Wednesday, July 28, 2010

LARA JIWA LUKA

Manik hujan kian kasar. Coklat tanah yang berdebu dek terik panahan matahari sejak dari pagi, kini kian berubah warna. Perlahan-lahan titis-titis air dari perut langit itu kini meresap jauh ke dasar bumi. Membasah segenap tanah yang kontang seketika tadi. Aroma cantuman antara titis hujan dan debu tanah, membuat deria baunya menghela nikmat. Dia suka bau itu. Haruman itu begitu asli. Begitu dekat dengan jiwanya. Begitu serasi dengan hatinya. Begitu nostalgia dengan mindanya.



“Aku mahu menjadi titis hujan…,”


“Kenapa?,”


“Kerana walau jauh terpisah, akhirnya tempatnya di sini. Tempatnya tetap pada tanah yang setia menanti…,”


“Akukah tanah itu…?,”


Senyum panjang menjawab soalan itu. Senyum panjang yang membawa pergi sekeping cinta hatinya. Senyum panjang yang menjadi guru pada lautan rindunya. Kadang-kadang deru lembut ombaknya, bahagia membelah hati. Kadang-kadang dalam dasar resahnya membuat dia kelemasan sendiri. Mahu atau tidak, dia harus akur. Dan, dia terus akur. Kegagalannya tidak boleh menjadikan sekeping hatinya keras dek rasa cinta. Tidak mungkin dia seret bersama cinta hatinya yang sudah jelas bakal mencapai gemilang di hujung usaha, ke lembah gagal bersamanya. Kekasih hatinya bagaikan wap-wap air di danau indah yang perlahan-lahan meniti udara menuju ke awan nan tinggi.


Dan, dia…? Entah di mana silapnya dia terdampar di lopak kegagalan ini. Terus rebah mencium bumi. Terus menanti gumpalan kejayaan menurunkan titis gembira yang akan hadir bersama nyaman tiupan kasih cinta hatinya. Terus menanti titis hujan yang bakal menyatu pada debu tanah yang tidak jemu menadah langit. Tidak pernah tahu penat walau masa sudah menginjak terlalu lama. Walau penantiannya sudah seperti satu penantian yang sia-sia. Walau titis rindu yang mengalir di pipi menjadi teman tidurnya kini seakan kontang.


“Akukah tanah itu?,”desisnya tanpa sedar tatkala melihat tanah kering sebentar tadi kini sudah berlopak. Matanya terus merenung. Seketika mendongak. Memandang langit. Melihat terjahan jarum-jarum hujan seakan mahu menembusi dada bumi.


“Kalau aku tanahnya, baru dapat aku rasa sakitnya terjahan jarum hujanmu…,”dia berbisik lagi. Terus merenung langit yang masih juga kelabu. Bergerak pada titis-titis lebat yang kini mengalun lagu hujan. Dan mati pada tanah yang sudah berlopak.


“Dan kini, kau terus jauh dari aku, Wan…,”


“Sudah-sudahlah kau jadi penunggu hujan,”


Suara itu bukan lagi asing. Tanpa berpaling mencari wajah pun, dia sudah mampu melukis setiap garis dan sudut pemilik wajah itu.


“Sampai bila kau mahu terus hidup begini? Sampai bila perlu menjadi hamba pada perasaan yang tidak punya nilai itu?,”


Dia terus mengunci dua ulas bibirnya. Tidak mahu melayan kata-kata yang terus meluncur laju dari bibir itu. Perlahan dia mengangkat punggung. Mahu berlalu dari beranda itu. Mahu mengunci diri di dalam kamar sepi. Mahu lari dari suara sumbang yang tidak jemu mendepaninya dengan seribu amarah. Dengan seribu geram.


“Tunggu!,”


“Aku tetap dengan keputusan aku. Aku tak akan terima lelaki lain dalam hidup aku,”


“Berbaloi ke?,”


Dia berpaling. Melawan renungan tajam dari seorang teman. Teman yang setia mendengar rintih pilunya selama ditinggalkan pergi.


“Anak dia dah nak masuk dua, Dhuha. Dan lagi, sekali pun dia tidak pernah jengahkan muka di sini selama dia pergi. Apa lagi yang kau tunggu?,”


“Aku tahu dia akan pulang ke sini juga. Dia akan pulang pada aku, Mas,”


“Kalau dia pulang pun, apa gunanya pada kau?,”


Soalan itu membuat dia kehilangan kata-kata. Betul kata temannya itu. Apa gunanya kepulangan sang kekasih hati yang kini sudah menjadi milik orang lain? Sang kekasih hati yang ingkar pada ikrar janji sendiri. Meninggalkan dirinya terus terkurung di dalam sangkar cinta yang mula menjadi belati melibas tiap sudut hatinya. Pedih. Sakit. Namun tidak berdaya. Sungguh dia tiada upaya untuk melangkah keluar daripada sangkar itu. Untuk menangisi perbuatan sang kekasih hati pun, dia sudah tidak berdaya.






****


“Aku mahu menjadi hujan…,”


Dia tersentak. Matanya yang sedari tadi leka pada titis hujan yang jatuh ke atas jalar tar yang keras, kini teralih. Teralih pada suara di belakangnya.


“Kerana walau jauh terpisah, akhirnya tempatnya di sini. Tempatnya tetap pada tanah yang setia menanti…,”balasnya tanpa dia sedar.


“Betullah. Mana aunty tahu?,”


Sekali lagi dia terkesima. Senyum manis gadis kecil di hadapannya direnung tanpa suara. Tidak berkelip matanya meneliti wajah mulus itu. Terlalu lama rupanya ungkapan itu bersarang di dasar mindanya. Kini ungkapan itu meniti di bibir gadis kecil yang mungkin sekitar sebelas atau dua belah tahun umurnya. Bermakna seusia itu juga dia hidup bertemankan ungkapan itu. Tempoh masa membawa dia jauh ke sini. Namun, mindanya tetap terbelenggu dek rasa yang sama. Terkurung dalam panahan cinta sia-sia.


“Papa. Aunty ni tahu puisi papa…,”


Minda yang mula menganyam kenangan, terganggu semula. Kali ini bersama debar yang menggila. Mula memproses kemungkinan yang menakutkan. Perlahan pandangannya mencari kelibat susuk badan yang tercegat di hadapannya kini. Kemungkinan yang bagai sudah dia jangka. Spontan dia mengangkat punggung. Walau cintanya masih seteguh gunung, wajah ini bukan wajah yang mahu dia lihat. Wajah ini terlalu banyak mengajarnya erti duka dan erti sengsara. Wajah ini membuat dia kehilangan hampir keseluruhan hidupnya. Wajah ini memaksa dia mengutip semula keping-keping semangat yang tercicir di balik kantung cinta abadinya. Bersama sisa semangat yang sedikit itu, dia mampu berdiri menepis lara. Dia mampu menjadi seorang Dhuha yang tidak sempat gila kerana cinta.


“Dhuha…,”


Pandangannya diangkat. Aneh. Sudah berbelas tahun air matanya kering. Namun, sebaris namanya yang meniti di bibir lelaki itu, membuat juraian air matanya selebat hujan yang menggila di luar restoran.


“Beritahu papa awak, terjahan jarum hujan yang kembali pada pasir yang setia, menjadi belati kejam yang membunuh sekeping jiwa merindu,”


“Dhuha tunggu,”


Air mata yang laju mengalir diseka perlahan. Langkahnya terus maju tanpa mempedulikan panggilan berkali-kali di belakangnya. Cintanya terlalu menyakitkan. Membalas renungan lelaki itu, membuat dia benar-benar sedar. Cintanya teramat menyakitkan.






****






“Kau marah pada aku, Mas?,”


“Aku kasihankan abang aku. Kadang-kadang aku rasa bodohnya perasaan cinta itu…,”


“Maksud kau?,”


“Abang aku tak pernah jemu menunggu kau, sama seperti kau yang tak pernah jemu menunggu Wan,”


“Aku tak tunggu dia,”


“Kalau kau tak tunggu dia, kenapa kau berada dalam bilik ni? Bukankah kau sedang menunggu cinta hati kau datang sarungkan cincin ke jari manis itu?,”


“Mak aku beritahu ada rombongan yang mahu meminang. Aku pula sudah penat mahu menolak,”


Senyum pahit temannya membuat hatinya tidak keruan.


“Kenapa Mas?,”


“Mungkin jodoh kau memang dengan Wan. Mungkin nasib Abang Razif aku yang tetap akan malang…,”


“Maksud kau…,”


Mas berpaling muka. Dia pula disapa hiba. Temannya itu sedang sembunyi tangis.


“Abang Razif kau di mana?,”


“Pasti di samping teman baiknya. Wan hantar rombongan meminang bila abang aku beritahu kau masih belum berkahwin,”


Segera dia bingkas dari duduknya. Jantung sudah terasa bagai mahu jatuh ke lantai. Ini bukan calang-calang berita. Ini bukan sesuatu yang dia jangka. Suara-suara tetamu di luar sedikit riuh. Membuat hatinya semakin menjadi tidak tentu hala. Ada rombongan meminang untuknya. Dan, rombongan itu daripada Wan? Tidak mungkin. Pintu bilik terkuak. Dia pula terduduk lesu.


“Dhuha… setuju ke kalau mak terima pinangan ni?,”






****






“Sampai bila mahu terus direnung pada titis hujan itu?,”


Dia berpaling. Tersenyum sedikit kemudian berpaling semula mengadap titis hujan yang jatuh ke bumi.


“Dhuha melihat hujan di langit. Mengharap kering debu bakal basah dengan titisnya. Tapi, Dhuha lupa ada danau tenang di sebelah kontang tanah itu yang sentiasa memberi sejuk di dasar walau permukaannya nampak berdebu,”


“Ada watak baru ya,”


Dia mengukir senyum lagi. Kali ini lebih lebar. Lebih ikhlas.


“Watak lama sebenarnya. Watak yang Dhuha tidak pernah sedar. Tidak pernah sedar rupa-rupanya danau itulah yang banyak memberi kekuatan pada Dhuha. Bukan titis hujan yang nampak indah berkilau di atas sana, namun, percikannya menyakitkan bila menghempas bumi,”


“Kenapa tidak dia?,”


Satu keluhan dihadiahkan pada satu soalan itu. Dia berpaling mencari bibir yang mengajukan soalan.


“Terlalu menyakitkan bang. Tidak mungkin Dhuha akan terima orang yang buang Dhuha berbelas tahun lamanya tanpa sebarang alasan. Dan, atas alasan cinta konon, dia datang semula untuk kutip sisa hidup yang telah dia sia-siakan.,”


“Juga Dhuha tak pernah terima abang selama dia menyeksa Dhuha dengan cinta agungnya itu,”


Kata-kata itu mengunci bibirnya. Memandang wajah Razif yang tenang merenungnya.


“Abang yang hidupkan Dhuha semula. Kalau abang masih sudi terima Dhuha, hanya abang yang layak untuk Dhuha. Kalau abang pun sudah penat mahu menunggu Dhuha, Dhuha sanggup sendirian sampai ke hujung nyawa,”


“Danau ini tetap setia di sisi. Tidak akan pernah ke mana-mana,”sedikit senyum menemani bicara itu. Dia tersenyum. Melihat hujan yang mengiringi rombongan meminang yang telah dia tolak.






****

TAMAT....

Wednesday, July 21, 2010

Sekadar Di hati...13

“Mungkin ini cuma threatened abortion…,”



“Maksud doktor?,”


“Alhamdulillah isteri Encik Luqman tak apa-apa,”


“Tapi, kenapa ada bleeding, doktor?,”


“Sebenarnya, tiga bulan pertama kehamilan merupakan waktu yang sangat penting. Ketika ini proses pembentukan jasad berlaku. Janin masih belum kuat berada dalam kandungan. Kena lebih berjaga-jaga. Lebih berhati-hati,”


“Perkara ni boleh berulang ke, doktor?,”


“Sebenarnya begini…Banyak factor yang mungkin boleh menyebabkan pendarahan. Mungkin disebabkan ectopic pregnancy atau memang berlaku keguguran. Tapi, keadaan kandungan isteri Encik Luqman tiada masalah. Semuanya baik. Jadi saya andaikan mungkin hal ini disebabkan factor sampingan yang lain,”


“Maksud doktor?,”


“Ya. Mungkin stress. Tekanan emosi juga boleh jadi satu faktor. Baik tekanan secara fizikal atau mental,”


“Situasinya bagaimana doktor? Is she alright?,”


“Tak perlu risau. Pastikan dia cukup rehat. Tenangkan fikiran. And, sementara usia kandungan masih terlalu baru and ambil kira juga condition your wife macam ni, ada baiknya elakkan dulu hubungan intim,”


“Syukur. Yang penting dia dan kandungan okay…,”


“Jangan terlalu risau. First baby ya? InsyaALLAH semuanya akan selamat. Just take care of your wife. Kadang-kadang perempuan mengandung ni, emosinya sukar dikawal. Kalau isteri gagal kawal emosi, suami boleh bantu…Dan, isteri Encik Luqman akan kami tahan. Tekanan darah dia agak tinggi. Kami nak buat pemeriksaan lebih lanjut,”


Luqman menarik nafas dalam. Bicaranya dengan doktor yang merawat Najwa masih terngiang-ngiang di telinga. Syukur tiada yang perlu dirisaukan selain daripada emosi Najwa yang dia akui memang parah. Wajah gadis itu yang lena, direnung dalam diam. Nasihat doktor, biarlah Najwa ditahan di ward seketika untuk pemantauan. Dia akur. Memang itu juga yang dia mahu. Mahu pastikan Najwa benar-benar tidak berdepan dengan sebarang risiko. Wajah lena yang tiba-tiba berkerut itu direnung lagi. Pasti Najwa diasak mimpi yang kurang menyenangkan. Perlahan jemari gadis itu digenggam.


Jeritan kecil sekaligus membangkitkan Najwa dari lena. Wajah itu nampak resah. Nampak tidak tentu arah.


“Aja… ,”


Najwa berpaling. Dadanya berombak kencang mengawal debar yang menggila.


“Aja mimpi?,”lembut Luqman bertanya. Najwa mengangguk lemah.


“Aja mimpi apa?,”


“Baby macam mana bang…?,”meluncur soalan itu tanpa menghiraukan lagi soalan Luqman. Tanpa sedar, jemarinya mengusap perut sendiri. Dia tidak pernah inginkan zuriat itu, tetapi, saat ini hatinya diserbu bimbang. Bimbang dia akan kehilangan nyawa kecil di dalam rahimnya.


“Baby selamat. Tak payah risau. Doktor cakap tak perlu risau. Aja cuma kena banyak rehat. Dan, jangan fikir yang bukan-bukan. Dan, yang paling penting, jangan skip pengambilan vitamin tu…,”


“Aja tahu,”


Luqman tersenyum kecil.


“Tapi, abang tengok dah dua hari tablet tak berusik,”


Najwa mengangkat muka. Merenung wajah tenang suaminya itu.


“Abang tengok?,”


“Abang kiralah Aja. Abang selalu monitor. Abang tahu dah dua hari Aja tak ambil vitamin tu kan?,”


Najwa kelu seketika. Sampai begitu sekali prihatin yang Luqman tunjukkan padanya? Benar-benar terasa dirinya dimanjai.


“Kalau ambil, lagi Aja rasa nak muntah. Sebab tu Aja tak ambil,”


“Tak boleh macam ni. Aja kena ada rasa tanggungjawab. Semua ni, untuk kebaikan Aja. Kebaikan baby juga,”


Mendengar nasihat itu, Najwa mengangguk perlahan. Menyimpan sedikit rasa loya yang baru menjengah sebaik dia teringatkan bau pil-pil vitamin yang perlu diambil.


“Kenapa Aja kat sini? Aja tak apa-apa kan? Jomlah kita balik,”cuba menghilangkan ingatannya pada bau ubat yang mampu membuat perutnya bergelora itu, dia ajukan soalan yang agak jauh dari topik perbualan mereka. Matanya liar memerhati sekitar bilik yang kemas. Cuma dia dan Luqman yang berada di situ. Pasti mahal kos yang perlu lelaki itu bayar untuk menempatkan dia di ruang VIP ini.


“Malam ni, Aja tidur di sini dulu. Doktor nak check tekanan darah Aja. Mereka cakap tekanan darah Aja tinggi,”


Najwa diam. Kemudian sekali lagi mecari wajah Luqman.


“Abang baliklah dulu. Esok abang kerja kan?,”


“Abang temankan Aja di sini,”


“Esok kan abang ada kelas. Aja tak apa-apa. Abang tak payah risaulah. Lagipun, kat sini kan ada nurse,”


Luqman tersenyum. Perlahan mencapai jemari Najwa. Mengelus perlahan jemari itu.


“Abang suami Aja. Jangan terus anggap abang sebagai seorang lelaki yang hadir semata-mata nak selamatkan Aja dari aib. Anggap abang sebagai suami. Dan, seorang suami patut berada di sisi isterinya juga. Kan?,”


“Tapi, menyusahkan abang aje…isteri pun tak patut susahkan suami kan?,”


Luqman tersenyum kecil. Terlalu kebudak-budakan tingkah Najwa di matanya.


“Esok abang tak ada kelas pagi. Jadi, Aja tak perlu risau,”


“Ikut suka abanglah,”


“Macam tulah isteri abang,”


Najwa cuma mengukir senyum kecil mendengar kata-kata itu.


“Aja…,”


“Ya, bang,”


“Aja selalu mimpi buruk ke?,”Luqman utarakan soalan sambil memandang wajah di hadapannya. Cuba mencari punca keresahan Najwa. Punca emosi gadis itu menjadi tidak stabil. Melihat anggukan Najwa, dia mengeluh kecil.


“Kenapa tak beritahu abang?,”sedikit kesal soalan itu terluah dari bibirnya. Najwa ingin memiliki bilik sendiri, dia akur. Lagi pula dia maklum akan situasi dia dan Najwa. Tetapi, apabila gadis itu cuba berselindung tentang perkara sepenting itu, hatinya diasak sesal.


“Nampaknya abang kena tidur satu bilik dengan Aja ni…,”luah Luqman sedikit tegas.


Dahi Najwa sudah berkerut seribu.


“Mana boleh,”


“Dah tu, Aja nak berahsia dengan abang…,”


“Mimpi aje kan. Takkan itu pun Aja nak kena report kat abang. Teruklah abang ni. Macam cikgu disiplin pulak,”


Luqman tergelak kecil.


“Abang tahu Aja tak nak cerita semua yang Aja rasa pada abang. Tak boleh macam tu. Aja nampak kan kesannya macam mana, kan? Aja tak boleh stress. Abang faham kalau semua ni buat Aja trauma. Abang faham kalau Aja perlukan sokongan. Abang selalu ada di sisi Aja. Lepas ni Aja jangan pendam semuanya sendirian lagi. Kita hadapi semuanya sama-sama. Abang tak nak Aja sembunyikan perasaan Aja yang sebenar. Berlagak seoalah-olah Aja ok, tapi sebenarnya Aja tak ok. Tengoklah apa yang jadi sekarang. Abang tak nak berulang lagi macam ni. Aja faham maksud abang?,”


Mendengar lembut bebelan Luqman, Najwa terus membeku. Memang semua yang Luqman katakan itu, tiada satu pun yang tidak benar. Memang jiwanya tertekan. Memang malamnya sering dihantui mimpi-mimpi yang tidak pernah menyenangkan. Teringatkan kesilapannya yang bukan kecil. Teringatkan perbuatan kejam Zarith. Teringatkan kehadiran seorang bayi yang tidak pernah dia impikan. Semua itu cukup untuk membuat dadanya sarat dengan perasaan yang tidak mampu dia rungkai. Kemelut perasaan yang sering menghadirkan cebisan-cebisan mimpi yang tidak pernah membuat tidur malamnya menjadi indah. Yang sering membuat dia terjaga pada dinihari yang sunyi dan kemudian dia lena semula dengan juraian air mata. Mengingatkan semua itu, bibirnya matanya memberat perlahan-lahan. Dia tahu dia ada Luqman. Tetapi, hatinya sering meminta dia membataskan beban untuk terus dipikul Luqman. Luqman tidak perlu bersusah – payah sebegitu rupa hanya untuk dirinya yang sudah tidak berguna.


“Abang membebel ke ni?,”bersama senyum panjang, dia putuskan untuk cuba menghilangkan kerut risau di wajah Luqman. Air mata yang bergenang, dibiarkan menitis ke pipi. Tidak perlu diacuhkan pada air mata itu. Luqman tersenyum. Spontan jemarinya melekat ke pipi Najwa. Menyeka perlahan air mata yang jatuh tanpa dipinta.


“Hati sedih pun, masih nak menyakat abang, ya?,”


“Kalau macam ni abang membebel, hari-hari membebel pun, Aja sanggup dengar,”


Luqman tergelak.


“The point is, semua yang Aja rasa, Aja mesti kongsi dengan abang, kalau tak nak abang yang kongsi bilik dengan Aja. Depan abang, Aja boleh berlakon. Tapi, dalam bilik, Aja seksa diri Aja sendiri. Abang tak mahu lagi macam tu,”


“InsyaALLAH, bang. Aja cuma takut perkara remeh macam tu, menyusahkan abang,”


“Tak ada perkara yang remeh. Okay? Semuanya penting pada abang,”


Najwa tersenyum. Merenung wajah itu untuk ke sekian kalinya. Sungguh sejuk jiwanya berdepan dengan Luqman. Hilang segala lara di hatinya mendengar bicara Luqman.


“Baiknya abang…,”


“Jadi Aja pun kena baik dengan abang. Kena dengar bebelan abang,”


Najwa mengangguk perlahan.


“Sekarang, pejam mata. Tidur,”


Najwa tersenyum lagi. Cuma akur apabila Luqman membetulkan bantalnya. Manarik selimut menutup tubuhnya. Satu kucupan hangat di dahi bersama usapan di rambutnya, membuat dia terpejam dalam senyum.






*****

Monday, July 19, 2010

Kuseru Rindu Itu... 25

“Kau tak faham, Mieza,”



Hasmieza mencemik sambil mengangkat bahu. Memang dia tidak faham. Dan, barangkali tidak akan faham. Tidak akan faham situasi yang menghalalkan seorang lelaki berlaku curang. Baginya curang tetap curang. Tidak ada curang yang dibenarkan. Tidak ada curang yang dikecualikan.


“Aku tahu apa yang kau fikir,”Borhan bersuara bersama senyum yang menguntum dengan tidak begitu sempurna. Bukan senang menagih simpati pada seorang wanita. Lebih-lebih lagi silapnya berkait rapat dengan perasaan.


Hasmieza turut tersenyum kecil. Dia tidak menjawab. Matanya tertumpu pada bunyi riuh kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan itu.


“Aku sayang sangat pada Ayu. Cinta aku pada dia, bukan main-main,”


Hasmieza diam lagi.


“Pertama kali aku pandang dia, aku cuma mahu dia. Aku tak nampak orang lain lagi,”


Mendengar sambungan luahan itu, Hasmieza mengerling.


“Kau percaya?,”


“Tengah cuba nak percaya lah ni,”


Borhan tergelak hambar.


“Kau marah aku, sebab aku pernah curang… sebab aku curang pada Ayu?,”


Hasmieza menoleh. Memandang wajah Borhan agak lama.


“Kau nak tahu?,”


Borhan diam.


“Aku marah kau sebab kau curang pada Ayu. Sebab kau tipu Ayu. Aku marah kau sebab cara kau buang Ayu. Kau berlagak macam orang yang langsung tak ada salah pada Ayu. Then kau suggest Ayu terima tunang dia masa tu. Itu yang buat aku marah. Kau tahu tak macam mana teruknya luka yang kau tinggalkan untuk Ayu?,”


“Tak pernah terfikir pun kat kepala aku ni, one day aku akan tinggalkan Ayu. Lebih dari tu, langsung tak terlintas aku nak lukakan hati Ayu. Aku sayangkan dia. Aku cintakan dia…,”


“Tapi, kau buat juga kan?,”tempelak Hasmieza sedikit geram. Mengingatkan perbuatan Borhan, tidak pernah dapat menyejukkan hatinya. Walau jauh di sudut hatinya ada rasa belas pada temannya itu, rasa geram atas perbuatan Borhan tidak pernah hilang.


“Janganlah sinis sangat Mieza,”


“Sorry. Bila fikir hal Ayu, aku cepat emosional,”


Borhan tersenyum kecil.


“Aku tahu. Sebab kau sayangkan dia. Tapi, Mieza… kuasa tuhan, siapa kita untuk menghalangnya?,”


“Well…kau dah guna hujah yang aku tak boleh sangkal. Apa lagi yang aku boleh cakap?,”


“Mieza…,”


Hasmieza mengeluh.


“Sorry lah. Bukan aku nak bersikap sinis. Tapi, aku memang tak boleh terima apa yang kau cakap tu. Lagipun, benda ni dah lama berlalu. Kenapa tiba-tiba kau cerita semua ni pada aku,”


“Entah. Untuk menagih simpati mungkin,”cukup bersahaja jawapan yang meluncur dari bibir Borhan. Hasmieza tergelak.


“Aku ni perempuan. Kau tak terfikir ke, aku mesti sebelahkan Idayu?,”


Borhan mengeluh perlahan. Menongkat siku ke peha. Renungannya tajam ke hadapan. Seolah sedang menelusuri jalan hidup yang sudah lama dia tinggalkan.


“Semua ini… penjelasan yang tak kesampaian aku rasa. Aku ingin berterus-terang dengan Ayu dulu. Tapi, tak sempat. Dia langsung tak beri peluang pada aku,”


“Kalau aku pun, aku akan lakukan perkara yang sama. Beri peluang untuk kau beri penjelasan sama seperti dia beri peluang untuk kau terus lukakan hati dia. Tindakan kau dulu memang melampau, Han,”


“Aku tahu. Aku sedar. Aku tahu semuanya salah aku. Aku tak sepatutnya mengambil kesempatan atas keadaan Ayu masa tu. Aku ambil jalan mudah. Tapi, aku buat macam tu, sebab aku tak nak lukakan perasaan Ayu. Aku tahu Ayu tertekan dengan keputusan abah dia. Aku juga tahu, abah Ayu bukan mudah nak ubah keputusan yang dah dia buat. Jadi, aku tak nak Ayu akan lebih tertekan. Sebab tu aku nak undur diri. Sebab tu aku tak nak ceritakan pasal aku. Aku tak nak Ayu lagi sedih. Tapi, tak sangka rupa-rupanya Ayu dah tahu segala-galanya. Aku cuba berterus-terang. Tapi, dah terlambat,”


“Aku tetap tak faham. Tak faham kenapa kau perlu curang?,”


“Aku tak cakap aku langsung tak salah Mieza. Aku tahu aku salah. Memang salah aku. Salah aku kerana aku terlalu rindukan Ayu. Aku rindu saat kami bersama. Aku rindu tawanya. Rajuknya. Manjanya. Aku rindu everything about her. Masa tu lah aku jumpa Hanita. Rindu aku terubat bila aku bersama Hanita. Sikap dan perangai Hanita saling tak tumpah macam Ayu. Bersama Hanita, aku rasa seperti Ayu ada bersama aku. Kami mula berkawan. Mesra. Dan saling jatuh cinta. Sumpah, semuanya tanpa dirancang,”


Hasmieza mendengar tanpa bicara.


“Say something. Jangan diam macam ni,”pinta Borhan melihat kebisuan itu. Hasmieza berdehem perlahan. Apa yang mampu dia ucapkan? Perlahan dia memandang wajah temannya itu.


“Hanya kerana perangainya sama dengan perangai Ayu, kau jatuh hati pada dia?,”


Borhan mengangguk. Hasmieza pula menggeleng perlahan. Sukar menebak perasaan Borhan yang sebenar. Baginya hati Borhan terlalu cepat berubah.


“Dia mengubat rindu aku pada Ayu,”Borhan bersuara seoalah –olah faham apa yang sedang berlegar di kepalanya. Hasmieza tersenyum kecil.


“Tapi, ini cerita lama. Kenapa perlu diungkit lagi? Hanita pun dah tak ada…,”Hasmieza bersuara tanpa mengacuhkan luahan perasaan Borhan.


“Memang ini cerita lama. Cerita yang tiada seorang pun tahu. Hanya aku. Hanya aku yang tahu. Ayu cuma tahu aku curang. Kau pula, turut sama tuduh aku curang. Tapi, tak ada sesiapa yang tahu kenapa aku buat macam tu. Kau dan Ayu bencikan aku tanpa pertimbangkan sedikit pun perasaan aku. Cuba kau letak diri kau di tempat aku. Aku pasti kau pun akan lakukan benda yang sama,”


Hasmieza sekadar menjongket bahu tanpa sebarang komen. Borhan tunduk seketika sebelum mengangkat muka menatap wajah temannya yang sedikit selamba itu.


“Aku rasa ada sesuatu yang terbuku di hati aku, selagi aku tak kongsi kisah silam aku ni. Aku nak kau tahu yang aku tidak sekejam yang kau sangkakan. Aku juga nak Ayu tahu ..aku tak sekejam tu,”


Hasmieza mengeluh panjang. Sukarnya kemelut yang melandanya kini. Wajah Borhan direnung lama.


“Kau sengaja nak buat aku rasa serba-salah. Kan?,”tekanya dengan nada sedikit geram.


Borhan tersenyum tawar.


“Baguslah. Kalau ada rasa serba salah di hati kau, maknanya adalah peluang untuk kau pertimbangkan permintaan aku,”


Mendengar kata-kata itu, Hasmieza cuma mampu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sukarnya berada di tengah-tengah medan perang perasaaan dua temannya itu.


“Han… aku nak kau tahu. Ayu sekarang dengan Ayu tujuh tahun lau, bezanya macam langit dengan bumi. Semua yang kau suka tentang Ayu, dah tak ada. Dia bukan lagi Idayu yang manja. Idayu yang childish… Idayu yang suka merajuk. Dia dah jadi seorang wanita yang cekal hatinya. Yang cuba belajar menerima segalanya dengan tabah. Kenapa? Kerana cinta, Han. Dia terlalu mencintai suaminya. Hisyam adalah segala-gala baginya. Aku tak rasa kau boleh ambil tempat Hisyam di hati Idayu. Kau kena terima hakikat, Ayu dah lupakan kau. Cinta Ayu kini cuma untuk suaminya. Jangan seksa diri kau macam ni,”


“Aku tetap akan cuba,”tegas Borhan perlahan.


“Han..Han…Aku tak fahamlah kau ni,”rungut Hasmieza sambil menggosok belakang tengkuknya. Melayan Borhan bagai memberi satu tekanan padanya. Mahu diacuhkan begitu sahaja, Borhan tetap temannya. Mahu dilayan, permintaan Borhan melanggar lunas manusia.


“Kau tak lalui apa yang telah aku lalui, Mieza. Kalau kau lalui semua tu, pasti kau faham kenapa aku senekad ini,”


“Kau tutup hati kau, Han. Sebab tu kau jadi macam ni. Berilah peluang pada diri kau. Cuba berkawan dengan somebody. Mana tahu kau boleh jatuh cinta lagi. Aku tak sampai hati tengok kau terus macam ni. Yalah, mungkin kau ada buat silap. Tapi, kau tetap kawan aku. Aku tak nak tengok kawan aku musnahkan masa depan macam ni,”


“Kalau kau kawan aku, tolonglah aku,”


“Please Han. Jangan mulakan lagi. Aku cuma nak kau pertimbangkan apa yang aku cakap tu,”


“No! No! No, Mieza,”Borhan bersuara sedikit membentak. Membuat Hasmieza terperanjat. Segera matanya berlari memandang sekeliling. Bimbang kalau ada telinga yang mendengar jeritan Borhan. Rasa malu menyerbu apabila dia dibentak sebegitu. Menyedari reaksi Hasmieza, Borhan meraup perlahan wajahnya.


“Sorry Mieza. Aku tak bermaksud nak tengking kau,”


“Aku tahu kau emosi. Tapi, jangan buat macam tu lagi. Nasib baik tak ada orang perasan,”


“Kau pun, jangan bagi aku cadangan mengarut tu lagi. Dalam hati aku cuma ada Ayu saja,”


“Kalau Ayu tak terima kau macam mana?,”


“Ayu pernah cintakan aku. Dan, mungkin Ayu akan suka sekali lagi pada aku. Aku yakin,”


“Kau ni… gila. Tahu tak?,”


Borhan tergelak kecil.


“Aku cuma nak Ayu saja hidup dengan aku. Aku tak nak perempuan lain,”


“Aku tetap berdoa kau akan jumpa pengganti Ayu,”


Borhan mengerling.


“Baru sekejap aku warning, jangan cakap benda mengarut tu. Kau nak kena tengking dengan aku lagi ke?,”


Hasmieza tersengih.


“No. Aku tak suruh kau cari pengganti Ayu. Kan? Aku cakap aku akan doakan kau. Kau tak boleh marah aku berdoa,”


Borhan tergelak dalam geram.


“So, Ayu sekarang macam mana? Maksud aku, dia dengan suami dia. macam mana?,”


“Sorry. Apa yang Ayu cerita pada aku, itu rahsia kami,”


Borhan mengeluh kecil.


“Tak apa. Aku tak akan berputus – asa. InsyaALLAH aku akan dapat cara untuk mendekati Ayu,”


“Tak baik menyimpan perasaan pada isteri orang, Han. Aku tetap tak setuju dengan tindakan kau ni. Serius aku cakap. Dengarlah nasihat aku. Jangan terlalu ikutkan perasaan,”


“Cuma Ayu yang mampu membuat aku hidup semula. Jadi aku cuma nampak Ayu untuk jadi harapan aku,”


“Degil!,”


Borhan sekadar tersenyum hambar.


“Assalamualaikum,”


Hasmieza segera menoleh sebaik mendengar sapaan itu. Dia tersenyum lebar.


“Waalaikumussalam…,”


Hakimi tersenyum,


“Shall we?,”dia bersuara lagi seraya memandang wajah Hasmieza dan Borhan.


“Yup,”laju Hasmieza menjawab sambil segera mengangkat punggung.


“Hal abang dah selesai?,”


Hakimi mengangguk.


“Kita nak balik terus ke?,”


“Makan dululah. Abang lapar,”


“Okay. So, Han, nak join kami?,”pelawa Hasmieza sambil memandang ke arah Borhan. Borhan tersenyum kecil.


“No. thanks. Bertiga macam sesak. Kan?,selorohnya bersama senyum yang lebij lebar.


“Banyaklah kau punya sesak…,”


Borhan tergelak kecil.


“Kalau macam tu, kami pergi dulu, Borhan,”Hakimi bersuara sambil mencapai jemari Hasmieza. Borhan mengangguk perlahan.


“Thanks Kimi sebab benarkan Mieza jumpa aku,”ucap Borhan ikhlas.


Hakimi sekadar tersenyum kecil. Perlahan dia dan Hasmieza melangkah meninggalkan Borhan yang masih tersandar di pangkin.


“Apa yang Borhan nak?,”soalan itu meniti di bibirnya setelah agak jauh meninggalkan teman isterinya itu.


“Biasalah. Tapi, tadi dia banyak bercerita kisah lama. Mieza harap sangat dia tak kecewakan perasaan dia sendiri,”


“Mieza setuju ke nak tolong dia?,”


Hasmieza menggeleng.


“Mieza tak sampai hati nak belot pada Ayu. Lagipun, semua ni nanti, cuma akan tambah masalah Ayu saja. Mieza tak sanggup nak tengok masalah Ayu bertimpa-timpa,”


“Baguslah kalau Mieza fikir macam tu. Abang pun tak berapa setuju Mieza tolong Borhan. Yalah. Idayu kan isteri orang. Walaupun dia ada masalah, dia tetap isteri orang. Lainlah kalau dia dah Hisyam sudah tak ada apa-apa ikatan,”


Hasmieza tersenyum mendengar kata-kata Hakimi. Dia setuju dengan pendapat suaminya itu.


“Sekarang ni, apa yang Mieza mampu buat, cuma nasihatkan dia jangan terlalu obsess dengan Ayu. Dia terlalu mengharap. Mieza takut dia kecewa,”


“Dia kawan Mieza. Abang tak mahu halang. Cuma, jangan sampai nanti dia obsess dengan Mieza pula. Ingat tu,”


Hasmieza tergelak kecil.


“Abang ni. Ke situ pula,”


Hakimi tersenyum.


“Oh ya. Jadi ke abang nak balik rumah mak minggu depan?,”


“Jadi. Kenapa?,”


“Ayu call tadi. Kebetulan dia ada buat jamuan sikit minggu depan. Majlis hari lahir anak dia. Kebetulan kita ke sana, nanti boleh kita pergi ya bang?,”


Hakimi sekadar mengangguk sambil mengeluarkan kunci kereta dari poket seluar.










****

P/S - N3 untuk judul ini tidak akan dikeluarkan secara kerap, kerana InsyaALLAH judul ini akan dibukukan.

Wednesday, July 14, 2010

Sekadar Di hati...12

Luqman mematikan langkah perlahan-lahan. Pandangan terus melekat pada satu wajah murung di sisi ibunya. Untuk seketika hatinya disapa rasa bersalah. Dengan hati sedikit berbelah - bagi, langkah terus dihayun. Semakin mendekat dan semakin serba-salah. Dia tidak mengandaikan kebetulan ini. Dia tidak bersedia rupa-rupanya untuk berdepan dengan situasi itu.



“Assalamualaikum,”akhirnya, perlahan sapaan diberi. Dua wajah yang sedikit membelakanginya tiba-tiba serentak menoleh. Merenung wajahnya dengan riak seribu kecewa. Dia maklum itu. Maklum akan kecewa ibunya. Juga maklum akan kecewa gadis bersama ibunya itu. Salamnya berjawab lemah.


“Kamu dari mana ni?,”


“Dari kelas. Saja singgah kejap. Nak jenguk mama…,”


Ibunya berpaling muka. Saat tangan dihulur, ibunya mencapai tanpa menatap wajahnya.


“Tak payah. Mama sihat. Tak payah jenguk pun tak apa…,”


Luqman mengukir senyum. Cuba membiasakan diri dengan rajuk ibunya itu. Harapannya cuma satu. Moga rajuk itu tidak lama. Seketika memandang wajah ibunya yang mencuka, matanya terarah pula pada wajah sayu yang merenungnya. Wajah yang telah dia kecewakan hatinya.


“Aween sihat?,”


“Tubuh sihat. Hati tak sihat…,”


Nada rajuk juga ditemui di situ. Membuat dia semakin disapa rasa bersalah. Wajah membeku itu cuma mampu dipandang. Tiada alasan menggunung untuk dia ubatkan hati Darween saat ini. Tindakannya memang salah. Dia tidak pernah nafikan itu. Dan, dia tidak kejam untuk menagih sekelumit faham dari Darween. Dia tahu hati Darween sakit. Kalaupun ada marah, Darween berhak untuk memiliki rasa itu.


“Memang elok pun kamu datang. Jelaskan sendiri pada Aween ni. Mama nak masuk,” dingin suara ibunya dengan nada separuh mengarah. Laju sahaja wanita itu mengangkat punggung. Sebelum sempat dia bersuara, ibunya telah melangkah meninggalkannya bersama Darween. Membuat dia kaget seketika. Buntu mencari kata-kata buat memecah suasana yang tiba-tiba membeku.


“Selamat pengantin baru…,”


Hatinya tersapu hiba mendengar ucapan Darween yang jelas penuh kesedihan. Perlahan dia menarik nafas. Perlahan juga menarik kerusi. Mengambil tempat di hadapan wajah mendung itu. Hati itu perlu dipujuk. Bagaimana? Dia sendiri tidak pasti.


“Bila Aween balik Malaysia?,”dia mula membuka bicara.


“Dah seminggu,”


“Aween ok?,”


Darween mengangkat muka. Menatap wajah Luqman dalam-dalam. Soalan yang sedikit membangkitkan amarahnya. Tega lelaki itu mengeluarkan soalan sebegitu.


“Abang nak Aween cakap, Aween ok? Ya, bang, Aween ok. Tersangat ok. Tersangat ok, bila semua barang persiapan pertunangan Aween yang Aween dah beli kat sana, terpaksa Aween campak dalam tong sampah. Tersangat ok bila senarai panjang jemputan tamu ke majlis pertunangan Aween, terpaksa Aween koyak. Tersangat ok, bila hari abang bernikah di sini, Aween menangis sendirian di sana. Aween tersangat ok, bang,”


Luqman tenang menatap wajah marah Darween. Itu luahan rasa yang terpendam di hati gadis itu.


“Abang tahu keputusan yang abang buat ni, tak adil bagi Aween. Abang tak akan bagi apa-apa alasan pada Aween. Abang tak layak untuk minta maaf pun, pada Aween. Cuma satu yang abang nak Aween tahu. Abang kesal sebab terpaksa lukakan perasaan Aween. Abang yakin, walau segunung pun ucapan maaf abang, luka di hati Aween tak akan hilang. Tapi, abang bersyukur kalau Aween boleh cuba untuk faham dan terima keputusan abang ni,”


Darween menunduk. Kata-kata Luqman dibiarkan cerna di gegendang telinga tanpa sebarang reaksi. Diam sambil membenarkan akalnya terus berserabut dengan pelbagai perasaan. Dia malas bersuara. Dia tidak mahu bersuara. Rasa marah dan geram dikecewakan masih kuat melekat. Rasa sedih ditinggalkan juga seakan tidak mahu pergi dari hatinya.


“Tak sangka. Abang sanggup tunggu sampai empat tahun. Dan, bila kita sudah boleh bersama, abang tinggalkan Aween macam tu saja,”


“Kita cuma merancang…,”


“Sudahlah bang. Penat Aween dengar ayat tu. Dari dulu pun, itu juga yang abang ulang. Mungkin sejak dari dulu, komitmen abang pada hubungan kita memang tak pernah ada. Dulu, sebelum Aween ke sana pun, abang cakap benda yang sama. Kita cuma merancang, yang tentukan segalanya Tuhan. Itu cuma satu alasan paling kuat untuk keluar dari masalah macam ni, kan?,”


Luqman mengeluh perlahan. Darween mula mengungkit. Juga mula membuat andaian sendiri. Andaian yang tidak pernah terlintas di fikirannya.


“Aween pun tahu abang tak suka nak menabur janji. Abang tak suka beri harapan menggunung pada perkara yang masih jauh,”


Darween berpaling muka.


“Supaya abang bebas buat keputusan mengejut macam ni?,”sinis soalan yang meniti di bibir Darween.


“Aween…,”Luqman bersuara lembut. Membuat Darween menoleh padanya perlahan-lahan. Sedikit sukar untuk dia mencipta sebabak pertengkaran dengan lelaki setenang Luqman. Marahnya cuma disambut dengan panggilan selembut itu. Wajah Luqman direnung lama. Ada rindu terdetik di hati pada wajah itu. Ada marah mencela jiwa bila terpandang tenang wajah itu. Ada rasa tidak terluah yang membuat dia terseksa setiap kali teringatkan lelaki di hadapannya ini, kini bukan lagi miliknya. Lelaki ini sudah menjadi milik gadis lain.


“Maksu dah cakap tadi…,”akhirnya bicaranya melemah.


Luqman sedikit terperangah. Menentang renungan Darween. Hatinya tiba-tiba sedikit kacau. Tiba-tiba digaru resah. Apa yang telah diceritakan ibunya?


“Apa mama cakap?,”


“Aween tahu kenapa abang nikah…,”


“Maksud Aween?,”


“That girl! Budak perempuan tu mengandung kan?,”


Luqman terdiam. Kalau boleh dia tidak mahu semua kisah ini sampai ke telinga sesiapa lagi. Tetapi, ibunya tega menjaja aib yang dicipta oleh anak sendiri.


“Tapi, yang Aween tak faham, kenapa abang yang perlu tanggung semua tu? Kenapa abang nak jadi pak sanggup sampai menikah dengan budak tu? Berapa ramai budak perempuan yang mengandung tak ada ayah, abang nak ambil jadi isteri?,”


“Aween…,”


“Abang tak cintakan budak tu, kan?,”


“Aween tak boleh tanya abang macam tu,”


“Kenapa? Aween faham kalau abang cuma nak tolong budak tu. Lepas semuanya selesai. Lepas budak tu bersalin, abang kembali pada Aween. Aween tunggu abang…,”


“Apa lagi mama cakap dengan Aween?,”Luqman bersuara dengan nada sedikit mendatar. Dia mahu tahu apa lagi yang diceritakan ibunya tentang Najwa.


“Itu saja,”


“Mama tak cakap, siapa bapa kepada anak tu?,”


Renungan Darween kini menikam tajam wajahnya.


“Kenapa? Abang tahu ke siapa bapa budak tu? Kalau abang tahu, kenapa abang masih nak ambil tanggungjawab tu? Kenapa abang bodoh sangat?,”sedikit tinggi suara Darween melepaskan amarah. Dan, kemarahan itu memberitahunya yang tidak sepenuhnya cerita tentang Najwa keluar dari bibir ibunya. Darween tidak tahu penyebab kepada masalah itu adalah adiknyanya sendiri.


“Aween tak fahamlah. Kenapalah abang ni bodoh sangat? Agaknya betul maksu cakap, budak tu dah guna-gunakan abang,”


Luqman tersenyum kecil.


“Takkan doktor macam Aween, pun percaya benda-benda macam tu?,”


Darween menjeling. Lebih tajam dari sebelumnya.


“Aween cakap pasal abang. Bukan pasal Aween. Kenapa abang terima budak perempuan tu? Kenapa abang sanggup ketepikan Aween semata-mata budak yang mengandung tanpa nikah tu?,”


“Aween, kalau soalan itu, abang sendiri dah banyak kali bertanya pada diri abang sendiri. Cuma satu jawapan yang abang ada. Ini yang ditetapkan untuk abang. Jadi abang terima,”


“Jadi, Aween pula dah ditetapkan untuk dikecewakan? Begitu?,”


“Aween, pasti ada hikmah di sebalik semuanya ni,”


Darween mencemik.


“Aween tak akan maafkan budak tu. Dia dah rampas abang dari Aween,”


“Jangan cakap macam tu, Aween,”


“Abang cuma milik Aween. Abang tak boleh jadi milik dia. Aween tahu abang tak cintakan dia. Aween akan tunggu sampai budak tu bersalin. Dan, abang akan tinggalkan dia. Kan? Abang akan tinggalkan dia untuk bersama Aween…,”


“Darween. Abang tak suka Aween cakap macam tu,”Luqman bersuara sedikit tegas.


Darween membisu. Cuma menatap wajahnya bersama pipi yang tiba-tiba lencun dengan air mata.


“Bagi abang, ikatan perkahwinan bukan perkara yang main-main,”sambung sambil terus memandang wajah Darween. Darween perlu faham bahawa pernikahan dia dan Najwa bukan pernikahan sebabak. Sebaik dia lafazkan akad, perkataan cerai sudah dia padam dari patri ikatan akadnya. Tiada langsung niatnya ke arah itu.


“Aween akan tunggu, bang,”


Luqman menarik nafas perlahan-lahan. Ingin bersuara tetapi, sedikit terganggu dek deringan telefon bimbitnya. Pantas telefon di dalam poket seluar, dikeluarkan.


“Sekejap, Aween,”dia bersuara sambil mengangkat punggung. Tidak mahu berbicara di hadapan Darween. Tidak mahu membuat Darween lebih marah andai gadis itu tahu yang sedang menghubunginya saat ini adalah Najwa.


“Assalamualaikum. Aja?,”dia menjawab panggilan itu dengan jarak sedikit jauh.


“Abang. Maaf kalau Aja ganggu kerja abang. Aja takutlah bang. Ada darah…,”


Suara cemas Najwa turut membawa rasa itu kini membalut dirinya pula.


“Darah apa?,”


“Macam bleeding…,”


“What?!,”


“Apa Aja nak buat ni bang?,”


“Aja tunggu. Abang balik sekarang. Aja jangan banyak bergerak,”


“Okay. Cepat ya bang. Aja takut,”


“Ya. Abang balik sekarang,”panggilan segera dimatikan. Tiba-tiba dia diamuk bimbang. Terukkah pendarahan itu? Bagaimana pula keadaan gadis itu?


“Aween, abang balik dulu ya. Cakap dengan mama abang, nanti abang call dia,”


“Cepatnya. Aween belum habis…,”kata-katanya putus di situ. Luqman sudah menjauh. Langsung tidak menoleh padanya. Membuat dia merengus marah.


“You are too much, Luqman…,”tanpa sedar dia berbisik perlahan. Merenung kereta Luqman yang sudah mula bergerak meninggalkan perkarangan banglo dua tingkat itu. Dia tidak pulang ke Malaysia untuk satu lagi kekecewaan yang lebih mengguris hatinya.






*****

Friday, July 2, 2010

ITU HAK AKU...2

Buku di tangan terus dibelek. Terus dibaca. Mencuba untuk fokus. Namun, tetap konsentrasinya terganggu dek satu perasaan aneh yang mula menyelubungi diri. Tidak tahu apakah puncanya, entah kenapa dia terasa dia sedang berkongsi bilik dengan dengan seseorang. Walau yakin dia sendirian di sini, bagai ada mata yang sedang menyorotinya. Bagai ada renungan yang menjaga tiap tingkahnya. Mainan perasaan? Dia yakin itu. Cuma untuk dia abaikan mainan perasaan itu, rasa debar tidak cukup kuat untuk menjauh. Mungkinkah juga suasana yang mengundang rasa sebegitu? Satu keluhan panjang dilepaskan sambil membetulkan bantal di belakang. Juga menukar silang kaki yang berlunjur santai di katil. Sudah terasa lenguh apabila daripada tadi sepasang kaki itu kaku begitu. Memang niatnya menjamah buku hanya sekadar menjemput kantuk buat menjadi umpan tidurnya. Sudah beberapa malam tidurnya sering terganggu. Ternyata usahanya gagal. Matanya tetap segar. Rasa tidak sedap di hatinya tetap beraja. Memonopoli fikiran. Dan, mulai memanipulasi perasaan.



Sesekali angin yang membawa hujan menyapa lembut dari jendela yang memang dibiarkan terbuka. Membuat perasaanya semakin dicengkam rasa gelisah. Apakah yang sedang membuat perasaannya terganggu sebegini? Dia sendiri buntu mencari jawapan.


“Papa…,”


Dia mengangkat muka. Panggilan dari suara kecil itu membuat dia sedikit tersentak. Barangkali disebabkan dek leka melayan kecelaruan rasa teguran sebegitu pun membangkit rasa terkejut. Sekuntum senyum dilempar pada wajah sedikit muram itu. Memang wajah itu sudah hilang ceria. Mungkin sama seperti cerianya yang juga mula menjauh dari hidup. Lebih terasa apabila bilah-bilah hari yang harus dia lalui kini sudah hilang peneman. Sendirian dalam ketidaksediaan. Dan, dia yakin semua orang tidak akan bersedia untuk kehilangan sebegitu.


“Papa… mama dah balik. Kenapa papa cakap mama dah tak balik lagi? Tu mama dah balik,”


Suara halus yang sedikit sayu itu memaksa dia menutup buku di tangan. Rintihan itu perlahan-lahan menyingkir terus minat untuk dia teruskan pembacaan. Buku sedikit tebal yang berkisar tentang motivasi menjalani kehidupan itu, kini berganti tempat. Buku kesukaan Amira. Tercapai dek tangannya juga mungkin kerana rindunya yang menggunung pada Amira. Sudahnya buku itu tidak lagi di tangannya. Tetapi terletak elok di meja sisi.


Matanya dialih pada wajah kecil yang mulus. Tercegat di hadapannya bersama patung beruang yang sama tinggi dengan ketinggiannya sendiri. Kata-kata yang baru meniti di bibir anak kecil itu membuat dia kelu. Memang dia tidak mampu menjawab. Dia berasa kehilangan. Namun, dia yakin anak kecil itu seribu kali terasa akan kekosongan yang wujud tiba-tiba. Segalanya berlaku sekelip mata. Teramat sukar untuk dia terima apa yang berlaku. Hampir rebah tegak hidupnya menerima berita seburuk itu. Tetapi dia tidak boleh lemah demi anak itu. Dia perlu menjadi kuat. Menjadi kuat demi anaknya.


“Papa…,”


Kecelaruan di minda menjauh perlahan-lahan. Perhatian ditumpukan sepenuhnya ke wajah anak tunggalnya itu.


“Ya sayang,”


“Bukalah pintu…,”


Dia diam lagi. Kali ini dengan dahi yang sedikit berkerut. Cuba menebak apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh mulut kecil ini.


“Kenapa sayang?,”


“Kesian mama kat luar tu. Kan hujan. Nanti mama sejuk. Nanti mama demam,”


Nafasnya seakan terhenti. Dadanya menjadi sebak tiba-tiba. Dia tidak salahkan anak kecil itu. Kerinduan ternyata mampu membawa imaginasi yang pelbagai. Mengganggu tiap lena anaknya itu. Malah dia sendiri sering dihimpit situasi yang sama. Dan, mengenangkan kerinduan itu, bibir matanya memberat. Bagaimana lagi harus dia lakukan untuk membuat anak kecil itu faham dengan apa yang telah berlaku? Bagaimana mampu dia sirami kerinduan itu sedang dirinya sendiri kontang dek perasaan yang sama?


“Kenapa anak papa belum tidur?,”sudahnya tajuk bicara cuba dialih perlahan-lahan.


“Kakak nak tidur dengan mama. Cepatlah papa. Buka pintu. Mama nak masuk…,”


Harith bungkam. Perlahan menarik tubuh kecil itu ke pelukannya. Erat memeluk tubuh itu. Kasihan anak itu.


“Cepatlah papa. Kesian mama. Kesian baby dalam perut mama…,”


Harith pejamkan mata. Merelakan ada titisan yang mula bermain di bibir mata.


“Qina… mama dah pergi jauh sayang. Mama dah tak tinggal dengan kita,”


“Papa bohonglah,”sedikit keras suara Syaqina. Juga sedikit keras anak kecil itu menolak pelukannya. Membuat pelukannya terlerai. Wajah anak itu ada riak marah. Riak yang membuat dia makin tidak berdaya. Membuat jiwanya semakin merintih.


“Sampai hati papa biar mama kat luar. Papa dah tak sayang mama,”


“Qina. Mana ada mama sayang.. Mama dah pergi jauh,”


“Papa bohong. Papa memang nak bagi mama duduk kat luar. Kesian mama,”


“Qina. Tak ada mama…Qina mimpi lagi ya? Mimpi mama lagi?,”


“Qina tak mimpi. Qina nampak mama. Mama pandang Qina. Mesti mama dah merajuk dengan papa. Sebab tu mama tak nak cakap,”


Harith menongkat dagu mendengar petah mulut anak berusia enam tahun itu memberi penjelasan.


“Qina tidur dengan papa ya, malam ni,”sekali lagi topik perbualan dialih.


“Papa ni tak faham ya? Qina suruh papa buka pintu. Mama nak masuk,”


“Mana mama?,”akhirnya dia mengalah pada cerita anak kecil itu.


“Tu… Tu kan mama. Tengok mama sejuk tu… ,”


Matanya menurut jemari Syaqina yang melentik. Menghantar pandangannya ke satu imej yang tidak pernah terjangkau dek akal warasnya. Merentap segunung perasaannya.


“Ya ALLAH!,”


Matanya terbuka tiba-tiba. Membawa debaran yang menyesakkan dada. Kini, pandangannya tertancapa pada siling yang kelam.


“Astaghfirullah,”desahnya tertahan. Mulai sedar apa yang dia lihat sekadar mainan tidurnya. Dan, betapa realiti mimpi itu padanya. Renungan itu. Wajah sayu itu. Air mata itu. Semuanya seperti terlalu nyata.


“Papa!,”


Sekali lagi dia tersentak. Panggilan itu membuat laju dia bingkas bangun dari baringnya. Dalam suram lampu tidur, jelas Syaqina tercegat di hujung katil. Dengan posisi yang sama dalam mimpinya sebentar tadi. Satu keadaan yang membuat debarnya gagal berkurang. Anak kecil itu kemas memeluk patung beruang. Memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk dia tafsirkan. Mungkin fikirannya yang terganggu membuat dia menjadi keliru. Yang lebih nyata, tegak Syaqina bersama patung beruang di hujung katilnya membuat dia tersapa dek déjà vu yang masih segar.


“Ya sayang?,”


“Bukalah pintu…,”


Dia kehilangan nafas. Tidak mahu lagi menyambung soalannya. Cuma gerakannya pantas turun dari katil. Mahu menjengah ke ruang tamu. Mahu melihat pada pintu sliding yang menemukan dia dengan imej mustahil sebentar tadi. Langsir labuh yang sedikit terselak membuat pandangan menjadi luas. Liar matanya memerhati. Mahu mengesahkan apa yang dilalui bukan ulangan mimpi. Dia menarik nafas lega. Tiada apa-apa di situ. Tiada renungan Amira. Tiada wajah sayu Amira. Juga tiada air mata yang basah di pipi Amira. Yang ada cuma laman yang lencun dek hempasan titis hujan semenjak lewat petang tadi.


“Papa cari mama?,”


Dia berpaling. Terkejut mendengar soalan itu. Terpaku seketika dia menatap wajah Syaqina. Ternyata anak kecil itu mengekorinya dari belakang.


“Apa Qina cakap?,”


Anak kecil itu cuma menggeleng dan kemudian tersenyum nipis. Terus diam sambil membalas renungannya. Renungan yang membuat dia teringat pada renungan Amira padanya. Dia membalas renungan itu dan cuma melihat Syaqina kemudiannya melangkah perlahan meninggalkan dia yang masih tercegat di ruang tamu. Tanpa menoleh lagi Syaqina terus berlalu menuju ke biliknya. Dia pula, sekali lagi menoleh ke arah pintu sliding. Hatinya terpanggil untuk mengesahkan sekali lagi pandangannya. Pasti tetap tidak ada apa-apa di situ barulah dia mengatur langkah perlahan.


“Encik Harith? Belum tidur lagi?,”


Dia menoleh. Bertemu pandang dengan wajah pembantu rumahnya.


“Belum. Mak Uteh belum tidur?,”


“Mak Uteh kat bilik Qina tadi. Dia minta temankan dia tidur,”


“Dah tidur balik ke dia?,”






“Dah lama tidurnya Encik Harith. Mak Uteh kemas almari baju dia kejap. Dah siap kemas, ni baru Mak Uteh nak masuk tidur,”


Harith menelan liur.


“Dah lama?,”lambat-lambat dia bertanya.


Anggukan Mak Uteh bersama senyum kecil membuat dia diserang rasa gelisah lagi. Kali ini diiringi debar yang bukan sedikit. Kalau Syaqina sudah lama lena, siapa yang baru sebentar tadi menyapanya? Mengekorinya? Masih dalam mimpikah dia? Kepala digeleng beberapa kali. Mengharapkan dia terjaga sekali lagi. Tidak mahu terus terbeban dengan emosi tidak stabil.


“Kenapa Encik Harith?,”


Soalan daripada Mak Uteh. Bermakna dia masih di situ. Mak Uteh juga masih di situ. Dan itu bukan mimpi. Dia juga yakin apa yang dilaluinya baru seketika bukan ilusi. Apa sebenarnya yang berlaku? Kalau bukan mimpi juga bukan ilusi, mustahil ini satu reality. Siapakah yang bersamanya sebentar tadi kalau Syaqina lena di biliknya?


“Tak ada apa-apa. Mak Uteh pergilah tidur,”


Mak Uteh cuma mengangguk tanpa banyak soal lagi. Sebaik pembantu rumahnya itu berlalu, kakinya turut dihayun perlahan. Baru beberapa langkah, kemudian terhenti. Bunyi sesuatu terjatuh menarik perhatiannya. Dia menoleh. Buku motivasi yang ditinggal di atas meja di bilik tidur kini terjatuh ke sofa. Dia yakin buku itu terjatuh dari meja kecil yang menjadi sudut kesukaan Amira menghabiskan masa dengan buku-bukunya. Satu lagi situasi yang sukar untuk diterima. Mustahil buku itu boleh berada di situ sedangkan sejak pemergian Amira, dia tidak pernah melewati sudut itu. Dalam perasaan yang tidak menentu, dia melangkah ke arah buku tersebut. Tidak sampai hati melihat buku kesukaan Amira terletak di situ.






****
[11:35:50 PM] hos.getah: