Friday, July 13, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 16


            Aku terus berdiam diri sehingga ke bilik tidur. Terus tidak bersuara sehinggalah Encik Firdaus muncul bersama baju tidurnya. Sudah siap tukar pakaian. Aku pula terus mematung di hadapan cermin. Terpaku memandang imej sendiri. Cuba tenteramkan perasaanku yang sudah mula berliku-liku. Sentuhan lembut di bahu membuat aku mendongak. Encik Firdaus tersenyum tenang. Aku cuma membalas dengan sekuntum senyum yang sedikit hambar. Sangkaku semuanya telah berakhir. Sangkaku Puan Sri Ainul tidak akan menggangguku lagi.
            “Abang suka…,”tiba-tiba kata-kata itu meniti di bibir Encik Firdaus. Bersama satu kucupan lembut di kepalaku.
            Aku masih tidak bersuara. Kurang mengerti dengan kata-kata itu. Juga dengan senyum manis Encik Firdaus itu. Lebih dari itu, kepalaku sibuk memproses rasa geram yang belum hilang.
            “Suka apa, bang?,”
            “Perubahan Tiya. Tiya dah semakin matang. Macam tulah isteri abang,”
            Aku berpaling. Memandang wajah itu agak lama. Aku semakin matang? Sungguh aku tidak mengerti apa yang Encik Firdaus maksudkan.
            “Tiya tak faham,”sudahnya aku berterus-terang.
            Encik Firdaus tersenyum.
            “Makan malam tadi. Tiya dah boleh terima gurauan mama Mia. Abang bangga dengan Tiya,”
            Aku diam. Penjelasan itu membawa aku pada satu wajah dan satu lakonan yang membuat aku membisu sehingga ke saat ini. Mengingatkan aku pada satu acara makan malam yang membuat aku makan hati.
Aku terus memerhati dengan hati yang galau. Merenung suapan Encik Firdaus yang kelihatan begitu berselera. Terlalu sedapkah hidangan yang Mia sediakan ini? Tumpuan aku beralih kepada Mia. Mia leka dengan suapannya. Berpaling ke arah Puan Sri Ainul, aku sedar ada senyum sinis yang aku tahu ditujukan khusus untuk aku di situ. Aku menunduk. Memandang nasi di pinggan.
            “Berselera betul Fir makan, ya? Takkan Adiya tak pernah masak masakan macam ni?,”
            Aku diam. Puan Sri Ainul sudah mula mencucuk jarum pada sekeping hatiku yang sudah sedikit walang. Aku tahu itu bunga-bunga sindiran yang mahu ditabur ke hatiku.
            “Dah lama tak makan masakan Mia, aunty. Itu yang berselera tu,”
            Sungguh. Jawapan Encik Firdaus membuat hatiku sedikit tercalar. Aku mengerling sekali lagi. Terpamer sekuntum senyum puas di bibir Puan Sri Ainul. Telahanku ternyata tepat. Undangan makan malam yang serba ringkas ini, memang sengaja Puan Sri Ainul aturkan untuk terus menyakiti hatiku.
            “Alah… bukan jauh pun. Ajaklah Diya datang ke sini selalu. Cakap aje you nak makan apa, nanti I akan masakkan. You too Diya. Kalau nak makan apa-apa, order aje. Nanti I masakkan,”Mia mencelah bersama senyum lebar. Aku pula tersenyum kelat.
            “Itulah. Kalau jadi menantu aunty…kan dapat makan macam ni, hari-hari,”
            Sudu dan garfu terus aku letakkan di pinggan. Sungguh aku hilang selera. Sungguh aku mahu berlalu saat ini juga.
            “Mama… tak baiklah cakap macam tu…,”suara Mia yang mencelah tiba-tiba, tidak dapat melenyapkan segunung rasa kurang senangku. Aku benci Puan Sri Ainul! Noktah!
            “Mama gurau ajelah. Aunty gurau aje Fir…Adiya… Jangan ambil hati ya,”
            Menyedari sepasang mata itu tajam merenungku, aku tersenyum kecil. Kemudian menggeleng perlahan.
            “Saya tahu Puan Sri gurau aje,”aku berbasa-basi dalam senyum penuh sandiwara.
            “Aunty… tak payahlah panggil Puan Sri. Anggap aje aunty ni macam family Adiya juga. Lagipun, Fir ni memang aunty dah anggap macam anak aunty sendiri. Aunty memang sayang sangat pada Fir ni,”
            Ulang tayang yang bermain di kepala itu membuat aku tersenyum dalam jelak. Teringat pada senyumanku seterusnya. Juga pada bicaraku yang penuh kepura-puraan demi melayan lakonan hebat Puan Sri Ainul. Sungguh itulah makan malam paling teruk pernah aku lalui. Sumpah! Selepas ini, andai ada undangan  daripada wanita elit itu lagi, aku tidak akan sesekali munculkan diri.
            “Senyum pula?,”
            Teguran itu memadam perlahan-lahan wajah Puan Sri Ainul yang tidak ubah seperti raksasa di dalam ruang imaginasiku. Wajah Encik Firdaus aku amati tanpa suara. Melihat wajah ceria itu tidak sampai hati untuk aku calarkan dengan kesangsianku. Ternyata Encik Firdaus terlalu berharap agar hubungan aku dengan ibu kepada teman tetapi mesranya itu terus baik. Encik Firdaus langsung tidak nampak ada niat tidak baik bertamu di hati wanita itu. Namun, aku tidak boleh salahkan Encik Firdaus.  Barangkali keakraban mereka yang membuat Encik Firdaus gagal menebak. Ditambah pula dengan lakonan hebat Puan Sri Ainul.
            “Abang rasa memang ibu Mia bergurau ke?,”soalku sambil menongkat dagu merenung pantulan wajahku di cermin.
            Daripada pantulan imej Encik Firdaus di cermin, aku dapat melihat Encik Firdaus mengangguk perlahan.
            “Mama Mia memang suka bergurau. Dari dulu lagi,”tambah Encik Firdaus lagi.
            “Abang rapat dengan dia?,”
            “Siapa?,”
            “Puan Sri Ainul…,”ujarku lemah.
            “Aunty Ainul tu kawan lama mummy and abah. Dah cukup lama kami kenal. Abang hormat pada dia, macam abang hormat pada mummy…pada mak…,”
            Aku terus terdiam. Tidak berani lagi bercakap tentang Puan Sri Ainul apabila sebegitu sekali rasa hormat Encik Firdaus pada wanita itu. Tidak mahu nanti Encik Firdaus tersinggung dengan kritikanku. Walau apa pun yang cuba Puan Sri Ainul lakukan padaku, biarlah aku hadapi sendirian. Aku yakin, selagi cinta Encik Firdaus teguh buatku, kata-kata Puan Sri Ainul langsung tidak membawa makna padaku. Aku pandang jauh ke dalam sepasang mata milik Encik Firdaus. Sungguh aku yakin pada cinta lelaki ini… hatiku berbisik sendiri.
            “Kenapa ni?,”
            Aku menggeleng perlahan. Senyum segera aku maniskan. Kemudian aku tarik muka masam tiba-tiba. Membuat kening Encik Firdaus mula berkerut.
            “Aik?,”
            Aku menjeling. Perlahan mengangkat punggung meninggalkan Encik Firdaus tercegat di hadapan meja solek. Langkah kuhalakan ke arah almari. Mencapai tuala.
            “Tadi senyum, tiba-tiba masam pula? Kenapa ni, sayang?,”
            Aku menjeling sekali lagi. Namun tidaklah setajam mana. Jelingan yang membuat Encik Firdaus tersengih panjang.
            “Jangan jeling abang macam tu. Bahaya…,”usik Encik Firdaus sambil tersenyum nakal. Membuat bibirku turut terukir senyum. Sudahnya aku berpaling memandang tepat ke wajahnya sambil berpeluk tubuh. Encik Firdaus mengangkat kening.
            “Sedap sangat ke masakan Mia tadi?,”soalku sambil terus berpeluk tubuh.
            Encik Firdaus tergelak halus. Terus melangkah merapatiku.
            “Abang salahlah ni?,”soalnya sambil perlahan memelukku. Belum apa-apa sudah mengaku kalah.
            “Mestilah…,”balasku dengan nada serius yang dibuat-buat. Memang aku sedikit terkesan dengan pujian Encik Firdaus tadi, tetapi tidaklah sampai mahu merajuk panjang.
            “Nak kena dendalah ni?,”
            “Mestilah…,”
            Encik Firdaus tersenyum lagi. Terus merenungku dengan renungan yang cukup mendamaikan.
            “Tak mahu denda yang berat-berat ya…,”pintanya perlahan. Aku mengerling.
            “Makan macam sedap sangat aje, Tiya tengok,”aku mengomel perlahan. Memang geram aku melihat aksi Encik Firdaus menikmati masakan Mia tadi.
            “Sebab abang lapar kot?,”
            “Tak… sebab abang memang betul-betul suka masakan tu kan?,”
            Encik Firdaus diam. Merenung terus wajahku. Cuma, kali ini, senyumnya tidak selebar tadi.
“Abang sakitkan hati Tiya ke?,”soalnya lembut sambil mengelus rambutku. Aku diam seketika. Tidak sangka perkara yang ingin kubawa sebagai satu usikan tadi, sudah bertukar sedikit serius. Apa pun yang melibatkan emosi, memang akulah juaranya. Sekali lagi aku dera perasaan Encik Firdaus dengan emosiku yang tidak stabil.
“Abang tak bermaksud nak sakitkan hati Tiya. Abang minta maaf ya. Lepas ni abang tak akan makan apa pun makanan yang Mia masak,”
“Betul?,”soalku sambil mengangkat kening.
“Betul, sayang…,”
Aku tersenyum. Terus memandang wajah Encik Firdaus yang sudah serius.
“Ingat Tiya kejam macam tu ke?,”soalku bersama senyum meleret. Sekali lagi kening Encik Firdaus berkerut.
“Sayang ni, macam-macamlah. Kenapa pelik sangat malam ni?,”
Aku tersengih.
“Tiya tahu Mia dan abang kawan lama. Takkanlah Tiya nak abang putuskan hubungan tu. Cuma, abang tu, janganlah puji lebih-lebih masakan Mia tu. Depan Tiya pula tu. Janganlah tunjuk sangat pada Tiya, abang suka sungguh masakan Mia tu. Tiya tahulah Tiya tak pandai masak. Bila abang buat macam tu, Tiya rasa tak sedap hati…,”akhirnya aku berterus-terang tentang perasaanku.
“Larangan ditarik balik ke ni?,”usik Encik Firdaus senang. Aku mengangguk sambil menjeling manja.
“Macam-macam isteri abang ni…,”gumamnya perlahan sambil mengusap pipiku. Aku tersenyum senang.
“Nanti Tiya belajar buat semua makanan kegemaran abang ya. Tak boleh jadilah macam ni. Tiya kena belajar masak…,”
Encik Firdaus tersenyum panjang.
“Abang tak mahu paksa. Apa pun yang Tiya nak buat, abang tak akan halang. Cuma, abang nak Tiya selalu ingat. Walau macam mana pun Tiya, abang tetap cintakan Tiya. Ingat tu…,”
“Tiya tahu. Cuma, Tiya nak jadi isteri yang lebih baik. Tiya nak tengok abang makan masakan Tiya macam abang makan masakan Mia tadi,”
“Jangan risau. Bukan masakan aje abang makan. Dengan Tiya sekali pun abang akan makan nanti,”
Aku tergelak besar.
“Mengarutlah tu!,”ujarku sambil jegilkan mata. Encik Firdaus turut tergelak. Pelukan yang sedikit erat itu, aku leraikan perlahan.
“Tiya nak mandilah,”aku bersuara. Encik Firdaus meleraikan pelukan.
“Cepat sikit…,”bisiknya di telingaku membuat jantungku berdegup sedikit kencang. Melawan panahan matanya, aku tersenyum malu. Dan, apabila satu kenyitan nakal dihadiahkan buatku, laju langkah kubawa ke bilik air. Tidak sanggup untuk terus berdepan dengan renungan yang begitu mempesona itu. Sungguh hebat renungan hero hatiku ini…



*****
[11:35:50 PM] hos.getah: