke belakang.
Lupa sudah akan rasa hormat kepada seorang suami, yang perlu dia jaga.
“Kurang ajar!,”
Bentakan itu membuat dia sedikit
terkesima. Langkah laju Radhi membuat dia gerun. Dia tahu kekerasannya sebentar
tadi mengundang marah lelaki itu. Dia sendiri tidak berniat untuk bertindak
sekeras itu.
“Rissa! Apa yang bising tu?,”
Pantas dia berpaling. Bapanya
tercegat di pintu gelongsor yang separuh terbuka. Dan, hatinya berasa tidak
senang tiba-tiba.
“Tolonglah pergi, bang. Abang tahu
kan ayah bukan sihat sangat. Abang datang tunjuk perempuan ni, nanti dia sakit
hati. Nanti dia marah. Tolonglah pergi,”nada marahnya segera berganti sendu.
Memohon sedikit belas kasihan dari Radhi untuk bapanya.
Radhi merengus keras. Tubuh kecil
Arisa ditolak dan pintu pagar yang sejak dari tadi dihalang dengan tubuh Arisa,
segera dibuka. Arisa yang hampir terjatuh, tidak sempat berbuat apa-apa. Cuma
mendengar bapanya kuat memanggil namanya. Pasti risau melihat dia hampir
terjatuh ditolak Radhi.
“Tujuan abang, apa sebenarnya ni?,”jeritnya
dia nada tertahan.
“Aku datang nak ambil barang-barang
aku. Aku datang nak tunjuk bini baru aku pada kau dan bapak mertua kesayangan
aku tu. Faham?,”balas Radhi bersahaja.
Arisa menelan liur. Laju melangkah
cuba menghalang langkah Radhi. Wajah bapanya yang memerah di muka pintu
benar-benar membuat dia risau.
“Abang… kalau nak sakitkan hati
orang, cukup Rissa seorang. Jangan libatkan ayah,”
“Kau dengan ayah kau, sama saja.
Sama-sama menyakitkan hati,”
“Kalau menyakitkan hati, kenapa
kahwin dengan Rissa?,”
Radhi tergelak halus. Langkahnya
mati untuk seketika. Wajah Arisa direnung bersama senyum mengejek.
“Kau yang beria-ia nakkan aku, kan?
Kau yang sungguh-sungguh nak sangat kita kahwin kan? Bukan aku yang
bersungguh-sungguh pun,”
Arisa kaku tanpa suara. Cuma
terkebil-kebil memandang Radhi yang menyambung langkah menuju ke pintu.
Terkebil-kebil melihat bapanya bercekak pinggang menghadapi Radhi bersama
amarah. Terkesima mendengar pengakuan kejam dari lelaki yang pernah dia cintai
sepenuh hati. Baru hari ini dia tahu nilai sebenar cintanya di mata lelaki itu.
Baru hari ini dia sedar, sejak dari awal lagi dirinya memang tidak membawa
apa-apa makna pada Radhi. Air mata yang menitis tanpa sedar, perlahan-lahan
menanam rasa benci yang bukan sedikit di hatinya. Dia tidak akan maafkan lelaki
ini. Sungguh dia tidak menyesal diperlakukan sebegini. Mungkin sebaiknya Radhi
lenyap terus daripada hidupnya.
“Radhi! Siapa pula yang kau bawa
balik ni? Kau ingat rumah aku ni, apa?,”Haji Salleh membentak marah. Membawa
kesedaran menyapa hati Arisa yang kaku. Bapanya cuba menghalang Radhi yang mahu
masuk ke ruang tamu bersama wanita yang baru bergelar madunya itu.
“Ini bini saya, ayah. Kenapa pula
dia tak boleh masuk?,”
“Kurang ajar kau ya. Berani kau bawa
perempuan ni masuk ke rumah aku? Berambus. Aku tak benarkan dia jejakkan kaki
ke rumah ni. Kau pun boleh berambus!,”
“Ayah…ayah… bertenanglah. Jaga
jantung tu elok-elok. Saya cadangkan ayah duduk elok-elok kat sofa tu. Duduk
diam-diam, jangan marah-marah,”bersama senyum mengejek, Radhi bersuara separuh
berbisik. Cukup hampir di telinga bapa mertuanya itu.
“Radhi!,”
Suara Haji Salleh yang menengking
kuat cuma disambut dengan gelak mengejek.
“Sayang, tak baik cakap macam tu,”
“Alah… jangan risaulah. Dia dah
biasa marah-marah macam tu. Kejap lagi tidur kat ward lah tu. Jom, ke bilik.
Sayang tolong kemas barang abang ya,”
“Abang! Jangan berani nak bawa
perempuan tu masuk ke bilik Rissa!,”Arisa melangkah laju. Menghalang langkah
Radhi yang cukup santai. Tidak mahu wanita yang kini bergelar isteri Radhi itu
menceroboh ke biliknya.
“Bukan bilik kau seorang kan? Jom
sayang…,”
Arisa tersandar ke dinding apabila
ditolak kuat oleh Radhi. Cuba menghalang sekali lagi, namun, panggilan Rianti
menghalang niatnya. Dia menoleh. Tergamam melihat Rianti yang sedang memaut
tubuh tua bapanya.
“Ayah…,”
Lupa pada Radhi yang sedang
menceroboh biliknya bersama isteri baru, dia berkejar mendapatkan bapanya yang
berkerut muka sambil menekan dada. Kerisauannya menjadi kenyataan.
“Ayah… ayah tak apa-apa?,”
Melihat bapanya tidak mampu
menjawab, Arisa semakin cemas. Sedihnya hilang entah ke mana. Cuma selaut risau
yang mengganti rasanya saat ini.
“Ati.. ambil ubat ayah…,”
Tanpa menjawab, Rianti berlari ke
arah dapur. Tidak lama kemudian muncul bersama satu botol kecil berisi pil.
Segera pil itu disua ke mulut bapanya dengan pipi yang sudah mula basah.
Perlahan dia mengurut dada bapanya. Nafas bapanya perlahan-lahan sekata sambil
tubuh tua itu bersandar lemah di sofa.
Arisa menggetap bibir. Air mata yang
laju menitis, diseka perlahan. Sakit hati bukan sedikit dengan perbuatan Radhi.
“Ayah okay?,”sebak suaranya
bertanya.
Haji Salleh mengangguk lemah. Lemah
juga jemarinya menyeka air mata di pipi anak sulungnya itu, membuat makin laju
deraian air mata bertandang di pipi Arisa. Sungguh dia kasihan pada Arisa. Dia
mahu sama-sama bangkit mempertahankan Arisa, namun, dia tidak berdaya.
“Jahatlah abang Radhi tu!,”
Arisa
mendongak. Memandang wajah Rianti yang mencuka. Kata-kata Rianti dibiarkan
sepi. Hatinya membentak perkara yang sama. Cuma, saat ini, fokusnya cuma pada
bapanya. Kerisauannya cuma pada lelaki tua yang sedang berdepan dengan
kesakitan gara-gara kerenah suaminya.
“Betul
ayah tak apa-apa ni? Ayah rehat kat bilik ya?,”
Haji
Salleh menggeleng perlahan. Mustahil dia akan membiarkan Arisa berdepan dengan
Radhi sendirian.
“Pergi
tengok apa yang mereka buat kat dalam tu. Nanti dengan barang kamu dia angkut
sekali,”Haji Salleh bersuara perlahan. Arisa diam. Mendongak memandang wajah
adiknya.
“Ati
tengok ayah kejap ya,”
Rianti
mengangguk sambil terus melabuhkan punggung ke sofa. Arisa bangkit. Berdiri
seketika sambil menghela nafas panjang. Bukan sedikit kekuatan yang dia
perlukan untuk memulihkan hatinya yang hancur kini. Untuk berdepan dengan Radhi
yang menyakitkan hati. Sedaya upaya cuba membuang perasaan yang berbaki di
hatinya, dia melangkah menuju ke bilik. Menolak perlahan pintu bilik yang tidak
begitu rapat.
Sebaik
melihat Radhi asyik menyelongkar beg tangannya, pantas pintu ditolak kuat.
Menerpa ke arah Radhi sambil merampas beg tangan di tangan Radhi.
“Tak
ada barang abang dalam beg Rissa!,”bentaknya marah.
Radhi
tergelak.
“Tapi,
ada duit kau…,”balasnya sambil melayang
not-not duit kertas di tangan.
“Bagi
balik duit tu!,”
“Alaa….
Buat kali terakhir bagi aku duit sebelum bagi durian runtuh kat aku, apa salahnya?,”
‘Abang
ni, memang tak guna!,”
Radhi
sekadar tersenyum sambil menyimpan helaian duit kertas ke dalam poket seluar.
Kemudian, berpaling ke arah Azilah yang sudah selesai mengemas.
“Sudah,
sayang?,”
“Dah,”
“Okay.
Aku pergi dulu. Aku tunggu kau bagi duit tu kat aku. Kalau kau nak
lengah-lengahkan… Nak juga turun naik mahkamah tuntut hak kau, kau pun tahu apa
akan jadi pada ayah. Fikirlah masak-masak ya, sayang,”
Arisa
tercegat menahan rasa. Mengiringi langkah Radhi bersama pandangan penuh
kebencian. Sebaik pintu itu tertutup, dengan keras dia mencampak beg tangan ke
katil. Berombak dadanya menahan marah. Menahan geram dan menahan sedih yang
bercampur- baur. Perlahan tubuhnya melorot jatuh ke lantai. Menggetap bibir
agar esakan yang mula bertandang, tidak sampai ke telinga bapanya.
“Kau
jahat Radhi…. Aku tak akan maafkan kau…,”gumamnya perlahan sambil tersedu-sedu
menahan esakan. Daun pintu yang terbuka, memaksa dia berpaling. Rianti bergegas
merapatinya.
“Kak
Long…,”
Dia
tunduk sambil menyeka air mata. Pelukan lembut Rianti membuat dia sedikit
tenang. Perlahan gadis itu mengusap belakangnya.
“Nangislah
Kak Long. Tapi, janji…lepas ni, Kak Long jangan lemah lagi. Kak Long jangan
tunduk pada abang Radhi lagi. Ati benci abang Radhi!,”pujukan itu
perlahan-lahan membuat jiwanya sedikit tegar. Pelukan terlerai. Jemari halus
Rianti lembut menyeka pipinya yang basah.
“Orang
macam abang Radhi tak layak untuk Kak Long…,”
“Terima
kasih, dik…,”
“Ati
sayang Kak Long. Ati tak nak Kak Long sedih macam ni,”
“Lepas
ni, Kak Long tak akan sedih lagi. Kak Long akan buang abang Radhi jauh-jauh
dari hidup kita,”
Rianti
tersenyum hiba. Memandang wajah kakaknya yang merah menahan tangis.
“Ayah
mana, Ati?,”
“Ati
bawa masuk ke bilik. Abang Radhi sakitkan hati ayah tadi. Dia memang melampaulah
Kak Long…,”
Arisa
mengeluh perlahan. Esakannya kian mereda. Seketika, dia menghela nafas yang
cukup dalam.
“Pergi
tengok ayah…,”perlahan dia bersuara dengan suara yang sedikit serak.
“Ati
suruh Dafi tengokkan ayah. Kak Long dah okay ke?,”
Arisa
tersenyum nipis.
“Kak
Long ada adik-adik yang sayangkan Kak Long. Mesti Kak Long okay. Jangan risau.
Lepas ni, Kak Long tak akan biarkan abang Radhi ganggu hidup keluarga kita. Tak
akan…,”
Rianti
diam.
“Kak
Long nak bersendirian sekejap. Ati pergi tengok ayah, ya. Kejap lagi Kak Long
pergi jumpa ayah,”bersama senyum yang cuba dilebarkan, dia bersuara perlahan.
Rianti mengangguk akur. Perlahan bangkit berdiri sambil memegang lengan Arisa.
Menarik perlahan Arisa berdiri bersamanya.
“Ati
keluar dulu, ya?,”
Arisa
tersenyum. Melabuhkan punggung ke katil bersama helaan nafas panjang. Ranjau
yang menanti terasa semakin sukar.
*****