Tuesday, May 19, 2015

CERPEN: ANAK



PROLOG
               
                Kedua – dua tangannya disentuh perlahan. Ada susuk yang berdiri rapat di belakangnya. Dalam terkejut kecil, dia tersenyum. Perlahan berpaling. Berbalas pandangan dengan sepasang mata redup yang membahagiakannya.
            “Good morning, sayang,”satu kucupan hinggap di pipi bersama ucapan itu. Dia tertunduk segan.
            “Jauh mengelamun? Teringat kisah lama ke?,”
            Dia menggeleng perlahan. Kisah lama sudah pun dia lupakan. Dia mahu memulakan hidup baru. Terus mengingati segala cerita duka hanya akan membuat jiwanya sakit.
            “Nak kena cakap guna bahasa isyarat ke?,”
            Mendengar soalan itu, dia tergelak halus. Perlahan menampar dada sang suami. Lelaki ini bijak mengusiknya. Dan ruangan itu mula dipenuhi tawa.
            “Abang betul-betul tak kisah kalau...,”
            Kata-katanya putus di situ. Ada jemari yang menyentuh bibirnya. Menghalang bicaranya sedang dia sentiasa mahukan kepastian.
            “Anak sepatutnya  menjadi penyeri perkahwinan bukan jadi punca runtuhnya ikatan tu,”
            Dia mendongak. Benarkah? Benarkah dia masih boleh terus menggapai bahagia andai dia tetap gagal menjadi seorang ibu?
            “Lagipun, kuasa ALLAH siapa yang tahu. Siapa kita untuk menghukum? Siapa kita untuk tentukan sesuatu yang kita sendiri belum tahu,”
            “Saya tak nak bermadu. Cukup sekali...,”
            Bicaranya disambut tawa lagi.
            “Alisa, bukan masanya untuk kita cakap pasal bermadu sekarang ni. Kalau pasal bulan madu, itu dibolehkan. Okay?,”
            Dia tersenyum kecil. Tubuhnya dibawa ke pelukan dan dia rela.
            “Abang sayangkan Lisa. Demi ALLAH abang sayang Lisa sejak kali pertama kita berbalas pandang,”
            Ada rasa berdebar. Juga ada sedikit rasa risau. Namun, demi perjalanan hidup yang baru, dia tidak boleh terus bersangka buruk.

***** 
“Untuk sayang,”
            Dia mengukir senyum. Bahagia. Jambangan mawar merah disambut dengan seribu perasaan indah. Wajah suami dipandang tanpa sedikit pun rasa jemu.
            “Terima kasih,”
            Tiada jawapan. Cuma sekilas satu ciuman hinggap di pipi. Dia tersenyum sambil menjatuhkan diri ke pelukan suami tersayang.
            “Sampai bila Lisa akan terus dapat jambangan mawar merah ni?,”
            “Sampai mati?,”
            Dia kerutkan kening sambil menampar lembut dada sasa yang sering menjadi persinggahan wajahnya itu.
            “Tak baik cakap macam tu,”
            Gelak santai berirama indah di telinganya.
            “Sampai bila-bila, sayang. Abang nak cinta kita sentiasa mekar macam mawar ni,”
            Senyum yang muncul di bibir hilang perlahan-lahan. Matanya sayu melihat ruang santai yang sering meninggalkan kenangan-kenangan indah antara dia dan Hadif. Semuanya hanya tinggal kenangan. Dia kena terima hakikat itu.
            Andai tiga tahun yang lalu dia kuat berjuang demi menagih sedikit perhatian, tetapi seiring dengan waktu yang berlalu, semangat untuk berjuang juga sudah semakin pudar. Akhirnya dia menjadi pungguk yang menantikan bulannya. Bencikah dia pada Hadif? Atau rindukah dia pada lelaki itu? Jawapan untuk itu tidak lagi digali.
            Tahun pertama kehilangan sekeping hati seorang Hadif, hidupnya kacau-bilau. Usah dikira berapa banyak pertengkaran yang terjadi. Sedaya mungkin dia cuba menarik kembali Hadif masuk ke dalam hatinya. Namun, sebaris kata-kata Hadif benar-benar membuat lumpuh segala rasanya.
            ‘Dia mengandung. Mengandung anak abang. Lisa?,’
            Perjuangannya berakhir dengan sebaris soalan daripada Hadif. Memang hakikat. Hakikat tiga tahun perkahwinan mereka, dia gagal memberi zuriat kepada Hadif. Tahun kedua dia semakin jauh. Dan kini, dia seakan dilupakan. Menjadi tunggul di dalam rumah besar ini.
            Sesekali teringatkan Hadif, dia sudah tidak mampu mencari suara Hadif apatah lagi sesusuk tubuh lelaki itu. Kecewa yang bertimpa-timpa membuat dia seakan pasrah. Ditambah pula dengan larangan daripada keluarga Hadif.

‘Jangan ganggu kegembiraan Hadif dan menantu mak yang telah melengkapkan hidup Hadif’
Menitik air matanya apabila kata-kata itu keluar dari bibir ibu mertuanya. Tiba-tiba dia seakan-akan menjadi orang ketiga yang menjadi selumbar. Apabila rindu mencengkam benar, sesekali dia akan menjengah ke akaun facebook milik suami. Untuk apa? Untuk mengintai seorang lelaki yang pernah mencintainya sepenuh hati dan tetap dicintainya sehingga kini. Mencari tahu aktiviti seorang suami. Hanya itu yang mampu dia lakukan apabila diamnya seakan melekakan lagi Hadif.
            Adilkah untuk dia mengharungi sengsara hati sebegini hanya kerana dia gagal memberi zuriat kepada suami tersayang? Seluruh kebahagiaan yang pernah membuat bibirnya tidak lekang dengan senyuman bagai ditarik begitu sahaja. Tiba-tiba segalanya lenyap. Seorang wanita yang gagal dengan satu tanggungjawab itu, tidak layakkah berasa bahagia? Berat bibir mata melihat suami girang mencium anak kecil sambil memeluk erat seorang perempuan. Gambar yang dikongsi Hadif di facebook itu begitu meruntun hati perempuannya. Gambar meraikan hari ulang tahun kelahiran anak tersayang. Anak kecil itu sudah pun berusia tiga tahun. Bermakna selama itu jugalah dia menjadi wanita yang kontang kasih-sayang. Yang terpinggir. Sampai bila dia harus hidup sebegini?
            Telefon di tangan diletakkan perlahan-lahan ke meja. Mencari seraut wajah suami untuk menghilangkan sedikit rasa rindu, hanya melalui telefon sementara Hadif masih selalu kemas kini kegiatan harian di media sosial itu. Tetapi melihat pula kebahagiaan suami hatinya terluka. Sangat terluka. Melihat senyum bahagia di bibir isteri baru Hadif bagai melihat kebahagiaan beberapa tahun yang lalu. Sakit lagi. Hanya itu yang mampu berkumpul di ulu hatinya.
            Perlahan-lahan hatinya berbisik sendiri. Berbaloikah kesedihan yang dipendam selama ini hanya untuk terus membiarkan Hadif bahagia bersama keluarga barunya? Walau pahit, dia perlu belajar menerima kenyataan yang Hadif sudah benar-benar pergi dari hidupnya. Tiada apa yang boleh diharapkan daripada lelaki itu.
            “Apa lagi yang kamu tunggu dari suami kamu?,”
            Dia teringatkan soalan ibunya beberapa minggu yang lalu apabila untuk ke sekian kalinya dalam tempoh tiga tahun dia pulang sendirian menjenguk ibu di kampung. Kalau dulu, Hadif pernah menjadi menantu kesayangan, namun, mungkin sengsara yang ditinggalkan lelaki itu membuat seorang ibu turut tawar hati.
            “Minta fasakh. Teruskan hidup kamu. Lelaki bukan seorang dalam dunia ni. Kamu bukan patung yang tak mampu nak buat apa-apa bila dianiaya,”
            Baris demi baris bicara emosi ibunya mula membekas di hati. Mungkin benar kata-kata itu. Dia perlu keluar dari kepompong ini.
            Telefon dicapai semula. Bertafakur seketika. Andai dia tidak mulakan langkah pertama, pasti dia akan terus kekal begitu hingga ke akhirnya.

            [ saya nak bercerai]

            Ringkas sahaja teks pesanan yang dihantar. Dia kena bangkit. Mungkin sudah masanya untuk dia mengaku kalah. Bahagia Hadif kini seakan mustahil untuk digoyah.

****

            Libang-libu hatinya. Tiba-tiba dia harus muncul di celahan manusia ini. Tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan suasana yang asing ini. Sememangnya dia seperti orang asing yang berada di satu tempat yang amat asing. Untuk berdepan dengan Hadif sendiri dia sudah jadi serba tidak kena. Lebih canggung apabila ahli keluarga Nadiha turut memenuhi ruangan itu. Hadif kelihatan tertunduk di satu sudut. Dalam diam, dia mengamati lelaki itu dari jauh. Bukan satu pembohongan tetapi rasanya memang sudah hampir tiga tahun dia tidak bersua mata dengan lelaki ini. Di sisi lelaki itu terlentok seorang anak kecil yang sehingga ke hari ini dia cuma tahu namanya Ara. Itu pun apabila sesekali dia mencari Hadif di facebook, dia terbaca nama panggilan itu yang selalu diungkap oleh Hadif dan Nadiha.
            Baru beberapa hari yang lalu dia menangis melihat kebahagiaan Hadif, hari ini dia gamam melihat suasana pilu yang menyelubungi ruangan itu.
            “Lisa, Diha accident,”
            Itulah detik keramat. Panggilan pertama daripada Hadif selepas tiga tahun. Panggilan bukan kerana ada rindu di hati lelaki itu untuknya tetapi untuk memaklumkan khabar sedih tentang dirinya.
            “Lisa?,”
            Dia menoleh. Bertentang mata dengan ibu mertuanya.
            “Ada apa mak? Nak saya tolong apa-apa?,”
            “Ada apa? Nampak tak suami kamu tu? Daripada diam jadi patung kat sini, ada baiknya cuba tenteramkan Hadif. Jadi isteri langsung tak ada fungsi. Itu pun nak kena ajar ke?,”
            Bibir Alisa terkunci. Dalam torehan kata-kata itu terbenam jauh di sudut hati. Ini bukan tempatnya. Perlahan dia mengangkat punggung. Bergerak mendekati Hadif yang diam dari tadi. Dia faham kalau Hadif terlalu sedih sekarang. Tetapi itu tidak cukup untuk dia tundukkan rasa kecil hati dan muncul di sisi Hadif untuk memujuk sekeping hati yang sedang bersedih itu.
            Dia berdehem perlahan dan Hadif mengangkat muka. Bertemu pandang dengan sepasang yang sedikit memerah.
            “Takziah,”ucapnya sepatah.
            Hadif tidak berkata apa-apa. Apa yang berlaku terlalu mendadak.
            “Saya balik dulu. Di sini bukan tempat saya. Saya harap awak kuat. Demi anak awak,”sambungnya sambil memandang wajah kecil yang mendongak merenung wajahnya. Wajah yang tidak tahu apa-apa. Cuma dari tadi dia merengek-rengek mencari ibunya. Tersentuh hatinya melihat anak kecil itu. Tetapi, dia tahu gadis kecil itu kini dikelilingi oleh insan-insan yang akan sentiasa menyayanginya.
            “Lisa...,”
            Dia berpaling. Serentak itu juga, tangannya dicapai Hadif. Erat berada di dalam genggaman lelaki itu.
            “Stay with me,”pinta Hadif lemah.
            Alisa menggeleng perlahan.
            “Tak boleh. Saya minta maaf. Saya harap awak faham,”
            Hadif mengeluh perlahan. Anak kecil yang kembali merengek, ditarik ke pelukannya.
            “Ara, ini mama Li...,”
            “Aunty. Aunty Lisa,”tingkah Alisa sebelum sempat Hadif menghabiskan kata-kata.
            “Saya balik dulu. Sampaikan salam takziah saya pada mak awak dan mak mertua awak,”
            Hadif kelu. Kata-kata Alisa menyentuh hatinya. Dia mahu meminta lebih tetapi teringatkan khilafnya, dia jadi malu.
            Sudahnya dia hanya memandang Alisa berlalu keluar meninggalkan rumahnya. Apabila sikap Alisa begitu, dia tidak salahkan Alisa. Tiga tahun bahagia bersama Nadiha dan anak tunggal kesayangannya, dia benar-benar meletakkan Alisa jauh terpinggir. Bukan dia tidak ingat namun, pujukan Nadiha, rengekan Iman Azraa selalu buat dia terus mengabaikan Alisa. Ditambah pula dengan ibunya yang sentiasa menangkan Nadiha. Dia boleh tuding jari pada sesiapa juga tetapi, dia tahu satu perkara. Yang paling bersalah dalam hal ini, adalah dirinya sendiri. Dia bahagia sehingga terlupa pada Alisa yang mungkin bersedih sepanjang masa. Sampai masanya, bahagianya direntap begitu sahaja. Dia kehilangan isteri dan anaknya yang masih kecil kehilangan seorang ibu.
            “Mana Alisa?,”
            Dia menoleh. Wajah ibunya nampak serius mencari seseorang. Alisa barangkali.
            “Dah balik,”
            “Balik? Macam tu aje? Eh, tak ada hati perut ke dia? Tak rasa nak tumpang simpati pada kamu?,”
            “Kita pernah simpati ke pada Alisa, mak?,”
            Ibunya terdiam. Soalan itu tidak mampu dijawab.
            “Mungkin ini caranya Allah nak sedarkan saya. Sedarkan saya yang selama ini bahagia yang saya bina adalah daripada derita Alisa,”
            Kali ini, ibunya terduduk di sisi. Jenazah Nadiha sudah selamat dikebumikan. Sekelip mata dia hilang separuh daripada hidupnya. Sedang separuh lagi sudah dia sia-siakan.
            “Sabarlah nak. Demi Ara, kamu kena kuat. Insyaa ALLAH kita boleh,”
            “Saya rasa ini peringatan untuk saya,”
            Puan Maznah mengeluh perlahan.
            “Jangan fikir apa-apa dulu. Mak tahu kamu tengah serabut sekarang. Mak tahu ini semua susah untuk kamu,”
            Hadif diam. Azraa merengek lagi dan perlahan dia memeluk tubuh kecil itu.
            “Mama pergi jauh, sayang. Mama pergi jauh...,”bisiknya perlahan sambil mengucup kepala Azraa berkali-kali. Runtun hatinya tiap kali anak kecil itu menangis mencari ibunya. Bagaimana dia akan melalui setiap pertanyaan Azraa nanti?

****

            “Tinggal dengan abang?,”
            Alisa menggeleng. Mustahil dia akan akur pada permintaan Hadif. Mustahil dia akan tinggal di rumah Hadif yang pernah menjadi tempat tinggal Nadiha juga.
            “Kasihan Azraa. Mungkin kalau ada Lisa, boleh alihkan perhatian dia,”
            “Mak awak?,”
            “Mak bukannya sihat sangat. Tolong abang? Abang tahu banyak sangat salah abang pada Lisa,”
            “Keluarga Nadiha kan ada. Kenapa tak minta mereka jaga?,”
            “Azraa anak abang. Takkan abang nak berikan pada orang lain?,”
            “Saya pun orang lain,”
            “Lisa isteri abang,”
            Alisa menyepi.
            “Pindah ke rumah abang, ya?,”
            Sekali lagi dia menggeleng.
            Dia nekad dengan keputusannya. Lamunannya terusik dengan bunyi enjin kereta. Bayangan pertemuan dengan Hadif kelmarin, hilang perlahan-lahan. Perlahan dia menjengah. Rumah sunyi ini jarang menerima tetamu. Kereta Hadif. Ada rasa hairan. Perlahan dia bergerak menuju ke pintu utama. Hadif keluar dari kereta bersama anaknya. Tercegat seketika memandangnya.
            “Assalamualaikum,”
            Dalam terkebil-kebil, salam Hadif dijawab perlahan. Selepas tiga tahun, akhirnya lelaki ini pulang ke rumah ini. Gembirakah dia?
            “Boleh abang masuk?,”
            Separuh tersedar, dia mengangguk. Sekaligus beralih untuk memberi ruang kepada Hadif dan Azraa melangkah masuk.
            Sebaik menjejakkan kaki di ruang utama, langkah Hadif terhenti. Lamanya dia tidak pulang ke sini. Bermakna lamanya dia abaikan tanggungjawabnya pada Alisa. Dia berpaling memandang wajah Alisa.  Alisa masih diam di pintu utama. Pasti kepulangannya ini langsung tidak diduga oleh Alisa. Tiga tahun dia seolah-olah tinggalkan Alisa begitu sahaja.
            ‘Apa yang kamu nak risaukan? Tiap-tiap bulan kamu bagi juga duit dekat dia kan? Maknanya kamu dah jalankan tanggungjawab kamu. Sudahlah tu. Tak payahlah sibuk-sibuk nak balik ke sana. Bukannya kamu ada anak kat sana’
            “Betul tu. Lagipun, kalau ikutkan, Diha ni lagi penting. Penat tahu Diha mengandungkan anak abang. Sakit bersalin lagi. Nak besarkan anak lagi. Dia? Duduk saja goyang kaki kat rumah. Tapi, tiap-tiap bulan duit masuk aje dalam akaun. Kalau tak bagi pun tak apa.’
            Kata-kata ibunya bertingkah dengan kata-kata Nadiha. Kini kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga sendiri. Menambahkan lagi rasa berdosa.
            Lama dia saling berpandangan dengan Alisa. Renungan Alisa tiada maya.
            “Besar dosa abang pada Lisa,”dia bersuara lirih. Seiring itu, tubir matanya panas. Alisa melangkah mendekat. Sungguh dia lupa bagaimana cara untuk menyambut kepulangan seorang suami. Malah pada satu ketika, dia terlupa yang dia masih mempunyai suami.
            “Kenapa ke sini?,”
            “Lisa tak suka?,”
            Alisa menggeleng perlahan.
            “Ini rumah awak,”balasnya perlahan. Canggung di hadapan Hadif.
            “Papa...,”
            Pandangan Alisa teralih pada Azraa yang turut nampak tidak selesa berada di tengah-tengah ketegangan emosi dia dan Hadif. Emosi yang terpendam.
            Hadif tersenyum. Azraa yang memegang hujung t-shirtnya, didukung.
            “Abang balik ke sini,”
            Alisa mengangkat kening.
            “Abang mahu tebus kesalahan abang,”
            “Mahu tebus kesalahan atau mahu cari babysitter?,”
            Hadif diam. Suara Alisa lembut. Tetapi soalannya menghiris hati.
            “Baru-baru ni saya ada SMS apa yang saya nak dari awak,”Arisa bersuara. Cuba mengingatkan Hadif pada permintaannya tidak lama sebelum Nadiha meninggal dunia.
            Hadif menggeleng. Teringat bagaimana pesanan ringkas daripada Alisa itu seperti mengejutkan dia dari lena yang panjang.
            “Kita bincang semula?,”
            Alisa tersenyum nipis. Tiada apa yang perlu dibincangkan sebenarnya. Apa yang terjadi pun sangat-sangat diluar jangkaan. Dia yakin andai Nadiha masih hidup, Hadif tetap tidak akan menjejakkan kaki di rumah ini.
            “Abang akan cari pembantu rumah untuk jaga Azraa. Abang tahu Azraa bukan tanggungjawab Lisa. Lebih-lebih lagi dengan apa yang dah abang buat pada Lisa. Abang malu... abang khilaf,”
            “Suka hati awaklah. Itu anak awak dan awak lagi tahu apa yang terbaik untuk dia. Cuma, kalau betul awak nak tinggal di sini, saya akan kemaskan bilik untuk awak dan anak awak,”
            Hadif diam. Alisa sudah berlalu. Lamanya dia tinggalkan Alisa sehingga pertemuan boleh menjadi secanggung ini.
            “Papa... cape tu?,”
            Hadif tersenyum kecil. Soalan dari bibir kecil itu dijawab dengan ciuman yang bertubi-tubi ke pipi montel Azraa. Tidak tahu jawapan yang bagaimana yang harus dia berikan. Azraa tergelak.
            Sedang dia disogok rasa berdosa lagi. Seharusnya sejak dulu lagi, dia perkenalkan Azraa kepada Alisa. Ya, mungkin bukan Alisa yang mengandung dan melahirkan Azraa tetapi Alisa tetap berhak. Tetapi, dia sudah nafikan hak Alisa.


*****


            Harum aroma nasi lemak singgah ke deria baunya. Azraa yang masih lena dipandang lama. Perlahan dia mengusap rambut anak kecil itu. Pasti mengantuk kerana sepanjang malam anak itu menangis mencari ibunya. Satu ciuman singgah di dahi Azraa sebelum dia bergerak meninggalkan bilik. Keluar dari bilik, matanya menyapa segenap ruang yang telah dia tinggalkan. Sungguh ada rasa hairan di hatinya. Tergamak dia memperlakukan begitu pada Alisa padahal pernah satu ketika nama Alisa memenuhi segenap ruang hatinya. Kembali semula ke sini seolah-olah menghidupkan segala kenangan yang tercipta. Kenangan yang selama ini bagai tidak pernah melekat di fikirannya. Seketika dia terhenti di hadapan bilik Alisa. Atau lebih tepat lagi, bilik dia dan Alisa. Tangannya memegang tombol pintu, namun hasrat itu tidak diteruskan. Berasa tidak layak untuk menceroboh bilik itu di luar pengetahuan Alisa.
            Membatalkan niatnya, langkah diatur ke ruang tamu. Susun atur yang masih sama. Di situ, dia dan Alisa sering menghabiskan masa bersama. Bergurau... bermanja...malah sesekali bermasam-muka.
            “Abang nak anak?,”
            “Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam ni?,”
            Rambut Alisa dielus lembut. Alisa terus diam bersandar di dadanya. Rancangan televisyen sudah tidak menarik perhatiannya lagi.
            “Diam pula?,”
            Tetap tiada jawapan daripada Alisa. Cuma perlahan-lahan isterinya membetulkan duduk sambil erat memeluk tubuhnya. Kepala dilentokkan ke dadanya.
            “Hey... kenapa ni?,”
            “Lisa sayang abang...,”
            Dia tertawa senang.
            “Abang pun sayang Lisa. Kenapa ni?,”
            “Kalau sampai hujung tahun ni Lisa tetap tak mengandung, macam-mana bang?,”
            “Abang kahwin lainlah,”
            Bisu. Cuma terasa pelukan Alisa semakin erat membelit tubuhnya. Dia ketawa lepas. Dapat merasakan jawapannya bukanlah jawapan yang Alisa mahukan.
            “Sayang... soal anak tu, kita serahkan pada tuhan. Kita berdoa... kita berusaha, selebihnya kita serahkan pada tuhan. Kenapa risau sangat?,”
            “Syarat mak?,”
            Bahu Alisa disentuh. Perlahan-lahan ditolak demi mencari sepasang mata Alisa... seraut wajah Alisa. Ternyata dalam diam ada air mata basah di tubir mata isterinya itu.
            “Menangis?,”
            “Lisa takut...,”
            “I love you. Forever. Itu cuma syarat mak, kan? Bukan syarat abang,”
            “Lisa tak nak kongsi abang. Abang milik Lisa seorang saja...,”
            Lebar senyumnya mendengar luahan itu.
            “Abang memang milik Lisa. Milik Lisa seorang. Okay?,”
            Sekali lagi tubuhnya didakap erat.
            Menitis perlahan air matanya. Terasa masih segar lagi perbualan itu. Masih teringat betapa yakinnya dia mengukir janji setia. Tetapi, akhirnya dia menjadi sekejam ini. Sungguh dia tidak mengerti. Sayangnya pada Alisa bukan main-main tetapi tergamak dia meninggalkan Alisa begitu sahaja. Mungkinkah sedikit nikmat yang telah Allah berikan membuat dia terus terleka?
            “Awak?,”
            Bayangan masa lalu melantun pergi. Dia berpaling. Alisa di sisi.
            “Kalau nak sarapan, sarapan dah siap. Anak awak dah bangun?,”
            Hadif diam seketika. ‘anak awak’ yang terlontar dari bibir Alisa amat mengganggu perasaannya. Tetapi dia tidak mampu berkata apa-apa. Silapnya. Siapa Azraa di mata Alisa andai dia dan Nadiha tidak pernah mahu memberi peluang untuk Azraa menjadi anak Alisa juga. Rapuhnya dia sebagai seorang lelaki. Cukup mudah dia akur pada kata-kata Nadiha hanya kerana wanita itu telah melahirkan zuriatnya.
            Dia bergerak mendekati Alisa. Perlahan menyentuh jemari Alisa sambil sepasang matanya mencari sepasang mata milik Alisa.
            “Apa yang perlu abang buat untuk tebus semua salah abang pada Lisa?,”soalnya perlahan.
            Alisa bungkam. Ruangan sepi seketika.
            “Kalau nak makan, jomlah ke dapur,”akhirnya Alisa bersuara. Bergerak meninggalkan Hadif tanpa memberi peluang lelaki itu bersuara lagi. Sungguh-sungguh dia tidak mahu bercakap tentang mereka. Dendamkah itu? Adakah dia berdendam dengan Hadif? Tiba-tiba dia gagal mencari jawapan. Tidak mahu terus kusutkan kepala memikirkan hal yang meremukkan hati, dia kembali ke meja makan. Pagi-pagi dia siapkan nasi lemak. Satu ketika dahulu, inilah sarapan kegemaran Hadif. Kini? Dia tidak pasti.
            Melihat kelibat Hadif, dia menunduk. Pura-pura mengambil pinggan.
            “Duduklah,”pelawanya sambil mencedok nasi ke pinggan. Hadif akur. Melihat meja yang agak penuh dengan hidangan. Nasi lemak bersama ayam goreng berempah. Tidak seperti dia yang begitu mudah melupakan Alisa, ternyata ingatan Alisa pada kesukaannya tidak pernah luntur. Mahu memberi pujian tetapi dia jadi malu sendiri.
            “Kalau awak tak suka, saya ambilkan roti...,”
            “Tak...tak... abang suka. Memang kesukaan abang dan Lisa tak pernah lupa pun,”
            Alisa tidak membalas.
            “Duduklah,”
            Alisa menggeleng.
            “Awak makanlah. Saya tak nak ganggu,”
            Hadif memandang lama wajah Alisa yang nampak gelisah.
            “Please?,”
            Dengan berat hati, akhirnya Alisa patuh. Perlahan mengambil tempat di hadapan Hadif. Diam mematung di situ.
            Hadif menarik nafas dalam-dalam. Memandang wajah Alisa, dia tahu ada kemarahan yang tidak terluah di situ.
            “Lisa apa khabar?,”
            Alisa mengangkat muka.
            ‘Masih hidup. Masih belum jadi gila untuk meneruskan hidup’ melantun kuat jawapan itu di kepalanya. Setelah menyepi begitu sahaja selama bertahun-tahun rasanya Hadif tidak layak menanyakan soalan itu.
            “Baik,”akhirnya sepatah jawapan itu diberikan. Sejak kebelakangannya ini, terlalu banyak jawapan sinis yang tersimpan di hatinya. Bermain-main di kepalanya apabila Hadif bersuara. Namun, memikirkan lelaki ini baru sahaja kehilangan isteri tersayang, dia cuba menjaga lidahnya. Tidak mahu menambahkan lagi beban emosi Hadif.
            “Abang...,”
            Kata-katanya terhenti. Terganggu dengan suara Azraa merengek memanggilnya. Pinggan di hadapannya ditolak perlahan.
            “Tak apa. Awak teruskan makan. Saya pergi tengok,”
            Hadif seakan tidak percaya.
            “Lisa tak kisah?,”
            “Awak makanlah,”ujarnya ringkas. Perlahan mengangkat punggung meninggalkan Hadif bersarapan.


*****

            Hatinya berat. Tetapi, melihat anak kecil itu, dia tidak sampai hati. Anak kecil itu tidak salah apa-apa. Sambil diam berbuai, dia cuma memandang Azraa bermain mainan di gazebo kecil. Nampaknya anak kecil itu sudah mula boleh lupakan apa yang terjadi. Saban malam, tiada lagi mimpi-mimpi yang mengganggu tidurnya. Sudah tidak banyak bertanya tentang ibunya yang telah pergi. Sesekali Hadif membawa anak itu ke pusara ibunya. Itulah yang diberitahu Hadif.
            “Aunty,”
            Lamunannya mati. Tumpuan teralih pada Azraa.
            “Nak air,”
            Dia tersenyum. Cawan di hadapannya, dihulurkan pada Azraa. Rakus anak itu meneguk air. Setelah selesai, cawan dihulurkan semula padanya bersama ucapan terima kasih yang sedikit pelat.
            “Sama-sama...,”balasnya tersenyum. Senyumnya dibawa sehingga pandangannya bertembung dengan susuk tubuh yang tegak memandangnya.
            “Selamat petang,”
            “Selamat petang,”balasnya pada teguran jiran sebelah. Dia jarang berada di luar dan jarang juga bertegur sapa dengan jiran. Lelaki Cina yang menyapanya tersenyum.
            “Comel betul. Anak siapa? Sebab kamu tak ada anak, kan?,”
            Alisa tersenyum kelat. Soalan lelaki ini sukar untuk dicari jawapannya.
            “Sorry. Saya menyibuk saja. Kan?,”ujar lelaki di seberang pagar rumahnya sambil tergelak kecil.
            Alisa mengangguk bersama senyum.
            “Tak apa,”
            “Your husband baru pulang ke? Lama sangat rasanya tak nampak dia,”
            Masih bersama senyum, Alisa mengangguk perlahan. Tiada cerita yang boleh dia kongsikan dengan jiran asingnya ini.
            “Ara, jom kita masuk,”
            Azraa berlari ke arahnya. Dia memandang ke arah jiran sebelah.
            “Saya masuk dulu,”
            “Eh... lupa. Kelvin. Saya Kelvin. Sudah lama kita berjiran tapi belum berkenalan. Kan?,”
            Alisa tersenyum.
            “Alisa,”
            Kelvin mengangguk.
            “Alisa...,”ujarnya bersama senyum. Alisa turut tersenyum.
            “Encemnyee....,”
            Alisa kerutkan kening mendengar komentar dari mulut kecil di sisinya. Kelvin mengangkat kening.
            “Apa? Apa dia cakap? I tak faham,”
            “Handsome. Handsome katanya,”jelas Alisa tersenyum. Kelvin tergelak besar.
            “Uncle handsome? Wah... nanti uncle belanja ya,”
            Azraa tersipu-sipu apabila diusik begitu.
            “Saya masuk dulu,”sekali lagi Alisa meminta diri. Kelvin mengangguk bersama senyum lebar. Alisa berlalu masuk sambil memimpin tangan Azraa. Langkahnya terhenti apabila menyedari Hadif menghalang jalan.
            “Siapa tu?,”
            Alisa memandang ke arah laman. Kelvin sudah tiada.
            “Orang sebelah,”
            “Bukan main ramah lagi,”
            Alisa merenung wajah Hadif yang kelat. Azraa yang berlari masuk ke ruang tamu, dibiarkan sahaja. Tidak mengendahkan kata-kata Hadif, dia turut melangkah masuk. Hadif mengekori dari belakang.
            “Apa dia nak?,”soalnya tidak berpuas-hati. Melihat Alisa berbual-bual dengan lelaki itu, hatinya menjadi kurang senang.
            “Bertegur-sapa,”
            “Selalu ke dia tegur-tegur Lisa?,”
            Alisa berpaling. Lama memandang wajah Hadif.
            “Apa maksud soalan tu? Tanggungjawab? Cemburu? Kalau tanggungjawab... sudah tiga tahun awak abaikan. Selama awak tinggalkan saya, lebih dari ini yang saya boleh buat kalau saya nak. Kalau sebab cemburu... awak dah hilang hak untuk cemburu. Tak perlulah berbasa-basi pasal hubungan kita lagi,”
            “Lisa cakap apa ni?,”
            “Rasanya Azraa dah boleh terima kenyataan. Dan, awak boleh pertimbangkan permintaan saya,”
            “Abang sayangkan Lisa. Please... beri abang satu lagi peluang. Kita bina hidup baru,”
            Alisa menggeleng.
            “Lisa dah boleh terima Azraa. Kenapa tak nak beri satu lagi peluang pada kita?,”
            “Sekarang saya mampu jadi babysitter. Tapi, bila sampai masa awak mahukan anak dan saya tak mampu, awak akan kahwin lagi. Jadi, sebaiknya awak lepaskan saya dan cari isteri yang boleh jaga Azraa dan mengandungkan anak-anak awak nanti,”
            Hadif menarik tangan Alisa. Menarik Alisa dekat padanya.
            “Abang sayangkan Lisa. Beri abang peluang untuk betulkan semuanya,”
            Perlahan-lahan dia menarik tangannya daripada genggaman Hadif. Memandang lama wajah itu. Wajah yang pernah membuat dia berasa sangat bahagia. Tetapi apabila cuma selepas dua tahun perkahwinan, Hadif mula terbawa-bawa dek sikap mendesak ibunya, bahagianya mula terkoyak perlahan-lahan. Apabila diam-diam Hadif mengahwini gadis pilihan ibunya dengan alasan tidak mahu melukakan perasaannya, separuh jiwanya telah dibunuh oleh lelaki itu. Seterusnya apabila Hadif tega tinggalkan dia sendirian selama tiga tahun tanpa ada keinginan untuk bertanya khabar sekali pun, dia benar-benar kecewa. Dalam kecewa dia masih berharap. Ketentuan yang telah ditetapkan, siapa dia untuk menolak. Namun, baik Hadif mahu pun ibu mertua serta isteri baru Hadif, masing-masing lebih selesa meminggirkannya. Itu membuat dia semakin terasa. Dan, apabila semua kesedihan itu berhimpun, akhirnya ada air mata tumpah di pipinya. Dia duduk di sofa. Teringatkan segala perbuatan Hadif, air matanya semakin laju.
            Hadif melutut. Gusar melihat Alisa yang diam melayan tangisan. Selama dia pulang ke sini, Alisa nampak tenang dan seakan tidak kisah. Tetapi hari ini, isterinya menangis semahu-mahunya.
            “Lisa... jangan macam ni. Jangan menangis macam ni, sayang,”dia berusaha untuk memujuk.
            “Tiga tahun. Tiga tahun air mata saya jatuh macam ni. Awak tak pernah peduli pun. Tiga tahun saya tunggu awak pulang. Awak tak pulang pun. Putus asa tunggu awak balik, saya harapkan awak telefon. Kalau pun bukan untuk luah rasa rindu... rasa sayang... saya mengharapkan awak bertanya khabar saya. Sihat ke saya? Sakit ke saya? Tapi, tak ada. Tak ada...,”bicaranya terhenti. Terganggu dek esakan yang mendatang.
            Hadif tunduk. Erat dia menggenggam jemari Alisa bersama air mata yang turut jatuh membasahi pipi.
            “Saya rindukan awak. Awak tahu tak? Kalau rindu... saya terpaksa cari awak di facebook aje. Cuma kat situ saya boleh jumpa awak. Saya cuma mampu baca setiap apa yang awak buat di situ. Tahu perkembangan awak cuma dari situ. Tengok kebahagiaan awak dengan isteri baru... dengan anak awak. Hina sangat ke isteri yang tak boleh mengandung sampai macam tu sekali awak buat saya? Dan, kalau pun awak memang dah tak perlukan saya, kenapa tak datang dan putuskan semuanya? Kenapa awak gantung saya tak bertali? Awak ingat dengan duit yang awak masukkan ke akaun saya tiap-tiap bulan, saya boleh berasa bahagia? Berasa gembira?,”
            Hadif menggeleng. Deraian air matanya sudah sama laju dengan air mata yang membasahi pipi Alisa.
            “Abang tahu abang salah. Abang minta maaf. Maafkan abang Lisa. Abang leka. Abang khilaf,”
            Alisa menunduk. Menahan hiba.
            “Kalau awak tak sudi jumpa saya dah, awak boleh call saya. Ceraikan saya. Kalau dengar suara saya pun tak sudi, awak boleh SMS. Itu lebih baik daripada biarkan saya tergantung begini,”
            Semakin laju Hadif menggeleng.
            “Jangan begini Lisa. Abang masih sayangkan Lisa,”
            Sambil menarik tangannya yang erat di genggaman Hadif, Alisa menggeleng perlahan.
            “Bukan sayang. Bukan sayang... tetapi tiada pilihan. Buat masa ini, kembali  pada saya adalah pilihan yang paling baik. Paling mudah. Percayalah, semua ini akan berubah nanti. Awak terlalu lemah untuk pegang pada pendirian sendiri. Tak mungkin kita boleh ulang kembali benda yang sama dan mengharapkan pengakhiran yang berbeza. Selagi awak begitu dan mak awak juga begitu, saya akan tetap begini nanti,”
            “Kita boleh bincang. Kita bincang balik ya,”
            “Tak ada apa yang nak dibincangkan. Itu keputusan saya,”
            “Tapi, kenapa selepas lima bulan abang kat sini, Lisa baru bersuara begini? Abang ingatkan Lisa sudah boleh terima Azraa. Sudah mula boleh terima abang. Abang minta maaf sungguh-sungguh. Tapi, tolonglah beri abang satu lagi peluang,”
            “Awak cakap anak awak belum boleh terima kenyataan ibunya dah tak ada. Tapi, sekarang rasanya dia dah semakin baik,”
            “Sikit pun Lisa tak sayangkan Azraa?,”
            “Walau sedalam mana sayang saya pada dia, dia tetap anak awak. Anak awak dan Nadiha. Cucu mak awak. Dia tak ada kena mengena dengan saya. Kalau awak rasa anak awak pun macam anak saya, awak tak akan buat macam ni. Bila dia lahir pun saya tak tahu. Nama dia? Saya cuma tahu awak dan keluarga awak panggil dia Ara. Dari mana? Cuma dari komen-komen kau orang yang sedang bahagia. Hanya bila mak dia dah tak ada, awak datang cari saya. Mula anggap anak awak adalah anak saya. Saya tak boleh terima itu semua,”
            Hadif terkunci mulut. Semua yang meniti di bibir Alisa, tiada satu pun yang salah.
            “Ya, ini perkara yang paling dibenci Tuhan, tapi saya terpaksa minta perpisahan demi hati saya sendiri. Saya dah tak boleh terus hidup untuk tanggung rasa sakit hati. Itu keputusan saya,”
            “Lisa nekad?,”
            Alisa mengangguk. Dia tidak mahu lagi bermain tarik tali. Ini kesempatan untuk dia jelaskan segala-galanya. Jadi, biarlah ianya cukup jelas pada Hadif.
            Hadif terduduk di permaidani. Hati lelakinya tewas hari ini. Air mata juga terus jatuh ke pipi. Mampukah dia cuba memujuk Alisa?



EPILOG

            Alisa tersenyum. Jemari yang menutup matanya disentuh perlahan. Sudah tahu siapa gerangan yang menutup matanya dari belakang.
            “Cuba teka,”
            “Kelvin?,”
            Tubuh di belakangnya semakin merapat. Alisa ketawa. Dia tahu Kelvin kurang senang mendengar jawapannya.
            “Khairul Aakif,”dia membuat pembetulan. Hilang tapak tangan di mata. Dia berpaling. Tersenyum melihat  Aakif yang turut tersenyum padanya.
            “Lain kali kena tukar perfume... tukar suara...,”ujarnya mengusik.
            Aakif menjongketkan sebelah kening.
            “Nanti ada yang terjun tingkap pula,”
            Alisa tergelak. Aakif tersenyum senang. Apa yang dia perolehi hari ini adalah satu anugerah paling berharga. Dia mengenali Alisa. Dia sentiasa memerhati Alisa. Dia tahu Alisa seorang wanita yang baik. Sekian lama memendam perasaan sendiri. Sekian lama beranggapan impiannya hanyalah satu mimpi yang tidak mungkin menjadi nyata, akhirnya Alisa kini miliknya.
            “Abang pergi mana?,”
            “Kebun pisang. Mak ajak,”
            Alisa tersenyum.
            “Mesti banyak kena gigit nyamuk ni,”
            “Tak apa. Isteri abang boleh sapu ubat,”
            Alisa mengangkat kening. Lengan Aakif disentuh. Ada bintik-bintik merah di lengan lelaki itu. Kesan gigitan nyamuk.
            “Mandi dulu, nanti Lisa sapukan ubat,”
            “Abang gurau sajalah. Sikit saja ni,”
            “Tapi tetap kena mandi. Busuk,”
            Aakif jegilkan mata.
            “Apa? Busuk?,”soalnya garang sambil menarik Alisa ke pelukannya. Alisa ketawa kuat sambil menolak tubuh itu. Beberapa ketika mengusik Alisa, pelukan Aakif mengendur. Namun tubuh itu tetap tidak dilepaskan. Alisa bersandar pada tubuh Aakif sambil pandangannya terarah ke halaman rumah yang luas. Melihat ayam yang berkejaran.
            “Terima kasih, bang,”ucap Alisa tanpa memandang wajah Aakif. Sungguh tidak dia sangka rupa-rupanya lebih dari tiga tahun Aakif atau nama asalnya Kelvin memerhatinya di dalam diam.
            “Seharusnya abang yang berterima kasih pada Lisa,”
            Alisa mendongak.
            “Kenapa?,”
            “Memberi abang hidayah,”
            “No... bukan Lisa. ALLAH yang membuka hati abang. Memberi hidayah pada abang,”
            “Melalui Lisa. Melihat Lisa dan suami Lisa. Melihat apa yang dah suami Lisa buat pada Lisa dan Lisa terus jaga status isteri itu, abang jadi tersentuh. Abang tengok suami Lisa keluar dari rumah dulu. Marah-marah. Dan, selama bertahun-tahun abang tak nampak lagi suami Lisa. Sedikit sebanyak ilmu pasal Islam yang abang tahu, abang lihat bagaimana Lisa bawa diri sebagai seorang isteri. Walaupun suami Lisa hilang entah ke mana. Bila tengok Lisa, abang yakin abang mahu Lisa jadi teman hidup abang. Tapi, mustahil. Lisa isteri orang,”
            Alisa tersenyum kecil. Perlahan dia berpaling. Memandang wajah Aakif. Lelaki itu sudah dua tahun memeluk Islam rupa-rupanya.
            “Tiada apa yang istimewa pada Lisa sebenarnya...,”
            “Lisa sempurna di mata abang. Kalau tidak istimewa, takkan abang cepat-cepat cari mak bila tahu Lisa dah berpisah dengan suami Lisa dulu,”
            Alisa tergelak. Itu pun satu cerita manis. Aakif tidak pernah meluahkan perasaan padanya. Tetapi Aakif terus bersuara pada ibunya.
            “Lebih istimewa lagi sebab Lisa kahwin dengan abang yang memang dah istimewa,”
            Alisa mengangkat kening.
            “Apa istimewanya?,”
            “Kalau tak istimewa, takkan ada sesuatu kat sini?,”ujarnya sambil menyentuh perut Alisa. Alisa ternganga. Wajahnya merona tiba-tiba.
            “Betul tak?,”
            “Mengarut,”
            Aakif tergelak.
            “Betul tak cakap abang? Siapa kita untuk menghukum? Siapa kita untuk tentukan sesuatu yang kita sendiri belum tahu? Kalau sebelum kahwin Lisa  tolak abang dengan alasan Lisa tidak mampu mengandung, sekarang Lisa beritahu saja berapa ramai anak yang Lisa nak?,”ujar Aakif separuh mengusik. Senang melihat wajah Alisa yang malu-malu.
            Mulut isterinya sudah terkunci. Jemarinya mengelus rambut Alisa yang jatuh ke wajah.
            “Nak team bola jaring atau team bola sepak?,”usiknya lagi.
            “Diamlah bang,”
            Aakif ketawa besar. Tubuh kecil Alisa ditarik ke pelukan. Sama-sama berdiri di jendela sambil menikmati angin petang. Dia impikan Alisa dan kini Alisa sudah ada di sisi.
            “Harap-harap abang mampu bahagiakan Lisa sampai bila-bila,”
            “Kalau Lisa tak mengandung, agak-agak sama tak ayat abang nanti?,”
            Aakif tersenyum nipis.
            “Ingat tak apa yang abang pernah cakap? Anak sepatutnya  menjadi penyeri perkahwinan bukan jadi punca runtuhnya ikatan itu. Kalau Allah tidak mahu beri kita rezeki anak, kita jangan penat untuk terus meminta. Tapi, Alhamdulillah. Tak sampai dua bulan kahwin, tiba-tiba dah ada nyawa di sini,”
            Alisa tersenyum apabila sekali lagi telapak tangan Aakif menyentuh perutnya. Perlahan dia meletakkan jemarinya di atas tangan Aakif. Akhirnya dia mampu tersenyum. Dia akan menjadi seorang ibu. Ibu kepada zuriat Khairul Aakif yang sangat istimewa di matanya. Saudara baru itu ternyata lebih tahu bersyukur dan menilai berbanding Hadif dan ibu mertuanya dulu. Dan, dia dan Aakif membina keindahan yang istimewa. Berkahwin tanpa berkenalan lama-lama, ternyata dia selesa bercinta setelah mereka bersatu di dalam satu ikatan yang halal.

TAMAT
           
[11:35:50 PM] hos.getah: