Monday, September 24, 2012

Mungkinkah? 23


“Hai baby..,”
            Arisa diam. Kurang senang dengan panggilan itu. Namun, pandangannya tetap jatuh ke wajah Zariff yang tersenyum lawa. Rasanya sudah hampir seminggu Zariff tidak mengacuhkannya. Dia sudah mula selesa dengan cara kerja ketuanya itu. Tetapi, pagi ini awal-awal lagi dia sudah disuakan dengan senyum yang meleret itu.
            “Cantik pagi ni,”
            Arisa diam lagi.
            “Tapi, hari-hari pakai baju kurung, tak boring ke?,”
            Ini sudah lebih. Keningnya sudah sedikit berkerut memandang wajah ketuanya itu. Tidak pantas rasanya Zariff membuar ulasan tentang penampilannya.
            “Kidding…,”bersama sekuntum senyum nakal Zariff bersuara sambil mata dikenyitkan. Arisa terus mengunci mulut.
            “Anyway, jumpa I in ten minutes. I ada hal nak bincang,”
            Kali ini Arisa mengangguk.
            “And… morning sweet Jasmine,”
            ‘Morning Encik Zariff…,”ceria Jasmine menjawab sapaan itu. Tersenyum sehingga bayang Zariff hilang di balik pintu bilik lelaki itu.
            “Teruklah bos awak tu,”Arisa bersuara akhirnya. Jasmine tergelak besar.     
            “Kalau tak macam tu, tak bolehlah nak panggil playboy, kak,”gadis itu menjawab sambil tertawa mengekek.
            Arisa turut tergelak tanpa nada. Playboy? Malang betul nasibnya. Lari daripada Encik Karim yang tidak cukup isteri, bertemu pula dengan ketua yang sudah pasti tidak cukup perempuan ini.
            “Tapi, dia baik,”
            “Mana ada playboy baik?,”
            Jasmine tersengih. Arisa menggeleng.
            “Jangan benci-benci kak. Nanti jatuh hati,”
            Arisa tergelak.
            “Bukan bencilah. Cuma tak berapa suka aje,”
            Jasmine tersenyum.
            “Kejap aje tak berapa sukanya tu. Nanti mesti akak cair jugak. Encik Zariff pandai goda perempuan tau,”
            Arisa kerutkan kening sambil menggeleng. Tidak mahu lagi berbasa-basi tentang Zariff dengan Jasmine.
            “Oklah. Akak nak mula kerja dulu…Tak baik mengumpat,”akhirnya dia bersuara sambil lambat-lambat bergerak ke mejanya. Lemah untuk bersua muka dengan Zariff.
            “I tunggu you…,”
            Dalam langkah menunduk, segera kepalanya diangkat. Zariff sedang bersandar di pintu bilik.
            “Sorry…sorry. Saya masuk sekarang,”
            “Pagi-pagi mengumpat I buat apa? Baik you masuk bilik I, tengok muka I,”sempat Zariff merungut sambil berlalu masuk ke bilik.
            Arisa tergesa-gesa mencapai apa yang patut untuk berjumpa dengan Zariff. Paling tidak, mungkin lelaki itu mahu tahu perjalanan kerjanya untuk hari ini. Langkah segera dihayun menuju ke bilik. Tidak mahu lagi membuat Zariff tertunggu-tunggu. Pintu yang memang terbuka luas itu, tidak perlu diketuk lagi.
            “Morning Encik Zariff,”sapanya sekadar cuba bersopan.
            Zariff mengangkat muka. Seketika matanya pegun pada seraut wajah itu. Wajah yang baru sahaja menemani mimpinya malam tadi. Sungguh dia angau.
            “Mengumpat apa pasal I tadi?,”
            Arisa menggeleng.
            “Encik Zariff nak saya update schedule untuk hari ni ke?,”soal Arisa sambil jemarinya pantas menyelak organizer.
            “Lunch dengan you, masuk dalam schedule tak?,”
            Arisa menarik muka kelat. Zariff tersenyum.
            “Kita lunch sama-sama hari ni, ya?,”
            “Encik Zariff betul ke ada hal nak jumpa saya ni? Kalau Encik Zariff tak nak tahu apa-apa dan tak ada apa-apa hal yang penting, saya keluar dulu ya. Dan… nak kopi macam selalu tak?,”
            Zariff mengeluh kecil. Mengetuk-ngetuk pen ke meja. Arisa yang tercegat memandangnya, direnung tidak berkelip. Berjaya membuat gadis itu kelihatan salah tingkah.
            “Duduk,”
            “Tapi…,”
            “Sit down,”
            Arisa menghela nafas panjang sebelum perlahan melabuhkan punggung di hadapan Zariff.
            “I mimpi you malam tadi,”meleret senyum Zariff bersama ucapannya. Ucapan yang spontan membuat Arisa mencuka.
            “Jangan tarik muka macam tu. Bukan senang perempuan nak masuk dalam mimpi I tau,”
            “Oh ye ke? Kalau macam tu, terima kasih banyak-banyaklah sebab sudi mimpikan saya,”Arisa bersuara hambar. Tiada keinginan untuk melayan.
            “Hidup dengan you pun I sanggup. Kalau you sudilah…,”tingkah Zariff menggoda.
