Saturday, December 21, 2013

MUNGKINKAH? 8

Senyumnya yang tidak berbalas, menimbulkan sedikit rasa hairan. Wajah Puan Salma yang mencuka juga membuat dia tertanya-tanya. Dan, berdentum daun pintu bilik Encik Karim ditutup membuat dia tersentak. Tidak pernah wanita ini bereaksi sebegini. Arisa mengerutkan kening. Pelik. Namun, rasanya itu bukan sebahagian daripada masalahnya. Barangkali ada masalah peribadi antara majikan dan isterinya itu. Perlahan dia mencapai beg tangan. Bersiap untuk pulang. Dengan hati yang masih disapa tanda tanya, dia berlalu dari ruangan kerja. Masalah peribadi orang, jangan diambil peduli. Hatinya perlahan bersuara. Sudahnya dia mengatur langkah malas. Bertembung dengan Tasnim di pintu utama.
            “Nak balik?,”
            Sapaan Tasnim dijawab dengan anggukan kecil.
            “Puan Salma datang sini petang-petang ni, kenapa? Tergesa-gesa aje aku tengok,”
            Soalan Tasnim dibiarkan sepi. Cuma langkahnya dihala perlahan menuju ke tempat parking. Diekori Tasnim dari belakang.
            “Rissa… aku tanya ni…,”
            Arisa menoleh. Tersenyum seketika. Tersedar dia mengabaikan soalan Tasnim.
            “Entah. Aku pun tak tahu. Macam marah-marah. Tengok aku pun tak senyum. Tak macam selalu. Pelik aku tengok,”
            “Marah-marah? Pelik tu. Jarang Puan Salma nak emosi depan staff suami dia,”
            Arisa mengangguk perlahan. Memang pelik. Teramat pelik. Dan, tiba-tiba dia berasa tidak sedap hati. Mungkinkah dia turut terlibat dalam perubahan emosi Puan Salma?
            “Tiba-tiba aku rasa tak sedap hati…,”dia bersuara perlahan. Berhenti melangkah sambil matanya dalam merenung wajah Tasnim.
            Tasnim tergelak kecil.
            “Kenapa? Kau ada affair  dengan Encik Karim ke? Tiba – tiba pula kau nak rasa tak sedap hati?,”usik Tasnim bersama deraian tawa kecil.
            “Ish… kau ni. Minta dijauhkan. Tapi… aku rasa tak sedap hati. Takut-takut ini onar Radhi…,”luah Arisa tiba-tiba. Entah kenapa begitu cepat imej Radhi terbentuk di mindanya. Cukup cepat dia simpulkan sesuatu yang buruk tentang lelaki itu. Tawa Tasnim juga hilang perlahan-lahan. Dapat merasakan ada kerisauan di hati temannya itu. Dan, apabila nama Radhi terseret sama, ini bukan perkara main-main.
            “Kenapa pula kau cakap macam tu? Dia masih ganggu kau ke?,”
            Arisa diam seketika. Teringat pada pertemuannya dengan Radhi tempoh hari. Radhi telah membuat kesimpulan yang salah tentang dia dan Encik Karim. Juga teringat pada panggilan telefon dan beberapa pesanan ringkas daripada lelaki itu rentetan daripada pertemuan yang tidak menyenangkan itu. Lelaki itu mula meminta wang seperti biasa. Mula mengugut akan terus menyusahkan hidupnya. Dan, dia diamkan sahaja. Dia tidak mengambil peduli pada semua ugutan itu. Mungkinkah lantaran dia abaikan segala permintaan Radhi, kesimpulan itu telah Radhi bawa kepada Puan Salma? Jantungnya pantas berdetak laju. Kalau Radhi, tiada perkara yang jadi mustahil.
            “Aku ingatkan bila dah dapat  duit tu, dia akan duduk diam,”sambung Tasnim sambil berpeluk tubuh. Tercegat berdiri mahu mendengar cerita daripada Arisa.
            Arisa menggeleng perlahan. Khuatir dan keliru.
            “Dia pernah ternampak aku makan malam dengan Encik Karim. Masa tu, kami baru lepas jumpa client. Dia macam syak aku dengan Encik Karim tu ada apa-apa. Kemudian dia call aku…sms aku… minta duit. Dia ugut akan susahkan aku. Tapi, aku tak pedulikan dia. Aku tak layan ugutan dia…,” 
            Tasnim mengeluh perlahan. Sangkanya kini, Arisa sudah benar-benar bebas daripada gangguan Radhi. Namun, nampaknya tidak semudah itu.
            “Kalau dia cerita yang bukan-bukan pasal aku pada Puan Salma, macam-mana Nim? Kalau dia fitnah kami…,”dalam khuatir, dia ajukan soalan.
            “Jangan fikir yang bukan-bukanlah. Mungkin Puan Salma ada masalah lain, kot,”
            “Tapi, Puan Salma tak pernah bersikap macam ni dengan aku. Aku nampak dia macam marah betul tadi,”
            “Harap-harap bukan sebab kau. Dan, harap-harap Radhi tak sekejam tu, sampai sanggup buat fitnah pada kau,”
            Arisa mengeluh berat. Itulah yang dia tidak yakin. Tidak yakin akan ada secebis sifat mulia di hati lelaki itu. Lelaki itu cuma fikirkan tentang diri sendiri dan tentang duit semata-mata. Apa lagi yang penting di mata Radhi selain daripada wang?
            “Aku tak yakin Radhi sebaik tu,”
            Tasnim turut diam seketika. Berat memikirkan kemelut hidup Arisa.
            “Dah tu, apa kau nak buat sekarang?,”akhirnya dia melontarkan soalan. Memandang wajah Arisa yang berkerut seribu. Jatuh simpati pada nasib Arisa yang begitu malang.
            “Harap-harap aku salah. Aku tak sanggup nak hadapi lagi gangguan dari dia. Tak sanggup nak biarkan dia terus susahkan keluarga aku,”
            “Aku pun harap macam tu. Buat masa ni, kita jangan fikir yang bukan-bukan. Okay?,”
            Berat Arisa mengukir senyum. Memang itu harapannya. Namun, kebimbangan tetap beraja di hati.
            “Okaylah, Nim. Aku balik dulu,”
            “Hmm… jangan fikir yang bukan-bukan. Okay? Kalau ada apa-apa masalah, aku ada kat sini,”
            “Thanks, Nim. Aku balik dulu,”
            Tasnim tersenyum sambil mengangguk perlahan. Selangkah Arisa mengatur langkah, lengan temannya itu dicapai. Arisa berpaling.
            “Be strong. Okay?,”ucapnya lembut.
            Arisa tersenyum tawar. Namun, kata-kata semangat itu dibalas dengan anggukan kecil. Mahu atau tidak mahu, dia memang harus kuat untuk meneruskan kehidupan. Harus kuat untuk menghadapi apa juga badai yang bakal melanda. Tidak kuat, memang dia akan jatuh tersungkur. Dalam galau, langkah diteruskan ke arah keretanya.



*****


            Arisa perlahankan langkah. Bapanya yang tunduk di sofa sambil menekan dada, menarik perhatiannya. Beg tangan diletakkan di sofa.
            “Kenapa ni, ayah?,”perlahan dia bertanya sambil mengambil tempat di sisi bapanya. Mengurut perlahan belakang bapanya. Perlahan tangannya ditepis, membawa rasa pelik di hati. Bapanya tidak pernah bertindak begitu. Berganda rasa pelik yang menimpa. Belum pun hilang rasa pelik dengan tingkah Puan Salma seketika tadi, kini di rumah, bapanya pula yang mengundang rasa aneh di hati. Wajah suram bapanya direnung tanpa berkelip.
            “Kenapa ayah? Ayah marahkan Rissa ke?,”
            Nafas bapanya turun naik lambat-lambat. Menghantar resah di hati.
            “Ayah tak sihat ke? Kenapa tak suruh adik-adik call saya kat office. Saya boleh balik…,”
            “Sudahlah Rissa…,”perlahan bapanya memotong kata-katanya. Membuat dia semakin cemas.
            “Kenapa ni, ayah?,”lembut dia bersuara. Namun, bapanya tetap membisu.
            “Rissa ada buat ayah marah ke?,”sekali lagi soalan itu meniti di bibirnya. Risau tanpa sedarnya, dia telah mengguris hati seoarang ayah.
            Tetap juga soalannya tidak berjawab. Termangu dia seketika menanggapi perubahan itu. Sekeping sampul surat bersaiz A4 yang terletak di atas meja, menarik perhatiannya. Perlahan dia mencapai. Diselak sampul itu dan matanya menjamah beberapa keping foto. Segera dikeluarkan dan ternyata foto itu mampu membuat dia tergamam. Dan, telahannya ternyata benar. Melihat gambar itu, sekali lagi cuma wajah Radhi yang melintas di fikiran.
            “Apa ni, ayah?,”
            “Kamulah yang beritahu, apa semua tu,”
            Arisa menahan nafas. Foto Encik Karim sedang memegang lengannya dan memaut bahunya. Nampak begitu intim, walau bukan itu sebenarnya kisah di sebalik foto itu.
            “Siapa yang bagi semua ni? Radhi?,”laju dia bertanya.
            “Kenapa kamu sanggup lakukan semua ni, Rissa? Ayah tak percaya bila Radhi cakap kamu ada hubungan sulit dengan bos kamu. Ayah tak percaya juga cakap dia, bila dia cakap, bos kamu sanggup bagi kamu duit untuk tolong kamu bercerai dengan dia. Tapi, bila tengok gambar tu, ayah jadi terfikir semula. Siapa kawan kamu yang sanggup tolong kamu tu, Rissa? Kenapa kamu sanggup rendahkan maruah kamu sampai macam ni sekali?,”
            Arisa terdiam. Jelas ini semua rancangan Radhi. Radhi muncul lagi untuk mengganggu hidupnya. Radhi datang lagi untuk menghuru-harakan keluarganya. Radhi bijak mencari peluang untuk membuat dia tersepit. Begitu teliti perancangan lelaki itu.
            “Ayah… Rissa anak ayah. Ayah jangan percaya cakap Radhi tak guna tu,”
            “Cakapnya ayah boleh cuba untuk tak percaya. Tapi, gambar tu? Kenapa nak ganggu rumahtangga orang, Rissa? Kenapa nak buat benda-benda macam tu? Kamu tak malu ke?,”
            “Tak betul tu ayah. Saya dengan Encik Karim ni, tak ada apa-apa. Dia cuma bos saya. Gambar ni pula, ini gambar curi. Dia ambil masa saya hampir terjatuh. Encik Karim cuma pegang saya supaya tak terjatuh. Itu saja. Saya berani bersumpah, ayah?,”
            “Jangan main-main dengan sumpah…,”
            “Rissa sanggup. Sebab Rissa yakin Rissa tak bersalah. Rissa tak bersalah, ayah. Salah Rissa pada ayah, cuma bila Rissa tak beritahu ayah, duit untuk Radhi tu, bos Rissa yang bagi. Tapi, itu pinjaman, ayah. Tiap-tiap bulan, Rissa bayar balik pada Encik Karim. Dan, Rissa akan pastikan Rissa bayar semua duit tu. Encik Karim tolong Rissa sebab dia kasihankan Rissa, ayah. Tuduhan Radhi ni, langsung tak betul. Ini fitnah…,”beria-ia dia memberikan penjelasan.
            “Kenapa dekatkan diri dengan fitnah?,”perlahan soalan itu meniti lambat-lambat di bibir Haji Salleh.
            Arisa tunduk. Diam mendengar soalan bapanya. Dia tahu bapanya kecewa.
            “Kerja Rissa memang menuntut untuk Rissa selalu dengan Encik Karim. Tapi, atas urusan kerja saja, ayah. Radhi yang mereka-reka semua ni. Mesti sebab Rissa tak layan bila dia minta duit lagi…,”
            Haji Salleh mengangkat muka. Memandang wajah Arisa yang mula sugul. Marahnya hilang seketika. Radhi masih mengganggu Arisa?
            “Bila dia ugut kamu?,”
            “Sejak akhir-akhir ni dia selalu call minta duit. Mesej kat handphone Rissa minta duit. Bila Rissa tak layan, dia ugut nak susahkan hidup Rissa. Mungkin inilah caranya kot,”
            Haji Salleh mengeluh perlahan. Tidak pasti untuk terus terpengaruh dengan beberapa keping foto yang Radhi berikan atau untuk percaya pada luahan anaknya itu.
            “Ayah tak percayakan saya?,”
            Lirih soalan Arisa menusuk ke jiwanya. Tersentuh dengan soalan yang kedengaran cukup tulus di telinganya itu. Dalam renungannya pada wajah Arisa yang kembali mendung. Hilang sudah ceria yang membuat wajah Arisa berseri sejak kebelakangan ini.
            “Betul Rissa dengan bos Rissa tu tak ada apa-apa? Rissa tak ganggu rumahtangga orang?,”
            Laju Arisa menggeleng.
            “Nauzubillah. Minta jauhkan daripada semua tu. Rissa tak akan buat macam tu, ayah,”
            Haji Salleh mengangguk perlahan.
            “Ayah percayakan kamu,”
            Arisa diam mendengar pengakuan itu. Lega hatinya. Sungguh dia gusar andai bapanya terus terpengaruh pada cerita Radhi. Siapa lagi yang dia ada untuk terus menyokongnya andai bapanya terus meraguinya.
            “Tapi, Radhi dah hancurkan semua…,”perlahan dia bersuara. Kini dia benar-benar yakin, dia ada kaitan dengan kemarahan Puan Salma.
            “Kenapa Rissa cakap macam tu?,”
            “Rissa rasa, dia dah hantar gambar ni pada isteri Encik Karim juga. Tadi, Puan Salma datang ke office. Macam marah-marah. Rissa pun, dia tak tegur. Rissa yakin, ini semua kerja Radhi…,”
            Haji Salleh mengeluh perlahan. Mulai risau dengan olah baru yang dibuat oleh bekas menantunya itu.
            “Rissa tak tahu apa lagi yang Radhi nak dari kita. Kenapa dia tak bosan-bosan nak susahkan hidup kita, ayah?,”
            Tiada jawapan yang mampu diberikan. Cuma kerisauan yang semakin menghimpit perasaan. Dapat dia rasakan gangguan Radhi tidak akan berhenti di sini sahaja. Perlahan dia menekan dadanya yang terasa menyesak. Menggosok perlahan sambil cuba mencari sedikit ketenangan. Wajah Arisa dipandang hiba. Simpati pada nasib yang menimpa anaknya itu.



*****

Wednesday, December 4, 2013

MUNGKINKAH? 7

Suara Azilah yang bertanyakan menu pilihannya, langsung tidak diendah. Fokusnya kini cuma satu pada seraut wajah yang kelihatan tenang mendengar bicara seorang lelaki. Dia kenal lelaki itu. Dia lebih kenal pada seraut wajah bersama lelaki itu. Sukar hati lelakinya menerima hakikat saat ini Arisa sedang makan malam bersama majikannya. Mungkinkah ada sesuatu yang sedang berlaku antara Arisa dan lelaki itu? Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Tasnim, rakan sekerja Arisa beberapa hari yang lalu. Dia menarik nafas panjang.
            “Abang…,”
            Suara sedikit keras itu, mengalihkan perhatiannya. Wajah Azilah mencuka merenungnya.
            “Dengar tak Azie tanya ni?,”
            “Suka hatilah. Order apa saja…,”acuh tidak acuh dia menjawab sambil matanya kembali terarah pada Arisa.
Arisa semakin cantik dengan senyum yang sering menghias bibir. Ketara Arisa begitu gembira dengan perpisahan mereka. Dia tersenyum kecil. Senyum yang mengundang rasa sangsi di hati Azilah. Menu di tangan diletakkan ke atas meja. Mahu sama-sama mencari sesuatu yang begitu menarik perhatian suaminya itu. Dan, pandangannya turut jatuh ke wajah Arisa. Menjemput rasa cemburu di hati.
“Tengok bekas isteri ke?,”sinis dia bertanya sekadar mahu menarik perhatian Radhi.
Radhi menjongket bahu tanpa mengacuhkannya. Terus memerhati pasangan yang sedang menikmati makan malam itu dari jauh.
“Biarkanlah dia. Apa pun dia nak buat dengan lelaki tu, dah bukan urusan abang, kan? Abang dengan dia dah tak ada apa-apa. Kan?,”
“Apa yang jadi urusan abang , juga bukan urusan Azie. Jadi, tolong diam dan tolong jangan masuk campur,”
Azilah terdiam. Terkedu mendengar kata-kata itu. Bagai tidak percaya Radhi baru sahaja mengucapkan kata-kata setajam itu padanya.
I am your wife!,”
Radhi mengeluh perlahan. Merenung tajam wajah Azilah yang semakin mencuka. Namun, apa dia kisah pada perubahan wajah itu?
So?,”
“Abang ni, kenapa? Kenapa jadi sinis macam ni dengan Azie? Abang cakap isteri abang tu curang pada abang, jadi buat apa abang duk perhati dia orang lagi? Depan Azie pula tu!,”
“Tak ada siapa yang boleh tentukan apa yang Radhi boleh dan tak boleh buat. Ingat tu…,”perlahan Radhi bersuara sambil tersenyum nipis. Pipi Azilah diusap perlahan sebelum perlahan-lahan juga dia mencengkam pipi itu. Membuat Azilah menyeringai menahan sakit. Spontan tangan lelaki itu ditepis.
“Sakitlah,”sedikit membentak dia melontarkan rasa marah.
Radhi tersenyum. Azilah menggosok pipinya bersama jelingan tajam. Sakit di hati belum hilang, Radhi sudah menghantar rasa sakit di pipinya. Kali pertama Radhi berani menyakitinya.
“Apa kena dengan abang ni? Tiba-tiba jadi macam ni?,”
“Lebih dari ini pun kau boleh dapat kalau kau lebih-lebih masuk campur urusan aku. Faham?,”
Azilah terdiam lagi. Malam ini, Radhi benar-benar lain. Sekelip mata Radhi berubah menjadi tidak berperasaan. Sungguh dia keliru. Dan, untuk dia bersuara lagi, dia tidak mahu. Tidak mahu mencetuskan kekecohan di restoran ini.
“Azie datang sini nak makan. Bukan nak tengok abang intip ex-wife abang,”
Radhi menghela nafas panjang. Merenung wajah Azilah sambil mengangkat jari telunjuknya lalu diletakkan ke bibir.
“Kalau nak makan, order. Jangan ganggu aku. Faham?,”
Azilah merengus marah dan Radhi kembali memerhati Arisa. Tersenyum sambil menggeleng perlahan. Mustahil dia boleh biarkan Arisa segembira ini. Arisa tidak boleh sebahagia ini hidup tanpanya. Perlahan dia mengangkat punggung. Meninggalkan Azilah yang merah padam menahan marah. Langkah santai diatur mendekati meja Arisa. Berdiri seketika di situ bersama senyum lebar.
“Hai sayang… apa khabar?,”sambil tundukkan kepala separas bahu Arisa, dia menegur lembut. Puas hati apabila wajah Arisa yang terkesima cukup menceritakan betapa wanita itu terkejut dengan kehadirannya. Senyumnya semakin lebar.
“Dah lupakan abang?,”
Arisa kaku di kerusi. Sungguh kehadiran lelaki ini di luar jangkaannya. Juga terasa amat mengganggu.
“Sedang berbahagia nampaknya. Masa dengan abang, tak pernah pun Rissa nak senyum bahagia macam ni, kan? Betul-betul tak adil,”
“Apa awak buat kat sini. Tolong pergi dan tolong jangan ganggu saya lagi,”
Radhi tergelak halus.
“Janganlah macam ni. Walaupun kita dah tak ada apa-apa hubungan, kita masih tetap boleh berkawan. Kan?,”
Arisa membuang pandang.
“Encik Radhi, rasanya tak sopan awak ganggu Arisa macam ni,”
Pandangan Radhi kini teralih. Tersenyum panjang sambil berpeluk tubuh. Selamba dia melabuhkan punggung ke kerusi. 
“Encik Karim… bertuah Arisa dapat bos yang baik macam Encik Karim ni. Kan? Mana nak cari bos yang sanggup pinjamkan berpuluh ribu sebab nak tolong staff. Kalau sepuluh orang staff ada masalah macam Arisa, banyak juga duit Encik Karim yang lebur kan? Atau…. Pinjaman tu cuma khusus untuk si cantik Arisa ni saja? Hmmm.. Encik Karim?,”
Arisa mengangkat muka.
“Awak boleh berambus dari sini tak? Saya tak nak tengok muka awak lagi. Tak nak dengar suara awak lagi. Jangan nak mengarut kat sini,”
“Sebab Rissa dah ada Encik Karim yang kaya? Encik Karim yang baik? Patutlah sanggup bayar berpuluh ribu pada abang. Rupa-rupanya Rissa dah dapat lebih dari itu ya? Kalau boleh abang tahu, sejak bila Rissa ada ‘sesuatu’ dengan bos baik hati ni? Sejak Rissa masih isteri abang, atau….  ,”
“Awak jaga sikit mulut tu. Jangan nak reka cerita yang bukan-bukan. Kalau tak tahu hal sebenar, baik diam saja!,”
Radhi tertawa lepas. Bersahaja bangkit semula dari kerusi.
“Kita tengok macam-mana hal sebenarnya nanti. Okay, sayang? I miss you…,”bersama satu kenyitan dia berlalu. Berlalu meninggalkan rasa sebal di hati Arisa.
“Encik Karim… maafkan saya,”laju dia bersuara sebaik Radhi kembali ke mejanya.
It’s okay. Saya faham,”
“Dah lewat juga ni. Rasanya baik saya balik dulu. Terima kasih untuk makan malam ni,”
“Saya hantarkan?,”
No..no.. tak payah. Saya boleh balik dengan teksi. Saya balik dulu ya,”
Bersama senyum  nipis, Encik Karim mengangguk perlahan.
“Terima kasih sebab sudi nak temankan saya makan, malam ni,”
Arisa tersenyum kecil. Perlahan dia mengangkat punggung sambil mencapai beg tangannya.
“Saya balik dulu,”sekali lagi dia meminta diri dan mahunya kini cuma satu. Mahu segera beredar dari ruangan ini. Tidak mahu melihat wajah Radhi yang menyakitkan hati.


****


            Dengan perasaan terbuku, beg tangan dicampak ke sofa. Wajah suaminya direnung tajam. Geramnya masih belum hilang. Rasa sakit hatinya juga masih bersarang di jiwa. Kebahagiaan alam perkahwinan kali keduanya dirasakan kian menghilang. Wajah sebenar lelaki yang baru dikahwininya ini, bagai mula tersingkap. Hilang sudah Radhi yang penyayang. Hilang sudah Radhi yang cukup melindungi.
            “Kenapa ni? Tiba- tiba nak marah-marah ni?,”
            Azilah tergelak besar. Merenung wajah Radhi dengan pandangan tidak percaya. Mustahil lelaki itu tidak tahu punca kemarahannya. Atau lelaki itu sengaja mahu membangkitkan lagi gelora marahnya?
            “Kenapa? Abang boleh tanya kenapa? Jelas-jelas depan mata Azie abang tengok bekas isteri abang macam nak telan, abang tanya kenapa? Depan-depan Azie abang boleh pergi ke meja dia, abang tanya kenapa? Abang cemburu ya? Cemburu dengan bekas isteri abang tu? Masih sayangkan dia? Kalau masih sayangkan dia, kenapa kahwin dengan Azie?! Kenapa ceraikan dia?!,”
            Radhi menjeling sekilas. Perlahan bergerak ke jendela. Malas mahu melayan emosi Azilah. Rasa geram melihat Arisa bersama-sama dengan majikannya di restoran sebentar tadi, masih membekas di hati. Sakit hatinya tatkala melihat bibir Arisa tersenyum manis.
            “Kenapa pula tu? Termenung macam orang gila talak? Dah gila talak? Dah habis duit perempuan tu, tiba-tiba teringat balik kat perempuan tu?! Kata perempuan tu main kayu tiga, tapi yang abang macam terhegeh-hegeh pula ni, kenapa?,”
            Soalan Azilah yang separuh menjerit mula membingitkan telinganya. Mula mengganggu emosinya. Mula membangkitkan rasa marah.
            “Jangan buat abang marah…,”
            “Kenapa pula? Tercabar? Tak betul apa Azie cakap? Abang ni memang tak guna kan? Entah-entah abang saja aje tuduh bekas isteri abang tu curang, tak?,”
            “Diam…aku kata diam. Jangan sampai tangan aku naik ke muka,”
            “Jangan harap Azie nak diam. Abang kahwin dengan Azie, habiskan duit Azie. Konon janji nak bayar bila dapat duit dari bekas isteri abang tu! Dapat duit, satu sen pun tak bayar duit Azie! Azie diamkan sebab Azie sayangkan abang. Tapi,  sekarang ni, bila dah ada hati nak renung-renung bekas isteri, abang memang saja nak cari pasal dengan Azie lah. Nak berbaik dengan bekas isteri abang tu? Ingat Azie ni tunggul? Ingat Azie ni bodoh?!,”
            Perlahan Radhi menghela nafas panjang sambil menggosok tengkuknya. Mulai rimas dengan leteran yang seakan mahu berlarutan.
            “Aku nak keluar…,”akhirnya dia bersuara perlahan. Langkah dihayun menuju ke pintu. Tidak mahu berlama mendengar omelan itu. Lebih baik dia mencari tempat yang tenang untuk dia fikirkan tentang Arisa. Masih ada yang boleh dia harapkan daripada Arisa.
            “Ke mana?! Nak berjudi? Lepas kalah, balik minta duit Azie?! Malulah sikit. Abang tu lelaki. Sepatutnya abang tanggung Azie, bukan Azie yang tanggung abang!,”Azilah menjerit marah. Tercabar dengan sikap acuh tidak acuh Radhi. Jeritan yang berjaya membuat lelaki itu berpaling ke arahnya. Merenung tajam wajahnya.
            Langkah Radhi yang pantas merapatinya, membuat dia sedikit kecut.
            “Radhi tak akan tanggung sesiapa. Tapi, perempuan yang akan tanggung Radhi. Faham!,”bentak Radhi sambil menunjal kepala Azilah. Membuat Azilah terdorong ke belakang.
            “Dayus!,”
            Satu ketawa panjang pecah di bibir Radhi. Tersenyum sinis menanggapi kemarahan isterinya itu.
            “Ini bukan dayus namanya. Ini bijak…,”
            “Kalau hidup nak makan duit perempuan… nak tipu duit perempuan, baik jangan jadi lelaki, bang,”
            “Pembetulan. Aku tak pernah tipu duit perempuan. Aku minta duit isteri aku. Tak salah kan?,”
            “Kau perdaya perempuan!,”Azilah mula membentak.
            “Yang bodoh saja…,”tingkah Radhi sambil tersenyum kecil.
            “Dan kau… kalau kau nak tahu, kau tu sama bodoh dengan Arisa. Kau tahu tak? Kau ingat aku kahwin dengan kau sebab aku cintakan kau ke? Hey perempuan, cinta tak boleh kenyangkan perut yang lapar lah. Aku kahwin sebab duit. Aku nak duit…,”sambungnya bersama senyum yang berganti sinis.
            “Tak guna!,”
            Jeritan marah Azilah hanya membuat tawanya semakin kuat. Perlahan dia menggeleng.
            “Salah tu sayang. Bukan aku yang tak guna. Kau tu yang dah tak guna. Dah tak ada gunanya untuk aku, kalau kau tak beri aku duit tiap-tiap bulan,”
            Azilah merengus marah. Membuang pandang bersama sesalan yang menggunung. Menyesal kerana hanyut dalam pujuk rayu Radhi. Menyesal kerana hatinya cepat tertawan pada lakonan Radhi. Melihat layanan buruk Radhi pada Arisa, dia berasa semua itu wajar apabila Radhi bercerita tentang Arisa yang curang di belakangnya. Radhi sering mengadu Arisa ada hubungan sulit dengan majikan sendiri. Namun, kini dia yakin, itu semua hanya cerita rekaan Radhi. Cara Radhi menagih simpatinya.
            “Azie nak cerai,”akhirnya dia bersuara perlahan. Biarlah dia menjadi janda sekali lagi. Namun, untuk terus hidup menyenangkan lelaki itu, dia tidak mahu. Dia tidak ingin.
            “Cerai? Kau nak cerai? Cerai aku mahal harganya. Nanti aku tentukan berapa harganya. Okay?,”Radhi bersuara lembut sambil mengelus pipi Azilah yang merah menahan marah.
Sekali lagi dia mengukir senyum. Azilah cepat melenting. Azilah terlalu emosional. Tidak seperti Arisa yang lebih tenang menanggapi sikapnya.
            “Jangan ingat Azie sama dengan Arisa…,”
            “Kita tengok nanti..,”sambil menjongket bahu dia bersuara selamba. Niatnya untuk keluar, terbatal begitu sahaja. Sudahnya dengan santai dia melabuhkan punggung ke sofa. Terus melayan bayangan Arisa bersama majikannya. Sekuntum senyum terukir di bibirnya. Senyum yang cukup lebar yang mengundang rasa menyampah Azilah. Pantas dia merentap kembali beg yang telah dicampak. Bergerak menuju ke pintu.
            “Nak ke mana tu?,”
            “Keluar. Menyampah tengok muka abang!,”
            Radhi tergelak lagi.
            “Jangan tak ingat nak balik, dahlah ya,”
            Azilah menjeling tajam dan daun pintu ditutup kuat.
            “Hoi!,”jerit Radhi pada pintu yang sudah tertutup rapat. Spontan tangannya mencapai kusyen lalu dibaling ke arah pintu yang sepi.
            “Bodoh!,”gumamnya geram sambil bersandar santai.  Namun, geram itu tidak dilayan. Azilah pun sudah tiada di depan matanya. Sia-sia dia menghamburkan marah pada Azilah.
            Saat ini, ada agenda lain yang lebih penting yang sedang bermain di kepalanya. Arisa bakal menyenangkan hidupnya sekali lagi. Itu sudah tergambar di ruang matanya dan bibirnya sekali lagi mengukir senyum lebar.
            “Arisa sayang… tolong abang sekali lagi ya…,”bisiknya perlahan sambil tangannya mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Merenung seketika telefon di tangan sambil sekali lagi bibirnya tersenyum.



*****
[11:35:50 PM] hos.getah: