Dia diam seketika. Berbelah- bagi mendengar cadangan
yang luar biasa hebat itu. Matanya dialihkan ke wajah comel Qalish.
“Kenapa saya Puan?,”dia bertanya.
Sengaja mahu mendapatkan kepastian yang lebih jelas. Apa hebat dirinya sehingga
dia menjadi pilihan Puan Rogayah? Adakah disebabkan dia cantik? Atau dia baik?
“Sebab Qalish dah serasi dengan
kamu. Dan, saya rasa kamu boleh jaga Qalish dengan baik,”
Raisya tersenyum kelat. Nampaknya
bukan sebab dia cantik dan bukan juga disebabkan dia baik. Dia menjadi calon
hanya kerana dia boleh menjaga Qalish.
“Qalish memang budak baik,
puan,”ujarnya sambil tergelak kecil. Buat-buat segan dengan komentar Puan
Rogayah. Puan Rogayah tersenyum kecil.
“Jadi, macam-mana? Kamu setuju?,”
Dia termenung seketika. Tawaran itu
sukar untuk dia tolak. Teramat sukar.
“Tapi, Encik Farish setuju ke?,”dia
bertanya lagi. Keputusan ini adalah satu keputusan sukar. Dia tidak boleh
bersetuju begitu sahaja.
“Yang penting keputusan kamu.
Macam-mana?,”
Raisya tersengih. Tetapi senyumannya
mati sebaik sahaja melihat wajah serius Farish yang melangkah masuk ke ruang
tamu. Wajah itu tidak bereaksi seperti biasa. Sekuntum senyuman dia lemparkan
pada lelaki itu. Tidak berbalas. Dia mengalihkan pandangan ke arah Puan
Rogayah. Tidak berasa apa-apa dengan sikap Farish kerana sejak hari pertama dia
muncul di rumah ini, lelaki itu tidak pernah mengacuhkannya. Bukan dia sahaja,
tetapi rasanya lelaki ini dingin dengan semua orang.
“Farish, baru balik?,”menyedari
kehadiran lelaki itu, Puan Rogayah menyapa.
“Hmmm...,”
Dia termangu seperti biasa. Cuma itu
jawapan Farish dan Farish terus berlalu menuju ke biliknya. Melihat gaya lelaki itu, tawaran Puan Rogayah
sebentar tadi menjadi sedikit goyah.
“Tak payah hiraukan Farish. Saya
harap kamu setuju ya. Demi Qalish?,”
“Tapi, sampai bila saya kena...,”
“Sampai bila-bila,”laju Puan Rogayah
memotong kata-kata Raisya.
Raisya menelan liur.
“Sampai bila-bila? Macam tak best
aje...,”dia mula merungut sendiri.
“Yalah. Ini bukan benda main-main.
Sebab tu saya tanya betul-betul sama ada Raisya nak atau tak nak? Saya tak nak
nanti Raisya rasa ini keputusan yang salah. Saya buat semua ini untuk Qalish,”
Raisya diam. Merenung wajah Qalish.
Bulat mata comel itu memandangnya sambil bercakap dengan bahasa yang langsung
tidak dia mengerti.
“Kalau sebab Qalish, saya boleh jaga
dia macam ni aje kan?,”
Puan Rogayah mengeluh lemah.
“Juga untuk Farish. Mana tahu nanti
Farish boleh berubah,”
Raisya tergelak halus. Tidak
terjangkau di fikirannya bagaimana Farish boleh berubah hanya kerana dia. Kalau
sebab pertama, dia yakin dia boleh lakukan. Tetapi, untuk sebab kedua, terasa
lucu dia mendengarnya.
“Farish nak balik ke rumah lama dia.
Saya tak mahu dia tinggalkan Qalish di sini. Anak dia kena duduk dengan dia.
Kamu pula kena jaga Qalish,”Puan Rogayah melanjutkan bicara. Raisya mengangguk
perlahan. Mula faham dengan cadangan Puan Rogayah. Puan Rogayah tidak mahu
pisahkan Qalish dengan Farish.
“Seratus ribu ringgit. Elaun bulanan
sebanyak tiga ribu. Setuju?,”
Jantung Raisya bagai berhenti
berdegup. Banyaknya. Peluang sebegini tidak akan datang untuk kedua kalinya di
dalam hidup.
“Kerja saya cuma jaga Qalish aje
kan?,”
Puan Rogayah tersenyum. Wajah Raisya
yang bersinar itu dipandang lama. Hampir enam bulan mengenali Raisya rasanya
dia sudah mula kenal siapa gadis ini. Cukup berkira... mata duitan... tetapi,
dia nampak keikhlasan tiap kali dia melihat Raisya menjaga Qalish. Duit tidak
penting padanya apabila dia sudah bertemu dengan seorang yang boleh menjaga
cucunya dengan baik. Dan, berharap mungkin dapat menjaga Farish juga.
Perlahan dia menggeleng sebagai
menjawab soalan gadis itu.
Raisya kerutkan kening.
“Apa lagi tugas saya?,”
“Jadi isteri Farish...,”tenang Puan
Rogayah member jawapan.
“Saya setuju,”
Puan Rogayah sedikit mencerlung.
Laju benar gadis ini member jawapan.
“Tak nak fikir dulu?,”
Raisya menggeleng. Tawaran itu
terlalu hebat untuk dia berkata tidak. Bimbang nanti Puan Rogayah bakal berubah
fikiran, sebaiknya dia memberi jawapan secepat yang mungkin. Lagipun, rasanya
tugas menjadi isteri kepada Farish yang dingin itu tidaklah sesukar mana.
“Hmm... saya bagi masa dua hari
untuk kamu fikir betul-betul. Nanti beritahu saya semula keputusannya,”akhirnya
Puan Rogayah mengambil keputusan untuk menolak jawapan yang terlalu cepat itu.
Raisya mengeluh sambil tersenyum. Puan Rogayah mengangkat punggung.
“Fikir elok-elok,”ujarnya sebelum
berlalu.
Raisya diam memandang Puan Rogayah
menghilang ke halaman. Pandangannya bersatu lagi dengan renungan Qalish di atas
baby bouncher. Qalish tersenyum
sambil menggapai tangan.
“Beritahu nenek Qalish, aunty Isya
tak perlu masa nak fikir,”ujarnya sambil tersenyum. Qalish mengekek. Dia
tersenyum.
“Nanti aunty Isya dapat duit seratus
ribu, aunty belanja Qalish makan bubur nasi ayam. Okey...,”agahnya lagi membuat
tawa Qalish makin kuat. Dia ketawa senang. Polosnya wajah anak kecil ini. Belum
mengerti apa-apa. Belum tahu apa yang berlaku di sekitarnya. Melihat wajah
Qalish, dia jadi teringat pada Farish. Seingatnya, semenjak dia mula menjaga
Qalish, sekali pun Farish tidak datang dekat pada anak kecil ini. Tidak pernah
menyapa jauh sekali menyentuh. Dia sedar itu semua, tetapi, bibirnya berat mahu
bertanya. Tugasnya cuma menjaga Qalish. Dia dibayar untuk menjaga bayi itu,
jadi hal lain memang tidak penting langsung padanya. Yang dia tahu, Qalish
hanya ada seorang bapa yang sangat dingin.
“Kenapa papa Alish jadi macam tu
ya?,”dia bersuara sambil menyentuh jemari kecil Qalish yang tergapai-gapai mahu
menyentuh tangannya. Mahu diangkat. Anak kecil itu cuma tergelak-gelak.
Raisya mengangkat tubuh kecil itu.
“Jomlah kita jalan-jalan. Boring kan
duduk aje,”tuturnya pada Qalish yang belum mengerti apa-apa. Cuma galak ketawa
apabila didukung.
“Raisya...,”
Mendengar namanya dipanggil, segera
Raisya berpaling. Tidak sangka sebenarnya namanya dipanggil oleh suara itu.
“Ya Encik Farish....,”balasnya
bersama senyum lebar. Tetapi, senyumnya hilang tanpa berbalas. Wajah Farish
serius memandangnya.
“Ya, Encik Farish...,”sekali lagi
dia bersuara. Kali ini, riak wajah tidak segirang tadi.
“Awak ada naik atas ke tadi?,”
Raisya termangu seketika. Kemudian
mengangguk.
“Ada. Saya duduk kat ruang rehat
dengan Alish. Kenapa Encik Farish?,”
“Boleh tak tiap kali awak duduk kat
situ, jangan tinggalkan mainan bersepah-sepah?,”
Raisya mengerutkan kening.
Seingatnya cuma satu atau dua sahaja mainan Qalish yang tertinggal di atas
sofa.
“Mana ada bersepah. Ada dua
aje,”balasnya laju.
Farish membuang pandang. Geram apabila
kata-katanya seakan-akan dipersoalkan.
“Tak kira satu atau dua. Atau sepuluh
sekali pun, benda-benda tu semakkan mata saya. Saya nak buat kerja. So, tolong
alihkan semua tu,”
“Kerja saya, jaga Alish saja.
Kemas-kemas rumah ni, bukan kerja saya. Suruhlah Kak Nom yang kemaskan,”selamba
Raisya bersuara sambil mula mengatur langkah mahu meninggalkan Farish.
“Hei...,”
Raisya berpaling. Buat pertama kali
dia melihat wajah lelaki itu beremosi. Lelaki itu menatap geram padanya.
“Apa?,”
“Awak jaga Qalish, jadi
tanggungjawab awak untuk pastikan semua mainan dia dikemas. Saya nak awak kemaskan
sekarang. Saya nak buat kerja,”
Raisya merengus perlahan. Cerewet
pula lelaki ini.
“Dua aje kan? Encik Farish
kemaskanlah sendiri. Saya nak bawa Alish jalan-jalan kat laman ni. Kesian dia
dari tadi tak keluar lagi,”
Farish menahan nafas. Untuk kali
pertama dia berkomunikasi dengan gadis ini, dia sudah disogok dengan rasa geram
yang semakin membuak-buak.
“Please. Now. Don’t waste my time,”
Raisya merengus geram. Laju dia
melangkah mendekati Farish.
“Nah...,”ucapnya sepatah sambil
menghulurkan Qalish kepada Farish.
“Hey! Apa ni?,”
“Peganglah kejap. Saya nak kemas
mainan Alish ni,”
“Awak kemas sambil pegang budak ni.
Ambil balik,”Farish bersuara geram. Kaku memegang Qalish yang dilepaskan Raisya
ke pegangannya.
“Macam-mana saya nak kemas kalau
saya pegang dia. Lagipun, Encik Farish kan ayah dia. So, peganglah kejap. Tadi
sibuk sangat suruh saya kemaskan,”Raisya bersuara garang sambil laju meniti
anak tangga. Farish terkebil-kebil. Melihat Raisya semakin jauh, dia turut
melangkah sambil kedua-dua tangannya memegang tubuh Qalish. Merengus geram
dengan tindakan penjaga anaknya itu. Kali pertama tubuh kecil itu berada di
tangannya. Sampai di tingkat atas, dia melihat Raisya sibuk mencapai dua mainan
Qalish yang terletak di atas sofa. Di sofa kegemarannya.
“Ambillah ni,”dia bersuara sambil
menghulurkan Qalish apabila melihat Raisya selamba berlalu ke tangga. Gadis itu
tidak mengacuhkannya. Terus meniti turun anak tangga, memaksa dia turut
melakukan hal yang sama. Mengekori Raisya sehingga ke bilik Qalish.
“Ambil budak ni,”
Raisya berpaling. Tersenyum selepas
mainan sudah diletakkan di dalam bakul.
“Okay. Done,”ujarnya sambil
tersenyum lebar.
“Okay...sekarang ambil budak ni,”
Raisya mencemik. Segera dia
mendukung Qalish yang dihulurkan oleh Farish sejak dari tadi.
“Jangan sesekali buat macam tu lagi
pada saya,”Farish bersuara garang sambil berlalu pergi. Raisya memandang dengan
perasaan yang bercampur baur. Pelik dan kasihan. Pelik pada tingkah Farish dan
kasihan pada Qalish yang diperlakukan begitu oleh bapanya sendiri. Farish
benar-benar tidak mahu dekat dengan Qalish.
“Peliklah papa Alish. Tak apalah.
Kalau papa Alish tak nak baik dengan Alish, jom kita cari nenek. Kita main
dengan nenek,”
Qalish terkekek seperti selalu.
****
7 comments:
Best...suka. sambung lagi ya kak hanni.
best..lah..
Sian qalish bila farish nak sedar? Harap x terlambat..
best citer ni..sambung cepat2 kak. kak hanni please jgn berhenti berkarya di sini. saya masih nak membaca karya2 kak hanni.
akak.. tak sambung ke cerita ni ? best sangattttttttt !!! kalau dah publish, I would pay for it (Y)
Hanni,
di mana boleh saya baca keseluruhan cerita ni? atau ada novel ke yang boleh saya beli?
cerita best.........
Bila nk sambung cite ni... Xsabar nk baca
Post a Comment