            “Saya tak sudi. Okay, dah selesai kan? Boleh saya keluar sekarang?,”
            Zariff menongkat dagu. Merenung wajah Arisa yang masam mencuka. Walau tanpa segarit senyum, wajah itu tetap berjaya menjentik naluri lelakinya. Bagaimanalah kalau ada selautan senyum dari Arisa untuknya? Dia tersenyum. Tidak terbayang bagaimana nanti dia akan hanyut dalam keindahan ciptaan Tuhan ini.
            Arisa menolak kerusi ke belakang. Mahu bergerak  keluar.
            “Hey, don’t move,”
            Gerakan Arisa spontan terhenti. Mata terpaku pada wajah Zariff. Pelik dengan arahan itu.
            “Kenapa?,”
            “I suka…,”selamba Zariff menjawab.
            Arisa mengeluh lemah. Kenapalah dia dipertemukan dengan lelaki sebegini.
            “Please lah Encik Zariff. Janganlah main-main,”
            “I suka you.. itu bukan main-main,”perlahan kata-kata itu meniti keluar dan hinggap di gegendang telinganya satu persatu. Zariff mengangkat punggung. Melangkah mendekati Arisa. Kedua-dua bahu Arisa disentuh. Memaksa Arisa kembali diam di kerusi. Kepala direndahkan.
            “I suka you… itu bukan main-main. Remember that,”ulangnya sekali lagi. Kali ini cukup hampir di telingan Arisa. Arisa menahan nafas. Rasanya kali ini tindakan Zariff sudah melebihi batas yang sepatutnya.
            “Stay away from me. Sebelum saya buat laporan ada sexual harassment, tolong jaga jarak Encik Zariff.
            “I rasa kalau ada yang patut buat laporan macam tu, orangnya adalah I,”bisiknya sekali lagi sebelum bergerak bersandar di meja. Arisa jegilkan mata.
            “Kenapa pula?,”
            “Sebab you yang menggoda I,”
            “Nonsense!,”
            “Everything about you buat I tergoda. And, cuba you bayangkan betapa you buat hidup I tertekan dengan godaan you tu? Emotional abuse…tahu tak? I am suffering,”
            “Tak ada kena mengena dengan saya. Saya nak keluar dulu,”
            “Kenapa? Takut I memberontak?,”usik Zariff sambil tersenyum memikat. Berpeluk tubuh memandang Arisa yang jelas amat tidak selesa berada di hadapannya.
            Arisa diam. terganggu dek alunan lagu menandakan ada panggilan masuk di telefon bimbitnya yang kebetulan dipegang dari tadi. Terburu-terburu mahu berjumpa dengan Zariff, dia terlupa menyimpan dahulu telefon di tangan.
            “Oh…that song. I suka lagu tu,”
            Arisa menjeling cuma. Matanya memandang skrin telefon. Radhi. Seorang lagi mahluk perosak. Alunan lagu ‘Tentang Dia’ segera dia matikan. Pagi-pagi sudah menerima gangguan yang amat melemaskan.
            “Kekasih yakini cintaku… di sini cintaku berlabuh…,”
            Arisa mengangkat muka. Memandang pelik wajah Zariff. Tiba-tiba menyanyi pula ketuanya ini.
            “Encik Zariff… you ada ambil something ke? You pelik sangat,”
            “What?!,”Zariff mencerlung. Dia cuba menggoda, tetapi dengan selamba Arisa menuduh dia di dalam keadaan kurang waras.
            “I nyanyi lagu ring tone you tadilah. Betul kan lagunya?,”
            Arisa tersenyum nipis. Manalah dia tahu dan tidak pula dia hafal lagu itu. Nada dering itu, Rianti yang buatkan dan dia pula tidak pernah ambil perhatian pada lagu itu.
            “Kekasih yakini cintaku… di sini cintaku berlabuh…,”sekali lagi Zariff mengalunkan lagu itu. Arisa menjeling.
            “Perjalanan mencari jawaban… berakhir karam di hatimu,”sambungnya dengan senyum nipis menghias bibir. Kali ini dia sedikit menunduk sambil mengangkat kening. Memang agak hampir dengan wajah Arisa yang kaku di kerusi di hadapannya. Arisa berpaling. Diam memandang dinding.
            “Dan kini tidurku tersenyum… oh gadis, aku cinta padamu…,”nyanyian disambung sambil dia bergerak. Sipi lagu itu menyentuh telinga Arisa.
            Arisa kaku. Bagai terhenti seketika denyutan jantungnya. Segera dia mengangkat punggung. Bagai terasa hela nafas Zariff hampir di telinganya. Tajam dia merenung wajah lelaki itu. Zariff mengangkat kening.
            “Encik Zariff!,”
            “Yes dear?,”
            Arisa merengus keras. Organizer di tangan spontan diletakkan kasar ke meja. Sepasang matanya mencerlung wajah Zariff yang berseri-seri.
            “Ini dia jadual kerja Encik Zariff untuk hari ini. Tengok sendiri. Dan jangan cari saya hari ni!,”Arisa bersuara keras. Tubuh Zariff yang masih hampir dengannya, ditolak kasar. Segera dia berlalu. Sungguh dia amat geram dengan sikap Zariff.
            “Arisa,”
            Dia berpaling dalam geram.
            “Oh gadis… aku cinta padamu…,”Zariff mengulang lirik sambil kenyitkan mata. Arisa rasa seperti mahu meletup. Dia tertawa senang sebaik daun pintu dihempas kuat oleh Arisa. Entah kenapa, tidak pula dia berasa marah dengan tindakan itu. Puas hati kerana dapat kenakan Arisa.
            “Sepatutnya pujilah sikit suara I ni, my lady…,”dia bergumam dalam tawa senang. Langkah dihayun ke arah pintu. Seronok mengusik Arisa, sehingga dia terlupa pada tujuan asal. Dia perlu mencari Arisa semula. Pintu dibuka. Arisa sedang mengemas meja dengan gerakan yang cukup kasar. Pasti sedang melepaskan marah. Dia tersenyum.
            “Kesian file tu. You nak hempas-hempas I, janganlah file tu jadi mangsa,”
            Arisa mengangkat muka. Tiba-tiba boleh terpacak pula di hadapannya. Dia menjeling. Sudah tidak fikir siapa Zariff. Yang dia tahu, saat ini, memang dia sangat marah pada lelaki itu.
            “You marah-marah macam ni, buat I lagi bersemangat tahu,”usik Zariff sambil sekali lagi kenyitkan mata padanya.
            Arisa meraup wajah. Cuba bertenang. Dengan senyum plastik, dia memandang wajah nakal di hadapannya itu.
            “Okay… ada apa pula kali ni, Encik Zariff?,”
            “Pasal ke Seremban tu. Kita pergi this week,”
            “Encik Zariff cakap next week. And… kita?,”
            “Ya. Tapi, mereka nak awalkan. And, of courselah kita. I nak you familiar dengan projek kita kat sana. So, you uruskan semuanya ya?,”
            Arisa mengangguk. Tidak kuat untuk mempertikai apabila nada suara Zariff sudah berubah seratus peratus. Dia maklum itu. Itu menunjukkan Zariff di dalam mood kerja.
            “Semua appointment I sebelum lunch, you tolong cancel ya. I nak keluar. Lepas lunch baru I masuk office,”
            “Encik Zariff nak ke mana?,”
            “Nak ikut?,”
            Arisa mengeluh. Zariff tersenyum.
            “Personal…,”ucapnya perlahan.
            Arisa mengangguk faham. Barangkali Zariff tidak mahu sesiapa tahu ke mana dia bakal menghilang.
            “Kalau you tukar fikiran, and nak temankan I, mesej I. I akan beritahu you I kat mana,”usiknya sebelum kembali ke bilik.
            Arisa mencemik.
            “Kalau serius dua puluh empat jam, kan aman…,”dia merungut sendiri sambil matanya melilau mencari file. Nampaknya tempahan hotel terpaksa diubah kembali.


*****

Thursday, September 20, 2012

Mungkinkah? 22


Hampir dua minggu bekerja di sini, membuat dia semakin mengenali Zariff. Telahan awal tentang  lelaki itu ternyata benar semuanya. Seorang lagi lelaki yang berasakan hidup mereka cukup hebat andai dapat tundukkan hati perempuan-perampuan. Satu panorama yang membuat dia terfikir, mungkinkah semua lelaki sekarang memang begitu sikapnya? Terlalu mudah jatuh hati dan terlalu mudah juga melupakan. Melihat gelagat Zariff membuat dia teringat pada Radhi juga pada Encik Karim. Dia mengeluh perlahan. Godaan Encik Karim, dia tepis dengan berhenti kerja. Dan, di sini dia juga berdepan dengan hal yang sama. Malah rasanya tingkah Zariff lebih menggerunkan. Tidak mungkin dia akan berhenti kerja lagi dan pastinya tidak mudah untuk dia mendapat kerja lain. Rezeki yang datang bergolek, tidak mungkin akan berulang banyak kali.
“Arisa…,”
Pantas dia mengangkat muka. Wajah Zariff serius di hadapannya. Sudah dua hari hilang gurau-senda lelaki itu. Tetapi, dia tidak kisah. Serius Zariff membuat dia aman.
  “Ya Encik Zariff?,”
  “Dah book restaurant for me?,”
  Arisa mengangguk.
“Thanks,”
  Sambil tersenyum dia mengangguk lagi. Zariff bergerak meninggalkannya. Cuma beberapa langkah, lelaki itu berpaling.
  “Oh ya. Kalau Azira datang, beritahu I,”
  “Azira?,”
  “Ya. Takkan I nak lunch sorang-sorang kan?,”
Arisa mengangguk. Jadi, teman makan tengahari untuk hari ini, bernama Azira. Rasanya gadis lincah yang cukup murah dengan senyum semalam bernama Nadia. Arisa menggeleng perlahan sambil tersenyum kecil.
  “What?,”
  Gelengan terhenti. Tidak menyangka lelaki itu masih tercegat di hadapannya.
“Tak ada apa-apa,”
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa senyum-senyum?,”
“Betul. Tak ada apa-apa,”
“Atau you nak ganti tempat Azira ke?,”
“Eh, tak adalah. Kasihan nanti kawan Encik Zariff. Penat-penat bersiap nak makan tengahari tiba-tiba kena cancel pula,”Arisa bersuara sedikit sinis.
“Okay,”sepatah balasan daripada lelaki itu dan Zariff terus hilang ke biliknya.
Arisa mencemik. Cuma hampir dua minggu sahaja, dan ternyata lelaki ini sudah hilang minat untuk mendekatinya.
“Lelaki tetap lelaki…,”bibirnya bergumam perlahan. Kembali menarik kerusi rapat ke meja. Mahu meneruskan kerja yang terhenti dek teguran Zariff. Namun niatnya terhenti lagi apabila matanya tersapa pada susuk kecil molek yang sedang melangkah mendekatinya. Melihat gaya dan rupa si gadis, rasanya dia sudah dapat mengagak siapakah gerangannya.
“Cik Azira?,”
Gadis cantik itu mengangguk bersama senyum. Arisa mengerling ke arah jam di dinding. Rasanya gadis ini muncul agak awal.
“Sebentar ya,”ujarnya lembut sambil jemarinya menekan interkom. Segera memaklumkan kedatangan si gadis yang sedang dinanti oleh ketuanya.
“Cik Azira boleh masuk,”
“Thanks,”
Arisa mengangguk bersama senyum lebar. Sesekali fikiran nakalnya pantas membuat kesimpulan, betapa mudahnya gadis-gadis terpesona dengan rupa dan kemewahan. Namun, segera dia memadam tohmahan jahat itu. Tidak baik berprasangka buruk. Mungkin mereka hanya kenalan biasa.
“Akak!,”
Arisa mengerling. Namun, bibirnya tetap mengukir sekuntum senyum. Jasmine tergelak. Pasti seronok melihat dia terperanjat kecil.
“Ni, buat apa kat sini? Front desk siapa jaga?,”soalnya garang.
Jasmine mencemik. Tidak terkesan dengan usikannya.
“Dah pukul dua belaslah kak. Dah lunch time. Jomlah. Kita pergi makan,”
“Akak kejap lagi. Min pergilah dulu,”
Jasmine mengeluh perlahan.
“Akak… kenapa dengan bos tu ya? Dah lama tau tak ada perempuan datang jumpa dia. Ni, dah dua hari makan tengahari berjemput. Peliklah,”
Arisa tergelak kecil.
“Manalah akak tahu. Akak baru dua minggu kat sini. Kerja akak, akak tahu. Tapi, hal bos kita tu, akak tak tahu,”
Jasmine mengangguk perlahan.
“Penyakit lama datang semulalah tu…,”Jasmine bergumam perlahan.
“Penyakit apa?,”
“Penyakit suka tukar girlfriend,”
Arisa tergelak. Memang dia tidak terkejut kalau Zariff ada ‘penyakit’ itu.
“Eh, bos nak keluar. Saya pergi makan dulu,kak,”laju Jasmine bersuara sebaik mendengar daun pintu ditarik. Laju juga dia berlalu meninggalkan Arisa yang tersenyum lucu. Dia mengalihkan pandangan ke arah bilik Zariff. Memang Zariff sudah keluar sambil lengan Azira kemas memaut lengannya.
“You tak lunch?,”ramah Zariff menyapa.
“Sekejap lagi,”
“Cantik PA you, Riff,”
Arisa tersenyum kecil mendengar pujian yang tidak dia pasti ikhlas atau tidak.
“Cantik pun buat apa. Dia tak minat lelakilah,”
Ternganga Arisa mendengar komentar daripada lelaki itu.
“You ni…,”Azira sudah membuat muka terkejut.
“Serius. You tanya dia, kalau you tak percaya. I tak pastilah dia ni, normal ke tak sebab dia langsung tak tunjukkan minat pada kaum yang berlawanan jenis dengan dia,”tambah Zariff bersama senyum lebar.
Arisa mengerutkan kening. Kejam tohmahan yang Zariff berikan. Azira tergelak halus.
“Tak baik you cakap macam tu. Mestilah you normal, kan….,”
“Arisa…,”ucap Arisa sepatah apabila riak Azira seolah-olah mahu tahu namanya.
“Ya… Arisa. Tentulah you normal kan?,”
“Alhamdulillah. Setakat ni saya normal lagi. Masih tahu benar mana yang halal, mana yang haram. Mana yang baik, mana yang tak baik,”soalan Azira dijawab dengan senyum panjang. Senyum yang ditujukan khas buat Zariff. Senyum yang barangkali Zariff tahu akan maksudnya kerana dia perasan wajah itu sedikit kelat. Zariff membuang pandang.
“Jom. Nanti lambat,”ringkas kata-kata Zariff sambil menarik tangan Azira. Meninggalkan dia dengan wajah tanpa senyuman.
“Bye Arisa,”
Arisa tersenyum melihat langkah Azira yang agak laju dek tarikan tangan Zariff. Cuma anggukan diberi sebagai membalas ucapan Azira. Sebaik hilang dua tubuh itu dari pandangannya, dia menarik muka masam.
“Patut ke dia cakap aku tak normal? Kurang asam betul,”bibirnya merungut geram. Meja dikemas ala kadar kerana dia juga mahu keluar makan tengahari. Gelak kecil menarik perhatiannya. Dia menoleh. Saera sedang tercegat tidak jauh daripadanya dan sedang ketawakan dia.
“Cik Saera. Maaf. Tak perasan Cik Saera ada kat situ. Ada yang boleh saya bantu?,”dia menyapa ala kadar. Sekadar menunjukkan rasa hormat memandangkan wanita itu masih lagi dingin dengannya. Dan, kemunculan wanita itu bersama gelak panjang, sememangnya membuat dia sedikit hairan.
“No. Tak ada apa-apa. You nak lunch ke?,”
Arisa mengangguk.
“Come. Join me….,”
“It’s okay Cik Saera. Saya boleh makan seorang,”
“Tak sudi ke?,”
“No. Bukan macam tu. Saya cuma tak nak ganggu Cik Saera…,”
“I yang ajak kan? So, for sure lah tak ganggu I. Jom,”
Arisa menarik senyum. Aneh tingkah Saera. Mungkinkah Saera mendengar kata-kata Zariff? Mungkin wanita yang belum berkahwin ini memang tidak normal, dan menyangka dia juga tidak normal? Mungkinkah Saera mahu memikatnya?
“Kenapa pandang I macam tu?,”
Arisa menggeleng laju. Terlalu karut andaian yang dia buat. Melihat Saera tercegat menunggu, segera dia mengangkat punggung sambil mencapai beg tangan. Saera tersenyum kecil.


*****

              Perlahan-lahan dia suap nasi ke mulut. Sejak dari tadi, dia selesa berdiam diri, dan Saera juga tidak bersuara. Cuma, wajah wanita itu tidak segarang sebelumnya.
              “So, memang you tak minat lelaki ke? Minat perempuan?,”
              Terbatuk Arisa mendengar patah kata pertama daripada bibir Saera. Segera dia mencapai gelas. Melegakan batuknya.
              “Nauzubillah. Minta dijauhkan. Cik Saera janganlah fikir sampai macam tu,”
              Saera tergelak.
              “Gurau aje,”
              Arisa tersenyum kelat. Walau sekadar gurauan, dia tidak selesa dengan andaian itu.
              “Gurau pun saya tak sanggup nak dengar Cik Saera,”
              “Okay. I’m sorry. First of all, just call me akak,”
              Arisa termangu seketika. Pelik dengan permintaan itu. Teringat pada hari pertama dia mula bekerja, wanita itu cukup tegas mahu dia memanggil dengan panggilan Cik. Tetapi, hari ini, Saera kelihatan sangat ramah. Memang pelik-pelik barangkali pekerja di syarikat itu.
              “Memang you tak kenal Zariff kan?,”
              Arisa menggeleng. Lagi-lagi isu ini yang diutarakan.
              “Langsung tak kenal?,”
              “Saya kenal Encik Zariff, bila Kak Saera perkenalkan dia pada saya. Kenapa ni? Pelik pula rasanya,”
              “Akak ingat you kenal Zariff. Akak ingat you ni teman dia. Masuk kerja cuma untuk berpeleseran dengan dia. Sebab Zariff beria-ia nak you kerja dengan dia tau. Semua calon lain dia tolak and dia nak you start kerja tanpa interview,”
              Arisa diam. Begitu kisahnya. Memang aneh. Patutlah Saera terang-terang menunjukkan riak kurang senang. Rupa-rupanya Zariff sudah tonjolkan imej buruk tentangnya. Sepintas, hatinya tertanya-tanya, kenapa pula Zariff beria-ia mahu dia bekerja dengannya. Padahal mereka tidak kenal antara satu sama lain.
              “Agaknya dia jatuh cinta pandang pertama kot, bila tengok gambar you,”Saera mengusik bersama tawa kecil. Arisa tersenyum kaku.
              “Akak bukan apa. Bila dia mula nak bersuka-suka semasa kerja, akak jadi kurang senang. Yelah. Dia tu, memang nakal sikit. Di luar waktu kerja, kita tak boleh nak halang. Tapi, kalau bawa masuk kekasih hati untuk berdamping semasa kerja, itu yang buat akak kurang senang. Lebih-lebih lagi, dia orang paling penting dalam syarikat. Dulu, dia boleh main-main sebab ibu dia yang handle semua. Tapi, bila ibu dia dah serahkan syarikat tu pada dia, dan dia pula macam nak main-main, itu yang akak jadi kurang senang,”Saera kembali serius.
              “Tapi, saya bukan…,”
              “Yeah. Akak salah-faham. And, akak minta maaf,”
              Arisa mengangguk perlahan. Apa lagi yang hendak dikata. Memang sudah nasib badan, asyik dipandang serong. Dan, melihat hubungan Saera dengan Zariff, rasanya lelaki itu amat menghormati Saera. Saera juga kelihatan amat mengambil berat tentang Zariff.
              “Tapi, rasanya Encik Zariff tu, serius bila bekerja,”dia bersuara selepas seketika sama-sama berdiam diri.
              Saera tersenyum.
              “Memuji nampak?,”
              “No. Bukan memuji. Tapi, dalam dua minggu ni, rasanya saya dah boleh faham cara dia kerja. Time menggatal, dia menggatal, tapi kalau kerja, dia fokus betul,”
              Saera tergelak besar.
              “Kalau dia dengar, sure kena warning letter you,”
              Arisa tersenyum. Terlajak komen pula dia. Tetapi memang hakikat Zariff seorang yang suka menggoda dan gemar memujuk. Jadi, amat sesuai kalau dia labelkan Zariff sebagai ‘lelaki gatal’.
              “Sorry. Bukan niat nak kutuk dia…,”rendah suara Arisa meminta maaf.
              “Tak apa. Memang itu Zariff. Dia ambil you pun, pasti bersebab. So, hati-hati, ya?,”
              Arisa diam. Hati tiba-tiba diamuk resah mendengar amaran daripada Saera. Memang dia boleh berhati-hati. Tetapi, kuatkah dia menangkis sikap Zariff yang melemaskan itu? Setinggi manakah kesabarannya untuk terus bertahan, sedang dia punya tanggungjawab besar untuk adik-adiknya.
              “Takut?,”
              Arisa tergelak kecil. Dia bukan gadis remaja untuk takut pada keadaan sebegitu. Cuma, dia risau rasa rimas nanti akan menjejaskan perjalanan kerjanya. Dia perlukan kerja, dan ditempat kerja ini, ada gangguan yang menanti.
              “Sebenarnya, susah juga nak kerja dalam suasana macam ni. Tapi, inilah cabaran, kan?,”Arisa melontar pendapat. Lebih kepada untuk menyedapkan hari sendiri sebenarnya.
              Saera menjawab cuma dengan segaris senyum.
              “Akak rasa you bijak nak handle bos you tu,”
              Arisa tergelak sumbang. Tidak mampu membalas. Telefon bimbitnya yang berbunyi, mematikan seketika perbualan mereka. Perlahan dicapai. Ada pesanan ringkas. Segera dibuka. Ternyata daripada Zariff.
              “Nampaknya saya kena masuk dulu. Encik Zariff dah mesej,”Arisa bersuara sambil mata memandang screen telefon bimbitnya. Cepat pula lelaki itu masuk ke pejabat.
              “Okay. pergilah dulu,”
              Arisa tersenyum. Mencapai beg tangan sambil terus bangkit. Tidak mahu membuat Zariff tertunggu-tunggu.
              “Thanks kak for the lunch,”
              “Sama-sama. Cepat. Zariff tak suka menunggu,”
              “Yes, I know. Sebab tu saya kena cepat. Bye kak,”
              Saera tergelak kecil melihat Arisa yang tergesa-gesa berlalu. Ternyata dia tersilap membuat andaian pada Arisa. Melihat usaha Zariff yang sentiasa gagal dan melihat pula riak Arisa yang tidak pernah senang dengan tingkah Zariff, dia yakin Arisa bukan seperti gadis-gadis lain yang sanggup berbuat apa sahaja asal dapat menjadi teman Zariff.


******

Tuesday, September 18, 2012

Lampin Cinta Buat Papa 3



Dia diam seketika. Berbelah- bagi mendengar cadangan yang luar biasa hebat itu. Matanya dialihkan ke wajah comel Qalish.
            “Kenapa saya Puan?,”dia bertanya. Sengaja mahu mendapatkan kepastian yang lebih jelas. Apa hebat dirinya sehingga dia menjadi pilihan Puan Rogayah? Adakah disebabkan dia cantik? Atau dia baik?
            “Sebab Qalish dah serasi dengan kamu. Dan, saya rasa kamu boleh jaga Qalish dengan baik,”
            Raisya tersenyum kelat. Nampaknya bukan sebab dia cantik dan bukan juga disebabkan dia baik. Dia menjadi calon hanya kerana dia boleh menjaga Qalish.
            “Qalish memang budak baik, puan,”ujarnya sambil tergelak kecil. Buat-buat segan dengan komentar Puan Rogayah. Puan Rogayah tersenyum kecil.
            “Jadi, macam-mana? Kamu setuju?,”
            Dia termenung seketika. Tawaran itu sukar untuk dia tolak. Teramat sukar.
            “Tapi, Encik Farish setuju ke?,”dia bertanya lagi. Keputusan ini adalah satu keputusan sukar. Dia tidak boleh bersetuju begitu sahaja.
            “Yang penting keputusan kamu. Macam-mana?,”
            Raisya tersengih. Tetapi senyumannya mati sebaik sahaja melihat wajah serius Farish yang melangkah masuk ke ruang tamu. Wajah itu tidak bereaksi seperti biasa. Sekuntum senyuman dia lemparkan pada lelaki itu. Tidak berbalas. Dia mengalihkan pandangan ke arah Puan Rogayah. Tidak berasa apa-apa dengan sikap Farish kerana sejak hari pertama dia muncul di rumah ini, lelaki itu tidak pernah mengacuhkannya. Bukan dia sahaja, tetapi rasanya lelaki ini dingin dengan semua orang.
            “Farish, baru balik?,”menyedari kehadiran lelaki itu, Puan Rogayah menyapa.
            “Hmmm...,”
            Dia termangu seperti biasa. Cuma itu jawapan Farish dan Farish terus berlalu menuju ke biliknya.  Melihat gaya lelaki itu, tawaran Puan Rogayah sebentar tadi menjadi sedikit goyah.
            “Tak payah hiraukan Farish. Saya harap kamu setuju ya. Demi Qalish?,”
            “Tapi, sampai bila saya kena...,”
            “Sampai bila-bila,”laju Puan Rogayah memotong kata-kata Raisya.
            Raisya menelan liur.
            “Sampai bila-bila? Macam tak best aje...,”dia mula merungut sendiri.
            “Yalah. Ini bukan benda main-main. Sebab tu saya tanya betul-betul sama ada Raisya nak atau tak nak? Saya tak nak nanti Raisya rasa ini keputusan yang salah. Saya buat semua ini untuk Qalish,”
            Raisya diam. Merenung wajah Qalish. Bulat mata comel itu memandangnya sambil bercakap dengan bahasa yang langsung tidak dia mengerti.
            “Kalau sebab Qalish, saya boleh jaga dia macam ni aje kan?,”
            Puan Rogayah mengeluh lemah.
            “Juga untuk Farish. Mana tahu nanti Farish boleh berubah,”
            Raisya tergelak halus. Tidak terjangkau di fikirannya bagaimana Farish boleh berubah hanya kerana dia. Kalau sebab pertama, dia yakin dia boleh lakukan. Tetapi, untuk sebab kedua, terasa lucu dia mendengarnya.
            “Farish nak balik ke rumah lama dia. Saya tak mahu dia tinggalkan Qalish di sini. Anak dia kena duduk dengan dia. Kamu pula kena jaga Qalish,”Puan Rogayah melanjutkan bicara. Raisya mengangguk perlahan. Mula faham dengan cadangan Puan Rogayah. Puan Rogayah tidak mahu pisahkan Qalish dengan Farish.
            “Seratus ribu ringgit. Elaun bulanan sebanyak tiga ribu. Setuju?,”
            Jantung Raisya bagai berhenti berdegup. Banyaknya. Peluang sebegini tidak akan datang untuk kedua kalinya di dalam hidup.
            “Kerja saya cuma jaga Qalish aje kan?,”
            Puan Rogayah tersenyum. Wajah Raisya yang bersinar itu dipandang lama. Hampir enam bulan mengenali Raisya rasanya dia sudah mula kenal siapa gadis ini. Cukup berkira... mata duitan... tetapi, dia nampak keikhlasan tiap kali dia melihat Raisya menjaga Qalish. Duit tidak penting padanya apabila dia sudah bertemu dengan seorang yang boleh menjaga cucunya dengan baik. Dan, berharap mungkin dapat menjaga Farish juga.
            Perlahan dia menggeleng sebagai menjawab soalan gadis itu.
            Raisya kerutkan kening.
            “Apa lagi tugas saya?,”          
            “Jadi isteri Farish...,”tenang Puan Rogayah member jawapan.
            “Saya setuju,”
            Puan Rogayah sedikit mencerlung. Laju benar gadis ini member jawapan.
            “Tak nak fikir dulu?,”
            Raisya menggeleng. Tawaran itu terlalu hebat untuk dia berkata tidak. Bimbang nanti Puan Rogayah bakal berubah fikiran, sebaiknya dia memberi jawapan secepat yang mungkin. Lagipun, rasanya tugas menjadi isteri kepada Farish yang dingin itu tidaklah sesukar mana.
            “Hmm... saya bagi masa dua hari untuk kamu fikir betul-betul. Nanti beritahu saya semula keputusannya,”akhirnya Puan Rogayah mengambil keputusan untuk menolak jawapan yang terlalu cepat itu. Raisya mengeluh sambil tersenyum. Puan Rogayah mengangkat punggung.
            “Fikir elok-elok,”ujarnya sebelum berlalu.
            Raisya diam memandang Puan Rogayah menghilang ke halaman. Pandangannya bersatu lagi dengan renungan Qalish di atas baby bouncher. Qalish tersenyum sambil menggapai tangan.
            “Beritahu nenek Qalish, aunty Isya tak perlu masa nak fikir,”ujarnya sambil tersenyum. Qalish mengekek. Dia tersenyum.
            “Nanti aunty Isya dapat duit seratus ribu, aunty belanja Qalish makan bubur nasi ayam. Okey...,”agahnya lagi membuat tawa Qalish makin kuat. Dia ketawa senang. Polosnya wajah anak kecil ini. Belum mengerti apa-apa. Belum tahu apa yang berlaku di sekitarnya. Melihat wajah Qalish, dia jadi teringat pada Farish. Seingatnya, semenjak dia mula menjaga Qalish, sekali pun Farish tidak datang dekat pada anak kecil ini. Tidak pernah menyapa jauh sekali menyentuh. Dia sedar itu semua, tetapi, bibirnya berat mahu bertanya. Tugasnya cuma menjaga Qalish. Dia dibayar untuk menjaga bayi itu, jadi hal lain memang tidak penting langsung padanya. Yang dia tahu, Qalish hanya ada seorang bapa yang sangat dingin.
            “Kenapa papa Alish jadi macam tu ya?,”dia bersuara sambil menyentuh jemari kecil Qalish yang tergapai-gapai mahu menyentuh tangannya. Mahu diangkat. Anak kecil itu cuma tergelak-gelak.
            Raisya mengangkat tubuh kecil itu.
            “Jomlah kita jalan-jalan. Boring kan duduk aje,”tuturnya pada Qalish yang belum mengerti apa-apa. Cuma galak ketawa apabila didukung.
            “Raisya...,”
            Mendengar namanya dipanggil, segera Raisya berpaling. Tidak sangka sebenarnya namanya dipanggil oleh suara itu.
            “Ya Encik Farish....,”balasnya bersama senyum lebar. Tetapi, senyumnya hilang tanpa berbalas. Wajah Farish serius memandangnya.
            “Ya, Encik Farish...,”sekali lagi dia bersuara. Kali ini, riak wajah tidak segirang tadi.
            “Awak ada naik atas ke tadi?,”
            Raisya termangu seketika. Kemudian mengangguk.
            “Ada. Saya duduk kat ruang rehat dengan Alish. Kenapa Encik Farish?,”
            “Boleh tak tiap kali awak duduk kat situ, jangan tinggalkan mainan bersepah-sepah?,”
            Raisya mengerutkan kening. Seingatnya cuma satu atau dua sahaja mainan Qalish yang tertinggal di atas sofa.
            “Mana ada bersepah. Ada dua aje,”balasnya laju.
            Farish membuang pandang. Geram apabila kata-katanya seakan-akan dipersoalkan.
            “Tak kira satu atau dua. Atau sepuluh sekali pun, benda-benda tu semakkan mata saya. Saya nak buat kerja. So, tolong alihkan semua tu,”
            “Kerja saya, jaga Alish saja. Kemas-kemas rumah ni, bukan kerja saya. Suruhlah Kak Nom yang kemaskan,”selamba Raisya bersuara sambil mula mengatur langkah mahu meninggalkan Farish.
            “Hei...,”
            Raisya berpaling. Buat pertama kali dia melihat wajah lelaki itu beremosi. Lelaki itu menatap geram padanya.
            “Apa?,”
            “Awak jaga Qalish, jadi tanggungjawab awak untuk pastikan semua mainan dia dikemas. Saya nak awak kemaskan sekarang. Saya nak buat kerja,”
            Raisya merengus perlahan. Cerewet pula lelaki ini.
            “Dua aje kan? Encik Farish kemaskanlah sendiri. Saya nak bawa Alish jalan-jalan kat laman ni. Kesian dia dari tadi tak keluar lagi,”
            Farish menahan nafas. Untuk kali pertama dia berkomunikasi dengan gadis ini, dia sudah disogok dengan rasa geram yang semakin membuak-buak.
            “Please. Now. Don’t waste my time,”
            Raisya merengus geram. Laju dia melangkah mendekati Farish.
            “Nah...,”ucapnya sepatah sambil menghulurkan Qalish kepada Farish.
            “Hey! Apa ni?,”
            “Peganglah kejap. Saya nak kemas mainan Alish ni,”
            “Awak kemas sambil pegang budak ni. Ambil balik,”Farish bersuara geram. Kaku memegang Qalish yang dilepaskan Raisya ke pegangannya.
            “Macam-mana saya nak kemas kalau saya pegang dia. Lagipun, Encik Farish kan ayah dia. So, peganglah kejap. Tadi sibuk sangat suruh saya kemaskan,”Raisya bersuara garang sambil laju meniti anak tangga. Farish terkebil-kebil. Melihat Raisya semakin jauh, dia turut melangkah sambil kedua-dua tangannya memegang tubuh Qalish. Merengus geram dengan tindakan penjaga anaknya itu. Kali pertama tubuh kecil itu berada di tangannya. Sampai di tingkat atas, dia melihat Raisya sibuk mencapai dua mainan Qalish yang terletak di atas sofa. Di sofa kegemarannya.
            “Ambillah ni,”dia bersuara sambil menghulurkan Qalish apabila melihat Raisya selamba berlalu ke tangga. Gadis itu tidak mengacuhkannya. Terus meniti turun anak tangga, memaksa dia turut melakukan hal yang sama. Mengekori Raisya sehingga ke bilik Qalish.
            “Ambil budak ni,”
            Raisya berpaling. Tersenyum selepas mainan sudah diletakkan di dalam bakul.
            “Okay. Done,”ujarnya sambil tersenyum lebar.
            “Okay...sekarang ambil budak ni,”
            Raisya mencemik. Segera dia mendukung Qalish yang dihulurkan oleh Farish sejak dari tadi.
            “Jangan sesekali buat macam tu lagi pada saya,”Farish bersuara garang sambil berlalu pergi. Raisya memandang dengan perasaan yang bercampur baur. Pelik dan kasihan. Pelik pada tingkah Farish dan kasihan pada Qalish yang diperlakukan begitu oleh bapanya sendiri. Farish benar-benar tidak mahu dekat dengan Qalish.
            “Peliklah papa Alish. Tak apalah. Kalau papa Alish tak nak baik dengan Alish, jom kita cari nenek. Kita main dengan nenek,”
            Qalish terkekek seperti selalu.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: